BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya

Selasa, Ogos 31, 2010

KENYATAAN MEDIA: Isu Bukan Islam Masuk Masjid

Kenyataan Media dari Pengerusi Biro Pemahaman & Pemantapan Agama Parti KeADILan Rakyat

Bagaikan menahan lukah di pergentingan, Umno dan para kuncunya tidak habis-habis menerkam apa jua kesempatan dan isu sebagai modal mempertahan survival politik perkauman mereka.

Seperti biasanya, bagaikan jerat sudah mengena, Umno dan para pendokongnya mengambil kesempatan ke atas tindakan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat bukan Islam yang telah memasuki masjid dan surau baru-baru ini.

Peristiwa Dr. Xavier Jayakumar berucap di dewan utama sebuah masjid di Taman Sri Andalas, Klang pada Ogos 2009 yang lalu, telahpun hampir dilupakan. Kini tindakan Teo Nie Ching (Ahli Parlimen DAP Serdang) masuk ke Surau Al-Huda, Kajang dan William Leong (Bendahari PKR, Ahli Parlimen PKR Selayang) masuk ke dalam Masjid At-Taqwa, Selayang Baru pula dijadikan isu besar.

Untuk menjelaskan pendirian kami mengenai isu ini, kami ingin membawa perhatian semua pihak kedudukan perkara ini dari perspektif fiqh (hukum hakam Islam). Sekurang-kurangnya ada empat pandangan mengenai masalah ini.

Empat pandangan mazhab

Pertamanya: Mazhab Hanafi yang membenarkan bukan Islam memasuki semua masjid. Keduanya: Mazhab Syafie yang membenarkan masuk kesemua masjid melainkan Masjidil Haram dan kawasan tanah haram Makkah.

Ketiganya: Mazhab Hanbali yang membenarkan untuk memasuki Masjidil haram dan lainnya setelah mendapat kebenaran dari umat Islam atas tujuan-tujuan yang munasabah. Akhirnya, Mazhab Maliki yang tidak membenarkan memasuki semua masjid melainkan kerana darurat kerja.

Beberapa peristiwa di zaman Rasulullah SAW juga boleh dijadikan panduan. Baginda pernah membenarkan ramai orang-orang bukan Islam masuk dan tinggal lama di masjid. Rasulullah juga diriwayatkan pernah menerima tetamu Kristian dari Najran di dalam masjid Madinah, malah diizinkan oleh Nabi s.a.w untuk menunaikan sembahyang mereka di dalam masjid dan Nabi menyebut kepada sahabat: "Biarkan mereka (untuk melunaskan sembahyang mereka)."

Kepelbagaian pandangan ini menggambarkan keluasan hukum Islam dalam persoalan yang digembar-gemburkan sebagai isu besar ini. Hakikatnya, majoriti ulama silam dan kontemporari jelas mengharuskan bukan Islam memasuki masjid-masjid biasa dengan syarat-syarat tertentu seperti keperluan mendapat keizinan umat Islam atau badan berkuasa Islam, mempunyai sebab yang munasabah dan menjaga adab-adab yang telah ditetapkan.

Oleh yang demikian, kami berpendirian bahawa adalah tidak wajar bagi siapa jua untuk menyempitkan sesuatu yang tidak jelas dari sudut nas-nasnya dan dalil-dalilnya. Apatah lagi jika kita sememangnya berpegang dengan mazhab al-Syafie sebagai mazhab rasmi umat Islam di Negara ini.

Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan

Lebih jauh lagi, sikap menghalang bukan Islam memasuki masjid ini adalah bertentangan dengan semangat yang diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat-syarat yang telah ditentukan.

Amalan menerima bukan Islam memasuki masjid atas tujuan yang murni juga telah diamalkan di beberapa negara lain. Ia terbukti memberi nilai positif kepada keberkesanan pemahaman mereka kepada agama Islam, mengelakkan salah faham dan menjana interaksi yang harmoni dalam perhubungan di antara umat Islam dan bukan Islam.

Sewajarnya, para wakil rakyat Pakataan Rakyat demikian perlulah diberikan pujian kerana kesungguhannya dalam menjalankan tugasnya dengan baik kepada masyarakat majmuk di negara ini.

Apatah lagi ia memang telahpun mendapat kebenaran pihak pengurusan masjid dan dilakukan pula atas tanggungjawab mereka sebagai wakil Kerajaan Negeri Selangor.

Kekecohan yang digembar-gemburkan hakikatnya akan memakan tuan. Inilah gambaran kegagalan Umno selama ini dalam mendidik rakyat mengenai hakikat Islam. Sikap seperti ini akan menyuburkan pendirian fanatik melulu di kalangan orang Islam yang kurang berilmu.

Lebih menghinakan apabila berita mengenainya ditokok tambah dengan pelbagai fitnah baru demi mencapai matlamat politik sempit yang diperjuangkan. Kita sentiasa mengingatkan bahawa umat Islam tidak boleh merelakan diri mereka terus dibelenggu dalam kerangka pemikiran sempit politik perkauman dan agama ala Umno ini.

Ini akan menjadikan kita semakin lesu dan masyarakat bukan Islam pula semakin menjauh dari kita. Yakinlah bahawa, kerja mereka ini akan menjadi sia-sia seperti mencari umbut di dalam batu.

Hakikatnya, tanpa mereka jangka, krisis yang mereka wujudkan ini akan menjadikan orang Melayu dan masyarakat Islam lebih memahami agamanya secara total dan lebih berkeyakinan bahawa Islam dan masyarakat Melayu akan lebih terjamin di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat pada masa depan.

Inilah keyakinan kita kerana Islam itu tinggi dan merupakan agama yang membawa rahmat untuk seluruh alam.


Dr Muhd Nur Manuty
Pengerusi
Biro Pemahaman & Pemantapan Agama
Parti KEADILAN Rakyat


Sabtu, Ogos 28, 2010

Apabila Jahil Menguasai Ilmu

Oleh : Ibnu Mokhtar

Soalan: Apakah hukum dalam Islam jika non-Muslims memasuki masjid utk membuat baik-pulih/ ubah-suai, menyampaikan ucapan, atau belajar lebih lanjut mengenai Islam?

Jawapan oleh Syeikh `Atiyyah Saqr, & Syeikh Muhammad Saleh Al-Munajjid :

Adalah ditegaskan yang Islam menggalakkan toleransi dan kewujudan bersama secara aman antara Muslims dan non-Muslims. Jika non-Muslim masuk ke masjid untuk menyampaikan ucapan yang boleh membawa kepada persefahaman lebih baik, maka ia amat dialu-alukan dan digalakkan mengikut pandangan agama. Islam ialah agama yang mengamalkan dialog yang bermanfaat dalam maksud sebenar. Sejarah Muslim ialah satu contoh yang baik berkenaan hal ini.

Sheikh `Atiyyah Saqr, bekas ketua Jawatankuasa Fatwa Al-Azhar, menjelaskan pandangan Fuqaha berkenaan hal ini seperti berikut:

Allah SWT berfirman, "Hai orang-orang yang beriman, Sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu najis (tidak suci), maka janganlah mereka mendekati Masjidil Haram sesudah tahun ini. Dan jika kamu khawatir menjadi miskin maka Allah nanti akan memberimu kekayaan kepadamu dari karuniaNya, jika Dia menghendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana."  (At-Tawbah 9: 28)

Allah SWT berfirman lagi, 
"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu shalat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan, (Jangan pula hampiri mesjid) sedang kamu dalam keadaan junub, terkecuali sekedar berlalu saja, hingga kamu mandi…"  (An-Nisaa’ 4: 43)

Berpandukan ayat-ayat ini, majority Fuqaha, termasuk mereka dari Mazhab Fiqah Maliki, Shafi`i dan yang lain, menegaskan yg musyrikin/penyembah berhala tidak dibenarkan utk memasuki Masjidil Haram di Makkah.

Bagaimanapun, mereka berpendapat tidak salah kalau Orang Kristian dan Yahudi memasukinya di tempat lain. Mereka berpendapat hukum ini hanya diguna-pakai kepada Masjidil Haram di Makkah juga kawasan persekitarannya. Abu Hanifah, bagaimanapun, berpendapat musyrikin/penyembah berhala boleh masuk ke Masjidil Haram di Makkah selagi dia tidak tinggal atau menetap disitu. Dia menafsirkan tidak suci sebagai kekotoran spiritual (syirik).

Untuk masjid lain selain Masjidil Haram di Makkah, Fuqaha Madinah melarang non-Muslims dari memasuki masjid kerana non-Muslims dianggap oleh al- Qur’an sebagai tidak suci. Imam Ahmad diriwayatkan berkata mereka boleh masuk ke masjid dengan kebenaran Muslims.

Ini disokong oleh riwayat yang Rasululllah (SAW) membenarkan penduduk At-Ta’if untuk tinggal di masjid sebelum mereka memeluk Islam. Baginda juga menerima Orang Kristians dari Najran dlm masjid baginda di Madinah. Apabila masa sembahyang mereka sampai, mereka bersembahyang di masjid mengadap arah timur. Maka Rasululllah (SAW) bersabda (kepada Sahabat), “Biarkan mereka (utk menunaikan sembahyang).”

Di bawah tajuk ‘Musyrik Masuk Ke Masjid’, Al-Bukhari, dalam Sahihnya menyebut yang Thamamah ibn Athal (sedangkan dia seorang Musyrik) diikat dalam masjid.

Dalam Fath al-Bari, Ibn Hajar menyebut terdapat pelbagai pendapat mengenai hal ini. Fuqaha Hanafi memberikan kebenaran tanpa syarat sedangkan ulama Maliki dan al-Mazni diriwayatkan melarangnya langsung. Ulama Shafi`i membezakan antara Masjidil Haram dengan masjid lain. Terdapat satu pendapat yang kebenaran itu hanya dihadkan kepada Ahli Kitab tetapi ini di bantah dengan kes Thamamah yg disebutkan di atas.

Sheikh M. S. Al-Munajjid, penceramah dan pengarang Islam dari Arab Saudi, menyatakan:

Adalah diharamkan kepada Muslims untuk membenarkan sebarang non-Muslim untuk masuk ke Al-Masjid Al-Haram di Makkah dan persekitarannya yang suci, kerana Allah berfirman:

"Hai orang-orang yang beriman, Sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu najis (tidak suci), maka janganlah mereka mendekati Masjidil Haram sesudah tahun ini. Dan jika kamu khawatir menjadi miskin maka Allah nanti akan memberimu kekayaan kepadamu dari karuniaNya, jika Dia menghendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana."  (At-Tawbah 9: 28)

Menurut pendapat mazhab Shafie dan Hambali:
Orang-orang kafir boleh masuk ke dalam masjid lain selain dari Masjidil Haram kerana ada urusan tertentu, dengan syarat mendapat keizinan dari orang Islam. Ini adalah kerana tegahan dalam ayat tersebut khusus bagi Masjidil Haram sahaja, dan Nabi (S.A.W) pernah dikunjungi oleh satu rombongan dari penduduk-penduduk Taif dan mereka ditempatkan dalam masjid sebelum memeluk Islam.

Jika ada golongan yang mengatakan ianya adalah haram. Bagaimana pula dengan non-Muslim yang dibenarkan memasuki masjid untuk tujuan mengenal Islam seperti di Masjid Negara, Masjid Shah Alam, Masjid Wilayah, Masjid Putrajaya dan sebagainya? Bagaimana pula dengan non-Muslim yang membaik-pulih struktur dalaman Masjid? Tidakkah semua tuduhan dan isu yang dimainkan oleh puak JUMUD LAGI BERLUMUT ini hanyalah sekadar mainan politik semata? Fikir-fikirkan !!!

Kesimpulannya:

Pandangan tepat ialah ianya dibenarkan jika ia menepati matlamat Shari`ah atau menepati sebab penting, seperti jika non-Muslim perlu masuk ke masjid untuk mendengar sesuatu yang mungkin menggalakkannya utk memeluk Islam, atau dia perlu minum air, atau seumpamanya. Ini adalah antara tujuan Rasulullah (SAW) dalam hal ini; dia mengikat (tawanan baginda ) Thamaamah ibn Athal Al-Hanafi dalam masjid sebelum dia menjadi Muslim, dan rombongan dari Thaqif dan Kristian dari Najran tinggal di masjid sebelum mereka memeluk Islam. Sebenarnya, banyak manfaat yang bakal diperolehi dari hal ini: mereka boleh mendengar ucapan dan khutbah Rasulullah (SAW) untuk melihat orang solat dan membaca al- Qur’an, dan sebagainya. (Fatwa Al-Lajnah Al-Da’imah – Jawatankuasa Tetap Untuk Kajian Islam dan Ifta’)

Maka, jika non-Muslims memohon untuk masuk ke masjid dengan tujuan untuk melihat bagaimana Muslims bersolat, cara muslim melaksanakan ibadah puasa (berbuka) tiada salah dalam hal itu, selagi mereka tiada sesuatu yang boleh mencemarkan masjid itu, dan perempuan mereka tidak berpakaian menjolok mata, atau sebarang alasan lain yang menghalang mereka dari masuk ke masjid. Jadi mereka boleh masuk dan duduk di belakang Muslims untuk melihat bagaimana mereka sembahyang.

Berdasarkan kepada Fatwa di atas, kita boleh katakan yg non-Muslim, termasuk Orang Kristians dan Yahudi, dibenarkan untuk masuk ke masjid, tetapi mereka patut mentaati syarat berikut:

1- Non-Muslim dibenarkan untuk masuk ke masjid – selain dari Masjidil Haram di Makkah – dengan kebenaran awal dari Muslim.

2- Mereka mesti ada alasan kukuh untuk masuk ke masjid.

3- Mereka mesti menghormati kemuliaan masjid dan beringat yg itu ialah tempat suci untuk beribadah.

4- Lelaki dan perempuan tidak dibenar membuka aurat semasa masuk ke masjid. Berkenaan dengan hal baik-pulih/ubah-suai. Kita berpendapat yang Muslims mesti diberi keutamaan dalam melaksanakan kerja itu, melainkan jika ia sangat perlu untuk meminta pertolongan dari non-Muslims. Ada keperluan yang memerlukan pertolongan dari mereka, terutamanya dalam hal berkaitan masjid.

Selasa, Ogos 24, 2010

Ahad, Ogos 22, 2010

Kenyataan Media Pakatan Rakyat Pulau Pinang

Mesyuarat tergempar PR dipanggil hari ini berikutan permainan isu “Guan Eng gantikan Agong” yang digembar-gemburkan oleh UMNO dan media massa. Permainan politik oleh UMNO ini adalah begitu karut kerana hanya orang tak siuman dan berniat jahat baru berani menggantikan nama DYMM YDP Agong dengan nama lain.


Dalam mesyuarat tersebut Ahli EXCO Negeri Pulau Pinang portfolio agama Islam YB Abdul Malik Kassim telah menjelaskan teks khutbah yang disediakan oleh MAINPP dan JAIPP.


10 usul telah diluluskan dalam mesyuarat tergempar PR Pulau Pinang yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Pakatan Rakyat Lim Guan Eng:-

1. Melafazkan ikrar taat setia kepada DYMM Yang di Pertuan Agung sebagai pemimpin terunggul negara atau Kepala Utama bagi Persekutuan menurut Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan dan juga sebagai Ketua agama Islam bagi Negeri Pulau Pinang menurut Perkara 5(2) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.


2. Melafazkan ikrar taat setia kepada Yang di Pertua Negeri Pulau Pinang mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.


3. Menegakkan Islam sebagai agama rasmi negeri; tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan harmoni menurut Perkara 5(1) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.


4. Mengulangi sokongan ke atas dasar kerajaan negeri Pulau Pinang yang diumumkan oleh Ketua Menteri mengharamkan judi bola yang pada awalnya diluluskan oleh UMNO.


5. Menyokong pemberian kewangan khas Hari Raya Aidilfitri yang diumumkan oleh YAB Ketua Menteri Pulau Pinang sebanyak RM 400 kepada semua ahli pentadbiran kerajaan negeri, MPPP, MPSP dan agensi kerajaan negeri yang dibuat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia.


6. Mengutuk amalan politik kotor dan jahat UMNO dan media massa yang dikuasai ini yang memainkan isu “Guan Eng gantikan Agong” dalam doa khutbah kedua solat Jumaat yang merupakan satu fitnah jahat yang dilakukan terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang dalam bulan Ramadan yang mulia ini.


7. Menafikan dengan keras dakwaan UMNO kerana teks khutbah Jumaat yang disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) tidak pernah menggunakan nama Ketua Menteri bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong serta Kerajaan negeri, JHEAIPP atau YAB Ketua Menteri sendiri juga tidak pernah menerima atau mengeluarkan arahan secara lisan mahupun bertulis kepada mana-mana pihak untuk menggunakan nama Ketua Menteri.


8. Mendesak UMNO mengambil tindakan terhadap mana-mana khatib/imam mesjid yang dapat dibuktikan telah terpesong atau lari daripada teks khutbah yang disediakan dengan menggantikan nama DYMM YDP Agung dengan nama YAB Ketua Menteri Pulau Pinang.


9. Mendesak BN dan UMNO hentikan permainan politik kebencian di kalangan orang ramai yang menimbulkan ketegangan kaum dengan cuba mengaitkan imam/khatib yang tidak mengikut teks khutbah yang disediakan, kalau ada, dengan fitnah penggunaan nama YAB Lim Guan Eng diarahkan oleh kerajaan negeri.


10. Menyeru rakyat and penyokong PR bersikap tenang dan tidak masuk perangkap UMNO untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada program baik kerajaan negeri meluluskan program pemberian kewangan khas Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM 400 kepada semua ahli pentadbiran dan agensi kerajaan negeri, pemberian tahunan RM 100 wang penghargaan warga emas, menambahkan peruntukan hal ehwal Islam sebanyak 100% kepada RM 24.3 juta pada 2010 berbanding dengan RM12.5 juta pada 2008 dengan sumbangan Ihya Ramadan dan bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), serta mengharamkan perjudian bola selaras dengan prinsip amar maaruf nahi mungkar.


YB Dato Mansor Othman

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang

Pengerusi PKR Pulau Pinang


YB Chow Kon Yeow

Pengerusi DAP Pulau Pinang


Ustaz Rosidi Hussain

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang



Polemik Politik Pulau Pinang - HUKUM MENDOAKAN ORANG YANG BUKAN MUSLIM

Oleh : Ibnu Mokhtar

Kita sebagai umat muslim haruslah membezakan antara mu'amalah dengan ibadah mahdhoh. Hubungan sesama yang bukan muslim adalah bentuk daripada salah satu cabang muamalah. Inilah yang perlu kita perhatikandan mengambil berat:

PERTAMA: BERTAKZIAH KAPADA ORANG YANG BUKAN MUSLIM

Para ulama telah menyepakati bahawa bertakziah kepada orang yang bukan muslim hukumnya boleh (harus). Termasuk berbuat baik, bermu'amalah, berjiran tetangga, saling bertukar hadiah dan seterusnya. Sama dengan halnya menziarahi kawan-kawan, jiran yang bukan muslim ketika sakit.

Perilaku ini dibenarkan berdasarkan teladan Nabi SAW di masa lalu, dimana beliau pernah mengunjungi jenazah orang kafir. Dan Syara' tidak melarang kita untuk melakukan hal ini, kerana tidak ada nash yang melarangnya. Termasuk juga yang dibolehkan adalah mengucapkan bela sungkawa (takziah) kepada keluarga atau kerabatnya.

Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karena agama dan tidak mengusirkamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. (QS Al-Mumtahanah: 8)

Diriwayatkan bahwa Rasulullah SAW menjenguk seorang Yahudi yang dahulu pernah melayaninya dan akhirnya Yahudi itu masuk Islam. Hal itu diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dalam Al-adab Al-Mufrad, juga disebutkan oleh Ibnu Hajar dalam Al-Matalib Al-Aliyah.

Inti patinya ialah bermuamalah itu dibolehkan selama mana dalam koridor atau lingkungan syariah. Tokoh Hadith yang terkenal Imam Sufian At-Tsauri pernah berkata bahwa seorang muslim dibolehkan untuk bertakziah kepada orang bukan Islam yang mati, dan kepadanya disunnahkan untuk mengucap (lillahis-sultanwal azhamah), kekuasaan dan keagungan hanyalah milik Allah.

Al-Hasan berkata bila kamu bertakziah kepada orang kafir maka ucapkanlah, "Tidaklah menimpamu kecuali kebaikan."

Abu Ubdullah bin Baththah berkata,
"Yang diucapkan pada saat bertakziah kepada orang kafir adalah: Semoga Allah memberikan kepada atas musibah ini sesuatu yang lebih baik dari apa yang Allah berikan kepada siapapun dari orang yang memeluk agamamu."

Seorang muslim boleh memilih lafaz manapun yang lebih disukainya dari lafaz-lafaz di atas.

KEDUA: MENDOAKAN ORANG KAFIR

Hukum mendoakan orang kafir itu tergantung dari kandungan doanya dan pada saat atau ketika bila doa itu dipanjatkan. Berdoa kepada Allah SWT untuk orang kafir yang dibenarkan adalah mendoakannya agar mendapatkan hidayah agar masuk Islam. Sebagaimana dahulu Rasulullah SAW pernah berdoa agar Islam dikuatkan oleh salah satu dari dua Umar. Dan akhirnya Umar bin Al-Khattab masuk Islam.

Selain itu, doa yang dibolehkan adalah memintakan ampunan untuk orang kafir KETIKA MASIH HIDUP. Hal itulah berdasarkan dari hadits berikut ini:

Dari Abi Abdirrahman Abdillah ibni Mas'ud r.a. berkata, "Seolah aku masih melihat Rasulullah SAW tengah menceritakan seorang nabi di antara para nabishalawatuhu wa salamuhu alaihim yang dipukul oleh kaumnya hingga berdarah. Nabiitu lalu menyeka darah dari wajahnya seraya berdoa,"Ya Allah, ampunilahkaumku, karena mereka tidak tahu"." (HR Muttafaqun 'alaihi)

Namun memintakan ampunan bagi orang kafir yang SUDAH MENINGGAL DUNIA hukumnya haram. Dalilnya adalah ketika Rasulullah SAW meminta izin kepada Allah SWT untuk meminta ampunan dari Allah atas ibunya, permintaan itu ditolak Allah SWT. Dalil lainnya adalah sebagaimana yang telah ditetapkan dalam Al-Quran kisah meninggalnya Abu Thalib, di mana saat itu Rasulullah SAW ingin memintakan ampunan kepada Allah SWT atas dosa-dosa Abu Thalib. Saat itu turunlah ayat berikut ini:

"Tiadalah sepatutnya bagi Nabi dan orang-orang yang beriman memintakan ampun bagi orang-orang musyrik, walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka, bahawasanya orang-orang musyrik itu adalah penghuni neraka jahanam. Dan permintaan ampun dari Ibrahim untuk bapaknya tidak lain hanyalah kerana suatu janji yang telah diikrarkannya kepada bapanya itu. Maka, tatkala jelas bagi Ibrahim bahwa bapaknya itu adalah musuh Allah, maka Ibrahim berlepas diri dari padanya. Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang yang sangat lembut hatinya lagi penyantun." (QSAt-Taubah: 113 - 114)

"Orang-orang Yahudi berpura-pura bersin di majlis Rasulullah s.a.w dengan tujuan supaya Baginda bersabda dan mendoakan mereka dengan mendapat rahmat Allah – sebagaimana doa bagi orang-orang Islam apabila mereka bersin – Maka Baginda bersabda (kepada orang-orang Yahudi ketika mereka bersin) semoga Allah memberi hidayat kepada kamu dan membetulkan hal ehwal kamu."(HR Tirmizi)

Harus pula seseorang itu berdoa supaya orang bukan Islam itu beroleh hidayah dan petunjuk dari Allah SWT. Ini berdasarkan hadith:

"Thufail bin 'Amr datang kepada Rasulullah s.a.w lantas berkata: "Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kabilah Daus telah menderhaka dan enggan (menerima Islam), mohonlah (berdoalah) kepada Allah agar ditimpakan keburukan ke atas mereka." Orang-orang menyangka bahawa Baginda akan berdoa memohon sesuatu keburukan ke atas mereka (kabilah Daus). Maka Baginda bersabda: "Ya Allah! Berikanlah hidayat kepada kabilah Daus dan datangkanlah mereka sebagai orang-orang Islam." (Hr Bukhari)

Kesimpulan yang boleh saya buat di sini adalah, jika dipandukan daripada dalil atau nash yang ada di atas adalah tidak menjadi keharusan malah ianya menjadi haram ke atas seseorang muslim tersebut mendoakan supaya bebas dari azab dunia & akhirat, keampunan dari ALLAH SWT dan Rahmat (kesejahteraan) kepada ORANG KAFIR YANG TELAH MATI kerana ianya ditegah sama sekali oleh ALLAH SWT.

Tetapi lain pula halnya andai seorang muslim mendoakan ORANG KAFIR YANG MASIH HIDUP ke arah keampunan dan rahmat (selamat) serta diberikan hidayah atau petunjuk supaya dibukakan mata hati seseorang kafir untuk lebih mendekati dan mengamalkan nilai-nilai Islam tidak kira dia adalah pemimpin atau pun tidak maka hukumnya adalah dibolehkan (harus). Malah ianya adalah sunnah Rasulullah SAW. 
 
Wallahua'lam..
 

Rabu, Ogos 11, 2010

Harta Taib Mahmud Di Luar Negara, Mana SPRM?

Pendedahan dua dokumen yang membuktikan hubungan langsung antara Ketua Menteri Sarawak dengan sebuah syarikat hartanah berpangkalan di Amerika Syarikat iaitu Sakti International Corporation, bukan sesuatu yang mengejutkan.

Hakikatnya, Tan Sri Taib Mahmud dan harta kekayaan di luar negara sudah sinonim di kalangan rakyat banyak. Hanya pihak berwajib seperti suruhanjaya pencegahan rasuah Malaysia atau SPRM sahaja masih membatukan diri.

Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Baru Bian berkata rakyat Sarawak sudah lali dengan penyelewengan Taib Mahmud dan pada masa sama hilang kepercayaan terhadap SPRM untuk mengheret ketua menteri itu ke muka pengadilan.

Malaysiakini mendedahkan perjanjian bertulis lembaga pengarah Sakti International Corporation dengan adik beradik Taib Mahmud dan anak-anaknya memegang kepentingan 50 peratus bersamaan RM250 juta, bagi pihaknya.

Antara lain, Taib Mahmud menamakan adik beradiknya Onn dan Ariff, anak perempuannya Jamilah dan anak lelakinya, Mahmud dan Sulaiman.

“Ini adalah perkara yang diketahui ramai. Dan sudah dijangka dan disyaki dari dulu bahawa Taib Mahmud ada harta dan duit luar negera. Ini satu bukti yang kukuh," katanya kepada TV Selangor.

Sakti International dilapor memiliki beberapa hartanah di bahagian pantai barat Amerika Syarikat, antaranya  bangunan Abraham Lincoln di Seattle, bangunan yang juga menempatkan pejabat Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Unit Anti Pengganas Washington Fusion Centre.

Dalam konteks ini, Baru bian mempersoal sumber dana Taib Mahmud berkaitan hartanahnya di luar negara.

“Perkara sebegini yang besar berkaitan rasuah yang melibatkan berjuta- juta duit rakyat tidak dapat disiasat SPRM

Sebab itu, kita tidak yakin dengan SPRM kerana tidak membukti bahawa mereka  efektif. Tiada siasatan. Sikit sahaja mereka laksanakan tugas untuk siasat,” katanya.

Bagi Baru Bian, harta rakyat mesti dijaga bukan diperlaku sesuka hati.

“Harta rakyat mesti dipulangkan. Saya percaya harta rakyat yang dicuri perlu dipulangkan kepada rakyat,” katanya.

Ramadhan Al Mubarak - Penyucian Diri Untuk Kembali Kepada Fitrah

Perutusan Khas Ramadhan 1431H Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat: 

Manusia terdiri daripada dua unsur yang saling melengkapkan antara satu sama lain. Unsur tersebut ialah tubuh dan roh. Sejak zaman berzaman, tubuh jika mengalami sebarang masalah dapat dirujuk kepada bomoh dan hari ini digelar sebagai doktor. 

Kesemuanya ini dirujuk apabila tubuh ditimpa sebarang penyakit. Manakala roh ataupun jiwa, jika ditimpa masalah akan dirujuk kepada pawang. 

Selalunya penyelesaian kepada masalah ini ialah dengan mengadu kepada kuasa lain dengan cara yang khurafat. Lalu lahirlah amalan memuja pokok, sungai, batu, cakerawala dan sebagainya.

Semua ini menunjukkan keperluan untuk melunaskan fitrah manusia yang ingin bertuhan. Secara semulajadinya, manusia perlu kepada tuhan. Manusia sendiri tidak boleh menerima dengan akal bahawa dunia ini wujud tanpa pencipta. 

Lalu dengan keyakinan inilah, manusia mencari-cari siapakah yang perlu dirujuk ketika menghadapi sebarang masalah. Lahirlah dari rasa fitrah tersebut amalan-amalan khurafat yang wujud semenjak zaman dahulu kala.

Islam kemudiannya datang bukanlah sangat untuk mengajar manusia bahawa di dunia ini adanya tuhan kerana itu merupakan satu fitrah. Tetapi Islam datang untuk meletakkan fitrah manusia di landasan yang betul iaitu mengakui tuhan itu hanyalah Allah SWT. 

Jiwa dan rohani manusia dipandu dengan jelas agar mengakui bahawa zat yang layak untuk disembah hanyalah Allah SWT. Pengabdian inilah merupakan misi utama penciptaan manusia. Inilah tujuan hidup manusia yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Tujuan hidup ini tidak dapat disebut oleh mana-mana ahli fikir jika tidak merujuk kepada al-Quran. Ahli-ahli sains mungkin dapat menyebut apakah tujuan air, tanah, api, udara dan sebagainya. Demikian juga seorang ahli perubatan dapat menjelaskan khasiat ubat-ubatan yang dihasilkan. 

Namun, tujuan hidup siapakah yang dapat menjelaskan jika tidak Allah SWT sendiri? 

Sebagaimana seorang yang datang dari ceruk kampung berdepan dengan pelbagai mesin di gudang yang besar, tidak akan mengetahui fungsi setiap jentera dan suis yang dilihatnya kerana tidak mempunyai kemahiran. Orang yang mengetahui fungsi mesin yang pelbagai itu ialah jurutera yang menciptanya atau sekurang-kurangnya berkemahiran tentangnya. 

Demikianlah manusia, adalah mustahil seorang manusia mengetahui tujuan dia sendiri diciptakan jika tidak diberitahu oleh kuasa yang menciptakan manusia iaitu Allah SWT. Untuk memberitahu tujuan hidup inilah, dihantar rasul-rasul kepada manusia dari zaman berzaman. Merekalah yang ditugaskan untuk memandu manusia bagaimana hidup ini perlu diselaraskan sesuai dengan kehendak Allah SWT.

Jurupandu kepada umat ini ialah para anbiya’ khususnya di akhir zaman ini ialah Nabi Muhammad SAW. Baginda tidak mereka-reka jalan, baginda hanya menunjuk jalan berdasarkan al-Quran. Bulan Ramadhan inilah yang merupakan bulan penurunan al-Quran. Di antara sifat al-Quran ialah hudan linnas berasaskan firman Allah SWT :

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآَنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَان

Yang bermaksud : Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil)  - Surah al-Baqarah, ayat 185

Justeru, puasa sebagaimana ibadat-ibadat lain merupakan keperluan kepada fitrah manusia. Jika sekalipun ugama tidak mewajibkan puasa ini dilakukan, manusia sendiri tentunya akan mewajibkan ke atas diri mereka untuk berpuasa kerana manfaat yang banyak daripadanya termasuklah dari aspek kesihatan. 

Apatah lagi jika ia merupakan satu perintah daripada Allah SWT, lebih perlu untuk dilaksanakan sekalipun menempuhi sedikit kepayahan. Tanda taat tunduknya manusia kepada Tuhan mereka ialah mereka sanggup bersusah payah demi membuktikan kepatuhan mereka. 

Sebagaimana kita bersusah payah untuk anak-anak kita yang kita sayangi, maka demikianlah kita lebih utama untuk bersusah payah demi Tuhan yang kita yakini.

Inilah sebab mengapa setiap amalan di dalam Islam perlu diasaskan kepada niat yang ikhlas. Niat yang ikhlas dalam erti kata lain melaksanakan amalan semata-mata kerana ia merupakan perintah Allah SWT. Bukan sahaja beribadat seperti solat dan puasa, bahkan berpolitik, berniaga, bersosial, berumahtangga semuanya kerana Allah SWT. 

Hati perlu sentiasa diasuh untuk meyakini bahawa amalan yang dilakukan bukan kerana budaya turun temurun atau adat resam tetapi hanya kerana Allah SWT.

Manusia perlulah sentiasa yakin bahawa Allah SWT itulah yang bersifat dengan al-Khaliq (Yang Maha Mencipta), al-Baari (Yang Memberikan Kemampuan) dan al-Mushawwir (Yang Memberikan Bentuk). 

Keyakinan seperti ini membantu manusia untuk lebih meningkatkan amal ibadat kerana diyakini setiap amalan tersebut dinilai oleh Allah SWT yang menciptakannya. Keyakinan inilah juga yang akan mendorong manusia untuk berpuasa dengan sesungguh hati. Hilangnya keyakinan ini, hilang jugalah roh dari ibadat puasa tersebut sehingga menghilangkan ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT sebagaimana sabda Rasulullah SAW :

رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ

Yang bermaksud : “Betapa ramai orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan betapa ramai orang yang berqiyam tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya kecuali hanya berjaga malam..” – Riwayat Ibnu Majah

Selain itu, saya menyeru kepada seluruh rakyat Kelantan agar memperbanyakkan amalan membaca al-Quran, bersedekah, qiyamullail dan sentiasalah berzikir mengingati Allah SWT. Semuanya ini seharusnya sentiasa menjadi amalan rutin kita bukan hanya ketika di bulan Ramadhan tetapi sepanjang masa. Semoga bacaan al-Quran, sedekah, qiyam dan juga zikir yang kita amalkan sentiasa memandu kita di dalam mengurus tadbir hidup ini berpandukan apa yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Semoga Ramadhan pada tahun ini jauh lebih baik dari Ramadhan pada tahun-tahun yang lepas.


Perutusan Ramadhan Al-Mubarak oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Lim Guan Eng

Saya ingin berdoakan agar keberkatan dan kesucian bulan Ramadhan Al-Mubarak pada tahun 1431 Hijrah ini dapat dihalusi dan dinikmati semua berdasarkan perkongsian, pengorbanan dan sumbangan kepada masyarakat.

Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang akan terus berusaha mendirikan kerajaan berjiwa rakyat dengan berteraskan prinsip 3P - Perkayakan Rakyat, Perkuasakan Rakyat dan Perkasakan Rakyat- dan urus tadbir kerajaan Cekap, Telus dan Akauntabel (CAT).  Prinsip integriti dan kebenaran adalah penting dalam pentadbiran negara.

Kerajaan yang baik dan bersih akan dapat jimatkan wang untuk dikongsi bersama rakyat. Ini boleh dilihat buat pertama kalinya semua warga emas yang melebihi 60 tahun telahpun menerima RM 100 setiap tahun dan waris akan menerima buat pertama kalinya RM1,000 untuk urusan jenazah. Di samping itu, Pulau Pinang merupakan negeri pertama di Malaysia yang berjaya basmikan miskin tegar pada 2009.

Sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, saya memberi jaminan bahawa amalan CAT akan dilaksanakan tanpa pilih kasih bagi memastikan pentadbiran Kerajaan Negeri diteruskan dengan tiga teras pembangunan ekonomi yang digariskan iaitu merancakkan pertumbuhan ekonomi (pro-growth), mewujudkan peluang pekerjaan (pro-jobs) dan menjamin keadilan sosio-ekonomi (pro-poor).
 
Di bulan yang mulia ini juga, saya mengambil semangat Ramadhan Al-Mubarak yang penuh keberkatan ini untuk menyeru rakyat negeri Pulau Pinang agar mengelakkan fitnah walaupun mempunyai ideologi politik yang berbeza. Tindakan aibkan orang atau meniup sentimen perkauman berdasarkan pembohongan dan berita palsu memang kelaziman tidak sihat yang masih dimainkan. Contohnya dakwaan Perarakan Maulud diharamkan diulang-ulangi sungguhpun berjalan seperti dulu kala dan dengan lebih meriah. Ataupun demonstrasi ke atas dakwaan palsu Bazar Ramadan di Komtar diharamkan oleh sipenganjur yang telah kutip wang sewa daripada peniaga tetapi tidak serahkannya kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang(PDC).

Kerajaan negeri sedia menerima cabaran ini dengan tabah hati dan keyakinan serta anggapnya sebagai suatu ujian daripada Tuhan untuk melawan kemungkaran dan fithnah. Ini adalah kerana kerajaan negeri yakin orang Islam, dapat bezakan di antara benar dan salah, hak dan batil, antara maaruf dan mungkar.

Akhirnya, marilah kita menjauhi segala laranganNya bagi mendapatkan puasa yang sempurna sejajar sabda Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang berpuasa kerana iman dan mengharap pahala, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu".

Selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak, bulan rahmat yang penuh keberkatan.

Amal Makhruf Nahi Mungkar.

Selamat Menyambut Ramadhan Kareem

Tibalah bulan Ramadhan yang dinanti-nantikan umat Islam. Moga amalan ibadah puasa disempurnakan sebaiknya hingga meningkat kederajat taqwa . Kesempatan dan kerahmatan yag hadir bersama Ramadhan memberi ruang untuk dimanfaatkan oleh umat Islam mendekatkan diri kepada Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Ditegaskan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran lewat ayat 183 Surah Al-Baqarah:
“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kepada kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan atas orang-orang sebelum kami, supaya kamu menjadi orang yang bertaqwa..”
Ibadah puasa memupuk pendidikan jiwa dan ruhani, membuatkan kita bermuhasabah betapa ibadah ini bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. Ibadah di bulan Ramadhan menuntut kita untuk peka dengan lingkungan, menginsafi kekurangan diri dan masyarakat sekaligus membangkitkan hasrat melakukan kebaikan serta memperkukuh usaha menghilangkan kemudaratan. Menjalani tarbiyyah dan tazkiyyah sepanjang madrasah Ramadhan menemukan kita dengan dua medan; medan perjuangan dalam diri serta lingkungan. Inshaallah dengan rahmat serta kasih Allah SWT, kita akan terus beristiqamah berusaha menjalani ibadah puasa ini agar tercerna serta terpancar akhlak dan sahsiah yang terpuji.

Ramadhan kareem.
 
ANWAR IBRAHIM

PDC: Pengelola bazar gagal serah wang sewa

Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) menjelaskan bahawa pihaknya tidak pernah membuat keputusan untuk menghalang Bazar Ramadan di Komtar.

"Masalah utamanya adalah kegagalan pengelola Bazar Ramadan menyerahkan wang yang dipungut dari peniaga kepada PDC. Sehingga hari ini tidak ada satu sen pun yang dibayar kepada PDC," kata pengurus besarnya, Datuk Rosli Jaafar.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, PDC telah mengadakan satu perbincangan dengan peniaga terlibat dengan lot perniagaan Bazar Ramadan KOMTAR jam 2.30 petang semalam yang dihadiri 15 peniaga terbabit.

Juga hadir ialah wakil Persatuan Peniaga Komtar (KMA), Mohamed Ghani bin Abdul Jiman sebagai pengelola Bazar Ramadan.

Rosli berkata, PDC hanya memaklumkan bahawa pihak pengelola iaitu KMA, harus mengikut kesemua ketetapan, peraturan dan jumlah gerai yang ditetapkan.

Katanya, begitu juga dengan pembayaran yang sehingga kini tiada dipatuhi oleh KMA.

"PDC juga ingin melihat agar Bazar Ramadan ini tidak terlalu sesak yang akan menyebabkan orang ramai sulit berurusan dengan pusat pentadbiran negeri dan boleh menjejaskan keselamatan.

"Tindakan KMA berurusan dengan peniaga tanpa mendapatkan kelulusan telah merugikan pihak peniaga yang telah membuat persiapan serta mengeluarkan perbelanjaan," tambah Rosli.

Bagi menyelesaikan isu ini, katanya, persetujuan telah dicapai antara pihak pengelola, peniaga dan PDC, iaitu:

1. Bersetuju sejumlah 25 lot gerai sahaja diperuntukkan di ruang legar konkos Paras 3, Komtar, bagi memberi lebih keselesaan kepada semua peniaga dan pengunjung.

2. Bersetuju agar memastikan barangan perniagaan tidak melebihi dua kaki dari sempadan gerai untuk menjamin keselesaan ruang.

3. KMA bersetuju membayar sebanyak RM50 sehari bagi setiap gerai kepada PDC. Manakala PDC akan menanggung kos pemasangan gerai dan alatan yang berkaitan. KMA perlu menjelaskan bayaran sewa kepada PDC selewat-lewatnya esok.

4. Atas persetujuan pihak peniaga, sekiranya KMA gagal mematuhi syarat-syarat PDC dan tidak menjelaskan bayaran yang telah dipersetujui , maka pihak peniaga bersetuju untuk berurusan secara terus dengan PDC dengan kadar yang sama.

5. Pihak PDC bersetuju untuk menyewakan pada harga yang sama yang dikenakan kepada peniaga sedia ada pada kadar RM50 sehari setiap gerai, seandainya PDC mengambilalih pengurusan penyewaan gerai-gerai tersebut.

6. Atas permintaan para peniaga juga, tarikh penyewaan ini akan bermula pada esok dan tamat pada 12 September.

7. Peniaga boleh memasuki gerai masing-masing serta-merta.

8. Semua peniaga yang telah berurusan untuk menyewa lot Bazaar Ramadan dengan KMA akan diperuntukkan sejumlah 25 lot yang akan diuruskan oleh KMA.

Rosli berkata, melalui hasil perbincangan bersama ini, PDC percaya tidak ada masalah yang dihadapi peniaga Bazaar Ramadan sepertimana yang dakwanya digembar-gemburkan oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab.

Anwar : PR contohi Kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz

Teladan kepimpinan berintegriti yang ditunjukkan Khulafa Rashidin Islam menjadi pegangan kerajaan Pakatan Rakyat dalam mengurustadbir negeri yang diamanahkan rakyat pada pilihanraya umum yang lalu.

Ketua Pembangkang Dato Seri Anwar Ibrahim menggesa Pakatan Rakyat untuk terus bertaut pada model kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz yang tegas dan tabah melaksanakan keadilan dan kesaksamaan untuk semua dan setiap lapisan masyarakat.

Dalam ucapannya pada Majlis Penyerahan Ehya Ramadhan di Jawi, Pulau Pinang, Anwar melahirkan rasa bangga dengan pentadbiran Kerajaan Negeri yang meraikan nilai-nilai Islam dalam lanskap sosio-politik Pulau Pinang.

Beliau berkata demikian selepas Pakatan Rakyat memberi bantuan kepada 56 buah surau dan 21 buah masjid dengan matlamat menjadikan rumah-rumah ibadat Islam sebagai nadi penggerak rakyat Pulau Pinang.

Bantuan ini diberi bagi meraikan kedatangan bulan suci Ramadhan, dengan harapan masjid dan surau di Pulau Pinang maju dan sentiasa diimarahkan.
Anwar melahirkan rasa terharu kerana suasana seperti ini tidak wujud ketika Barisan Nasional menerajui Kerajaan Negeri.

Beliau turut mengulas mengenai larangan penjualan arak di kawasan majoriti penduduk Melayu yang telah diputuskan dalam mesyuarat penuh Majlis Bandar Raya Shah Alam (MBSA) yang dikritik oleh Barisan Nasional, walhal cadangan itu adalah untuk kalangan umat islam agar menjauhi minuman keras.


Ahad, Ogos 08, 2010

Dakwa Juga Mahathir Berhubung Skandal PKFZ

Ahli Parlimen Hulu Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata Tun Dr Mahathir Mohamad  wajib diseret ke muka pengadilan berhubung pembabitan beliau sebagai Perdana Menteri dalam skandal Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ) yang membabitkan berbilion dana rakyat yang diselewengkan.

Beliau berkata apa yang diputuskan Kabinet pada masa itu bukannya dibuat di tepi longkang malahan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri yang mengetuai Jemaah Menteri mempunyai hak untuk menilai cadangan projek tersebut.

"Beliau sepatutnya bertanggungjawab dan bukannya Menteri Pengangkutan kerana sebagai Menteri, Liong Sik menurut apa yang diputuskan oleh Kabinet.

"Apa yang jelas di sini, Liong Sik telah dikambinghitamkan bagi menutup kesalahan pemimpin Umno-Barisan Nasional yang lain," ujarnya kepada Suara Keadilan ketika mengulas peranan Dr Mahathir berkaitan isu PKFZ.

Malahan kata Abdullah Sani, slogan 'Bersih, Cekap, Amanah' yang menjadi mantra Dr Mahathir semasa pentadbiran beliau sebenarnya tidak pernah berlaku tetapi sebaliknya ketirisan ekonomi ketika itu menyebabkan ekonomi menjadi lebih parah.

"Ini cuma merupakan retorik pentadbiran yang dilaung-laungkan oleh pemimpin Umno-BN. Akhirnya dalam kes skandal PKFZ ini, Liong Sik tidak akan didakwa.

"Ini adalah permainan politik Umno-BN, apa yang mereka lakukan cuma untuk menutup mata rakyat kononnya tindakan telah diambil terhadap individu berprofil tinggi yang terbabit dalam skandal tersebut," tegas beliau.

Sementara itu, Dr Mahathir dilaporkan berkata beliau sanggup memberi keterangan pada perbicaraan bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik yang didakwa memperdayakan Jemaah Menteri, jika dipanggil berbuat demikian.

Bagaimana pun bekas Perdana Menteri itu berkata beliau tidak pasti apabila ditanya sama ada beliau berasa dirinya telah diperdayakan oleh Liong Sik berhubung pembelian tanah untuk projek ”Mega Distribution Hub”.

Liong Sik didakwa menipu kerajaan sekitar 25 September 2002 dan 6 November 2002 dengan memperdayakan Jemaah Menteri untuk memberikan persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah untuk projek "Mega Distribution Hub" di Pelabuhan Kelang.

Beliau juga didakwa cuba menyembunyikan fakta berhubung penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan ke atas tanah seluas 43,538,200 kaki persegi yang dicadangkannya.

Anwar: Agak malang, Chua 'jahil dan bongkak'

Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membidas presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek kerana melabelkan negara-negara Islam sebagai tidak progesif dan korup. Katanya, tuduhan itu mencerminkan kejahilan dan sifat bongkak pemimpin BN itu.

Anwar, yang juga ketua umum PKR berkata beliau tidak bercadang menghukum mereka yang menentang Islam, tetapi komen Chua dianggap keterlaluan dan begitu jahil berhubung situasi sebenar masyarakat Islam.

Merujuk kepada amaran Chua kepada masyarakat Cina di negara ini berhubung kerjasama dengan PAS, Anwar berkata Malaysia perlu diselamatkan bagi memastikan masyarakat Islam dan bukan Islam memahami dan menghormati agama dan budaya satu sama lain.
Tak dapat terima

“Saya tidak mahu menghukum sesiapa kerana menjadi anti(Islam) tetapi dia telah mempamerkan kejahilan dan begitu bongkak. Bagi saya, ini tidak dapat diterima,” katanya pada sidang media selepas berucap pada persidangan Integriti Antarabangsa di Pulau Pinang.

“Saya tidak tahu, tetapi berdasarkan pergaulannya dengan Umno itu langsung tidak memperlihatkan bahawa beliau memahami dan menghargai perasaan prihatin masyarakat Islam,” katanya.

Chua pada Konvensyen Tahunan ke-33 MCA Kedah di Alor Star, semalam telah memberi tanggapan negatif kononnya negara-negara Islam itu “tidak progresif, korup, miskin dan terkebelakang”

Sehubungan itu, beliau membidas kedua-dua Umno dan PAS kerana menggunakan agama bagi meraih sokongan di kalangan masyarakat Melayu.

Menurut Chua, apabila dua parti Melayu yang dominan itu bersaing, kesannya akan wujud dasar-dasar yang tidak progresif - menyebabkan negara terperangkap dalam kategori penduduk berpendapatan sederhana untuk lebih 10 tahun.

Beliau juga berkata Umno telah menjadi lebih konservatif untuk bersaing dengan PAS bagi mendapatkan sokongan Melayu.

Pelajari Confucius

Pada majlis itu, Anwar juga memuji inisiatif kerajaan Pulau Pinang yang merintis ruang bagi masyarakat Islam dan bukan Islam untuk menghargai sumbangan positif sesama mereka.

“Dalam hal yang sama, sebagai seorang insan, saya cuba mempelajari Confucius, cuba membaca atau membaca semula Ramayana dan Mahabharata. Bagi saya, ini penting kerana ia sebahagian daripda lanskap negara kita yang terdiri daripada penduduk pelbagai bangsa dan agama,” katanya.

“Pemimpin juga mesti bergerak ke hadapan. Saya berpendapat kekuatan Pakatan Rakyat adalah kerana kami mengamalkan politik baru yang menghargai dan mempelajari kelainan setiap kaum dan suku bangsa,” katanya lagi.

“Gejala takut kepada Islam atau Islamic phobia dan pendirian anti-Islam telah diluahkan oleh beberapa pihak seperti (Samuel) Huntington tetapi untuk melihat pemimpin politik Malaysia terikut-ikut dengan kejahilan itu, adalah sesuatu yang agak malang,” tambahanya. 
 

Negara Islam tak progresif: DAP bidas MCA

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menganggap pandangan presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang memberi gambaran bahawa negara-negara Islam sebagai tidak progresif dan mengamalkan rasuah sebagai mengarut.

Menurut Lim, Chua pada Konvensyen Tahunan ke-33 MCA Kedah di Alor Star, semalam telah memberi tanggapa negatif kononnya negara-negara Islam itu “tidak progresif, korup, miskin dan terkebelakang”.

Katanya, Chua sepatutnya mendidik dirinya sendiri dalam sejarah tamadun Islam yang bukan hanya mengenai empayar global tetapi kaya dengan pelbagai khazanah seperti seni, ilmu hisab, perubatan, algebra dan astronomi.

“Negara-negara Islam juga dilanda masalah yang sama seperti India dan China sebelum ini. Hanya apabila India dan China menjadi bebas dan dimerdekakan oleh penjajah, barulah mereka menyedari potensi masing-masing dan mengambil tempat sewajar mereka di pentas dunia,” katanya ketika berucap di Persidangan Intergriti Antarabangsa di Pulau Pinang hari ini.

“Saya yakin negara-negara Islam mampu mengembalikan kegemilangan silam mereka, jika negara-negara berkenaan tidak lagi dikongkong seperti India dan China,” katanya.

Lim, yang juga adalah setiausaha agung DAP berkata sejarah membuktikan negara-negara Islam juga boleh mempunyai urus tadbir seperti yang berlaku semasa pemerintahan Umar Abdul Aziz yang menyaksikan jajahan Ummaiyyah menjadi pusat pendidikan dan perundangan yang cemerlang.

“Pilihannya adalah sama ada kita ikuti jejak atau model Umar Abdul Aziz berhubung mentadbir dengan integriti dan melasanakan urus tadbir yang baik ataupun memilih cara pentadbiran secara kukus besi dan mengamalkan rasuah,” tambahnya.

Lim merujuk kepada ucapan Chua semalam yang membidas kedua-dua Umno dan PAS kerana menggunakan agama bagi meraih sokongan di kalangan masyarakat Melayu.

Menurut Chua, apabila dua parti Melayu yang dominan itu bersaing, kesannya akan wujud dasar-dasar yang tidak progresif - menyebabkan negara terperangkap dalam kategori penduduk berpendapatan sederhana untuk lebih 10 tahun.

Beliau juga berkata Umno telah menjadi lebih konservatif untuk bersaing dengan PAS bagi mendapatkan sokongan Melayu.

Katanya, isu berkenaan sengaja ditimbulkan supaya masyarakat Cina di negara ini boleh berfikir memikirkan sejenak berhubung kerjasama DAP dengan PAS.

Chua juga mengingatkan masyarakat Cina di Malaysia supaya jangan terlalu optimistik dengan anggapan jika PAS memerintah, negara ini akan bebas daripada rasuah dan segala masalah lain akan lenyap. Katanya, ada antara negara yang mengamalkan rasuah terdiri daripada negara yang mempunyai majoriti masyarakat Islam.

Felda Dulu Bebas Hutang, Kini Rizab Menjunam Disebabkan Umno-BN

Bekas Timbalan Menteri Tanah Dan Pembangunan Koperasi, Datuk Dr Tan Kee Kwong berkata isu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berhadapan dengan isu bankrap timbul apabila agensi itu pada satu ketika dahulu mempunyai rizab tunai yang banyak dan bebas daripada bebanan hutang namun campur tangan pemimpin Umno-Barisan Nasional menjadikan keadaan semakin buruk.

Beliau juga membidas kenyataan Dr Yusof pada Forum Inovasi Felda yang mendakwa Pakatan Rakyat sengaja mencipta dakwaan palsu kononnya Felda muflis bagi memancing undi golongan peneroka dan meruntuhkan kubu kuat BN.

Dr Tan berkata Felda telah lari daripada tujuan awal penubuhannya untuk membantu golongan miskin dan kini menjadi konglomerat koperat yang tidak lagi memikirkan agenda rakyat.

"Apa yang sebenarnya telah terjadi dengan akaun 'balance sheet' agensi itu? Saya sudah periksa dengan beberapa orang pakar ekonomi, mereka kata harga sawit di pasaran sekarang ini sangat tinggi.

"Memandangkan harga sawit di pasaran sangat tinggi, pendapatan sebenar setiap peneroka Felda adalah di dalam lingkungan RM4,000 ke atas tetapi apabilaFelda memotong pendapatan itu untuk membayar balik pelbagai pinjaman, apa yang dapat di bawa balik oleh peneroka hanyalah RM300 sebulan.

"Saya nak tanya pada Dr Yusof, bolehkah beliau dengan pendapatan RM300 itu menampung keperluan harian anak cucunya," kata Dr Tan ketika dihubungi Suara Keadilan.

Beliau yang juga ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Pusat meminta Dr Yusof supaya membezakan antara Felda korporat dan Felda sebagai agensi kerajaan kerana ia adalah entiti yang berlainan.

Felda korporat hanya mengutamakan kepentingan pelabur dan pemegang saham berbeza dengan Felda isebagai badan kerajaan yang mempunyai peranan membantu rakyat jelas Dr Tan lagi.

Untuk membuktikan Felda masih kukuh di segi kewangan Dr Yusof mengeluarkan beberapa statistik termasuk peningkatan aktiviti kewangan agensi daripada RM9.17 bilion pada 2004 kepada RM15.37 bilion pada 2009.

Felda juga kini menjadi pembekal perladangan terbesar di dunia, dengan 811.140 hektar ladang kelapa sawit, terutama di Malaysia, dengan beberapa operasi di Indonesia.

Bekas TUDM dakwa dipenjara kerana adu kesalahan pegawai atasan

Nasib bekas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Faizzal Jinong Abdullah masih tidak terbela, meskipun lebih daripada 20 laporan polis, malah aduan dibuat terhadap Kementerian Pertahanan.  Faizzal mendakwa bahawa dirinya pernah dihumban ke penjara, malah keluarganya diberi layanan yang buruk kerana cubaannya untuk mengadu kesalahan pegawai atasan.

Justeru itu, ahli parlimen Parit Buntar-PAS, Mujahid Yusof Rawa (gambar kiri) tampil bersuara untuk menggesa agar kerajaan memberi layanan yang sewajarnya kepada bekas tentera, "Adalah menjadi satu perkara yang amat dikesalkan sekiranya layanan yang diberikan kepada seorang pesara tentera yang telah begitu lama berkhidmat dinafikan haknya untuk mendapat keistimewaan dan layanan yang sepatutnya."

Pemimpin PAS ini berkata, "Pihak berkuasa khususnya Kementerian Pertahanan haruslah mengambil insiatif dengan menjalankan siasatan tanpa melindungi mana-mana pihak yang bersalah.  Buktikan ketelusan yang ada dalam perkhidmatan tentera dengan membawa mereka yang bersalah ini ke muka pengadilan."

Air dan elektrik diputuskan

"Persoalannya kenapakah penderaan dan penindasan perlu dilakukan sekiranya tiada perkara yang hendak disembunyikan oleh mana-mana pihak?  Oleh kerana itu sekiranya pihak berkuasa telus dan jujur untuk melaksanakan undang-undang yang ada maka bawa mereka yang bersalah itu ke hadapan tanpa melindungi mereka dalam apa jua cara," katanya lagi.
 
Mujahid berkata demikian dalam sidang media yang diadakan di pejabat Ahli Parlimen Parit Buntar bersama-sama dengan bekas TUDM, Faizzal Jinong Abdullah yang mendakwa telah ditindas dan tidak mendapat pembelaan sewajarnya selepas persaraan beliau pada bulan Oktober 2008 yang lalu.

Faizzal yang telah berkhidmat selama 23 tahun mulai merasakan beliau dan keluarga ditindas dan diberi layanan yang buruk ketika bersama pasukan tersebut semasa mereka tinggal di kuarters tentera di Blok F4(0-2) di Kuching, Sarawak.

"Saya sekeluarga bukan saja dianiayai dengan bekalan elektrik diputuskan selama tiga bulan dalam keadaan gelap bersama enam orang anak yang berusia antara 5 hingga 17 tahun, tetapi juga dihumban ke dalam penjara apabila cuba untuk mengadu kesalahan pegawai atasan kepada pihak yang berkuasa," kata Faizzal.
 
Faizzal (gambar kiri) menceritakan kronologi peristiwa ini, "Sehingga ini lebih dari 20 laporan polis telah dibuat di Negeri Sembilan dan juga Sarawak, tetapi tiada satu pun yang diambil tindakan.  Pihak berkuasa membuat spekulasi dan menuduh saya tidak bekerjasama dengan mereka dalam program persaraaan tetapi sebaliknya mereka cuba menghalang saya dari membongkar penyelewengan yang berlaku sehinggalah pelbagai kezaliman dan penindasan yang telah dilakukan bukan saja terhadap saya tetapi juga keluarga."

Puluhan laporan polis

Isterinya Che Murni Dara Mat Zain turut menunjukkan bukti puluhan laporan polis yang telah dibuat bagi menuntut supaya mereka diberi pembelaan yang sepatutnya tetapi segalanya tidak berlaku.

"Aduan kepada Komander di Pengkalan Tentera Udara di Kuching dan juga di ibu pejabat TUDM di Kuala Lumpur pernah kita lakukan.  Begitu juga kepada Kementerian Pertahanan tetapi tiada apa-apa tindakan yang mereka ambil bagi membawa mereka yang menganiayai kami."
 
"Sebaliknya pelbagai cara dan bentuk penderaan mereka lakukan.  Ini termasuklah menghumban suami saya yang telah begitu lama berkhidmat dalam tentera ke dalam penjara sebelum ini.  Saya dan anak-anak diterbangkan secara spontan ke Semenanjung tanpa pengetahuan suami yang ditahan tanpa pembelaan," kata Che Murni Dara Mat Zain (gambar kanan).

"Kemudian kami ditempatkan di sebuah rumah di Negeri Sembilan tanpa mempunyai bekalan air dan elektrik sedangkan anak-anak saya masih kecil dan bersekolah.  Penindasan ini bukan saja setakat ini, sebaliknya ia berterusan apabila kad pengenalan awam suami saya yang sepatutnya mencatatkan juga nombor tentera beliau sebelum ini tidak dicatatkan walaupun kami menghadapi kesukaran yang begitu payah bagi mendapatkan kad pengenalan tersebut sebelum ini," katanya lagi.

Masih diancam dan diugut

Faizzal yang kini menetap di Jawi, Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan masih lagi menerima ancaman dan ugutan dari pihak tertentu yang membuat panggilan bagi mengancam keselamatan beliau dan keluarga.

"Sekiranya mereka yang bersalah masih tidak dibawa ke muka pengadilan di atas segala penyelewengan dan skandal yang mereka lakukan, maka selagi itulah ancaman dan ugutan akan terus kami sekeluarga terima."

"Oleh kerana itu adalah menjadi harapan saya dan keluarga bagi mendapat pembelaan yang sepatutnya dari pihak berkuasa bagi menjamin keselamatan kami supaya dapat hidup aman dan damai dalam sebuah negara yang merdeka dan membawa mereka yang bersalah ke muka pengadilan," tambahnya lagi.

Felda Bankrap oleh Suara Keadilan bukan Omong kosong?

Apa dah jadi dengan isu "Saman RM200 juta" terhadap akhbar Suara Keadilan berikutan artikel "Felda Bankrap" seperti yang diwar-warkan oleh Menteri UMNO Si Ahmad Maslan dulu. Tiba-tiba sahaja menyepi tanpa berita, menyebabkan rakyat dan sebahagian besar para peneroka tertanya-tanya status kes itu.

Jika sebelum ini, beliau begitu lantang dan bersemangat untuk mempertahankan agensi itu. Namun, kini nampaknya menikus dan terdiam apabila satu persatu penipuan dan penyelewengan Felda didedahkan kepada umum.

Malah, menurut Pengerusi Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda (ANAK), Mazlan Aliman bahawa banyak lagi pembongkaran mengejutkan jika kes tersebut dibawa ke mahkamah. Soalnya sekarang, kenapa tiba-tiba mereka menikus dan tidak lagi berani untuk mempertahankan diri?. Apakah dek kerana segala penipuan mereka itu sudah tidak dapat ditutup lagi?.

Terbaru, pendedahan tentang Felda membelanjakan RM2.42 billion untuk kerja tanam semula. Bayangkan mereka menggunakan wang sebanyak RM3,151 bagi setiap hektar. Sungguh mengejutkan, kos yang dikeluarkan oleh Felda untuk tujuan tersebut "bagai langit dengan bumi" jika dibandingkan dengan syarikat lain (2004-2009).

Difahamkan syarikat swasta seperti Sime Darby hanya membelanjakan RM936 per hektar dan IOI pula RM596 per hektar. Maknanya perbezaan sehingga RM2,215 per hektar dengan Sime Darby dan RM2,555 per hektar jika dibandingkan dengan IOI.

Ini bermakna Felda membelanjakan tiga kali ganda wang untuk tujuan tanaman semula dibandingkan dengan Sime Darby dan lima kali ganda dibandingkan dengan IOI. Bukankah ini bukti jelas bahawa mereka telah menyeleweng dan menipu rakyat termasuk para peneroka itu sebenarnya.

[Soalnya sekarang, kenapa mereka masih tidak mahu mengaku penyelewengan tersebut dan masih mahu "menegakkan benang yang basah". Tambah parah lagi apabila CEO Felda Venture iaitu Dato' Bakke Salleh dilantik pula mengetuai Sime Darby. Apakah orang seperti ini boleh dipercayai lagi?. Beliau melingkupkan Felda dan kini diberi kuasa besar pula untuk memimpin Sime Darby. Ini bermakna kerajaan UMNO BN jelas khianat kepada rakyat. Orang yang jelas telah gagal memimpin dengan baik dan menjejaskan kreadibiliti sesebuah agensi besar seperti Felda tiba-tiba dihantar pula untuk memimpin Sime Darby yang sudah bermasalah itu. Maknanya "masuk angin keluar asap" dan terbukti mereka cuba mempermainkan rakyat sebenarnya. Oleh itu, apakah kita harus percaya lagi dengan sandiwara politik yang dimainka oleh mereka ini agaknya. Lakukanlah perubahan dalam PRU-13 nanti]

Selasa, Ogos 03, 2010


Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...

ARKIB