BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya
Memaparkan catatan dengan label DUN Jawi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label DUN Jawi. Papar semua catatan

Ahad, Ogos 08, 2010

Bekas TUDM dakwa dipenjara kerana adu kesalahan pegawai atasan

Nasib bekas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Faizzal Jinong Abdullah masih tidak terbela, meskipun lebih daripada 20 laporan polis, malah aduan dibuat terhadap Kementerian Pertahanan.  Faizzal mendakwa bahawa dirinya pernah dihumban ke penjara, malah keluarganya diberi layanan yang buruk kerana cubaannya untuk mengadu kesalahan pegawai atasan.

Justeru itu, ahli parlimen Parit Buntar-PAS, Mujahid Yusof Rawa (gambar kiri) tampil bersuara untuk menggesa agar kerajaan memberi layanan yang sewajarnya kepada bekas tentera, "Adalah menjadi satu perkara yang amat dikesalkan sekiranya layanan yang diberikan kepada seorang pesara tentera yang telah begitu lama berkhidmat dinafikan haknya untuk mendapat keistimewaan dan layanan yang sepatutnya."

Pemimpin PAS ini berkata, "Pihak berkuasa khususnya Kementerian Pertahanan haruslah mengambil insiatif dengan menjalankan siasatan tanpa melindungi mana-mana pihak yang bersalah.  Buktikan ketelusan yang ada dalam perkhidmatan tentera dengan membawa mereka yang bersalah ini ke muka pengadilan."

Air dan elektrik diputuskan

"Persoalannya kenapakah penderaan dan penindasan perlu dilakukan sekiranya tiada perkara yang hendak disembunyikan oleh mana-mana pihak?  Oleh kerana itu sekiranya pihak berkuasa telus dan jujur untuk melaksanakan undang-undang yang ada maka bawa mereka yang bersalah itu ke hadapan tanpa melindungi mereka dalam apa jua cara," katanya lagi.
 
Mujahid berkata demikian dalam sidang media yang diadakan di pejabat Ahli Parlimen Parit Buntar bersama-sama dengan bekas TUDM, Faizzal Jinong Abdullah yang mendakwa telah ditindas dan tidak mendapat pembelaan sewajarnya selepas persaraan beliau pada bulan Oktober 2008 yang lalu.

Faizzal yang telah berkhidmat selama 23 tahun mulai merasakan beliau dan keluarga ditindas dan diberi layanan yang buruk ketika bersama pasukan tersebut semasa mereka tinggal di kuarters tentera di Blok F4(0-2) di Kuching, Sarawak.

"Saya sekeluarga bukan saja dianiayai dengan bekalan elektrik diputuskan selama tiga bulan dalam keadaan gelap bersama enam orang anak yang berusia antara 5 hingga 17 tahun, tetapi juga dihumban ke dalam penjara apabila cuba untuk mengadu kesalahan pegawai atasan kepada pihak yang berkuasa," kata Faizzal.
 
Faizzal (gambar kiri) menceritakan kronologi peristiwa ini, "Sehingga ini lebih dari 20 laporan polis telah dibuat di Negeri Sembilan dan juga Sarawak, tetapi tiada satu pun yang diambil tindakan.  Pihak berkuasa membuat spekulasi dan menuduh saya tidak bekerjasama dengan mereka dalam program persaraaan tetapi sebaliknya mereka cuba menghalang saya dari membongkar penyelewengan yang berlaku sehinggalah pelbagai kezaliman dan penindasan yang telah dilakukan bukan saja terhadap saya tetapi juga keluarga."

Puluhan laporan polis

Isterinya Che Murni Dara Mat Zain turut menunjukkan bukti puluhan laporan polis yang telah dibuat bagi menuntut supaya mereka diberi pembelaan yang sepatutnya tetapi segalanya tidak berlaku.

"Aduan kepada Komander di Pengkalan Tentera Udara di Kuching dan juga di ibu pejabat TUDM di Kuala Lumpur pernah kita lakukan.  Begitu juga kepada Kementerian Pertahanan tetapi tiada apa-apa tindakan yang mereka ambil bagi membawa mereka yang menganiayai kami."
 
"Sebaliknya pelbagai cara dan bentuk penderaan mereka lakukan.  Ini termasuklah menghumban suami saya yang telah begitu lama berkhidmat dalam tentera ke dalam penjara sebelum ini.  Saya dan anak-anak diterbangkan secara spontan ke Semenanjung tanpa pengetahuan suami yang ditahan tanpa pembelaan," kata Che Murni Dara Mat Zain (gambar kanan).

"Kemudian kami ditempatkan di sebuah rumah di Negeri Sembilan tanpa mempunyai bekalan air dan elektrik sedangkan anak-anak saya masih kecil dan bersekolah.  Penindasan ini bukan saja setakat ini, sebaliknya ia berterusan apabila kad pengenalan awam suami saya yang sepatutnya mencatatkan juga nombor tentera beliau sebelum ini tidak dicatatkan walaupun kami menghadapi kesukaran yang begitu payah bagi mendapatkan kad pengenalan tersebut sebelum ini," katanya lagi.

Masih diancam dan diugut

Faizzal yang kini menetap di Jawi, Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan masih lagi menerima ancaman dan ugutan dari pihak tertentu yang membuat panggilan bagi mengancam keselamatan beliau dan keluarga.

"Sekiranya mereka yang bersalah masih tidak dibawa ke muka pengadilan di atas segala penyelewengan dan skandal yang mereka lakukan, maka selagi itulah ancaman dan ugutan akan terus kami sekeluarga terima."

"Oleh kerana itu adalah menjadi harapan saya dan keluarga bagi mendapat pembelaan yang sepatutnya dari pihak berkuasa bagi menjamin keselamatan kami supaya dapat hidup aman dan damai dalam sebuah negara yang merdeka dan membawa mereka yang bersalah ke muka pengadilan," tambahnya lagi.

Ahad, Jun 21, 2009

Kuliah Bulanan

Kuliah Maghrib oleh YB Ustaz Maktar bin Hj. Shapee

Tempat : Masjid Daerah (JAWI) Seberang Perai Selatan
Tarikh : 21 Jun 2009 bersamaan 27 Jamadil Akhir 1430

Muslimin dan Muslimat dijemput hadir.


Lihat Jadual Kuliah sekitar DUN Sg. Bakap, di sini..


Isnin, April 20, 2009

Waran tangkap Naib Presiden PAS

Jawi - Mahkamah Majistert Jawi, Nibong Tebal mengeluarkan waran tangkap terhadap Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dan sembilan pengikutnya kerana gagal menghadiri perbicaraan hari ini berhubung tuduhan menghalang penjawat awam melaksanakan tugas tahun lalu.

Mahkamah itu telah menetapkan perbicaraan selama tiga hari mulai hari ini untuk kesemua tertuduh tetapi kelibat mereka dan juga peguam tidak kelihatan apabila kes itu dipanggil.

Berikutan itu, Timbalan Pendakwaraya Yusaini Anuar memohon supaya mahkamah mengeluarkan waran tangkap ke atas Mohamad Sabu dan sembilan penyokongnya, lapor Bernama.

Majistret Norashikin Mokhtar, yang menggantikan Majistret Mohd Izham Ali yang sedang berkursus, kemudiannya mengeluarkan waran tangkap itu serta notis kepada kesemua penjamin mereka dan menetapkan 22 Jun ini untuk sebutan semula kes itu.

Jurucakap Mahkamah Jawi ketika dihubungi berkata, pihaknya telah dihubungi oleh seorang peguam kumpulan itu yang memaklumkan bahawa mereka akan hadir di mahkamah itu esok untuk membuat rayuan membatalkan waran berkenaan.

Mohamad Sabu, 53, dan sembilan penyokongnya Zamarul Aini Abdul Malek, 37; Zainal Azrun Zainal Abidin, 35; Abdul Rahim Mat Ariff, 58; Md Lazim Osman, 50; Mohd Biyamin Ishak, 44; Fauzi Saharat, 44; Abdul Razak Ramli, 42; Mohd Subri Mohd Said, 42; dan Mohamad Salleh, 47; didakwa menghalang Supt Mohd Nasir Salleh daripada menyerahkan waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Jalan Duta, Kuala Lumpur terhadap pemimpin PAS itu.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu berhampiran plaza tol Bukit Tambun di Lebuhraya Utara Selatan pada kira-kira pukul 7.45 malam, 9 Disember tahun lalu.

Mahkamah batal waran
dikemaskini (13:30, 21 April 09) - Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu bersama sembilan penyokongnya keluar dari Mahkamah Majistret Jawi di sini, setelah mahkamah membatalkan waran tangkap terhadap mereka kerana gagal menghadiri perbicaraan di mahkamah itu semalam.

Majistret Nur Ashikin Mokhtar mengeluarkan perintah itu setelah Yusnita Yusoff, peguam yang mewakili kesemua tertuduh, memohon supaya waran itu tidak dikeluarkan kerana berlaku kesilapan teknikal mengenai tarikh perbicaraan.

Mahkamah, kemudian menetapkan 28 hingga 30 Sept sebagai tarikh baru perbicaraan.

Kelmarin, mahkamah memerintahkan waran tangkap dikeluarkan terhadap Mohamad Sabu dan sembilan penyokongnya kerana mereka tidak menghadiri hari pertama perbicaraan yang ditetapkan selama tiga hari itu.


Sabtu, Februari 14, 2009

Hak Milik Kekal : Speaker akan panjangkan kepada Kerajaan Negeri

Teluk Ipil - Masalah tanah yang berpanjangan sejak era pemerintahan Barisan Nasional, kini mendapat perhatian Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang untuk dirujuk kepada Kerajaan Negeri, Abdul Halim Hussain (gambar).

Kebanyakan penduduk kampung tersebut masih menunggu untuk mendapatkan status hak milik kekal dan perkara tersebut akan diteliti dan perjumpaan selanjutnya akan diatur diantara penduduk dengan Exco terbabit.

Menurut Abdul Halim, segala masalah yang timbul haruslah disampaikan kepada pemimpin peringkat kampung dan kawasan seperti JKKK yang dilantik untuk tindakan lanjut Kerajaan Negeri.

"Sekiranya masyarakat menggunakan saluran yang betul untuk memberikan cadangan dan aduan kepada pimpinan atasan, ia akan melicinkan kerja penambahbaikan seterusnya segala masalah serta kerumitan yang dihadapi oleh masyarakat dapat diatasi oleh kerajaan", ujarnya ketika menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat di Kg. Che Isa, Teluk Ipil, Nibong Tebal.

"Kerajaan Negeri sentiasa mendengar masalah rakyatnya, dan dengan adanya JKKK di setiap kawasan akan membantu masyarakat bagi menyalurkan segala permasalahan yang dihadapi".

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah YB Tan Beng Huat (ADUN Jawi), Mustafa Kamal Mohd Yusoff (Setiausaha Perhubungan KeADILan Pulau Pinang), Hj. Mohd Kamil Abu Bakar (Setiausaha Politik ADUN Sg. Bakap) dan Penolong Pegawai Daerah serta Penghulu Mukim.

Orang ramai yang hadir mendengar taklimat



Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...