BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya

Khamis, April 30, 2009

Exco beri sumbangan Kerusi Roda


Sungai Bakap - Ismail bin Don, 60 menerima kunjungan Exco Kerajaan Negeri, YB Law Choo Kiang pagi tadi dan menerima bantuan kerusi roda.

Beliau yang mengidap penyakit strok turut menerima bantuan sarahidup dari Jabatan Kebajikan Masyarakat setelah diusahakan oleh Pusat Khidmat Rakyat ADUN Sg. Bakap.

YB Law yang hadir bersama pembantu khasnya turut ditemani oleh Pegawai Perkhidmatan Masyarakat ADUN Sg. Bakap, Pn. Rajaletchimee dan pengerusi JKKK Sg. Bakap Selatan, Hj. Anuar Hassan.

Rabu, April 29, 2009

Bahaya Demokrasi Tanpa Prinsip Wahyu

Oleh : Dr. Asri Zainal Abidin


Demokrasi itu hampir menjadi agama kepada sesetengah pihak. Bahkan ada pihak yang meletakkan demokrasi lebih tinggi daripada prinsip-prinsip yang ada dalam agamanya. Sehingga jika kita menyebut bahawa tindakannya itu bercanggah dengan prinsip agama, dia akan menyatakan “saya kena patuh kepada kehendak demokrasi”.

Walaupun sebenarnya demokrasi dalam banyak keadaan mempunyai tafsiran yang berbagai, tetapi jika semuanya itu dirumuskan ia merujuk kepada kepatuhan pemerintah kepada kuasa atau suara majoriti rakyat. Di samping demokrasi juga menyebut tentang menghormati hak-hak minoriti.


'Kerajaan rakyat, untuk rakyat dan kepada rakyat’, demikian antara slogan-slogan demokrasi yang dianggap indah. Tanpa sebarang syak demokrasi adalah sistem pemerintahan yang terbaik dibandingkan pemerintah autokrasi yang menjadikan kuasa berada di tangan seorang individu tanpa memperdulikan perasaan dan kehendak rakyat.


Di negara-negara yang dicengkami oleh pemerintahan ‘kuku besi’, demokrasi menjadi igauan rakyatnya. Mereka memuja demokrasi sebagaimana seseorang memuja agama. Bahkan mereka sanggup dipenjara atau mati kerananya. Walaupun dalam ajaran demokrasi tiada bab syurga atau neraka selepas kematian, tetapi kehendak insani terhadap kebebasan rakyat dan keadilan yang kelihatan selaras dengan slogan yang dikibarkan oleh bendera demokrasi membawa manusia sanggup berkorban kerananya.


Betapa ramai para pejuang demokrasi yang terkorban tanpa sempat melihat ‘suara majoriti’ menguasai negaranya. Betapa ramai yang mati dalam tahanan tanpa sempat melihat ‘kerajaan rakyat’ yang diidamkannya. Namun, tanpa berbekalkan nas-nas tentang ‘jihad dan syahid’, mereka sanggup dan rela. Sebabnya, keadilan itu selaras dengan naluri insani yang dibekalkan oleh Tuhan dalam fitrah insan. Demokrasi kelihatan menempatkan fitrah ini dalam sistemnya.


Namun dalam Dunia Islam sepatutnya tidak perlu mengagungkan demokrasi. Umat Islam telah dibekalkan oleh Islam dengan sistem syura yang adil dan berteraskan prinsip yang diredhai Allah. Malangnya para pemerintah Dunia Islam meminggirkanSistem Syura’ sehingga umat Islam jahil mengenainya, dalam masa yang sama slogan demokrasi yang dilaungkan Barat berkumandang di dunia. Melaluinya, Barat cuba menyebarkan pengaruh politik. Maka slogan demokrasi pun bergema di Dunia Islam sebagai satu impian rakyat.


Apatah lagi para pemerintah Dunia Islam ramai yang zalim dan kejam, maka bertambah suburlah kerinduan rakyat di Dunia Islam kepada kebebasan bersuara, hak dan keadilan, lalu dipinjam slogan yang Barat gunakan iaitu demokrasi. Lebih daripada itu, Barat berjaya membuktikan secara realitinya bagaimana kekebasan bersuara dan penghormatan kepada suara ramai dihayati dalam negara mereka.


Maka Barat seakan menjadi ‘Kiblat Politik’ dalam mengecapi hak dan kebebasan. Akhirnya Barat itu dianggap teladan dalam segala perkara yang negatif dan positif; sehingga kepada soalan yang berkaitan agama dan budaya. Ini semua berlaku dek kedurjanaan para pemerintah umat Islam itu sendiri yang merampas kebebasan rakyat sehingga mereka hilang panduan.


Ada yang menyebut bahawa ‘syura dan demokrasi’ namanya sahaja yang berbeza, tetapi maksudnya sama. Saya tidak mahu berbalah tentang istilah, kerana setiap orang berhak mempunyai kefahamannya yang tersendiri terhadap istilah yang dia pakai. Apa yang penting apakah prinsip yang dipegang, bukan jenama yang dipakai.


Prinsip-prinsip syura tulen berteraskan nas-nas wahyu, sementara prinsip-prinsip demokrasi berdasarkan pemikiran manusia. Walaupun mungkin banyak perkara secara umumnya demokrasi tidak bercanggah dengan Islam kerana asas pemerintahan dalam Islam itu sendiri adalah keadilan untuk rakyat berpandukan syariat Islami. Namun ada perbezaan antara demokrasi dan prinsip syura dalam Islam.


Dalam sistem syura Islam; suara ramai dihormati, demikian hak individu rakyat juga dipelihara. Dalam masa yang sama Islam mempunyai prinsip-prinsip yang perlu dipatuhi iaitu syariat Islam yang diturunkan Allah untuk kebaikan manusia. Jika suara ramai itu bercanggah dengan syariat Allah, sistem syura akan berpegang kepada syariat dan tidak akan menghalalkan yang haram atas nama ‘suara ramai’. Misalnya, jika kehendak rakyat ‘menghalalkan arak atau judi, atau zina, atau homoseksual maka kerajaan yang berteraskan demokrasi perlu menghormatinya.


Sementara dalam sistem syura, pemerintah berpegang kepada wahyu; maka kehendak ramai yang bercanggah dengan wahyu tidak dapat diterima. Bahkan menjadi tanggungjawab pemerintah mendidik rakyat dengan ajaran Allah agar mereka terbimbing dan dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk. Suara ramai memang dihormati tetapi ia bukan semestinya sentiasa betul. Jika suara ramai ingin menghalal yang salah, kita tidak bersetuju dengannya.


Firman Allah: (maksudnya) :


Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah Yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah Yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk.(surah al-An’am:116-117)


Di peti undi pilihanraya, undi seorang ilmuwan besar yang sarat dengan analisa dan kajian tiada beza nilainya dengan undi seorang yang tiada pelajaran dan mengundi secara suka-suka tanpa fikir. Jika masyarakat dipenuhi oleh majoriti mereka yang mahu perkara-perkara negatif, demokrasi terpaksa menerima sedangkan sistem syura tidak. Bahkan tanggungjawab pemerintah ketika itu melaksanakan apa yang Allah sebut: (maksudnya):


“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kemunkaran. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Surah al-Hajj: 41).


Pemerintahan berjiwa ‘syura islami’ akan menerapkan hubungan perasaan dengan Allah yang memberikan amanah kuasa pemerintahan kepadanya untuk memerintah dengan adil. Pegangan pemerintah adalah Islam dan keadilannya untuk rakyat. Bukan pemerintah berpegang kepada rakyat dan cuba memberi keputusan kepada agama. Politik demokrasi jika tidak dikawal akan menempatkan suara ramai menggantikan wahyu.


Siang malam yang diimpikan oleh pemerintah adalah undi rakyat bagi memungkin mereka terus berkuasa kerana kuasa dilihat sebagai amanah rakyat semata, bukan amanah Allah. Demikian pihak pembangkang yang partinya beriman penuh kepada prinsip demokrasi akan melakukan apa sahaja demi mendapat sokongan rakyat. Akhirnya lahirlah politik wang, jatuh-menjatuh demi mendapatkan undi, menggadaikan prinsip perjuangan kerana undi dan berbagai lagi. Sehingga yang berslogan Islam pun, menukar pegangan demi pengundi atau berdiam diri terhadap kemunkaran pengundinya.


Di Malaysia, kita akan melihat satu demi satu prinsip-prinsip Islam terpinggir dalam kegilaan mendapatkan sokongan rakyat atau memenangi peti. Pihak yang memakai jenama ‘Islam’ juga akan mendiamkan diri, jika dilihat membela prinsip-prinsip itu merugikan undi mereka. Itulah buruknya demokrasi yang berteraskan suara rakyat, tanpa berpaksikan wahyu.


Saya tidak bertujuan mencadangkan agar ditukarkan nama demokrasi kepada syura. Apa yang ingin saya sebut, sebagai seorang muslim apa pun sistem yang diguna namanya, atau terpaksa kita berinteraksi dengannya, kita hendaklah sentiasa berpaksikan wahyu. Perlu ada acuan prinsip kita yang tersendiri. Jika pun tidak mampu menukar, nama demokrasi itu mungkin boleh dipakai, tetapi prinsip seorang muslim hendaklah sistem syura yang berasaskan tanggungjawab pemerintah di hadapan Allah.


Jika tidak, demokrasi akan mengorbankan prinsip Islam dan menjadikan pemerintah dan pembangkang hilang idealisma tenggelam dalam kehendak ramai yang pada hari dipengaruhi berbagai-bagai kehendak globalisasi. Hingga pemerintah dan pembangkang itu akhirnya mengikut kehendak rakyat bukan mendidik dan membimbing rakyat. Maka rosaklah negara.


Selasa, April 28, 2009

PRK N12 Penanti : Dr. Mansor Othman calon Pakatan Rakyat

Permatang Pauh - Dr. Mansor Othman malam tadi diumum sebagai calon Pakatan Rakyat di DUN N12 Penanti, Pulau Pinang.

Pemilihannya diumumkan oleh Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim di hadapan lebih 1,000 penyokong yang memenuhi Yayasan Aman, di Penanti.

Antara pemimpin Pakatan Rakyat yang hadir ialah Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden KeADILan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Pengerusi KeADILan Negeri yang juga ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Zahrain Mohd Hashim; Pengerusi DAP Negeri dan Exco kerajaan negeri, Chow Kon Yeow dan bekas Timbalan Ketua Menteri, Mohammad Fairus Khairuddin.

Sejak Fairus mengosongkan kerusi tersebut pada 16 April lalu, tercetus spekulasi menyatakan bahawa Anwar akan memilih Dr Mansor bertanding di kerusi tersebut.

Dr Mansor, bekas profesor di Universiti Sains Malaysia, merupakan setiausaha politik Anwar ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah menetapkan 23 Mei sebagai hari penamaan calon manakala pengundian pada 31 Mei depan.

Isnin, April 27, 2009

Pilihanraya Kecil DUN Penanti pada 31 Mei

Hari mengundi bagi kerusi DUN Penanti ditetapkan pada 31 Mei dan hari penamaan calon pula 23 Mei, demikian pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kerusi itu dikosongkan oleh bekas Timbalan Ketua Menteri (TKM1) Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin pada 16 April lalu.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, suruhanjaya itu melarang penggunaan pondok panas dan perayu undi dalam pilihanraya kecil kali ini.

Katanya, keputusan itu bagi membolehkan hari mengundi berjalan dengan "aman, tenang dan tanpa kesesakan lalulintas," selain "menyejukkan suasana" selepas berkempen.

Tambahnya, tempoh berkempen selama lapan hari sudah mencukupi kerana hanya sebilangan kecil pengundi atas pagar sahaja yang membuat keputusan di saat akhir.

Abdul Aziz berkata, pondok panas menjadi "pusat ketegangan" semasa hari pengundian.

"Saya tidak tahu hendak menjelaskan gelagatnya (di pondok panas). Kadang-kadang macam dirasuk hantu. Bila kita cakap (tegur), dia kata kita pula yang emosional.


'Merayu dalam kenderaan'

“Semangatnya (penyokong) tinggi dan bilangannya ramai," katanya dalam sidang media di pejabatnya di Putrajaya pagi ini.

Jelasnya lagi, SPR bagaimanapun masih membenarkan parti politik bertanding merayu di dalam kenderaan sewaktu menghantar pemilih ke tempat pembuangan undi.

"(Pengangkutan) itu perkhidmatan. Dalam kereta itu, bolehlah cakap (kempen)," katanya.

Ditanya bentuk tindakan yang boleh dikenakan terhadap pihak yang melanggar arahan itu, Abdul Aziz berkata, mereka boleh didenda RM5,000 dan tidak dibenarkan mengundi bagi tempoh lima tahun seperti Seksyen 27(1) Akta Kesalahan Pilihanraya.

Ditanya sama ada suruhanjaya itu sengaja melewatkan pengumuman tarikh-tarikh tersebut untuk membolehkan Umno mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi, Jumaat lepas, beliau berkata:

"Pertama, tidak ada penanguhan sama sekali. Kita tunda pengumuman itu bagi menyelaraskan pegawai-pegawai kita. Kita juga perlu menemui pihak parti politik pada hari Khamis.


'Umum ikut tempoh'

"Saya juga perlu dapatkan kebenaran bertulis daripada pemilik bangunan, sekolah dan Insitut Kemahiran Belia Negara (untuk pusat pengundian).

"Dan (perkara ini) tiada kena-mengena dengan (MT) Umno. Kita pun tidak tahu mesyuarat itu, kecuali apabila ada orang bangkitkan perkara ini.

"Tidak sama sekali. Tidak relevan sama sekali mesyuarat MT Umno dengan keputusan SPR," kata Abdul Aziz.

"Kita umumkan dalam tempoh yang ditetapkan undang-undang. Kecuali saya mengumumkan pada hari kedua belas dan ketiga belas (selepas bermesyuarat)."

Selain itu, diminta menjelaskan tindakan SPR menetapkan hari pengundian DUN Penanti pada Ahad, berbeza dengan tiga pilihanraya kecil sebelum ini, Abdul Aziz berkata, ia bertujuan memudahkan orang ramai.

Pilihanraya kecil Penanti menggunakan daftar yang dikemaskini sehinggi 16 April dan mengandungi 15,384 pemilih, termasuk 24 pemilih pos.

Daripada jumlah itu, 72.68 % Melayu, 24.22 % Cina, 2.3 India dan 0.71 lain-lain kaum.

Pengundian di 32 saluran akan berjalan di sembilan pusat pengundian - lapan sekolah dan satu dewan insitut belia.

Abdul Aziz berkata, 242 petugas SPR akan terlibat mengendalikan pilihanraya kecil itu dengan perbelanjaan RM500,000.


Mafrel jadi pemantau

Beliau juga berkata, jika BN tidak bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Penanti, ia merupakan kali pertama dalam sejarah.

Katanya, untuk pilihanraya ini, SPR bersetuju menubuhkan dua pasukan penguatkuasa kempen pilihanraya (PP-KPR) yang bertanggungjawab memantau pemasangan bahan kempen dan segala aktiviti kempen sepanjang tempoh rasmi berkempen dari 23 Mei sehingga selesai hari mengundi jam 5 petang pada 31 Mei.

Abdul Aziz berkata, PP-KPR akan diketuai seorang pegawai penguatkuasa dan dianggotai seorang pegawai polis, seorang wakil pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon yang bertanding.

SPR juga, katanya, bersetuju membenarkan Pemantau Pilihanraya Bebas dan Adil Mafrel) menjadi pemerhati perjalanan pilihanraya kecil tersebut, dan meminta mereka menghubungi urusetia SPR untuk urusan pelantikan dan syarat-syarat yang akan ditetapkan.

Abdul Aziz berkata daftar pemilih bagi bahagian pilihanraya berkenaan akan mula dijual pada 8 Mei ini.

"Pengundi dalam bahagian pilihanraya berkenaan juga boleh membuat semakan melalui lamanweb SPR iaitu www.spr.gov.my dan melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip SPR SEMAK NO KAD PENGENALAN dan hantar kepada 15888 mulai 8 Mei ini.

"Selain itu, para pengundi juga boleh menelefon ibu pejabat SPR di Putrajaya di talian 03-8885 6500 dan Pejabat Pilihanraya Negeri Pulau Pinang di talian 04-261 7692," katanya.

Kerajaan Negeri kemuka hasil siasatan kuari

Georgetown - Hasil siasatan tiga buah kuari yang didakwa mengurangkan pengiraan pembayaran royalti bahan batuan kepada Kerajaan Negeri oleh Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Tembatan Banjir Negeri, Law Choo Kiang mendapati dua daripadanya dikenakan pembayaran balik tunggakan berjumlah RM6,013,626.56 manakala satu lagi bebas daripada sebarang pembayaran.

Dua kuari yang bersalah itu ialah Kuat Sdn Bhd dikenakan RM3,607,958.46 dan Batu Tiga Quarry Sdn Bhd berjumlah RM2,405,668.10 keduanya beroperasi di Penanti, Bukit Mertajam.


Sebuah lagi kuari Saw Chong Teok Quarry Sdn Bhd yang terletak di Sungai Sembilang, Juru dibebaskan kerana mengikuti etika yang ditetapkan seperti penggunaan mesin dan kapisiti yang lebih tinggi berbanding pengeluaran dari jenis mesin yang sama oleh dua syarikat lain.


"Semuanya telah selesai setakat ini dan kami berpuas hati dengan hasil siasatan yang dibuat terhadap tiga kuari berkenaan. Dua daripadanya dikenakan pembayaran balik tunggakan manakala satu lagi bebas kerana membuat pembayaran dengan baik," ujar Law Choo Kiang semasa kenyataan medianya di Dewan Nilam Tingkat 53 Komplek Tun Abdul Razak (Komtar) baru-baru ini.


Menurutnya Jawatankuasa Tanah yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng telah meneliti hasil siasatan pada 22 April kemudian dibincang dan diterima oleh mesyuarat Exco pada 23 April sehari selepas itu.


Memandangkan terdapatnya kekurangan pembayaran royalti oleh dua syariakt tersebut maka Ketua Menteri telah mengarahkan 12 lagi kuari disiasat semata-mata memastikan pentadbiran Kerajaan Negeri mencapai matlamat Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT).


"Untuk makluman semua ketiga-tiga kuari yang dihentikan sementara kini boleh beroperasi seperti biasa pada hari Isnin ini (27 April 2009), " tegasnya yang hadir bersama Timbalan Pengerusi Siasatan yang juga Ahli Dewan Unndangan Negeri (Adun) Bukit Tengah, Ong Chee Wen.


Mengikut formula pengiraan royalti setiap kuari kena beroperasi lapan jam sehari dan 26 hari sebulan. Setiap tahun kuari berkenaan dikehendaki deklarasi pengupayaan mesin melalui surat kepada Pejabat Daerah dan Tanah untuk mengira pembayaran royalti bahan batuan.


Bukan itu sahaja malahan siasatan juga merujuk kepada katalog mesin 'Primary Crusher' untuk mengenal pasti deklarasi tahunan yang dibuat. Satu akuan bersumpah juga perlu disediakan oleh setiap kuari untuk kapisiti mesin primary crusher bagi mengenal pasti kejujuran pengusaha terhadap mesin yang diguna sekarang atau lalu.


Jelas beliau kesalahan Syarikat Kuat Sdn Bhd ialah tidak memaklumkan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah (SPT) dengan mesin jenis Jaques ST47 dan memaklumkan pada pejabat yang sama terhadap mesin Svedala 1208HD.


Manakala Syarikat Batu Tiga Quarry Sdn Bhd pula ialah tidak melapurkan Pejabat Daerah yang sama apabila mesin primary crusher ditukar kepada Kobe 5442 dalam tempuh Disember 2004 - April 2005 serta kegagalan syarikat berkenaan melapur kepada Pejabat Daerah dan Tanah SPT tentang kenaikan kapisiti mesin daripada 149 sejam kepada 370 tan sejam apabila mesin Kobe mula digunakan.


"Semua dokuman yang disiasat bermula daripada bulan Januari 2004 sehingga Desember 2008 iaitu jangkamasa lima tahun. Kami berharap syarikat yang telah dikenakan tunggakan pembayaran tidak mengulangi kesalahan itu lagi sebaliknya mematuhi perundangan yang ditetapkan, " terangnya

Sabtu, April 25, 2009

Penduduk terharu

Sungai Bakap - Kg. Gurun yang dihuni oleh 18 keluarga sejak lebih 45 tahun kini bakal luput dari peta Sungai Bakap. Kampung tersebut akan dijadikan kawasan perumahan oleh pihak pemaju.

Sebilangan besar penduduk terpaksa menyewa di kawasan sekitar disebabkan tidak memiliki rumah atau tanah sendiri.

Walaupun kesemua penduduk menerima bayaran pampasan daripada tuan tanah, tetapi ia tidak mencukupi untuk mereka membeli tanah dan rumah. Mereka diarah mengosongkan kediaman mereka sebelum Disember tahun lalu.

Masalah mereka mendapat perhatian YB Hj. Maktar yang berusaha mendapatkan tanah rizab milik kerajaan negeri sebagai penempatan semula untuk mereka. Tanah yang dikenalpasti itu terletak di Perkampungan Jawi.

Dalam pertemuan dengan penduduk pada 3.30 petang tadi, YB Hj. Maktar memberitahu bahawa tanah rizab kerajaan negeri bukan hanya akan diberikan kepada penduduk Kg. Gurun sahaja malah turut diberikan kepada individu yang kurang mampu seperti golongan miskin yang selama ini terpaksa menumpang dan menyewa di seluruh kawasan Nibong Tebal.

Wakil penduduk Kg. Gurun, Mohd Sabirin Din (gambar) mengulas mengenai keperihatinan ADUN Sg. Bakap itu, "Kami amatlah terharu dengan kesanggupan YB Ustaz membantu meringankan beban yang ditanggung selama ini, rata-rata penduduk yang hanya bekerja sendiri (kerja kampung) tidak mampu membeli rumah dan tanah terpaksa menyewa."

"Terima kasih banyak-banyak kepada YB Ustaz dan pihak Pusat Khidmat Rakyat ADUN Sg.Bakap kerana berusaha membantu kami tanpa mengira fahaman politik," tambahnya lagi.

Jumaat, April 24, 2009

Fairus kekal letak jawatan, nyata sokongan kepada Anwar

Sumber : Suara Keadilan Online

Kuala Lumpur - Bekas Adun Penanti, Mohammad Fairus Khairuddin mengulangi akan tetap meletak jawatan sebagai Adun kawasan itu, walaupun didapati tidak bersalah atas tuduhan rasuah.


Fairus yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang mengemukakan surat perletakan jawatan 16 April lepas selepas disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes membabitkan syarikat kuari di Seberang Perai.


Semalam SPRM mengesahkan tidak ada bukti terhadap tuduhan yang dilemparkan kepadanya dan ini mengundang spekulasi mengenai kemungkinan Fairuz akan menarik balik perletakan jawatan beliau.


Tetapi menurut Fairus, beliau tidak akan mengubah pendiriannya.


“Saya dengan ini mengulangi ketegasan saya untuk meletakkan jawatan selaku Adun N12 Penanti serta menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Parti Keadilan Rakyat di bawah teraju Ketua Umumnya; Anwar Ibrahim,” kata Fairus dalam sebuah kenyataan akhbar.


“Pengumuman SPRM yang telah membebaskan saya dari segala tuduhan adalah suatu manifestasi kebenaran saya yang telah selama ini saya pertahankan,” tambah beliau.


Berikutan pengumuman itu juga, Fairus berkata beliau sedang mempertimbangkan untuk menyaman individu dan pihak media tertentu yang sebelum ini memburukkan nama beliau.


Khamis, April 23, 2009

RM10 juta untuk peluang pekerjaan,latihan dan perniagaan

Georgetown - Timbalan Ketua Menteri II, Pulau Pinang, Dr P. Ramasamy menegaskan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memperuntukkan RM10 juta menerusi Persidangan Dewan Undangan Negeri lalu bagi menyediakan penempatan pekerjaan sementara serta latihan dan peluang perniagaan pada pekerja yang telah diberhentikan termasuk para graduan, belia lepasan sekolah dan pengganggur.

Beliau dalam jawapan bertulis terhadap soalan Hamdan Abdul Rahman (PAS), selain memperuntukan bantuan Kerajaan Negeri juga menubuhkan 'Penang Career Assistance and Training Centre' (CAT) ia bertanggungjawab untuk menghubungkan pekerja yang telah diberhentikan kerja.


"Pusat CAT diuruskan sepenuhnya oleh investPenang dengan mendapat sokongan padu daripada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (PDC) dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), " jelasnya.


Sehingga 24 Mac 2009 seramai 851 orang telah berdaftar dengan CAT. Semasa tempoh itu sejumlah 2.683 buah kekosongan jawatan turut didaftarkan dengan pusat ini.


Seramai 471 pendaftaran yang berkelayakan telah dihubungkan ke syarikat yang menawarkan peluang pekerjaan mereka.

Kerajaan Negeri tidak puas hati dengan pengangkutan awam

Georgetown - Sehingga ke hari ini Kerajaan Negeri masih belum lagi berpuas hati terhadap perkhidmatan pengangkutan awam negeri walaupun pengangkutan awam bertambah baik dengan wujudnya Rapid Penang.

Exco Kerajaan Tempatan Negeri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dalam jawapannya menjelaskan, mulai bulan Jun 2009 200 buah bas baru Rapid Penang dengan ciri 'disabled friendly' akan ditambah menjadikan jumlah 150 buah secara berperingkat.


"Kerajaan masih tidak puas hati terhadap perkhidmatan pengangkutan awam walaupun wujudnya Rapid Penang, " tegasnya.


Menyentuh mengenai perkhidmatan teksi,katanya, Kerajaan Negeri telah memohon kepada Kerajaan persekutuan supaya mengarahkan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan untuk menguatkuasakan kadar meter agar mutu perkhidmatan teksi dapat dipertingkatkan.


Pada masa yang sama tambahnya, Kerajaan Negeri kini dalam proses menyediakan Pelan Induk Pengangkutan Negeri dan Malis Penggangkutan Negeri untuk menambaikan sistem dan pengurusan pengangkutan awam negeri.


Pelan itu merangkumi sistem pengangkutan Awam seperti pengangkutan darat, landasan keretapi atau laut, Majlis berkenaan ditubuhkan sebagai 'one stop agency' untuk merancang, menyelaras dan lalu lintas dalam negeri.

Isnin, April 20, 2009

Waran tangkap Naib Presiden PAS

Jawi - Mahkamah Majistert Jawi, Nibong Tebal mengeluarkan waran tangkap terhadap Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dan sembilan pengikutnya kerana gagal menghadiri perbicaraan hari ini berhubung tuduhan menghalang penjawat awam melaksanakan tugas tahun lalu.

Mahkamah itu telah menetapkan perbicaraan selama tiga hari mulai hari ini untuk kesemua tertuduh tetapi kelibat mereka dan juga peguam tidak kelihatan apabila kes itu dipanggil.

Berikutan itu, Timbalan Pendakwaraya Yusaini Anuar memohon supaya mahkamah mengeluarkan waran tangkap ke atas Mohamad Sabu dan sembilan penyokongnya, lapor Bernama.

Majistret Norashikin Mokhtar, yang menggantikan Majistret Mohd Izham Ali yang sedang berkursus, kemudiannya mengeluarkan waran tangkap itu serta notis kepada kesemua penjamin mereka dan menetapkan 22 Jun ini untuk sebutan semula kes itu.

Jurucakap Mahkamah Jawi ketika dihubungi berkata, pihaknya telah dihubungi oleh seorang peguam kumpulan itu yang memaklumkan bahawa mereka akan hadir di mahkamah itu esok untuk membuat rayuan membatalkan waran berkenaan.

Mohamad Sabu, 53, dan sembilan penyokongnya Zamarul Aini Abdul Malek, 37; Zainal Azrun Zainal Abidin, 35; Abdul Rahim Mat Ariff, 58; Md Lazim Osman, 50; Mohd Biyamin Ishak, 44; Fauzi Saharat, 44; Abdul Razak Ramli, 42; Mohd Subri Mohd Said, 42; dan Mohamad Salleh, 47; didakwa menghalang Supt Mohd Nasir Salleh daripada menyerahkan waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Jalan Duta, Kuala Lumpur terhadap pemimpin PAS itu.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu berhampiran plaza tol Bukit Tambun di Lebuhraya Utara Selatan pada kira-kira pukul 7.45 malam, 9 Disember tahun lalu.

Mahkamah batal waran
dikemaskini (13:30, 21 April 09) - Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu bersama sembilan penyokongnya keluar dari Mahkamah Majistret Jawi di sini, setelah mahkamah membatalkan waran tangkap terhadap mereka kerana gagal menghadiri perbicaraan di mahkamah itu semalam.

Majistret Nur Ashikin Mokhtar mengeluarkan perintah itu setelah Yusnita Yusoff, peguam yang mewakili kesemua tertuduh, memohon supaya waran itu tidak dikeluarkan kerana berlaku kesilapan teknikal mengenai tarikh perbicaraan.

Mahkamah, kemudian menetapkan 28 hingga 30 Sept sebagai tarikh baru perbicaraan.

Kelmarin, mahkamah memerintahkan waran tangkap dikeluarkan terhadap Mohamad Sabu dan sembilan penyokongnya kerana mereka tidak menghadiri hari pertama perbicaraan yang ditetapkan selama tiga hari itu.


Isu tanah wakaf terbiar, MAIPP diminta jawab

Sumber : Harakahdaily

Permatang Pauh -
Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) diminta mengemukakan alasan kukuh kenapa tanah seluas satu ekar di lot 1065 Mukim 4 Pekan Permatang Pauh yang diwakafkan untuk pembinaan masjid sejak tahun 1995 tidak dibangunkan.

Tanah yang berada di persimpangan Pekan Permatang Pauh kini terbiar dan ditumbuhi pokok besar seolah kawasan zoo untuk kera dan monyet berpaut, bermain atau tidur.


Harakahdaily difahamkan tanah atas nama Ghouse Meah diwakafkan untuk pembangunan masjid baru apabila masjid kini yang berada di hadapan Sekolah Rendah Kebangsaan Permatang Pauh yang dulunya adalah sebuah surau kecil setelah masjid sebenar di zaman British dirobohkan untuk pembesaran jalan dan dipindahkan ke Kampung Sama Gagah sehingga hari ini.


Seorang waris pewakaf, Baharudin Baharom ketika menceritakan perkara terbabit menjelaskan, ayahnya, Baharom Wan Chik dan Mohamad Ghouse adalah pemegang amanah tanah untuk tujuan tersebut.


"Kenapa tanah yang sesuai dan mempunyai keluasan seperti tempat letak kereta dan kawasan masjid tidak dibangunkan waktu itu dan tinggalkan surau (kini masjid) dengan membuka pusat pendidikan Kelas Fardhu Ain (KAFA) atau kelas tahfiz sebagaimana yang dilaksanakan oleh masjid Merbau Kudung.


"Surau atau kini berstatus masjid dilihat tidak sesuai kerana berada terlalu hampir dengan jalan utama, tiada tempat letak kereta dan sebagainya. Dulu jika Maipp laksanakan amanah pasti masalah tidak akan timbul, " ujarnya.


Tetapi kini kata beliau, untuk pembinaan masjid agak sukar kerana pembangunan berlaku begitu rancak yang mana sudah wujud Taman Arowana yang ada kareoke dan sebagainya.


Jawatankuasa masjid sedia ada sedang merancang mahu menambah keluasan kawasan masjid di bahagian belakang dengan mengambil sebahagian tanah penduduk.


Jelasnya, cadangan pengambilan tanah itu menimbulkan keresahan penduduk bersebelahan kerana di mana lagi mereka hendak tinggal sekiranya pembangunan di buat.


Tambah Baharudin seterusnya, isu ini tidak timbul seandainya Maipp terus membangunkan masjid di atas tanah yang telah diwakafkan bukan membiarkan tanah itu dihimpit pembangunan sekitar.


"Sekarang kesalahan terletak di tangan Maipp kerana tidak menjagai atan memperdulikan tanah berstatus wakaf itu sebaliknya membiarkan di tumbuhi semak samun. Sekarang ini timbul persengketaan ada pihak mahu mengambil tanah di bahagian masjid untuk pembesaran dan menjadikan tapak wakaf dengan pembangunan komersil, " tegasnya.

Sabtu, April 18, 2009

YB sumbang Mesin Rumput kepada JKKK


Sungai Bakap - Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap, Tuan Haji Maktar bin Haji Shapee telah menyerahkan sebanyak 14 buah mesin rumput kepada pengerusi-pengerusi JKKK di seluruh DUN Sungai Bakap.

Terdapat 7 kawasan JKKK yang terletak di dalam DUN tersebut iaitu Kepala Gajah, Padang Lalang, Tasek, Sungai Bakap Selatan, Sungai Duri, Sungai Kechil dan Kampung Besar.


Majlis yang diadakan di Dewan Serbaguna Sungai Bakap itu turut dihadiri oleh Ketua Balai Polis Sungai Bakap, Penolong Pegawai Daerah, Penghulu-penghulu kawasan dan ahli JKKK serta kehadiran tetamu istimewa iaitu ADUN Bukit Selambau merangkap Exco Kerajaan Negeri Kedah, YB S Manikumar.

Khamis, April 16, 2009

Peruntukan RM1.5 juta bantu sekolah Tamil P. Pinang

Georgetown - 28 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil seluruh Pulau Pinang mendapat peruntukan RM1.5 juta daripada Kerajaan Negeri untuk pembinaan bilik kelas tambahan, penambahbaikan kemudahan sedia ada, pembelian peralatan dan keperluan sekolah serta program akademik.

Perkara tersebut ditegaskan oleh Ketua Menterinya, Lim Guan Eng di Audiotorium F, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) pagi semalam tadi.


"Pembahagian dana itu sekali gus tidak timbul lagi kekangan sebaliknya dapat menyemaikan keprihatian Kerajaan Negeri terhadap bidang pendidikan yang menjadi tonggak pemacuan jentera pentadbiran apabila dapat melahirkan cendikiawan yang berkaliber," ujarnya ketika merasmikan bantuan tersebut.


Kata beliau, bantuan itu terbahagi kepada empat bahagian perbelanjaan iaitu pembinaan kelas tambahan sebanyak RM300,704.00, penambahbaikan kemudahan sedia ada RM451,250.00, pembelian peralatan dan keperluan sekolah RM647,486.00 serta program akademik berjumlah RM100,560.00.


Sambung Lim lagi, atas dasar tanggungjawab yang dipikul serta prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) bantuan bukan sahaja terhadap Sekolah Agama Rakyat (SAR) bahkan sekolah Tamil juga tidak dianaktirikan.


"Kenapa kita nak menganaktirikan pendidikan Sekolah Kebangsaan Tamil kerana mereka juga merupakan aset untuk melihat ramai cendikiawan bertaraf dunia. Saya juga berharap para guru dan tenaga pengajar melipat gandakan usaha dengan gigih, komitmen yang jitu dan berani menempuh segala cabaran agar pembangunan modal insan dapat dijadikan satu realiti," tambahnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.


Sebelum ini pada bulan April 2009 jelas Lim, Kerajaan Pusat telah menyalurkan bantuan kepada 21 buah sekolah Kebangsaan Tamil melibatkan kewangan bernilai RM8,145.000.00 di mana semua bentuk tidak dberikan dalam tunai tetapi diberikan dalam bentuk penyelenggaraan yang dikendalikan oleh Jabatan Kerjaraya (JKR).


Kesemua sekolah itu ialah SJKT Azad, SJKT Jalan Sungai, SJKT Rajaji, SJKT Ramakrishna, SJKT Subramania Barathee, SJKT Bayan Lepas, SJKT Sungai Ara, SJKT Malakoff, SJKT Ladang Mayfield, SJKT Mak Mandin, SJKT Palaniandy, SJKT Perai, SJKT Bukit Mertajam, SJKT Ladang Alma, SJKT Ladang Juru, SJKT Prye, SJKT Permatang Tinggi, SJKT Ladang Batu Kawan, SJKT Ladang Byram, SJKT Ladang Changkat, SJKT Ladang Jawi, SJKT SJKT Ladang Krian, SJKT Ladang Sempah, SJK Tasek Permai, SJKT Ladang Trankrian, SJKT Ladang Valdor, SJKT Nibong Tebal dan SJKT Sungai Bakap.


Hadir sama dalam program setengah hari itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi Negeri, sumber Manusia, Pendidikan dan Sumber Manusia, Sains Teknologi dan Inovasi Negeri, Prof. Dr P. Ramasamy, ADUN Bagan Dalam, Tanasekharan, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pelajat Negeri, Haji Abdul Rashid Musa dan Pengerusi Jawatakuasa Khas Sekolah-Sekolah Tamil Pulau Pinang, Dr K Anbalakan.

Kerajaan Pulau Pinang anjur dailog sempena Hari Bumi Sedunia

Pulau Pinang - Kerajaan Negeri akan menganjurkan dialog antara Badan Bukan Kerajaan (NGO), pembuat beg plastik dan orang ramai sempena Sambutan Hari Bumi Sedunia yang disambut serentak pada 22 April ini dengan tajuk 'Beg Plastik Memudahkan atau Memudaratkan' pada 19 April bertempat di Dewan Bosch, Komplek Masyarkat Penyayang, Jalan Utama, Pulau Pinang bermula jam 9.00 pagi sehingga 1.00 tengah hari.

Demikian kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi MMK Kesihatan, Kebajikan dan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Negeri, Phee Boon Poh semalam.


Menurutnya, penceramah undangan yang akan memperkatakan topik berkenaan ialah Presiden Of Malaysia Plastic Manufactures Association (MPMA), Lim Kok Boon, Penyelaras Kampus Sejahtera Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Lee Lik Meng dan Penyelidik Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Puan Hatijah Hashim.


Selaras dengan visi Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebagai sebuah Bandaraya Antarabangsa yang menjadi tempat pilihan pelabur dan destinasi pelancongan serta tempat kediaman yang inginkan kehidupan lestari penggunaan beg plastik walaupun nampak remeh tetapi mempunyai hubung kait yang tinggi bagi mencapai matlamat agenda hijau.


Selain itu tujuan utama dialog berkenaan adalah untuk memberikan peluang kepada orang ramai mengemukakan pandangan mengenai polisi jangka panjang penggunaan plastik bagi mencegah kemerosotan alam sekitar pada masa depan.


Pembuangan beg plastik sebenarnya menimbulkan masalah pada bumi ini kerana pereputannya mengambil masa 1,000 tahun. Akibat kealpaan masyarakat dunia boleh menyebabkan keruncingan alam sekitar tambahan lagi ketiadaan kecekapan serta kemahiran yang tinggi terhadap program kitar semula.


"Semua masyarakat yang cintakan Bumi Hijau wajar datang menjayakan program itu kerana di samping mendengar pandangan daripada penceramah khas peserta juga akan diberikan cenderahati dan melihat sendiri pameran kecil yang disediakan oleh pihak penceramah," katanya.


Program yang akan dirasmikan oleh Ketua Menteri itu ditaja oleh beberapa syarikat seperti TESCO, MPMA, GAMA, PACIFIC, SUNSHINE, GAINT, JUSCO, D Playgraound Event, Tzu Shi dan lain-lain.


Menurut Phee Boon Poh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Puyu, sesiapa juga boleh mengemukakan pandangan kepada kerajaan menerusi e-mail thingsiewshuen@penang.gov.my atau mengubungi Cik Thing ditalian 04-6505112.

Alamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya


Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...

ARKIB