Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pihak berkuasa
melakukan siasatan segera terhadap dakwaan berhubung aliran wang haram
yang amat tinggi di negara ini.

"Jangan lindungi perkara korup. Jika mereka gagal, jelaslah ia melibatkan personaliti besar dalam BN dan kerajaan. Mustahil jumlah sebanyak RM208 bilion tidak boleh dikesan."
Pada 20 Januari lalu, sebuah pemerhati kewangan - Global Financial Integrity (GFI) - menyenaraikan Malaysia antara negara yang merekodkan jumlah aliran wang haram tertinggi dalam tempoh sembilan tahun dalam dekad lalu.
Laporan itu menyebut, aliran wang keluar dari negara ini meningkat lebih tiga kali ganda dalam tempoh 2000 hingga 2008.
Aliran wang keluar dari Malaysia pada 2000 berjumlah RM67.7 bilion. Lapan tahun kemudian, jumlah ini bertambah sehingga RM208 bilion.

Sambil menegaskan keperluan siasatan yang bebas, ketua pembangkang itu berkata Bank Negara juga harus menjelaskan situasi tersebut.
Sehingga kini belum ada reaksi rasmi daripada pihak berkuasa berhubung laporan memalukan itu, yang meletakkan penguatkuasaan undang-undang kewangan di Malaysia bawah persoalan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri enggan mengulasnya ketika ditanya Jumaat lalu, tetapi memberitahu Bank Negara akan mengeluarkan kenyataan dengan segera.