BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya

Rabu, Ogos 12, 2009

Soalan-soalan di Persidangan Dewan Undangan Negeri

Penjimatan Kos Perbelanjaan

Soalan Bertulis Allahyarham YB. DATO’ MOHD HAMDAN BIN ABD. RAHMAN (Permatang Pasir) : Tolong gariskan beberapa penjimatan terhadap kos perbelanjaan yang cuba dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat berbanding Kerajaan BN yang dahulu dalam satu tahun pemerintahannya.

Jawapan : Kerajaan negeri telah mengeluarkan Surat Pekeliling Kewangan Negeri Bil. 11 Tahun 2008: Langkah-langkah Bagi Memperketatkan Kawalan Perbelanjaan Kerajaan Negeri bertarikh 30 Jun 2008 yang menfokuskan kepada tindakan bagi mengurangkan perbelanjaan sektor awam. Antara langkah- langkah penjimatan ialah:

(i) Ketua jabatan dan pegawai adalah digalakkan mengguna perjalanan tambang murah selain daripada MAS seperti Firefly dan Air Asia bagi penerbangan domestik. Bagi pegawai-pegawai yang layak menaiki penerbangan kelas satu (1), mereka digalakkan menaiki kelas ekonomi. Semua anggota pentadbiran negeri termasuk Y.A.B. Ketua Menteri, menaiki kelas ekonomi bagi penerbangan domestik dan ke luar negara.

(ii) Kursus/seminar/bengkel yang dianjurkan oleh jabatan-jabatan mengguna bangunan dan kemudahan sedia ada milik kerajaan. Kemudahan di hotel dibenarkan sekiranya melibatkan tetamu-tetamu negeri dan dengan kelulusan khas;

(iii) Perbelanjaan bagi menyediakan makanan dan minuman untuk majlis-majlis rasmi hendaklah secara sederhana dengan kadar kelayakan yang dibenarkan;

(iv) Pegawai dan anggota jabatan digalak menggunakan kenderaan rasmi jabatan dan tidak kenderaan persendirian untuk menjalankan tugas rasmi;

(v) Penggunaan utiliti seperti bekalan elektrik (lampu pejabat, hawa dingin) ditutup pada waktu rehat bagi menjimatkan kos;

(vi) Kerja ubahsuai pejabat dan perpindahan ke pejabat baru ditangguhkan kecuali mendapat kelulusan khas atas keperluan mendesak;

(vii) Pembekuan pembelian aset baru dan penangguhan pembelian yang belum komited. Pembelian aset sekiranya perlu ialah hanya dengan kebenaran khas; dan

(viii) Kadar bayaran elaun kehadiran mesyuarat kepada pengerusi dan Ahli Mesyuarat Lembaga/Majlis di Badan-badan Berkanun Negeri telah dipiawaikan dan dikurangkan kepada RM150.00 bagi pengerusi, RM100.00 ahli dan RM30.00 jika mesyuarat di peringkat jawatankuasa.

Kesan daripada langkah-langkah yang diambil, pada tahun kewangan 2008, perbelanjaan mengurus sebenar kerajaan negeri ialah RM283.15 juta berbanding RM318.56 juta yang dianggarkan (bajet) iaitu berkurangan sejumlah RM35.41 juta atau 11.1 peratus daripada anggaran diluluskan.


Tindakan kerajaan negeri terhadap penyelesaian isu Kampung Buah Pala

Soalan Lisan YB S.N Rayer (Seri Delima) : Apakah tindakan kerajaan negeri terhadap penyelesaian isu Kampung Buah Pala?

Jawapan : Kerajaan Negeri telah mengadakan sebanyak lima (5) kali perbincangan dengan penduduk-penduduk Kampung Buah Pala. Selepas beberapa kali rundingan dengan pihak pemaju, pihak pemaju telah menawarkan sebuah rumah teres bertingkat dua dengan keluasan tanah 1,200 kaki persegi dan keluasan kawasan binaan 1,400 kaki persegi untuk setiap rumah yang terlibat untuk dirobohkan.

Tawaran penyelesaian ini adalah yang terbaik sekali dalam sejarah Malaysia dan mana-mana negeri di Malaysia. Usaha khas telah kami bawakan untuk penduduk-penduduk memandangkan mereka telah menduduki Kampung Buah Pala lebih 100 tahun dengan kebenaran pemilik asal, Mary Brown. Tawaran ini membolehkan penduduk-penduduk memiliki rumah dua tingkat serta diberikan jaminan undang-undang dengan geran tanah sahih berbanding dengan Barisan Nasional yang menganggap mereka sebagai setinggan-setinggan haram yang harus diusir keluar begitu sahaja.

Perlu diingatkan bahawa isu Kampung Buah Pala adalah angkara Kerajaan Negeri Barisan Nasional lama yang merompak tanah mereka tanpa berunding dengan mereka. Mengapa perompak tanah Barisan Nasional tidak berusaha untuk memperbetulkan kesalahan mereka tetapi sekarang menjadi wira kepada penduduk-penduduk yang mereka rompak.


Isu Kampung Buah Pala

Soalan Bertulis YB. TUAN HAJI SR. MUHAMAD FARID BIN SAAD (Pulau Betong) : Penduduk Kampung Buah Pala mendakwa bahawa pihak calon yang bertanding dalam Pilihan raya Umum Ke 12 pada bulan Mac 2008 yang kini membentuk kerajaan negeri telah tidak mengotakan janji-janji yang telah dibuat semasa kempen pilihan raya. Apakah yang telah dijanjikan dan oleh siapa? Apakah tindakan yang akan diambil oleh pihak kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah di kampung tersebut.

Jawapan : Kerajaan negeri Pakatan Rakyat tidak menafikan bahawa terdapat calon-calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-12 telah berjanji untuk mempertahankan Kampung Buah Pala daripada dirobohkan. Ini memang dilaksanakan atas sokongan perjuangan mereka sehingga Kampung Buah Pala masih berdiri sehingga hari ini. Sekiranya Barisan Nasional masih memerintah, maka ia hanya tinggal pasir dan debu sahaja. Y.B. patut tahu ini adalah angkara Barisan Nasional yang rampas tanah mereka.

Namun, Perintah Mahkamah Persekutuan yang telah diperolehi oleh pihak pemaju tidak menyebelahi pihak penduduk- penduduk Kampung Buah Pala. Pihak kerajaan negeri juga tidak boleh mengingkari perintah mahkamah selaras dengan prinsip menegakkan kedaulatan undang-undang.

Atas sebab ini, kerajaan negeri telah memainkan peranan yang gigih untuk berunding dengan pihak pemaju supaya setiap rumah yang akan dirobohkan dapat ditawarkan dengan sebuah rumah teres bertingkat dua dengan keluasan tanah 1,200 kaki persegi dan keluasan kawasan binaan 1,400 kaki persegi. Ini merupakan formula win-win yang dipersetujui oleh kerajaan negeri dan pihak pemaju untuk menyediakan rumah gantian bagi penduduk-penduduk yang terlibat.


Pertemuan dengan penduduk-penduduk Kampung Buah Pala

Soalan Bertulis YB. DATO’ HAJI ROSLAN BIN SAIDIN (Pinang Tunggal) : Kenapakah pihak Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat sehingga hari ini enggan untuk bertemu penduduk Kampung Buah Pala malah masih mengenakan syarat untuk pertemuan ini dilaksanakan.

Jawapan : Kerajaan Negeri amat prihatin untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat. Adalah tidak benar untuk mendakwa bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat enggan bertemu penduduk-penduduk Kampung Buah Pala. Pertemuan sedemikian secara rasmi telah diadakan sebanyak lima kali, iaitu pada 16 Julai 2009, 22 Julai 2009, 24 Julai 2009, 1 Ogos 2009 dan 4 Ogos 2009.

Selepas beberapa kali rundingan dengan pihak pemaju, pihak pemaju telah menawarkan sebuah rumah teres bertingkat dua dengan keluasan tanah 1,200 kaki persegi dan keluasan kawasan binaan 1,400 kaki persegi untuk setiap rumah yang terlibat untuk dirobohkan.

Tawaran penyelesaian ini adalah yang terbaik sekali dalam sejarah Malaysia dan mana-mana negeri di Malaysia. Usaha khas telah kami bawakan untuk penduduk-penduduk memandangkan mereka telah menduduki Kampung Buah Pala lebih 100 tahun dengan kebenaran pemilik asal, Mary Brown. Tawaran ini membolehkan penduduk-penduduk memiliki rumah dua tingkat serta diberikan jaminan undang-undang dengan geran tanah sahih berbanding dengan Barisan Nasional yang menganggap mereka sebagai setinggan-setinggan haram yang harus diusir keluar begitu sahaja.

Perlu diingatkan bahawa isu Kampung Buah Pala adalah angkara Kerajaan Negeri Barisan Nasional lama yang merompak tanah mereka tanpa berunding dengan mereka. Mengapa perompak tanah Barisan Nasional tidak berusaha untuk memperbetulkan kesalahan mereka tetapi sekarang menjadi wira kepada penduduk-penduduk yang mereka rompak.


Perancangan kerajaan negeri dalam usaha mambangunkan negeri ini yang melibatkan semua sektor

Soalan Bertulis YB. DATO’ MAHMUD BIN ZAKARIA (Sg Acheh) : Merujuk kepada teguran yang mengatakan Pulau Pinang adalah mundur berbanding dengan beberapa negeri lain di Malaysia. Apakah perancangan kerajaan negeri dalam usaha membangunkan negeri ini yang melibatkan semua sektor.

Jawapan : Pembangunan Negeri Pulau Pinang kebelakangan 18 tahun ini tidak berjalan begitu pesat berbanding dengan negeri lain seperti di Ipoh dan Seremban. Pembangunan infrastruktur di kedua-dua tempat ini jauh berbeza daripada 20 tahun yang lalu tetapi pembangunan yang ketara atau perubahan tidak begitu jelas dilihat di Pulau Pinang. Itulah pandangan Menteri Mentor Singapura H.E. Lee Kuan Yew apabila beliau melawat Pulau Pinang pada 13 Jun 2009. Semasa kunjungan hormat beliau ke Negeri Pulau Pinang, beliau mengulas sedemikian terhadap apa yang dilihat dan ditinjau. Pulau Pinang memerlukan lebih banyak infrastruktur seperti jalan raya, jambatan, lapangan terbang serta rangkaian komunikasi.

Walaupun Pulau Pinang merupakan salah sebuah negeri yang maju di Malaysia selain daripada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor dan Selangor, yang berjaya menarik pelaburan sebanyak RM10.2 bilion pada tahun 2008, namun dalam Rancangan Malaysia Ke-Sembilan menyatakan bahawa pertumbuhan pendapatan keluarga bagi negeri Pulau Pinang untuk 10 tahun yang lepas adalah antara yang terendah sekali. Antara tahun 1999 sehingga 2004, pertumbuhan pendapatan keluarga di Pulau Pinang adalah 2.5% bagi setiap tahun di mana kadar pertumbuhan peringkat kebangsaan adalah 6.6%. Pada tahun 1999, pendapatan rakyat Pulau Pinang adalah 85% daripada pendapatan rakyat Selangor, dan dalam 5 tahun, angka ini telah menurun ke 68% pada tahun 2004.

Untuk membangunkan semula Pulau Pinang sebagai Pulau Mutiara yang bersinar, Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhasrat untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah bandaraya bertaraf antarabangsa. Pulau Pinang perlu mengembalikan zaman kegemilangannya seperti suatu ketika dahulu. Usaha perlu diteruskan untuk membuktikan bahawa Pulau Pinang mampu untuk menjadi negeri contoh dan model kepada pembangunan negara dengan beberapa aspek utama yang perlu diberi perhatian seperti :

I) Institusi pembangunan yang berteraskan kepada sistem urus tadbir kerajaan yang berasaskan prinsip CAT iaitu Cekap, Akauntabiliti dan Telus.

II) Sistem pembelajaran yang baik yang memberi penekanan kepada pengetahuan komputer dan Teknologi Maklumat. Pulau Pinang telah memulakan langkah pertama dengan menjadi Negeri pertama yang memberikan khidmat WIFI secara percuma kepada pendudunya.

III) Mewujudkan masyarakat yang mempunyai tiga rangkaian perubahan iaitu perubahan politik, di mana dapat dicapai keseimbangan politik dan menghormati hak asasi manusia, kuasa yang terletak pada manusia dan demokrasi; perubahan ekonomi yang dapat memberikan peluang yang seimbang terhadap sumber tenaga, kepakaran dan sumber manusia serta perubahan etika di mana setiap individu dapat memupuk nilai-nilai murni kehidupan dengan sikap integriti dan membanteras penyelewengan demi mempertingkatkan sosio-ekonomi masyarakat.

IV) Menggalakkan kreativiti, inovasi, penyelidikan dan pembangunan dengan memberi penekanan kepada cara pemikiran yang berlainan.

V) Mewujudkan tanda aras bertaraf antarabangsa kepada pembangunan yang mapan di mana sumber yang digunakan hari ini masih boleh digunakan untuk generasi yang akan datang. Pulau Pinang telah diletakkan di tempat ke-10 sebagai sebuah bandar yang paling ceria di Asia di antara 254 bandar yang seluruh Asia.

VI) Menjana sumber modal insan yang menjadi khazanah paling berharga negara dengan melabur di dalam pembangunan modal insan dan juga kursus-kursus yang berguna.

VII) Menjana pentadbiran kerajaan yang efisien dengan kualiti kerja yang lebih baik manakala kos dikurangkan iaitu kualiti kerja yang dapat membuahkan value for money.

VIII) Kerjasama bijak di antara pihak awam dan swasta bagi mewujudkan situasi menang-menang di mana kepentingan pihak awam diberi perhatian tanpa mengecualikan keperluan pihak swasta dalam mencapai keuntungan. Sistem tender terbuka yang efisien dengan kadar pulangan yang bersesuaian kepada pihak swasta tanpa perlu mengorbankan tahap efisiensi dan kualiti produktiviti.

Selain itu, dalam konteks pembasmian kemiskinan, negeri Pulau Pinang merupakan negeri pertama di Malaysia yang telah berjaya membasmi sepenuhnya kemiskinan tegar dengan mencapai tahap kemiskinan tegar sifar. Dalam hal ini, semua keluarga di Pulau Pinang akan dijaminkan memperolehi sekurang-kurangnya RM500.00 setiap bulan, dengan imbuhan wang secara langsung untuk ditambah genap RM500 sebulan. Sumbangan dana bagi membiayai projek pembasmian miskin tegar ini adalah sumbangan daripada pihak swasta yang mencerminkan praktis PPP Public Private Partnership.

Dalam usaha penjagaan alam sekitar serta kehidupan mampan, negeri Pulau Pinang menjadi negeri pertama di Malaysia yang melancarkan No Plastic Monday untuk mengurangkan penggunaan beg plastik bermula dari bulan Julai 2009. Kerajaan Negeri juga berusaha menanam 75,000 batang pokok untuk tahun ini dan sehingga akhir bulan Jun 33,813 batang pokok pun sudah di tanam. Di samping itu, bagi pengurusan sisa pepejal pula, selaras dengan konsep Konvesyen Rio dan Protokol Kyoto mengenai pengurusan sisa pepejal, kerajaan negeri telah pun memilih kaedah Clean Development Mechanism sebagai kaedah pengurusan sisa pepejal di Tapak Pelupusan Pulau Burung, Seberang Perai.



Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...

ARKIB