Menurutnya ketika berucap dalam ucapan aluan sempena pelancaran Karnival Zakat 2009 dan Program Nur Ramadan di Dewan Milenium, Kepala Batas baru-baru ini menyifatkan, perkembangan itu menandakan kesedaran Umat Islam telah meningkat dalam soal pembayaran zakat. Ujar beliau lagi, kutipan itu juga menjadikan keseluruhan zakat harta yang berjaya dikutip sejak penubuhan Pusat Urus Zakat (PUZ) pada 1994 sehingga tahun lalu ialah RM251,166,908.
"Allhamdulilah sepanjang tahun lalu kesedaran Umat Islam terhadap zakat harta nyata meningkat dan dapatlah PUZ melaksanakan bantuan kepada rakyat, " ujarnya.
Tegas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Berangan, Zakat Pendapatan mencatatkan kutipan paling tinggi iaitu RM22,162,696 (58.28%) mengalami kenaikan RM3,536,383 (18.99%) tahun 2007.
Kutipan kedua tertinggi ialah Zakat Perniagaan iaitu RM6,595,708 (1734%) namun ia mengalami sedikit memerosotan sebanyak RM1,700,138 (-20.49%) berbanding tahun 2007.
Manakala Zakat Wang Simpanan yang berada di tempat ke tiga turut mencatatkan kenaikan sebanyak RM540,441 (12.99%) berbanding tahun 2007 iaitu kutipan sebanyak RM4,701,903 (12.35%).
Menurutnya lagi, pada tahun ini Maipp melantik 1,587 orang Amil Zakat Fitrah melibatkan 214 pusat kutipan.
"Selain kutipan Zakat Pendapatan, Zakat Perniagaan dan Zakat Wang Simpanan satu lagi kutipan ialah Zakat Fitrah yang mana menunjukan kecemerlangan apabila RM3,949,242 berjaya dikutip berbanding tahun 2007 sebanyak RM2,778,805 iaitu peningkatan RM1,170,437 atau (42.12%), " tambahnya di hadapan 500 penerima bantuan zakat dari lima daerah seluruh Pulau Pinang.
Bagi menghindarkan terlalu banyak penerima zakat setiap tahun PUZ telah merangka bermacam- macam strategi untuk membangunkan penerima sebelum ini dengan program ekonomi seperti Asnaf Zakat (PUAZ) yang dikendalikan oleh PUZ sendiri.
Melalui bidang ini penerima yang sebelum ini bergantung pada pemberian zakat boleh berdikari dengan menubuhkan bengkel jahitan, kraftangan dan sebagainya seiring dengan perkembangan sektor pelancongan.
"Menerusi PUAZ mereka yang dulunya bergantung pada sumbangan zakat dapat menunjukkan bakat sekaligus berjaya dalam bidang seperti jahitan, kraftangan dan sebagainya. Cara ini mereka dapat meningkatkan kehidupan sendiri di samping mempamerkan bakat yang selama ini terpendam, " jelasnya.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Senator Brigadler Jeneral (B) Dato' Haji Jamil Khir Baharom dalam ucapan perasmiannya pula menyifatkan, kesungguhan yang ditunjukkan oleh PUZ dalam usaha meningkatkan produktiviti pengusaha yang sebelum ini berharap penuh pada bantuan zakat harus dipuji dan dijadikan contoh kepada agensi kerajaan yang lain.
Pendedahan program tersebut pastinya membuka ruang untuk peserta melatih diri dalam bidang baru yang jika diusaha dengan sempurna akan berjaya.
Strateji itu juga boleh melahirkan ramai lagi orang Islam memberikan zakat daripada menerima zakat sepertimana sebelum ini.
"Pendedahan demi pendedahan itu saya yakin pada masa depan lebih ramai orang yang dulunya susah dapat pula menyumbangkan zakat pada orang Islam yang lain. Inilah yang kita mahu asalkan mereka mahu berubah dan berhijrah mengatasi masalah hidup, " terangnya.