BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya

Selasa, Mac 31, 2009

Pulau Pinang capai miskin tegar sifar

Georgetown - Pulau Pinang kini mencapai status miskin tegar sifar. Perkara itu diumumkan oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam satu majlis di Dewan Sri Pinang di sini semalam.

Beliau berkata, dengan pencapaian itu, tiada lagi penduduk Pulau Pinang yang memperoleh pendapatan bulanan kurang daripada RM500 atau pendapatan perkapita kurang RM100.

“Ini bermakna kerajaan negeri akan menampung dengan bantuan kewangan kepada mereka yang gagal memperoleh jumlah itu pada setiap bulan.

“Jika mereka hanya mendapat RM300 sebulan, kerajaan negeri akan menambah lagi RM200 agar pendapatan mereka mencecah RM500,” katanya kepada media selepas majlis pengumuman itu.

Pada majlis itu, Guan Eng turut menerima kembali baucar bantuan daripada lima pegawai daerah.

Sebelum ini Pulau Pinang mempunyai 728 keluarga miskin tegar iaitu 303 keluarga di Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah (186), Seberang Perai Selatan (48), Daerah Timur Laut (41) dan daerah Barat Daya (150).

Menurutnya, kerajaan negeri akan memberi bantuan kewangan untuk tempoh tiga bulan sebelum mengkaji dan semula keadaan penerima. Jika masih memerlukan, kerajaan akan meneruskan bantuan.

Sebagai permulaan, bantuan kewangan sebanyak RM213,385 diberikan kepada semua keluarga miskin tegar yang terlibat.

Bagi keluarga yang produktif, kerajaan negeri akan mencari peluang pekerjaan atau perniagaan serta menganjurkan kursus motivasi bagi peralihan minda untuk mengeluarkan mereka daripada kumpulan miskin tegar.

Dengan keadaan ekonomi yang meleset sekarang ini, ada pekerja yang diberhentikan kerja dan mereka mungkin akan termasuk ke dalam golongan miskin tegar.

“Melalui kajian yang dijalankan setiap tiga bulan, nama mereka boleh dimasukkan sebagai penerima yang layak mendapat bantuan kerajaan untuk tempoh tertentu sehingga berjaya mendapat pendapatan yang melebihi RM500 sebulan,” katanya.

Menurutnya, sasaran kerajaan negeri selepas ini ialah mencapai kemiskinan sifar iaitu penduduk yang berpendapatan kurang RM700 sebulan.

Sabtu, Mac 28, 2009

KeADILan Nibong Tebal berkampung di Taman Desa Aman

Jentera Pilihanraya Parti KeADILan Rakyat Bahagian Nibong Tebal telah bersiap sedia untuk menggempur Bukit Selambau.

KeADILan Pulau Pinang ditugaskan membantu jentera pilihanraya tempatan di Taman Desa Aman, Taman Peruda dan Taman Ria.

Para sukarelawan yang ingin membantu dalam kempen PRK Bukit Selambau, bolehlah menghubungi Md. Arof (012-4414491) untuk keterangan lanjut.

Jumaat, Mac 27, 2009

Panduan Jika anda ditahan Polis

'Buku merah' Majlis Peguam - panduan berguna bagi seseorang yang tidak biasa ditahan polis atau buta undang-undang sewaktu berdepan dengan pihak berwajib itu.

Sila klik di sini untuk muat turun.

Risalah dua halaman 'Polis dan Hak Asas Anda' disediakan oleh satu jawatankuasa kecil Majlis Peguam yang dikenali Tindakan Anti Penyalahgunaan Kuasa Polis (Tangkap).

Dalam buku kecil itu terdapat panduan:

Seseorang berhak meminta kad pengenalan polis ketika ditahan. Jika anggota polis itu menunjukkan kad merah, anda boleh mengabaikan arahannya kerana dia sedang digantung tugas.

Anda juga berhak menelefon ahli keluarga, rakan atau peguam untuk menyampaikan maklumat mengenai penahanan seperti, masa, tempat dan sebab ditahan dan lokasi tahanan,


Anda mungkin ditahan selama 24 jam di balai polis atau dalam penjara untuk membantu siasatan.


Buku panduan itu menjelaskan juga cara-cara memberikan keterangan kepada polis bawah Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah, selain prosedur tahanan reman dan tatacara pemeriksaan badan.

Ia juga memuatkan nombor telefon pejabat-pejabat Pusat Bantuan Guaman (LAC) badan profesional itu di seluruh Semenanjung.

Kira-kira 100,000 salinan 'buku merah' telah dicetak untuk edaran kali pertama bulan lepas.

Edisi bahasa Melayu buku merah akan diedarkan, termasuk di laman web, apabila ia siap disediakan.


Selasa, Mac 24, 2009

PAS umum DS Nizar calon Pakatan Rakyat di Bukit Gantang

PAS memilih Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin sebagai calon Pakatan Rakyat untuk bertanding dalam pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang.


Menteri Besar Pakatan Rakyat itu akan berdepan dengan calon BN Ismail Saffian, 49.


Ismail yang juga bekas ketua penerangan Umno bahagian, berasal dari Kampung Kubu, Bukit Gantang.


Pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang diadakan berikutan kematian penyandang Roslan Shahrom daripada PAS pada 9 Februari lalu.


Penamaan calon akan berlangsung pada 29 Mac dan pengundian 7 April depan.


Nizar adalah antara beberapa nama disebut-sebut akan dipilih oleh pucuk pimpinan parti tersebut bertanding dalam pilihanraya kecil berkenaan.
Parti itu yakin akan mengekalkan kerusi tersebut, terutama di tengah-tengah krisis politik yang melanda Perak selepas kerajaan haram BN mengambil alih pentadbiran negeri tersebut.

Dalam pilihanraya umum lalu, Roslan merampas kubu kuat BN itu dengan menewaskan Bendahari Umno Datuk Seri Azim Mohd Zabidi dan calon Bebas, M Morgan, dengan majoriti 1,566 undi.

Parlimen itu mempunyai 55,471 pengundi yang terdiri daripada 63.48 peratus pengundi Melayu, 26.77 peratus pengundi Cina, 9.71 peratus pengundi India dan lain-lain pengundi 0.4 peratus.

Terdapat tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di parlimen itu iaitu Changkat Jering, Trong dan Kuala Sepetang. Dalam pilihanraya umum lalu, BN menang di Trong manakala dua lagi dimenangi Parti Keadilan Rakyat.

Isnin, Mac 23, 2009

PRK Batang Ai : Jawah Gerang calon Pakatan Rakyat

Bekas ahli parlimen Lubok Antu yang tidak asing lagi, Jawah Gerang menggalas cabaran Pakatan Rakyat atas tiket KeADILan menentang BN dalam pilihanraya kecil DUN Batang Ai yang akan berlangsung 7 April ini.

Selain Engkilili, kerusi negeri itu satu daripada dua DUN parlimen Lubok Antu.

Sabtu lepas, BN mengumumkan calonnya Malcolm Mussen Lamoh.

Penasihat KeADILan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dalam lawatan ke kawasan itu semalam, mengumumkan nama Jawah di lapangan terbang Kuching sebelum berlepas ke Kuala Lumpur pagi ini.

Pilihanraya kecil itu dipanggil berikutan kematian penyandangnya, naib presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Dublin Unting pada 24 Februari lalu akibat serangan angin ahmar.

Ia diadakan serentak dengan dua lagi pilihanraya kecil di Semenanjung - kawasan parlimen Bukit Gantang, Perak dan DUN Bukit Selambau, Kedah.

Ketua Menteri tekad ikut acuan Khalifah Umar Abdul Aziz

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berbangga dengan pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz kerana beliau seorang pemimpin Islam yang adil dan berjiwa rakyat.

Ketika merasmikan Wacana Pemikiran Khalifah Saidina Umar Abdul Aziz “Islam dan Kenegaraan” di Auditorium A, Tingat 5 Komplek Tun Abdul Razak (Komtar) semalam beliau sekali lagi bertekad untuk meniru usaha yang dilaksanakan oleh pemerintahan Khalifah berkenaan.

Ini katanya bagi memastikan pentadbiran negeri bebas daripada penyalahguna kuasa, kezaliman, merombak semula jentera pentadbiran dengan memecat pada pegawai yang tidak cekap dan sebagainya.

Ujar Lim, sikap sedemikian merupakan puncak tertinggi dalam agama Islam ekoran prinsip Khalifah Umar untuk membangunkan negara dengan nilai-nilai kebajikan dalam semua bidang melibatkan kegiatan kenegaraan.

“Saya berbangga dengan pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz yang mempunyai sikap adil, telus dan berjiwa rakyat.

“Khalifah Umar Abdul Aziz mempunyai prinsip membangunkan negara menerusi nilai-nilai kebajikan dalam bidang kenegaraan dan masyarakat di samping membasmi segala kemungkaran yang melekat sebagai kuman penyakit yang merosakan seluruh masyarakat dan negara, ” katanya.

Melihatkan contoh tersebut membuatkan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang mengambil langkah berusaha menjadikan negeri pertama bebas daripada miskin tegar.

Selain itu katanya kerajaan juga mengiktiraf pelajar cemerlang termasuk para Huffaz serta inisiatif Wi-Fi percuma untuk mengurangkan jurang digital di kawasan bandar dan luar bandar serta golongan berada dan kurang kemampuan.

Pelaksanaan cara itu, akan dilakukan tanpa mengira apa latar belakang agama dan kaum kerana yang penting ialah hasil kejayaan.

“Ada cacatan yang meriwayatkan bahawa anak Khalifah Umar pernah mendesak bapanya supaya menggunakan kekerasan untuk menjayakan reformasi pemerintahan.

“Dengan tenang Khalifah memberi jawapan ‘Wahai anak ku, apa yang engkau maksudkan seolah-olah pembaharuan hanya boleh dicapai dengan pedang. Tetapi tidak akan ada apa-apa kebaikan dalam pembaharuan jika ia memerlukan kuasa pedang, ” tegas Lim penuh semangat dalam program anjuran Penyelaras Umat Pulau Pinang (Forum) dengan kerjasama Kerajaan Negeri.

Lim juga mengakui model pemerintahan Umar Abdul Aziz boleh digunapakai sepanjang zaman kerana konsepnya berlandaskan amar ma’ruf dan nahi mungkar serta memperjuangkan nasib rakyat jelata.

Tambah beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Puteh berkata, menyedari betapa sukarnya mencontohi langkah-langkah yang dilaksanakan dalam pemerintahanya.

Namun, perjalanan yang jauh harus bermula dengan langkah pertama iaitu inisiatif menjadikan Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) digunapakai oleh kerajaan hari ini supaya dapat membersihkan rasuah, memerangi mereka yang menyalahgunakan kuasa dan sebagainya.

” Keindahan pemerintah itu saya yakin dapat menyinari semula negeri yang dikenali sebagai Pulau Mutiara ini daripada anasir-anasir negatif seperti rasuah, pembaziran dan penyalahgunaan kuasa, ” jelas beliau.

Program yang membicarakan dua kertas kerja turut mengundang Naib Yang Dipertua Persatuan Ulama' Malaysia Pulau Pinang (PUMPP), Prof Madya Dr Fadlullah Jamel bertajuk ‘Sejarah, Ibarah dan Keagungan Generasi Khalifah Umar Abdul Aziz dan Prof Madya Badli Hashi Mohd Nasir dengan kertas kerja bertajuk ‘ Khalifah Umar Abdul Aziz dalam Aspek Kenegaraan Masakini’.

Turut berucap dalam wacana itu ialah Wakil Forum merangkap YDP Angkatan Belia Islam Malaysia Pulau Pinang, Ustaz Zayd Zahari dan Exco Hal Ehwal Agama Negeri Pulau Pinang, Abdul Malik Kasim.

Sabtu, Mac 21, 2009

Fairus letak jawatan TKM Pulau Pinang

Mohamad Fairus Khairuddin disahkan telah meletakkan jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang dan Exco negeri.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng tengah hari tadi.

Keputusan itu berkuatkuasa 8 April ini, iaitu sehari selepas tiga pilihan raya kecil serentak.

Bagaimanapun beliau akan kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti.

Dalam pada itu, Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Pulau Pinang, Dato' Zahrain Mohamed Hashim berkata, dalam surat letak jawatan yang dikemukakan hari ini ada disebutkan bahawa Fairus mahu melanjutkan pengajian ijazah lanjutan.

Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim juga berkata, Fairus telah meminta cuti untuk memikirkan kedudukannya dalam kerajaan selepas mendapat tawaran belajar.

"Dia telah pilih untuk teruskan pelajaran dan hal itu menyukarkan beliau untuk teruskan tugas sebagai Exco dan Timbalan Ketua Menteri," katanya.

Difahamkan beliau telah menerima tawaran untuk belajar di luar negara.

Zahrain berkata, Fairus telah mengadakan perbincangan dengan Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim sebelum mengemukakan surat letak jawatan pagi ini.

Jumaat, Mac 20, 2009

Anwar minta Fairus bercuti : KM

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata beliau meluluskan permohonan cuti timbalannya, Mohamad Fairus Khairuddin atas permintaan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya dimaklumkan oleh Anwar bahawa Fairus minta untuk bercuti dan atas permintaan Anwar, saya luluskan cuti itu," katanya kepada pemberita di Pulau Pinang, hari ini.

Lim, yang semalam menafikan desas desus kononnya timbalannya itu telah dipecat, hari ini menegaskan sekali lagi bahawa buat masa ini beliau tidak bercadang untuk menukar timbalannya, lapor Bernama.

Beliau yang enggan menjelaskan sebab Mohamad Fairus mengambil cuti secara tiba-tiba, berkata timbalannya itu dijangka kembali bertugas pada Isnin ini.

"Beliau bercuti sekurang-kurangnya untuk minggu ini. Beliau sepatutnya kembali bertugas pada hari Isnin melainkan beliau memohon untuk menyambung cutinya," katanya.

Manikumar calon Pakatan Rakyat di Bukit Selambau

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan muka baru S Manikumar sebagai calon Pakatan Rakyat bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau pada 7 April depan.

Beliau membuat pengumuman tersebut di Sungai Petani pagi ini.


Seorang muka baru dalam arena politik, Manikumar, 35, dianggap sebagai pilihan yang mengejutkan untuk mewakili Pakatan dalam pilihanraya kecil yang anggap sangat penting ini.


Beliau merupakan seorang ahli perniagaan dan penduduk asal Bukit Selambau.


Manikumar akan berdepan dengan calon BN, Datuk S Ganesan dari MIC dan sejumlah calon bebas dalam pilihanraya kecil tersebut.


Suruhanjaya pilihanraya menetapkan penamaan calon pada 29 Mac ini.


Khamis, Mac 19, 2009

Konvensyen Penghayatan Islam Zon Utara


Tarikh : 20 -22 Mac 2009 bersamaan 23 -25 Rabiul Awal 1430
Tempat : Yayasan Aman, Penanti, Permatang Pauh

Objektif Program
1. Menghimpunkan tenaga penggerak dan melahirkan ikatan persaudaraan untuk gerakkerja pembinaan insan (tarbiyyah) dalam organisasi parti
2. Menanam rasa kesedaran, keinsafan dan rasa tanggungjawab terhadap keperluan penghayatan tarbiyyah dalam organisasi parti dan kefahaman kepada keperluan pembinaan insan soleh sebagai asas kejayaan sesebuah organisasi
3. Memberi kefahaman kepada saf kepimpinan parti terhadap unsur-unsur penting yang menjadi intipati kekuatan dalam sesebuah organisasi
4. Mengetengahkan pendekatan penghayatan Islam dalam konteks perjuangan KeADILan


Rabu, Mac 18, 2009

Wajah sebenar DAP Perak

Oleh : Misbahul Munir

UMNO menuduh Hj Nizar boneka DAP, mengikut telunjuk Nga dan Ngeh, pentingkan Cina dari Melayu, setiap ucapan kena rujuk DAP, kenyataan akhbar juga ikut kehendak DAP, beri kuasa DAP agih tanah pada Cina dan sebagainya. Hari ini saya nak cabar kerajaan haram BN dedahkan semua yang didakwa dengan bukti-buktinya, lapor pada SPRM atau polis dan seretlah Hj Nizar dan semua EXCO ke mahkamah. BN ada kuasa haram, gunakanlah kuasa haram untuk mengiyakan apa yang kamu dakwa.

Sebenarnya itu semua dakwaan kosong, fitnah, palsu, tak ada modal nak cari isu, mereka-reka isu palsu supaya rakyat terpedaya, media pula dikuasai oleh mereka, Samad Majid dari FM Perak pula buat lapuran dalam Berita Perak di Radio setiap hari. Setiap dakwaan dan tuduhan tidak pula Hj Nizar sebagai MB dan EXCO diberi peluang menjawabnya. Hubungan antara pimpinan Pakatan Rakyat Perak cukup intim, saling memahami, tidak pernah menimbulkan isu yang sensitif samada agama atau yang menyentuh hak orang Melayu. Hj Nizar pula setiap kali memulakan ucapan dalam apa sahaja majlis samada majlis itu dihadiri ramai orang bukan Islam atau tidak, pasti muqaddimah ucapannya dimulakan dengan petikan ayat-ayat al Quran, diterjemah dan diberi kupasan untuk tujuan dakwah kepada mereka. Kadang-kadang diterjemah dalam bahasa Inggeris supaya mereka lebih memahaminya.

Nga, salah seorang EXCO DAP sentiasa mengikuti ayat-ayat Quran yang dibaca oleh Hj Nizar dan bertanya saya dari ayat mana dan surah apa. Saya beritahu ayat dan surah yang dibaca. Katanya dia mahu study di rumah ayat yang dibaca oleh Hj Nizar. Di mini perpustakaan Nga ada terjemah al quran dalam bahasa Inggeris, dia cari ayat tersebut dan dikajinya. Akhirnya beliau kagum dengan Hj Nizar, menurut Nga ayat-ayat Quran yang dibaca Hj Nizar mesti ada kaitan dengan majlis yang diadakan. Malahan, beliau turut mencari mana-mana ayat al Quran yang berkaitan dengan prinsip keadilan, kebajikan, integriti, ketelusan dan amanah, beliau bertanya saya dan meminta saya mengajarnya bagaimana cara menyebut dalam bahasa Arab, saya menulis dalam huruf rumi ayat-ayat tersebut dan ternyata dibacanya dalam ucapan dan ceramah walaupun pelat, diterjemah dan dihurai dengan begitu baik prinsip-prinsip tersebut mengikut ajaran al Quran.

MCA, MIC dan semua parti komponan BN yang lain, ada atau tidak pemimpin mereka membuka al Quran, membaca dan menterjemah serta mengulas mana-mana konsep mengikut ajaran Islam. Seingat saya, tidak ada pemimpin MCA dan MIC yang berbuat demikian, sebab itu mereka tidak faham Islam walaupun berkawan dengan UMNO sejak sekian lama, apatah lagi UMNO yang menjadi rakan mereka sendiri tidak faham Islam. Sebaliknya, DAP sejak berkawan dengan PAS, sama-sama memerintah Perak khususnya, cukup memahami konsep keadilan, amanah dan kebajikan mengikut ajaran Islam. Bahkan mereka juga tahu hukum Hudud yang selama ini mereka diberi gambaran yang salah oleh media dan pemimpin BN.

Qari dan Qariah Perak telah menjuarai tilawah al Quran peringkat Kebangsaan. Ngeh dari DAP mencadangkan kepada MB Perak supaya mereka diberi anugerah berupa sumbangan, MB setuju beri 5 ribu setiap seorang, Ngeh cadang 10 ribu setiap seorang, sebab mereka telah mengharumkan nama Perak. Malahan turut dicadangkan kerajaan taja mereka mengerjakan haji atau umrah. Cadangan tersebut diberi perhatian oleh MB dan bersetuju buat majlis dan beri sumbangan 10 ribu seorang dan jurulatihnya 5 ribu.

Seorang Tok Guru pondok dari Pengkalan Hulu yang juga ahli majlis fatwa negeri Perak yang dikenali dengan nama Pak Teh. Pak Teh ada pondok yang mempunyai murid yang agak ramai, pondok Pak Teh agak uzur, muridnya ramai, gurunya pula tidak mempunyai pendapatan yang tetap. Pak Teh ada memohon kira-kira 45 ekar tanah hutan di belakang pondoknya. Tanah hutan tersebut dipohon sejak bertahun-tahun dahulu untuk diusahakan dengan pertanian. Pak Teh mengadu pada Dato' Seri Hj Nizar sempena lawatan kerja MB Perak ke Pengkalan Hulu. Di pejabat, MB mengarahkan pegawainya menyemak semula permohonan Pak Teh, dalam semakan MB, didapati permohonan Pak Teh sudah lengkap laporannya di PTG, semua Jabatan berkaitan menyokong permohonan Pak Teh dengan mengatakan tiada halangan untuk diberi pertimbangan kelulusan, tetapi fail tersebut tidak diangkat ke mesyuarat EXCO untuk diluluskan, Hj Nizar terus mengarahkan PTG menyediakan fail segera untuk diangkat ke mesyuarat EXCO supaya diberi pertimbangan kelulusan.

Dan mesyuarat EXCO terus meluluskan, Ngeh bertanya kepada MB mengapa hanya 45 ekar sahaja yang diluluskan, tanah kerajaan luas lagi di Pengkalan Hulu, untuk mencari dana bagi tujuan pendidikan Ngeh mencadangkan diberi sahaja 100 ekar. Tujuan Pak Teh mohon tanah kata Negh bukan untuk kepentingan peribadi tetapi kepentingan bagi melahirkan tokoh-tokoh ulama di Perak. Itu kata Cina DAP yang sering ditohmah oleh UMNO. Tajol Rosli jadi MB Perak sejak 10 tahun dulu bersama dengan EXCO muslim yang lain, Pak Teh pula ahli Majlis Fatwa negeri Perak, permohonan tanah yang diajukan kepada MB BN ketika itu diabaikan. Sepatutnya mereka malu dengan Ngeh yang nampaknya lebih prihatin terhadap perkembangan pendidikan Islam di Perak.

DAP tidak pernah membantah apa sahaja cadangan mengenai hal ehwal Islam, apabila bantuan perkapita diberi semula kepada Sekolah Agama Rakyat, EXCO DAP tidak membantah. Mereka tidak pula meminta supaya sekolah-sekolah Cina turut diberi bantuan perkapita. Permohonan-permohonan untuk tujuan baik pulih masjid, surau, sekolah-sekolah agama sering diluluskan oleh MB, DAP dan EXCOnya tidak juga membantah atau dengki. Program-program Islam yang dicadangkan dan dilaksanakan oleh kerajaan Negeri seperti buka puasa dan solat tarawikh di dataran DBI, kempen solat, tazkirah setiap hari sepanjang Ramadhan menggunakan pembesar suara dan juga azan Zohor di Surau SUK menggunakan pembesar suara tidak pernah dibantah oleh DAP.

Sebenarnya DAP dengan semua ADUNnya jauh lebih baik, prihatin, mudah mesra dan pandai menyesuaikan diri berbanding dengan MCA dan MIC. Sebab itu, mereka ditolak oleh pengundi Cina dan India. Orang Melayu juga yang payah berubah, tetapi Insya Allah saya yakin, perkembangan politik mutaakhir ini menunjukkan orang Melayu juga akan berubah untuk menolak BN secara total dalam pilihanraya akan datang.

*Penulis adalah Setiausaha Politik kepada MB Perak.

Isnin, Mac 16, 2009

YAB Ketua Menteri tetamu istimewa Mempelai

Sungai Bakap - Memori indah terukir buat pasangan mempelai apabila majlis perkahwinan mereka turut dimeriahkan dengan kehadiran YAB Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Muhammad Hj. Maktar, 28, dan pasangannya Norafiza Abdul Rahman diijabkabulkan pada 14 Mac 2009 juga merupakan anak keempat kepada Ahli Dewan Undangan Negeri, Sungai Bakap YB Hj. Maktar Shapee.

Selain kehadiran tetamu istimewa YAB Ketua Menteri, turut hadir ialah ADUN Batu Maung; YB Hj. Abdul Malik Kassim, ADUN Seberang Jaya; YB Datuk Arif Shah, ADUN Bukit Tambun; YB Law Choo Kiang dan ADUN Jawi; YB Tan Beng Huat.

YAB Lim Guan Eng dan ADUN-ADUN sempat bergambar dengan pengantin


YB Hj. Maktar melayan tetamu istimewa menjamu selera


YB Datuk Arif Shah bersama YB Hj. Maktar bergambar dengan Ketua Wanita Batu Kawan, Pn. Asmah Sultan serta tetamu

Komen editor tentang kehadiran YB Datuk Arif Shah: "Nampak macam mesra saja Datuk, bila lagi nak tukar lambang?"

Selasa, Mac 10, 2009

Transkrip Pidato Kebangsaan "Ketuanan Rakyat" oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim

Alhamdullillah, dan kita bersama hari ini mengingati keputusan rakyat yang dibuat setahun yang lalu.


Pada 8 Mac 2008, rakyat ternyata lebih bijak dari peramal, dukun dan pawang politik. Segala tukang tenung politik ini meramalkan Barisan Nasional akan menang besar dan pencabar mereka akan kecundang. Dan sebahagian besar tukang ramal ini, ada yang duduk di menara gading, ada yang menelek dari bangunan media, diupah oleh pemerintah untuk meramalkan kemenangan besar.


Jentera dan dana yang digunakan oleh Barisan Nasional menggerunkan. Parti-parti Pakatan Rakyat, KeADILan, DAP dan PAS terpaksa berentap dengan segala kekurangan dana, jentera dan tekanan. Kita dihujani dengan pelbagai fitnah dan sekatan. Namun dengan segala keterbatasan tersebut rakyat telah menyebelahi kita, dan membuka lembaran baru dalam politik Malaysia.


Baca lagi...


Ahad, Mac 08, 2009

Himpunan bukti rakyat sokong kerajaan negeri

Georgetown - Himpunan rakyat sempena setahun pemerintahan Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang diadakan di Padang Kota Lama semalam mendapat sokongan kuat masyarakat sekaligus memberi isyarat bahawa terlalu sukar untuk Barisan Nasional (BN) merampas kembali tampuk kuasa yang diamanahkan kepada Pakatan Rakyat yang memenangi pilihan raya umum ke-12 dengan penuh bergaya.

Kegusaran BN dan Umno nyata menjadi kenyataan apabila 8 Mac 2008 menjadi 'mimpi ngeri' mereka sejak berkuasa selama 51 tahun. Apa yang dibimbangi akhirnya terpalit kerana kepimpinan yang diharapkan membela rakyat akhirnya berlaku curang menekan hak rakyat, memeras keringat rakyat atau kata lain menjadi nada kepada golongan elit membuli rakyat bawahan secara terang terangan.


Detik hitam bagi BN dan Umno sukar dipadam dari ingatan rakyat jelata setelah memberi mandat baru kepada Kerajaan Pakatan Rakyat yang dilihat bersih daripada sebarang skandal kerana masing-masing merupakan parti yang didukungi oleh para kepimpinan yang menolak rasuah sejak awal-awal lagi.


Gejala rasuah sebenarnya yang meruntuhkan kepercayaan rakyat terhadap BN dan Umno.


Di mana gejala tersebut kini menjadi barah yang kronik dan tiada lagi ubat yang boleh menyembuhkanya melainkan bubar sahaja parti dalam komponan BN yang diterajui Umno dan sama-sama menyertai Pakatan Rakyat untuk membina negara ke arah yang lebih Cemerlang, Gemilang dan Terbilang sebagaimana yang diinginkan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sejak awal mendapat kuasa daripada tangan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.


Kemenangan lima buah negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan dapat mempertahankan Kelantan dengan kemenangan mutlak membuktikan rakyat sudah muak dengan karenah yang dimainkan oleh kepimpinan BN.


Tempoh setahun pemerintahan Pakatan Rakyat khususnya di Pulau Pinang berjaya merubah beberapa pendekatan yang selama ini tidak difikirkan oleh kerajaan yang senantiasa mencari jalan membebani rakyat dengan kenaikan barangan seharian, petroleum, kadar tol dan seumpamanya.


Kenaikan demi kenaikan yang diumumkan oleh Kerajaan BN rupa-rupanya adalah bom tangan yang belum dilemparkan dan apabila dilemparkan ia memercik serta terkenalah sasaran utama sehingga terguling Kerajaan BN yang angkuh dibeberapa buah negeri di Pantai Timur Semenanjung.


Bila berlaku peristiwa hitam itu Umno dan parti lain dalam BN bagaikan 'gila meroyan' kononnya mereka masih berkuasa sedangkan hakikatnya mereka kini pembangkang bukan lagi kerajaan sebagaimana sebelum itu.


Banyak harta benda kerajaan dirampas malahan bangunan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang dulunya menjadi tempat Umno berpaut tiba-tiba kosong daripada sebarang peralatan seperti meja, kipas angin, kerusi, papan kenyataan hatta penyapu semuanya di 'kebas' tanpa segan silu.


BN dan Umno sekarang ini bukan lagi kapal yang dipenuhi barangan yang belayar dengan sempurna di lautan luas tetapi sebuah kapal yang pecah di sana sini malahan ada yang berpendapat hampir karam setelah dilanda tsunami.


Setelah berjaya menguasai politik negara, lima buah negeri yag dimenangai Pakatan Rakyat melaksanakan pendekatan harmoni dengan rakyat umpamanya di Pulau Pinang walaupun berketua menterikan seorang berbangsa cina beragama Budha namun pengalamannya menjadi pembangkang membuatkan ramai yang suka cara pendekatan yang diatur.


Lim Guan Eng dalam ucapan terima kasih pada rakyat sempena himpunan setahun Pakatan Rakyat di Padang Kota Lama menyifatkan kejayaan sepanjang memerintah adalah buah tangan yang berharga untuk dimanafaatkan bersama rakyat keseluruhannya.


Antara kejayaan yang dikecapi ialah Kerajaan Negeri sanggup berkonfrontasi dengan pihak tertentu untuk mendapat manfaat yang wajar diterima anak Negeri Pulau Pinang seperti berkonfrontasi dengan MMC-Gamuda JV yang mana akhirnya syarikat tersebut membayar denda sebanyak RM4.2 juta kepada Kerajaan Negeri meliputi Jabatan Parit dan Saliran RM3,200,000.00 yuran tanah RM33,000 dan RM3,200 yuran perancangan.


Kerajaan Negeri juga katanya, dapat menjimatkan wang membaiki perkhidmatan Keretapi Bukit Bendera apabila melantik kontraktor yang menawarkan kos RM589,466.37 dalam masa dua bulan saja berbanding enam bulan yang dijanjikan oleh kontraktor lain.


Selain itu dapat menjimatkan RM500,000 bila mana membatalkan tempahan pembelian lima buah Proton Perdana untuk kegunaan exco.


Melaksanakan tender terbuka pada 11 Mac 2008 di mana katanya, waktu itu mendapat kutukan daripada Kerajaan Persekutuan.


Tiba-tiba Kerajaan Persekutuan sendiri terpaksa akur dengan cara tersebut apabila melaksanakan tender terbuka untuk pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang.


Ada lagi usaha yang sedang rancak dibangunkan di sini umpamanya Wi-Fi percuma, pembasmian miskin tegar, Hub Halal, bantuan kebajikan kepada mangsa kebakaran banjir dan bencana dalam tempuh 24 jam, memberi nafas baru pada Komplek Tun Abdul Razak (Komtar) dan banyak lagi.


"Sebenarnya itulah yang dimahukan oleh rakyat bukan memimpin mereka dengan kekerasan di samping mengaut kekayaan ke kantung sendiri. Bila kerajaan baik rakyat akan memberikan kerjasama tanpa mengira keturunan, bangsa atau agama. Tengok bila BN dan Umno gagal melaksanakan tanggungjawab apa yang jadi, mereka di tolak dalam pilihan raya kelak, " tegasnya.


Antara yang berucap lagi ialah Timbalan Ketua Menteri 1, Mohamad Fairus Khairudin, Timbalan Ketua Menteri 2, Profesor Dr Ramasamy, Exco Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Abul Kasim, Exco Pelancongan, Law Heng Kiang, Exco Pertanian, Low Choo Kiang, Exco Kerajaan Tempatan, Chow Kon Yeow dan ADUN-ADUN Pakatan Rakyat.

Pulau Pinang bertekad sebagai Halal Hub Global

Georgetown - Pembukaan pejabat Halal Industri Development Corporation Sdn Bhd (HDC) dan Penang International Halal Hub Sdn Bhd (Halal Penang) di tingkat 49 Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) pada 4 Mac lepas merupakan detik bersejarah setahun pemerintah Pakatan Rakyat di negeri ini kata, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Penubuhan yang dianggotai oleh lima orang Exco Kerajaan Negeri dan juga 35 ahli lain yang mewakili Kerajaan Negeri dan agensinya dipengerusikan oleh Abdul Malik Kasim selaku Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri.

Justeru itu, gandingan bersama antara Kerajaan Pusat dan Negeri harus digerakkan segera untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah hab halal antarabangsa yang berjaya dan sekaligus sebagai 'global player' yang terkemuka menjelang tahun 2010.

"Produk halal telah melangkau agama dan bangsa 'It has gone beyond religion and race'. Halallan Toiyiban ialah konsep yang perlu kita berpegang kuat bagi menembusi persepsi masyarakat Malaysia dan dunia berkenaan produk berlebel halal, " katanya.

Menurutnya, di era globalisasi ini kesedaran terhadap hukum halal dan haram di dalam penggunaan barangan oleh pengguna telah meningkat secara drastik dan telah memberi kesan positif kepada industri produk halal seluruh dunia.

Maka katanya, tidak hairanlah potensi terhadap permintaan produk serta perkhidmatan halal terus meningkat dari tahun ke tahun dengan jumlah dagangan yang mencapai nilai 2.1 Trilion Dolar Amerika.

"Melihatkan perkembangan inilah membuatkan Pulau Pinang bertekad untuk menuju ke arah itu dengan merebut peluang yang ada tambahan lagi Pulau Pinang mempunyai kelengkapan terutamanya pelabuhan yang sesuai, " tegasnya.

Lim dalam ucapannya juga bersetuju kenapa Malaysia tidak boleh bangun untuk menjadi negara maju di bidang industri halal berbanding Thailand yang terlebih dahulu mempunyai kesedaran yang tinggi walaupun negara tersebut merupakan negara majoriti bukan Islam.

Kita menyedari katanya, walaupun pasaran makanan halal dunia hari ini masih dikuasai empat negara bukan Islam seperti China, Thailand, Australia dan Brazil namun ia harus menjadi cabaran untuk negara Islam agar jangan terlalu terbelakang dalam usaha mempekenalkan industri berteraskan halal di arena antarabangsa.

Oleh itu Kerajaan Negeri telah merangka beberapa strategi untuk mencapai matlamat pembangunan itu antaranya menyediakan tanah seluas 131 ekar di kawasan perindustrian di Bukit Minyak, Seberang Perai sebagai Halal Park untk industri baru.

Selain itu, juga mengenal pasti kawasan di Balik Pulau sebagai kawasan pelancongan dan pelancongan kesihatan berkonsep antarabangsa, penubuhan pasukan khas, mengumpul dan mendaftarkan semua pengeluar produk halal, perkhidmatan dan logistik industri halal sedia ada.

Bukan itu sahaja malahan mempromosikan Pulau Pinang sebagai hab halal dunia dan menjemput pelabur antarabangsa untuk melabur di sini dalam bidang pengeluaran, perkhidmatan, logistik dan lain-lain.

Menyediakan pemasaran produk halal di dalam dan luar negeri, bekerjasama dengan pengusaha produk halal dari Selatan Thailand dan bekerjasama dengan penguasa produk halal dari utara Sumatera dan Acheh menjadi sasaran utama perancangan itu.

"Untuk mencapai matlamat tersebut memang memerlukan perancangan rapi kerana bidang ini begitu mencabar terutamanya bagaimana menarik pelabur luar seperti Dubai, Riyadh dan bank- bank komesial luar negara. Bagaimanapun mereka menunjukan minat yang mendalam bila Kerajaan Negeri berjaya membawa mereka berbincang mengenai beberapa projek besar, " tambahnya.

Menyentuh mengenai pelabuhan Pulau Pinang yang hendak dijadikan pusat tukar barang bila perancangan menjadi kenyataan Lim berkata, ia dalam proses mengarahkan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) mencari kawasan sesuai seperti yang dibuktikan kejayaan Singapura, Dubai dan Emiriyah Arab Bersatu.

"Saya yakin semua itu boleh berjaya sepertimana Pelabuhan Roterdam di Belanda kerana Pulau Pinang terletak di laluan utama perairan antarabangsa yang menghubungkan perhentian utama kapal dari China dan India tambahan lagi ia adalah agenda memperkukukan kerjasama Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT), " ujarnya.

Selepas berucap, Lim dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menandatangani plak perjanjian bersama ke arah menjadikan Pulau Pinang sebagai hub halal dan mempromosi perdagangan dan industri antarabangsa.

Jumaat, Mac 06, 2009

Isu Kuari - Kenyataan akhbar Sdr. Amizudin Ahmat

Bukit Minyak - Ketua Angkatan Muda Kepala Batas, Sdr. Amizudin Ahmat semalam telah membuat sidang akhbar di Pejabat ADUN Bukit Tengah berkenaan Isu Kuari yang beliau dedahkan kepada media sebelum ini.

Turut hadir memberi sokongan ialah Ketua Angkatan Muda Permatang Pauh; Sdr Amir Ghazali, Ketua Angkatan Muda Tasek Glugor; Sdr Solehin Ahmad, Ketua Angkatan Muda Balik Pulau; Sdr Nazdri Ishak, Ketua Angkatan Muda Bayan Baru; Sdr Ahmad Azrizal Tahir, Tim. Ketua Angkatan Muda Bayan Baru; Sdr Zulfazdli Md Noordin, Naib Ketua Angkatan Muda Bayan Baru; Sdr Mohd Yusof, Bendahari Angkatan Muda Bayan Baru; Sdr Zulkarnain Mohd Ali, Setiausaha Angkatan Muda Tasek Glugor; Sdr Azhar, Exco Angkatan Muda Malaysia; Sdr Zulkifli Ibrahim dan AJK Angkatan Muda Batu Kawan; Sdr Jordan Kee.

Klik imej di bawah untuk baca dengan jelas,


AMK bantah nama pengadu diletakkan dalam surat aduan

Kenyataan akhbar tersebut telah dibacakan oleh Exco Angkatan Muda Malaysia, Sdr. Zulkifli Ibrahim pada majlis yang sama.

Sila klik imej di bawah untuk tatapan lebih jelas,


AMK Nibong Tebal nyatakan sokongan

Ketika diminta mengulas berhubung isu tersebut, Naib Ketua Angkatan Muda Nibong Tebal, Sdr Munir Hj. Maktar menyatakan bahawa seluruh Jawatankuasa AMK Nibong Tebal menyokong tindakan yang diambil oleh Sdr. Amizudin.

"Bagi memulihkan kembali imej KeADILan khususnya di Pulau Pinang, Pimpinan haruslah menyiasat sedalam-dalamnya isu yang dibangkitkan. Jangan kita membiarkan masyarakat memandang serong terhadap parti kita."

"Sehingga ada sesetengah pihak melabelkan pemimpin KeADILan ini 'lebih UMNO dari UMNO'. Ini akan menunjukkan bahawa kita telah lari dari prinsip asal perjuangan sekiranya isu ini tidak dapat ditangani sebaik mungkin," tambahnya lagi.


Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...

ARKIB