BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya

Ahad, Ogos 31, 2008

Perutusan Ramadhan Al-Mubarak

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Saudara saudari para Pimpinan Peringkat Bahagian dan Cawangan,
Para Ahli dan Penyokong Parti Keadilan Rakyat,
Muslimin dan Muslimat yang di Rahmati Allah sekelian.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Berpuasa kepada semua kaum Muslimin dan Muslimat dalam bahagian ini khususnya dan seluruh dunia amnya.

Marilah sama-sama kita tunaikan fardhu ini dengan penuh keikhlasan dan ketertiban mengikut Sunnah Rasulallah s.a.w. semoga dengan itu akan tercapai semua maksud ketakwaan yang dijanjikan oleh Allah s.w.t.

Sesungguhnya ibadah puasa ini adalah sebahagian daripada ibadah pokok yang mampu mengangkat martabat seorang Muslim keperingkat yang paling tinggi kemuliaannya di kalangan manusia di sisi Allah s.w.t. iaitu TAQWA. Oleh itu marilah kita mengambil kesempatan dengan ibadah ini untuk meningkatkan martabat diri masing-masing.

Orang-orang yang bertakwa ialah mereka yang lengkap dan teguh diri peribadinya, berprinsip dan mampu memerdekakan diri, masyarakat dan negaranya daripada segala macam unsur kemaksiatan, jenayah dan pengaruh timur dan barat. Mereka hanya berpegang kepada prinsip MARDHATILLAH yakni segala sesuatu yang diredhai Allah dan TAKUTKAN Allah semata-mata.

Akhir sekali saya berharap di samping berpuasa kita tidak melupakan tugas-tugas harian kita untuk berkhidmat kepada masyarakat dan rakyat tanpa mengira anutan agama dan keturunan bangsa. Semoga puasa kita benar-benar memperlihatkan ibadah seorang Khalifah Allah di atas muka bumi.

Sehingga berjumpa lagi di kesempatan yang lain, wabillahi taufiq walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Selamat Berpuasa, Merdeka ! Merdeka !! Merdeka !!!

YB Tuan Haji Maktar bin Haji Shapee
Ketua Parti Keadilan Rakyat Bahagian Nibong Tebal
ADUN Sungai Bakap

Sabtu, Ogos 30, 2008

Ayuh ke PUTRAJAYA

Permatang Pauh kembali seperti sediakala, kehidupan harian penduduknya berjalan seperti biasa. Sudah tiada lagi hiruk pikuk, riuh rendah, kelam kabut dan kesesakan jalanraya di Permatang Pauh.

Kalau dua minggu yang lalu Permatang Pauh amat sibuk, terutamanya menjelang petang dan malam. Ini kerana Pilihanraya Kecil Parlimen. Keputusannya telah dketahui umum menjelang malam 26 Ogos 2008. Pemenangnya seperti dijangka Datuk Seri Anwar Ibrahim (31,195) berjaya menewaskan calon terbaik Barisan Nasional Arif Shah (15,524) dan calon Bebas Haji Hanapi (92) dengan majoriti yang meningkat 15,627 undi. Manakala undi rosak 447 undi.

Terima kasih kepada pengundi-pengundi di Permatang Pauh yang berani menterjemahkan kehendak rakyat melalui sistem demokrasi ala Malaysia ini. Saya begitu kagum dengan keberanian rakyat Permatang Pauh. Sepanjang bertugas di Permatang Pauh sebagai Penyelaras Program Ceramah Kelompok, saya dapat melihat bagaimana tindak tanduk rakyat di sana. Hanya mereka yang faham apa kehendak mereka.

Manakala jentera parti, NGO, rakan pakatan dan swasta begitu bersungguh-sungguh bekerja bagi memastikan kemenangan calon PKR. Setiap pelusuk Daerah Mengundi, pekan,kampung, taman dan lorong mengadakan program mendekati pengundi. Terdapat jentera yang dikerah dari seawal pagi hingga ke larut malam tanpa menghiraukan letih dan penat. Begitu juga Wanita dan Angkatan Muda yang memberikan komitmen amat tinggi sekali.

Jentera dari luar Pulau Pinang pula ada yang telah berkampung di Permatang Pauh seawal 16 Ogos 2008 iaitu sejak hari penamaan calon. Sejak dari hari itulah mereka mula membuat perancangan untuk memasuki pelusuk kampung, taman dan lorong bagi mendekati pengundi. Saya amat terharu dan berterima kasih kepada Jentera Parti dari luar Pulau Pinang, terutamanya Jentera dari Kedah dan Pahang yang bekerja berganding bahu dengan Nibong Tebal.

Jentera parti dari Bahagian-bahagian Pulau Pinang juga membuat perancangan dan percaturan masing-masing mengikut Daerah Mengundi angkat mereka. Ada yang berkampung dan ada yang berulang-alik, maklumlah negeri sendiri. Namun arahan dari Pengarah Pilihanraya Negeri perlu dipatuhi, DM angkat perlu dibantu. Maka berduyun-duyunlah jentera bahagian masing-masing dikerahkan ke sana. Namun masih ada ahli yang tidak ikut bahagian sendiri.

Terima kasih kepada jentera parti dari Daerah-daerah Mengundi, dari Bahagian-bahagian Pulau Pinang dan dari negeri-negeri. Terima kasih kepada Ketua-ketua DM, Ketua-ketua Bahagian, Ketua-ketua Perhubungan Negeri.

Terima Kasih kepada rakan-rakan dari Nibong Tebal terutama YB Hj Maktar Shapee Ketua Bahagian Nibong Tebal yang menjadi nadi penggerak di DM Mengkuang dan Telok Wang.

Terima Kasih yang istimewa kepada rakan-rakan serumah Arof, Abang Khairul dan Munir yang sama-sama berkampung selama 10 hari di Mengkuang.

Akhir sekali terima kasih kepada semua penceramah yang membantu dan memberi khidmat sepanjang waktu kempen. Juga tidak dilupakan rakan sepejabat dan Ketua Penyelaras Dr Mansor, Pengarah Piliharaya Pulau Pinang Pak Mus, Pengarah Pusat YB Azmin Ali, Pengarah Strategi YB Saifuddin dan lain-lain.

Permatang Pauh bakal mencipta sejarah politik moden Malaysia dan semua yang terlibat adalah sebahagian orang penting di dalam sejarah ini selepas 16 September 2008.Beraraklah kita ke Putrajaya, ayuh.

"Harapan Baru Untuk Malaysia."
Hj. Wan
Penyelaras Program Ceramah Kelompok
Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh

Rabu, Ogos 27, 2008

Kemenangan di Permatang Pauh adalah kemenangan Rakyat Malaysia

-Abi Zukran
Hampir 10 tahun menanggung derita, ditohmah, dicerca dan difitnah oleh musuh-musuh yang bertujuan untuk memusnahkan terus karier politik beliau. Anwar Ibrahim tetap tabah dan terus memperjuangkan nasib rakyat marhain yang terabai akibat daripada kerakusan pemerintah mengaut khazanah negara.

Sekembalinya dari rawatan tulang belakang di Jerman pada 2004, beliau komited untuk menyatupadukan pembangkang walaupun terdapat perbezaan ideologi yang ketara. Hasilnya dapat dilihat selepas keputusan PRU12 diumumkan, 5 buah negeri (termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) terlepas dari cengkaman BN dan seterusnya di atas permuafakatan tersebut, kerajaan negeri Pakatan Rakyat dibentuk.

Tidak dinafikan faktor Anwar Ibrahim telah menyelinap di dalam diri setiap rakyat Malaysia yang mengimpikan seorang pemimpin yang mampu mengangkat martabat Malaysia serta mengenetepikan politik perkauman. Oleh sebab itu juga di dalam PRU12 kita dapat melihat masyarakat bukan Islam (cina & india) sudah berani menyokong PAS dan orang melayu memilih DAP untuk menumbangkan Barisan Nasional.

Apabila Presiden PKR, Dato' Seri Dr. Wan Azizah mengumumkan meletak jawatan sebagai ahli parlimen Permatang Pauh pada penghujung Julai dan disusuli dengan hasrat Dato' Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding dalam PRK-P44 Permatang Pauh, rejim pemerintah terus menerus menyerang peribadi DSAI dengan pelbagai fitnah yang direka-reka.

Tujuan mereka adalah untuk menghalang DSAI ke Parlimen seterusnya menjadi Perdana Menteri apabila Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan persekutuan.

Walaupun sepanjang kempen PRK-P44 Permatang Pauh, BN menabur fitnah disamping kempen jijik berbaur perkauman dan menggunakan segala jentera milik kerajaan, dengan sikap pengundi yang waras telah menunjukkan jalan keluar kepada BN. Mesejnya sangat jelas, kini Barisan Nasional sudah tidak relevan untuk rakyat Malaysia.

Bukan hanya rakyat Permatang Pauh, malah seluruh rakyat Malaysia menantikan detik bersejarah ini. Tanggal 26 Ogos 2008, Permatang Pauh menjadi saksi kelahiran semula IKON Rakyat ke arena politik tanahair. Rakyat menantikan perubahan total yang bakal terlaksana apabila Pakatan Rakyat menerajui negara. Perubahan yang dinantikan bukan sekadar pertukaran parti pemerintah tetapi perubahan dari segi ekonomi, sosial dan kestabilan politik.

Kemenangan yang dicapai sebenarnya kemenangan seluruh rakyat Malaysia yang inginkan perubahan. "DARI PERMATANG PAUH MENUJU KE PUTRAJAYA, menyusuri Nibong Tebal………"

Pengarah JAWI ganggu siasatan kes Qazaf DSAI

Menurut Pendakwa Syarie JAWI, Pengarah JAWI mengarahkan Pengarah Jabatan Kehakiman Syarie Malaysia (JKSM) dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan menghantar semua laporan kepadanya untuk ditapis terlebih dahulu walaupun ia bukan di bawah bidang kuasanya.

Sementara itu Dato' Wan, Ketua Pengarah JAKIM menggesa agar siasat dibuat secara adil.

"Kita meragui proses siasatan ini dijalankan kerana ada unsur-unsur campur tangan pihak atasan." tambah Pendakwa Syarie tersebut yang enggan dikenali.

Difahamkan Pengarah JAWI tersebut pernah turun membantu kempen BN di Kepala Batas semasa PRU-12 dengan menggunakan kereta rasmi milik JAWI.

Terbaru pada 21 Ogos, Pengarah JAWI telah menandatangani cek bernilai RM130 ribu milik Yayasan Taqwa (MAIWP) untuk pemberian hamper kepada pesakit Hospital Seberang Jaya. Pemberian tersebut diadakan pada Jumaat 22 Ogos bersama pemimpin-pemimpin BN bersempena kempen Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh.

Beliau yang diberi amanah untuk mentadbir institusi agama, ternyata tidak beramanah dan menggunakan peruntukan yang ada bukan pada tempatnya serta menggunakan kedudukan untuk kepentingan politik.

Keterangan Saiful Mengelirukan

Pada 19 Ogos yang lalu, Saiful telah memberi keterangan di Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI).

Dalam siasatan JAWI, Saiful mendakwa diliwat 4 kali. 2 di oversea, sekali pada April & pada 26 Jun.

Persoalannya, di dalam laporan akhbar sebelum ini dinyatakan 8 kali, semasa sumpah dia kata sekali.. mana satu keterangan yang betul?

Selasa, Ogos 19, 2008

Doa Tok Guru iringi kempen Anwar di Permatang Pauh

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berdoa agar Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim diberikan kemenangan oleh Allah pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos depan.Di sebalik keuzuran dan kesibukan beliau menghadiri Muktamar Tahunan PAS ke 54 di Ipoh, Tok Guru bergegas ke Permatang Pauh seusai menunaikan solat subuh, untuk menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Anwar.
Menteri Besar Kelantan itu tiba di Pusat Penamaan Calon di Institut Perguruan Tuanku Bainun yang terletak di sisi Lebuhraya Butterworth-Kulim Express (BKE) kira-kira jam 9.30 pagi, disambut pemimpin-pemimpin utama Pakatan Rakyat.

Akibat kesesakan lalu lintas, kenderaan rasmi yang membawa Tok Guru terpaksa diletakkan berjauhan daripada pusat penamaan dan beliau dibawa masuk dengan menaiki proton wira milik seorang penyokong PAS.

"Ambo (saya) terlekat dalam jam (kesesakan lalulintas) lama, dari pukul berapa tadi tak boleh masuk," ujarnya yang datang bertongkat ketika disambut penulis.

"Ya Tok Guru, sejak subuh tadi, jam 6.30 pagi orang dah mula berkumpul," kata penulis.

"Pelik ni, ramai sungguh ore (orang)," kata Tok Guru merujuk kepada sambutan yang diberikan kepada calon Pakatan Rakyat.

Menurut Tuan Guru Nik Abdul Aziz, dengan jadual beliau yang begitu padat, beliau berasa amat letih untuk berjalan jauh.

Namun katanya di sebalik kekangan jadual dan kesihatan, beliau tetap berkunjung ke Permatang Pauh kerana amat komited dengan agenda Pakatan Rakyat.

Selain Tok Guru, pemimpin PAS yang hadir memberikan sokongan ialah Naib-naib Presiden, Dato' Husam Musa dan Mohamad Sabu; Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Md Ramli; AJK PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Dr Dzulkefli Ahmad, Dr Lo'lo Mohd Ghazali, Dr Siti Mariah Mahmood dan Dr Mujahid Yusof yang juga Pengarah PAS untuk pilihan raya kecil tersebut. Mereka disertai oleh Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Salleh Man dan Ahli Dewan Undangan Negeri (PAS) Permatang Pasir, Mohd Hamdan Abdul Rahman.

Bagi pihak KeADILan, Anwar diiringi isteri Dato' Seri Dr Wan Azizah Ismail yang juga Presiden KeADILan serta keluarga, Timbalan Presiden Dr Syed Husin Ali, Naib Presiden, Mohamed Azmin Ali, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta lain-lain pemimpin utama mereka.

Turut sama ialah veteran DAP, Dr Chen Man Hin; Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Pengerusi DAP, Karpal Singh, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng serta lain-lain.

Solidariti rakyat

Permatang Pauh menyaksikan lebih 50,000 penyokong Pakatan Rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama berhimpun menyatakan sokongan padu kepada Anwar.

Jumlah ini jauh mengatasi kumpulan penyokong Barisan Nasional yang diketuai Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, yang dianggarkan kira-kira 5000 orang sahaja.

Penyokong Pakatan Rakyat, berhimpun dan mengibarkan bendera ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat sejak jam 6.30 pagi, menyebabkan kesesakan di sepanjang jalan lebuhraya BKE, dari arah Penanti dan Berapit, sepanjang beberapa km menuju ke pusat penamaan calon.

Sehingga pemimpin dan penyokong BN terpaksa berarak melintasi kiri kanan jalan yang telah dipenuhi penyokong Pakatan Rakyat.

Situasi ini menyebabkan ramai kalangan pemimpin BN yang diteriak dengan pelbagai sorakan terpaksa menerima hakikat yang getir hingga 'merah padam muka'.

Sorakan 'Altantuya', 'Hutang 200 juta (saman terhadap BN) poster tak bayar, 'Rasuah', 'Correct, correct, correct' (ditujukan kepada Dato' Seri Adnan Mansor, 'Pengkhianat (kepada Ezam Mohd Nor), bergema berulang-ulang kali.

Kegusaran pemimpin-pemimpin BN jelas kelihatan. Wajah-wajah cemas mereka melihat segerombolan besar penyokong Anwar tidak dapat disembunyikan lagi.

"Rakyat sudah bosan dengan BN, penuh dengan fitnah dan penipuan," kata David Leong yang datang bersama beberapa orang rakan dari Alor Star dengan sebuah bas."Makin dia bawa budak tu (saiful) sumpah, makin kami tak percaya," ujar seorang imam surau yang ditemui berhampiran Pusat Khidmat Dun Permatang Pasir.

Sekumpulan anak muda berbangsa India juga turut berarak dengan memukul gendang sambil melaungkan 'Makkal Sakhti' sambil mengibarkan bendera KeADILan. Perhimpunan rakyat di Permatang Pauh merupakan perhimpunan terbesar yang mencatatkan paling ramai penyokong berhimpun dalam satu-satu pilihan raya.

"Perhimpunan ini amat besar, walaupun orang boleh kata penyokong yang ramai ini belum tentu memberikan undi (kepada Anwar) tetapi round pertama ini kita sudah menang," kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Katanya, beliau turut berbangga dengan rakyat Pulau Pinang daripada PAS, DAP dan KeADILan yang hadir beramai-ramai di pusat penamaan calon tersebut.

"Hari ini rakyat berbilang kaum menunjukkan solidariti yang amat luar biasa, saya harap ia terus kekal," kata Setiausaha Agung DAP itu.

Guan Eng turut mengambil kesempatan berbual mesra dengan Tok Guru bersama Tan Sri Khalid dan berkongsi pandangan bagi mempererat dan memperkukuhkan Pakatan Rakyat.
Kegusaran BN
Kepulangan Anwar ke Permatang Pauh diibaratkan sebagai 'bagaikan sirih pulang ke gagang'. Kawasan Parlimen yang 'terpaksa dilepaskan' sejak sepuluh tahun lalu akibat kezaliman BN masih segar di kalangan rakyat.

BN amat gusar kerana bilangan penyokong Anwar, yang pernah mengetuai Umno Bahagian Permatang Pauh begitu besar. Penyokong bekas TPM itu selepas krisis pemecatannya pada tahun 1998 masih ramai dalam Umno.

Hakikat sokongan mereka diterjemahkan dengan sokongan terhadap Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mewakili Permatang Pauh selepas pemecatan Anwar.
Pada pilihan raya umum 8 Mac lepas, Wan Azizah meraih 30,338 undi menewaskan calon BN, Dato' Pirdaus Ismail yang mendapat hanya 16950 undi. Majoriti 13,398.

Manakala di ketiga-tiga DUN, Seberang Jaya, calon BN Dato' Arif Shah Omar Shah mendapat 9395 undi menewaskan calon KeADILan yang mendapat 8862 undi, kelebihan majoriti 533 sahaja. Di Dun Permatang Pasir, calon PAS, Mohd Hamdan meraih 11004 undi menewaskan BN, Ahmad Sahar Shuib yang memperolehi 5571 undi. Majoriti 5433 undi.

Di Dun Penanti, calon KeADILan, Mohamad Fairus Khairuddin meraih 7346 undi menewaskan calon BN Abdul Jalil Abdul Majid yang mendapat 5127 undi. Majoriti 2216 undi.

Jika dihimpunkan undi yang diperolehi calon Pakatan Rakyat iaitu 27,745, memperlihatkan Wan Azizah mendapat lebih 2575 undi.

Kelebihan undi ini dipercayai datangnya dari kalangan ahli Umno yang menyokong Wan Azizah serta Anwar secara tersembunyi.

Kalangan mereka dikatakan secara zahirnya menentang pembangkang (KeADILan) tetapi dijangka memberikan undi secara diam-diam kepada Anwar.

Jika sokongan media arus perdana terhadap calon BN dijadikan ukuran, ia akan menjadi pertaruhan sia-sia BN. Arif Shah dan calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), Hanafi Hamat bukan tandingan sebenar Anwar.

Hanafi yang ditemui penulis memberitahu, beliau adalah Presiden Akim yang menggantikan Allahyarham Cikgu Musa Salleh.

Katanya, Akim adalah sekumpulan serpihan ahli PAS yang berasal dari Pasir Putih, Kelantan. "Perjuangan kami tidak ada kena mengena dengan PAS atau mana-mana parti pembangkang, kami berdiri sendiri memperjuangkan ideologi kami," ujarnya, yang datang bersama seorang pencadang dan seorang penyokong.

"Apa yang tuan harapkan daripada penyertaan dalam pilihan raya ini," soal penulis.

"Kami mahu supaya rakyat Malaysia sejahtera," jawab Hanafi, ringkas.
Penentu masa depan politik negara
Siapa pun yang menyertai pilihan raya kecil ini bukan menjadi persoalan. Malaysia negara demokrasi, sesiapa sahaja boleh mencalonkan diri bertanding kata Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika menjawab soalan wartawan di Ipoh, Ahad lepas.

Sudah tentu rakyat yang menjadi pengundi di Permatang Pauh sudah membuat keputusan untuk memilih siapa bakal Ahli Parlimen mereka.
Pilihan raya kecil ini sebenarnya amat penting bagi negara. Ia bakal menentukan masa depan politik negara dan menjadi pertaruhan sama ada pembentukan Kerajaan Pakatan Rakyat berjaya atau pun tidak.
Harus diingat bahawa, Anwar menyertai pilihan raya kecil Permatang Pauh bukan semata-mata hendak menggantikan Dr Wan Azizah sebagai Ketua Pembangkang.
Beliau mempunyai agenda yang amat besar. Agenda sebagai calon PM dari Pakatan Rakyat. Pilihan raya kecil ini juga menjadi titik tolak atau asas yang boleh membawa tumbangnya kerajaan BN setelah berkuasa selama lebih 50 tahun.
Undi rakyat di Permatang Pauh sebenarnya adalah mewakili 27 juta rakyat Malaysia bagi menentukan masa depan negara.

Tekanan BN di kepada rakyat Permatang Pauh amat hebat. Mereka terpaksa all out untuk menyelamatkan bahtera yang hampir karam. Mereka terpaksa melakukan apa sahaja untuk menyekat kemasukan Anwar ke Parlimen.
Kemasukan Anwar ke Parlimen bakal mengundang bahaya yang amat besar yang bakal menguburkan masa depan politik BN.
Jika rakyat memberikan kemenangan kepada Anwar, impian majoriti rakyat untuk meletakkan Umno dan BN ke dalam muzium semakin hampir.
Hakikatnya ramai berpendapat bahawa kerusi Parlimen Permatang Pauh tetap menjadi milik Anwar. Cumanya besar mana majoriti untuk membawa beliau ke Parlimen sedang menjadi congakan.
Cukuplah...sudah 50 tahun Umno/BN berkuasa, kali ini berilah kepada Pakatan Rakyat pula.

Isnin, Ogos 18, 2008

Rakyat Sahut Tuntutan Islam Basmi Rasuah, BN Kerah Jentera Lawan Rakyat – Anwar

PERMATANG PAUH 18 OGOS (SK) : Ketua Umum KeADILan Anwar Ibrahim menyelar kesungguhan parti pemerintah menggerakkan sumber dan jentera mereka bagi menumpaskan kebangkitan rakyat.

Jelas pemimpin reformasi itu lagi di ceramah pilihanraya malam tadi, serangan demi serangan yang ditujukan oleh parti yang mendakwa mendaulatkan Melayu-Islam itu tidak lain tidak bukan hanyalah bagi memelihara kepentingan politik mereka.

“Kita dapat lihat hari ini, seluruh Kabinet Malaysia turun ke Permatang Pauh dengan segala kekuatan mereka. Kita harus tanya, mereka mahu lawan siapa? Mengapa mereka bersungguh mahu lawan kekuatan rakyat yang bermunajat kepada Allah?” tegas bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) itu disambut laungan takbir dari 10,000 hadirin malam itu.

Ribuan rakyat Permatang Pauh membanjiri ceramah yang di adakan oleh Pakatan Rakyat bertempat di satu kawasan lapang Boon Siew di Bukit Jelutong, Permatang Pasir. Anwar Ibrahim mengambil masa sekurang-kurangnya 45 minit menyampaikan ucapan beliau kepada lautan hadirin yang dipukau oratori mantan Timbalan Perdana Menteri itu.

Dalam ucapannya, Anwar menegaskan bahawa Islam menuntut umatnya menegakkan kerajaan yang amanah, serta membasmi rasuah dan jenayah, yang menzalimi rakyat.

“Mereka ada RM5 billion yang patut dicurahkan kepada rakyat, tetapi mereka ambil RM5 bilion itu under memperkayakan anak-pinak mereka,” marah Anwar disambut dengan laungan takbir yang jauh lebih kuat dari sebelumnya.

Ceramah Anwar malam itu dipantau oleh helikopter polis yang terbang rendah, menghalakan lampu spotlight kearah hadirin dan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat.

“Sebab kita bangkit kerana kita sebagai Islam perlu bertanggungjawab kepada nasib masyarakat seluruhnya – Islam dan bukan Islam. Islam harus dihayati, hak kita mestsi dipertahankan, bangsa kita mesti dipertahankan, perpaduan dan kerukunan hidup antara kaum dan agama perlu dijaga seperti yang dituntut Allah,” kata mantan Presiden Abim itu.

Menurutnya, kerajaan akan melakukan apa sahaja termasuk memperalatkan media bagi menyerang keperibadian beliau dan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya kecil ini. Katanya lagi, walaupun kerajaan dan Umno melakukan pelbagai fitnah dan penipuan, namun ia tidak akan mampu menghalang kebangkitan rakyat Permatang Pauh menuntut perubahan di negara ini.

“Kita nak tengok malam ini, kekuatan kabinet di bawah pimpinan Abdullah Badawi atau kekuatan rakyat dengan izin Allah” ujar beliau disusuli dengan laungan reformasi dari orang ramai.

Pakatan Rakyat, tegasnya lagi, berikrar akan membawa suara rakyat ke Parlimen dan sekaligus menuntut perubahan di negara ini bagi melawan segala penipuan dan kebobrokan yang dilakukan kerajaan Umno dan BN.

Anwar Pemimpin Bermoral

Ceramah yang bermula pada pukul 9.00 malam itu mengakibatkan kesesakan lebih 3 kilometer ke jalan menuju ke tempat ceramah berkenaan.

Tinjauan Suara keADILan mendapati, kesukaran mencari tempat letak kenderaan menyebabkan sesetengah penyokong terpaksa berjalan kaki sejauh satu kilometer untuk ke tempat ceramah, namun ia tidak mematahkan semangat penyokong-peyokong pakatan rakyat untuk mendengar ucapan yang disampaikan Anwar Ibrahim.

Turut hadir dalam ceramah berkenaan ialah Ahli Parlimen Bayan Baru yang juga pengerusi KeADILan Pulau Pinang, Zahrain Hashim, Naib Presiden Pas, Husam Musa, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Abdul Ghani Shamsudin dan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat.

Suara keADILan difahamkan, kesesakan yang berlaku turut menyebabkan kenderaan yang dinaiki oleh Anwar terperangkap dalam kesesakan lalu lintas menyebabkan sesetengah penyokong yang hadir mula merasa gelisah menunggu kehadiran beliau.

Sebelum menunggu ketibaan Anwar, hadirin mendengar ucapan yang disampaikan oleh Husam Musa, Zaharin Hashim dan Abdul Ghani Shamsuddin. Rata-rata mereka menyentuh mengenai pertuduhan liwat yang dihadapi oleh Anwar dan isu bersumpah Saiful dengan menjunjung Al-Quran.

Abdul Ghani Shamsuddin dalam ceramahnya memberitahu, beliau telah mengenali Anwar selama lebih 20 tahun ketika bekas Timbalan Perdana menteri itu masih belum berumah tangga dan memimpin gerakan Angkatan Belia islam Malaysia (Abim).

Menurutnya, Anwar pada masa mudanya gemar menelaah buku dari tokoh-tokoh seperti Iqbal, Mohammad Naser atau Hamka dan berbicara mengenai soal-soal pemikiran dan intelektual.

“Beliau adalah seorang aktivis Presiden Persatuan Bahasa Melayu di Universiti Malaya bahkan menjadi Presiden Gabungan Mahasiswa Islam (GMI) dan kerana itu beliau membawa kebangkitan mahasiswa, demonstrasi 1974 dan lain-lain lagi.Yang menjadi perhatian beliau adalah soal-soal masyarakat, soal kemiskinan, soal negara” ujarnya.

Menurutnya, adalah sukar untuk beliau mempercayai tuduhan tersebut kerana sekiranya Anwar berpewatakan seperti itu, tentulah pada usia mudanya beliau cenderung menunjukkan sikap sedemikian.

Katanya, Anwar mempunyai keperibadian dan akhlak yang baik sepanjang beliau mengenali Anwar hinggakan semasa beliau mendirikan rumahtangga pun, jodohnya dicarikan oleh rakan-rakannya sendiri.

“Maka berdasarkan latarbelakang ini pertuduhan yang pertama dan siri kedua ini lebih tidak masuk akal lagi” ujarnya.

Beliau menambah, percanggahan bukti yang dikemukakan terhadap Anwar menunjukkan jelas Anwar telah dianiaya dengn bukti-bukti palsu sehingga pihak terbabit sanggup membelakangkan soal nilai keagamaan dan kemanusiaan.

Beliau menyifatkan Umno dan kerajaan kini telah terdesak sehingga sanggup mempergunakan agama akibat kerakusan kuasa dan bagi menghalang segala kejahatan rasuah mereka selama ini terbongkar.

Tepat jam 11.40 malam, Anwar tiba dengan disambut jeritan reformasi dan laungan takbir dari penyokong-penyokong pakatan Rakyat yang hadir. Anwar mengakhiri ucapannya dengan menyeru supaya rakyat di Permatang Pauh bersama membawa perubahan. Ceramah berkenaan berakhir kira-kira jam 12.30 malam.

Najib dihalau keluar dari kampung


PERMATANG PAUH, 17 Ogos (SK) : Beberapa sumber mengatakan Timbalan Presiden Umno, Najib Tun Razak dihalau keluar dari sebuah Kampung Kubang Semang oleh penduduk kampung berkenaan.



Beliau yang datang kesana untuk melawat bilik gerakan Puteri Umno selepas pulang dari Seberang Jaya dihalau keluar dan jeritan-jeritan Altantuya turut kedengaran.


Turut dikatakan, dua trak land rover FRU turut berada disana untuk melindungi Najib.


Kerana malu, beliau hanya melawat selama 5 minit sahaja dan bergegas keluar dari kampung berkenaan.

Ahad, Ogos 17, 2008

Team Media NT berkampung di Permatang Pauh

Team Permatangpauh.com bergambar bersama Dato' Seri Anwar

Pasukan Media NT berkampung di Permatang Pauh bersama jentera pilihanraya Bahagian Nibong Tebal.

Kami ditugaskan untuk membantu Team Permatangpauh.com dalam membuat liputan di sekitar Parlimen Permatang Pauh dan beroperasi di Pusat Media-Yayasan Aman, Penanti.

Permatangpauh.com adalah web rasmi Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh dan dikemaskini setiap 3 jam.

Kami warga Media NT memohon maaf kerana tidak sempat untuk memuatkan berita terkini. Sekiranya pembaca ingin mengetahui maklumat yang lebih jelas tentang Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh, sila layari http://www.permatangpauh.com

Jumaat, Ogos 08, 2008

Saya mahu memasuki Parlimen pada 27 Ogos 2008 - Anwar

Saya berjanji sebuah kerajaan yang diperintah Pakatan Rakyat, rakyat Malaysia tidak perlu lagi takut kepada penahanan dan perbicaraan yang sewenang.

Pegawai polis dan pendakwaraya yang berkonspirasi untuk memfitnah dan memalukan orang yang tidak bersalah akan dihukum. Setiap rakyat Malaysia pasti akan mendapat perbicaraan yang adil, di mana seseorang itu tidak bersalah selagi adanya bukti yang jelas untuk membuktikan sebaliknya.

Penggunaan kuasa polis dan Peguam Negara untuk menghukum musuh politik akan diharamkan bagi memastikan demokrasi yang sihat, di mana sebarang perbezaan pendapat bukan sahaja di benarkan malah digalakkan.

Dengan ini setiap hak rakyat Malaysia akan dianggap sebagai suci dan akan dilindungi oleh kehakiman yang bebas dipandui oleh prinsip-prinsip yang selari dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.

Perbicaraan bermotifkan politik yang dibuat ke atas saya, dengan izin Allah merupakan yang terakhir.

Apa yang berlaku semalam membuktikan saya sememangnya tidak bersalah dari sebarang pertuduhan yang muncul baru-baru ini.

Laporan perubatan dan akuan bersumpah oleh Dr Osman yang muncul pada hari Khamis seharusnya menghilangkan sebarang keraguan dan pertanyaan yang masih timbul samada kejadian itu berlaku ataupun tidak.

Kenyataan Dr Osman juga mengesahkan apa yang kami nyatakan sebelum ini berkenaan usaha memualkan pihak polis untuk memalsukan bukti di dalam kes ini, dengan cara yang sama di dalam memanipulasikan kes saya pada tahun 1998.

Kredibiliti pihak polis pasti rosak dengan tiadanya penyiasatan yang teliti terhadap wujudnya salah tata urus penyiasatan kes saya.

Keselamatan doktor tersebut ternyata menjadi kebimbangan kami. Saksi utama kes berprofil tinggi di Malaysia sering hilang pada masa lalu seperti PI Balasubramaniam.
Saya memuji individu-individu berani yang mempamirkan komitmen mereka kepada kebebasan dan keadilan dengan melangkah ke hadapan membawa bukti penting. Saya mahu pihak berkuasa memastikan keselamatan mereka.

Semalam di mahkamah, kita sedar kejelikan kes yang dibawa oleh pihak pendakwaraya ternyata mempunyai persamaan dengan kegagalan perbicaraan 1998, pendakwaan sudah pun bertukar dari aksi yang memaksa kepada aksi sukarela.

Ini semua terjadi kerana konspirasi yang dicipta pada minggu terakhir bulan Jun sudah mulai retak dan berkecai.

Ada usaha yang terburu-buru dari pihak polis untuk menutup sebarang kelemahan pengakuan petuduh. Usaha mereka pastinya gagal kerana bukti yang ada sangat jelas menunjukkan sebaliknya serta adanya rakyat Malaysia yang berani ke hadapan untuk membuktikan bahawa saya tidak bersalah.

Perdana Menteri telah secara cuai melibatkan dirinya dengan kes ini, dalam usaha untuk menggagalkan sebarang proses perubahan di Malaysia dan untuk menghindari kejatuhan kareer politik beliau.

Penglibatan beliau dalam kes ini pasti mengakibatkan krisis tenat di dalam pentadbirannya.
Penyokong kuat beliau di kalangan orang Melayu sendiri mulai muak dengan perkara ini.
Tambahan lagi Perdana Menteri Abdullah Badawi sedang berhadapan dengan penyiasatan Badan Pencegah Rasuah berkenaan penglibatan beliau di dalam korupsi dan politik wang.
Bayangan korupsi dan salah urus ekonomi menjadi legasi pentadbiran beliau. Perdana Menteri Abdullah masih gagal memberikan sebarang penjelasan yang meyakinkan berkenaan keuntungan besar yang diraih oleh keluarga beliau hasil dari penglibatan keluarga beliau dalam skandal Minyak untuk Makanan yang melibatkan rakyat Iraq yang terdesak dan di ambang kematian.

Saya menasihati mereka di sekeliling beliau untuk menjauhi bahtera kepimpinan beliau yang bakal tenggelam itu selagi mereka mempunyai peluang.

Agenda Reform Pakatan Rakyat kembali ke landasan yang tepat dan Harapan Baru untuk Malaysia sudah semakin dekat.

Kami akan memastikan kempen yang bersepadu untuk memenangi Parlimen Permatang Pauh dengan majoriti besar meliputi penduduk yang pelbagai latar dan etnik dari kawasan tersebut.
Saya berhasrat untuk memasuki Parlimen pada 27hb Ogos 2008 dengan sokongan rakan-rakan saya di dalam pakatan sebagai pemimpin mereka yang baru.

DATO' SERI ANWAR IBRAHIM
KENYATAAN MEDIA
8hb OGOS 2008, PETALING JAYA

Isnin, Ogos 04, 2008

Jentera Pilihanraya Nibong Tebal Digerakkan Ke DUN Penanti

Sungai Bakap : Seluruh petugas dan sukarelawan Parti Keadilan Rakyat Bahagian Nibong Tebal telah diarahkan untuk berkampung JDM Telok Wang dan JDM Mengkuang. Demikian dinyatakan oleh Ketua Bahagian, YB Ust. Mokhtar semasa mempengerusikan Mesyuarat Khas Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh di Pejabat Bahagian.
Setiap cawangan PKR di seluruh bahagian akan menghantar petugas-petugas parti ke sana. Bahagian Nibong Tebal akan dibantu oleh jentera pilihanraya PKR Negeri Kedah dan Pahang. YB Ust. Mokhtar mengingatkan agar para petugas bertungkus-lumus membantu semasa kempen demi memastikan kemenangan dengan majoriti yang lebih besar.
"Walaupun namanya Pilihan Raya Kecil, tetapi ia mempunyai makna yang sangat besar bukan sahaja bagi rakyat Permatang Pauh malah rakyat seluruh Negara. Kemenangan Dato' Seri Anwar di Permatang Pauh bukan sekadar untuk memberi ruang kepada beliau bersuara di Parlimen, yang paling utama adalah untuk membentuk Kerajaan Pakatan Rakyat seperti dirancang oleh DSAI."
"Oleh itu, semua petugas haruslah bekerja keras untuk kemenangan ini supaya di masa depan kita boleh menceritakan kepada anak cucu kita bahawa kita terlibat secara langsung di dalam peralihan kuasa politik di Malaysia." ujarnya lagi.

Jumaat, Ogos 01, 2008

Lebih 10 Tahun Tiada Bekalan Air Bersih, kini penduduk boleh menarik nafas lega

Jalan Aman, Sungai Bakap : Hampir 51 tahun merdeka, namun masih ada rakyat yang tidak terbela. Hal ini berlaku di sebuah kampung yang mana sebahagian besar penduduknya adalah penyokong kuat UMNO/BN. Keperitan hidup mereka langsung tidak dipedulikan oleh pemimpin-pemimpin UMNO yang kononnya membela nasib orang melayu.
Sudah belasan tahun mereka mendiami kawasan tersebut, mereka hanya menggunakan air perigi untuk kegunaan harian. Di atas keperihatinan YB Hj. Maktar, beliau telah berusaha mendapatkan bekalan air bersih daripada PBA untuk mereka dan kini dalam proses akhir sebelum pemasangan. Dijangka pemasangan paip oleh pihak PBA akan berakhir menjelang September.
"Harus diingatkan bahawa kita pemimpin keADILan dan Pakatan Rakyat tidak sesekali mengamalkan politik sempit atau politik balas dendam sepertimana yang diamalkan oleh UMNO/BN." ujar YB Hj. Maktar.
"Kita bertekad untuk membantu dan membela nasib rakyat yang memerlukan bantuan tanpa mengira melayu, cina, india walaupun mereka adalah penyokong pembangkang (UMNO/BN)." tambahnya lagi.

KEARAH PEMBENTUKAN KERAJAAN MALAYSIA

BAHAGIAN 1

BAGAIMANA NEGARA DIBENTUK

Malaysia mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Perlembagaan. Malaysia diketuai oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang dipilih daripada sembilan sultan negeri Melayu untuk berkhidmat selama lima tahun sebagai Ketua Negara dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera.

Sistem ini adalah berdasarkan sistem Westminster kerana Malaysia merupakan bekas tanah jajahan British. Kuasa eksekutif ditetapkan oleh kabinet yang dipimpin oleh Perdana Menteri. Berdasarkan perlembagaan Malaysia, Perdana Menteri mestilah seorang anggota Dewan Rakyat, yang pada pendapat Yang di-Pertuan Agong, memimpin kumpulan majoriti dalam parlimen. Manakala kabinet merupakan ahli parlimen yang dipilih daripada Dewan Rakyat atau Dewan Negara.

Malaysia mengamal sistem parlimen dwidewan: Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Dewan Negara mempunyai 70 orang yang terpilih selama 3 tahun. Pemilihan ahlinya boleh dibahagikan kepada dua: 26 ahli dipilih oleh Dewan Undangan Negeri sebagai mewakili 13 negeri. 44 ahli lagi dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, termasuk dua ahli dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dan satu ahli masing-masing dari Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya.

Dewan Rakyat pula mempunyai seramai 222 ahli, dan setiap ahli mewakili satu kawasan pilihan raya. Ahli-ahli dipilih atas dasar sokongan ramai melalui pilihan raya. Setiap ahli Dewan Rakyat memegang jawatan selama 5 tahun, dan selepas itu pilihan raya yang baru akan diadakan.
Kuasa perundangan dibahagi antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri. Ini ditentukan oleh parlimen. Undang-undang tertinggi ialah Perlembagaan Malaysia dan ini memerlukan majoriti dua pertiga untuk diubah. Walau bagaimanapun, peratusan ahli pihak pemerintah sentiasa melebihi nisbah ini. Undang-undang kedua ialah undang-undang syariah yang menumpukan pada orang Islam di Malaysia. Sultan merupakan ketua agama Islam dan kuasa ini tertakluk kepada baginda kerajaan negeri. tidak memeranjatkan, undang-undang syariah ini agak berbeza mengikut negeri.

Sistem legaliti Malaysia berasaskan undang-undang British. Walau bagaimanapun, kebanyakan daripada undang-undang dan konstitusi telah diambil dari undang-undang India. Mahkamah Persekutuan mengkaji kembali keputusan yang rujuk daripada Mahkamah Rayuan; ia mempunyai jurisdiksi asal dalam hal-hal konstitusi dan dalam perselisihan di antara negeri-negeri atau di antara kerajaan persekutuan dan sesuatu negeri. Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak setiap satunya mempunyai mahkamah tinggi. Kerajaan Persekutuan mempunyai autoriti terhadap hal-hal luar negara, pertahanan, keselamatan dalam negeri, keadilan (kecuali kes-kes undang-undang sivil di kalangan orang Melayu dan orang-orang Muslim yang lain dan juga orang-orang asli, yang diletakkan di bawah undang-undang Islam dan tra tradisi), warganegara persekutuan, kewangan, perdagangan, industri, komunikasi, pengangkutan, dan hal-hal lain.
BAHAGIAN 2
KETUA NEGARA
Gelaran Yang di-Pertuan Agong merupakan gelaran rasmi ketua negara Malaysia. Gelaran rasmi yang penuh adalah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Oleh sebab Malaysia mengamalkan sistem raja berperlembagaan, peranan Yang di-Pertuan Agong kebanyakannya hanyalah sebagai istiadat. Perlembagaan menyatakan dengan jelas bahawa kuasa eksekutif, secara teorinya di bawah kuasa ketua negeri, dilaksanakan oleh (atau dengan nasihat) Kabinet diketuai oleh Perdana Menteri.

Ciri yang unik jika dibandingkan di seluruh dunia adalah sistem pemerintahan beraja Malaysia, jawatan ini digilirkan setiap lima tahun antara sembilan Pemerintah Negeri Melayu. Apabila menjawat jawatan Yang di-Pertuan Agong, seorang kerabat diraja akan dilantik sebagai Pemangku dalam negeri tersebut.

Yang di-Pertuan Agong sekarang ialah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj dari Terengganu.

Latar Belakang Yang DiPertuan Agong

Baginda telah dilahirkan pada 22 Januari, 1962 di Istana Al-Muktafi, Kuala Terengganu, ibu negeri Terengganu. Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Sultan Sulaiman dan kemudiannya di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, baginda kemudiannya pergi ke luar negeri untuk melanjutkan pelajarannya di sekolah berprestij iaitu Geelong Grammar School di Geelong, Australia. Pada tahun 1988, baginda menghabiskan pembelajarannya di U.S. International University-Europe di London dan memperolehi ijazah Sarjana Muda Sastera di International Relationships pada 9 Jun 1988.

Baginda telah melibatkan diri dengan kursus ketenteraan PRE SMC (E) 33 di Army School of Languages daripada 2 November 1982 hingga 31 Mei 1983, dan kemudiannya menghadiri kursus ketenteraan SMC 33 di Akademi Tentera DiRaja Sandhurst di England daripada 3 Mei 1983, menghabiskan kursus Pegawai Kadet pada 9 Disember 1983. Baginda telah dikomisyenkan pangkat Leftenen pada 1 Mac 1984 dan telah memberikan khidmatnya di Askar Berkuda DiRaja.

Baginda telah dianugerahkan Putera Mahkota negeri Terengganu Darul Iman pada 6 November 1979, dan kemudiannya menjadi pemangku Sultan Terengganu daripada 20 Oktober hingga 8 November 1990.

DSAI BERTANDING DI PERMATANG PAUH Wan Azizah Letak Jawatan Sebagai Ahli Parlimen

Kuala Lumpur, 31 Julai : Presiden Parti Keadilan Rakyat, Dato' Seri Dr. Wan Azizah telah meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh dan memberi laluan kepada suaminya Dato' Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di dalam pilihanraya kecil pada masa terdekat.
Mengikut perlembagaan Malaysia sekiranya seseorang ahli parlimen meletakkan jawatan, dalam tempoh 60 hari SPR akan mengadakan Pilihanraya Kecil di kawasan parlimen tersebut.
Dalam konteks pengambil-alihan Kerajaan Persekutuan pada 16 September ini, Anwar perlu menjadi ahli parlimen terlebih dahulu sebelum dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-6.
Seluruh jentera pilihanraya Pakatan Rakyat di seluruh Malaysia telah bersedia pada bila-bila masa untuk menghadapi pilihanraya kecil di Permatang Pauh. Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar menegaskan PAS akan menggerakkan jentera parti itu di seluruh negara bagi membantu Ketua Umum KeADILan: Dato' Seri Anwar Ibrahim memenangi semula kerusi Parlimen Permatang Pauh setelah dikosongkan oleh penyandangnya Dato' Seri Dr. Wan Azizah walaupun pilihanraya tersebut diadakan pada bulan Ramadhan. Begitu juga dengan jentera pilihanraya DAP yang akan turut sama memastikan kemenangan dengan majoriti yang lebih besar untuk Dato' Seri Anwar Ibrahim, ikrar Setiausaha Agong DAP: Lim Guan Eng.
Menurut Pengarah Pilihanraya PKR Bahagian Nibong Tebal, Hj. Mohd Kamil Abu Bakar "Pemilihan Permatang Pauh sebagai tapak Pilihanraya Kecil DSAI adalah tepat, ini ibarat sirih pulang ke gagang. Kami di Bahagian Nibong Tebal telah lama bersedia untuk menggempur kawasan yang ditandingi walau di mana sahaja."
"Jentera pilihanraya Nibong Tebal akan dikerahkan untuk berkampung di DUN Penanti. Kami akan pastikan rakyat di Penanti mendapat maklumat yang tepat bagi memilih calon mereka." tambahnya lagi.
Sementara itu Naib Ketua AMK Bahagian Nibong Tebal, Munir Hj. Maktar mencabar UMNO meletakkan Ezam sebagai calon mereka untuk menentang DSAI. Bawalah segala bukti yang ada seperti yang didakwa oleh Ezam yang akan mendedahkan rahsia DSAI di Permatang Pauh. Rakyat Permatang Pauh sudah muak dengan segala fitnah dan tohmahan yang dibuat oleh pecacai-pecacai UMNO/BN, sekaligus akan menunjuk jalan keluar kepada 'kaki sumpah' ini.


Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...