BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya

Rabu, September 29, 2010

Mahasiswa Bakal Bawa Kemusnahan Umno-BN Pada PRU-13

Mahasiswa yang dicengkam dan ditindas oleh Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971 bakal memastikan Umno-Barisan Nasional tersungkur pada Pilihan raya Umum Ke-13 nanti.

Peguam kanan dan pakar Perlembagaan Dr Samarudin Rejab berkata mahasiswa yang ditekan dan ditindas dengan akta tersebut akan bangkit menentang sebagaimana sebelum Auku diperkenalkan oleh Menteri Pelajaran pada masa itu, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi mengekang kekuatan mahasiswa.

Katanya, Auku digunapakai oleh Umno-BN bagi memastikan pergerakan pelajar dapat dikekang dalam usaha membonsaikan intelektual pemikiran golongan itu daripada menyampaikan buah fikiran yang kritikal.

Contohnya dalam kes 'UKM4' yang membabitkan empat mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia jurusan sains politik, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menolak rayuan mereka terhadap penggunaan Auku dalam pendakwaan ke atas mereka.

Mereka di dakwa melibatkan diri dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor April lalu tetapi menafikannya atas alasan kehadiran mereka di kawasan tersebut adalah sebahagian daripada keperluan pengumpulan mahkumat untuk kursus yang diambil.

Dr Samarudin yang juga bekas Presiden Kesatuan Pelajar Institut Teknologi Mara di tahun 1970an berkata, Umno-BN akan berdepan dengan jumlah mahasiswa yang celik maklumat begitu besar dan signifikan yang mendaftar sebagai pengundi pada pilihan raya umum akan datang.

"Walaupun ditekan begitu rupa oleh Auku sejak hampir 40 tahun, pergerakan pelajar di peringkat universiti tidak lemah, masih dinamik dan ada kekuatan kerana jumlahnya yang besar. Misalnya, jika sebuah universiti mempunyai 5,000 pelajar, jika 10 buah universiti, di situ sudah ada 50,000 pelajar.

"Sekarang ini, di Malaysia kita ada kira-kira 20 hingga 30 buah institut pengajian tinggi awam termasuk swasta. Ini adalah jumlah yang sangat besar, bermakna lebih kurang 100,000 hingga 200,000 pelajar dan mereka ini adalah satu kekuatan yang tidak boleh diketepikan.

"Dalam konteks demokrasi dan pilihan raya, mereka inilah bakal pengundi yang signifikan tetapi dari segi kepimpinan, mereka ini tersekat oleh kerana adanya Auku yang menyekat pergerakan mereka," ujar beliau.

Menurut Dr Samrudin lagi, rakyat Malaysia yang telah mencapai syarat umur untuk mengundi dalam proses demokrasi tidak kira sama ada pelajar, pekerja atau pun masyarakat umum berhak mengambil bahagian secara aktif dalam proses demokrasi kerana hak tersebut telah diberikan oleh Perlembagaan Negara.

Umno Iri Hati Program Bantu Rakyat Miskin Dengan Fitnah Sumber Duit Judi

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menegaskan kerajaan negeri tidak akan tunduk kepada usaha Umno-Barisan Nasional yang cuba mengganggu-gugat Program Penghargaan Warga Emas sebanyak RM100 yang diberikan setiap tahun.

Menurut beliau, Umno-BN sekali lagi meneruskan fitnah dan tohmahan terhadap kerajaan negeri dengan mendakwa program itu dibiayai oleh sumber judi haram dan bila ini dibuktikan palsu, Umno-BN mengalih kepada program Rakan Anti-Kemiskinan (RAK) untuk membasmi miskin tegar. 

Jelasnya, taktik jahat tersebut bertujuan semata-mata untuk menggagalkan program Kerajaan Negeri yang memberi manfaat kepada rakyat.

"Kerajaan negeri tidak akan tunduk kepada usaha Umno mengganggu-gugat program penghargaan warga emas yang membayarkan RM100 setiap tahun kepada semua yang melebihi 60 tahun.

"Sehingga sekarang, hampir 110,000 warga emas di Pulau Pinang telah mendaftarkan diri dan akan mendapat bayaran RM100 setiap tahun demi mengenang budi atas sumbangan warga emas. 

"Di samping itu, waris warga emas yang mendaftarkan diri akan menerima RM1,000 sekali sahaja bila warga emas meninggal dunia. Sebanyak RM20 juta telah pun diperuntukkan untuk program ini dalam Belanjawan 2010 pada tahun lepas," kata Guan Eng dalam satu kenyataan Isnin lalu.

Beliau membidas dakwaan pemimpin Umno berkata wang yang dibayar oleh kerajaan negeri untuk program ini tidak datang daripada mana-mana derma atau sumber kerajaan persekutuan.

"Ia adalah penjimatan hasil urustadbir CAT yang cekap, akauntabel dan telus serta langkah anti-rasuah yang bukan sahaja dipuji oleh Laporan Ketua Audit Negara tetapi juga disanjungi oleh badan antarabangsa anti-rasuah terunggul, Transparency International.

"Urus tadbir CAT dan langkah anti-rasuah telah membolehkan Pulau Pinang mencatatkan lebihan belanjawan yang paling besar dalam sejarah sebanyak RM88 juta pada 2008 dan RM77 juta pada 2009," jelas beliau. 

Oleh itu tambah beliau, tidak wujud langsung program ini dibiayai oleh sumber luar. Keseluruhan kos program ini dibiayai sepenuhnya oleh hasil lebihan Belanjawan.

Dengan kata lain, program penghargaan warga emas adalah dividen “anti-rasuah” yang dapat dinikmati oleh rakyat kerana mempunyai sebuah kerajaan negeri yang bersih dan tidak makan duit.

"Ini bukan kali pertama program ini diserang, kerana sebelum ini, Umno-BN pernah mendakwa bahawa pemberian RM100 kepada warga emas adalah serupa bagi rasuah! Untuk mereka, bagi wang sama rakyat adalah rasuah tetapi lain pula bagi wang ke dalam kocek sendiri.

"Sekiranya kerajaan negeri tak makan duit maka rakyat boleh dapat duit! Umno jangan harap akan mengganggu-gugat program dividen anti-rasuah RM100 setiap tahun kepada warga emas dengan fitnah dan tohmahan," tegas Guan Eng lagi.

Beliau berkata selepas gagal membuktikan Program Penghargaan Warga Emas terbabit dengan hasil judi haram, Umno pula cuba mengalihkan perhatian daripada fitnah mereka dengan menyatakan program RAK membasmi miskin tegar datangnya dari sumber judi haram. 

Bukti Umno kononnya adalah derma RM2 juta daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang.

"Program RAK adalah inisiatif murni kerajaan negeri untuk membasmi miskin tegar dalam kalangan keluarga yang berpendapatan kurang daripada RM400 sebulan di Pulau Pinang dan memastikan setiap keluarga mendapat sekurang-kurangnya RM500 sebulan. 

"Menerusi RAK, kerajaan negeri PR telah berjaya membasmi miskin tegar dalam tempoh masa setahun sahaja, apa yang tidak dapat dilakukan oleh Umno-BN dalam 51 tahun. 

"Menyedari tentang sensitiviti wang derma daripada Kelab Lumba Kuda untuk orang Islam, maka ia diasingkan dan tidak diberikan kepada orang Islam tetapi hanya kepada orang bukan Islam. Malahan, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Farizan Darus telah mengesahkan kepada saya semalam bahawa wang derma RM2 juta ini daripada Kelab Lumba Kuda diasingkan dan dikhususkan kepada orang bukan Islam dan tidaknya kepada orang Islam," ujar Guan Eng.

Beliau turut mengingatkan bahawa ada juga orang bukan Islam yang miskin tegar, bukan semua bukan Islam kaya macam pemimpin Umno-BN. Adakah salah untuk menyalurkan wang derma ini kepada orang bukan Islam?.

"Bukankah lebih salah dan haram untuk Umno-BN luluskan lesen judi bola? Atau adakah mereka berdendam dengana Kerajaan Negeri yang merupakan negeri pertama mengharamkan judi bola dan sekaligus merosakkan rancangan baik mereka untuk membenarkan lesen judi bola di Malaysia? Yang jahat pula tuduh orang lain," soal Guan Eng.

Tambahnya, bantuan RAK kepada keluarga miskin tegar Islam dibiayai daripada hasil kerajaan negeri menerusi lebihan belanjawan yang disebut tadi.

"Mereka sebenarnya iri hati atas kejayaan kerajaan negeri membasmi miskin tegar dan program penghargaan warga emas. Walaupun terus difitnah, kerajaan negeri tidak akan berganjak atau tunduk langsung ke atas anasir jahat ini yang mahukan dua program ini dihentikan," kata beliau lagi.

Asri: Rakyat Boleh Terima Bantuan Daripada Sumber Tidak Halal

"Rakyat yang mendapat bantuan kerajaan tersebut tidak haram. Sebabnya mereka bukan berjudi, mereka mendapat bantuan atas kemiskinan mereka. Transaksi itu atas bantuan, bukan atas judi."

Demikianlah jawapan Dr Mohd Asri Zainul Abidin, mantan mufti Perlis dalam respons beliau terhadap isu kerajaan negeri Pulau Pinang yang memberikan wang saguhati kepada warga emas, yang 'khabarnya' bersumberkan judi lumba kuda. 

Katanya, bahawa para penerima wang (orang-orang Islam berusia emas) itu tidak haram. Pihak yang memberinya itulah yang menanggung dosanya. 

Samalah, kata beliau, apabila kakitangan awam dibayar gaji yang mana kita semua maklum, wang gaji itu bersumber daripada perbendaharaan negara.

Dalam perbendaharaan negara, ia menerima apa-apa sahaja sumber kewangan termasuklah daripada sektor perjudian, minuman keras dan yang sewaktu dengannya. Ia diterima menerusi cukai perniagaan yang dikutip oleh pihak kerajaan.

Nah! Jika benar kita mahu memastikan wang gaji kita bersih dan suci 100 peratus barang kali kita tidak boleh menerima gaji daripada pihak kerajaan pusat. Melainkan, mereka mengasingkan dana halal dan haram dan hanya memperuntukkan halal untuk Islam dan haram untuk bukan Islam.

Dalam Islam, perbendaharaan negara disebut Baitul Mal. Persoalannya, adakah sama Perbendaharaan Negara yang ada pada hari ini di peringkat negeri dan pusat dengan Baitul Mal? 

Saya tidak berani nak jawab…

Jika diikutkan, fungsi Baitul Mal ini adalah sangat meluas. Salah satu daripadanya, Baitul Mal juga adalah tempat dititipkan segala jenis harta yang tidak halal mahu pun syubhah. Jika di Baitul Mal, maka wang itu tidak menjadi haram untuk digunakan kembali kepada rakyat. Ini kerana, ada pandangan ulama menyatakan demikian.

Saya pernah terjumpa pandangan Dr Yusuf al-Qardhawi terhadap corak penggunaan wang haram. Secara asasnya, wang haram itu tidak boleh sama sekali dimanfaatkan oleh pemilik wang untuk faedah peribadi.

Tetapi, ia boleh diberikan kepada pihak lain demi maslahah umum atau kebajikan awam. Ia termasuklah memberikan wang haram itu kepada orang fakir dan miskin dan juga untuk tujuan dakwah Islam.

Saya sempat mencari di dalam internet, alhamdulillah saya bertemu dengan sebuah artikel yang dipetik daripada Bahagian Mal, Majlis Agama Islam Selangor (Mais). Berikut saya paparkan sedikit kutipannya:

“Menurut Dr Yusuf al-Qaradawi, sesuatu yang haram itu tidak boleh dimiliki sebaliknya ia menjadi milik kepada maslahah a'mmah seperti dibelanjakan kepada perkara-perkara kebajikan antaranya membantu golongan fakir dan miskin, anak-anak yatim, musafir, jihad di jalan Allah SWT, perkembangan dakwah Islam, pembinaan masjid dan pusat-pusat Islam, penyediaan para pendakwah, penerbitan kitab-kitab agama dan seumpamanya daripada perkara-perkara yang bersifat kebajikan.

Harta tidak patuh syariah juga tidak boleh digunakan bagi tujuan kepentingan diri sendiri atau keluarga. Menurut al-Qaradawi, ia juga haram secara yakin untuk ditinggalkan dalam akaun bank konvensional (dalam kes faedah riba).

Harta tidak patuh syariah ini jika daripada jenis yang boleh dimanfaatkan seperti wang, ia tidak seharusnya dimusnahkan seperti dengan membakar atau mencampakkannya ke dalam laut. 

Fuqaha semasa seperti al-Qaradawi menjelaskan bahawa perbuatan ini menyalahi kaedah syarak yang melarang tindakan idha'ah al-mal iaitu mensia-siakan harta tanpa dimanfaatkan oleh sesiapa.

Mungkin ada yang mempertikaikan, bagaimana harta yang haram dan tidak baik ini boleh disedekahkan kepada golongan fakir dan miskin atau perkara-perkara kebajikan sedangkan kita sendiri tidak tergamak untuk menggunakannya? 

Menjawab persoalan ini, al-Qaradawi menjelaskan bahawa pada hakikatnya harta tersebut sememangnya haram dan tidak baik dalam konteks orang yang mendapatkannya secara tidak halal.

Sebaliknya, dalam konteks fakir miskin dan juga perkara-perkara kebajikan, ia adalah baik dan harus untuk digunakan. Institusi Baitulmal dalam konteks maslahat umum ini, boleh berfungsi sebagai pemegang amanah kepada harta tidak patuh syariah untuk dibelanjakan demi kepentingan masyarakat secara umum.

Ini bertepatan dengan keputusan muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kali Ke-3, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam bertarikh 21 Januari 1971 yang telah menetapkan bahawa: “Faedah yang diperolehi daripada wang simpanan seseorang muslim dalam mana-mana bank harus diterima olehnya atas alasan kerana kecemasan itu juga, tetapi wang faedah itu hendaklah dimasukkan dalam Baitulmal atau untuk kegunaan muslihat umum”

Petikan daripada artikel 'Pengurusan Harta Tidak Patuh Syariah' oleh Unit Amanah & Wasiat, Bahagian Baitul Mal, Majlis Agama Islam Selangor.

Tahniah!!! Kekalkan Kepimpinan, Teruskan Perjuangan...

Pemilihan KEADILAN Cabang Nibong Tebal pada 25 September lalu telah menunjukkan kehendak anggota akar umbi yang memerlukan saf kepimpinan yang mampu menggerakkan jentera parti di semua peringkat dalam menghadapi tentangan UMNO/BN pada PRU13 nanti.

Berikut adalah senarai pimpinan KEADILAN Cabang Nibong Tebal, sessi 2010/2013;

Ketua : YB Tuan Hj. Maktar bin Hj. Shapee
Timbalan Ketua : Hj. Mohd Kamil bin Abu Bakar
Naib Ketua : Azmi bin Mohamad
Ketua Wanita : Norjuliana binti Hj. Zainon
Ketua AMK : Mat Arof bin Yahya

Senarai penuh Ahli Jawatankuasa Cabang, Wanita dan AMK akan dipamerkan beberapa hari lagi.

Isnin, September 13, 2010

Kes Sosilawati mirip kekejaman pembunuhan Altantuya

Kes pembunuhan Datuk Sosilawati Binti Lawiya Abdullah Yusof, pemandu, pegawai bank dan peguam beliau dalam insiden culik, pukul, bunuh dan bakar yang berakhir dengan berita kematian keempat-empat mereka di Morib dua hari lepas, Wanita Keadilan mengecam perbuatan terkutuk ini sebagai sesuatu yang kejam dan zalim. Wanita Keadilan juga merasakan tragedi tersebut merupakan satu lagi kes pencabulan terhadap wanita di negara ini.Perasaan hormat kapada kaum Hawa semakin hari semakin terhakis.


Sebelum ini negara digemparkan dengan berita kematian ngeri seorang model yang dikenali sebagai Altantuya Saribbu beberapa tahun yang lalu.Beliau dibunuh secara kejam dengan letupan bom.Peristiwa pembunuhan kejam dan zalim itu tidak wajar dan ini dengan jelas menunjukan bahawa tahap keselamatan rakyat di negara ini khususnya wanita makin tidak terjamin. Akibat daripada sikap lepas pandang dan tidak komitednya PDRM dalam membuat siasatan dan kegagalan menangkap penjenayah sebenar dalam kes Altantuya, menyebabkan ada pihak yang begitu berani mengambil kesempatan atas ketidakmampuan PDRM menyelesaikan kes pembunuhan tersebut dan juga beberapa kes lain yang melibatkan wanita .Masihkah kita ingat kes pembunuhan Mustakhizah. Jenayah ini berulang lagi hari ini akibat kegagalan kita sendiri memilih kerajaan yang telus, berwibawa, amanah yang tidak mempergunakan institusi kerajaan untuk kepentingan peribadi.


Oleh itu Wanita Keadilan mengecam kes pembunuhan ini dan menyampaikan perasaan simpati dan takziah kepada keluarga allayarhamah dan 3 yang lain. Wanita Keadilan mengharapkan satu bentuk tindakan yang tegas oleh pihak PDRM dan berharap Ketua Polis yang baru dilantik dapat membawa perubahan dalam menjaga keamanan dan keselamatan rakyat Malaysia sekaligus menyegerakan siasatan dan mengheret semua mereka yang bersalah ke muka pengadilan.


YB Hajjah Zuraida Kamaruddin
Ketua Wanita Keadilan Malaysia

Khamis, September 09, 2010

Apabila berakhirnya Ramadhan...

  • Apabila berakhir bulan Ramadan, menangis wali-wali Allah kerana terpisahnya bulan yang paling mulia yang digandakan ibadat berlipatkali ganda daripada bulan bulan yang lainnya, bulan Allah mudah menerima ampun dan taubat hambaNya, bulan yang banyak sekali diturun rahmat ke alam, bulan yang terdapat padanya malam Lailatul Qadar, suatu rahmat dan rahsia yang dikurniakan kepada hamba-hamba Nya yang  solihin, yang tidak terdapat pada bulan bulan yang lainnya. Mereka menangis kerana belum tentu akan dapat menemui bulan termulia ini pada tahun hadapan...
  • Apabila berakhirlah malam bulan Ramadan, menangislah tujuh petala langit dan tujuh petala bumi, dan segala malaikat, kerana berlalu Ramadan maka berlalulah kelebihan, sebab musibah bagi umatku, dan duduk segala malaikat bagi musibah, lalu bertanya : Ya Rasullullah, apa itu musibah ? Jawab rasullullah (s.a.w), Kerana segala doa padaNya itu mustajab, sedakah makbul, segala kebajikan digandakan dan seksa kubur diangkat, maka apakah musibah yang terlebih besar daripada ini bagi umatku?! (Al-Hadith)

  • Malam Aidilfitri, malam raya, disunatkan kepada kita berjaga malam, beribadah, bertakbir "AllahuAkbar" sepanjang malamnya. Akan mendapat keampunan yang banyak, pahala yang besar, rahmat Allah tercurah kepadanya. Siapa yang menghidupkan dua malam raya (AidilFitri & AidilAdha) dengan ibadahnya dan takbirnya , tiada dimatikan hatinya pada hari yang dimatikan segala hati. (Al-Hadith).

Perutusan Eidulfitri DSAI 2010/1431H

Alhamdulilah syukur kepada Allah SWT, Yang Maha Penyayang dan Maha Mengasihani, kerana dengan limpah KurniaNya, berjaya kita menyempurnakan ibadah puasa di Bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini.


Menjelang Syawal, saya mengambil kesempatan ini, mewakili keluarga dan Parti Keadilan Rakyat mengucapkan Salam Eidulfitri kepada seluruh umat Islam. Saya berharap kita menyambut hari yang penuh bahagia ini dengan mengingati saudara kita yang berada dalam penderitaan walau di mana pun mereka berada. Tatkala kita semua menyambut hari lebaran dengan rasa syukur dan meriah bersama keluarga, ada di kalangan kita yang meratapi pemergian mereka yang dikasihi. Moga Allah Yang Maha Besar memberi kesabaran buat kita semua.


Eid ul Fitr, salah satu dari maknanya adalah hari di mana kita sedar dan kembali kepada fitrah, mengingatkan sesungguhnya kita dicipta sebagai makhluk yang penuh kasih sayang, bukannya kebencian. Ramadhan selama hampir sebulan itu sewajarnya memupuk nurani kita untuk menghindarkan rasa dengki, benci dan dendam. Sering diungkapkan bulan yang mulia itu madrasah ampuh buat melebur dinding hitam pekat yang merosak jiwa dan qalb, serta memangkin kemurnian agar kembali dengan rasa kasih yakni fitrah kita sebagai insan mahkluk kepada Pencipta Yang Agung.


Malangnya sepanjang Ramadhan, masih ada yang menabur kebencian, fitnah dan berharap untuk memecah belahkan sesama kita. Menuduh dan menuding menjadi amalan dan budaya. Tatkala masyarakat menginginkan jurang perbedaan dirapatkan, fitnah dan kebencian disemai rekayasa golongan pelampau yang alpa akan fitrahnya sebagai makhluk. Keangkuhan meresapi diri kerana merasa tidak terkalahkan dan ramai.


Makanya saya memohon izin berkongsi ibrah dari sirah Rasulullah SAW ketika Perang Hunain yang meletus pada bulan Syawal. Selepas kejayaan Pembukaan Kota Mekah, umat Islam ternyata begitu bersemangat, oleh itu ketika menuju medan perang, ada yang mula mengungkapkan


di hari ini kami tidak akan terkalahkan”


Keangkuhan menjalar dan merasuk! Seperti yang kita semua ketahui, umat Islam kalah pada pusingan awal sehinggalah ampunan dan pertolongan dari Allah SWT tiba merubah kekalahan yang sebelumnya hampir pasti. Turunlah ayat 25, Surah at Taubah yang menegur dan mengingatkan umat Islam:


“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.”


Allah SWT menempelak sikap yang tergelincir jauh dari fitrah, iaitu gagal bersikap merendah hati dan pemurah serta mengasihani. Mengakhiri pesan ringkas sempena sambutan hari yang penuh keberkatan ini, saya nukilkan pesan dari Quran yang mulia, ayat 128, Surah al Nahl, buat menjadi pedoman untuk saya dan semua,


sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang berbuat kebajikan”


Moga Eid ul Fitr tahun ini mendorong kita untuk merenung diri dan menjana perubahan agar tidak tidak tergelincir dari fitrah yang murni serta luhur. Bersesuaian dengan pesananNya, perbanyakkan lah amal dan berbuat kebajikan.


Salam Eidulfitri

Minal ‘aidil wal faiziin.
Maaf zahir dan batin.


ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat


Rabu, September 08, 2010

‘Eidul Fitri Hari Kemenangan Ummah

Ramadan yang diberkati baru sahaja meninggalkan kita. Sebulan berlalu terasa begitu pantas.

Sebaik sahaja bermula 10 terakhir Ramadan, junjungan kita Nabi Muhammad SAW dan para sahabat, tabi’in dan salihin mulai merasa hiba, sedih dan pilu. Bulan yang kita lalu penuh nikmat ini akan pergi. Bulan yang sarat dengan keredhaan, rahmat dan pengampunanNya ini akan berlalu. Tidak ada jaminan kita akan menemuinya lagi pada tahun mendatang.

Ramadan ini hakikatnya bulan luar biasa. Dibulan yang rahmat ini, begitu mudah kita menahan lapar dan dahaga selama sebulan. Juga, kita begitu selesa melaksanakan solat tarawih dan amal ibadat di malam hari yang lain. Malah, dibulan mulia ini juga kita berupaya mengawal segala anggota lahir dan batin kita supaya bersungguh-sungguh melakukan apa yang diredhai Allah. Terbukti, bahawa kita mampu mengawal tuntutan nafsu dan syahwat kita jika kita mahu. Namun, bukanlah mudah untuk kita mengulangi amalan seperti ini di bulan-bulan yang lain. Inilah kemulian dan istimewanya Ramadhan.

Kini, 1 Syawal kembali menjelma. Sesungguhnya ‘Eidul Fitri mempunyai erti yang cukup ma’nawi bagi setiap perorangan Muslim. Ia adalah tanda kemenangan (falah). Kemenangan yang hakiki di sisi Allah SWT hanyalah bagi mereka yang telah berjaya melaluinya melaluinya dengan penuh keimanan, ketaqwaan dan ketekunan. Maka itu, berasa bahagialah bagi mereka yang memenanginya. Dan merugilah bagi mereka yang telah ditewaskan.

Sambutan ‘Eidul Fitri ini akan menjadi cukup berarti andainya kita berupaya mengekalkan kualiti diri seperti mana yang diamalkan di Ramadan yang lalu. Kita perlu bertekad secara serius untuk mengangkat martabat diri sebagai khaira ummah. Ia hanya akan dicapai dengan memiliki shakhsiyyah zahiriyyah dan ma’nawiyyah iaitu penghayatan nilai kerohanian yang tinggi, memiliki akhlak mulia serta kekuatan ilmu yang mencerahkan akal dan mata hati batin (basirat ul-qalb).

Justeru, selain kegembiraan dengan kehadiran syawal, ‘Eidul Fitri juga bererti ruang untuk kita mengekalkan amalan mengawal nafsu ammarah diri yang rakus dan menundukkannya kea rah ketaqwaan kepada Allah. Malah, kita wajib berikhtiar membanteras segala bentuk kemunkaran – kezaliman, salah guna kuasa, kebiadaban, pembohongan, penghinaan, pemfitnahan dan lain-lain amalan keji (mazmumah) yang terkutuk disisi Tuhan yang Maha Esa. Jangan hendaknya kesucian ‘Eidul Fitri ini dinodai dengan dosa-dosa baru setelah kita dijanjikan oleh Allah SWT kembali kepada fitrah suci diangkat darjat kepada kelompok insane yang bertaqwa disepanjang Ramadan yang lalu.

Selanjutnya, ‘Eiidul Fitri ini adalah saat yang terbaik untuk meningkatkan kualiti silaturrahim sesama keluarga, jiran dan sahabat handai serta memberikan keprihatinan kepada golongan lemah dan kurang bernasib baik tanpa mengira agama dan kaum, sesuai dengan sifat Islam itu sebagai agama rahmat ke seluruh alam.

Dengan warkah ini, Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA) KeAdilan mengucapkan Selamat Menyambut ‘Eidul Fitri kepada seluruh kaum Muslimin. Semoga sambutan kali ini mendapat barakah dari Allah SWT. Maaf Zahir dan Batin.

Dr. Muhammad Nur Manuty
Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA)



Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...