BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya
Memaparkan catatan dengan label Anwar Ibrahim. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Anwar Ibrahim. Papar semua catatan

Sabtu, Februari 19, 2011

Pertumbuhan Ekonomi 2010 : Malaysia terus terkebelakang berbanding jiran

Pertumbuhan ekonomi sebanyak 7.2% yang dicatatkan negara pada tahun 2010 perlu dikaji dengan lebih dekat untuk memahami keseluruhan implikasinya.

Angka 7.2% perlu dibandingkan dengan pencapaian jiran-jiran kita dan bukannya dinilai secara bersendirian. Singapura dan Indonesia contohnya masing-masing berjaya mencatatkan pertumbuhan 14.5% dan 6.1% dalam tahun 2010. Kedua-dua jiran kita ini mengatasi pertumbuhan Malaysia; apatah lagi apabila pertumbuhan Indonesia adalah berdasarkan angka pertumbuhan asas yang lebih tinggi kerana Indonesia tidak mengalami penguncupan ekonomi dalam tahun 2009 seperti mana Malaysia dan Singapura.

Pertumbuhan 14.5% yang dicatatkan Singapura disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam sektor perkilangan pada kadar 29.7% pertumbuhan tahunan. Jika dibandingkan dengan Singapura, pencapaian kita malap dalam kedua-dua aspek – pertumbuhan ekonomi hanyalah separuh dari yang dicapai Singapura, sementara pertumbuhan sektor perkilangan pada kadar 11.4% hanyalah setakat satu pertiga pencapaian Singapura.

Penjelasan kedua-dua kerajaan dalam menerangkan perbezaan pertumbuhan sektor perkilangan ini adalah amat berbeza. Singapura menyatakan bahawa permintaan yang kukuh dari pasaran dunia memesatkan pertumbuhan sektor perkilangannya, sementara Malaysia pula menyalahkan pasaran dunia sebagai akibat kelembapan sektor perkilangannya – padahal kedua-dua negara sama-sama bergantung kepada barangan eksport dan pasaran dunia. Hakikatnya, barangan yang dikilang di Malaysia semakin hilang daya saingnya di pasaran dunia kerana kita tersekat di tangga nilai yang bawah dan terpaksa bersaing dengan negara-negara yang struktur kosnya lebih murah; sedangkan pesaing seperti Singapura terus menghasilkan barangan bernilai tinggi. Amaran mengenai masalah ini telah diberikan sejak sedekad yang lalu, namun tidak ada satu langkah yang berkesan yang diambil kerajaan selain dari retorik politik yang dibayar oleh rakyat.

Pertumbuhan sektor perkilangan yang lebih rendah berbanding jiran diburukkan lagi dengan penguncupan dua sektor penyumbang utama di dalam suku keempat 2010. Sektor perlombongan dan pertanian adalah penyumbang utama kepada pendapatan Kerajaan Persekutuan melalui hasil minyak dan gas serta kelapa sawit. Kedua-dua sektor ini mencatatkan penguncupan dalam suku keempat pada kadar 1.3% (perlombongan) dan 4.3% (pertanian). Akibatnya, pertumbuhan tahunan yang sangat rendah pada kadar 0.2% (perlombongan) dan 1.7% (pertanian) adalah satu lagi petanda bahawa ekonomi kita semakin malap.

Pandangan ini diperkuatkan lagi oleh angka-angka beberapa indeks yang digunakan untuk menilai sentimen masyarakat niagawan dan orang ramai mengenai hala tuju ekonomi negara. Indeks Suasana Perniagaan yang diterbitkan oleh Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER) hilang 5.4 mata dalam suku keempat 2010 untuk jatuh ke paras bawah 100 mata buat kali pertama dalam tempoh dua tahun. Malah, keyakinan masyarakat niagawan ke atas prospek ekonomi seperti yang dilambangkan oleh indeks ini menunjukkan penurunan sejak awal 2010 lagi. Bagi sentimen keyakinan orang ramai pula, walaupun Indeks Sentimen Pengguna menokok ke paras 117.2 mata dalam suku keempat, paras itu masih belum setanding dengan paras keyakinan tahun 2007 sebelum kerajaan menaikkan harga minyak secara mendadak dalam tahun 2008.

YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak sepatutnya lebih ikhlas dan mengakui bahawa ada jurang yang besar di antara pengumuman projek-projek mega yang dibuat dibawah ETP dan realiti ekonomi yang ditanggung masyarakat niagawan dan orang ramai. Ramai di kalangan rakyat Malaysia yang masih ragu-ragu bahawa siri pengumuman projek itu hanyalah wayang yang akhirnya akan menguntungkan golongan pemerintah dan niagawan elit tanpa menyelesaikan masalah pokok dan struktur ekonomi negara.

Pengurusan fiskal dan kewangan negara juga menunjukkan perbezaan yang besar di antara Malaysia dan jiran kita, terutamanya Indonesia.

Tidak seperti Malaysia, Indonesia berjaya mengelak dari kemelesetan ekonomi tahun 2009 dan terus mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 6.1% dalam tahun 2010, menjadikannya salah sebuah ekonomi paling mampan di antara 20 negara terkaya di dunia. Laporan United Nations Global Investment Trend Monitor (diterbitkan oleh UNCTAD pada 17 Januari 2011) mencatatkan aliran masuk pelaburan asing (FDI) sebanyak USD12.8 bilion bagi tahun 2010; yang kedua tertinggi di rantau ini selepas Singapura. Pelaburan baru menyumbang sebanyak 32.2% kepada ekonomi Indonesia sementara perbelanjaan kerajaan menyumbang hanyalah 9.1% kepada pertumbuhan ekonomi. Keseluruhan pencapaian ini berasaskan perbelanjaan kerajaan yang berhemah dan tidak berlebihan. Angka defisit fiskal dan hutang kerajaan hanyalah masing-masing 1.1% dan 28.3% berbanding KDNK bagi tahun 2010.

Keadaannya sangat berbeza di Malaysia. Jumlah hutang Kerajaan Persekutuan telah mencecah RM407 bilion menjelang akhir 2010, bersamaan 53.1% berbanding saiz KDNK negara. Kegagalan merancakkan pelaburan swasta menyebabkan kerajaan terlalu bergantung kepada projek-projek mega dan perbelanjaan kerajaan untuk mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi, sehinggakan defisit fiskal menjadi salah satu masalah utama ekonomi negara.

Defisit fiskal negara memuncak pada aras 7% dalam tahun 2009 dan hanya menurun kepada 5.6% tahun lalu, sedangkan sasaran kerajaan yang diumumkan di dalam Rancangan Malaysia Ke-10 adalah 5.3% bagi tahun 2010. Malaysia hanya berjaya menarik aliran masuk pelaburan asing (FDI) sebanyak USD7 bilion dalam tahun 2010, jauh ditinggalkan Singapura yang mendapat sejumlah USD37.4 bilion aliran masuk pelaburan asing.

Berdasarkan angka-angka dan perbandingan ini, jelas bahawa pertumbuhan 7.2% hanyalah satu lagi bukti bahawa ekonomi kita semakin terkebelakang berbanding dengan negara jiran. Daya saing Malaysia di pasaran antarabangsa semakin merudum dan kedudukan fiskal serta kewangan negara lebih buruk berbanding negara-negara jiran.

Rakyat tidak akan terkeliru dengan pelbagai kempen dan janji manis yang dibuat kerajaan dan akan terus menuntut reformasi ekonomi agar prospek ekonomi yang malap ini dapat diubah. Reformasi ekonomi hanya akan berkesan sekiranya didokong oleh reformasi politik yang ikhlas.

Malangnya, Kerajaan Persekutuan yang ada telah dibuktikan berkali-kali tiada keikhlasan dalam melaksanakan reformasi politik. Makanya, sebarang dasar ekonomi yang diperkenalkan sebagai reaksi politik tidak akan berjaya menyelesaikan masalah kemalapan ekonomi Malaysia.

DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM
KETUA PEMBANGKANG
19 FEBRUARI 2011

Sabtu, Februari 12, 2011

Tahniah rakyat Mesir

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkalungkan ucapan tahniah kepada rakyat Mesir yang bangkit melawan regim Hosni Mubarak hingga menjatuhkan pimpinan kerajaan diktator itu.

“Tahniah rakyat Mesir! Akhirnya selepas 18 hari berhimpun di Medan Kemerdekaan atau lebih dikenali sebagai Medan Tahrir, mereka berjaya memastikan Hosni Mubarak, seorang diktator yang memerintah selama 30 tahun, berundur dari tampuk pemerintahan.

“Rakyat Mesir akhirnya berjaya meruntuhkan tembok ketakutan yang selama ini mengepung mereka.

“Dihimpit kesusahan akibat kos sara hidup yang melonjak, kadar pengangguran yang tinggi dan mual dengan keganasan pihak keselamatan, rakyat Mesir memilih berdepan dengan aparat pemerintah yang terkenal memerintah secara kuku besi,” katanya.

Anwar berharap pengorbanan mereka tidak akan disia-sia begitu sahaja dan kebangkitan itu wajar disusuli dengan usaha memulihkan Perlembagaan, sistem keadilan dan pilihan raya yang adil dan telus.

“Majlis Tertinggi Tentera yang kini mengambil alih kuasa dari Mubarak sewajarnya segera mengembalikan kuasa kepada rakyat,” katanya dalam blog beliau.

Selasa, Februari 01, 2011

Segera Bawa Pulang Rakyat Malaysia

Ketegangan di Mesir jelasnya tidak akan mengendur dalam beberapa ketika ini. Protes menuntut Perubahan disertai puluhan jika tidak ratusan ribu rakyat setiap hari di beberapa kota utama negara tersebut. Keadaan semakin tidak menentu, keselamatan orang awam tidak lagi terjamin. Lebih membimbangkan adanya laporan bahawa wujudnya kumpulan samseng yang melakukan jenayah sewenang-wenangnya.

Saya difahamkan rakyat Malaysia yang kini tinggal di Mesir hampir mencecah 11 ribu orang, 10,328 dari jumlah tersebut merupakan pelajar yang mendaftar dengan kedutaan Malaysia di sana. Saya khuatir kedutaan kita menghadapi kesukaran untuk mengawasi serta menjamin keselamatan para pelajar dan rakyat Malaysia. 

Beberapa hari ini regim Hosni Mubarak telah mengambil tindakan untuk merencat penggunaan internet terutamanya jaringan media sosial seumpama Facebook dan Twitter. Malah, perkhidmatan telefon mudah alih juga sukar diperolehi. Adalah mustahil buat kedutaan Malaysia mengawasi serta menjamin keselamatan seluruh rakyat kita di sana kerana sistem telekomunikasi sudah lumpuh dan tidak lagi berkesan.

Perkembangan ini sewajarnya menyedarkan Kerajaan Malaysia bahawa mereka perlu segera merencana kepulangan rakyat kita dari Mesir. Adalah tidak munasabah membiarkan rakyat kita terdedah kepada bahaya dan tersepit di celah-celah keributan menuntut Perubahan. Saya menggesa kerajaan segera membawa pulang rakyat kita di sana. Jangan tunggu sehingga nasi menjadi bubur.

ANWAR IBRAHIM

Tunai amanah rakyat elak krisis Tunisia, Mesir

Kesungguhan pemimpin dalam menunaikan amanah dari kepercayaan rakyat penting bagi mengelakkan krisis politik seperti di Tunisia dan Mesir, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Krisis di Tunisia dan Mesir berpunca daripada tiadanya keabsahan (legitimacy) untuk memerintah kerana pemimpin tidak diangkat dan diberi mandat secara sah oleh masyarakat,” katanya.

Ketua Pembangkang itu berkata demikian ketika berucap di majlis Wacana Memperkasa Fikrah Rakyat: Maqasid Syariah dan Masyarakat Majmuk di Auditorium Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.

Ketua Penerangan KEADILAN, Dr Muhammad Nur Manuty bertindak sebagai pemudah cara dalam wacana yang turut disertai Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), Datuk Dr Siddiq Fadzil.

Anwar berkata, keadilan sosial selaku cabang kepada prinsip utama keadilan harus diberi penekanan penting.

“Kalau tidak ada keadilan sosial, seperti sistem cukai yang menindas dan memeras, kesenjangan (jurang) harta antara miskin dan kaya, itu juga dianggap melanggar prinsip pemeliharaan harta,” katanya.

Beliau berkata, prinsip keadilan adalah sebahagian maqasid syariat yang membawa matlamat utama pelaksanaan undang-undang Islam dalam pentadbiran negara.

“Pengembangan maqasid syariat itu sendiri tidak dapat lari daripada prinsip keadilan yang membebaskan rakyat yang banyak daripada kemiskinan dan penindasan,” katanya.

Hadi pula berkata, sesebuah kerajaan perlu menyediakan ‘makanan rohani’ kepada rakyat sebagai sebahagian maqasid syariat.

“Makanan kepada rohani itu merujuk kepada keperluan iman, ilmu, serta akhlak,” katanya.

Keperluan iman merujuk kepada kemudahan pusat pengajian serta tempat penyebaran ilmu, katanya, merujuk kepada kemudahan rumah ibadat serta kegiatan keagamaan.

“Sementara keperluan akhlak pula adalah bagi memastikan rakyat mendapat kekuatan dalaman bagi menjalankan tanggungjawab sebagai warganegara yang baik,” katanya.

Presiden Wadah, Dr Siddiq Fadzil pula menghuraikan definisi ‘maqasid syariat’ yang merangkumi lima rumusan utama.

“Dikenali sebagai ‘the higher objective of syariat’, ia merujuk kepada matlamat utama syariat yang bermatlamatkan lima rumusan utama pelaksanaan hukum Islam itu sendiri.

“Lima matlamat itu adalah pemeliharaan agama, pemeliharaan akal, pemeliharaan manusia, pemeliharaan keturunan, serta pemeliharaan harta,” kata Dr Siddiq

Menurutnya, seandai matlamat utama pelaksanaan hukum Islam dipenuhi, sesebuah negara bebas dari menjadi sebuah ‘negara sampul surat’ – lambangan negara yang rasuahnya berleluasa.

Ahad, Januari 23, 2011

Anwar: Mustahil sembunyi pelarian modal RM208b

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pihak berkuasa melakukan siasatan segera terhadap dakwaan berhubung aliran wang haram yang amat tinggi di negara ini.

anwar keadilan network launch 230111"Kita gesa kementerian kewangan menjawab (dakwaan ini) dan segala siasatan yang berhubung perkara itu," kata Anwar dalam sebuah program parti di Ampang hari ini.

"Jangan lindungi perkara korup. Jika mereka gagal, jelaslah ia melibatkan personaliti besar dalam BN dan kerajaan. Mustahil jumlah sebanyak RM208 bilion tidak boleh dikesan."

Pada 20 Januari lalu, sebuah pemerhati kewangan - Global Financial Integrity (GFI) - menyenaraikan Malaysia antara negara yang merekodkan jumlah aliran wang haram tertinggi dalam tempoh sembilan tahun dalam dekad lalu.

Laporan itu menyebut, aliran wang keluar dari negara ini meningkat lebih tiga kali ganda dalam tempoh 2000 hingga 2008.

Aliran wang keluar dari Malaysia pada 2000 berjumlah RM67.7 bilion. Lapan tahun kemudian, jumlah ini bertambah sehingga RM208 bilion.

NONEAnwar yang juga bekas menteri kewangan turut mengakui terkejut dengan jumlah besar wang yang didakwa terlibat.

Sambil menegaskan keperluan siasatan yang bebas, ketua pembangkang itu berkata Bank Negara juga harus menjelaskan situasi tersebut.

Sehingga kini belum ada reaksi rasmi daripada pihak berkuasa berhubung laporan memalukan itu, yang meletakkan penguatkuasaan undang-undang kewangan di Malaysia bawah persoalan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri enggan mengulasnya ketika ditanya Jumaat lalu, tetapi memberitahu Bank Negara akan mengeluarkan kenyataan dengan segera.
 

Khamis, Januari 20, 2011

Nak Selamatkan Najib Bernama Putar Belit Kenyataan Anwar

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau masih menunggu jawapan Pardana Menteri Datuk Seri Najib Razak terhadap pelawaan debat terbuka bekiau berhubung Program 100 Hari Pakatan Rakyat yanggah laporan.

Sambil membidas laporan Bernama yang memetik kenyataannya di Alor Setar semalam yang kononnya mengatakan beliautidak mahu berbahas secara terbuka dengan Najib, Anwar berkata pendiriannya berkenaan isu tersebut tidak berubah.

"Saya memandang serius laporan Agensi Berita Nasional (Bernama) bahawa saya tidak mahu berbahas secara terbuka dengan Dato' Seri Najib Razak.

"Laporan tersebut kononnya memetik kenyataan saya di Alor Setar seusai Majlis Wacana Maqasid Syariah di Kolej Insaniah Alor Setar petang tadi (semalam).

"Saya tegaskan di sini, saya sedikitpun tidak berganjak dari kenyataan sebelumnya serta hasrat yang terkandung dalam surat rasmi berniat mempelawa YAB Perdana Menteri untuk berdebat secara terbuka demi kepentingan rakyat Malaysia seluruhnya," kata Anwar.

Beliau berharap Bernama agar menarik balik serta membetulkan laporan bertarikh 19 Januari 2011 yang berjudul "Saya Tidak Ajak Perdana Menteri Berdebat, Hanya Berbincang - Anwar".
 

Selasa, Januari 11, 2011

PAKATAN Hanya Perlukan RM19 Bilion Untuk Rakyat

Kenyataan Perdana Menteri kononnya Janji 100 Hari Pakatan Rakyat tidak dapat dilaksanakan atas alasan negara tidak berkemampuan membuktikan lagi UMNO/BN berselindung di sebalik penguasaan media untuk memadamkan fakta. Maka memandangkan isu ini mendesak dan menyentuh kepentingan rakyat dan negara, kami syorkan diadakan satu debat terbuka.

Tuduhan beliau bahawa Janji 100 Hari Pakatan Rakyat akan menjadikan negara muflis adalah dangkal kerana hakikatnya, UMNO/BN yang berhutang setiap tahun sehingga hutang negara menggunung. Laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan pada 25 Oktober 2010 memberi amaran bahawa nisbah hutang negara kepada KDNK telah melepasi paras 50% buat kali pertama dalam sejarah negara.

Hutang kerajaan Malaysia bagi tahun 2009 meningkat kepada RM362.39 billion atau 53.7% dari KDNK. Malapetaka ekonomi ini berlaku di bawah pentadbiran Perdana Menteri sekarang sebagai Menteri Kewangan. Dalam tahun 2010, kerajaan melancarkan 19 program menjual bon yang membabitkan hutang tambahan bernilai RM58.1 bilion.

Tabiat berhutang UMNO/BN akan diperhebatkan tahun ini. Pada 14 Disember 2010, Bank Negara Malaysia mengumumkan kerajaan akan menjual 29 bon tambahan dalam tahun 2011. Menurut anggaran Institut Penyelidikan RHB, penjualan 29 bon ini akan membabitkan hutang baru kerajaan persekutuan berjumlah RM83 bilion.

Makanya, alasan Perdana Menteri untuk menolak Janji 100 Hari Pakatan Rakyat perlu dikaji dengan berlatar belakangkan perkara-perkara ini. Malaysia sememangnya sedang menuju ke gerbang kemuflisan jika UMNO/BN terus berhutang sewenangnya seperti sekarang – tetapi ia bukanlah disebabkan oleh Janji 100 Hari Pakatan Rakyat. Malaysia akan muflis akibat ketagihan UMNO/BN kepada pembaziran dan rasuah yang berleluasa, demi mempertahankan sistem kroni kapitalisme yang didokong UMNO/BN.

Contoh-contoh pembaziran UMNO/BN sudah diketahui rakyat. Perdana Menteri terlampau taksub dengan bangunan 100 tingkat yang menelan belanja RM5 bilion, sedangkan isu perumahan mampu milik meruntun golongan berpendapatan rendah dan orang muda. Kerajaan UMNO/BN akan mengugut bahawa negara akan muflis setiap kali Pakatan Rakyat memperjuangkan imbuhan tambahan para guru, tetapi ia tidak rasa bersalah apabila meluluskan kontrak RM77 juta kepada APCO. Senarainya terlalu panjang untuk dihuraikan disini.

Oleh itu, tindakan pertama Kerajaan Pakatan Rakyat adalah melancarkan perang habis-habisan menentang rasuah di setiap peringkat, bermula dengan pemimpin-pemimpin kanan politik. Ini akan menyelamatkan RM28 bilion yang tiris dari Perbendaharaan setiap tahun akibat rasuah, seperti yang dianggarkan oleh Ketua Audit Negara.

Selepas itu, Kerajaan Pakatan Rakyat akan menstrukturkan semula sistem subsidi untuk memansuhkan subsidi korporat yang hanya mengkayakan beberapa kerat kroni. Jumlah RM19 bilion subsidi korporat yang ditanggung oleh PETRONAS untuk membayar IPP milik kroni akan dipulangkan kepada Perbendaharaan. Kita juga akan menyemak semula sistem konsesi toll untuk memansuhkan bayaran pampasan RM4 bilion setiap tahun yang kini ditanggung kerajaan.

Dua tindakan yang mudah ini akan memulangkan RM51 bilion kepada rakyat – lebih dari cukup untuk melaksanakan Janji 100 Hari Pakatan Rakyat yang jumlahnya hanyalah satu pertiga dari jumlah yang diselamatkan:
1.Imbuhan khas perguruan berjumlah RM500 sebulan menelan belanja RM3.2 bilion setahun.
2.Jaminan Pakatan Rakyat bahawa subsidi minyak akan dikekalkan untuk golongan berpendapatan rendah akan melibatkan penstrukturan semula sistem subsidi, supaya hanya golongan yang berkelayakan menikmati subsidi minyak. Kos subsidi di bawah sistem sebegini dianggarkan berjumlah RM4 bilion setiap tahun.
3.Kerajaan Pakatan Rakyat akan meneruskan subsidi gas memasak, berjumlah RM4 bilion setiap tahun.
4.Penstrukturan semula sistem tol di bawah PLUS dianggarkan menelan belanja RM23 bilion, berdasarkan harga pasaran yang ditawarkan oleh Khazanah dan KWSP. Kos tambahan yang perlu ditanggung kerajaan untuk mengambil alih operasi dari pemegang saham minoriti dianggarkan berjumlah RM8 bilion.
Justeru, jumlah dana yang diperlukan untuk melaksanakan Janji 100 Hari Pakatan Rakyat hanyalah RM19.2 bilion; yakni sama dengan subsidi korporat yang diberikan kepada IPP milik kroni setiap tahun. Jumlah ini adalah terlampau sedikit berbanding RM51 bilion yang hilang setiap tahun akibat ketirisan dan rasuah demi memastikan kroni gembira dan bersenang-lenang.

Janji-janji lain seperti skim air percuma dan skim wi-fi percuma telah pun dilaksanakan di negeri-negeri Pakatan Rakyat. Kami telah membuktikan ia mampu dilaksanakan.

Oleh yang demikian, Perdana Menteri tidak boleh berdolak dalih lagi kenapa UMNO/BN tidak mahu melaksanakan Janji 100 Hari Pakatan Rakyat apabila rakyat tahu bahawa ia mampu dilaksanakan. Tabiat berhutang UMNO/BN yang membebankan generasi akan datang adalah sangat tidak bertanggungjawab, apatah lagi apabila wang yang dipinjam tidak dibelanjakan untuk rakyat.
 
DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM
KETUA PEMBANGKANG
11 JANUARI 2011
 

Anwar cabar Najib berdebat polisi ekonomi

Ketua umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak untuk berdebat untuk menentukan siapa mempunyai dasar ekonomi yang lebih baik untuk negara.

anwar and najib and budget malaysiaMenurut Anwar, adalah wajar bagi Najib menerima pelawaan berdebat kerana Najib sering-kali mempersoal dan memperlekehkan dasar Pakatan serta perangkaan ekonomi yang dikemukakan dalam rancangan 100 hari transformasi Pakatan Rakyat.

"Oleh kerana Najib secara terbuka mengkritik Program 100 Hari dan mendakwa ia akan membawa kehancuran ekonomi kepada negara seperti yang dialami Greece, saya mengusulkan debat terbuka diadakan.

"Sebagai pemimpin kerajaan dan Perdana Menteri, beliau sewajarnya menyahut cabaran ini untuk berdebat dengan saya. Biar rakyat menentukannya kemudian," katanya pada sidang media di ibu pejabat KEADILAN hari ini.

Katanya, serangan terbaru perdana menteri ke atas polisi Pakatan bukan sahaja tidak berasas malah polisi ekonomi yang diguna-pakai BN adalah punca hutang negara kini mencecah RM362.39 bilion atau 53.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar.
 
Hutang lebih 50 peratus KDNK

umno and corruption bribe moneyAnwar berkata dengan menangani hanya dua masalah - rasuah dan ketirisan serta memotong subsidi kepada pengeluar tenaga bebas (IPP) - Pakatan akan mampu menjimatkan negara RM51 bilion.
 
"Hakikatnya Umno-BN yang berhutang setiap tahun. Laporan Ketua Audit Negara dikeluar 25 Oktober 2010 menyatakan hutang negara sekarang melebihi 50 peratus buat kali pertama dalam sejarah.

“Hutang kerajaan 2009 meningkat kepada RM 362.9 bilion atau 53.9 peratus KDNK. Angka ini bertambah di bawah pentadbiran Datuk Najib," kata Anwar yang juga ketua pembangkang.

Menurutnya, program 100 hari Pakatan Rakyat itu bertujuan mengurangkan beban yang dihamparkan oleh Umno kepada rakyat marhaen yang semakin dihimpit denga kenaikan harga barangan asas dan pendapatan yang mengucup.

Anwar mendakwa kira-kira 40 peratus daripada rakyat negara ini, masih dalam lingkungan pendapatan RM1,500 sebulan dan sebahagian besar daripada mereka adalah orang Melayu dan golongan bumiputera lain.

'Umno begitu dangkal'
 
Beliau berkata pemimpin-pemimpin Umno begitu dangkal mempersoalkan janji Pakatan untuk memberikan imbuhan tambahan RM500 kepada pendidik bagi mengiktiraf kepentingan profesyen itu tetapi berpeluk tubuh apabila Najib membayar RM77 juta kepada Apco, syarikat perunding pro-Zionis untuk memulihkan imejnya yang tercalar.

azlan"Kita boleh senarai pelbagai fakta. Tidak baik untuk mempermain dan perolok program kita semata kerana nak bagi RM500 elaun tambahan kepada guru sedangkan mereka bayar RM 77 juta kepada Apco. Keutamaan inilah yang membimbangkan kita," kata Anwar.

Memberi pecahan kewangan program 100 Hari Pakatan Rakyat, Anwar berkata imbuhan tambahan RM500 kepada para guru akan menelan belanja sebanyak RM3.2 bilion, manakala subsidi minyak dan gas memasak RM8 bilion, dan penstrukturan sistem tol sebanyak RM 8 bilion.

plus highway sg besi 180205 aerial view 01Anwar berkata Najib harus tampil secara terbuka berbahas dengan beliau untuk memperinci Program 100 hari supaya rakyat boleh mendengar dan membuat keputusan terbaik demi masa depan mereka.

Beliau berkata apa yang jelas sekarang ialah kerajaan pusat memberikan syarikat kroni subsidi yang jauh melebehi subsidi yang diberikan kepada rakyat.

"Empat, lima syarikat kroni IPP dapat subsidi RM 19 bilion. Seluruh rakyat Malaysia dapat subsidi RM11 bilion. Kerajaan takut berdepan dengan syarikat kroni yang kaya, " kata Anwar.
 

Sabtu, Disember 25, 2010

Program 100 Hari Pakatan Rakyat Mampu Bela, Angkat Martabat Golongan Pendidik

Saya kesal dengan kenyataan Menteri Pendidikan baru-baru ini yang memperlekehkan peranan guru sebagai pembina negara. Beliau menyebut bahawa tindakan memperkenalkan imbuhan khas pendidik sebanyak RM500 setiap orang setiap bulan akan menyebabkan Malaysia muflis.

Pakatan Rakyat telah meneliti kesan kewangan dari pelaksanaan ini. Kita mengambil kira bahawa terdapat 537,221 jawatan di dalam perkhidmatan pendidikan termasuklah pengurusan kementerian (24,153), dasar dan pembangunan pendidikan (4,059), operasi pendidikan (498,399) dan pembangunan profesionalisme keguruan (10,610).

Usaha menaiktaraf mutu pendidikan negara bermula dengan reformasi pendidikan dari pihak atas (penggubalan dasar, pembangunan keguruan) sehinggalah ke tahap pengajaran di bilik darjah (keberkesanan pembelajaran dan pengajaran). Oleh itu, Pakatan Rakyat berhasrat untuk memperkenalkan imbuhan khas pendidik sebanyak RM500 kepada semua pegawai dan guru yang bertanggungjawab di dalam sistem pendidikan kita.

Ini akan menelan belanja RM3.2 bilion setahun. Jumlah ini adalah kecil jika dibandingkan dengan pembaziran-pembaziran lain yang kini berleluasa di bawah UMNO/Barisan Nasional.

Kos perbelanjaan semua lawatan Perdana Menteri ke luar negara setakat ini sebanyak RM8.7 juta boleh menanggung imbuhan bagi 1,450 orang guru. Bayaran kepada APCO sebanyak RM77 juta bagi tahun 2009 boleh menampung imbuhan bagi 12,800 orang guru iaitu keseluruhan tenaga kerja yang membangunkan profesionalisme keguruan. Pembaziran UMNO/Barisan Nasional sebanyak RM131 juta bagi menampung perbelanjaan perunding dan kos operasi PEMANDU bagi tahun 2010 boleh membayar imbuhan bagi 21,833 lagi orang guru, iaitu hampir keseluruhan tenaga kerja kementerian.

Ini belum lagi pembaziran-pembaziran mega seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada sektor korporat dan kroni, kos menyelamatkan kroni yang melibatkan Empangan Bakun sebanyak RM6 bilion dan ketirisan akibat rasuah yang dianggarkan mencecah RM28 bilion setiap tahun.

Justeru, persoalan sama ada negara mampu membayar imbuhan khas pendidik sebanyak RM500 setiap bulan ini tidak timbul. Perkara yang sebenar adalah keikhlasan UMNO/Barisan Nasional untuk mengangkat martabat pendidikan di negara ini.

Hakikatnya, bidang pendidikan tidaklah berada di dalam senarai kepentingan UMNO/Barisan Nasional. Isu kualiti pendidikan telah ditimbulkan sejak sedekad yang lalu, tetapi sehingga kini tidak ada satu langkah konkrit untuk mengiktiraf sumbangan guru di samping memastikan kerjaya perguruan menarik minat calon-calon yang berkualiti tinggi. Langkah Pakatan Rakyat memperkenalkan imbuhan ini adalah langkah pertama ke arah memartabatkan kerjaya perguruan setaraf dengan kerjaya profesional lain seperti jurutera, doktor dan akauntan.

Semalam, akhbar-akhbar melaporkan persetujuan Perdana Menteri untuk menubuhkan satu badan perundingan khas untuk menyelesaikan isu-isu perkhidmatan perguruan. Perkara ini telah disyorkan CUEPACS sejak tahun 2002 lagi – tetapi hanya selepas Pakatan Rakyat membuat cadangan yang konkrit untuk menaikkan martabat perguruan, UMNO/Barisan Nasional memberikan reaksi cemas. Baru sekarang, Perdana Menteri mahu mendengar keluh kesah guru-guru yang bergelumang dengan pelbagai masalah setiap hari.

Ini bukanlah caranya kita merancang kebijakan pendidikan negara. Tanggungjawab menjaga kebajikan guru-guru bukanlah satu reaksi yang hanya ada tindakan apabila Pakatan Rakyat bersuara.

Pakatan Rakyat percaya bahawa tindakan utama yang perlu diambil untuk memulihkan kualiti pendidikan negara adalah dengan menjaga kebajikan guru secara berterusan dan bertanggungjawab. Oleh itu, jumlah RM3.2 bilion setiap tahun bukanlah jumlah yang terlalu besar demi masa depan anak-anak Malaysia.

DATUK SERI ANWAR IBRAHIM
KETUA PEMBANGKANG PARLIMEN MALAYSIA
 

Rabu, Disember 15, 2010

Pembunuhan Altantuya: Najib dicabar kemuka bukti

Datuk Seri Najib Razak cuba mempertahankan kerajaan BN yang dipimpinnya daripada tumbang kerana bimbang didakwa di mahkamah, terutamanya berhubung dakwaan skandal pembabitan pembunuhan perempuan Mongolia, Altantuya Shaaribuu seperti yang didedahkan dalam laman WikiLeaks, kata Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

pkr wangsa maju ceramah 141210 audience 02Sehubungan itu, Anwar yang juga Ketua Pembangkang mempersoalkan media arus perdana yang sengaja "memadam" menyiarkan dakwaan skandal berkenaan seperti yang didedahkan oleh WikiLeaks.

"Sebab apa Najib mahu mempertahankan Putrajaya (kerana) takut didakwa (di mahkamah) kemudian hari... Mengapa media padam perkara (dakwaan) ini (daripada disiarkan)," katanya ketika menyampaikan ceramah di tapak pasar malam Taman Melati di Wangsa Maju malam semalam.

"Saya akan mempertahankan diri saya dan integriti saya. Saya mahu tanya Najib, adakah awak boleh mencabar Singapura agar membuktikan dakwaan itu. Itu sebabnya media Umno tidak berani melaporkan perkara itu.

"Apabila saya dituduh, saya akan melawan, tetapi apabila Najib dituduh apa beliau kata? Ini hanya perkara kecil," kata Anwar.

Dihantui Altantuya

Dalam ceramah itu, Anwar membaca petikan laporan pendedahan dalam WikiLeaks yang mendakwa masa depan Najib dihantui dengan skandal pembunuhan Altantuya.

NONEBerikutan laporan dalam laman web berkenaan, Anwar juga mencabar Najib mengemukakan bukti berhubung dakwaan tersebut.
“Adakah kamu fikir saya ini bodoh untuk memasuki perangkap apabila tahu ia perangkap? Jangan cabar saya terlalu berlebihan! Saya akan dedahkan kes pembunuhan yang telah dilakukan dan cuba ditutup rapat.”

Dalam ceramahnya juga, Anwar turut menyelar bekas perdana menteri Singapura Lee Kuan Yew seperti yang didedahkan oleh WikiLeaks bahawa pegawai perisikan Singapura dan Australia percaya beliau memang terlibat dengan perilaku dalam tuduhan liwat yang sedang dihadapinya.

Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh - dalam ucapannya selama kira-kira 40 minit itu - menyifatkan perkara berkenaan sebagai "fitnah" dan mencabar pemimpin kanan itu mengemukakan bukti berhubung dakwaannya itu.

pkr wangsa maju ceramah 141210 anwar 02
"Ada bukti? Saya minta peguam saya menjawab. Ada bukti?... Lee Kuan Yew (boleh) bawa ke mahkamah (dan) jadi saksi kepada Najib di mahkamah," katanya.

Menurut akhbar Australia, The Sun-Herald, kabel Jabatan Negara Amerika yang bocor mendedahkan bahawa pegawai perisikan Singapura dan menteri kanan Lee Kuan Yew telah memberitahu pejabat Agensi Perisikan Australia bagi Penilaian Nasional (ONA), bahawa "ketua pembangkang Anwar 'memang melakukan dakwaan perilaku yang sedang dihadapinya'."

“Wikileaks, apa bukti kamu, bawa Lee Kuan Yew ke mahkamah. Saya tidak peduli, kamu fikir saya buat atau tidak. Itu bukan urusan saya. Kamu ada rakaman video atau catatan doktor, bawa ke mahkamah.
"Ia fitnah kepada saya dan saya akan mempertahankan (diri). Ada bukti, keluarkan video, keluarkan... Bawa (bukti) ke mahkamah. Saya akan mempertahankan kehormatan saya. Ini cara saya," katanya sambil mendapat sorakan daripada kira -kira 1,000 orang di ceramah berkenaan.

Kurang ajar sangat!

Selain itu, Anwar juga membaca isi kandungan seperti yang didedahkan dalam WikiLeaks yang mendakwa Najib adalah seorang yang "suka mengambil kesempatan". Beliau juga meminta Singapura supaya tidak masuk campur mengenai urusan Malaysia.

pkr wangsa maju ceramah 141210 audience"Ini bukan soal kamu... Kita (Pakatan Rakyat yang) lawan Najib.... Jaga negara kamu, jangan sombong dan (jangan) kurang ajar sangat," katanya.

Dalam ceramah itu juga, Anwar turut membidas mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang melahirkan rasa ragu-ragu bahawa beliau adalah sasaran 'perangkap seks oleh musuhnya'.

"Dia sudah umur 80 tahun, jangan gaduh dengan dia. Jangan kacau... Orang dah umur 80 tahun, (sepatutnya) istighfar sudahlah," sindir Anwar sambil mendapat sorakan daripada hadirin.

azlanSebelum mengakhiri ucapannya, Anwar menegaskan bahawa beliau tidak risau dengan apa yang berlaku berhubung pendedahan dakwaan yang disiarkan dalam laman WikiLeaks.

"Saya tidur masih nyenyak. Makan makanan enak. Isteri masih cantik dan setia. Alhamdulillah. Mereka mahu melemahkan kita, lagi banyak kita diserang, Alhamdulillah lagi banyak rakyat datang kepada kita.
 
Laungan reformasi dan takbir

"Kita ada komitmen dan keyakinan untuk membawa perubahan," katanya sambil melaungkan perkataan "reformasi dan takbir" sebanyak tiga kali yang kemudiaannya disambut oleh para hadirin.

pkr wangsa maju ceramah 141210 anwar 03Majlis ceramah malam semalam - yang bermula jam 9 malam - turut dihadiri antaranya Naib Presiden PKR Tian Chua; ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad, Exco Kerajaan Selangor Teresa Kok dan Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Md Akin.

Tian Chua (bawah, kanan) dalam ceramah itu berkata, pihaknya sedang berusaha supaya laporan WikiLeaks ini dibincangkan di Dewan Rakyat. Satu usul telah dibentangkan bagi membincangkan hal berkenaan.

“Kita mahu Dewan Rakyat bincangkan laporan terhadap Anwar dan juga dakwaan terhadap Najib berkaitan dengan pembunuhan terhadap Altantunya yang juga disebutkan dalam dokumen WikiLeaks ini,” katanya.
pkr wangsa maju ceramah 141210 tian chua 
Sebelum itu, semua penceramah yang hadir meringkaskan ucapan mereka untuk memberi laluan kepada Anwar memberi penjelasan berhubung isu-isu semasa yang dikaitkan dengan beliau setelah polis membenarkan waktu ceramah hanya sehingga jam 10.30 malam.

Kira-kira 100 anggota polis dikerahkan untuk memantau keadaan dan seawal jam 9.15 malam, mereka mula berkeliaran di pentas mengingatkan penganjur supaya mematuhi kebenaran masa yang ditetapkan. Tiada kejadian yang tidak diingini dilaporkan.

Semalam, peguam Anwar mengumumkan pihaknya akan menyaman Lee Kuan Yew dan juga Dr Mahathir yang berkata beliau yakin pemimpin Singapura itu tahu Anwar melakukan liwat brkenaan.

Anwar mula menjelajah ke seluruh negara mulai semalam bagi menerangkan isu yang dihadapinya itu kepada rakyat. Esok, 16 Disember, beliau dijadualkan berada di Dataran Muhibbah, Kampung Ismail, Ampangan, Negeri Sembilan dalam siri Ceramah Perdananya sehinggalah berakhir di Pulau Pinang pada 19 Disember ini.

Isnin, Disember 06, 2010

Model Ekonomi Baru dan Penarikan Subsidi : Bukti Dasar Barisan Nasional Yang Berbolak Balik dan Berat Sebelah

Kenaikan harga sebanyak 5 sen RON 95 merupakan kenaikan kali kedua berturut-turut dalam masa 6 bulan. Pengumuman yang dibuat oleh Dato’ Seri Idris Jala juga meliputi penarikan subsidi terhadap beberapa barang keperluan seumpama gula(kenaikan sebanyak 20 sen), diesel (kenaikan sebanyak 5 sen) dan gas petroleum cecair (kenaikan sebanyak 5 sen).

Manakala Barisan Nasional menegaskan peningkatan harga tersebut adalah kecil dampaknya terhadap rakyat, namun hala tuju dasar negara yang terbentuk kesan dari kenaikan tersebut tidak boleh dipandang ringan. Barisan Nasional melalui PEMANDU telah membentangkan pada sesi Hari Terbuka Rasionalisasi Subsidi bertarikh 27 Mei 2010, bahawa sudah ada rancangan untuk menarik balik subsidi minyak jenis RON 95 pada setiap 6 bulan. Pengumuman semalam mengesahkan akan ada kenaikan harga pada masa hadapan, berkemungkinannya kenaikan yang lebih besar jumlahnya dari yang dicadangkan iaitu kenaikan 10 sen setiap 6 bulan.

Penarikan balik subsidi beberapa jenis barangan juga diusulkan termasuklah subsidi gas yang berkait rapat dengan Janakuasa Bebas yang dimiliki segelintir elit korporat dan kroni Barisan Nasional. Namun sehingga kini kelihatannya kenaikan harga hanyalah terhadap barangan keperluan dan pastinya rakyat keseluruhan yang merasa pedihnya, bukannya kroni.

PEMANDU menganggarkan sejumlah RM 1.12 billion akan dijimatkan pada tahun 2010 sekiranya subsidi gas untuk Janakuasa Bebas serta sektor bukan tenaga dapat dikurangkan. Ini dapat dicapai sekiranya harga gas untuk Janakuasa Bebas dan sektor bukan tenaga naik masing-masing RM 4.65 per mmbtu (million British unit haba) serta RM 2.52 per mmbtu.

Sehingga kini, kerajaan melalui PETRONAS, berhasil menyediakan subsidi buat Janakuasa Bebas dan industri lainnya sejumlah RM 19 billion setiap tahun kerana harga gas selepas subsidi hanyalah RM 10.70 per mmbtu (untuk Janakuasa Bebas), harga yang dikira amat murah jika dibandingkan dengan harga pasaran buat gas yang diimpot iaitu RM 38 per mmbtu (sekiranya negara terpaksa mengimpot akibat dari kekurangan pengeluaran).

Oleh itu kita mahu Perdana Menteri dan pentadbiran beliau memberi penjelasan mengapakah mereka terburu-buru untuk menarik balik subsidi minyak, gula dan gas petroleum cecair, sedangkan kesan dari keputusan tersebut hanya akan membebankan rakyat terbanyak. Pada masa yang sama kita mempersoalkan tindakan mereka kerana kebijakan tersebut tidak menjurus pula terhadap golongan elit korporat terutamanya mereka yang rapat dengan pemerintah.

Tambahan pula sehingga kini kita hanya dihamburi janji sedangkan perubahan yang dijanjikan hanya sekadar suatu wayang dan permainan komunikasi terutamanya berkaitan sistem pengagihan subsidi. Kita berpandangan Perubahan mesti disegerakan kerana ianya mustahak demi memastikan bantuan dari pemerintah sampai kepada golongan berpendapatan rendah sekaligus meringankan beban mereka berhadapan dengan kos sara hidup yang meningkat.

PEMANDU begitu tangkas memastikan subsidi ditarik balik, akan tetapi begitu perlahan mengungkapkan penyelesaian untuk mengagihkan semula subsidi demi kepentingan rakyat terbanyak dan miskin.

Justeru kita ragu keberkesanan serta iltizam untuk melaksanakan perubahan walaupun bahagian terakhir Model Ekonomi Baru baru sahaja dibentangkan. Model Ekonomi Baru diwar warkan sebagai satu rancangan untuk membawa perubahan terutamanya buat sistem ekonomi, namun sejarah menjadi saksi apabila tiba waktu untuk melaksanakannya, mereka sentiasa gagal.

Barisan Nasional cuba meyakinkan kita betapa penarikan balik subsidi adalah perlu demi mengurangkan jurang defisit yang sebenarnya akibat dari keborosan selama ini. Akan tetapi apa yang mereka cuba lakukan hanya mengelak dari persoalan sebenar isu subsidi iaitu harga yang tidak munasabah buat Janakuasa Bebas, kebanyakannya milik kroni.

Lebih menyedihkan, RM 126 juta yang berjaya dijimatkan dari penarikan balik subsidi gula sebanyak 20 sen pada 16hb Julai lalu itu lebih kecil jumlahnya jika hendak dibandingkan dengan bayaran kepada PEMANDU sebagaimana yang dilaporkan Malaysiakini (pada 3hb Disember 2010). Di mana letaknya keabsahan moral kerajaan memerintah ini yang mengambil RM 126 juta dari rakyat terbanyak demi untuk membayar RM 66 juta kepada penasihat yang membantu menubuhkan sebuah unit kerajaan dan RM 65 juta pula buat keseluruhan operasi PEMANDU untuk tahun 2010.

Pastinya saya mendengar pengumuman berkaitan dengan Model Ekonomi Baru dengan rasa penuh curiga. Barisan Nasional akan cuba sedaya upaya untuk mengelirukan rakyat dengan segala macam pengumuman kononnya demi kebaikan sektor awam, namun pada masa yang sama boros membayar mereka yang berkhidmat dalam PEMANDU dengan bayaran yang mampu menyaingi sektor swasta.

Dokumen Model Ekonomi Baru menumpu mempromosi liberalisasi dan pembatalan kawal selia, akan tetapi pada masa yang sama memberi lesen kepada YTL untuk menjayakan projek 700MHz tanpa tender terbuka. Berita ini pastinya mendapat cemuhan awam dan kalangan mereka dari industri telekomunikasi.

Pastinya wujud corak ketidaktuntasan di antara pengumuman yang dibuat dan pelaksanaan oleh pemerintah. Ini tidaklah mengejutkan kerana kita sedar pemerintah kini taksub untuk mencipta ilusi indah hasil dari bantuan firma perhubungan awam, yang mana upahnya dibayar dari dana awam. Bagi mereka yang paling mustahak adalah untuk terus kekal berkuasa.

Justeru Pakatan Rakyat bersama dengan rakyat keseluruhannya bertanggungjawab untuk terus memerhati dan memastikan pemerintah membuat keputusan demi kemaslahatan rakyat serta negara. Kita tidak boleh gagal, kerana akibatnya ialah harga minyak RM 2.10 seliter dalam masa setahun lagi.


ANWAR IBRAHIM
KETUA PEMBANGKANG
4HB DISEMBER 2010

Selasa, November 30, 2010

Tidak menjadi 'tuan' selepas 53 tahun

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menegaskan bahawa konsep ketuanan Melayu tidak ada makna sekiranya majoriti rakyat termiskin negara ini masih terdiri daripada kaum Melayu selepas UMNO memerintah selama 53 tahun.

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada kajian yang dijalankan, terbukti 97 peratus daripada kira-kira 65,000 isi rumah termiskin seluruh negara terdiri daripada golongan Melayu-Bumiputera.:

Menurutnya, dengan adanya konsep Ketuanan Melayu serta diperkuatkan dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB), masih belum mampu meningkatkan ekonomi orang Melayu kerana dasar tersebut menguntungkan sebilangan kecil orang Melayu sahaja.

Katanya, oleh kerana kegagalan pemimpin sekarang, penyelesaian kepada isu tersebut adalah meninggalkan konsep Ketuanan Melayu dan menghapuskan perbezaan etnik demi kepentingan bersama.

“Kita tidak nafikan kepentingan masa depan orang Melayu di negara ini, sebab itu pemimpin-pemimpin utama Pakatan Rakyat (PR) bersetuju menandatangani deklarasi bersama mempertahankan prinsip asal Perlembagaan negara.

“Kita bersetuju dengan hak-hak orang Melayu dan pada masa sama juga hak kaum lain turut terjaga,” katanya ketika sesi penggulungan pada Kongres Nasional ke-7, di sini, semalam.

Selain itu, Anwar turut mengingatkan perwakilan yang ada agar tidak lagi risau dengan dakyah pihak lawan yang menakutkan orang Melayu mengenai nasib mereka sekiranya PR menang pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, dakwaan sebegitu muncul kerana pihak lawan berasa takut dengan kebangkitan rakyat yang mahukan reformasi secara besar-besaran dan ini pasti akan diterjemahkan pada pilihan raya melalui undi.

“Bagi saya, baik saya hidup di bawah pemerintahan bukan Islam yang adil daripada pemerintahan orang Islam yang penuh dengan rasuah dan salah laku,” katanya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh turut menasihatkan semua pemimpin dan ahli parti agar terus bersabar apabila diserang bertubi-tubi oleh pihak lawan.

Katanya, KEADILAN telah melalui pelbagai cabaran yang amat getir sehingga pernah disifatkan telah mati, namun Pilihan Raya Umum 2008 membuktikan KEADILAN kembali kuat dan menjadi parti masa depan negara.

“Sekarang adalah pusingan terakhir, sebab itu kita diserang hebat dari segenap arah, dari luar dan dalam.

“Tetapi saya bersyukur kita sudah berjaya membersihkan parti kita daripada pemimpin yang berniat lain daripada perjuangan sebenar KEADILAN,” katanya.
 

Jumaat, November 05, 2010

Selamat Menyambut Deepavali

“Sesungguhnya dengan amalan kebaikan maka hadirlah kemuliaan, sesungguhnya kejahatan itu menjelma apabila kita melupakan amalan kebaikan”

Pesan di atas merupakan terjemahan dari bait yang terkandung dalam adikaram keempat Thirukural, adikarya penyair besar Tamil, Tiruvalluvar. Karya tersebut adalah sebuah karya yang sarat dengan tunjuk ajar kebaikan yang disampaikan dalam bentuk puisi. Gema dari bait-bait Thirukural kini semakin bermakna tatkala menjelangnya Deepavali.

Deepavali yang diraikan masyarakat India beragama Hindu merupakan suatu perayaan yang meraikan kemenangan Kebaikan mengalahkan kejahatan, kemenangan Keadilan menewaskan kezaliman. Walau bagaimanapun Kebaikan bukanlah hadir tanpa kita berusaha untuk meraihnya. Mendapatkannya adalah suatu perjuangan, berusaha memastikan Cahaya mengalahkan kegelapan. Buat semua yang merayakan Deepavali, saya ucapkan Deepavali Nal Valthukal.

ANWAR IBRAHIM

Sabtu, Oktober 23, 2010

Jangan takut gertakan Najib

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, biarlah Datuk Seri Najib Tun Razak bercakap ikut rentaknya sendiri sebelum bersara sebagai Perdana Menteri yang keenam apabila Pakatan Rakyat berjaya ke Putrajaya.

"Biarkan Najib bercakap ikut rentak sendiri kononnya mahu menyekat kemaraan Pakatan Rakyat dengan nyawa dan badannya. Ini menunjukan dia dah bimbang, cuma takut nak khabarkan," ujarnya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Tabung DAP di Raja Uda, malam tadi.

Tambah beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, jika rakyat mahukan pembaharuan dalam pentadbiran, mereka perlu berani ke hadapan mengundi Pakatan Rakyat untuk ke pusat pentadbiran negara buat pertama kali dalam sejarah.

Katanya, kemegahan seorang Perdana Menteri harus dikikis seandainya mahu menjiwai rakyat jelata, bukan menambah parah kewangan negara dengan memperelokan penginapan rumah sehingga RM65 juta.

"Rakyat sudah muak dengan kelakuan Perdana Menteri sama ada yang lepas atau pun yang kini sedang memerintah negara.  Habis wang rakyat digunakan untuk kepentingan diri dan keluarga," tegas beliau.

Sekarang ini, kata Anwar, bukan isu pengubahsuaian rumah Perdana Menteri sahaja hangat diperkatakan malahan tanah perkuburan baru sebelah Makam Negara yang menempatkan 250 orang Islam dan kenamaan bukan Islam menelan belanja RM70 juta.

Rabu, Ogos 11, 2010

Selamat Menyambut Ramadhan Kareem

Tibalah bulan Ramadhan yang dinanti-nantikan umat Islam. Moga amalan ibadah puasa disempurnakan sebaiknya hingga meningkat kederajat taqwa . Kesempatan dan kerahmatan yag hadir bersama Ramadhan memberi ruang untuk dimanfaatkan oleh umat Islam mendekatkan diri kepada Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Ditegaskan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran lewat ayat 183 Surah Al-Baqarah:
“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kepada kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan atas orang-orang sebelum kami, supaya kamu menjadi orang yang bertaqwa..”
Ibadah puasa memupuk pendidikan jiwa dan ruhani, membuatkan kita bermuhasabah betapa ibadah ini bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. Ibadah di bulan Ramadhan menuntut kita untuk peka dengan lingkungan, menginsafi kekurangan diri dan masyarakat sekaligus membangkitkan hasrat melakukan kebaikan serta memperkukuh usaha menghilangkan kemudaratan. Menjalani tarbiyyah dan tazkiyyah sepanjang madrasah Ramadhan menemukan kita dengan dua medan; medan perjuangan dalam diri serta lingkungan. Inshaallah dengan rahmat serta kasih Allah SWT, kita akan terus beristiqamah berusaha menjalani ibadah puasa ini agar tercerna serta terpancar akhlak dan sahsiah yang terpuji.

Ramadhan kareem.
 
ANWAR IBRAHIM

Anwar : PR contohi Kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz

Teladan kepimpinan berintegriti yang ditunjukkan Khulafa Rashidin Islam menjadi pegangan kerajaan Pakatan Rakyat dalam mengurustadbir negeri yang diamanahkan rakyat pada pilihanraya umum yang lalu.

Ketua Pembangkang Dato Seri Anwar Ibrahim menggesa Pakatan Rakyat untuk terus bertaut pada model kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz yang tegas dan tabah melaksanakan keadilan dan kesaksamaan untuk semua dan setiap lapisan masyarakat.

Dalam ucapannya pada Majlis Penyerahan Ehya Ramadhan di Jawi, Pulau Pinang, Anwar melahirkan rasa bangga dengan pentadbiran Kerajaan Negeri yang meraikan nilai-nilai Islam dalam lanskap sosio-politik Pulau Pinang.

Beliau berkata demikian selepas Pakatan Rakyat memberi bantuan kepada 56 buah surau dan 21 buah masjid dengan matlamat menjadikan rumah-rumah ibadat Islam sebagai nadi penggerak rakyat Pulau Pinang.

Bantuan ini diberi bagi meraikan kedatangan bulan suci Ramadhan, dengan harapan masjid dan surau di Pulau Pinang maju dan sentiasa diimarahkan.
Anwar melahirkan rasa terharu kerana suasana seperti ini tidak wujud ketika Barisan Nasional menerajui Kerajaan Negeri.

Beliau turut mengulas mengenai larangan penjualan arak di kawasan majoriti penduduk Melayu yang telah diputuskan dalam mesyuarat penuh Majlis Bandar Raya Shah Alam (MBSA) yang dikritik oleh Barisan Nasional, walhal cadangan itu adalah untuk kalangan umat islam agar menjauhi minuman keras.


Ahad, Ogos 08, 2010

Anwar: Agak malang, Chua 'jahil dan bongkak'

Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membidas presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek kerana melabelkan negara-negara Islam sebagai tidak progesif dan korup. Katanya, tuduhan itu mencerminkan kejahilan dan sifat bongkak pemimpin BN itu.

Anwar, yang juga ketua umum PKR berkata beliau tidak bercadang menghukum mereka yang menentang Islam, tetapi komen Chua dianggap keterlaluan dan begitu jahil berhubung situasi sebenar masyarakat Islam.

Merujuk kepada amaran Chua kepada masyarakat Cina di negara ini berhubung kerjasama dengan PAS, Anwar berkata Malaysia perlu diselamatkan bagi memastikan masyarakat Islam dan bukan Islam memahami dan menghormati agama dan budaya satu sama lain.
Tak dapat terima

“Saya tidak mahu menghukum sesiapa kerana menjadi anti(Islam) tetapi dia telah mempamerkan kejahilan dan begitu bongkak. Bagi saya, ini tidak dapat diterima,” katanya pada sidang media selepas berucap pada persidangan Integriti Antarabangsa di Pulau Pinang.

“Saya tidak tahu, tetapi berdasarkan pergaulannya dengan Umno itu langsung tidak memperlihatkan bahawa beliau memahami dan menghargai perasaan prihatin masyarakat Islam,” katanya.

Chua pada Konvensyen Tahunan ke-33 MCA Kedah di Alor Star, semalam telah memberi tanggapan negatif kononnya negara-negara Islam itu “tidak progresif, korup, miskin dan terkebelakang”

Sehubungan itu, beliau membidas kedua-dua Umno dan PAS kerana menggunakan agama bagi meraih sokongan di kalangan masyarakat Melayu.

Menurut Chua, apabila dua parti Melayu yang dominan itu bersaing, kesannya akan wujud dasar-dasar yang tidak progresif - menyebabkan negara terperangkap dalam kategori penduduk berpendapatan sederhana untuk lebih 10 tahun.

Beliau juga berkata Umno telah menjadi lebih konservatif untuk bersaing dengan PAS bagi mendapatkan sokongan Melayu.

Pelajari Confucius

Pada majlis itu, Anwar juga memuji inisiatif kerajaan Pulau Pinang yang merintis ruang bagi masyarakat Islam dan bukan Islam untuk menghargai sumbangan positif sesama mereka.

“Dalam hal yang sama, sebagai seorang insan, saya cuba mempelajari Confucius, cuba membaca atau membaca semula Ramayana dan Mahabharata. Bagi saya, ini penting kerana ia sebahagian daripda lanskap negara kita yang terdiri daripada penduduk pelbagai bangsa dan agama,” katanya.

“Pemimpin juga mesti bergerak ke hadapan. Saya berpendapat kekuatan Pakatan Rakyat adalah kerana kami mengamalkan politik baru yang menghargai dan mempelajari kelainan setiap kaum dan suku bangsa,” katanya lagi.

“Gejala takut kepada Islam atau Islamic phobia dan pendirian anti-Islam telah diluahkan oleh beberapa pihak seperti (Samuel) Huntington tetapi untuk melihat pemimpin politik Malaysia terikut-ikut dengan kejahilan itu, adalah sesuatu yang agak malang,” tambahanya. 
 

Isnin, Julai 19, 2010

Kenaikan Harga : Tidak Prihatin dan Tidak Bertanggungjawab

Walaupun Dewan Rakyat telah bersidang sejak 7 Jun 2010, pengumuman kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula langsung tidak dibincangkan di Dewan yang mulia itu. Pengumuman ini membuktikan Perdana Menteri dan kabinetnya tidak menghormati kedudukan Dewan Rakyat sebagai sidang tertinggi yang mewakili rakyat Malaysia. Dato’ Sri Najib sedar ahli parlimen baik dari Pakatan Rakyat mahupun dari Barisan Nasional tidak akan menyokong beliau kerana tindakan menaikkan harga tanpa menyediakan bantuan lain kepada rakyat adalah kebijakan yang tidak prihatin terhadap rakyat keseluruhannya.

Hakikatnya, kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula ini adalah tidak bertanggungjawab kerana tidak ada tindakan proaktif untuk menyediakan mekanisme bantuan kepada golongan yang paling terkesan dengan kenaikan ini, sebelum pengumuman dibuat. Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan rancangan pemotongan subsidi ini sejak tahun 2008 lagi atas alasan untuk menstrukturkan semula pemberian subsidi agar ia lebih memihak kepada golongan yang memerlukan. Sehingga kini, rakyat masih tertunggu-tunggu mekanisme bantuan tersebut. Pada masa yang sama, kenaikan demi kenaikan diumumkan.

Kenaikan harga gula sebanyak 28% sejak awal tahun ini (kenaikan 20 sen pada 1 Januari 2010, diikuti kenaikan 20 sen berikutnya pada 16 Julai 2010) sudah tentu akan mempunyai kesan kepada harga makanan. Kesan berganda daripada kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula ini akan memberi tekanan kepada golongan berpendapatan rendah di bawah RM2,000 sebulan, yang mana 75% adalah Bumiputra yang kononnya dibela oleh Barisan Nasional.

Sasaran penjimatan sebanyak RM750 juta yang diumumkan Pejabat Perdana Menteri adalah sedikit berbanding dengan keborosan dan pembaziran yang berlaku akibat kelalaian Barisan Nasional. Semalam, Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa perbelanjaan Jabatan Perdana Menteri telah mencecah RM3.8 billion pada tahun 2009 dan dijangka mengatasi peruntukan RM3.9 billion bagi tahun 2010. Ini termasuklah perbelanjaan Sekretariat Mantan Perdana Menteri dan Sekretariat Permata yang dinaungi oleh isteri Perdana Menteri.

Malah, penjimatan RM750 juta itu tidak setanding dengan kerugian yang ditanggung rakyat apabila konglomerat milik rakyat iaitu Sime Darby mengalami kerugian sebanyak RM946 juta dan menerima pula pampasan dari kerajaan berjumlah RM700 juta.

Membebankan rakyat atas alasan mengurangkan defisit dan menggunakan penjimatan untuk menampung keborosan kerajaan seperti ini perlu dihentikan segera. Di mana letaknya maruah seorang Perdana Menteri yang mengambil wang rakyat atas nama penstrukturan subsidi dan digunakan untuk membayar perunding asing seperti APCO sehingga mencecah RM77 juta setahun semata-mata untuk menaikkan imej beliau, sedangkan bayaran kepada APCO itu hampir sama jumlahnya dengan anggaran penjimatan subsidi gula sebanyak RM126 juta (seperti diumumkan PEMANDU).

Pun begitu, saya tidak menolak bulat-bulat kaedah penstrukturan semula subsidi untuk memastikan lebih banyak bantuan sampai terus kepada golongan 75% di bawah pendapatan isi rumah RM2,000 sebulan. Penjimatan dari pengurangan subsidi sepatutnya disalurkan terus kepada golongan ini melalui mekanisme-mekanisme yang perlu diumumkan serentak dengan kenaikan harga.

Saya menuntut supaya Perdana Menteri mengumumkan secepat mungkin bagaimanakah penjimatan RM750 juta ini akan dibelanjakan untuk rakyat. Nasihat saya supaya penjimatan ini disalurkan dalam bentuk kenaikan peruntukan untuk institusi pengajian tinggi, pelaburan baru dalam bidang pendidikan dan bantuan kebajikan terus kepada golongan berpendapatan di bawah RM2,000 agar penjimatan itu sampai terus kepada rakyat.

Sebelum ini pun, kerajaan telah menggunakan alasan mengurangkan defisit apabila menaikkan harga minyak dan keperluan asas. Tindakan ini sedikit pun tidak membantu menyelesaikan masalah defisit negara, malah ia makin meningkat. Bagi tahun 2008, di kemuncak kenaikan harga minyak, defisit negara melonjak kepada 4.8% berbanding 3.2% bagi tahun sebelum itu. Keadaan ini berlaku kerana kerajaan tidak berdisiplin dan tidak ada iltizam politik untuk menyalurkan penjimatan dari pemotongan subsidi ke sektor-sektor yang benar-benar memerlukan, sedangkan pembaziran dan kerugian terus berlaku.

Sebab itu, saya telah menegaskan berkali-kali bahawa ubat yang paling mujarab untuk memulihkan ekonomi negara adalah reformasi ekonomi yang menyeluruh, bukannya tertumpu kepada golongan lemah semata-mata.

Perdana Menteri tidak boleh meminta rakyat mengubah cara hidup, sedangkan kroni-kroni, ahli politik, golongan elit dan berkepentingan terus menikmati subsidi korporat seperti subsidi gas kepada penjana bebas yang menelan belanja RM18.9 billion setiap tahun, 25 kali ganda lebih besar dari penjimatan akibat potongan subsidi yang diumumkan semalam.

Oleh itu, saya menggariskan empat langkah segera yang perlu diambil oleh Perdana Menteri untuk meyakinkan rakyat bahawa pengorbanan mereka menanggung harga yang lebih tinggi untuk mengekang defisit adalah berbaloi:

1. Mengumumkan penambahbaikan drastik kepada kaedah dan sistem perolehan yang diamalkan kerajaan agar lebih telus dan mendapatkan nilai terbaik untuk rakyat;

2. Menstrukturkan semula pemberian subsidi gas kepada IPP agar penjimatan ini dapat disalurkan kepada rakyat;

3. Mengawalselia prestasi syarikat berkaitan kerajaan dan agensi yang dipertanggungjawabkan menjaga dana awam bagi mengelakkan kerugian berbillion ringgit yang ditanggung rakyat; dan yang terpenting

4. Membuktikan keikhlasan dalam perang menentang rasuah dengan menghentikan campur tangan politik di dalam SPRM dan Jabatan Peguam Negara.

Rakyat akan ternanti-nanti tindakan susulan Perdana Menteri jika benar Barisan Nasional ikhlas dalam menangani kekusutan ekonomi negara. Jika tidak, pengumuman kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula semalam hanyalah sambungan kepada rentetan penindasan rakyat berpendapatan rendah demi golongan elit dan kroni.

DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM

Ketua Pembangkang Malaysia


Selasa, Julai 06, 2010

Dasar Pakatan Rakyat Gugat Tampuk Kuasa Umno-BN

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata budaya politik yang diamal dalam Umno sejak lebih 50 tahun lalu adalah penyebab utama kehilangan kuasa politik orang Melayu.

Bercakap kepada media di lobi parlimen hari ini, Anwar yang mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengingatkan bahawa orang Melayu berhadapan dengan kemungkinan hilang kuasa politik menyifatkan kenyataan  itu sebagai satu wacana baru untuk mencari sokongan bagi mereka apabila berada dalam keadaan terdesak.

"Ingin saya tegaskan ini adalah wacana baru yang dimainkan oleh Umno bila mereka berada dalam keadaan terdesak.

"Dasar kita dalam Pakatan Rakyat antara KEADILAN, PAS dan DAP cukup jelas, sebenarnya kekuatan yang ada dalam perjuangan kita ini mengugat pimpinan Umno bukannya kuasa politik orang Melayu.

"Saya berkeyakinan hak Melayu, nasib masyarakat Melayu dan kaum bumiputera lain seperti Iban, Kadazan dan lain-lain akan lebih terbela dengan dasar yang kita lakukan dalam meningkatkan taraf ekonomi mereka.

"Kita tegas dengan prinsip iaitu menghapus penyelewengan dan juga ketirisan di dalam pentadbiran. Apa yang kita nampak dalam Umno mereka tidak pernah memikirkan soal ketirisan dan sekarang telah terbukti mereka mendahului kepada kelompok yang mempunyai kepentingan, siapa yang berada dalam senarai terkaya di negara ini. Yang kaya lagi kaya manakala yang miskin terus berada dalam kemiskinan," tegas Ketua umum KEADILAN itu.

Anwar juga menambah yang mengugat hak orang Melayu adalah politik Umno bukannya dasar orang lain, Umno gagal mengatasi masalah ini dalam mencari ketelusan perjuangan yang mereka katakan.

"Yang menyebab hak orang Melayu tergugat adalah Umno itu sendiri bukannya politik lain, Umno gagal mainkan peranan mereka dalam memastikan hak orang melayu itu terus terbela.

"Sikap mementingkan kroni tanpa memperdulikan hak rakyat terutama orang Melayu itulah merupakan kuasa politik orang Melayu terus hilang.

"Pakatan Rakyat dengan amalan dasarnya yang cukup jelas meletakkan perkara ini sebagai agenda utama bagi memastikan semua hak kaum dinegara ini terus terbela terutamanya hak orang Melayu," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menyelar kenyataan yang diberikan oleh Muhyiddin itu dan menyifatkan kenyataan tersebut telah lapuk.

"Kenyataan pemimpin Umno yang cuba menakutkan orang Melayu itu sudah lapuk dan tidak boleh diterima pakai lagi, kenyataan itu sudah menjadi sampah.

"Umno cuba memberikan gambaran negetif bahawa jika Pakatan mengambil alih kerajaan, rakyat negara ini tidak akan terbela terutamanya orang Melayu. Inilah politik ugutan Umno bile terdesak, mereka bukannya hendak mencari jalan penyelesaian dalam  politik mereka tetapi menyalahkan orang lain.

"Kebangkitan Pakatan adalah atas dasar pilihan dari rakyat, jadi rakyat tidak perlu gusar dengan kepimpinan yang ada di dalam Pakatan kerana dasar bersama antara PAS, KEADILAN dan DAP cukup jelas bukan untuk menindas atau memecah belah rakyat tetapi membawa pembelaan kepada seluruh rakyat negara ini," katanya.

Muhyiddin juga mengingatkan orang Melayu akan kehilangan kuasa politik jika mereka terus berpecah-belah sesama sendiri.

Gantung Suara Keadilan Tanda PRU-13 Semakin Hampir

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menolak kemungkinan tindakan Kementerian Dalam Negeri menggantung penerbitan lidah rasmi KEADILAN, Suara Keadilan sebagai antara tanda jelas Pilihan Raya Umum ke-13 semakin hampir

Anwar menganggap tindakan terdesak kerajaan Umno-Barisan Nasional terpaksa di ambil supaya semua penyelewengan dan salah urus tadbir yang berlaku di dalam Lembaga Pembangunan Tanah Persekutuan (Felda) tidak diketahui oleh rakyat negara ini khususnya golongan peneroka.

Kepincangan di dalam Felda yang didedahkan oleh akhbar rasmi KEADILAN dalam keluaran 22-29 jun lalu telah menimbulkan ketakutan kepada pimpinan atasan Umno sehingga mengarahkan KDN menggantung permit penerbitan Suara Keadilan dengan alasan yang tidak berasas walaupun jawapan surat tunjuk sebab telah dijawab oleh Pengarang Suara Keadilan.

"Sekatan terbitan yang dikenakan ke atas Suara Keadilan mengambarkan pilihan raya umum semakin hampir, Umno sekarang berada dalam ketakutan kerana pendedahan terbabit boleh mengugat sokongan mereka nanti.

"Kita melihat tindakan yang dilakukan itu secara terdesak tanpa menunggu keputusan saman yang ingin dikemukakan oleh Felda di mahkamah, KDN mengharamkan penerbitan Suara Keadilan agar kita tidak boleh membongkar penyelewengan yang mereka lakukan di dalam Felda ataupun agensi-agensi kerajaan yang lain.

"Umno sekarang mengambil tindakan segera menutup isu Felda dengan memperbesarkan cerita pasal Anwar Ibrahim yang dikatakan minta maaf dengan pemimpin Yahudi di dalam akhbar kawalan mereka, Utusan Malaysia.

"Jadi inilah masanya mereka mengambil kesempatan dengan isu terbabit, sekat terbitan Suara Keadilan agar tidak boleh memaparkan isu kepincangan mereka dalam pilihan raya umum nanti dengan harapan rakyat tidak akan mendapat maklumat tentang kepincangan mereka," kata beliau kepada Suara Keadilan di lobi parlimen semalam.

Tambah Anwar lagi, Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali akan bertanggungjawab untuk membahaskan usul tentang sekatan terbitan yang dikenakan oleh KDN ke atas Suara Keadilan di dalam Dewan Rakyat yang dijadualkan esok tetapi ini bergantung kepada keputusan Yang DiPertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.


Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...