BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya
Memaparkan catatan dengan label Islam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Islam. Papar semua catatan

Ahad, Ogos 08, 2010

Anwar: Agak malang, Chua 'jahil dan bongkak'

Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membidas presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek kerana melabelkan negara-negara Islam sebagai tidak progesif dan korup. Katanya, tuduhan itu mencerminkan kejahilan dan sifat bongkak pemimpin BN itu.

Anwar, yang juga ketua umum PKR berkata beliau tidak bercadang menghukum mereka yang menentang Islam, tetapi komen Chua dianggap keterlaluan dan begitu jahil berhubung situasi sebenar masyarakat Islam.

Merujuk kepada amaran Chua kepada masyarakat Cina di negara ini berhubung kerjasama dengan PAS, Anwar berkata Malaysia perlu diselamatkan bagi memastikan masyarakat Islam dan bukan Islam memahami dan menghormati agama dan budaya satu sama lain.
Tak dapat terima

“Saya tidak mahu menghukum sesiapa kerana menjadi anti(Islam) tetapi dia telah mempamerkan kejahilan dan begitu bongkak. Bagi saya, ini tidak dapat diterima,” katanya pada sidang media selepas berucap pada persidangan Integriti Antarabangsa di Pulau Pinang.

“Saya tidak tahu, tetapi berdasarkan pergaulannya dengan Umno itu langsung tidak memperlihatkan bahawa beliau memahami dan menghargai perasaan prihatin masyarakat Islam,” katanya.

Chua pada Konvensyen Tahunan ke-33 MCA Kedah di Alor Star, semalam telah memberi tanggapan negatif kononnya negara-negara Islam itu “tidak progresif, korup, miskin dan terkebelakang”

Sehubungan itu, beliau membidas kedua-dua Umno dan PAS kerana menggunakan agama bagi meraih sokongan di kalangan masyarakat Melayu.

Menurut Chua, apabila dua parti Melayu yang dominan itu bersaing, kesannya akan wujud dasar-dasar yang tidak progresif - menyebabkan negara terperangkap dalam kategori penduduk berpendapatan sederhana untuk lebih 10 tahun.

Beliau juga berkata Umno telah menjadi lebih konservatif untuk bersaing dengan PAS bagi mendapatkan sokongan Melayu.

Pelajari Confucius

Pada majlis itu, Anwar juga memuji inisiatif kerajaan Pulau Pinang yang merintis ruang bagi masyarakat Islam dan bukan Islam untuk menghargai sumbangan positif sesama mereka.

“Dalam hal yang sama, sebagai seorang insan, saya cuba mempelajari Confucius, cuba membaca atau membaca semula Ramayana dan Mahabharata. Bagi saya, ini penting kerana ia sebahagian daripda lanskap negara kita yang terdiri daripada penduduk pelbagai bangsa dan agama,” katanya.

“Pemimpin juga mesti bergerak ke hadapan. Saya berpendapat kekuatan Pakatan Rakyat adalah kerana kami mengamalkan politik baru yang menghargai dan mempelajari kelainan setiap kaum dan suku bangsa,” katanya lagi.

“Gejala takut kepada Islam atau Islamic phobia dan pendirian anti-Islam telah diluahkan oleh beberapa pihak seperti (Samuel) Huntington tetapi untuk melihat pemimpin politik Malaysia terikut-ikut dengan kejahilan itu, adalah sesuatu yang agak malang,” tambahanya. 
 

Khamis, April 15, 2010

Jamil Khir Dinasihatkan Segera Taubat Nasuha

Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Dr Badrulamin Bahron meminta Menteri di Jabatan Perdana melakukan taubat nasuha berhubung kenyataan beliau terhadap fatwa Syeikh Yusuf Al-Qardawi berkaitan tuduhan liwat ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Pertama memang ada larangan di dalam Al-Quran terhadap orang yang mengetahui tapi menyembunyikan apa yang dia tahu, dalam hal ini, Jamil Khir cuba berdalih kononnya ini cuma pendapat Yusof Qardawi dan bukannya fatwa.

"Saya nak tegaskan ini hukum Allah yang jelas dan tidak perlu fatwa, fatwa diperlukan bila hukum tidak jelas tetapi dalam hal ini hukum amat jelas. Persoalannya di sini apa hukumnya terhadap orang yang menolak hukum Allah ini, hukumnya adalah kafir.

"Sheikh Yusuf Qaradawi menjelaskan mengenai sesuatu yang lebih tinggi dari fatwa kerana dalam perkara liwat ini hukumnya amat jelas dan tidak boleh tipertikaikan oleh mana-mana pihak dan wajib menerimanya," jelas Dr Badrulamin pada majlis penerangan di Dewan Serbaguna Kampung Selisek, Hulu Bernam Isnin lalu.

Menurut beliau lagi, Syeikh Yusuf Al-Qardawi cuma membaca firman Allah di dalam Al-Quran dan beliau hanya membaca ayat yang  tidak diubah walau sedikit pun.

"Kalau hukum sudah jelas dan Jamil masih lagi mahu berdalih seolah-olah hukum tidak wujud dan saya ingin lihat apa niatnya, kalau niatnya untuk menafikan ayat Allah maka kafir tetapi kalau atas tujuan politik untuk menutup kemungkaran maka dia itu munafik dan fasik.

"Munafik itu orang yang mencipta fitnah dan orang yang menyebarkannya adalah fasik.

Dalam pada itu Dr Badrulamin juga menjelaskan bahawa orang yang fasik adalah orang  tidak akan diterima kesaksiannya di mahkamah atau sebagai wali di majlis perkahwinan buat selama-lamanya.

"Orang fasik jika menjadi saksi maka tidak sah nikahnya, apabila nikah tersebut tidak sah maka suami isteri itu juga tidak sah, jika suami isteri tidak sah maka anak yang dilahirkan juga tidak sah, ini soal hukum besar dan sebab itu Syeikh Yusuf Al-Qardawi minta Anwar sampaikan pada setiap orang,

"Soal rakyat terima tidak terima, itu hak masing-masing antara dia dengan Allah kerana tugas kita ialah menyampaikan dan setiap orang mesti dengar maka di Hulu Selangor ini  adalah peluang  bukan kerana semata-mata kempen menang tetapi kempen akidah untuk menyelamatkan daripada tergolong daripada golongan munafik dan fasik," tegas bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu.

Rabu, Januari 06, 2010

Pendirian KeADILan tentang isu kalimah 'ALLAH'

Merujuk kepada kenyataan kami pada 22 November 2009 mengenai perkara di atas, maka BIPPA PKR sekali lagi ingin menjelaskan pendirian kami mengenai hal ini.

Kami berpendirian bahawa, keinginan masyarakat bukan Islam menggunakan kalimah “Allah” sebagai Tuhan adalah suatu perkembangan yang positif dan perlu diterima secara terbuka dan tidak perlu pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan untuk menjadikan isu ini sebagai agenda politik untuk menampakkan bahawa merekalah jaguh dalam mempertahankan Islam di negara ini.

Sesungguhnya, kami melihat fenomena ini adalah manifestasi dari fitrah insani bahawa manusia memperakui penciptaan dunia oleh Allah SWT sebagaimana firmannya yang bermaksud:

“Dan jika kamu tanya mereka (orang kafir) siapakah yang mencipta langit dan bumi? Mereka akan berkata Allah…” (Al Quran, Az-Zumar (39):38).

Adalah jelas bahawa penggunaan kalimah Allah untuk mengiktiraf dan membesarkan Allah sebagai Tuhan, adalah hak asasi setiap insan. Ini adalah serasi dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 3 (1) yang menjamin kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan lain-lain agama boleh diamalkan dengan aman dan damai. Sesungguhnya, ini juga bersesuaian dengan muafakat Pakatan Rakyat yang diputuskan baru-baru ini.

Selanjutnya, kami berpandangan perjuangan untuk menegak makruf dan mencegah mungkar akan menjadi lebih mudah dan selesa berasaskan firman Allah:

“Katakan wahai Ahli Kitab, mari tegakkan kalimah yang sama antara kami dan kamu iaitu bahawa kita tidak akan menyembah selain Allah dan tidak mensyirikkan (associate) Allah dengan satu apapun serta janganlah ada antara kita yang mengambil tuhan-tuhan selain Allah. Dan jika mereka berpaling maka katakanlah bahawasanya kami adalah orang Islam (menyerah diri pada Allah)” (Surah Ali `Imran(3):64).

Sehubungan itu, demi menjaga keharmonian dan kesejahteraan negara semua pihak perlulah menyelesaikan konflik ini dengan menyuburkan budaya dialog antara agama secara matang dan bijaksana (hikmah) sebagaimana saranan Allah mengenainya (Al Nahl: 125 dan Al Ankabut:46).

Sekian. Terima kasih.

Dr. Muhd Nur Manuty
Pengerusi
Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA)
Parti KeADILan Rakyat.
05 Januari 2010

Jumaat, September 18, 2009

Jumaat di akhir Ramadhan hari pembebasan Palestin


Palestin…. Satu nama yang bukan sahaja mewakili sebuah negara dan bangsa, malah umat Islam seluruh dunia kerana terletak di bumi ini tanah haram yang ketiga selepas Mekah dan Madinah. Pembebasannya sudah bermula sejak zaman Khalifah Islam yang kedua, kemudian beralih ke tangan Sultan Salahuddin al-Ayyubi ketika Zaman Abbasiyyah. Dan kini -selepas tahun 1948- kita masih menanti, di tangan siapakah al-Quds akan dibebaskan.

Pembebasan bumi al-Quds menuntut kepada jihad menentang kezaliman Yahudi yang saban hari merancang untuk ‘mengeluarkan’ semua penduduk Palestin dari tanah kelahiran mereka sendiri melalui apa jua cara. Penubuhan pelbagai gerakan di Palestin sama ada beracuankan Islam atau sekular atau sosialis, semuanya mempunyai tujuan yang sama iaitu ingin membebaskan al-Quds dan tanah Palestin seluruhnya dari cengkaman Yahudi. Sepintas lalu mengenai pertubuhan-pertubuhan utama yang wujud di Palestin adalah seperti berikut:

1- Pertubuhan Pembebasan Palestin atau FATH ditubuhkan pada tahun 1965 yang dipimpin oleh Yasser Arafat. Sayap bersenjata utama bagi pertubuhan ini ialah Briged Syuhada al-Aqsa. Merupakan antara gerakan utama yang mempelopori perjuangan pembebasan secara bersenjata.

2- Barisan Popular Pembebasan Palestin (Jabhah Sya’abiyah) ditubuhkan pada tahun 1967. Berjaya menculik juruterbang Israel, meletupkan lapangan kapal terbang dan membunuh para pemimpin Israel pada tahun 70an.

3- Barisan Demokrasi Pembebasan Palestin (Jabhah Demokratiah) ditubuhkan pada tahun 1969. Berpecah daripada pertubuhan di atas kerana terdapat perselisihan. Matlamat mereka ialah membina Negara Palestin yang terdiri daripada orang Arab dan Yahudi.

4- Gerakan Jihad Islami ditubuhkan pada sekitar tahun 70an. Sayap bersenjata utamanya ialah Saraya al-Quds. Berjaya melakukan beberapa operasi istisyhadiah ketika Intifadhah al-Aqsa.

5- Gerakan Penentangan Islam (Harakah Muqawamah Islamiyah) atau HAMAS diasaskan pada tahun 1987 oleh Syeikh Ahmad Yassin. Sayap bersenjatanya ialah Briged al-Syahid Izzuddin al-Qassam. Berjaya menculik beberapa askar Israel dan yang terkini adalah Jal’at Syalit.

6- Komiti Penentangan Rakyat (Lijan Muqawamah Sya’abiyah) ditubuhkan pada tahun 2000. Sayap bersenjatanya ialah Kontinjen al-Nasir Salahuddin yang terlibat sama dengan pakatan penculikan Jal’at Syalit.

Dan terdapat banyak lagi gerakan-gerakan dan sayap bersenjata lain yang wujud di Palestin.

Image

Walaupun terdapat banyak pertubuhan, namun usaha pembebasan tersebut mula dirasakan jauh dengan termeterainya perjanjian Oslo pada tahun 1993 yang penuh kontroversi dan tidak disokong oleh semua gerakan di atas kecuali FATH, hatta sebahagian daripada mereka sendiri menentangnya. Hal ini kerana perjanjian perdamaian tersebut dilihat berat sebelah dan tidak memberikan keuntungan kepada rakyat Palestin, dan lanjutan daripada perjanjian itu juga, Israel bersetuju membenarkan pilihanraya diadakan bagi memilih presiden dan kerajaan Palestin khusus untuk Tebing Barat dan Semenanjung Ghaza sahaja.

Kerajaan Palestin pertama yang ditubuhkan ini pula dilihat semakin mengurangkan kemampuan untuk membebaskan bumi al-Quds dengan mudah kerana ia penuh dengan korupsi dan banyak bantuan yang disalurkan oleh negara luar tidak sampai ke tangan rakyat. Selain itu, Israel juga membenarkan penubuhan tentera khas untuk menjaga Presiden yang mana sebenarnya ia adalah untuk memenuhi matlamat Zionis sendiri, kerana tentera khas ini telah banyak menangkap para mujahid Islam yang dilihat membahayakan kepada Israel.

Pada tahun 2005, HAMAS mengambil keputusan untuk menyertai pilihanraya umum bagi menguasai kerajaan yang dirasakan semakin menyukarkan pembebasan Palestin. HAMAS yang sangat dekat dengan perjuangan rakyat dan sering membantu mereka, mendapat kemenangan yang tidak diduga iaitu 76 daripada 132 kerusi sehingga membolehkan mereka membentuk kerajaan. Pada waku ini, harapan baru untuk membebaskan Palestin dengan mudah mula dirasai. Kerajaan baru ini tidak sekali-kali mahu memberi pengiktirafan kepada Israel atas kewujudannya di bumi Palestin seperti mana kerajaan yang lepas, dan sentiasa melaung-laungkan pelbagai tuntutan dan janji kepada Israel seperti hak pelarian Palestin untuk kembali ke tanah kelahiran mereka ini. Namun ia tidak semudah yang disangka, kerajaan yang mendapat undian terbanyak dalam pilihanraya yang bersih ini telah dipulau oleh dunia hatta dunia Arab sendiri. Gerakan FATH pula dilihat seolah-olah tidak dapat menerima kekalahan mereka, sehinggakan Presiden Mahmud Abbas (ketua teratas FATH selepas Yasser Arafat) sendiri tidak mahu berurusan dengan menteri kabinetnya, malah melantik wakil lain untuk melakukan beberapa kerja kementerian seperti Kementerian Luar Negara.

Walaupun dipulau, sokongan rakyat terhadap kerajaan HAMAS semakin kuat. Ini dapat dilihat daripada penentangan FATH (baca = aliran Dahlan) yang mula dibuat secara terbuka untuk mengguling kerajaan HAMAS terutamanya di Semenanjung Ghaza. Pelbagai bentuk ancaman telah dilakukan, seperti membakar Universiti Islam di Ghaza yang telah diasaskan oleh Syeikh Ahmad Yassin, melakukan pelbagai percubaan untuk membunuh para pemimpin HAMAS, menggagalkan rancangan pertukaran tawanan ribuan rakyat Palestin dengan Jal’at Syalit, malah menawarkan kepada Israel tawaran percuma untuk memulangkannya, dan banyak lagi.

HAMAS masih tetap bersabar dan berusaha untuk membuat kerajaan campuran dengan parti-parti politik lain, dan ia berjaya dilahirkan dengan nama Kerajaan Perpaduan Negara pada Mac 2007 di Mekah. Hasil daripada persepakatan ini, suasana di Palestin kembali aman dan tiada lagi serangan daripada FATH. Dunia Arab serta Eropah mula menjanjikan pelbagai bantuan kepada kerajaan baru ini secara terbuka. Namun, Amerika tidak senang duduk dengan nama HAMAS yang semakin baik di mata dunia, lantas bertindak memberikan bantuan persenjataan kepada Dahlan (Penasihat Tentera Khas Presiden) yang bertujuan untuk melenyapkan nama HAMAS daripada dunia politik. Maka pada kali ini, FATH dilihat semakin ganas menyerang sehingga terkeluar daripada landasan seorang Muslim seperti mengoyak al-Quran dan menghina Tuhan. Hal ini menyebabkan Doktor Marwan Abu Ras, Ketua Ikatan Ulama Palestin, mengeluarkan fatwa menghalalkan darah salah seorang daripada mereka (Sameh Madhun) yang telah membuat pengakuan secara terbuka bahawa dialah yang telah membunuh, membakar rumah, dan sebagainya.

Lantas, pada 14 Jun 2007, Briged al-Qassam bangkit dengan sokongan rakyat untuk mengembalikan keamanan di Ghaza dan mereka berjaya menawan semua pusat gerakan ketenteraan Presiden dan pusat perisikan Palestin dan menawan para pengkhianat. Namun, kejayaan yang paling besar adalah pembongkaran suatu pakatan sulit antara Israel dan segelintir orang upahan dalam FATH yang diketuai oleh Dahlan untuk menghapuskan para pejuang Islam di Palestin. Di samping itu, terdapat juga bukti bahawa Abbas mengarahkan tenteranya membunuh sesiapa sahaja yang membawa roket untuk menyerang Israel, dan ribuan lagi bukti-bukti bertulis dan rekod suara yang menunjukkan kecurangan golongan ini terhadap perjuangan untuk membebaskan bumi Palestin.

Ghaza kembali aman dan umat Islam berasa gembira kerana dalang kepada pengkhianatan perjuangan Palestin selama ini telah dapat diketahui dengan bukti yang kukuh. Namun, kegembiraan ini tidak lama apabila Presiden Palestin terus melancarkan serangan untuk menyekat kemaraan HAMAS dalam perjuangan Islam dengan mengumumkan pemecatan Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan Negara, Ismail Haniyah, dan lebih dayus lagi apabila beliau menuduh HAMAS pula sebagai perampas kuasa, walaupun seluruh dunia telah mengetahui hakikatnya. Lebih jauh daripada itu, Presiden mengumumkan perlantikan Kerajaan Darurat tanpa restu daripada Majlis Perundangan yang dikuasai oleh HAMAS. Tentera Khas Presiden pula terus menculik dan membunuh semua penduduk Tebing Barat yang menyokong HAMAS, dan lebih dahsyat lagi apabila Abbas mengarahkan agar semua sayap bersenjata bagi gerakan-gerakan pembebasan dibubarkan, termasuklah briged di bawah gerakan FATH sendiri !

Begitulah senario terakhir yang berlaku di Palestin ketika ini. Perjalanan ke arah pembebasannya bukan sahaja telah dilambatkan oleh para penjajah, malah oleh sebahagian umat Islam sendiri yang sanggup menjual maruah, bangsa dan agama untuk mendapatkan seteguk kemewahan dunia. Hal ini mengingatkan kita kepada sejarah Salahuddin al-Ayyubi yang terpaksa menghadapi beberapa serangan daripada umat Islam yang menjadi batu penghalang ke arah pembebasan al-Quds selama beberapa tahun lamanya. Proses ke arah itu juga dilambatkan lagi dengan sikap kita sendiri yang tidak membantu kemenangan tersebut seperti tidak memboikot produk Yahudi dan Amerika yang secara langsung tanpa kita sedari telah membantu menghancurkan al-Quds dan Palestin juga !

= Artikel ini telah ditulis ketika HAMAS baru sahaja berjaya mengembalikan keamanan di Ghaza.

Sumber : Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir

Baca rencana berkaitan di sini..


Ahad, September 06, 2009

Mencari LailatulQadar

PESAN JUNJUNGAN BESAR NABI MUHAMMAD (S.A.W) ADALAH MALAM QADAR BERLAKU PADA SATU MALAM DARIPADA 10 MALAM TERAKHIR (HARI GANJIL) BULAN RAMADHAN.

PETUA OLEH IMAM GHAZALI DAN LAIN-LAIN ULAMA’ UNTUK CARI MENCARI LAILATUL QADAR

JIKA AWAL RAMADHAN JATUH PADA HARI:

I) AHAD ATAU RABU – MALAM QADAR DIJANGKA BERLAKU PADA MALAM 29 RAMADHAN;

II) ISNIN - MALAM QADAR DIJANGKA BERLAKU PADA MALAM 21 RAMADHAN;

III) SELASA ATAU JUMAAT - MALAM QADAR DIJANGKA BERLAKU PADA MALAM 27 RAMADHAN;

IV) KHAMIS- MALAM QADAR DIJANGKA BERLAKU PADA MALAM 25 RAMADHAN;

V) SABTU- MALAM QADAR DIJANGKA BERLAKU PADA MALAM 23 RAMADHAN

Kata Sheikh Abu Hassan bahawa mula dia baligh, dia sentiasa dapat menghidupkan Lailatul Qadar pada malam yang tepat mengikut petua di atas.

Berdasar petua di atas, insyaAllah malam qadar akan jatuh pada malam ke 23 Ramadhan bersamaan dengan malam selepas siang 12 September 2009.

Walau bagaimanapun, janganlah ibadat pada malam ini sahaja, carilah malam qadar pada malam-malam ganjil yang lain juga!!!!

Tanda malam Qadar ialah :

1) malam itu tenang, tidak dingin dan tidak panas;
2) siangnya cahaya matahari warnanya pucat;
3) pada malam itu malaikat Jibril akan menyalami orang yang beribadat pada malam itu dan tandanya ialah kita tiba-tiba rasa sangat sayu dan kemudiannya menangis teresak-esak secara tiba-tiba.

MARILAH KITA BERAMAI-RAMAI MEMERIAHKAN SUASANA 10 MALAM TERAKHIR RAMADHAN DENGAN BERIBADAH KEPADA ALLAH SWT DENGAN IKHLAS DAN PENUH KEIMANAN, MUDAH-MUDAHAN KITA DAPAT KURNIAAN ALLAH YANG KELEBIHANNYA PAHALANYA MELEBIHI - 1000 BULAN ATAU 83 TAHUN UMUR KITA.

Sabtu, September 05, 2009

Kerajaan Negeri perkenal anugerah hafal Al Quran

Pulau Pinang - Kerajaan negeri Pulau Pinang akan memberi penganugerahan kepada penghafal Al Quran seluruh Pulau Pinang.


Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Abdul Malik Abul Kassim.


Menurut Abdul Malik satu anugerah khas sebagai tanda menghargai sumbangan penghafaz Al Quran dan pengiktirafan yang diberikan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat akan diwujudkan dalam tempoh terdekat tahun ini juga.


"Pengiktirafan ini adalah sebagai tanda kerajaan negeri komited dan mengiktiraf para penghafaz Al Quran dalam memacu perkembangan syiar Islam di negeri ini.


"Tidak setakat ini sahaja penganugerahan yang kita berikan, malah anugerah kepada Hafiz Termuda akan diberikan kepada penghafaz Al Quran termuda dalam Pulau Pinang.


"Ini termasuk juga satu penganugerahan kepada guru mereka yang akan dianugerahkan dengan Anugerah Guru Al-Hafiz sebagai menghargai jasa dan sumbangan yang telah diberikan oleh guru-guru ini bagi melahirkan ramai hufaz di Pulau Pinang," kata Malik.


Abdul Malik juga berkata selain daripada anugerah tersebut ijtimak hufaz akan turut diadakan bagi memberi pendedahan kepada masyarakat dan rakyat negeri ini mengenai keperluan melahirkan seorang hafiz dalam sebuah keluarga.


"Usaha kita ini akan menjadikan Pulau Pinang yang diterajui oleh Pakatan Rakyat sebagai salah satu tindakan yang membesarkan penghafaz Al Quran.


"Masyarakat dapat membuat perbezaan semasa pentadbiran kerajaan negeri yang sedia ada dengan mereka yang pernah memimpin sebelum ini terhadap pengiktirafan terhadap para hufaz di Pulau Pinang," katanya.


Khamis, Ogos 27, 2009

Sebat Kartika dekati syariah: PKR

Oleh : Dr Muhammad Nur Manuty

Polemik yang melanda negara mengenai isu hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi Shukarno yang sedang hebat diperkatakan sekarang ini menampakkan dengan jelas kekeliruan banyak pihak – orang Islam dan bukan Islam - mengenai prinsip keadilan Islam dalam melaksanakan syariah.

Isu ini hendaklah dilihat dalam satu perspektif yang tepat dan holistik. PKR berpandangan bahawa ia bukan berpunca dari keraguan kepada keadilan syariah Islam, tetapi ia lebih disebabkan oleh lunturnya kepercayaan ke atas integriti sistem pentadbiran dan pelaksanaan syariah itu sendiri.

Sebagaimana integriti sistem kehakiman negara yang terhakis lantaran pelbagai gejala skandal, maka perkara yang hampir sama jugalah terjadi kepada pelaksanaan hukum syariah kita.

Jelasnya, ia telah dicemari oleh pengaruh sistem politik negara masakini yang dibarahi dengan pelbagai penyelewengan dan gejala rasuah.

Maka akibatnya, kita melihat pelbagai ketempangan dan ketidakadilan berlaku dalam pelaksanaan hukum Islam di negara ini.

Banyak kes yang melibatkan golongan atasan dan berpengaruh tidak diadili dengan seadilnya dan akhirnya mereka dibebaskan daripada sebarang tindakan undang-undang syariah.

Memadailah kami memberikan dua contoh berikut:

Mufti Selangor yang dipecat lantaran mempertahankan tindakan undang-undang syariah yang dilaksanakan di negeri tersebut.
Kegagalan pihak berkuasa agama Wilayah Persekutuan bertindak segera menyiasat aduan fitnah liwat yang dilemparkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Amat ketara, agensi pelaksana hukum syariah tidak mampu melaksanakan keadilan kerana tekanan dari parti yang memerintah. Akibatknya, mereka dilihat gagal menangani pelbagai isu secara tuntas, menyeluruh dan seadilnya tanpa mengira status dan gender.

Hasilnya, kredibiliti agensi-agensi ini akan sentiasa dipandang rendah dan tidak meyakinkan rakyat.

Fenomena yang sama sedang dialami dalam kes jenayah arak. Ia hanya melibatkan hukuman terhadap orang awam yang lemah, rakyat yang miskin dan kaum wanita.

Pihak berkuasa dilihat gagal untuk bertindak dan menghukum para usahawan, tokoh politik dan pemimpin yang berada di belakang industri arak ini.

Dalam kes Kartika Dewi, PKR berpandangan bahawa dalam keadaan para ulama sendiri berbeza pendapat tentang jenis hukuman dan bilangan sebatan, hukuman yang dijatuhkan (terhadap wanita ini "mendekati" hukuman Islam.

Namun begitu, sikap Kartika yang mengakui dan menyesali kesalahannya, serta tidak membantah hukuman yang dikenakan amatlah dipuji.

Ia menampakkan, sebahagian daripada matlamat pelaksanaan hukuman syariah telah tercapai maksudnya.

Kita juga berpandangan bahawa Kartika berhak mengemukakan rayuan untuk diringankan hukuman ke atas dirinya dan pihak bertanggungjawab wajib mempertimbangkan rayuannya itu.

Sehubungan hal di atas, semua pihak perlu mengambil iktibar daripada sepotong ayat al-Qur'an yang bermaksud:

"Lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya sebagai pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai siksaan daripada Allah. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Maka barangsiapa yang bertaubat sesudah melaksanakan kejahatan itu dan memperbaiki diri, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Al Ma'idah: 38-39)

Sebagai jalan keluar, dalam usaha ke arah mengakhiri permasalahan di atas untuk jangka pendek PKR ingin mencadangkan langkah-langkah berikut:

- Kartika Dewi perlu diberi peluang untuk membuat rayuan untuk diringankan hukuman ke atas dirinya.
- Semua pihak berkuasa termasuk pemimpin-pemimpin politik hendaklah memberi kebebasan kepada autoriti perlaksanaan syariah bagi melaksanakan tugas mereka secara professional.
- Mengiktiraf hakikat kuasa mentadbir hukum syariah adalah milik seutuhnya umat Islam.

Untuk jangka panjang, agensi pelaksana hukum syariah hendaklah diperkasakan melalui:

- Program-program tarbiyyah mendidik masyarakat Islam supaya mengelakkan diri dan meminum arak hendaklah dilancarkan secara besar-besaran oleh semua pihak –agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan-pertubuhan NGO.
- Latihan-latihan yang lebih professional dalam pelbagai bentuk berkaitan.
- Usaha-usaha penyelarasan dan penyeragaman hukuman syariah segera dilakukan diseluruh negara.
- Rakyat perlu mempastikan wujudnya barisan kepimpinan negara yang berilmu pengetahuan dalam hal-hal keagamaan dan berintegriti.
- Selagi sistem politik negara gagal dirobah dan direformasikan, maka selagi itulah perjalanan mahkamah syariah kita tidak akan dapat berjalan dengan seadilnya. Kegagalan melaksanakan Islam secara adil akan menjadikan Islam terus dipandang lemah oleh orang bukan Islam dan di mata masyarakat antarabangsa.


Artikel ini kenyataan Dr Muhammad Nur Manuty, bekas presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), kini pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR


Jumaat, Ogos 07, 2009

Jeff Ooi tarik balik kenyataan 'JIM Ekstremis'

Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi akan menarik balik kenyataanya yang mendakwa Jemaah Islah Malaysia (JIM) sebuah pertubuhan ekstremis, atas nasihat Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Katanya, beliau telah dinasihatkan oleh Lim bahawa JIM bukan sebuah pertubuhan ekstremis dan oleh itu "adalah wajar untuk saya menarik balik kenyataan saya yang disiarkan dalam akhbar The Star pada 2 Ogos lalu".

"Oleh itu, saya akan mematuhi sepenuhnya arahan tersebut," kata Jeff dalam satu kenyataan lewat petang ini.

Jeff sebelum dilaporkan mendesak Mohd Razali Abdullah - ahli jawatankuasa Pusat Khidmad Krisis Sehenti (OSC) di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MPPP) - diberhentikan daripada menganggotai jawatankuasa tersebut.

Jeff mendakwa Mohd Razali seorang 'ekstremis agama' kerana beliau merupakan ahli JIM, dan JIM pula meletakkan visinya untuk membangun sebuah negara yang melaksanakan syariat Islam sepenuhnya menjelang tahun 2020.

Khamis, Ogos 06, 2009

KENYATAAN AKHBAR EXCO AGAMA BERHUBUNG KENYATAAN JEFF OOI

YB Jeff Ooi Perlu Tarik Balik Kenyataan Menyentuh Sensitiviti Islam

Selaku EXCO Hal Ehwal Agama Pulau Pinang saya begitu kesal dengan kenyataan YB Jeff Ooi, Ahli Parlimen Jelutong berhubung kenyataan beliau tentang Muslim Extremis yang dilabelkan kepada Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam seperti Jemaah Islah Malaysia (JIM).

Meskipun Kerajaan Negeri mengamalkan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT), namun kenyataan berbaur prasangka tanpa berpijak di bumi nyata perlu dielakkan lebih-lebih lagi kenyataan daripada wakil rakyat dari kerajaan Pakatan Rakyat.

Saya secara tegas menolak kenyataan YB Jeff Ooi yang disiar dalam akhbar The Sunday Star, bertarikh 2 Ogos 2009, yang saya anggap bersifat peribadi tetapi boleh disalah erti pelbagai pihak. Saya yakin umat Islam khususnya di Pulau Pinang tidak dapat menerima kenyataan sebegini lebih-lebih lagi ia menyentuh sensitiviti Agama Islam sebagai agama rasmi yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Untuk makluman, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa menjalin hubungan baik dengan semua pihak, termasuk NGO-NGO Islam untuk memacu Pulau Pinang ke arah lebih baik.

Buktinya peruntukan sebanyak RM1.5 juta yang disalurkan kepada 17 Sekolah Agama Rakyat (SAR) oleh Kerajaan Negeri baru-baru ini, turut membabitkan 2 buah SAR yang dikendalikan oleh NGO Islam iaitu JIM dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Ia melibatkan peruntukan sebanyak RM305,000.00.

YB Jeff Ooi perlu lebih berhati-hati selepas ini. Beliau perlu menggunakan saluran dalaman bagi menyuarakan pandangannya kepada Kerajaan Negeri. Jangan sampai kerana pulut santan binasa, kerana mulut imej Kerajaan Negeri binasa.

Jesteru itu, saya menggesa YB Jeff Ooi menarik balik kenyataannya yang telah menyinggung perasaan umat Islam bukan sahaja di negeri ini, bahkan seluruh negara.

YB HJ. ABDUL MALIK KASSIM
EXCO HAL EHWAL AGAMA ISLAM
NEGERI PULAU PINANG

Rabu, Julai 22, 2009

Antara MJ dan Syahidah Marwa ash-Sharbini

Antara Michael Jackson & Syahidah Marwa ash-Sharbini

Sedih & Pilu.. Itulah yang saya rasakan ketika melihat tayangan pengkebumian the King of Pop, Michael Jackson atau lebih dikenali dengan panggilan Jacko yang begitu gegap gempita di seluruh television kita sepanjang hari. Beberapa stesyen tv menayangkan tayangan eksklusif secara langsung dari AS acara penghormatan terakhir bagi si Raja Muzik Pop sampai ke pagi! Dan entah berapa juta mata masyarakat Malaysia yang sanggup menahan ngantuk demi menyaksikan acara itu.

Saya sedih, bukan kerana kematian MJ yang dipuja jutaan orang di dunia. Tetapi saya sedih, kerana pada saat yang sama, berlangsung pengkebumian seorang muslimah yang InsyaAllah menjadi seorang syahidah kerana mempertahankan jilbabnya demi agamanya.

Marwa Ash-Sharbini, seorang ibu beranak satu yang sedang mengandung tiga bulan, syahid akibat ditikam sebanyak 18 kali oleh seorang pemuda Jerman berketurunan Rusia yang cukup anti-Islam dan anti-Muslim. Tetapi berita ini, sama sekali tidak kelihatan mahupun terpampang di kaca-kaca tv kita, negara yang majaroti penduduknya Muslim malah digelar sebagai Negara Islam al-Hadhari, bahkan mungkin, tidak ramai dari kita yang tahu akan peristiwa yang menimpa Marwa Ash-Sharbini.


Ahad, Jun 21, 2009

Kuliah Bulanan

Kuliah Maghrib oleh YB Ustaz Maktar bin Hj. Shapee

Tempat : Masjid Daerah (JAWI) Seberang Perai Selatan
Tarikh : 21 Jun 2009 bersamaan 27 Jamadil Akhir 1430

Muslimin dan Muslimat dijemput hadir.


Lihat Jadual Kuliah sekitar DUN Sg. Bakap, di sini..


Isnin, Jun 15, 2009

Kerajaan Negeri tubuh Majlis Syura

Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Exco Hal Ehwal Agama, YB Tuan Hj. Abdul Malik Kassim telah memaklumkan untuk menubuhkan Majlis Syura dan berfungsi sebagai penasihat kepada Kerajaan Negeri berhubung hal-hal berkaitan Agama Islam.

Majlis Syura amat penting di dalam sesebuah institusi dan organisasi yang berupaya bertindak sebagai check and balance agar selari dengan tuntutan Agama.

Dengan tertubuhnya Majlis Syura ini, dapatlah direalisasikan hasrat Kerajaan Negeri yang ingin mengamalkan corak pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz.

Sabtu, Jun 13, 2009

Forum Perdana

FORUM PERDANA SEMPENA SAMBUTAN HARI IBU
'Peranan Ibu Dalam Membentuk Keluarga Sakinah'

Tarikh : 13 Jun 2009 (Sabtu)
Masa : 9.00 malam
Tempat : Perkarangan Sekolah Agama Al-Insaniah, Simpang Ampat

Ahli Panel :
1. Ustaz Taib Azamuddin bin Mohd Taib
2. Dr. Badrul Amin bin Bahron
3. Ustazah Mardziah bt Zakaria
Pengerusi Forum :
Ustaz Mohd Zaki bin Hj Abd. Halim

Muslimin dan muslimat dijemput hadir

Rabu, April 29, 2009

Bahaya Demokrasi Tanpa Prinsip Wahyu

Oleh : Dr. Asri Zainal Abidin


Demokrasi itu hampir menjadi agama kepada sesetengah pihak. Bahkan ada pihak yang meletakkan demokrasi lebih tinggi daripada prinsip-prinsip yang ada dalam agamanya. Sehingga jika kita menyebut bahawa tindakannya itu bercanggah dengan prinsip agama, dia akan menyatakan “saya kena patuh kepada kehendak demokrasi”.

Walaupun sebenarnya demokrasi dalam banyak keadaan mempunyai tafsiran yang berbagai, tetapi jika semuanya itu dirumuskan ia merujuk kepada kepatuhan pemerintah kepada kuasa atau suara majoriti rakyat. Di samping demokrasi juga menyebut tentang menghormati hak-hak minoriti.


'Kerajaan rakyat, untuk rakyat dan kepada rakyat’, demikian antara slogan-slogan demokrasi yang dianggap indah. Tanpa sebarang syak demokrasi adalah sistem pemerintahan yang terbaik dibandingkan pemerintah autokrasi yang menjadikan kuasa berada di tangan seorang individu tanpa memperdulikan perasaan dan kehendak rakyat.


Di negara-negara yang dicengkami oleh pemerintahan ‘kuku besi’, demokrasi menjadi igauan rakyatnya. Mereka memuja demokrasi sebagaimana seseorang memuja agama. Bahkan mereka sanggup dipenjara atau mati kerananya. Walaupun dalam ajaran demokrasi tiada bab syurga atau neraka selepas kematian, tetapi kehendak insani terhadap kebebasan rakyat dan keadilan yang kelihatan selaras dengan slogan yang dikibarkan oleh bendera demokrasi membawa manusia sanggup berkorban kerananya.


Betapa ramai para pejuang demokrasi yang terkorban tanpa sempat melihat ‘suara majoriti’ menguasai negaranya. Betapa ramai yang mati dalam tahanan tanpa sempat melihat ‘kerajaan rakyat’ yang diidamkannya. Namun, tanpa berbekalkan nas-nas tentang ‘jihad dan syahid’, mereka sanggup dan rela. Sebabnya, keadilan itu selaras dengan naluri insani yang dibekalkan oleh Tuhan dalam fitrah insan. Demokrasi kelihatan menempatkan fitrah ini dalam sistemnya.


Namun dalam Dunia Islam sepatutnya tidak perlu mengagungkan demokrasi. Umat Islam telah dibekalkan oleh Islam dengan sistem syura yang adil dan berteraskan prinsip yang diredhai Allah. Malangnya para pemerintah Dunia Islam meminggirkanSistem Syura’ sehingga umat Islam jahil mengenainya, dalam masa yang sama slogan demokrasi yang dilaungkan Barat berkumandang di dunia. Melaluinya, Barat cuba menyebarkan pengaruh politik. Maka slogan demokrasi pun bergema di Dunia Islam sebagai satu impian rakyat.


Apatah lagi para pemerintah Dunia Islam ramai yang zalim dan kejam, maka bertambah suburlah kerinduan rakyat di Dunia Islam kepada kebebasan bersuara, hak dan keadilan, lalu dipinjam slogan yang Barat gunakan iaitu demokrasi. Lebih daripada itu, Barat berjaya membuktikan secara realitinya bagaimana kekebasan bersuara dan penghormatan kepada suara ramai dihayati dalam negara mereka.


Maka Barat seakan menjadi ‘Kiblat Politik’ dalam mengecapi hak dan kebebasan. Akhirnya Barat itu dianggap teladan dalam segala perkara yang negatif dan positif; sehingga kepada soalan yang berkaitan agama dan budaya. Ini semua berlaku dek kedurjanaan para pemerintah umat Islam itu sendiri yang merampas kebebasan rakyat sehingga mereka hilang panduan.


Ada yang menyebut bahawa ‘syura dan demokrasi’ namanya sahaja yang berbeza, tetapi maksudnya sama. Saya tidak mahu berbalah tentang istilah, kerana setiap orang berhak mempunyai kefahamannya yang tersendiri terhadap istilah yang dia pakai. Apa yang penting apakah prinsip yang dipegang, bukan jenama yang dipakai.


Prinsip-prinsip syura tulen berteraskan nas-nas wahyu, sementara prinsip-prinsip demokrasi berdasarkan pemikiran manusia. Walaupun mungkin banyak perkara secara umumnya demokrasi tidak bercanggah dengan Islam kerana asas pemerintahan dalam Islam itu sendiri adalah keadilan untuk rakyat berpandukan syariat Islami. Namun ada perbezaan antara demokrasi dan prinsip syura dalam Islam.


Dalam sistem syura Islam; suara ramai dihormati, demikian hak individu rakyat juga dipelihara. Dalam masa yang sama Islam mempunyai prinsip-prinsip yang perlu dipatuhi iaitu syariat Islam yang diturunkan Allah untuk kebaikan manusia. Jika suara ramai itu bercanggah dengan syariat Allah, sistem syura akan berpegang kepada syariat dan tidak akan menghalalkan yang haram atas nama ‘suara ramai’. Misalnya, jika kehendak rakyat ‘menghalalkan arak atau judi, atau zina, atau homoseksual maka kerajaan yang berteraskan demokrasi perlu menghormatinya.


Sementara dalam sistem syura, pemerintah berpegang kepada wahyu; maka kehendak ramai yang bercanggah dengan wahyu tidak dapat diterima. Bahkan menjadi tanggungjawab pemerintah mendidik rakyat dengan ajaran Allah agar mereka terbimbing dan dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk. Suara ramai memang dihormati tetapi ia bukan semestinya sentiasa betul. Jika suara ramai ingin menghalal yang salah, kita tidak bersetuju dengannya.


Firman Allah: (maksudnya) :


Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah Yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah Yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk.(surah al-An’am:116-117)


Di peti undi pilihanraya, undi seorang ilmuwan besar yang sarat dengan analisa dan kajian tiada beza nilainya dengan undi seorang yang tiada pelajaran dan mengundi secara suka-suka tanpa fikir. Jika masyarakat dipenuhi oleh majoriti mereka yang mahu perkara-perkara negatif, demokrasi terpaksa menerima sedangkan sistem syura tidak. Bahkan tanggungjawab pemerintah ketika itu melaksanakan apa yang Allah sebut: (maksudnya):


“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kemunkaran. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Surah al-Hajj: 41).


Pemerintahan berjiwa ‘syura islami’ akan menerapkan hubungan perasaan dengan Allah yang memberikan amanah kuasa pemerintahan kepadanya untuk memerintah dengan adil. Pegangan pemerintah adalah Islam dan keadilannya untuk rakyat. Bukan pemerintah berpegang kepada rakyat dan cuba memberi keputusan kepada agama. Politik demokrasi jika tidak dikawal akan menempatkan suara ramai menggantikan wahyu.


Siang malam yang diimpikan oleh pemerintah adalah undi rakyat bagi memungkin mereka terus berkuasa kerana kuasa dilihat sebagai amanah rakyat semata, bukan amanah Allah. Demikian pihak pembangkang yang partinya beriman penuh kepada prinsip demokrasi akan melakukan apa sahaja demi mendapat sokongan rakyat. Akhirnya lahirlah politik wang, jatuh-menjatuh demi mendapatkan undi, menggadaikan prinsip perjuangan kerana undi dan berbagai lagi. Sehingga yang berslogan Islam pun, menukar pegangan demi pengundi atau berdiam diri terhadap kemunkaran pengundinya.


Di Malaysia, kita akan melihat satu demi satu prinsip-prinsip Islam terpinggir dalam kegilaan mendapatkan sokongan rakyat atau memenangi peti. Pihak yang memakai jenama ‘Islam’ juga akan mendiamkan diri, jika dilihat membela prinsip-prinsip itu merugikan undi mereka. Itulah buruknya demokrasi yang berteraskan suara rakyat, tanpa berpaksikan wahyu.


Saya tidak bertujuan mencadangkan agar ditukarkan nama demokrasi kepada syura. Apa yang ingin saya sebut, sebagai seorang muslim apa pun sistem yang diguna namanya, atau terpaksa kita berinteraksi dengannya, kita hendaklah sentiasa berpaksikan wahyu. Perlu ada acuan prinsip kita yang tersendiri. Jika pun tidak mampu menukar, nama demokrasi itu mungkin boleh dipakai, tetapi prinsip seorang muslim hendaklah sistem syura yang berasaskan tanggungjawab pemerintah di hadapan Allah.


Jika tidak, demokrasi akan mengorbankan prinsip Islam dan menjadikan pemerintah dan pembangkang hilang idealisma tenggelam dalam kehendak ramai yang pada hari dipengaruhi berbagai-bagai kehendak globalisasi. Hingga pemerintah dan pembangkang itu akhirnya mengikut kehendak rakyat bukan mendidik dan membimbing rakyat. Maka rosaklah negara.




Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...