Palestin…. Satu nama yang bukan sahaja mewakili sebuah negara dan bangsa, malah umat Islam seluruh dunia kerana terletak di bumi ini tanah haram yang ketiga selepas Mekah dan Madinah. Pembebasannya sudah bermula sejak zaman Khalifah Islam yang kedua, kemudian beralih ke tangan Sultan Salahuddin al-Ayyubi ketika Zaman Abbasiyyah. Dan kini -selepas tahun 1948- kita masih menanti, di tangan siapakah al-Quds akan dibebaskan.
Pembebasan bumi al-Quds menuntut kepada jihad menentang kezaliman Yahudi yang saban hari merancang untuk ‘mengeluarkan’ semua penduduk Palestin dari tanah kelahiran mereka sendiri melalui apa jua cara. Penubuhan pelbagai gerakan di Palestin sama ada beracuankan Islam atau sekular atau sosialis, semuanya mempunyai tujuan yang sama iaitu ingin membebaskan al-Quds dan tanah Palestin seluruhnya dari cengkaman Yahudi. Sepintas lalu mengenai pertubuhan-pertubuhan utama yang wujud di Palestin adalah seperti berikut:
1- Pertubuhan Pembebasan Palestin atau FATH ditubuhkan pada tahun 1965 yang dipimpin oleh Yasser Arafat. Sayap bersenjata utama bagi pertubuhan ini ialah Briged Syuhada al-Aqsa. Merupakan antara gerakan utama yang mempelopori perjuangan pembebasan secara bersenjata.
2- Barisan Popular Pembebasan Palestin (Jabhah Sya’abiyah) ditubuhkan pada tahun 1967. Berjaya menculik juruterbang Israel, meletupkan lapangan kapal terbang dan membunuh para pemimpin Israel pada tahun 70an.
3- Barisan Demokrasi Pembebasan Palestin (Jabhah Demokratiah) ditubuhkan pada tahun 1969. Berpecah daripada pertubuhan di atas kerana terdapat perselisihan. Matlamat mereka ialah membina Negara Palestin yang terdiri daripada orang Arab dan Yahudi.
4- Gerakan Jihad Islami ditubuhkan pada sekitar tahun 70an. Sayap bersenjata utamanya ialah Saraya al-Quds. Berjaya melakukan beberapa operasi istisyhadiah ketika Intifadhah al-Aqsa.
5- Gerakan Penentangan Islam (Harakah Muqawamah Islamiyah) atau HAMAS diasaskan pada tahun 1987 oleh Syeikh Ahmad Yassin. Sayap bersenjatanya ialah Briged al-Syahid Izzuddin al-Qassam. Berjaya menculik beberapa askar Israel dan yang terkini adalah Jal’at Syalit.
6- Komiti Penentangan Rakyat (Lijan Muqawamah Sya’abiyah) ditubuhkan pada tahun 2000. Sayap bersenjatanya ialah Kontinjen al-Nasir Salahuddin yang terlibat sama dengan pakatan penculikan Jal’at Syalit.
Dan terdapat banyak lagi gerakan-gerakan dan sayap bersenjata lain yang wujud di Palestin.
Walaupun terdapat banyak pertubuhan, namun usaha pembebasan tersebut mula dirasakan jauh dengan termeterainya perjanjian Oslo pada tahun 1993 yang penuh kontroversi dan tidak disokong oleh semua gerakan di atas kecuali FATH, hatta sebahagian daripada mereka sendiri menentangnya. Hal ini kerana perjanjian perdamaian tersebut dilihat berat sebelah dan tidak memberikan keuntungan kepada rakyat Palestin, dan lanjutan daripada perjanjian itu juga, Israel bersetuju membenarkan pilihanraya diadakan bagi memilih presiden dan kerajaan Palestin khusus untuk Tebing Barat dan Semenanjung Ghaza sahaja.
Kerajaan Palestin pertama yang ditubuhkan ini pula dilihat semakin mengurangkan kemampuan untuk membebaskan bumi al-Quds dengan mudah kerana ia penuh dengan korupsi dan banyak bantuan yang disalurkan oleh negara luar tidak sampai ke tangan rakyat. Selain itu, Israel juga membenarkan penubuhan tentera khas untuk menjaga Presiden yang mana sebenarnya ia adalah untuk memenuhi matlamat Zionis sendiri, kerana tentera khas ini telah banyak menangkap para mujahid Islam yang dilihat membahayakan kepada Israel.
Pada tahun 2005, HAMAS mengambil keputusan untuk menyertai pilihanraya umum bagi menguasai kerajaan yang dirasakan semakin menyukarkan pembebasan Palestin. HAMAS yang sangat dekat dengan perjuangan rakyat dan sering membantu mereka, mendapat kemenangan yang tidak diduga iaitu 76 daripada 132 kerusi sehingga membolehkan mereka membentuk kerajaan. Pada waku ini, harapan baru untuk membebaskan Palestin dengan mudah mula dirasai. Kerajaan baru ini tidak sekali-kali mahu memberi pengiktirafan kepada Israel atas kewujudannya di bumi Palestin seperti mana kerajaan yang lepas, dan sentiasa melaung-laungkan pelbagai tuntutan dan janji kepada Israel seperti hak pelarian Palestin untuk kembali ke tanah kelahiran mereka ini. Namun ia tidak semudah yang disangka, kerajaan yang mendapat undian terbanyak dalam pilihanraya yang bersih ini telah dipulau oleh dunia hatta dunia Arab sendiri. Gerakan FATH pula dilihat seolah-olah tidak dapat menerima kekalahan mereka, sehinggakan Presiden Mahmud Abbas (ketua teratas FATH selepas Yasser Arafat) sendiri tidak mahu berurusan dengan menteri kabinetnya, malah melantik wakil lain untuk melakukan beberapa kerja kementerian seperti Kementerian Luar Negara.
Walaupun dipulau, sokongan rakyat terhadap kerajaan HAMAS semakin kuat. Ini dapat dilihat daripada penentangan FATH (baca = aliran Dahlan) yang mula dibuat secara terbuka untuk mengguling kerajaan HAMAS terutamanya di Semenanjung Ghaza. Pelbagai bentuk ancaman telah dilakukan, seperti membakar Universiti Islam di Ghaza yang telah diasaskan oleh Syeikh Ahmad Yassin, melakukan pelbagai percubaan untuk membunuh para pemimpin HAMAS, menggagalkan rancangan pertukaran tawanan ribuan rakyat Palestin dengan Jal’at Syalit, malah menawarkan kepada Israel tawaran percuma untuk memulangkannya, dan banyak lagi.
HAMAS masih tetap bersabar dan berusaha untuk membuat kerajaan campuran dengan parti-parti politik lain, dan ia berjaya dilahirkan dengan nama Kerajaan Perpaduan Negara pada Mac 2007 di Mekah. Hasil daripada persepakatan ini, suasana di Palestin kembali aman dan tiada lagi serangan daripada FATH. Dunia Arab serta Eropah mula menjanjikan pelbagai bantuan kepada kerajaan baru ini secara terbuka. Namun, Amerika tidak senang duduk dengan nama HAMAS yang semakin baik di mata dunia, lantas bertindak memberikan bantuan persenjataan kepada Dahlan (Penasihat Tentera Khas Presiden) yang bertujuan untuk melenyapkan nama HAMAS daripada dunia politik. Maka pada kali ini, FATH dilihat semakin ganas menyerang sehingga terkeluar daripada landasan seorang Muslim seperti mengoyak al-Quran dan menghina Tuhan. Hal ini menyebabkan Doktor Marwan Abu Ras, Ketua Ikatan Ulama Palestin, mengeluarkan fatwa menghalalkan darah salah seorang daripada mereka (Sameh Madhun) yang telah membuat pengakuan secara terbuka bahawa dialah yang telah membunuh, membakar rumah, dan sebagainya.
Lantas, pada 14 Jun 2007, Briged al-Qassam bangkit dengan sokongan rakyat untuk mengembalikan keamanan di Ghaza dan mereka berjaya menawan semua pusat gerakan ketenteraan Presiden dan pusat perisikan Palestin dan menawan para pengkhianat. Namun, kejayaan yang paling besar adalah pembongkaran suatu pakatan sulit antara Israel dan segelintir orang upahan dalam FATH yang diketuai oleh Dahlan untuk menghapuskan para pejuang Islam di Palestin. Di samping itu, terdapat juga bukti bahawa Abbas mengarahkan tenteranya membunuh sesiapa sahaja yang membawa roket untuk menyerang Israel, dan ribuan lagi bukti-bukti bertulis dan rekod suara yang menunjukkan kecurangan golongan ini terhadap perjuangan untuk membebaskan bumi Palestin.
Ghaza kembali aman dan umat Islam berasa gembira kerana dalang kepada pengkhianatan perjuangan Palestin selama ini telah dapat diketahui dengan bukti yang kukuh. Namun, kegembiraan ini tidak lama apabila Presiden Palestin terus melancarkan serangan untuk menyekat kemaraan HAMAS dalam perjuangan Islam dengan mengumumkan pemecatan Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan Negara, Ismail Haniyah, dan lebih dayus lagi apabila beliau menuduh HAMAS pula sebagai perampas kuasa, walaupun seluruh dunia telah mengetahui hakikatnya. Lebih jauh daripada itu, Presiden mengumumkan perlantikan Kerajaan Darurat tanpa restu daripada Majlis Perundangan yang dikuasai oleh HAMAS. Tentera Khas Presiden pula terus menculik dan membunuh semua penduduk Tebing Barat yang menyokong HAMAS, dan lebih dahsyat lagi apabila Abbas mengarahkan agar semua sayap bersenjata bagi gerakan-gerakan pembebasan dibubarkan, termasuklah briged di bawah gerakan FATH sendiri !
Begitulah senario terakhir yang berlaku di Palestin ketika ini. Perjalanan ke arah pembebasannya bukan sahaja telah dilambatkan oleh para penjajah, malah oleh sebahagian umat Islam sendiri yang sanggup menjual maruah, bangsa dan agama untuk mendapatkan seteguk kemewahan dunia. Hal ini mengingatkan kita kepada sejarah Salahuddin al-Ayyubi yang terpaksa menghadapi beberapa serangan daripada umat Islam yang menjadi batu penghalang ke arah pembebasan al-Quds selama beberapa tahun lamanya. Proses ke arah itu juga dilambatkan lagi dengan sikap kita sendiri yang tidak membantu kemenangan tersebut seperti tidak memboikot produk Yahudi dan Amerika yang secara langsung tanpa kita sedari telah membantu menghancurkan al-Quds dan Palestin juga !
= Artikel ini telah ditulis ketika HAMAS baru sahaja berjaya mengembalikan keamanan di Ghaza.
Sumber : Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir
Baca rencana berkaitan di sini..