BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya

Rabu, Ogos 11, 2010

PDC: Pengelola bazar gagal serah wang sewa

Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) menjelaskan bahawa pihaknya tidak pernah membuat keputusan untuk menghalang Bazar Ramadan di Komtar.

"Masalah utamanya adalah kegagalan pengelola Bazar Ramadan menyerahkan wang yang dipungut dari peniaga kepada PDC. Sehingga hari ini tidak ada satu sen pun yang dibayar kepada PDC," kata pengurus besarnya, Datuk Rosli Jaafar.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, PDC telah mengadakan satu perbincangan dengan peniaga terlibat dengan lot perniagaan Bazar Ramadan KOMTAR jam 2.30 petang semalam yang dihadiri 15 peniaga terbabit.

Juga hadir ialah wakil Persatuan Peniaga Komtar (KMA), Mohamed Ghani bin Abdul Jiman sebagai pengelola Bazar Ramadan.

Rosli berkata, PDC hanya memaklumkan bahawa pihak pengelola iaitu KMA, harus mengikut kesemua ketetapan, peraturan dan jumlah gerai yang ditetapkan.

Katanya, begitu juga dengan pembayaran yang sehingga kini tiada dipatuhi oleh KMA.

"PDC juga ingin melihat agar Bazar Ramadan ini tidak terlalu sesak yang akan menyebabkan orang ramai sulit berurusan dengan pusat pentadbiran negeri dan boleh menjejaskan keselamatan.

"Tindakan KMA berurusan dengan peniaga tanpa mendapatkan kelulusan telah merugikan pihak peniaga yang telah membuat persiapan serta mengeluarkan perbelanjaan," tambah Rosli.

Bagi menyelesaikan isu ini, katanya, persetujuan telah dicapai antara pihak pengelola, peniaga dan PDC, iaitu:

1. Bersetuju sejumlah 25 lot gerai sahaja diperuntukkan di ruang legar konkos Paras 3, Komtar, bagi memberi lebih keselesaan kepada semua peniaga dan pengunjung.

2. Bersetuju agar memastikan barangan perniagaan tidak melebihi dua kaki dari sempadan gerai untuk menjamin keselesaan ruang.

3. KMA bersetuju membayar sebanyak RM50 sehari bagi setiap gerai kepada PDC. Manakala PDC akan menanggung kos pemasangan gerai dan alatan yang berkaitan. KMA perlu menjelaskan bayaran sewa kepada PDC selewat-lewatnya esok.

4. Atas persetujuan pihak peniaga, sekiranya KMA gagal mematuhi syarat-syarat PDC dan tidak menjelaskan bayaran yang telah dipersetujui , maka pihak peniaga bersetuju untuk berurusan secara terus dengan PDC dengan kadar yang sama.

5. Pihak PDC bersetuju untuk menyewakan pada harga yang sama yang dikenakan kepada peniaga sedia ada pada kadar RM50 sehari setiap gerai, seandainya PDC mengambilalih pengurusan penyewaan gerai-gerai tersebut.

6. Atas permintaan para peniaga juga, tarikh penyewaan ini akan bermula pada esok dan tamat pada 12 September.

7. Peniaga boleh memasuki gerai masing-masing serta-merta.

8. Semua peniaga yang telah berurusan untuk menyewa lot Bazaar Ramadan dengan KMA akan diperuntukkan sejumlah 25 lot yang akan diuruskan oleh KMA.

Rosli berkata, melalui hasil perbincangan bersama ini, PDC percaya tidak ada masalah yang dihadapi peniaga Bazaar Ramadan sepertimana yang dakwanya digembar-gemburkan oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab.


Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...

ARKIB