BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya

Ahad, Ogos 08, 2010

Dakwa Juga Mahathir Berhubung Skandal PKFZ

Ahli Parlimen Hulu Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata Tun Dr Mahathir Mohamad  wajib diseret ke muka pengadilan berhubung pembabitan beliau sebagai Perdana Menteri dalam skandal Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ) yang membabitkan berbilion dana rakyat yang diselewengkan.

Beliau berkata apa yang diputuskan Kabinet pada masa itu bukannya dibuat di tepi longkang malahan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri yang mengetuai Jemaah Menteri mempunyai hak untuk menilai cadangan projek tersebut.

"Beliau sepatutnya bertanggungjawab dan bukannya Menteri Pengangkutan kerana sebagai Menteri, Liong Sik menurut apa yang diputuskan oleh Kabinet.

"Apa yang jelas di sini, Liong Sik telah dikambinghitamkan bagi menutup kesalahan pemimpin Umno-Barisan Nasional yang lain," ujarnya kepada Suara Keadilan ketika mengulas peranan Dr Mahathir berkaitan isu PKFZ.

Malahan kata Abdullah Sani, slogan 'Bersih, Cekap, Amanah' yang menjadi mantra Dr Mahathir semasa pentadbiran beliau sebenarnya tidak pernah berlaku tetapi sebaliknya ketirisan ekonomi ketika itu menyebabkan ekonomi menjadi lebih parah.

"Ini cuma merupakan retorik pentadbiran yang dilaung-laungkan oleh pemimpin Umno-BN. Akhirnya dalam kes skandal PKFZ ini, Liong Sik tidak akan didakwa.

"Ini adalah permainan politik Umno-BN, apa yang mereka lakukan cuma untuk menutup mata rakyat kononnya tindakan telah diambil terhadap individu berprofil tinggi yang terbabit dalam skandal tersebut," tegas beliau.

Sementara itu, Dr Mahathir dilaporkan berkata beliau sanggup memberi keterangan pada perbicaraan bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik yang didakwa memperdayakan Jemaah Menteri, jika dipanggil berbuat demikian.

Bagaimana pun bekas Perdana Menteri itu berkata beliau tidak pasti apabila ditanya sama ada beliau berasa dirinya telah diperdayakan oleh Liong Sik berhubung pembelian tanah untuk projek ”Mega Distribution Hub”.

Liong Sik didakwa menipu kerajaan sekitar 25 September 2002 dan 6 November 2002 dengan memperdayakan Jemaah Menteri untuk memberikan persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah untuk projek "Mega Distribution Hub" di Pelabuhan Kelang.

Beliau juga didakwa cuba menyembunyikan fakta berhubung penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan ke atas tanah seluas 43,538,200 kaki persegi yang dicadangkannya.



Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...

ARKIB