BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya

Ahad, Mei 31, 2009

Dr. Mansor menang besar di Penanti

Penanti - Calon Pakatan Rakyat daripada KeADILan, Dr Mansor Othman menang besar dengan menewaskan tiga calon Bebas, Aminah Abdullah, Nai Khan Ari dan Kamarul Ramizu Idris dalam pertandingan empat penjuru pilihan raya kecil yang berlangsung di Penanti hari ini.

Hasil pengiraan yang diadakan, Dr Mansor memperolehi 6,052 undi, manakala Aminah memproleh 392 undi, Nai Khan Ari (494) dan Kamarul Ramizu Idris (56). Dr Mansor menang dengan majoriti 5,558 undi.


Jumlah pengundi keluar mengundi dalam pilihan raya kecil ini, menurut laporan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah sebanyak 46.15 peratus iaitu kira-kira 7,100 orang berbanding 82.13 peratus dalam pilihan raya umum ke-12 lalu, dan ia disifatkan terendah dalam sejarah negara.


Pilihan raya kecil ini diadakan berikutan perletakan jawatan sebagai ADUN Penanti oleh penyandangnya Mohamad Fairus Khairuddin daripada KeADILan awal bulan lepas.


KURSUS PENANAMAN CENDAWAN TIRAM KELABU


Sila klik imej untuk paparan lebih jelas

Khamis, Mei 28, 2009

ADUN sumbang kerusi dan meja

Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Sungai Bakap, YB Tuan Hj. Maktar Hj. Shapee telah menyumbangkan kerusi dan meja kepada dewan-dewan, surau-surau dan rumah ibadat serta badan kebajikan di seluruh DUN Sungai Bakap sejak minggu lalu.

Mana-mana dewan dan surau yang tidak ada kemudahan tersebut diberi keutamaan dengan bertujuan untuk kegunaan masyarakat setempat.

Tempat yang menerima sumbangan tersebut ialah Dewan JKKK Sungai Duri, Dewan JKKK Sungai Kechil, Dewan JKKK Kampung Besar, Dewan JKKK Taman Puteri Gunung, Dewan JKKK Tasek, Dewan JKKK Kepala Gajah, Dewan JKKK Sungai Bakap, Dewan Taman Lima Kongsi, Dewan Kuil Ladang Sempah, Surau Sungai Buaya, Surau Taman Widuri, Surau Seberang Tasek, Surau Kampung Lima Kongsi, Surau Taman Puteri Gunung, Surau Taman Enggang, Surau Taman Pekatra, Surau Taman Tasek Indah dan Badan Kebajikan Masyarakat Nibong Tebal (BKMPP).

YB ADUN juga berharap agar sumbangan tersebut dapat dinikmati oleh seluruh masyarakat khususnya apabila berlaku kenduri-kendara, kematian dan apa saja keperluan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Petugas menghantar ke dewan-dewan


Pengerusi JKKK Sungai Duri, Hj. Othman Jusoh mencuba kerusi dan meja baru


Isnin, Mei 25, 2009

FORUM PERUNDINGAN PEMBANGUNAN FIZIKAL DUN SUNGAI BAKAP

Forum ini bertujuan untuk menentukan halatuju pembangunan seluruh DUN Sungai Bakap yang melibatkan YB ADUN Sg. Bakap, Pegawai Daerah, Ketua-ketua Jabatan Kerajaan, JKKK, YDP MPSP, Penghulu Mukim, NGO, Ketua-ketua Masyarakat, Pengerusi Qaryah dan Pengerusi Rumah Ibadat serta individu yang berminat.

Tarikh : 27 Mei 2009 (Rabu)
Masa : 9 pagi - 12 tengahari
Tempat : Dewan Serbaguna Jawi

Anjuran Pusat Khidmat Rakyat ADUN Sungai Bakap

Ahad, Mei 24, 2009

Penanti : Tidak bertanding, bukti BN makin parah

Penanti - "Terima kasih Barisan Nasional (BN) kerana tidak bertanding di Penanti kerana ia memberi laluan mudah untuk Parti keadilan Rakyat (KeADILan) mempertahankan kerusi di situ, " ujar Ketua Perhubungan KeADILan Pulau Pinang, Dato' Zahrin Hashim.

Beliau ketika ditemui di hari penamaan calon pekarangan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Penanti menambah, pengunduran diri Barisan Nasional (BN) bukan sahaja memudahkan kempen bahkan terbukti kegawatan BN makin parah.


Jelasnya lagi, namun walaupun laluan agak mudah tetapi penerangan kepada rakyat tetap di teruskan ke kampung-kampung atau taman bagi tujuan menyedarkan mereka tentang kepentingan pilihan raya yang diadakan.


Katanya,Pakatan Rakyat mahukan rakyat dilatih dengan sistem demokrasi yang sah maka kemasukan dalam pilihanraya boleh meningkatkan lagi pengaruh parti yang menyertainya.


"Insya-Allah bila menang nanti kita akan teruskan kerja kerajaan yang kian banyak maklumlah kita mempunyai kerajaan yang seimbang dan telus, " jelasnya.


Tambahnya, untuk mencapai hasrat itu bukan sahaja memerlukan gabungan tenaga bersama bahkan memerlukan kesatuan fikiran.

Sabtu, Mei 23, 2009

Penanti : Dr Mansor ditentang 3 calon bebas

Selepas tempoh bantahan tamat jam 11 pagi ini, empat orang termasuk calon PKR Mansor Othman kini layak bertanding, demikian diumumkan oleh pegawai pengurus pilihanraya Roslan Yahaya.

Mohd Saberi Othman, seorang bekas pembantu Tun Abdullah Ahmad Badawi di kawasan parlimennya di Kepala Batas, dibatalkan borang pencalonannya.

Sebab penolakan tersebut belum dapat dipastikan, setakat ini.

Keempat-empatnya akan bertarung menghadapi pilihanraya kecil DUN Penanti pada 31 Mei - kali ini tanpa persaingan sengit BN yang memutuskan untuk memulaukannya.

Proses penamaan calon sejak 9 pagi mencipta kejutan apabila Kamarul Ramizu Idris - calon bebas yang hilang pertaruhan di Bukit Gantang, Perak - turut mencuba nasib sekali lagi di kerusi DUN Pulau Pinang itu.

Dua lagi calon bebas, bekas pemimpin Wanita PKR negeri Aminah Abdullah dan bekas pemimpin Gerakan, Nai Khan Ari dijangka akan memberi saingan kepada Mansor.

Menteri besar Pakatan Rakyat di Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, yang turut mengiringi calon PKR mendapat sambutan meriah dengan jeritan "bubar (DUN) Perak" para penyokong.

Tokoh-tokoh kanan PKR termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil memberikan sokongan kepada Mansor yang mempertahankan kerusi parti itu - satu daripada tiga DUN bawah parlimen Permatang Pauh.

Kerusi tersebut kosong selepas wakil rakyat PKR Mohammad Fairus Khairuddin melepaskan jawatan ADUN 16 April lalu di tengah-tengah kehangatan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadapnya.

Jumaat, Mei 22, 2009

Pemecatan 10 tahun lalu: Anwar cabar Mahathir 30 Jul

Mahkamah Persekutuan menetapkan 30 Julai untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar, dari segi perlembagaan, pemecatannya daripada jawatan kabinet pada 1998 oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kes itu pada mulanya ditetapkan untuk perbicaraan hari ini yang dijadual didengar oleh Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff dan dua hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Hashim Yusoff dan Datuk Wira Mohd Ghazali Mohd Yusoff.

Seorang pegawai pendaftar Mahkamah Persekutuan berkata kes itu dijadual semula sehingga esok di hadapan panel tiga hakim itu tetapi peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar tidak kelapangan esok, lapor Bernama.

Mahkamah Persekutuan pada 6 Jun membenarkan permohonan Anwar untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bahawa pemecatannya sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kewangan oleh Dr Mahathir, waktu itu perdana menteri, adalah sah pelaksanaannya dari segi undang-undang.

Pada 23 Dis 1998, Mahkamah Tinggi menolak saman Anwar terhadap Dr Mahathir dan kerajaan, untuk terus membatalkan permohonannya bagi satu perintah untuk mengisytiharkan keputusan Dr Mahathir memecatnya daripada jawatan Kabinet pada 2 Sept 1998 sebagai salah dari segi undang-undang, tidak sah dan batal.

Anwar juga gagal memansuhkan keputusan Mahkamah Tinggi itu selepas Mahkamah Rayuan pada 25 April 2007 menolak rayuannya dan mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaluddin Md Said mewakili Dr Mahathir.

Ahad, Mei 17, 2009

Pusat Khidmat Rakyat Import

Bukit Selambau - Pusat Khidmat Rakyat ADUN Sungai Bakap telah turun membantu Exco Kerajaan Negeri Kedah yang juga ADUN Bukit Selambau, YB S.Manikumar selama 2 hari pada 16 & 17 Mei.

Di atas permintaan YB S. Manikumar, seramai 3 orang pegawai Pusat Khidmat Rakyat secara sukarela membantu seterusnya memberi tunjuk ajar kepada pegawai-pegawai Exco berkenaan dalam menangani pelbagai aduan daripada masyarakat.

Pegawai Perkhidmatan Masyarakat ADUN Sg. Bakap, Pn. K. Rajaletchimee ketika dihubungi berkata : "YB S. Manikumar telah datang sendiri ke Sungai Bakap setelah mengetahui bahawa Pusat Khidmat Rakyat ADUN Sungai Bakap antara yang terbaik di Pulau Pinang dan memohon kepada YB Hj. Maktar untuk kami memberi tunjuk ajar kepada pegawai-pegawainya."

"Setelah bersetuju, kami diberikan tarikh dan tempat untuk bertugas. Kami sedia membantu mana-mana Pusat Khidmat yang ikhlas membantu masyarakat setempat walaupun ianya jauh di luar kawasan." tambahnya lagi.

Selain dari itu, terdapat juga agensi-agensi kerajaan yang turut serta dalam program tersebut.





Jumaat, Mei 15, 2009

Tayangan Skrin @ Wayang Pacak

Peristiwa Hitam 7 Mei 2009 - Sidang DUN Perak & Penangkapan
Tempat : Dewan JKKK Simpang 3, Nibong Tebal
Tarikh : 17 Mei 2009 (Ahad)
Masa : 9.30 malam


Orang ramai dijemput hadir. Sebarkan...

Pakatan Rakyat mahu jumpa Najib, Bubar DUN pilihan utama

Pakatan Rakyat sepakat menyatakan kesediaan bertemu Datuk Seri Najib Razak demi mengukuhkan demokrasi dan institusi kerajaan dalam mencari penyelesaian kemelut politik Perak.

Bagaimanapun mereka juga percaya langkah terbaik adalah melalui pembubaran DUN dan pilihanraya semula peringkat negeri seperti disarankan oleh beberapa pihak, termasuk ahli politik BN dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

"Pakatan Rakyat mengambil sikap terbuka dan bersedia untuk bertemu dengan perdana menteri untuk memperkukuh demokrasi dan institusi kerajaan Perak.

"Kami dari Pakatan Rakyat ingin mengulangi pendirian bahawa mandat seharusnya dikembalikan kepada rakyat negeri Perak untuk menentukan kerajaan yang sah,” kata ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kami mengambil maklum bahawa terdapat badan-badan dan individu seperti Suhakam, Majlis Peguam, ahli akademik, pemimpin, termasuk daripada komponen BN, yang dipertua Dewan Negara, dan pelbagai pihak lain.

“(Mereka) berpandangan bahawa penyelesaian terbaik bagi masalah Perak adalah dengan membubarkan DUN bagi membolehkan pilihanraya baru diadakan."

Anwar menjelaskan pendirian rasmi pembangkang selepas mesyuarat majlis pimpinan Pakatan Rakyat di ibu pejabat PAS, Kuala Lumpur petang ini.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, tokoh utama DAP Lim Kit Siang, Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa dan Timbalan Presiden PKR Syed Husin Ali turut hadir di sidang media tersebut.
Dua pemimpin kanan kerajaan Pakatan di Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Datuk Ngeh Ko Ham duduk di kiri Anwar di bilik mesyuarat tersebut.

Abdul Hadi turut menyokong saranan agar pilihanraya di peringkat negeri diadakan bagi menyelesaikan perebutan kuasa BN-Pakatan di Perak.

"Dan sekarang sudah ada pandangan daripada semua pihak bukan sahaja dari pihak PAS, PKR dan DAP, tetapi termasuk juga dari kalangan akademik dan termasuk kalangan Umno. Gerakan sendiri sudah membuat kenyataan terbuka (untuk mengadakan pilihanraya).

"Oleh itu sudah menjadi pandangan majoriti, dari segi mafhumnya, kembalikan kepada rakyat untuk menyelasaikan krisis ini. Kalau tidak ia akan menjadi berlarutan," katanya.

Diminta mengulas perbezaan pendirian Pakatan itu dan Najib yang enggan membubarkan DUN, Anwar berkata:
"Kita bersedia untuk mendengar. Kita beri pandangan kita. Kalau beliau nak bagi pandangan, kita dengarlah. Lepas kita jumpa (dengan Najib), kita beritahu."

Mesyuarat lebih sejam tersebut bermula kira-kira 2.30 petang.

Pada sebelah pagi, di tempat yang sama, lajnah politik PAS mengadakan mesyuarat, termasuk membincangkan kemelut politik negeri tersebut yang berlarutan sejak Februari lalu.

Pertemuan yang diketuai Abdul Hadi memakan masa lebih dua jam sejak 10 pagi dan dihadiri lebih kurang 20 anggota, termasuk barisan pemimpin kanan parti tersebut.

Seorang anggota lajnah tersebut Khalid Samad memberitahu Malaysiakini, perbincangan isu Perak bagi menyelaraskan pendirian PAS sebelum mesyuarat Pakatan Rakyat.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas butiran sikap PAS yang diputuskan dalam biro tersebut.

Perdana menteri hari ini mengulangi kesediaannya itu dengan menyatakan Pakatan Rakyat tidak wajar meletakkan sebarang syarat untuk menjayakan cadangan tersebut.


Dalam kenyataan awalnya hari ini, Lim berkata perdana menteri wajar memanggil "sidang puncak" dengan pemimpin Pakatan Rakyat untuk meredakan krisis tersebut - yang mencemarkan beberapa institusi penting negara dan merosakkan imej negara di mata dunia.

Bercakap kepada pemberita demikian selepas menghadiri satu froum umum di Petaling Jaya malam tadi, tokoh popular DAP itu berkata krisis Perak bukan suatu isu peringkat negeri semata-mata.
Sebaliknya, tambah beliau, adalah krisis yang menggambarkan perlembagaan dan institusi negara.

Khamis, Mei 14, 2009

Kebakaran Sekolah Kebangsaan Tasek

Kepala Gajah - Akibat dari perbuatan khianat, sekolah menjadi mangsa apabila dibakar oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Siasatan awal yang dibuat oleh pegawai Bomba dan Penyelamat, Balai Sungai Bakap mendapati bahawa terdapat alat yang digunakan untuk membakar dan beliau percaya ianya dari perbuatan budak nakal.

Kejadian yang berlaku petang semalam turut dilawati oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Sungai Bakap, YB Tuan Hj. Maktar Hj. Shapee dan pegawai-pegawai Pusat khidmat Rakyat serta Pengerusi JKKK Kepala Gajah, En. Wahid Darus.

YB Tuan Hj. Maktar mendengar penerangan dari pegawai Bomba


Alat yang dipercayai digunakan untuk membakar sekolah tersebut


Rabu, Mei 13, 2009

Permohonan Nizar dengar Isnin ini

Mahkamah Rayuan akan mendengar Isnin ini permohonan Menteri Besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin untuk mengetepikan perintah penangguhan penghakiman mahkamah tinggi yang mengisytiharkan beliau sebagai menteri besar Perak yang sah.

Permohonan tersebut adalah untuk mengetepikan perintah mahkamah yang diperolehi Menteri Besar Haram, Datuk Zambry Abd Kadir semalam yang difailkan di pejabat pendaftar mahkamah di Putrajaya pada jam 2.20 petang.

Isnin lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan Nizar sebagai menteri besar Perak yang sah. Ekoran itu, Zambry telah mengosongkan pejabatnya untuk membolehkan Nizar kembali bertugas sebagai menteri besar.

Bagaimanapun, semalam Zambry berjaya mendapatkan perintah mahkamah untuk menangguhkan penghakiman tersebut, sementara menunggu selesai rayuannya di Mahkamah Rayuan. Tiada tarikh ditetapkan untuk mendegar rayuan tersebut.

Berikutan itu beliau kembali semula ke SUK untuk menggantikan Nizar sebagai menteri besar.

Dan hari ini Nizar pula memfailkan permohonan untuk mengetepikan perintah mahkamah tersebut.

Mahkamah menetapkan untuk mendengar permohonan itu pada jam 9 pagi 18 Mei depan.

Selasa, Mei 12, 2009

Kekalutan di Perak berlarutan

Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Zambry Abd Kadir untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak yang sah.

Penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan yang dikemukakan oleh Zambry berhubung perkara tersebut.

Beliau memfailkan rayuan tersebut pagi tadi dan akan didengar secepat mungkin.

Selepas keputusan dibuat pada kira-kira jam 1 tengahari, peguam Umno, Hafarizam Harun menggesa Nizar supaya mengosongkan pejabat menteri besar untuk memboleh Zambry kembali bertugas.

Manakala peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Nizar berkata menunggu arahan daripada anak guamnya mengenai langkah seterusnya.

Keputusan mahkamah pagi ini sekali lagi meletakkan situasi politik di Perak dalam keadaan tidak menentu dengan BN dan Pakatan Rakyat masing-masing berentap untuk menjadi menteri besar.

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ramly Mohd Ali mendengar permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi semalam.

Peguam Zambry berhujah bahawa penangguhan keputusan mahkamah semalam adalah penting untuk menghalang Nizar daripada mendapatkan perkenan Sultan Perak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri.

Peguam utamanya, Cecil Abrahim berkata, jika pembubaran tersebut diperkenankan, maka rayuan Zambry akan merupakan satu akademik sahaja.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail turut menyokongnya. Beliau juga berhujah bahawa penggantungan setiausaha kerajaan negeri dan penasihat undang-undang negeri Perak oleh Nizar malam tadi adalah tidak sah kerana ia merupakan pelantikan kerajaan pusat.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Hakim Ramly juga berkata mahkamah akan menetapkan tarikh awal untuk mendengar rayuan Zambry.

Katanya beliau berpuas hati bahawa terdapat keadaan khas untuk membenarkan penangguhan pelaksanaan keputusan itu kerana rayuan Zambry akan dianggap sebagai tidak berguna jika penangguhan itu tidak dibenarkan.

"Ini adalah kes yang amat unik kerana ia bukan sahaja melibatkan Dr Zambry dan Mohammad Nizar tetapi juga seluruh negeri Perak," katanya.

Semalam Hakim Mahkamah Tinggi Abdul Aziz Abdul Rahim mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah selepas memutuskan Nizar tidak mengosongkan jawatan sebagai menteri besar kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri.

Pada 13 Februari, Nizar, 52, memfailkan permohonan kepada mahkamah bagi diisytiharkan yang beliau pada sepanjang masa adalah menteri besar Perak yang sah dan injunksi untuk menghalang Zambry daripada menjalankan tugasnya sebagai menteri besar.

Nizar, yang dilantik sebagai menteri besar pada 17 Mac tahun lepas selepas pakatan DAP-PKR-PAS memenangi 31 kerusi dalam pilihanraya umum ke-12, juga memohon diisytiharkan bahawa Zambry tidak berhak memegang jawatan menteri besar.

Pembangkang dan BN masing-masing mempunyai 28 kerusi dalam Dewan 59 kerusi itu selepas tiga ADUN pembangkang keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas dan yang keempat keluar dari PKR dan menyertai semula Umno.

Sultan Azlan Shah kemudian meminta Mohammad Nizar meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar dan melantik Dr Zambry selepas mengisytiharkan BN mempunyai majoriti dalam Dewan.

Zambry memfailkan permohonan penangguhan pelaksanaan keputusan dan notis rayuan, 16 jam selepas Mohammad Nizar kembali menjadi Menteri Besar.

Berikutan keputusan itu, tokoh DAP Lim Kit Siang berkata Pakatan Rakyat akan memfailkan segera rayuan ke Mahkamah Rayuan bagi mengetepikan perintah penangguhan keputusan itu.


Nizar menuju Istana Iskandariah mohon bubar DUN

Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mendapat semula jawatan menteri besar Perak kembali bertugas hari ini di bangunan sekretariat dengan kawalan ketat polis.

Beliau hadir bersama barisan exconya dan juga Speaker DUN, V Sivakumar, yang digugurkan dalam persidangan paling kecoh, Khamis lalu.

Kawalan ketat itu dilaporkan atas arahan Setiausaha Kerajaan Perak, Datuk Abdul Rahman Hashim - yang diumumkan malam tadi telah digantung tugasnya oleh menteri besar tersebut.

Turut mengalami tindakan yang sama, penasihat undang-undang negeri Datuk Ahmad Kamal Shahid.

Surat penggantungan tugas kepada dua pegawai kanan itu diserahkan selepas jam 8 pagi tadi.

Sejurus kemudian Mohammad Nizar meninggalkan pejabat, menuju ke Istana Iskandariah, Kuala Kangsar untuk satu majlis diraja.

Beliau juga berharap dapat menghadap Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah untuk membubarkan DUN bagi membolehkan satu pilihanraya negeri diadakan.

Seorang pembantu menteri besar itu Amran Harun dilaporkan mengirim kepada istana jam 8.20 pagi ini, memaklumkan hasrat Mohammad Nizar menghadap Raja Nazrin.

Sementara itu, Tengku Razaliegh Hamzah turut menyokong tindakan Pakatan Rakyat untuk mengusulkan kepada Istana agar membubarkan DUN bagi mengatasi kemelut politik sejak Februari.

Mengulas keputusan mahkamah memberi semula jawatan menteri besar kepada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, Tengku Razaleigh Hamzah berkata pembubaran "satu-satunya cara" keluar daripada krisis tersebut.

"Kita berharap Sultan memperkenan untuk membubarkan DUN. Ia bukan sahaja tindakan sewajarnya, tetapi satu-satunya cara keluar daripada krisis yang membelit Perak, merosakkan keluhuran undang-undang, mencalarkan badan kehakiman, polis dan perkhidmatan awam negeri, dan mencemarkan sistem beraja di mata umum," kata bekas naib presiden Umno itu di blognya.

Di awal krisis ini, Tengku Razaleigh telah mempertikaikan tindakan rampasan kuasa BN, termasuk menggugurkan jawatan Mohammad Nizar, dengan menyifatkannya di luar proses perlembagaan.

Beliau juga telah mencadangkan pilihanraya negeri diadakan atau rakyat akan semakin meluat pada Umno.

Dalam tulisan terbarunya, bekas pemimpin Parti Melayu Semangat 46 berkata kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Zambry Abd Kadir lebih kurang tiga bulan "selama ini haram dan semua keputusan serta kontrak yang dibuat olehnya tanpa asas perundangan."

Tambahnya, persidangan DUN Perak minggu lepas yang membawa usul Zambry menggantikan Speaker, V Sivakumar dengan R Ganesan, pemimpin kanan MIC negeri dan bekas ADUN Sungai, juga tidak sah.

"Sultan, dan sistem beraja itu sendiri, menanggung malu dengan babak (politik) ini, termasuk usaha terancang oleh sesetengah pihak untuk menyemarakkan lagi isu menjadi perkauman dan penderhakaan.

"Tindakan seumpama ini hanya merosakkan lagi institusi yang mereka dakwa cuba mempertahankannya, dan (susulan itu) ia mencemarkan Umno dan BN," katanya.

"Isu sebenarnya adalah perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, dan sistem beraja dilindungi selagi mendukung keunggulan perlembagaan dan hasrat rakyat."

Isnin, Mei 11, 2009

Nizar Menteri Besar yang sah

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengumumkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar sah Perak setelah digugurkan jawatan tersebut, awal Februari lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) Datuk Abdul Aziz Abd Rahim memutuskan bahawa Nizar tidak mengosongkan jawatannya itu kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota DUN.

Dalam kes ini, Abdul Aziz berkata tiada undi tidak percaya telah diusulkan terhadap Nizar, lapor Bernama.

"Bagaimana seseorang boleh mengatakan yang pemohon (Nizar) telah hilang kepercayaan majoriti mengikut Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak?"

"Berdasarkan amalan demokrasi, isu kehilangan kepercayaan majoriti hanya boleh diambil kira melalui undi tidak percaya terhadap pemohon (Nizar), hanya melalui cara ini menteri besar boleh disingkirkan," Abdul Aziz dipetik berkata dalam penghakiman bertulis yang disampaikannya pada 2.30 petang.

Pada 13 Februari lalu, Nizar memfailkan permohonan kepada mahkamah bagi diisytiharkan bahawa beliau pada sepanjang masa adalah menteri besar Perak yang sah, bukannya Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Nizar, yang dilantik sebagai menteri besar pada 17 Mac tahun lepas, juga memohon pengisytiharan bahawa Zambry tidak berhak untuk memegang jawatan tersebut.

Abdul Aziz, dalam penghakimannya berkata seorang menteri besar tidak boleh dipecat oleh Sultan Perak atas alasan beliau tidak boleh memegang jawatan itu tanpa perkenan sultan.

Pemecatan menteri besar oleh Sultan Perak tidak disokong oleh Perkara 16 (6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, katanya.

Hakim berkata walaupun Sultan Perak mempunyai kuasa mutlak melantik menteri besar, bagaimanapun seseorang menteri besar, sebaik dilantik, hanya bertanggungjawab kepada ADUN dan tidak kepada pihak-pihak lain, lapor agensi berita itu lagi.

Dalam penghakimannya juga, Abdul Aziz - hakim ketiga di Mahkamah Tinggi yang mendengar kes itu - tidak bersetuju dengan hujahan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, selaku pencelah, bahawa hanya dalam dua keadaan yang membolehkan menteri besar boleh memohon bagi pembubaran DUN.

"Peguam negara berhujah bahawa menteri besar hanya boleh memohon bagi pembubaran apabila tempoh penggal dewan telah hampir tamat, iaitu di bawah Perkara 36(2) dan satu lagi apabila beliau berhenti mendapat kuasa daripada majoriti.

"Saya tidak bersetuju dengan perkara ini. Mengikut Perkara 36 Undang-undang Tubuh Negeri Perak, tiada keadaan yang terhad bagi menteri besar untuk memohon pembubaran daripada sultan, dan terserah kepada menteri besar untuk memilih masanya (untuk memohon bagi pembubaran)," kata Abdul Aziz seperti dilaporkan.

Hakim juga tidak bersetuju dengan hujahan peguam negara dan Zambry sebelum ini bahawa Nizar dianggap telah meletakkan jawatan sebagai menteri besar walaupun beliau (Nizar) enggan berbuat demikian.

"Peguam negara dan responden berhujah bahawa perkataan 'akan meletak jawatan' dalam Perkara 16(6) berupa mandatori bahawa menteri besar mesti meletak jawatan.

"Bagaimana jika menteri besar enggan meletakkan jawatan? Walaupun ia mandatori, peruntukan itu tidak boleh ditafsirkan sebagai bermaksud bahawa menteri besar dianggap telah meletakkan jawatan," Abdul Aziz dilaporkan berkata lagi.

Beliau juga mencadangkan perkara itu dipinda bagi mengatasi kelemahan dalam Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

Mengenai isu afidavit penasihat undang-undang Perak, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, Abdul Aziz memutuskan beliau bukan saksi yang berkecuali dan adil.

"Ia merupakan pengakuannya sendiri bahawa beliau telah diarahkan oleh peguam responden untuk mengikrarkan afidavit itu. Perkataan yang digunakan amat keras.

"Bagi saya beliau bukan saksi yang berkecuali dan adil, keterangannya diwarnai dengan arahan yang diterimanya," kata Abdul Aziz yang memilih versi Nizar mengenai apa yang berlaku semasa menghadap Sultan Perak di Istana Kinta pada 4 Feb.

Hakim berkata beliau percaya dengan keterangan Nizar yang beliau tidak memohon perkenan Tuanku Sultan untuk membubarkan DUN kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti.

"Keadaan pada 4 Feb ialah Pakatan Rakyat dan BN masing-masing mempunyai 28 kerusi dalam Dewan.

"Keterangan pemohon bahawa semasa menghadap Sultan Azlan Shah, beliau telah memohon perkenan bagi membubarkan dewan mengikut Perkara 36(2) Undang-undang Tubuh Negeri Perak adalah disebabkan wujud kebuntuan dalam dewan (apabila Pakatan Rakyat dan BN masing-masing mempunyai 28 kerusi), tetapi menafikan beliau telah kehilangan kepercayaan majoriti anggota dewan," katanya.

Krisis politik Perak bermula apabila dua ADUN PKR Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) meletakan jawatan masing-masing pada 30 Jan diikuti Hee Yit Foong (Jelapang) dari DAP, empat hari kemudian.

Berikutan itu, Nizar telah menghadap Sultan Azlan Shah pada 4 Feb untuk memohon bagi pembubaran DUN tetapi permohonan itu ditolak.

Menurut agensi berita itu lagi, Abdul Aziz mengulangi yang mahkamah tidak mempersoalkan keputusan Sultan Perak yang menolak permohonan itu kerana ia tidak berjustifikasi.

"Tidak diragui bahawa Duli Yang Maha Mulia mempunyai bidang kuasa mutlak untuk tidak memperkenankan permohonan bagi pembubaran," tegasnya.

Hakim itu turut mempersoalkan kenapa BN, selepas mengisytiharkan yang ia mendapat kepercayaan majoriti, tidak memanggil Nizar ke persidangan khas dewan untuk membentangkan usul tidak percaya terhadap beliau, kerana adalah lebih demokrasi untuk berbuat demikian.

Selepas penyampaian penghakiman selama sejam itu, Datuk Cecil Abraham yang mewakili Dr Zambry, memohon penangguhan pelaksanaan keputusan itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan, tetapi ditolak oleh Abdul Aziz.

"Saya menolak permohonan lisan Datuk. Datuk boleh memfailkan permohonan rasmi bagi penangguhan, bersama-sama dengan kes dan autoriti, jika Datuk mahu meneruskannya," katanya.

Mahkamah sesak dengan lebih 50 wakil media dan anggota keluarga serta penyokong Nizar yang datang seawal 1.30 tengah hari.

Nizar diwakili peguam Sulaiman Abdullah dan 10 peguam lain manakala Dr Zambry, yang tidak hadir di mahkamah hari ini, diwakili Cecil dan Sunil Abraham.

Ahad, Mei 10, 2009

ISA : Pembebasan sekadar mengaburi isu pencabulan Perlembagaan Negeri Perak

Saya gembira sebaik dimaklum berkenaan pembebasan 13 orang tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) termasuklah tiga orang pimpinan Hindraf.

Kesemua mereka termasuk beberapa rakan yang didakwa terlibat dalam keganasan tanpa bukti - satelah 6-7 tahun ditahan telah mengharungi dugaan ini dengan penuh kesabaran.

Meski pun kepedihan dan kesengsaraan yang ditanggung amat berat, mereka tetap teguh berpegang kepada prinsip perjuangan serta tidak mahu menyerah kepada tuntutan pemerintah agar patuh pada beberapa syarat mengongkong.

Syabas saya ucapkan kepada saudara P. Uthayakumar dan rakan-rakan lainnya. Maka seharusnya rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui apakah status sebenar tahanan yang dibebaskan walau sebelum ini mereka ditahan kerana disyaki terlibat dengan keganasan.

Mereka semua perlu mendapat pembelaan yang sewajarnya dan kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri seharusnya memohon maaf kepada mereka. Sepanjang ditahan, kerajaan seringkali memutarkan fitnah kononnya mereka semua terlibat dengan aktiviti keganasan, namun tidak pula dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan.

Nah! Sekarang sekonyong-konyong dibebaskan tanpa penjelasan. Jelaslah walau apapun penjelasan, juga justifikasi yang diberikan, ISA perlu dimansuhkan serta merta dan kesemua tahanan perlu dibebaskan. Undang-undang kuku besi lagi kuno ini sudah tidak mempunyai tempat jika benar-benarlah perubahan yang dihajati.

Kenyataan Menteri Dalam Negeri semalam membuktikan kerajaan sememangnya tidak berhasrat untuk memansuhkan ISA. Beliau menyifatkan pembebasan 13 tahanan semalam hanya berdasarkan keadaan bukannya kerana akta tersebut zalim.

Maka jelas terbukti lantaran tertekan dengan kebiadapan wakil-wakil rakyat BN sewaktu sidang DUN Perak tempoh hari, langkah pembebasan ini hanya sekadar satu upaya untuk mengalihkan perhatian rakyat dari isu sebenar iaitu pencabulan perlembagaan serta prinsip demokrasi di negeri Perak.

ANWAR IBRAHIM

Pertandingan Tertutup Paintball

Sabtu, Mei 09, 2009

Sidang Dun Perak : Pakatan Rakyat buat laporan polis mengikut Kanun Keseksaan Panel Kod 124

Ipoh - Beberapa Adun Pakatan Rakyat yang diketahui oleh Adun Titi Serong Drs Khalil Idham Lim telah membuat laporan polis di Ibupejabat Polis Daerah Ipoh terhadap kejadian yang berlaku di sidang Dewan Undangan Negeri Perak semalam sejurus selepas sidang akhbar pagi tadi.


“Kami telah melaporkan mengikut Kanun Keseksaan Panel Kod 124 dengan tindakan mengasari Adun kelmarin, ” kata Khalil kepada Suara Keadilan.


Sementara itu, dalam sidang yang sama, laporan video yang ditayangkan untuk diperlihatkan bahawa adun bebas Hee Yit Foong telah menyembur mata Adun Aulong Yaw Tian Woh dengan ‘Pepper spray’ dan menyebabkan kecederaan kepada mata beliau.


Kejadian itu juga telah dirakamkan serta disiar dalam berita berbahasa Mandarin 8TV jam lapan malam tadi.


Dalam sidang Dun semalam, segerombolan orang yang tidak dikenali dengan berpakaian kemas menyerbu Dun dengan lagak samseng dan kasar, mereka telah mengheret Speaker Dun Perak dan melarikan diri ke suatu tempat yang tidak diketahui.


“Mereka juga turut mengkasari beberapa Adun Pakatan Rakyat lain sehingga koyak baju,” jelas Speaker Dun V. Sivakumar.


Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak dianggap tidak sah setelah menolak Speaker S. Sivakumar untuk menjalankan tugas beliau dalam dewan.


Dalam sidang akhbar di Wisma DAP di sini pagi tadi Sivakumar menyataka bahawa persidangan semalam tidak mengikut undang-undang perlembagaan dengan menolak beliau sebagai Speaker sah dan mengantikan dengan orang lain iaitu R. Ganesan.


“Semalam walaupun bukan satu persidangan, kenapa mereka membawa usul untuk istiharkan sidang Dun bawah pokok tak sah?” katanya.


Menurut beliau sidang berkenaan adalah sah kerana Adun Barisan Nasional cuba membawa usul untuk menolak sidang yang diadakan tanpa kehadiran Adun BN.


Sivakumar berkata sekiranya sidang dun berkenaan tidak sah, BN tidak perlu membawa usul berkenaan.


“Ini bermakna semua keputusan yang telah dibawa pada sidang bawah pokok adalah sah,” katanya ketika menemui Suara Keadilan hari ini.


Beliau juga menyatakan sidang bawah pokok Perak yang telah dibuat pada 3 Mac lalu adalah sah.


Pihak Pakatan Rakyat juga sedang menimbang untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap perlantikan Speaker baru yang tidak sah dan haram.


Sidang Dun Perak : Pakatan Rakyat gesa Sultan bubar segera DUN

Ipoh - Pakatan Rakyat akan terus berusaha memohon perkenan Sultan Azlan Shah supaya Dun dibubarkan seberapa segera setelah melihat apa yang dilakukan oleh Barisan Nasional dalam Dun yang membelakangi dan menodai nilai-nilai demokrasi.


“Pihak Pakatan Rakyat tidak mengiktiraf Speaker haram, R. Ganesan. Pakatan Rakyat akan terus berusaha melalui Sultan Perak memohon agar Dun Perak dibubarkan,” kata Menteri Besar Mohammed Nizar Jamaluddin


Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di Pejabat Badan Perhubungan Pas Negeri Perak di Ipoh petang selepas sidang Dun semalam.


Beliau juga mendakwa seramai 300 anggota polis telah menceroboh dan melakukan keganasan di dalam Dewan termasuk memijak perut Ahli Dewan Undangan Negeri serta berlaku kasar terhadap Adun orang kurang upaya (OKU) daripada Pakatan Rakyat.


Antara anggota polis yang di bawa masuk ke dalam Dewan termasuk berpuluh-puluh daripada Cawangan Khas.


Speaker V. Sivakumar juga telah dihina dengan diheret dan dikurung dalam bilik stor Dun selama sejam.


Sidang media turut dihadiri Pesuruhjaya Pas Negeri, Ustaz Ahmad Awang, serta pimpinan Pas seperti Drs Khalil Idham Lim, Dr Hatta Ramli, Dr Lo’ Lo’ Ghazali dan Salahuddin Ayub.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata pimpinan Pakatan Rakyat akan segera turun ke padang untuk memberi penerangan dan penjelasan kepada rakyat mengenai insiden yang berlaku dalam Dun Perak.


Jumaat, Mei 08, 2009

ADUN sumbang bumbung

Lokasi : Kg. Permatang Ara


Akibat menghadapi masalah dan karenah birokrasi daripada Pusat Urus Zakat (PUZ), sebilangan kecil pemohon yang tidak mampu dari segi kewangan telah mengadu kepada Pusat Khidmat Rakyat ADUN Sungai Bakap.

Lantas ia mendapat perhatian YB Tuan Hj. Maktar Hj. Shapee dan sehingga kini lebih dari 5 buah rumah mendapat sumbangan menukar bumbung lama.

"Memandangkan sekarang ini musim hujan, adalah wajar mereka yang tidak mampu membeli dan mengupah tukang untuk tujuan ini diberi keutamaan. Walaupun sumbangan ini tidaklah seberapa, saya berniat untuk memberi zakat kepada masyarakat yang memerlukan." ujar YB ketika ditanya oleh editor.

Sumbangan Jersey Bolasepak

Setiausaha Politik ADUN Sungai Bakap, Hj. Mohd Kamil Abu Bakar menyerahkan sumbangan Jersey Bolasepak kepada wakil belia Padang Lalang, Azri Hussin

Tiga tahanan Hindraf akan dibebaskan dari ISA


Hasil desakan Pakatan Rakyat dan faktor takut kalah sekiranya diadakan pilihanraya kecil DUN Kota Alam Shah, tiga pemimpin Hindraf yang masih berada di kem tahanan Kamunting bersama 10 yang lain akan dibebaskan daripada kurungan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), demikian diumumkan hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Hishammuddin Hussein membuat pengumuman demikian di sidang media khas di Putrajaya sebentar tadi.

Tiga pemimpin ini termasuk ADUN Kota Alam Shah, M Manoharan, dan penasihat undang-undang Hindraf, P Uthayakumar.

Daripada lima tokoh terkanan Hindraf yang ditahan Disember 2007 bawah akta kontroversi tersebut, dua daripadanya telah dibebaskan awal bulan lalu sejurus selepas Datuk Seri Najib Razak mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.

R Kenghadharan dan V Ganabatirau dibebaskan bersyarat dalam kumpulan 13 tahanan ISA seperti diumumkan Najib sewaktu ucapan sulungnya ke seluruh negara.

Hal ini mengesahkan bahawa kerajaan Barisan Nasional sangat khuatir jika ADUN Kota Alam Shah, M Manoharan meletakkan jawatan sebagai ADUN dan terpaksa menghadapi PRK yang jelas tidak memihak kepada BN.

Sebelum ini Menteri Dalam Negeri,
Datuk Hishammuddin Hussein menegaskan beliau tidak akan tunduk kepada tekanan untuk membebaskan M Manoharan.

N12 Penanti: KeADILan akan bertemu PAS negeri

Pulau Pinang - Pengarah Pilihan raya N12 Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Saifudin Nasution Ismail menegaskan perjumpaan dengan PAS Negeri akan diadakan dalam jangka masa terdekat bagi menyusun gerak kerja bersama menentang Barisan Nasional (BN) sekiranya BN meletakkan calon pada 23 Mei ini.

Jelasnya lagi, perjumpaan secara tidak rasmi telah berlaku antaranya dengan Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Saleh Man tetapi akan diperkemaskan dalam pertemuan terhormat antara kedua-dua parti.


"Pertemuan ini bukan memberi penjelasan tetapi menyusun gerak kerja bersama untuk menentang BN. Penjelasan telah dibuat antara Presiden PAS dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) tentang siapa calon di Penanti, " jelasnya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar semalam.


Pertemuan kata beliau, merupakan jalan paling sesuai dalam keadaan sekarang kerana tanpa pertemuan berbagai perkara boleh berlaku tambahan lagi mendapat 'cucukan' daripada Umno dan BN.


KeADILan katanya, telah bersedia untuk berhadapan dan BN dan berharap PAS bersama membantu dalam semangat juang yang tinggi demi meruntuhkan keegoan Umno dan BN.


"Perjuangan kita hanya menentang Umno dan BN. Jesteru itu marilah kita bersama bersatu hati bergabung tenaga dan fikiran memastikan Umno dan BN tidak menang di Penati," tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Machang, Kelantan.

Rabu, Mei 06, 2009

Penyerahan kerusi roda


Tasek Cempedak - Derita yang ditanggung oleh Ahmad bin Rashid, 67, pengidap penyakit strok sejak sekian lama kini berkurangan berikutan kepekaan Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Sungai Bakap, Tuan Hj. Maktar Hj. Shapee.

YB telah menyerahkan kerusi roda kepada Ahmad supaya beliau mudah bergerak disamping membantu meringankan beban keluarganya.

Turut sama dalam rombongan tersebut ialah Hj. Wan (S/U Politik ADUN) dan En. Said Mohd Zain (Pengerusi JKKK Tasek).

Mesej dari Ketua Menteri


"CM is going to wear black shirt tomorrow. Please join CM to support 1 Black Malaysia for Perak and for all..."

Ahad, Mei 03, 2009

Bengkel Penetapan Prosedur Dewan JKKK


Seluruh Pengerusi dan Setiausaha JKKK KADUN Sungai Bakap dan Sungai Acheh telah hadir ke Bengkel Penetapan Prosedur Dewan JKKK yang diadakan di Dewan JKKK Sungai Bakap.

Tujuan diadakan bengkel tersebut ialah untuk menyelaraskan syarat dan prosedur penggunaan Dewan JKKK dengan berpandukan kepada garis panduan yang akan ditetapkan.

Bengkel tersebut merupakan anjuran bersama Pusat Khidmat Rakyat ADUN Sungai Bakap dan KeADILan Nibong Tebal.

Antara ketetapan yang dibuat ialah kelayakan menggunakan dewan, aktiviti yang dibenarkan, kadar sewaan, notis permohonan dan penyelenggaraan dewan.

Keputusan sebulat suara dibuat oleh hadirin (JKKK) berkenaan parti politik menggunakan dewan, mana-mana parti politik termasuk UMNO/BN boleh menggunakan dewan JKKK dengan syarat perlu membayar sewaan dan mengikut peraturan yang ditetapkan.

Majlis penutup bengkel telah disempurnakan oleh YB Hj. Maktar bin Hj. Shapee.



Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...

ARKIB