Kerajaan Malaysia perlu menyiasat pengambil alihan aset hiliran Esso
Malaysia oleh San Miguel Corp dari Filipina baru-baru ini jika mereka
benar-benar serius mahu memupuk budaya urus tadbir korporat yang tegas
dalam negara ini.
Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat gesaan itu
susulan pengambil alihan aset hiliran Esso Malaysia pada harga USD610
million yang jauh lebih rendah daripada nilai pasarannya.
Beliau juga menggesa agar Suruhanjaya Sekuriti dan kumpulan pemerhati
pemegang saham minoriti meneliti urusniaga itu untuk memastikan
kepentingan pemegang saham minoriti tidak diabaikan.
Menurut Anwar, San Miguel Corp sebelum ini mempunyai Mirzan Mahathir,
anak mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir sebagai salah seorang
pengarahnya selepas Mirzan memperolehi 19.9 peratus saham dalam
konglomerat itu pada harga RM2.9.
Walaupun Mirzan kini bukan lagi pengarah dalam syarikat itu, beliau
kekal sebagai Pengarah Petron Corporation, syarikat bersekutu San Miguel
Corp yang memiliki rangkaian loji penapis dan pengedar petrol di
Filipina.
“Oleh itu, persoalan akan timbul samada pengambilalihan aset hiliran
Esso itu berlaku pada harga yang sebegitu rendah bagi pihak Mirzan?
“Ini menjadi lebih penting kerana abangnya, Mokhzani Mahathir
memperolehi sekian banyak manfaat daripada sektor huluan industri gas
dan minyak melalui Kenchana Petroleum; terutamanya apabila bapa mereka
merupakan penasihat Petronas,” kata Anwar.
Katanya lagi, sektor korporat Malaysia perlu bebas dari amalan
urusniaga ‘bawah meja’ yang dibudayakan BN dan menjejaskan kepentingan
orang ramai.
Penguasaan Mirzan dalam sektor korporat tanahair dengan bantuan kerajaan Umno BN bukan satu perkara baru.
Beliau juga adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kencana Petroleum
yang memperolehi subsidi daripada kerajaan Umno sebagai pembekal tenaga
bebas (IPP) dalam negara.