Oleh : Dr. Asri Zainal Abidin
Demokrasi itu hampir menjadi agama kepada sesetengah pihak. Bahkan ada pihak yang meletakkan demokrasi lebih tinggi daripada prinsip-prinsip yang ada dalam agamanya. Sehingga jika kita menyebut bahawa tindakannya itu bercanggah dengan prinsip agama, dia akan menyatakan “saya kena patuh kepada kehendak demokrasi”.
Walaupun sebenarnya demokrasi dalam banyak keadaan mempunyai tafsiran yang berbagai, tetapi jika semuanya itu dirumuskan ia merujuk kepada kepatuhan pemerintah kepada kuasa atau suara majoriti rakyat. Di samping demokrasi juga menyebut tentang menghormati hak-hak minoriti.
'Kerajaan rakyat, untuk rakyat dan kepada rakyat’, demikian antara slogan-slogan demokrasi yang dianggap indah. Tanpa sebarang syak demokrasi adalah sistem pemerintahan yang terbaik dibandingkan pemerintah autokrasi yang menjadikan kuasa berada di tangan seorang individu tanpa memperdulikan perasaan dan kehendak rakyat.
Di negara-negara yang dicengkami oleh pemerintahan ‘kuku besi’, demokrasi menjadi igauan rakyatnya. Mereka memuja demokrasi sebagaimana seseorang memuja agama. Bahkan mereka sanggup dipenjara atau mati kerananya. Walaupun dalam ajaran demokrasi tiada bab syurga atau neraka selepas kematian, tetapi kehendak insani terhadap kebebasan rakyat dan keadilan yang kelihatan selaras dengan slogan yang dikibarkan oleh bendera demokrasi membawa manusia sanggup berkorban kerananya.
Betapa ramai para pejuang demokrasi yang terkorban tanpa sempat melihat ‘suara majoriti’ menguasai negaranya. Betapa ramai yang mati dalam tahanan tanpa sempat melihat ‘kerajaan rakyat’ yang diidamkannya. Namun, tanpa berbekalkan nas-nas tentang ‘jihad dan syahid’, mereka sanggup dan rela. Sebabnya, keadilan itu selaras dengan naluri insani yang dibekalkan oleh Tuhan dalam fitrah insan. Demokrasi kelihatan menempatkan fitrah ini dalam sistemnya.
Namun dalam Dunia Islam sepatutnya tidak perlu mengagungkan demokrasi. Umat Islam telah dibekalkan oleh Islam dengan sistem syura yang adil dan berteraskan prinsip yang diredhai Allah. Malangnya para pemerintah Dunia Islam meminggirkan ‘Sistem Syura’ sehingga umat Islam jahil mengenainya, dalam masa yang sama slogan demokrasi yang dilaungkan Barat berkumandang di dunia. Melaluinya, Barat cuba menyebarkan pengaruh politik. Maka slogan demokrasi pun bergema di Dunia Islam sebagai satu impian rakyat.
Apatah lagi para pemerintah Dunia Islam ramai yang zalim dan kejam, maka bertambah suburlah kerinduan rakyat di Dunia Islam kepada kebebasan bersuara, hak dan keadilan, lalu dipinjam slogan yang Barat gunakan iaitu demokrasi. Lebih daripada itu, Barat berjaya membuktikan secara realitinya bagaimana kekebasan bersuara dan penghormatan kepada suara ramai dihayati dalam negara mereka.
Maka Barat seakan menjadi ‘Kiblat Politik’ dalam mengecapi hak dan kebebasan. Akhirnya Barat itu dianggap teladan dalam segala perkara yang negatif dan positif; sehingga kepada soalan yang berkaitan agama dan budaya. Ini semua berlaku dek kedurjanaan para pemerintah umat Islam itu sendiri yang merampas kebebasan rakyat sehingga mereka hilang panduan.
Ada yang menyebut bahawa ‘syura dan demokrasi’ namanya sahaja yang berbeza, tetapi maksudnya sama. Saya tidak mahu berbalah tentang istilah, kerana setiap orang berhak mempunyai kefahamannya yang tersendiri terhadap istilah yang dia pakai. Apa yang penting apakah prinsip yang dipegang, bukan jenama yang dipakai.
Prinsip-prinsip syura tulen berteraskan nas-nas wahyu, sementara prinsip-prinsip demokrasi berdasarkan pemikiran manusia. Walaupun mungkin banyak perkara secara umumnya demokrasi tidak bercanggah dengan Islam kerana asas pemerintahan dalam Islam itu sendiri adalah keadilan untuk rakyat berpandukan syariat Islami. Namun ada perbezaan antara demokrasi dan prinsip syura dalam Islam.
Dalam sistem syura Islam; suara ramai dihormati, demikian hak individu rakyat juga dipelihara. Dalam masa yang sama Islam mempunyai prinsip-prinsip yang perlu dipatuhi iaitu syariat Islam yang diturunkan Allah untuk kebaikan manusia. Jika suara ramai itu bercanggah dengan syariat Allah, sistem syura akan berpegang kepada syariat dan tidak akan menghalalkan yang haram atas nama ‘suara ramai’. Misalnya, jika kehendak rakyat ‘menghalalkan arak atau judi, atau zina, atau homoseksual maka kerajaan yang berteraskan demokrasi perlu menghormatinya.
Sementara dalam sistem syura, pemerintah berpegang kepada wahyu; maka kehendak ramai yang bercanggah dengan wahyu tidak dapat diterima. Bahkan menjadi tanggungjawab pemerintah mendidik rakyat dengan ajaran Allah agar mereka terbimbing dan dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk. Suara ramai memang dihormati tetapi ia bukan semestinya sentiasa betul. Jika suara ramai ingin menghalal yang salah, kita tidak bersetuju dengannya.
Firman Allah: (maksudnya) :
Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah Yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah Yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk.(surah al-An’am:116-117)
Di peti undi pilihanraya, undi seorang ilmuwan besar yang sarat dengan analisa dan kajian tiada beza nilainya dengan undi seorang yang tiada pelajaran dan mengundi secara suka-suka tanpa fikir. Jika masyarakat dipenuhi oleh majoriti mereka yang mahu perkara-perkara negatif, demokrasi terpaksa menerima sedangkan sistem syura tidak. Bahkan tanggungjawab pemerintah ketika itu melaksanakan apa yang Allah sebut: (maksudnya):
“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kemunkaran. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Surah al-Hajj: 41).
Pemerintahan berjiwa ‘syura islami’ akan menerapkan hubungan perasaan dengan Allah yang memberikan amanah kuasa pemerintahan kepadanya untuk memerintah dengan adil. Pegangan pemerintah adalah Islam dan keadilannya untuk rakyat. Bukan pemerintah berpegang kepada rakyat dan cuba memberi keputusan kepada agama. Politik demokrasi jika tidak dikawal akan menempatkan suara ramai menggantikan wahyu.
Siang malam yang diimpikan oleh pemerintah adalah undi rakyat bagi memungkin mereka terus berkuasa kerana kuasa dilihat sebagai amanah rakyat semata, bukan amanah Allah. Demikian pihak pembangkang yang partinya beriman penuh kepada prinsip demokrasi akan melakukan apa sahaja demi mendapat sokongan rakyat. Akhirnya lahirlah politik wang, jatuh-menjatuh demi mendapatkan undi, menggadaikan prinsip perjuangan kerana undi dan berbagai lagi. Sehingga yang berslogan Islam pun, menukar pegangan demi pengundi atau berdiam diri terhadap kemunkaran pengundinya.
Di Malaysia, kita akan melihat satu demi satu prinsip-prinsip Islam terpinggir dalam kegilaan mendapatkan sokongan rakyat atau memenangi peti. Pihak yang memakai jenama ‘Islam’ juga akan mendiamkan diri, jika dilihat membela prinsip-prinsip itu merugikan undi mereka. Itulah buruknya demokrasi yang berteraskan suara rakyat, tanpa berpaksikan wahyu.
Saya tidak bertujuan mencadangkan agar ditukarkan nama demokrasi kepada syura. Apa yang ingin saya sebut, sebagai seorang muslim apa pun sistem yang diguna namanya, atau terpaksa kita berinteraksi dengannya, kita hendaklah sentiasa berpaksikan wahyu. Perlu ada acuan prinsip kita yang tersendiri. Jika pun tidak mampu menukar, nama demokrasi itu mungkin boleh dipakai, tetapi prinsip seorang muslim hendaklah sistem syura yang berasaskan tanggungjawab pemerintah di hadapan Allah.
Jika tidak, demokrasi akan mengorbankan prinsip Islam dan menjadikan pemerintah dan pembangkang hilang idealisma tenggelam dalam kehendak ramai yang pada hari dipengaruhi berbagai-bagai kehendak globalisasi. Hingga pemerintah dan pembangkang itu akhirnya mengikut kehendak rakyat bukan mendidik dan membimbing rakyat. Maka rosaklah negara.