Bekas Timbalan Menteri Tanah Dan Pembangunan Koperasi, Datuk Dr Tan Kee Kwong berkata isu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berhadapan dengan isu bankrap timbul apabila agensi itu pada satu ketika dahulu mempunyai rizab tunai yang banyak dan bebas daripada bebanan hutang namun campur tangan pemimpin Umno-Barisan Nasional menjadikan keadaan semakin buruk.
Beliau juga membidas kenyataan Dr Yusof pada Forum Inovasi Felda yang mendakwa Pakatan Rakyat sengaja mencipta dakwaan palsu kononnya Felda muflis bagi memancing undi golongan peneroka dan meruntuhkan kubu kuat BN.
Dr Tan berkata Felda telah lari daripada tujuan awal penubuhannya untuk membantu golongan miskin dan kini menjadi konglomerat koperat yang tidak lagi memikirkan agenda rakyat.
"Apa yang sebenarnya telah terjadi dengan akaun 'balance sheet' agensi itu? Saya sudah periksa dengan beberapa orang pakar ekonomi, mereka kata harga sawit di pasaran sekarang ini sangat tinggi.
"Memandangkan harga sawit di pasaran sangat tinggi, pendapatan sebenar setiap peneroka Felda adalah di dalam lingkungan RM4,000 ke atas tetapi apabilaFelda memotong pendapatan itu untuk membayar balik pelbagai pinjaman, apa yang dapat di bawa balik oleh peneroka hanyalah RM300 sebulan.
"Saya nak tanya pada Dr Yusof, bolehkah beliau dengan pendapatan RM300 itu menampung keperluan harian anak cucunya," kata Dr Tan ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau yang juga ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Pusat meminta Dr Yusof supaya membezakan antara Felda korporat dan Felda sebagai agensi kerajaan kerana ia adalah entiti yang berlainan.
Felda korporat hanya mengutamakan kepentingan pelabur dan pemegang saham berbeza dengan Felda isebagai badan kerajaan yang mempunyai peranan membantu rakyat jelas Dr Tan lagi.
Untuk membuktikan Felda masih kukuh di segi kewangan Dr Yusof mengeluarkan beberapa statistik termasuk peningkatan aktiviti kewangan agensi daripada RM9.17 bilion pada 2004 kepada RM15.37 bilion pada 2009.
Felda juga kini menjadi pembekal perladangan terbesar di dunia, dengan 811.140 hektar ladang kelapa sawit, terutama di Malaysia, dengan beberapa operasi di Indonesia.