Isnin, Februari 22, 2010
Ketua Menteri sangkal dakwaan liar
Jumaat, Januari 01, 2010
Ustaz Elyas Zakaria dilantik sebagai YDP MAINPP, Ustaz Salleh Man Timbalan
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Abul Kassim berkata, Kerajaan Negeri juga turut memutuskan Pesuruhjaya Pas Negeri, Mohd Salleh Man dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua MAINPP, sekaligus menutup spekulasi yang cuba ditimbulkan oleh pihak pembangkang yang menuduh Kerajaan Negeri PR cuba melangkaui kuasa Yang di-Pertuan Agong apabila cuba melantik Salleh sebagai YDP MAINPP sebelum ini.
Menurutnya, Kerajaan Negeri memutuskan menerima nama-nama yang diperkenankan mengikut Seksyen 11(1) (a) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang Tahun 2004, setelah wakil Kerajaan Negeri menghadap Tuanku pada 18 November 2009.
“Dalam pada itu, saya ingin memperbetulkan beberapa fakta yang cuba diselewengkan pihak tertentu berhubung jawatan Timbalan YDP MAINPP iaitu jawatan berkenaan bukannya baru diwujudkan, sebaliknya telah termaktub dalam enakmen. Bahkan pada jawatankuasa yang lepas, jawatan itu disandang oleh Allahyarham Datuk Ibrahim Yahya.
“Selaras dengan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT), Kerajaan Negeri meminta pentadbiran baru MAINPP mengadakan audit luaran seperti mana yang dilakukan terhadap pentadbiran Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sedikit masa lalu, bagi memudahkan proses pengambilalihan untuk mengetahui kedudukan sebenar agar pentadbiran baru MAINPP dapat menjalankan pentadbiran secara CAT,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.
Malek berkata, Kerajaan Negeri ini sebelum ini tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung pelantikan Ahli Majlis Mainpp kerana tidak mahu dituduh melangkaui kuasa Yang di-Pertuan Agong selain tidak mahu terpedaya dengan usaha pihak pembangkang yang cuba mengheret Kerajaan Negeri untuk mempolitikkan perkara ini melalui media.
“Saya merakamkan ucapan tahniah kepada semua Ahli Majlis Mainpp yang baru dilantik dan berharap mereka dapat menunaikan amanah Allah dan tanggungjawab serta sumbangan bakti ke arah kemajuan rakyat dan negeri Pulau Pinang selepas ini,” katanya.
Senarai penuh ahli MAINPP :
YANG DI-PERTUA
Y.Bhg. Ustaz Haji Elias bin Haji Zakaria
TIMBALAN YANG DI-PERTUA
Y.B Tuan Haji Mohd Salleh bin Man
Ex-OFFICIO
Y.B Dato’ Zainal Rahim bin Seman ( Setiausaha Kerajaan Negeri)
Y.B Dato’ Faiza binti Zulkifli (Penasihat Undang-undang Negeri P.P)
Y.B Dato. Haji Farizan bin Darus (Pegawai Kewangan Negeri P.P)
Y.Bhg Sahibus Samahah Dato’ Haji Hassan Haji Ahmad ( Mufti P.P)
Y.Bhg. DCP Dato’ Wira Ayob bin Haji Yaacob (Ketua Polis P.P)
AHLI
Y.B Tuan Abdul Malik bin Abul Kassim
Y.B Ustaz Maktar bin Shafee
Y.Bhg. Dato’ Haji Hashim bin Yahaya
Y.Bhg. Dr Danial bin Zainal Abidin
Y.Bhg. Ustaz Abd Aziz @ Aziz bin Che Yacob
Y.Bhg. Ustaz Rosidi bin Hussain
Y.Bhg. Haji Zainudin bin Hanif
Puan Norhayati Jaafar
Jumaat, Ogos 14, 2009
MAIPP kutip zakat RM38 juta
Menurutnya ketika berucap dalam ucapan aluan sempena pelancaran Karnival Zakat 2009 dan Program Nur Ramadan di Dewan Milenium, Kepala Batas baru-baru ini menyifatkan, perkembangan itu menandakan kesedaran Umat Islam telah meningkat dalam soal pembayaran zakat. Ujar beliau lagi, kutipan itu juga menjadikan keseluruhan zakat harta yang berjaya dikutip sejak penubuhan Pusat Urus Zakat (PUZ) pada 1994 sehingga tahun lalu ialah RM251,166,908.
"Allhamdulilah sepanjang tahun lalu kesedaran Umat Islam terhadap zakat harta nyata meningkat dan dapatlah PUZ melaksanakan bantuan kepada rakyat, " ujarnya.
Tegas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Berangan, Zakat Pendapatan mencatatkan kutipan paling tinggi iaitu RM22,162,696 (58.28%) mengalami kenaikan RM3,536,383 (18.99%) tahun 2007.
Kutipan kedua tertinggi ialah Zakat Perniagaan iaitu RM6,595,708 (1734%) namun ia mengalami sedikit memerosotan sebanyak RM1,700,138 (-20.49%) berbanding tahun 2007.
Manakala Zakat Wang Simpanan yang berada di tempat ke tiga turut mencatatkan kenaikan sebanyak RM540,441 (12.99%) berbanding tahun 2007 iaitu kutipan sebanyak RM4,701,903 (12.35%).
Menurutnya lagi, pada tahun ini Maipp melantik 1,587 orang Amil Zakat Fitrah melibatkan 214 pusat kutipan.
"Selain kutipan Zakat Pendapatan, Zakat Perniagaan dan Zakat Wang Simpanan satu lagi kutipan ialah Zakat Fitrah yang mana menunjukan kecemerlangan apabila RM3,949,242 berjaya dikutip berbanding tahun 2007 sebanyak RM2,778,805 iaitu peningkatan RM1,170,437 atau (42.12%), " tambahnya di hadapan 500 penerima bantuan zakat dari lima daerah seluruh Pulau Pinang.
Bagi menghindarkan terlalu banyak penerima zakat setiap tahun PUZ telah merangka bermacam- macam strategi untuk membangunkan penerima sebelum ini dengan program ekonomi seperti Asnaf Zakat (PUAZ) yang dikendalikan oleh PUZ sendiri.
Melalui bidang ini penerima yang sebelum ini bergantung pada pemberian zakat boleh berdikari dengan menubuhkan bengkel jahitan, kraftangan dan sebagainya seiring dengan perkembangan sektor pelancongan.
"Menerusi PUAZ mereka yang dulunya bergantung pada sumbangan zakat dapat menunjukkan bakat sekaligus berjaya dalam bidang seperti jahitan, kraftangan dan sebagainya. Cara ini mereka dapat meningkatkan kehidupan sendiri di samping mempamerkan bakat yang selama ini terpendam, " jelasnya.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Senator Brigadler Jeneral (B) Dato' Haji Jamil Khir Baharom dalam ucapan perasmiannya pula menyifatkan, kesungguhan yang ditunjukkan oleh PUZ dalam usaha meningkatkan produktiviti pengusaha yang sebelum ini berharap penuh pada bantuan zakat harus dipuji dan dijadikan contoh kepada agensi kerajaan yang lain.
Pendedahan program tersebut pastinya membuka ruang untuk peserta melatih diri dalam bidang baru yang jika diusaha dengan sempurna akan berjaya.
Strateji itu juga boleh melahirkan ramai lagi orang Islam memberikan zakat daripada menerima zakat sepertimana sebelum ini.
"Pendedahan demi pendedahan itu saya yakin pada masa depan lebih ramai orang yang dulunya susah dapat pula menyumbangkan zakat pada orang Islam yang lain. Inilah yang kita mahu asalkan mereka mahu berubah dan berhijrah mengatasi masalah hidup, " terangnya.
Isnin, April 20, 2009
Isu tanah wakaf terbiar, MAIPP diminta jawab
Permatang Pauh - Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) diminta mengemukakan alasan kukuh kenapa tanah seluas satu ekar di lot 1065 Mukim 4 Pekan Permatang Pauh yang diwakafkan untuk pembinaan masjid sejak tahun 1995 tidak dibangunkan.
Tanah yang berada di persimpangan Pekan Permatang Pauh kini terbiar dan ditumbuhi pokok besar seolah kawasan zoo untuk kera dan monyet berpaut, bermain atau tidur.
Harakahdaily difahamkan tanah atas nama Ghouse Meah diwakafkan untuk pembangunan masjid baru apabila masjid kini yang berada di hadapan Sekolah Rendah Kebangsaan Permatang Pauh yang dulunya adalah sebuah surau kecil setelah masjid sebenar di zaman British dirobohkan untuk pembesaran jalan dan dipindahkan ke Kampung Sama Gagah sehingga hari ini.
Seorang waris pewakaf, Baharudin Baharom ketika menceritakan perkara terbabit menjelaskan, ayahnya, Baharom Wan Chik dan Mohamad Ghouse adalah pemegang amanah tanah untuk tujuan tersebut.
"Kenapa tanah yang sesuai dan mempunyai keluasan seperti tempat letak kereta dan kawasan masjid tidak dibangunkan waktu itu dan tinggalkan surau (kini masjid) dengan membuka pusat pendidikan Kelas Fardhu Ain (KAFA) atau kelas tahfiz sebagaimana yang dilaksanakan oleh masjid Merbau Kudung.
"Surau atau kini berstatus masjid dilihat tidak sesuai kerana berada terlalu hampir dengan jalan utama, tiada tempat letak kereta dan sebagainya. Dulu jika Maipp laksanakan amanah pasti masalah tidak akan timbul, " ujarnya.
Tetapi kini kata beliau, untuk pembinaan masjid agak sukar kerana pembangunan berlaku begitu rancak yang mana sudah wujud Taman Arowana yang ada kareoke dan sebagainya.
Jawatankuasa masjid sedia ada sedang merancang mahu menambah keluasan kawasan masjid di bahagian belakang dengan mengambil sebahagian tanah penduduk.
Jelasnya, cadangan pengambilan tanah itu menimbulkan keresahan penduduk bersebelahan kerana di mana lagi mereka hendak tinggal sekiranya pembangunan di buat.
Tambah Baharudin seterusnya, isu ini tidak timbul seandainya Maipp terus membangunkan masjid di atas tanah yang telah diwakafkan bukan membiarkan tanah itu dihimpit pembangunan sekitar.
"Sekarang kesalahan terletak di tangan Maipp kerana tidak menjagai atan memperdulikan tanah berstatus wakaf itu sebaliknya membiarkan di tumbuhi semak samun. Sekarang ini timbul persengketaan ada pihak mahu mengambil tanah di bahagian masjid untuk pembesaran dan menjadikan tapak wakaf dengan pembangunan komersil, " tegasnya.