MUQADDIMAH
1. Terima kasih dan tahniah kepada pasukan belanjawan Pakatan Rakyat
yang berjaya menghasilkan sebuah dokumen yang lengkap dan menyeluruh,
walaupun mereka tidak dibantu oleh perunding dan firma media
antarabangsa yang mahal.
2. Keupayaan Pakatan Rakyat menghasilkan sebuah belanjawan
menyeluruh yang berlandaskan semangat reformasi rakyat adalah satu
mercu tanda kematangan dan kesediaan Pakatan Rakyat menjadi kerajaan
persekutuan yang baru. Belanjawan yang bertemakan “Kesejahteraan Untuk
Semua” ini lengkap mencerakinkan dengan terperinci unjuran pendapatan,
perbelanjaan dan peruntukan untuk program-program nasional yang
meniupkan roh kebajikan seperti yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat.
3. Belanjawan ini akan menjadi penanda aras dan penimbal balik
kepada belajawan yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri pada 7
Oktober ini. Saya yakin rakyat yang serba matang dan mahir menilai akan
membandingkan kedua-dua dokumen dan Insya Allah menguatkan lagi iltizam
rakyat menuntut perubahan di negara yang kita cintai.
BAB 1: MAQASSID BELANJAWAN MENGANGKAT KEPERLUAN RAKYAT
4. Proses pembentangan dan meluluskan belanjawan setiap tahun hanya
dijadikan rutin oleh Barisan Nasional hingga mengenepikan matlamat
sebenar sebuah kerajaan merangka dan membentangkan belanjawan kepada
rakyat.
5. Apakah wajar belanjawan hanya dilihat sebagai satu senarai
gula-gula yang hendak ditawarkan kepada rakyat beberapa bulan sebelum
pilihanraya umum, sedangkan bertahun-tahun sebelum itu rakyat ditindas?
Di mana kewarasan sebuah kerajaan apabila fokus setiap belanjawan
hanyalah kepada perkara-perkara yang penting kepada golongan kecil
niagawan kaya dan kroni-kroni mereka, sedangkan kebajikan rakyat
diketepikan?
6. Sebab itu Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat mengambil
pendekatan yang sangat berbeza. Sementara kita memberi perhatian kepada
perkara-perkara makro ekonomi (baik persoalan defisit, pelaburan
swasta, angka-angka pertumbuhan, keberdayasaingan ekonomi negara), kita
jangan sekali-kali alpa bahawa maqassid perancangan belanjawan adalah
untuk mengangkat keperluan rakyat mengatasi yang lain.
7. Makanya, prinsip asas yang menjadi teras kepada Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat adalah seperti berikut:
a. Membantu rakyat dalam masa terdekat untuk mengharungi suasana ekonomi yang semakin terhimpit;
b. Menjamin kelangsungan kewangan negara dengan tumpuan khusus untuk mengurangkan defisit;
c. Menambahnilai perbelanjaan negara agar peruntukan benar-benar sampai kepada rakyat dengan memerangi rasuah dan penyelewengan;
d. Memperkasakan keupayaan ekonomi rakyat dalam jangka masa
sederhana dan panjang melalui rekayasa latihan teknikal, vokasional dan
penggajian yang memartabatkan rakyat; dan
e. Mengukuhkan lagi arus reformasi politik yang menjadi prasyarat
dan pendinding dari anasir-anasir yang mahu membolot kekayaan negara
untuk mereka dan kaum kerabat mereka sahaja.
8. Oleh yang demikian, Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat akan
memperuntukkan RM220 bilion berasaskan kepada sasaran untuk mengekang
defisit pada kadar 4.4% daripada KDNK. Walaupun jumlah ini melibatkan
penjimatan perbelanjaan sebanyak RM14 bilion dari kadar yang
dibelanjakan oleh Barisan Nasional, kita yakin melalui pengurusan wang
negara yang lebih berhemah, telus, bertanggungjawab dan berkesan,
jumlah RM220 bilion ini akan memberi 20% nilai tambah kepada rakyat,
berbanding apa yang dibelanjakan oleh Barisan Nasional selama ini.
9. Keseluruhan RM220 bilion ini akan digunakan sebaiknya untuk
mengimbangi keperluan membaiki kerangka ekonomi negara yang kian punah
di bawah Barisan Nasional dan membela rakyat dalam suasana yang semakin
mendesak.
10. Defisit tahun 2011 yang diunjurkan mencecah 6% dari KDNK
membayangkan kegagalan Barisan Nasional menghentikan langkauan defisit
belanjawan selama 13 tahun berturut-turut akibat ketirisan, rasuah dan
penyelewengan. Oleh itu, fokus untuk mengurangkan defisit kepada angka
4.4% telah menjadi satu keperluan mutakhir demi kelangsungan kewangan
negara di masa akan datang.
BAB 2: KESEJAHTERAAN UNTUK SEMUA MELALUI PEMBELAAN RAKYAT TERBANYAK
11. Merujuk kepada angka-angka pendapat isi rumah yang terkini,
seharusnya kita menginsafi ingatan Allah SWT yang cukup jelas di dalam
Surah Al-Hasyr ayat 7 yang bermaksud: “Apa yang Allah kurniakan kepada
RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan
tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi
Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim,
dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu
tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu.”
12. Realitinya di Malaysia sudah jauh menyimpang dari ketetapan ini.
Walaupun ada pihak yang mendakwa satu Malaysia ini serupa, hakikatnya
negara kita adalah negara yang majmuk kelas ekonominya.
13. Golongan mahakaya (super rich) membolot kekayaan negara dan
dipisahkan dari golongan pesara tua dan warga emas yang dihimpit
kenaikan harga walhal pencen dan pendapatan mereka semakin mengecil.
Anak-anak muda yang memasuki alam pekerjaan terpaksa bertungkus lumus
berkongsi rumah dan mengikat perut, sedang anak-anak golongan mahakaya
ini seronok melancong dan berbeli belah beg-beg tangan mahal dan cincin
permata.
14. Golongan pekerja masih memperjuangkan hak untuk dibayar upah
yang bersesuaian dengan kos sara hidup kini dan masih ramai yang
upahnya lebih kecil dari garis kemiskinan yang ditetapkan. 35% dari
rakyat kita bekerja dalam sektor tidak formal seperti menjaja dan
berniaga kecil-kecilan yang tidak mempunyai perlindungan kerja dan
imbuhan sosial yang memadai.
15. Statistik-statistik rasmi dari Kerajaan sendiri1 jelas
menunjukkan satu Malaysia yang caca merba dan tidak sekata agihan
kekayaannya.
16. 40% dari rakyat Malaysia datang dari isi rumah yang
pendapatannya kurang dari RM1,500 sebulan. ¾ dari golongan ini adalah
Melayu/Bumiputra yang kononnya dibela oleh pemerintah. Lebih
mendukacitakan, golongan 20% terkaya di dalam negara (termasuklah
golongan mahakaya dan kaum kerabat mereka) membolot 50% kekayaan
negara, sedang 40% golongan terbawah hanya menikmati 15% dari kekayaan
negara.
17. Semua ini melambangkan kegagalan sebuah pentadbiran yang
memusatkan kekayaan kepada segelintir kecil kroni dan kaum kerabat
mereka, bertentangan dengan peringatan Allah SWT di dalam Surah
Al-Hasyr tadi.
18. Kegilaan itu semakin menjadi-jadi. Terkini kita disajikan dengan
berita-berita pengambilan aset-aset syarikat awam oleh entiti yang
dikawal oleh beberapa kerat mahakaya dan kaum kerabat mereka,
seolah-olah kekayaan sedia ada masih belum mencukupi. Jangan kita lupa
bahawa senarai orang-orang terkaya di Malaysia dihiasi dengan
kaum-kerabat pemerintah, baik anak-anak mantan mahupun adik kepada
Perdana Menteri sedia ada.
19. Kalau anak mantan Perdana Menteri memiliki syarikat perkhidmatan
petroleum yang kelima terbesar di dunia selepas penggabungan Kenchana
Petroleum dan SapuraCrest yang melibatkan RM12 billion2, apakah tiada
anak Malaysia yang cemerlang di dalam bidang-bidang ini selain dari
anak mantan Perdana Menteri?
20. Tidak cukup seorang anak mantan Perdana Menteri itu menguasai
industri huluan petroleum, anaknya yang seorang lagi pula mahu
menguasai industri hilirian petroleum melalui konglomerat San Miguel
yang membina kekayaan hasil dari perniagaan arak3.
21. Kebejatan ekonomi sebeginilah yang menyebabkan RM52 bilion saham
yang diberikan kepada golongan-golongan atasan Melayu akhirnya hilang
begitu sahaja. Sedang mereka bergembira dengan kekayaan mereka, rakyat
di bawah merempat mencari sesuap rezeki.
22. Tatkala kadar inflasi terus kekal pada kadar sekitar 3% seperti
sekarang, rakyat akan terus terbeban dengan harga barang yang menjadi
jenama paling unggul Barisan Nasional.
23. Angka-angka ekonomi negara semuanya rendah-rendah belaka,
kecualilah angka-angka kenaikan harga barang. Perbandingan harga barang
di antara tahun 2008 dan 20114 menunjukkan bahawa harga gula telah
melonjak sebanyak 66%, diikuti dengan harga 1 kilogram ayam bersih yang
melonjak 37%, seterusnya harga susu bayi 1.8 kilogram mencecah kenaikan
26%, teh tarik mengalami kenaikan harga 25% dan sebungkus roti putih
naik harganya sebanyak 20%.
24. Unjuran angka inflasi5 membayangkan sekiranya keadaan ini
berterusan sehingga tahun 2015 akibat kegagalan Barisan Nasional
mengawal harga barang, rakyat Malaysia akan menanggung kos barangan
harian yang telah melonjak naik 50% lebih mahal dalam tahun 2015
berbanding tahun 2005, sedangkan purata kenaikan gaji dalam masa satu
dekad hanyalah 2.6%.
25. Makanya, tema “Kesejahteraan Untuk Semua” adalah sangat
bertepatan kerana Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat akan melaksanakan
bantuan-bantuan berikut untuk mengalihkan sumber kekayaan negara dari
golongan mahakaya kepada program khusus untuk mengurangkan bebanan
rakyat:
a. Peruntukan subsidi sebanyak RM22 bilion dikekalkan dengan
mengambil kira unjuran harga minyak mentah terkini. Ini dijangka akan
mengelakkan sebarang kenaikan harga minyak di dalam tahun 2012.
b. Tumpuan khusus akan diberikan untuk menambahbaik sistem
penyampaian subsidi agar ia sampai terus kepada rakyat yang memerlukan,
bukannya ditadbir dan tersekat di pertengahan akibat monopoli yang
diberikan kepada syarikat tertentu. Ini termasuklah penghapusan subsidi
korporat yang selama ini menguntungkan golongan mahakaya dan kroni
mereka seperti pemilik-pemilik penjana bebas (IPP), monopoli beras oleh
BERNAS, monopoli lesen teksi oleh golongan berkepentingan dan lain-lain.
c. Kerajaan Pakatan Rakyat akan melaksanakan bayaran bonus warga
emas sebanyak RM1,000 setahun kepada warga emas yang layak, berdasarkan
pendapatan kurang dari RM18,000 setahun. Ia dijangka akan menelan
belanja RM1.7 bilion setahun tetapi difikirkan perlu untuk membantu
golongan warga emas dan pencen yang kuasa beli mereka semakin terhakis
akibat kenaikan harga barang.
d. Pakatan Rakyat akan melaksanakan bayaran suri rumah sebanyak
RM1,000 dalam tahun 2012 kepada mereka yang layak, untuk mengurangkan
bebanan keluarga dan menggalakkan suri rumah menabung melalui Kumpulan
Wang Simpanan Pekerja. Ini akan membabitkan peruntukan RM2 bilion.
e. Bayaran tambahan (top up payment) kepada isi rumah di dalam
kategori miskin tegar untuk memastikan pendapatan bulanan mencecah
sekurang-kurangnya RM550. Ini difikirkan wajar sebagai langkah segera
membantu golongan terbawah di dalam ekonomi negara.
f. Pada masa yang sama, mengambil kira faktor semasa dan kenaikan
harga mutakhir, bayaran kepada penerima bantuan dari Jabatan Kebajikan
Masyarakat akan diselaraskan kepada RM550 sebulan, dari kadar sedia ada
sebanyak RM300 sebulan.
BAB 3: MENGEMBALIKAN MARTABAT RAKYAT
26. Pemerintah sedia ada sering berkelakuan angkuh apabila berhadapan
dengan kesusahan rakyat. Apabila harga minyak naik mendadak, Perdana
Menteri meminta rakyat mengubah gaya hidup sedangkan beliau dan
keluarga menghabiskan lebih banyak masa di luar negara atas pelbagai
urusan.
27. Barisan Nasional juga menyalahkan segala-galanya kepada rakyat.
Hutang negara yang mencecah kadar tertinggi dalam sejarah pun dek
kerana rakyat, ekonomi yang tidak dapat dipulihkan pun kerana rakyat
yang kononnya mahu bertongkat. Malah, pengangguran anak-anak kita
sekali pun ditohmahkan kepada sikap anak-anak muda yang kononnya
terlalu memilih, sedangkan ramai pula yang tidak malu melakukan
kerja-kerja bawahan walaupun berijazah.
28. Hubungan rakyat dengan pemerintah sedia ada umpama khadam dengan
tuan. Kalau tidak kerana puluhan ribu rakyat turun membanjiri Kuala
Lumpur bersama-sama BERSIH2.0, warna kuning sekali pun hendak
diharamkan; apatah lagi menerima dengan terbuka tuntutan agar reformasi
pilihanraya dijalankan.
29. Hakikatnya, masih ramai rakyat Malaysia yang hidup umpama
melukut di tepi gantang. Anggaran Bank Dunia meletakkan bahawa 34%
daripada tenaga kerja masih dibayar di bawah kadar RM700 sebulan,
bermakna satu pertiga daripada tenaga kerja Malaysia berada di bawah
paras kemiskinan.
30. Persoalan gaji juga menjadi isu yang mahu dipadamkan oleh
pemerintah sedia ada. Gaji yang bermaruah dan bertepatan dengan
keperluan kewangan menampung hidup mengikut kos semasa bukanlah
keistimewaan atau kemewahan yang dituntut oleh rakyat. Ia adalah satu
konsep hak asasi manusia yang diterima pakai di seluruh dunia; bahawa
setiap manusia wajar menerima upah yang membolehkan dia menampung kos
asas kehidupan seperti kediaman, makanan, pendidikan dan perubatan.
31. Oleh yang demikian, kemelut tuntutan gaji minima yang
berpanjangan dan tidak berkesudahan melambangkan persepsi pemerintah
yang memandang rendah kepada rakyat, seolah-olah rakyat menagih dan
meminta sedekah. Kuasa untuk menentukan gaji minima terus dipusatkan di
tangan Menteri, justeru Akta Majlis Rundingan Gaji Kebangsaan yang
dibentangkan baru-baru ini tidak lebih dari helah untuk menutup
keengganan Barisan Nasional melaksanakan gaji minima.
32. Tabiat merendah-rendahkan martabat rakyat ini semakin berleluasa
sehingga mengenepikan kakitangan perkhidmatan awam. Umum mengetahui
bahawa pentadbiran Perdana Menteri lebih gemar menggunakan khidmat
perunding luar atau mereka yang dibawa masuk dan dibayar gaji besar
daripada tenaga pakar sedia ada di dalam perkhidmatan awam. Kerajaan
mengeluh apabila berhadapan dengan masalah gaji perkhidmatan awam,
tetapi kontrak ratusan juta kepada perunding asing diluluskan dengan
sewenang-wenangnya.
33. Beberapa dasar pemerintah sekarang juga tidak membantu
memperkasakan rakyat meningkatkan keupayaan ekonomi mereka. Kegagalan
membina sistem latihan teknikal dan vokasional yang baik dan ketiadaan
universiti-universiti berorientasikan teknikal yang menekankan kepada
skim perintis dengan industri menyebabkan wujudnya jurang di antara
kehendak industri dan kemahiran tenaga kerja.
34. Mengambil kira perkara-perkara ini, untuk mengembalikan martabat
rakyat dan menghentikan pendekatan yang meremeh temehkan rakyat seperti
yang diamalkan pemerintah sedia ada, Belanjawan 2012 oleh Pakatan
Rakyat memperuntukkan perkara-perkara berikut:
a. Gaji minima akan diperkenalkan dan dikuatkuasakan. Pakatan Rakyat
akan menggunapakai mekanisme penetapan gaji yang terbukti berkesan di
negara-negara lain dengan meminda semua akta sedia ada. Gaji minima
sebanyak RM1,100 akan disyorkan untuk diangkat dan dikuatkuasakan;
b. Pengenalan gaji minima dijangka akan memanfaatkan 300,000 orang kakitangan awam yang berada di bawah RM1,100;
c. Tangga gaji kakitangan awam akan diselaraskan berikutan
pengenalan gaji minima dan melibatkan kenaikan gaji kakitangan awam
yang lain mengikut tangga gaji masing-masing;
d. Pakatan Rakyat akan melaksanakan pembayaran elaun pendidik
sebanyak RM500 sebulan bagi setiap orang guru seperti yang dijanjikan
di dalam Buku Jingga;
e. Penyelarasan gaji kakitangan awam berikutan pengenalan gaji
minima dan janji Buku Jingga akan melibatkan peruntukan tahunan
sebanyak RM5.9 bilion;
f. Pakatan Rakyat akan menghentikan serta-merta kecenderongan dan
amalan menggunapakai tenaga perunding dalam proses keputusan kerajaan
seperti amalan sekarang dan mengembalikan pengaruh dan kedudukan
kakitangan awam dalam proses kerajaan;
g. Peruntukan tambahan RM1.3 bilion untuk menambahbaik skim latihan
vokasional dan teknik di semua peringkat termasuk naiktaraf kursus
ijazah sedia ada supaya berorientasikan pendidikan universiti teknikal;
h. Peruntukan tambahan RM1 bilion untuk perumahan awam yang akan
dipacu melalui perkongsian pintar bersama-sama dengan kerajaan-kerajaan
negeri;
i. Pelaksanaan skim “Bina dan Jual” secara berperingkat bermula
dengan skim perumahan awam untuk memastikan tiada rakyat Malaysia yang
teraniaya akibat projek perumahan terbengkalai; dan
j. Penganugerahan lesen-lesen secara terus kepada rakyat dan pemohon
dengan membatalkan sistem payung dan konsesi yang digunapakai; bermula
dengan pemberian lesen teksi secara terus kepada pemandu-pemandu teksi.
BAB 4: MENJAMIN KELANGSUNGAN KEWANGAN NEGARA
35. Laporan Bank Negara Malaysia yang terkini bertarikh 30 September
2011, berdasarkan angka hutang negara setakat suku kedua 2011
menunjukkan jumlah hutang negara telah mencecah RM437 bilion. Jika
unjuran KDNK bagi 2011 dibuat berdasarkan pertumbuhan 5%, maka kadar
keberhutangan negara telah mencecah 53% dari KDNK negara. Pada tahun
2007, kadar ini hanyalah 42% dari KDNK negara.
36. Kadar keberhutangan rakyat Malaysia juga merunsingkan. Jumlah
hutang oleh isi rumah Malaysia telah mencecah RM577 bilion pada akhir
2010, iaitu 77% dari KDNK sedangkan pada tahun 1997, ia hanyalah 33%
dari KDNK. Maknanya, di bawah pentadbiran Menteri-menteri Kewangan yang
kebetulannya semuanya Perdana Menteri sejak tahun 1998, rakyat Malaysia
terpaksa berhutang lebih sehingga kadar keberhutangan meningkat sekali
ganda dalam masa 13 tahun sahaja.
37. Keadaan diburukkan lagi dengan kadar defisit yang berpanjangan
sejak mantan-mantan Perdana Menteri dan Perdana Menteri sekarang
memegang tampuk perbendaharaan negara. Defisit negara diunjurkan
mencecah 6% bagi tahun 2011, jauh tersimpang dari janji Perdana Menteri
untuk mengurangkan defisit ke kadar 5.2% seperti yang dibentangkan di
dalam belanjawan dan Rancangan Malaysia Kesepuluh.
38. Malaysia tidak memerlukan perunding ekonomi antarabangsa yang
mahal-mahal untuk memahami ancaman defisit dan hutang kepada
kelangsungan kewangan dan kestabilan negara.
39. Rentetan krisis kewangan di Eropah dan Amerika Syarikat secara
jelas mengajar kita bahawa negara-negara yang tata kelolanya lemah,
berbelanja berlebihan melalui hutang dan disalahtadbir ekonominya
adalah negara-negara yang paling terkesan apabila berlaku kejutan
ekonomi dunia.
40. Malangnya, apabila ini berlaku, rakyatlah yang menjadi mangsa
dan terpaksa menanggung beban pelbagai tindakan susulan yang diambil.
41. Oleh yang demikian, tumpuan untuk mengekang defisit sewajarnya
menjadi tumpuan utama agar kita berjaya menghentikan kitaran
memusnahkan akibat tabiat berhutang yang diamalkan Barisan Nasional
selama ini.
42. Saya juga ingin menegaskan bahawa persoalan defisit bukanlah
persoalan melebarkan jaringan percukaian agar lebih ramai rakyat
membayar cukai. Usaha mengekang defisit perlu ditumpukan kepada usaha
mengawal perbelanjaan dan mewujudkan tata kelola kewangan terlebih
dahulu; berbanding sikap Barisan Nasional yang cepat melatah untuk
mengenakan cukai baru seperti Cukai Barangan dan Jualan (GST).
43. Mengambil kira keperluan untuk memulihkan asas kewangan negara
dan menjamin kelangsungan kewangan negara, Belanjawan 2012 oleh Pakatan
Rakyat akan melaksanakan perkara-perkara berikut:
a. Memotong belanjawan Perdana Menteri sebanyak RM10 bilion dengan
mengembalikan peruntukan ini kepada kementerian-kementerian yang
berkenaan dan mengurangkan kecenderongan berbelanja berlebihan oleh
Perdana Menteri;
b. Sasaran mengekang defisit yang drastik iaitu pada kadar 4.4% bagi
tahun 2012, berbanding sasaran-sasaran yang menyimpang sebelum ini;
c. Dividen dari PETRONAS diunjurkan pada kadar RM26 bilion sahaja,
iaitu RM4 bilion lebih rendah dari amalan semasa Barisan Nasional
walaupun keuntungan PETRONAS dijangka melonjak naik dalam tahun 2012
akibat harga minyak mentah yang tinggi. Ini bertujuan memastikan
PETRONAS mempunyai sumber yang mencukupi untuk berkembang dan menjamin
masa depan negara;
d. Penjualan lesen import (AP) akan dibuat melalui proses lelongan
yang dijangka akan menambah pendapatan negara sebanyak RM1.2 bilion;
e. Pendekatan perolehan kerajaan akan dipinda untuk mengamalkan
tender terbuka dengan jaminan skim-skim khas untuk Melayu/Bumiputra dan
golongan-golongan yang memerlukan diperkenalkan bagi melatih
usahawan-usahawan baru berteraskan kebolehan dan merit;
f. Menyemak kembali kontrak-kontrak pembelian senjata oleh
Kementerian Pertahanan untuk memastikan nilai tambah kepada strategi
dan keperluan pertahanan negara;
g. Tumpuan kepada memaksimakan pendapatan negara dengan mengutip
hutang-hutang, tunggakan dan penyelewengan membabitkan dana dan aset
negara; dan
h. Mengembalikan cukai-cukai eksais dan duti yang dibatalkan oleh
Perdana Menteri ke atas barang-barang mewah seperti beg tangan, seluar
dalam berjenama dan lain-lain atas pertimbangan kategori barangan ini
hanya digunakan oleh golongan mewah. Maka sewajarnya cukai yang
berpatutan disumbangkan untuk memperkemaskan kewangan negara.
BAB 5: MEMBINA KEANJALAN DAN DAYA SAING EKONOMI
44. Ekonomi negara perlu beralih kepada sektor bernilai tinggi untuk
menambah pendapatan rakyat dan negara. Model ekonomi kos rendah yang
banyak menggunapakai tenaga asing yang murah sebenarnya merompak rakyat
Malaysia dari segi peluang ekonomi. Saban tahun, pekerja-pekerja asing
juga menghantar puluhan bilion wang ringgit keluar dari Malaysia.
45. Niagawan-niagawan yang terlalu mempertahankan model ekonomi
seperti ini sebenarnya mengambil subsidi dari rakyat Malaysia kerana
keuntungan mereka adalah hasil dari menidakkan rakyat Malaysia dari
peluang pekerjaan pada gaji yang munasabah.
46. Daya saing ekonomi negara juga memerlukan penglibatan lebih
tinggi golongan wanita untuk merealisasikan potensi ekonomi mereka.
Pakatan Rakyat mensasarkan penglibatan wanita dalam tenaga kerja
mencecah 55% menjelang 2015, berbanding kadar 43% sekarang.
47. Kita juga perlu merubah struktur ekonomi yang mempertahankan dan
mengkayakan beberapa kerat mahakaya melalui konsesi-konsesi yang
meningkatkan kos operasi dan perniagaan. Pertembungan di antara sektor
swasta dan syarikat milik kerajaan juga perlu dikurangkan untuk
mengembalikan kerancakan pelaburan swasta dalam ekonomi negara.
48. Oleh yang demikian, Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat mencadangkan perkara-perkara berikut:
a. Menubuhkan Suruhanjaya Perjanjian Awam Negara untuk menilai
kembali konsesi-konsesi yang tidak adil untuk menghentikan herotan kos
operasi dan perniagaan yang ditanggung oleh rakyat dan niagawan;
b. Meminda Akta Persaingan 2011 supaya turut meliputi sektor-sektor
penyiaran, telekomunikasi, tenaga dan sektor bermonopoli lain untuk
memecahkan monopoli;
c. Sasaran pengurangan pekerja asing yang jelas menjelang 2015 mengikut sektor ekoran pengenalan gaji minima; dan
d. Elaun penjagaan anak sebanyak RM1,000 setahun kepada ibu-ibu yang
layak untuk menggalakkan penyertaan lebih ramai wanita di dalam tenaga
kerja; dipadankan dengan pelaburan kerajaan untuk membina pusat
penjagaan kanak-kanak yang menepati piawaian.
BAB 6: KESEJAHTERAAN SEKATA DAN SEADILNYA
49. Pemusatan sumber dan kawalan kewangan yang keterlaluan kepada
Kerajaan Pusat menindas kerajaan-kerajaan negeri sehingga mewujudkan
jurang ekonomi yang luas di antara wilayah-wilayah, terutamanya di
antara Sabah, Sarawak dan negeri-negeri di Pantai Barat.
50. Oleh yang demikian, tumpuan yang jelas perlu diberikan untuk
mempercepatkan pembangunan di wilayah-wilayah ini terutamanya pembinaan
infrastruktur termasuklah jaringan lebuhraya-lebuhraya yang menghubungi
seluruh Sabah dan Sarawak.
51. Konsep perkongsian sumber dan tanggungjawab kerajaan persekutuan
dan negeri-negeri juga perlu dikaji semula untuk memastikan
kebertanggungjawaban dan kepakaran pentadbiran dipadankan dengan sumber
kewangan yang bertepatan.
52. Mengambil kira perkara-perkara ini, Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat memutuskan perkara-perkara berikut:
a. Pindaan kepada Akta Geran Kapita 2002 untuk beralih dari
mekanisme bayaran tetap seperti sekarang kepada prinsip formula
berdasarkan faktor-faktor seperti sumbangan ekonomi, keperluan
pembangunan, pendapatan rakyat dan kedudukan sosio ekonomi setiap
negeri;
b. Peruntukan tambahan sebanyak RM3.6 bilion untuk pembangunan luar bandar; dan
c. Peruntukan khas sebanyak RM100 juta untuk program-program pembersihan dan pengindahan desa di seluruh negara.
BAB 7: MENGUKUHKAN ARUS REFORMASI RAKYAT
53. Semua perancangan ekonomi yang dibuat hanyalah kekal menjadi
diskusi akademik kecuali disertakan dengan iltizam untuk melaksanakan
reformasi politik dan pentadbiran.
54. Suasana yang kondusif akan diwujudkan yang secara langsung
membolehkan perubahan-perubahan ekonomi berlaku bila mana sistem
pentadbiran dan dokongan adalah telus, amanah, bertanggungjawab dan
berasaskan kerangka tata kelola yang baik.
55. Akhirnya, perbezaan ketara di antara Belanjawan 2012 oleh
Pakatan Rakyat yang mengangkat Kesejahteraan Untuk Semua, dengan
belanjawan yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri adalah dari segi
siapa yang boleh melaksanakan reformasi-reformasi ekonomi ini dengan
berkesan.
56. Sebab itu kita tidak boleh lari dari pengajaran Kitab
al-Muqaddimah oleh Ibn Khaldun, yang antara lain menggambarkan
kemusnahan apabila pimpinan kerajaan bergelumang dengan “salah laku,
buruk akhlak, ketidakikhlasan dan tipu daya untuk mengaut kekayaan.
Hati mereka memikirkan dan mencari jalan untuk menggunakan semua helah
bagi tujuan itu. Akibatnya rakyat pun turut terheret dengan penipuan,
perjudian, kecurian dan riba”.
57. Rakyat berhak mempersoalkan keikhlasan dan komitmen Barisan
Nasional untuk menjalankan reformasi – baik reformasi politik, ekonomi
atau sosial kerana rekod caca merba dan tipu daya mereka yang
bergantung sepenuhnya kepada kepercayaan mereka bahawa rakyat mudah
lupa. Sebab itu Perdana Menteri mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan
Dalam Negeri tetapi kemudiannya menyebut pula akta gantian – maknanya
perkara yang sama, Cuma sanggul dan cincin yang berbeza sebagai hiasan.
58. Dalam kehangatan menghadapi Pilihanraya Umum ke-13, rakyat juga
tidak boleh alpa dengan pelbagai laporan dan bukti yang mempersoalkan
ketulusan dan integriti daftar pemilih. Kalau selama ini kita percaya
pelbagai helah digunakan untuk membenarkan pengundi hantu merosakkan
amalan demokrasi di negara ini, pengesahan terbaru mengenai pemberian
hak mengundi kepada warga negara Bangladesh mengukuhkan lagi persepsi
rakyat bahawa Suruhanjaya Pilihanraya adalah tidak telus.
59. Oleh yang demikian, seluruh rancangan ekonomi perlu dijalankan
seiringan dengan proses reformasi politik dan pentadbiran. Belanjawan
2012 oleh Pakatan Rakyat akan melaksanakan perkara-perkara berikut
untuk mengukuhkan lagi arus reformasi rakyat:
a. Melaksanakan sepenuhnya janji-janji di dalam Buku Jingga termasuk
pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri, akta-akta bersabit media dan
percetakan, Akta Rahsia Rasmi dan Akta Universiti dan Kolej Universiti;
b. Membentangkan Akta Pemulihan Demokrasi seperti yang dicadangkan
Pakatan Rakyat dalam tahun 2011 untuk memansuhkan semua peruntukan
undang-undang yang bertentangan dengan amalan demokratik;
c. Melaksanakan serta-merta semua tuntutak BERSIH2.0;
d. Merombak Jabatan Perdana Menteri dengan menaiktaraf
jabatan-jabatan bersabit tata kelola dan pertanggungjawab nasional
seperti SPR, SPRM, Biro Pengaduan Awam dan lain-lain supaya
bertanggungjawa terus kepada Parlimen;
e. Pengenalan laporan setengah tahun perbelanjaan dan prestasi
kewangan negara yang dibentangkan ke Parlimen bersama-sama dengan
laporan Ketua Audit Negara; dan
f. Pembentukan tujuh Jawatankuasa Parlimen untuk membahaskan belanjawan di peringkat Jawatankuasa secara terperinci.
PENUTUP
60. Malaysia adalah sebuah negara yang dirahmati dan diberkati.
Rakyatnya telah membuktikan bahawa semua cabaran yang getir boleh
diatasi bersama melalui muafakat, persefahaman dan hormat-menghormati.
61. Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat melihat rakyat sebagai aset
pertama negara dan sewajarnya diangkat martabat rakyat untuk sama-sama
menyumbang kepada kesejahteraan semua. Rakyat adalah tuan punya negara
ini, rakyat bukannya khadam atau pekerja yang membanting tulang menagih
ehsan pemerintah atau golongan mahakaya.
62. Belanjawan 2012 ini juga memberi gambaran sebuah negara yang
berbeza di bawah Pakatan Rakyat. Berbeza ekonominya, rancak proses
demokrasinya dan telus pentadbirannya.
63. Saya memohon doa supaya Belanjawan 2012 ini memberi peluang
untuk semua pihak memainkan peranan bersama-ama membawa Malaysia ke
tempat yang lebih sejahtera, lebih aman dan lebih adil.
64. Sekian, terima kasih.