Kerusi itu dikosongkan oleh bekas Timbalan Ketua Menteri (TKM1) Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin pada 16 April lalu.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, suruhanjaya itu melarang penggunaan pondok panas dan perayu undi dalam pilihanraya kecil kali ini.
Katanya, keputusan itu bagi membolehkan hari mengundi berjalan dengan "aman, tenang dan tanpa kesesakan lalulintas," selain "menyejukkan suasana" selepas berkempen.
Tambahnya, tempoh berkempen selama lapan hari sudah mencukupi kerana hanya sebilangan kecil pengundi atas pagar sahaja yang membuat keputusan di saat akhir.
Abdul Aziz berkata, pondok panas menjadi "pusat ketegangan" semasa hari pengundian.
"Saya tidak tahu hendak menjelaskan gelagatnya (di pondok panas). Kadang-kadang macam dirasuk hantu. Bila kita cakap (tegur), dia kata kita pula yang emosional.
'Merayu dalam kenderaan'
“Semangatnya (penyokong) tinggi dan bilangannya ramai," katanya dalam sidang media di pejabatnya di Putrajaya pagi ini.
Jelasnya lagi, SPR bagaimanapun masih membenarkan parti politik bertanding merayu di dalam kenderaan sewaktu menghantar pemilih ke tempat pembuangan undi.
"(Pengangkutan) itu perkhidmatan. Dalam kereta itu, bolehlah cakap (kempen)," katanya.
Ditanya bentuk tindakan yang boleh dikenakan terhadap pihak yang melanggar arahan itu, Abdul Aziz berkata, mereka boleh didenda RM5,000 dan tidak dibenarkan mengundi bagi tempoh lima tahun seperti Seksyen 27(1) Akta Kesalahan Pilihanraya.
Ditanya sama ada suruhanjaya itu sengaja melewatkan pengumuman tarikh-tarikh tersebut untuk membolehkan Umno mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi, Jumaat lepas, beliau berkata:
"Pertama, tidak ada penanguhan sama sekali. Kita tunda pengumuman itu bagi menyelaraskan pegawai-pegawai kita. Kita juga perlu menemui pihak parti politik pada hari Khamis.
'Umum ikut tempoh'
"Saya juga perlu dapatkan kebenaran bertulis daripada pemilik bangunan, sekolah dan Insitut Kemahiran Belia Negara (untuk pusat pengundian).
"Dan (perkara ini) tiada kena-mengena dengan (MT) Umno. Kita pun tidak tahu mesyuarat itu, kecuali apabila ada orang bangkitkan perkara ini.
"Tidak sama sekali. Tidak relevan sama sekali mesyuarat MT Umno dengan keputusan SPR," kata Abdul Aziz.
"Kita umumkan dalam tempoh yang ditetapkan undang-undang. Kecuali saya mengumumkan pada hari kedua belas dan ketiga belas (selepas bermesyuarat)."
Selain itu, diminta menjelaskan tindakan SPR menetapkan hari pengundian DUN Penanti pada Ahad, berbeza dengan tiga pilihanraya kecil sebelum ini, Abdul Aziz berkata, ia bertujuan memudahkan orang ramai.
Pilihanraya kecil Penanti menggunakan daftar yang dikemaskini sehinggi 16 April dan mengandungi 15,384 pemilih, termasuk 24 pemilih pos.
Daripada jumlah itu, 72.68 % Melayu, 24.22 % Cina, 2.3 India dan 0.71 lain-lain kaum.
Pengundian di 32 saluran akan berjalan di sembilan pusat pengundian - lapan sekolah dan satu dewan insitut belia.
Abdul Aziz berkata, 242 petugas SPR akan terlibat mengendalikan pilihanraya kecil itu dengan perbelanjaan RM500,000.
Mafrel jadi pemantau
Beliau juga berkata, jika BN tidak bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Penanti, ia merupakan kali pertama dalam sejarah.
Katanya, untuk pilihanraya ini, SPR bersetuju menubuhkan dua pasukan penguatkuasa kempen pilihanraya (PP-KPR) yang bertanggungjawab memantau pemasangan bahan kempen dan segala aktiviti kempen sepanjang tempoh rasmi berkempen dari 23 Mei sehingga selesai hari mengundi jam 5 petang pada 31 Mei.
Abdul Aziz berkata, PP-KPR akan diketuai seorang pegawai penguatkuasa dan dianggotai seorang pegawai polis, seorang wakil pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon yang bertanding.
SPR juga, katanya, bersetuju membenarkan Pemantau Pilihanraya Bebas dan Adil Mafrel) menjadi pemerhati perjalanan pilihanraya kecil tersebut, dan meminta mereka menghubungi urusetia SPR untuk urusan pelantikan dan syarat-syarat yang akan ditetapkan.
Abdul Aziz berkata daftar pemilih bagi bahagian pilihanraya berkenaan akan mula dijual pada 8 Mei ini.
"Pengundi dalam bahagian pilihanraya berkenaan juga boleh membuat semakan melalui lamanweb SPR iaitu www.spr.gov.my dan melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip SPR
"Selain itu, para pengundi juga boleh menelefon ibu pejabat SPR di Putrajaya di talian 03-8885 6500 dan Pejabat Pilihanraya Negeri Pulau Pinang di talian 04-261 7692," katanya.