Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam sidang media hari ini menambah, Exco Pertanian, Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Tembatan Bajir Negeri, Law Choo Kiang akan mengumumkan kepada awam bila semua siasatan selesai dibuat.
"Kerajaan Negeri akan umumkan segala laporan yang disiasat pada umum dalam tempuh dua minggu lagi sebagaimana yang diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Tanah Negeri pada 30 Mac lepas. Kita buat begitu selari dengan slogan kerajaan Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT), " tegasnya.
Jelas beliau lagi, siasatan itu dilakukan ekoran Kerajaan Negeri kehilangan pendapatan hasil royalti RM3 setiap meter cubit tanah merah atau batuan yang digali.
Akibat tindakan penyiasatan itu, tiga kuari dibekukan buat sementara iaitu Kuat Sdn Bhd, Batu Tiga Quarry Sdn Bhd dan Saw Chong Teok Sdn Bhd. Ketiga-tiganya beroperasi di Seberang Perai Tengah (SPT).
Pembekuan itu hanya sementara dan akan dibenarkan operasi semula bilamana siasatan mendapati kuari terbabit tidak terlibat.
"Pembekuan itu bukan bermakna kuari milik mereka terlibat dalam kes yang hangat diperkatakan sebaliknya akan membenarkan kerja-kerja kuari sebaik saja kes membuktikan kuari mereka tidak terlibat, " ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan.