Tiada kerajaan di mana-mana sekalipun yang zalim, korup dan menindas
rakyat, akan terus kekal berkuasa, sebaliknya tetap akan jatuh walau
apapun juga cara yang digunakan, kata Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr
Wan Azizah Wan Ismail.
“Suatu
hari kelak tetap akan jatuh, mana-mana negara pun. Kerajaan yang
sedemikian, jangan harap boleh kekal sampai bila-bila. Hanya masa yang
akan menentukan (kejatuhan sesebuah kerajaan),” katanya merujuk
kejatuhan regim Hosni Mubarak apabila ditanya mengenai kesan peristiwa
di Mesir itu terhadap Malaysia.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Cabang
Wangsa Maju yang kini diterajui bekas Menteri Tanah dan Pembangunan
Koperasi, Datuk Dr Tan Kee Kwong, pagi ini. Lebih 100 orang menghadiri
majlis sederhana itu.
Pada majlis itu, Dr Wan Azizah juga menerima 100 borang keahlian
baru, selain merasmikan Pusat Khidmat Masyarakat KEADILAN dan pelancaran
Briged Keselamatan bagi cabang berkenaan.
Dr Wan Azizah berkata, kerajaan pemerintah dan rakyat di negara ini
harus mengambil iktibar daripada kejadian di Mesir dan tidak menolak
peristiwa seumpama itu berulang di Malaysia.
“Kita memanglah tidak mahu suasana huru-hara, sebaliknya parti
berharap proses pertukaran kerajaan berjalan dengan baik,” katanya.