Kerajaan Negeri Pulau Pinang mempertimbangkan cadangan untuk
memberikan bantuan RM1,000 kepada setiap pelajar dari negeri ini yang
hendak kembali melanjutkan pelajaran di beberapa buah universiti di
Mesir tidak lama lagi.
Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mansor Othman berkata, cadangan
tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat Exco terlebih dahulu sebelum
mendapat keputusan mutlak.
Ini berikutan rata-rata ibu bapa merasa resah mencari dana untuk
menghantar anak mereka belajar setelah kembali ke tanah air menerusi
Operasi Piramid (Ops Piramid) kelolaan Kerajaan Persekutuan.
Beliau yakin Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp) akan membantu menerusi Pusat Urus Zakat (PUZ).
"Kerajaan negeri akan mencari jalan bagaimana untuk membantu pelajar
dari Mesir untuk kembali belajar di sana bila keadaan di sana
benar-benar aman.
“Insya Allah kita akan mencari dana bagi mengatasi kegusaran ibu bapa
yang rata-ratanya daif," tegasnya ketika pertemuan dengan pelajar Mesir
di Dewan Sri Pinang, semalam.
Yang Dipertua Maipp, Ustaz Elias Zakaria memberitahu, PUZ akan cuba
mengeluarkan dana kepada pelajar yang betul-betul memerlukan peruntukan
untuk kembali menyambung pelajaran di sana.
Katanya, ibu bapa yang kurang mampu disaran sentiasa menghubunginya
pejabat PUZ atau pemangku Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang
(Jaipp) untuk bertanyakan hal berkenaan.
"Mereka ibarat mutiara harus dijaga maka sebab itu kami akan sedaya
upaya membantu mengatasi masalah kewangan terutamanya berkaitan wang
tambang ke Mesir," terangnya.
Ibu bapa yang mengharapkan sumbangan berkenaan boleh menghubungi Ustaz Ridwan di talian 012-5529880 untuk keterangan lanjut.