BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya

Khamis, Ogos 06, 2009

KENYATAAN AKHBAR EXCO AGAMA BERHUBUNG KENYATAAN JEFF OOI

YB Jeff Ooi Perlu Tarik Balik Kenyataan Menyentuh Sensitiviti Islam

Selaku EXCO Hal Ehwal Agama Pulau Pinang saya begitu kesal dengan kenyataan YB Jeff Ooi, Ahli Parlimen Jelutong berhubung kenyataan beliau tentang Muslim Extremis yang dilabelkan kepada Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam seperti Jemaah Islah Malaysia (JIM).

Meskipun Kerajaan Negeri mengamalkan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT), namun kenyataan berbaur prasangka tanpa berpijak di bumi nyata perlu dielakkan lebih-lebih lagi kenyataan daripada wakil rakyat dari kerajaan Pakatan Rakyat.

Saya secara tegas menolak kenyataan YB Jeff Ooi yang disiar dalam akhbar The Sunday Star, bertarikh 2 Ogos 2009, yang saya anggap bersifat peribadi tetapi boleh disalah erti pelbagai pihak. Saya yakin umat Islam khususnya di Pulau Pinang tidak dapat menerima kenyataan sebegini lebih-lebih lagi ia menyentuh sensitiviti Agama Islam sebagai agama rasmi yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Untuk makluman, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa menjalin hubungan baik dengan semua pihak, termasuk NGO-NGO Islam untuk memacu Pulau Pinang ke arah lebih baik.

Buktinya peruntukan sebanyak RM1.5 juta yang disalurkan kepada 17 Sekolah Agama Rakyat (SAR) oleh Kerajaan Negeri baru-baru ini, turut membabitkan 2 buah SAR yang dikendalikan oleh NGO Islam iaitu JIM dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Ia melibatkan peruntukan sebanyak RM305,000.00.

YB Jeff Ooi perlu lebih berhati-hati selepas ini. Beliau perlu menggunakan saluran dalaman bagi menyuarakan pandangannya kepada Kerajaan Negeri. Jangan sampai kerana pulut santan binasa, kerana mulut imej Kerajaan Negeri binasa.

Jesteru itu, saya menggesa YB Jeff Ooi menarik balik kenyataannya yang telah menyinggung perasaan umat Islam bukan sahaja di negeri ini, bahkan seluruh negara.

YB HJ. ABDUL MALIK KASSIM
EXCO HAL EHWAL AGAMA ISLAM
NEGERI PULAU PINANG

Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...

ARKIB