BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya
Memaparkan catatan dengan label Kenyataan Media. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kenyataan Media. Papar semua catatan

Jumaat, Julai 08, 2011

Kenyataan Media KEADILAN Cabang Nibong Tebal

Berkaitan Surat Palsu / Fitnah Terhadap YB Tuan Haji Maktar Shapee

Assalamualaikum,

Kebelakangan ini kita dapati pihak UMNO dan Barisan Nasional amat terdesak untuk meraih sokongan rakyat. Mereka sanggup melakukan apa saja cara meskipun kotor untuk mengekalkan kuasa mereka. Merekalah orangnya yang mempolitikkan isu agama dan masjid, sehingga sanggup mengenepikan kuasa anak qaryah dalam memilih kepimpinan qaryah melalui undi. Kerana tamakkan kuasa mereka menggunakan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong untuk mengekalkan kuasa menguruskan masjid di negeri Pulau Pinang ini.

Setelah itu mereka mengekang maklumat melalui media cetak dan elektronik, kemudian mereka menghalang ceramah serta majlis penerangan yang kita jalankan. Mereka juga menghalang rakyat yang mahukan pilihanraya bersih dengan mengarahkan polis menangkap mereka yang memakai pakaian kuning.

Sekarang mereka telah sampai kepada sessi menabur fitnah terhadap kepimpinan Pakatan Rakyat setempat terutamanya Ahli-ahli Yang Berhormat. Kita mahukan pihak berkuasa dan polis menangani perkara ini dengan segera bagi membendung tindakan tidak bertanggungjawab mereka.

Isu terbaru berkaitan fitnah terhadap YB Tuan Haji Maktar serta pucuk pimpinan KEADILAN Cabang Nibong Tebal melalui surat palsu yang isi kandungnya hanyalah fitnah semata-mata. Kita yakin bahawa terdapat pihak yang hanya berkepentingan politik yang merancang mengeluarkan surat ini bagi menampakkan bahawa Yang Berhormat Tuan Haji Maktar dan kepimpinan parti rakus dan terdesak, sedangkan kami begitu berhemah dalam menangani isu rakyat serta pengagihan peruntukan untuk rakyat.

Dengan ini kami kepimpinan KEADILAN Cabang Nibong Tebal mencabar pihak yang tidak bertanggungjawab ini untuk tampil membuktikan kesahihan tuduhan tersebut.

Sekian, terima kasih.

HJ. MOHD KAMIL BIN ABU BAKAR
Timbalan Ketua 
Cabang KEADILAN Nibong Tebal
6 Julai 2011

Rabu, Mac 09, 2011

Kenyataan Media Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail tentang PRK Kerdau dan Merlimau

Keputusan pilihanraya kecil di Merlimau dan Kerdau yang baru sahaja berlangsung pada 6 Mac lalu sememangnya telah diduga. Selain menyedari dua DUN tersebut adalah kubu kuat BN kita dapati imbuhan keterlaluan telah dilemparkan kepada pengundi. KEADILAN mendesak supaya SPR dapat bertindak dengan bebas dan berkecuali serta peka terhadap aduan-aduan yang diajukan oleh kedua-dua belah pihak secara adil dan telus.

KEADILAN mengucapkan tahniah dan syabas kepada petugas PR yang terpaksa menongkah arus dengan berhadapan jentera gergasi BN. Apatah lagi seluruh jentera kerajaan diguna sewenangnya. Media arus perdana pula kekal tempang dan begitu mudah diperkudakan.

Pakatan Rakyat akan mengorak langkah bagi menghadapi pilihanraya Sarawak dan PRU13. Gerakerja tersusun di setiap peringkat perlu dimulakan sekarang. Kemenangan dua PRK ini pastinya menjadikan BN selesa dan memanggil PRU13 seawal mungkin. PR harus terus mendekati rakyat kerana kesejahteraan rakyat tidak memadai dengan gula-gula pilihanraya. Apa-apapun, kita harapkan SPR akan lebih telus dan bebas lantas mengizinkan sistem demokrasi di negara ini dilaksanakan sebaik mungkin. Amat penting untuk kita menyelamatkan negara demi kesejahteraan berpanjangan.

Dr Wan Azizah Wan Ismail

Jumaat, Februari 25, 2011

Kenyataan Akhbar Mesyuarat Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat bersama Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri Pakatan Rakyat

Kami, para Menteri Besar dan Ketua Menteri Negeri Pakatan Rakyat yang bermesyuarat bersama para Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat pada hari ini 23 Februari 2011 di Kuala Lumpur, telah memberi perhatian dan mengambil persetujuan berikut:

1. Pimpinan negeri Pakatan Rakyat terus komited untuk memimpin dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat sebagaimana dipersetujui dalam Resolusi Shah Alam sempena Persidangan Menteri-menteri Besar dan Ketua Menteri Pakatan Rakyat November lepas;

2. Sehubungan dengan itu, kita akan meneruskan Sekretariat Bersama negeri-negeri Pakatan Rakyat yang telah ditubuhkan demi memperkukuhkan kerjasama di antara negeri Pakatan Rakyat dan menggembeling sumber dan kepakaran. Sekretariat ini akan memberikan penumpuan kepada 5 aspek utama iaitu Pelaburan, Kerajaan tempatan, Pengurusan, Pengurusan Sumber Air, Pertanian dan Pelancongan.

3. Mengiktiraf usaha cemerlang yang dibuat oleh semua negeri-negeri Pakatan Rakyat selama ini sehingga mencatat kadar tertinggi pelabur asing di negara ini. Kami bersepakat menyusun kerangka strategi bersama bagi menarik pelaburan luar dalam projek-projek ekonomi. Negeri-negeri Pakatan Rakyat juga akan memanfaatkan dana benih 10 juta yang telah sumbangkan oleh Negeri Selangor bagi meningkatkan pelaburan di Negeri-negeri Pakatan Rakyat yang lain;

4. Menyedari kepentingan menghadapi serangan laporan negatif media terhadap negeri-negeri Pakatan Rakyat, suatu mekanisme bersama telah disepakati untuk menyalurkan berita di antara negeri Pakatan Rakyat di samping memberikan penerangan kepada massa mengenai dasar positif yang telah diamalkan di negeri-negeri Pakatan Rakyat.

5. Bagi menghadapi Pilihanraya Umum yang semakin hampir, negeri-negeri Pakatan Rakyat bersetuju meningkatkan kerjasama dan perkongsian dari segi maklumat, jentera dan sumber bagi menjamin kemenangan calon-calon Pakatan Rakyat di seluruh negara.


Sabtu, Februari 19, 2011

Pertumbuhan Ekonomi 2010 : Malaysia terus terkebelakang berbanding jiran

Pertumbuhan ekonomi sebanyak 7.2% yang dicatatkan negara pada tahun 2010 perlu dikaji dengan lebih dekat untuk memahami keseluruhan implikasinya.

Angka 7.2% perlu dibandingkan dengan pencapaian jiran-jiran kita dan bukannya dinilai secara bersendirian. Singapura dan Indonesia contohnya masing-masing berjaya mencatatkan pertumbuhan 14.5% dan 6.1% dalam tahun 2010. Kedua-dua jiran kita ini mengatasi pertumbuhan Malaysia; apatah lagi apabila pertumbuhan Indonesia adalah berdasarkan angka pertumbuhan asas yang lebih tinggi kerana Indonesia tidak mengalami penguncupan ekonomi dalam tahun 2009 seperti mana Malaysia dan Singapura.

Pertumbuhan 14.5% yang dicatatkan Singapura disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam sektor perkilangan pada kadar 29.7% pertumbuhan tahunan. Jika dibandingkan dengan Singapura, pencapaian kita malap dalam kedua-dua aspek – pertumbuhan ekonomi hanyalah separuh dari yang dicapai Singapura, sementara pertumbuhan sektor perkilangan pada kadar 11.4% hanyalah setakat satu pertiga pencapaian Singapura.

Penjelasan kedua-dua kerajaan dalam menerangkan perbezaan pertumbuhan sektor perkilangan ini adalah amat berbeza. Singapura menyatakan bahawa permintaan yang kukuh dari pasaran dunia memesatkan pertumbuhan sektor perkilangannya, sementara Malaysia pula menyalahkan pasaran dunia sebagai akibat kelembapan sektor perkilangannya – padahal kedua-dua negara sama-sama bergantung kepada barangan eksport dan pasaran dunia. Hakikatnya, barangan yang dikilang di Malaysia semakin hilang daya saingnya di pasaran dunia kerana kita tersekat di tangga nilai yang bawah dan terpaksa bersaing dengan negara-negara yang struktur kosnya lebih murah; sedangkan pesaing seperti Singapura terus menghasilkan barangan bernilai tinggi. Amaran mengenai masalah ini telah diberikan sejak sedekad yang lalu, namun tidak ada satu langkah yang berkesan yang diambil kerajaan selain dari retorik politik yang dibayar oleh rakyat.

Pertumbuhan sektor perkilangan yang lebih rendah berbanding jiran diburukkan lagi dengan penguncupan dua sektor penyumbang utama di dalam suku keempat 2010. Sektor perlombongan dan pertanian adalah penyumbang utama kepada pendapatan Kerajaan Persekutuan melalui hasil minyak dan gas serta kelapa sawit. Kedua-dua sektor ini mencatatkan penguncupan dalam suku keempat pada kadar 1.3% (perlombongan) dan 4.3% (pertanian). Akibatnya, pertumbuhan tahunan yang sangat rendah pada kadar 0.2% (perlombongan) dan 1.7% (pertanian) adalah satu lagi petanda bahawa ekonomi kita semakin malap.

Pandangan ini diperkuatkan lagi oleh angka-angka beberapa indeks yang digunakan untuk menilai sentimen masyarakat niagawan dan orang ramai mengenai hala tuju ekonomi negara. Indeks Suasana Perniagaan yang diterbitkan oleh Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER) hilang 5.4 mata dalam suku keempat 2010 untuk jatuh ke paras bawah 100 mata buat kali pertama dalam tempoh dua tahun. Malah, keyakinan masyarakat niagawan ke atas prospek ekonomi seperti yang dilambangkan oleh indeks ini menunjukkan penurunan sejak awal 2010 lagi. Bagi sentimen keyakinan orang ramai pula, walaupun Indeks Sentimen Pengguna menokok ke paras 117.2 mata dalam suku keempat, paras itu masih belum setanding dengan paras keyakinan tahun 2007 sebelum kerajaan menaikkan harga minyak secara mendadak dalam tahun 2008.

YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak sepatutnya lebih ikhlas dan mengakui bahawa ada jurang yang besar di antara pengumuman projek-projek mega yang dibuat dibawah ETP dan realiti ekonomi yang ditanggung masyarakat niagawan dan orang ramai. Ramai di kalangan rakyat Malaysia yang masih ragu-ragu bahawa siri pengumuman projek itu hanyalah wayang yang akhirnya akan menguntungkan golongan pemerintah dan niagawan elit tanpa menyelesaikan masalah pokok dan struktur ekonomi negara.

Pengurusan fiskal dan kewangan negara juga menunjukkan perbezaan yang besar di antara Malaysia dan jiran kita, terutamanya Indonesia.

Tidak seperti Malaysia, Indonesia berjaya mengelak dari kemelesetan ekonomi tahun 2009 dan terus mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 6.1% dalam tahun 2010, menjadikannya salah sebuah ekonomi paling mampan di antara 20 negara terkaya di dunia. Laporan United Nations Global Investment Trend Monitor (diterbitkan oleh UNCTAD pada 17 Januari 2011) mencatatkan aliran masuk pelaburan asing (FDI) sebanyak USD12.8 bilion bagi tahun 2010; yang kedua tertinggi di rantau ini selepas Singapura. Pelaburan baru menyumbang sebanyak 32.2% kepada ekonomi Indonesia sementara perbelanjaan kerajaan menyumbang hanyalah 9.1% kepada pertumbuhan ekonomi. Keseluruhan pencapaian ini berasaskan perbelanjaan kerajaan yang berhemah dan tidak berlebihan. Angka defisit fiskal dan hutang kerajaan hanyalah masing-masing 1.1% dan 28.3% berbanding KDNK bagi tahun 2010.

Keadaannya sangat berbeza di Malaysia. Jumlah hutang Kerajaan Persekutuan telah mencecah RM407 bilion menjelang akhir 2010, bersamaan 53.1% berbanding saiz KDNK negara. Kegagalan merancakkan pelaburan swasta menyebabkan kerajaan terlalu bergantung kepada projek-projek mega dan perbelanjaan kerajaan untuk mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi, sehinggakan defisit fiskal menjadi salah satu masalah utama ekonomi negara.

Defisit fiskal negara memuncak pada aras 7% dalam tahun 2009 dan hanya menurun kepada 5.6% tahun lalu, sedangkan sasaran kerajaan yang diumumkan di dalam Rancangan Malaysia Ke-10 adalah 5.3% bagi tahun 2010. Malaysia hanya berjaya menarik aliran masuk pelaburan asing (FDI) sebanyak USD7 bilion dalam tahun 2010, jauh ditinggalkan Singapura yang mendapat sejumlah USD37.4 bilion aliran masuk pelaburan asing.

Berdasarkan angka-angka dan perbandingan ini, jelas bahawa pertumbuhan 7.2% hanyalah satu lagi bukti bahawa ekonomi kita semakin terkebelakang berbanding dengan negara jiran. Daya saing Malaysia di pasaran antarabangsa semakin merudum dan kedudukan fiskal serta kewangan negara lebih buruk berbanding negara-negara jiran.

Rakyat tidak akan terkeliru dengan pelbagai kempen dan janji manis yang dibuat kerajaan dan akan terus menuntut reformasi ekonomi agar prospek ekonomi yang malap ini dapat diubah. Reformasi ekonomi hanya akan berkesan sekiranya didokong oleh reformasi politik yang ikhlas.

Malangnya, Kerajaan Persekutuan yang ada telah dibuktikan berkali-kali tiada keikhlasan dalam melaksanakan reformasi politik. Makanya, sebarang dasar ekonomi yang diperkenalkan sebagai reaksi politik tidak akan berjaya menyelesaikan masalah kemalapan ekonomi Malaysia.

DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM
KETUA PEMBANGKANG
19 FEBRUARI 2011

Rabu, Februari 16, 2011

Kesemua 1,500 Guru Kafa Akan Diberikan RM100 Sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul

Kesemua 1,500 guru Kafa akan diberikan RM100 sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Pulau Pinang bertemakan “Wasatiyyah(Kesederhanaan) Tonggak Kecemerlangan Ummah. Bayaran RM 100 one-off ini akan makan perbelanjaan RM150,000 dan akan dicadangkan oleh saya kepada mesyuarat EXCO pada hari Khamis ini.

Pada tahun lepas, kerajaan negeri telah memberikan RM100 one-off kepada guru-guru Kafa sempena perayaan Awal Muharaam. Buat kali pertama juga dalam tahun 2010, semua guru Kafa telah diberikan RM250 duit raya menyambut Hari Raya Puasa.

Pembayaran ini dapat dibuat kerana kerajaan negeri mengamalkan perbelanjaan berhemah; urustadbir CAT yang cekap, akauntabel dan telus; serta kempimpinan integriti, bersih dan bersih daripada rasuah. Kejayaan ini diakui bukan sahaja oleh Laporan Ketua Audit Negara 2008 dan 2009 yang memuji lebihan Bajet paling besar sebanyak RM 88 juta pada 2008 dan RM77 juta pada 2009 tetapi juga oleh badan anti-rasuah antarabangsa terunggul Transparency International.

Kesederhanaan dalam Islam akan menolak dakwaan pemimpin BN tertentu bahawa Islam adalah ekstrimis, mundur, miskin, tidak demoktratik dan korup. Seperti yang dinyatakan oleh ulamak Islam terkenal Dr Yusof Al Qaradhawi,
Kesederhanaan dalam Islam disumberkan daripada kesederhanaan method dan undang undang seperti berikut:-
1.     Kesederhanaan adalah adil
2.     Kesederhanaan adalah konsisten
3.     Kesederhanaan adalah keamanan
4.     Kesederhanaan adalah lambang kebaikan
5.     Kesederhanaan adalah lambang kekuatan
6.     Kesederhanaan adalah tunjang kekuatan

Kerajaan negeri percaya amalan kesederhanaan dalam kehidupan rakyat tanpa kira agama dan kaum akan dapat menyatupadukan rakyat untuk menikmati bersama kemakmuran, keamanan dan harmoni serta kamajuan membina modal insan.

Kenyataan Akhbar Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng Di Komtar, George Town Pada 15.2.2011.

Ahad, Februari 13, 2011

Iktibar daripada kejatuhan

Kejatuhan sesebuah pemerintahan harus menjadi iktibar dan peringatan kepada semua penguasa terutamanya mereka yang zalim.

Allah S.W.T Maha Mendengar malahan pula doa mereka yang teraniaya itu tiada hijab di antaranya, maka dengan Khudrat dan IradatNya akan membantu gerakan mereka.

Pemimpin negara harus melihat akan sampai masanya giliran mereka pula setelah Indonesia, Filipina dan Thailand berganti pemerintahan.

Perjuangan bangsa sebenarnya tidak akan bertahan lama kecuali perjuangan membela Islam itu diberi keutamaan kerana Allah akan membantu mereka yang membantuNya. Ini satu jaminan Allah S.W.T yang jelas di dalam Al-Quran, surah Muhammad : 7


Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.
Tidak salah membela bangsa, tetapi bimbinglah mereka ke jalan yang diredhai Allah. Janganlah apabila kepercayaan diberi untuk mentadbir, kelak pemimpin itu menggadai amanah rakyat dengan melakukan jenayah dan maksiat.

Wallahuaklam.

Hj. Maktar bin Hj. Shapee
ADUN Sungai Bakap
Ketua KEADILAN Cabang Nibong Tebal

Selasa, Februari 01, 2011

Segera Bawa Pulang Rakyat Malaysia

Ketegangan di Mesir jelasnya tidak akan mengendur dalam beberapa ketika ini. Protes menuntut Perubahan disertai puluhan jika tidak ratusan ribu rakyat setiap hari di beberapa kota utama negara tersebut. Keadaan semakin tidak menentu, keselamatan orang awam tidak lagi terjamin. Lebih membimbangkan adanya laporan bahawa wujudnya kumpulan samseng yang melakukan jenayah sewenang-wenangnya.

Saya difahamkan rakyat Malaysia yang kini tinggal di Mesir hampir mencecah 11 ribu orang, 10,328 dari jumlah tersebut merupakan pelajar yang mendaftar dengan kedutaan Malaysia di sana. Saya khuatir kedutaan kita menghadapi kesukaran untuk mengawasi serta menjamin keselamatan para pelajar dan rakyat Malaysia. 

Beberapa hari ini regim Hosni Mubarak telah mengambil tindakan untuk merencat penggunaan internet terutamanya jaringan media sosial seumpama Facebook dan Twitter. Malah, perkhidmatan telefon mudah alih juga sukar diperolehi. Adalah mustahil buat kedutaan Malaysia mengawasi serta menjamin keselamatan seluruh rakyat kita di sana kerana sistem telekomunikasi sudah lumpuh dan tidak lagi berkesan.

Perkembangan ini sewajarnya menyedarkan Kerajaan Malaysia bahawa mereka perlu segera merencana kepulangan rakyat kita dari Mesir. Adalah tidak munasabah membiarkan rakyat kita terdedah kepada bahaya dan tersepit di celah-celah keributan menuntut Perubahan. Saya menggesa kerajaan segera membawa pulang rakyat kita di sana. Jangan tunggu sehingga nasi menjadi bubur.

ANWAR IBRAHIM

Khamis, Januari 20, 2011

Khir Beri Shamsuddin Lima Projek Runding Terus

Kerajaan Negeri Selangor  sedia maklum dengan kes melibatkan mantan Menteri Besar, Dr Mohamad Khir Toyo yang berdepan  tindakan mahkamah kerana didakwa terlibat dalam gejala rasuah.

Kerajaan Negeri Selangor yang kini ditadbir Pakatan Rakyat tidak terlibat dengan pemberian projek secara runding terus kepada syarikat-syarikat  yang dimiliki Shamsudin Hayroni.

Bagi mengelak timbul spekulasi dan tanggapan buruk terhadap Kerajaan Negeri Selangor menjelang perbicaraan kes Dr Khir, Kerajaan Negeri telah mengarahkan maklumat lanjut diperolehi melibatkan projek-projek yang telah diberikan kepada Shamsuddin Hayroni ketika Dr Khir menjadi Menteri Besar.

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 16 Disember 2010 membuat keputusan supaya maklumat tentang jenis projek dan nilai projek yang diberikan kepada syarikat milik Shamsuddin Hayroni didedahkan untuk pengetahuan umum.

Sebanyak lima projek runding terus telah diberikan kepada Majulia Sdn Bhd dengan nilai projek berbeza iaitu:

1. Pembinaan kuarters kakitangan kerajaan di Seksyen 16,Fasa 1 dengan nilai RM22,880,000
2. Pembinaan kuarters kakitangan kerajaan di Seksyen 16 fasa 2 dengan nilai RM61 juta
3. Cadangan merekabentuk, membina dan menyaipkan bangunan Perpustakaan Selangor Maju bernilai RM71,080,000
4. Cadangan membina dan menyiapkan jalan dari Simpang B15/B11 Lama Daerah Sepang bernilai RM73,750,871.53
5. Cadangan projek pembangunan sebuah stadium terbuka, sebuah pencawang elektrik, dua kebuk dan satu unit loji kumbahan atas sebahagian tapak Kompleks Sukan atas tanah kerajaan, mukim Dengkil bernilai RM14,999,000.00

Sementara itu, dua lagi syarikat milik Shamsuddin iaitu Getrahome Sdn Bhd dan Kanasutra Sdn Bhd telah diberikan  projek secara penswastaan.

Getrahome Sdn Bhd mendapat projek pembangunan perumahan dan perniagaan secara penswastaan atas tanah seluas 134.57 ekar mukim Dengkil, Daerah Sepang bernilai RM16 juta pada tahun 2000.

Kanasutra Sdn Bhd pula diberikan projek cadangan pembangunan perumahan dan perniagaan secara penswastaan atas tanah kerajaan lot 5395 dan 5396 Mukim Dengkil pada 2005 bernilai RM14 juta. Bagaimanapun, MMKN pada 27 Januari 2010 telah membatal dan menarik balik projek berkenaan.

Pendedahan maklumat ini dibuat bagi memastikan Kerajaan Selangor dan kakitangan awam tidak dikaitkan dalam perbicaraan kes Dr Khir dan Shamsuddin Hayroni.

Ini juga sejajar dengan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban pentadbiran yang didokong oleh Pakatan Rakyat yang sama sekali menolak sebarang penyelewengan dan salah guna kuasa di kalangan pemimpin dan ahli politik demi kepentingan peribadi.

Dr Khir didakwa telah mendapatkan untuk dirinya dan isteri Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barang berharga dengan suatu balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat no. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1 L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarah Ditamas, Shamsuddin Hayroni, dengan harga RM3.5 juta, sedangkan hartanah itu telah dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Kerajaan Negeri berpendapat maklumat yang diberikan ini dapat membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan.

FAEKAH HUSIN
SETIAUSAHA POLITIK KEPADA MENTERI BESAR SELANGOR

Selasa, Januari 11, 2011

PAKATAN Hanya Perlukan RM19 Bilion Untuk Rakyat

Kenyataan Perdana Menteri kononnya Janji 100 Hari Pakatan Rakyat tidak dapat dilaksanakan atas alasan negara tidak berkemampuan membuktikan lagi UMNO/BN berselindung di sebalik penguasaan media untuk memadamkan fakta. Maka memandangkan isu ini mendesak dan menyentuh kepentingan rakyat dan negara, kami syorkan diadakan satu debat terbuka.

Tuduhan beliau bahawa Janji 100 Hari Pakatan Rakyat akan menjadikan negara muflis adalah dangkal kerana hakikatnya, UMNO/BN yang berhutang setiap tahun sehingga hutang negara menggunung. Laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan pada 25 Oktober 2010 memberi amaran bahawa nisbah hutang negara kepada KDNK telah melepasi paras 50% buat kali pertama dalam sejarah negara.

Hutang kerajaan Malaysia bagi tahun 2009 meningkat kepada RM362.39 billion atau 53.7% dari KDNK. Malapetaka ekonomi ini berlaku di bawah pentadbiran Perdana Menteri sekarang sebagai Menteri Kewangan. Dalam tahun 2010, kerajaan melancarkan 19 program menjual bon yang membabitkan hutang tambahan bernilai RM58.1 bilion.

Tabiat berhutang UMNO/BN akan diperhebatkan tahun ini. Pada 14 Disember 2010, Bank Negara Malaysia mengumumkan kerajaan akan menjual 29 bon tambahan dalam tahun 2011. Menurut anggaran Institut Penyelidikan RHB, penjualan 29 bon ini akan membabitkan hutang baru kerajaan persekutuan berjumlah RM83 bilion.

Makanya, alasan Perdana Menteri untuk menolak Janji 100 Hari Pakatan Rakyat perlu dikaji dengan berlatar belakangkan perkara-perkara ini. Malaysia sememangnya sedang menuju ke gerbang kemuflisan jika UMNO/BN terus berhutang sewenangnya seperti sekarang – tetapi ia bukanlah disebabkan oleh Janji 100 Hari Pakatan Rakyat. Malaysia akan muflis akibat ketagihan UMNO/BN kepada pembaziran dan rasuah yang berleluasa, demi mempertahankan sistem kroni kapitalisme yang didokong UMNO/BN.

Contoh-contoh pembaziran UMNO/BN sudah diketahui rakyat. Perdana Menteri terlampau taksub dengan bangunan 100 tingkat yang menelan belanja RM5 bilion, sedangkan isu perumahan mampu milik meruntun golongan berpendapatan rendah dan orang muda. Kerajaan UMNO/BN akan mengugut bahawa negara akan muflis setiap kali Pakatan Rakyat memperjuangkan imbuhan tambahan para guru, tetapi ia tidak rasa bersalah apabila meluluskan kontrak RM77 juta kepada APCO. Senarainya terlalu panjang untuk dihuraikan disini.

Oleh itu, tindakan pertama Kerajaan Pakatan Rakyat adalah melancarkan perang habis-habisan menentang rasuah di setiap peringkat, bermula dengan pemimpin-pemimpin kanan politik. Ini akan menyelamatkan RM28 bilion yang tiris dari Perbendaharaan setiap tahun akibat rasuah, seperti yang dianggarkan oleh Ketua Audit Negara.

Selepas itu, Kerajaan Pakatan Rakyat akan menstrukturkan semula sistem subsidi untuk memansuhkan subsidi korporat yang hanya mengkayakan beberapa kerat kroni. Jumlah RM19 bilion subsidi korporat yang ditanggung oleh PETRONAS untuk membayar IPP milik kroni akan dipulangkan kepada Perbendaharaan. Kita juga akan menyemak semula sistem konsesi toll untuk memansuhkan bayaran pampasan RM4 bilion setiap tahun yang kini ditanggung kerajaan.

Dua tindakan yang mudah ini akan memulangkan RM51 bilion kepada rakyat – lebih dari cukup untuk melaksanakan Janji 100 Hari Pakatan Rakyat yang jumlahnya hanyalah satu pertiga dari jumlah yang diselamatkan:
1.Imbuhan khas perguruan berjumlah RM500 sebulan menelan belanja RM3.2 bilion setahun.
2.Jaminan Pakatan Rakyat bahawa subsidi minyak akan dikekalkan untuk golongan berpendapatan rendah akan melibatkan penstrukturan semula sistem subsidi, supaya hanya golongan yang berkelayakan menikmati subsidi minyak. Kos subsidi di bawah sistem sebegini dianggarkan berjumlah RM4 bilion setiap tahun.
3.Kerajaan Pakatan Rakyat akan meneruskan subsidi gas memasak, berjumlah RM4 bilion setiap tahun.
4.Penstrukturan semula sistem tol di bawah PLUS dianggarkan menelan belanja RM23 bilion, berdasarkan harga pasaran yang ditawarkan oleh Khazanah dan KWSP. Kos tambahan yang perlu ditanggung kerajaan untuk mengambil alih operasi dari pemegang saham minoriti dianggarkan berjumlah RM8 bilion.
Justeru, jumlah dana yang diperlukan untuk melaksanakan Janji 100 Hari Pakatan Rakyat hanyalah RM19.2 bilion; yakni sama dengan subsidi korporat yang diberikan kepada IPP milik kroni setiap tahun. Jumlah ini adalah terlampau sedikit berbanding RM51 bilion yang hilang setiap tahun akibat ketirisan dan rasuah demi memastikan kroni gembira dan bersenang-lenang.

Janji-janji lain seperti skim air percuma dan skim wi-fi percuma telah pun dilaksanakan di negeri-negeri Pakatan Rakyat. Kami telah membuktikan ia mampu dilaksanakan.

Oleh yang demikian, Perdana Menteri tidak boleh berdolak dalih lagi kenapa UMNO/BN tidak mahu melaksanakan Janji 100 Hari Pakatan Rakyat apabila rakyat tahu bahawa ia mampu dilaksanakan. Tabiat berhutang UMNO/BN yang membebankan generasi akan datang adalah sangat tidak bertanggungjawab, apatah lagi apabila wang yang dipinjam tidak dibelanjakan untuk rakyat.
 
DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM
KETUA PEMBANGKANG
11 JANUARI 2011
 

Sabtu, Disember 25, 2010

Program 100 Hari Pakatan Rakyat Mampu Bela, Angkat Martabat Golongan Pendidik

Saya kesal dengan kenyataan Menteri Pendidikan baru-baru ini yang memperlekehkan peranan guru sebagai pembina negara. Beliau menyebut bahawa tindakan memperkenalkan imbuhan khas pendidik sebanyak RM500 setiap orang setiap bulan akan menyebabkan Malaysia muflis.

Pakatan Rakyat telah meneliti kesan kewangan dari pelaksanaan ini. Kita mengambil kira bahawa terdapat 537,221 jawatan di dalam perkhidmatan pendidikan termasuklah pengurusan kementerian (24,153), dasar dan pembangunan pendidikan (4,059), operasi pendidikan (498,399) dan pembangunan profesionalisme keguruan (10,610).

Usaha menaiktaraf mutu pendidikan negara bermula dengan reformasi pendidikan dari pihak atas (penggubalan dasar, pembangunan keguruan) sehinggalah ke tahap pengajaran di bilik darjah (keberkesanan pembelajaran dan pengajaran). Oleh itu, Pakatan Rakyat berhasrat untuk memperkenalkan imbuhan khas pendidik sebanyak RM500 kepada semua pegawai dan guru yang bertanggungjawab di dalam sistem pendidikan kita.

Ini akan menelan belanja RM3.2 bilion setahun. Jumlah ini adalah kecil jika dibandingkan dengan pembaziran-pembaziran lain yang kini berleluasa di bawah UMNO/Barisan Nasional.

Kos perbelanjaan semua lawatan Perdana Menteri ke luar negara setakat ini sebanyak RM8.7 juta boleh menanggung imbuhan bagi 1,450 orang guru. Bayaran kepada APCO sebanyak RM77 juta bagi tahun 2009 boleh menampung imbuhan bagi 12,800 orang guru iaitu keseluruhan tenaga kerja yang membangunkan profesionalisme keguruan. Pembaziran UMNO/Barisan Nasional sebanyak RM131 juta bagi menampung perbelanjaan perunding dan kos operasi PEMANDU bagi tahun 2010 boleh membayar imbuhan bagi 21,833 lagi orang guru, iaitu hampir keseluruhan tenaga kerja kementerian.

Ini belum lagi pembaziran-pembaziran mega seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada sektor korporat dan kroni, kos menyelamatkan kroni yang melibatkan Empangan Bakun sebanyak RM6 bilion dan ketirisan akibat rasuah yang dianggarkan mencecah RM28 bilion setiap tahun.

Justeru, persoalan sama ada negara mampu membayar imbuhan khas pendidik sebanyak RM500 setiap bulan ini tidak timbul. Perkara yang sebenar adalah keikhlasan UMNO/Barisan Nasional untuk mengangkat martabat pendidikan di negara ini.

Hakikatnya, bidang pendidikan tidaklah berada di dalam senarai kepentingan UMNO/Barisan Nasional. Isu kualiti pendidikan telah ditimbulkan sejak sedekad yang lalu, tetapi sehingga kini tidak ada satu langkah konkrit untuk mengiktiraf sumbangan guru di samping memastikan kerjaya perguruan menarik minat calon-calon yang berkualiti tinggi. Langkah Pakatan Rakyat memperkenalkan imbuhan ini adalah langkah pertama ke arah memartabatkan kerjaya perguruan setaraf dengan kerjaya profesional lain seperti jurutera, doktor dan akauntan.

Semalam, akhbar-akhbar melaporkan persetujuan Perdana Menteri untuk menubuhkan satu badan perundingan khas untuk menyelesaikan isu-isu perkhidmatan perguruan. Perkara ini telah disyorkan CUEPACS sejak tahun 2002 lagi – tetapi hanya selepas Pakatan Rakyat membuat cadangan yang konkrit untuk menaikkan martabat perguruan, UMNO/Barisan Nasional memberikan reaksi cemas. Baru sekarang, Perdana Menteri mahu mendengar keluh kesah guru-guru yang bergelumang dengan pelbagai masalah setiap hari.

Ini bukanlah caranya kita merancang kebijakan pendidikan negara. Tanggungjawab menjaga kebajikan guru-guru bukanlah satu reaksi yang hanya ada tindakan apabila Pakatan Rakyat bersuara.

Pakatan Rakyat percaya bahawa tindakan utama yang perlu diambil untuk memulihkan kualiti pendidikan negara adalah dengan menjaga kebajikan guru secara berterusan dan bertanggungjawab. Oleh itu, jumlah RM3.2 bilion setiap tahun bukanlah jumlah yang terlalu besar demi masa depan anak-anak Malaysia.

DATUK SERI ANWAR IBRAHIM
KETUA PEMBANGKANG PARLIMEN MALAYSIA
 

Isnin, Disember 06, 2010

Model Ekonomi Baru dan Penarikan Subsidi : Bukti Dasar Barisan Nasional Yang Berbolak Balik dan Berat Sebelah

Kenaikan harga sebanyak 5 sen RON 95 merupakan kenaikan kali kedua berturut-turut dalam masa 6 bulan. Pengumuman yang dibuat oleh Dato’ Seri Idris Jala juga meliputi penarikan subsidi terhadap beberapa barang keperluan seumpama gula(kenaikan sebanyak 20 sen), diesel (kenaikan sebanyak 5 sen) dan gas petroleum cecair (kenaikan sebanyak 5 sen).

Manakala Barisan Nasional menegaskan peningkatan harga tersebut adalah kecil dampaknya terhadap rakyat, namun hala tuju dasar negara yang terbentuk kesan dari kenaikan tersebut tidak boleh dipandang ringan. Barisan Nasional melalui PEMANDU telah membentangkan pada sesi Hari Terbuka Rasionalisasi Subsidi bertarikh 27 Mei 2010, bahawa sudah ada rancangan untuk menarik balik subsidi minyak jenis RON 95 pada setiap 6 bulan. Pengumuman semalam mengesahkan akan ada kenaikan harga pada masa hadapan, berkemungkinannya kenaikan yang lebih besar jumlahnya dari yang dicadangkan iaitu kenaikan 10 sen setiap 6 bulan.

Penarikan balik subsidi beberapa jenis barangan juga diusulkan termasuklah subsidi gas yang berkait rapat dengan Janakuasa Bebas yang dimiliki segelintir elit korporat dan kroni Barisan Nasional. Namun sehingga kini kelihatannya kenaikan harga hanyalah terhadap barangan keperluan dan pastinya rakyat keseluruhan yang merasa pedihnya, bukannya kroni.

PEMANDU menganggarkan sejumlah RM 1.12 billion akan dijimatkan pada tahun 2010 sekiranya subsidi gas untuk Janakuasa Bebas serta sektor bukan tenaga dapat dikurangkan. Ini dapat dicapai sekiranya harga gas untuk Janakuasa Bebas dan sektor bukan tenaga naik masing-masing RM 4.65 per mmbtu (million British unit haba) serta RM 2.52 per mmbtu.

Sehingga kini, kerajaan melalui PETRONAS, berhasil menyediakan subsidi buat Janakuasa Bebas dan industri lainnya sejumlah RM 19 billion setiap tahun kerana harga gas selepas subsidi hanyalah RM 10.70 per mmbtu (untuk Janakuasa Bebas), harga yang dikira amat murah jika dibandingkan dengan harga pasaran buat gas yang diimpot iaitu RM 38 per mmbtu (sekiranya negara terpaksa mengimpot akibat dari kekurangan pengeluaran).

Oleh itu kita mahu Perdana Menteri dan pentadbiran beliau memberi penjelasan mengapakah mereka terburu-buru untuk menarik balik subsidi minyak, gula dan gas petroleum cecair, sedangkan kesan dari keputusan tersebut hanya akan membebankan rakyat terbanyak. Pada masa yang sama kita mempersoalkan tindakan mereka kerana kebijakan tersebut tidak menjurus pula terhadap golongan elit korporat terutamanya mereka yang rapat dengan pemerintah.

Tambahan pula sehingga kini kita hanya dihamburi janji sedangkan perubahan yang dijanjikan hanya sekadar suatu wayang dan permainan komunikasi terutamanya berkaitan sistem pengagihan subsidi. Kita berpandangan Perubahan mesti disegerakan kerana ianya mustahak demi memastikan bantuan dari pemerintah sampai kepada golongan berpendapatan rendah sekaligus meringankan beban mereka berhadapan dengan kos sara hidup yang meningkat.

PEMANDU begitu tangkas memastikan subsidi ditarik balik, akan tetapi begitu perlahan mengungkapkan penyelesaian untuk mengagihkan semula subsidi demi kepentingan rakyat terbanyak dan miskin.

Justeru kita ragu keberkesanan serta iltizam untuk melaksanakan perubahan walaupun bahagian terakhir Model Ekonomi Baru baru sahaja dibentangkan. Model Ekonomi Baru diwar warkan sebagai satu rancangan untuk membawa perubahan terutamanya buat sistem ekonomi, namun sejarah menjadi saksi apabila tiba waktu untuk melaksanakannya, mereka sentiasa gagal.

Barisan Nasional cuba meyakinkan kita betapa penarikan balik subsidi adalah perlu demi mengurangkan jurang defisit yang sebenarnya akibat dari keborosan selama ini. Akan tetapi apa yang mereka cuba lakukan hanya mengelak dari persoalan sebenar isu subsidi iaitu harga yang tidak munasabah buat Janakuasa Bebas, kebanyakannya milik kroni.

Lebih menyedihkan, RM 126 juta yang berjaya dijimatkan dari penarikan balik subsidi gula sebanyak 20 sen pada 16hb Julai lalu itu lebih kecil jumlahnya jika hendak dibandingkan dengan bayaran kepada PEMANDU sebagaimana yang dilaporkan Malaysiakini (pada 3hb Disember 2010). Di mana letaknya keabsahan moral kerajaan memerintah ini yang mengambil RM 126 juta dari rakyat terbanyak demi untuk membayar RM 66 juta kepada penasihat yang membantu menubuhkan sebuah unit kerajaan dan RM 65 juta pula buat keseluruhan operasi PEMANDU untuk tahun 2010.

Pastinya saya mendengar pengumuman berkaitan dengan Model Ekonomi Baru dengan rasa penuh curiga. Barisan Nasional akan cuba sedaya upaya untuk mengelirukan rakyat dengan segala macam pengumuman kononnya demi kebaikan sektor awam, namun pada masa yang sama boros membayar mereka yang berkhidmat dalam PEMANDU dengan bayaran yang mampu menyaingi sektor swasta.

Dokumen Model Ekonomi Baru menumpu mempromosi liberalisasi dan pembatalan kawal selia, akan tetapi pada masa yang sama memberi lesen kepada YTL untuk menjayakan projek 700MHz tanpa tender terbuka. Berita ini pastinya mendapat cemuhan awam dan kalangan mereka dari industri telekomunikasi.

Pastinya wujud corak ketidaktuntasan di antara pengumuman yang dibuat dan pelaksanaan oleh pemerintah. Ini tidaklah mengejutkan kerana kita sedar pemerintah kini taksub untuk mencipta ilusi indah hasil dari bantuan firma perhubungan awam, yang mana upahnya dibayar dari dana awam. Bagi mereka yang paling mustahak adalah untuk terus kekal berkuasa.

Justeru Pakatan Rakyat bersama dengan rakyat keseluruhannya bertanggungjawab untuk terus memerhati dan memastikan pemerintah membuat keputusan demi kemaslahatan rakyat serta negara. Kita tidak boleh gagal, kerana akibatnya ialah harga minyak RM 2.10 seliter dalam masa setahun lagi.


ANWAR IBRAHIM
KETUA PEMBANGKANG
4HB DISEMBER 2010

Jumaat, November 05, 2010

Menyanggah Tulisan Dr Mohd Asri Zainul Abidin

KENYATAAN MEDIA

Menyanggah Tulisan Dr Mohd Asri Zainul Abidin

1. Biro Pemahaman Dan Pemantapan Agama (BIPPA), PKR, ingin menyatakan bahawa serangan-serangan peribadi pelbagai bentuk dan pendekatan terhadap DSAI bukanlah sesuatu yang memeranjatkan. Hal ini berlaku kerana beliau dilihat sebagai pemimpin yang berupaya membawa perubahan ke atas sistem pemerintahan negara. Mereka yang mahu mempertahankan status quo akan menggunakan pelbagai kaedah tidak bermoral semata-mata mahu menjejaskan kredibiliti beliau.

2. Adalah jelas bahawa DSAI mempunyai kewibawaan dan keupayaan membina muafakat politik nasional dengan pewujudan gagasan Pakatan Rakyat sebagai alternatif kepada Barisan Nasional yang dilihat semakin hilang relavansinya dalam realiti politik negara masa kini.

3. Keberkesanan kepemimpinan seseorang itu tidak boleh diukur dari segi usia semata-mata. Hakikatnya kepemimpinan itu hendaklah dilihat dari segi karisma, amanah, keberanian, kegigihan dalam perjuangan menegakkan keadilan, kebenaran dan kesejahteraan rakyat, mengenepikan kepentingan peribadi dan keluarga, kesediaan berkorban, memiliki kebijaksanaan (hikmah) dan ketahanan fizikal. Inilah antara sifat yang dimiliki dan dihayati oleh DSAI sebagai pemimpin yang diiktiraf dan dihormati oleh kawan dan lawan dalam dan luar negara.

4. Komitmen DSAI ketika diberi peluang memimpin negara adalah terbukti dengan rekod kecermelangan. Kepemimpinannya terserlah dan diterima dalam dan luar negara sejak awal 1970an. Beliau istiqamah (consistent) justeru kepemimpinannya untuk memimpin rakyat dan negara terutama disaat negara sedang mengalami krisis kepercayaan tetap diperlukan. Persoalannya sekarang: Kenapa beliau diminta berundur?

5. Pada hemat BIPPA yang patut berundur ialah kepimpinan negara sekarang yang telah terbukti tidak berupaya mengangkat martabat rakyat dan negara dengan kemiskinan rakyat yang masih berleluasa di Sabah, Sarawak dan Semenanjung, masalah rasuah yang semakin membarah, keruntuhan moral (akhlak) dan pelbagai penyakit sosial yang semakin kronik, penyalahgunaan kuasa yang berwewenang, hutang negara yang semakin bertambah, track rekod kerendahan moral dan akhlak yang diketahui umum, terjejasnya imej negara di peringkat antarabangsa dan ketakutan pelabur-pelabur asing melabur di Malaysia.

6. Seruan Dr Mohd Asri Zainul Abidin pada hakikatnya adalah manifestasi suara ketakutan pimpinan negara terhadap fenomena kebangkitan rakyat.

7. Akhirnya, sebagai seorang ilmuan Muslim sewajarnya beliau patut lebih berhati-hati dalam memberi pandangan supaya tidak menjejaskan kredibiliti dan kewibawaannya sehingga menyebabkan audien hilang hormat.

Dr Muhammad Nur Manuty
Pengerusi
Biro Pemahaman Dan Pemantapan Agama (BiPPA), PKR
4 hb Oktober, 2010

Khamis, Oktober 28, 2010

MERAIKAN DEMOKRASI DALAM PEMILIHAN KEADILAN 2010

KENYATAAN MEDIA

27 OKTOBER 2010


Pemilihan bagi Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat akan bermula pada 29 Oktober hingga 21 November, selama sepuluh hari bagi semua cabang-cabang KEADILAN di seluruh Malaysia dari Perlis hinggalah ke Sabah.


Saya ingin menyeru semua 400,000 anggota KEADILAN yang layak mengundi dalam Pemilihan 2010 untuk turun beramai-ramai memenuhi hak mereka memilih pemimpin parti.


Semangat meraikan demokrasi menerusi pengenalan dasar satu anggota satu undi yang pertama di Malaysia yang dilihat sewaktu Pemilihan peringkat Cabang kini diteruskan di peringkat nasional.


Pada masa parti-parti Barisan Nasional masih lagi terbelenggu dengan budaya politik kolot dan ketinggalan zaman, KEADILAN sekali lagi mencipta pembaharuan dengan membudayakan semangat politik baru.


SAIFUDDIN NASUTION

Setiausaha Agung

Parti Keadilan Rakyat




Isnin, September 13, 2010

Kes Sosilawati mirip kekejaman pembunuhan Altantuya

Kes pembunuhan Datuk Sosilawati Binti Lawiya Abdullah Yusof, pemandu, pegawai bank dan peguam beliau dalam insiden culik, pukul, bunuh dan bakar yang berakhir dengan berita kematian keempat-empat mereka di Morib dua hari lepas, Wanita Keadilan mengecam perbuatan terkutuk ini sebagai sesuatu yang kejam dan zalim. Wanita Keadilan juga merasakan tragedi tersebut merupakan satu lagi kes pencabulan terhadap wanita di negara ini.Perasaan hormat kapada kaum Hawa semakin hari semakin terhakis.


Sebelum ini negara digemparkan dengan berita kematian ngeri seorang model yang dikenali sebagai Altantuya Saribbu beberapa tahun yang lalu.Beliau dibunuh secara kejam dengan letupan bom.Peristiwa pembunuhan kejam dan zalim itu tidak wajar dan ini dengan jelas menunjukan bahawa tahap keselamatan rakyat di negara ini khususnya wanita makin tidak terjamin. Akibat daripada sikap lepas pandang dan tidak komitednya PDRM dalam membuat siasatan dan kegagalan menangkap penjenayah sebenar dalam kes Altantuya, menyebabkan ada pihak yang begitu berani mengambil kesempatan atas ketidakmampuan PDRM menyelesaikan kes pembunuhan tersebut dan juga beberapa kes lain yang melibatkan wanita .Masihkah kita ingat kes pembunuhan Mustakhizah. Jenayah ini berulang lagi hari ini akibat kegagalan kita sendiri memilih kerajaan yang telus, berwibawa, amanah yang tidak mempergunakan institusi kerajaan untuk kepentingan peribadi.


Oleh itu Wanita Keadilan mengecam kes pembunuhan ini dan menyampaikan perasaan simpati dan takziah kepada keluarga allayarhamah dan 3 yang lain. Wanita Keadilan mengharapkan satu bentuk tindakan yang tegas oleh pihak PDRM dan berharap Ketua Polis yang baru dilantik dapat membawa perubahan dalam menjaga keamanan dan keselamatan rakyat Malaysia sekaligus menyegerakan siasatan dan mengheret semua mereka yang bersalah ke muka pengadilan.


YB Hajjah Zuraida Kamaruddin
Ketua Wanita Keadilan Malaysia

Khamis, September 09, 2010

Perutusan Eidulfitri DSAI 2010/1431H

Alhamdulilah syukur kepada Allah SWT, Yang Maha Penyayang dan Maha Mengasihani, kerana dengan limpah KurniaNya, berjaya kita menyempurnakan ibadah puasa di Bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini.


Menjelang Syawal, saya mengambil kesempatan ini, mewakili keluarga dan Parti Keadilan Rakyat mengucapkan Salam Eidulfitri kepada seluruh umat Islam. Saya berharap kita menyambut hari yang penuh bahagia ini dengan mengingati saudara kita yang berada dalam penderitaan walau di mana pun mereka berada. Tatkala kita semua menyambut hari lebaran dengan rasa syukur dan meriah bersama keluarga, ada di kalangan kita yang meratapi pemergian mereka yang dikasihi. Moga Allah Yang Maha Besar memberi kesabaran buat kita semua.


Eid ul Fitr, salah satu dari maknanya adalah hari di mana kita sedar dan kembali kepada fitrah, mengingatkan sesungguhnya kita dicipta sebagai makhluk yang penuh kasih sayang, bukannya kebencian. Ramadhan selama hampir sebulan itu sewajarnya memupuk nurani kita untuk menghindarkan rasa dengki, benci dan dendam. Sering diungkapkan bulan yang mulia itu madrasah ampuh buat melebur dinding hitam pekat yang merosak jiwa dan qalb, serta memangkin kemurnian agar kembali dengan rasa kasih yakni fitrah kita sebagai insan mahkluk kepada Pencipta Yang Agung.


Malangnya sepanjang Ramadhan, masih ada yang menabur kebencian, fitnah dan berharap untuk memecah belahkan sesama kita. Menuduh dan menuding menjadi amalan dan budaya. Tatkala masyarakat menginginkan jurang perbedaan dirapatkan, fitnah dan kebencian disemai rekayasa golongan pelampau yang alpa akan fitrahnya sebagai makhluk. Keangkuhan meresapi diri kerana merasa tidak terkalahkan dan ramai.


Makanya saya memohon izin berkongsi ibrah dari sirah Rasulullah SAW ketika Perang Hunain yang meletus pada bulan Syawal. Selepas kejayaan Pembukaan Kota Mekah, umat Islam ternyata begitu bersemangat, oleh itu ketika menuju medan perang, ada yang mula mengungkapkan


di hari ini kami tidak akan terkalahkan”


Keangkuhan menjalar dan merasuk! Seperti yang kita semua ketahui, umat Islam kalah pada pusingan awal sehinggalah ampunan dan pertolongan dari Allah SWT tiba merubah kekalahan yang sebelumnya hampir pasti. Turunlah ayat 25, Surah at Taubah yang menegur dan mengingatkan umat Islam:


“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.”


Allah SWT menempelak sikap yang tergelincir jauh dari fitrah, iaitu gagal bersikap merendah hati dan pemurah serta mengasihani. Mengakhiri pesan ringkas sempena sambutan hari yang penuh keberkatan ini, saya nukilkan pesan dari Quran yang mulia, ayat 128, Surah al Nahl, buat menjadi pedoman untuk saya dan semua,


sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang berbuat kebajikan”


Moga Eid ul Fitr tahun ini mendorong kita untuk merenung diri dan menjana perubahan agar tidak tidak tergelincir dari fitrah yang murni serta luhur. Bersesuaian dengan pesananNya, perbanyakkan lah amal dan berbuat kebajikan.


Salam Eidulfitri

Minal ‘aidil wal faiziin.
Maaf zahir dan batin.


ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat


Rabu, September 08, 2010

‘Eidul Fitri Hari Kemenangan Ummah

Ramadan yang diberkati baru sahaja meninggalkan kita. Sebulan berlalu terasa begitu pantas.

Sebaik sahaja bermula 10 terakhir Ramadan, junjungan kita Nabi Muhammad SAW dan para sahabat, tabi’in dan salihin mulai merasa hiba, sedih dan pilu. Bulan yang kita lalu penuh nikmat ini akan pergi. Bulan yang sarat dengan keredhaan, rahmat dan pengampunanNya ini akan berlalu. Tidak ada jaminan kita akan menemuinya lagi pada tahun mendatang.

Ramadan ini hakikatnya bulan luar biasa. Dibulan yang rahmat ini, begitu mudah kita menahan lapar dan dahaga selama sebulan. Juga, kita begitu selesa melaksanakan solat tarawih dan amal ibadat di malam hari yang lain. Malah, dibulan mulia ini juga kita berupaya mengawal segala anggota lahir dan batin kita supaya bersungguh-sungguh melakukan apa yang diredhai Allah. Terbukti, bahawa kita mampu mengawal tuntutan nafsu dan syahwat kita jika kita mahu. Namun, bukanlah mudah untuk kita mengulangi amalan seperti ini di bulan-bulan yang lain. Inilah kemulian dan istimewanya Ramadhan.

Kini, 1 Syawal kembali menjelma. Sesungguhnya ‘Eidul Fitri mempunyai erti yang cukup ma’nawi bagi setiap perorangan Muslim. Ia adalah tanda kemenangan (falah). Kemenangan yang hakiki di sisi Allah SWT hanyalah bagi mereka yang telah berjaya melaluinya melaluinya dengan penuh keimanan, ketaqwaan dan ketekunan. Maka itu, berasa bahagialah bagi mereka yang memenanginya. Dan merugilah bagi mereka yang telah ditewaskan.

Sambutan ‘Eidul Fitri ini akan menjadi cukup berarti andainya kita berupaya mengekalkan kualiti diri seperti mana yang diamalkan di Ramadan yang lalu. Kita perlu bertekad secara serius untuk mengangkat martabat diri sebagai khaira ummah. Ia hanya akan dicapai dengan memiliki shakhsiyyah zahiriyyah dan ma’nawiyyah iaitu penghayatan nilai kerohanian yang tinggi, memiliki akhlak mulia serta kekuatan ilmu yang mencerahkan akal dan mata hati batin (basirat ul-qalb).

Justeru, selain kegembiraan dengan kehadiran syawal, ‘Eidul Fitri juga bererti ruang untuk kita mengekalkan amalan mengawal nafsu ammarah diri yang rakus dan menundukkannya kea rah ketaqwaan kepada Allah. Malah, kita wajib berikhtiar membanteras segala bentuk kemunkaran – kezaliman, salah guna kuasa, kebiadaban, pembohongan, penghinaan, pemfitnahan dan lain-lain amalan keji (mazmumah) yang terkutuk disisi Tuhan yang Maha Esa. Jangan hendaknya kesucian ‘Eidul Fitri ini dinodai dengan dosa-dosa baru setelah kita dijanjikan oleh Allah SWT kembali kepada fitrah suci diangkat darjat kepada kelompok insane yang bertaqwa disepanjang Ramadan yang lalu.

Selanjutnya, ‘Eiidul Fitri ini adalah saat yang terbaik untuk meningkatkan kualiti silaturrahim sesama keluarga, jiran dan sahabat handai serta memberikan keprihatinan kepada golongan lemah dan kurang bernasib baik tanpa mengira agama dan kaum, sesuai dengan sifat Islam itu sebagai agama rahmat ke seluruh alam.

Dengan warkah ini, Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA) KeAdilan mengucapkan Selamat Menyambut ‘Eidul Fitri kepada seluruh kaum Muslimin. Semoga sambutan kali ini mendapat barakah dari Allah SWT. Maaf Zahir dan Batin.

Dr. Muhammad Nur Manuty
Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA)


Selasa, Ogos 31, 2010

KENYATAAN MEDIA: Isu Bukan Islam Masuk Masjid

Kenyataan Media dari Pengerusi Biro Pemahaman & Pemantapan Agama Parti KeADILan Rakyat

Bagaikan menahan lukah di pergentingan, Umno dan para kuncunya tidak habis-habis menerkam apa jua kesempatan dan isu sebagai modal mempertahan survival politik perkauman mereka.

Seperti biasanya, bagaikan jerat sudah mengena, Umno dan para pendokongnya mengambil kesempatan ke atas tindakan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat bukan Islam yang telah memasuki masjid dan surau baru-baru ini.

Peristiwa Dr. Xavier Jayakumar berucap di dewan utama sebuah masjid di Taman Sri Andalas, Klang pada Ogos 2009 yang lalu, telahpun hampir dilupakan. Kini tindakan Teo Nie Ching (Ahli Parlimen DAP Serdang) masuk ke Surau Al-Huda, Kajang dan William Leong (Bendahari PKR, Ahli Parlimen PKR Selayang) masuk ke dalam Masjid At-Taqwa, Selayang Baru pula dijadikan isu besar.

Untuk menjelaskan pendirian kami mengenai isu ini, kami ingin membawa perhatian semua pihak kedudukan perkara ini dari perspektif fiqh (hukum hakam Islam). Sekurang-kurangnya ada empat pandangan mengenai masalah ini.

Empat pandangan mazhab

Pertamanya: Mazhab Hanafi yang membenarkan bukan Islam memasuki semua masjid. Keduanya: Mazhab Syafie yang membenarkan masuk kesemua masjid melainkan Masjidil Haram dan kawasan tanah haram Makkah.

Ketiganya: Mazhab Hanbali yang membenarkan untuk memasuki Masjidil haram dan lainnya setelah mendapat kebenaran dari umat Islam atas tujuan-tujuan yang munasabah. Akhirnya, Mazhab Maliki yang tidak membenarkan memasuki semua masjid melainkan kerana darurat kerja.

Beberapa peristiwa di zaman Rasulullah SAW juga boleh dijadikan panduan. Baginda pernah membenarkan ramai orang-orang bukan Islam masuk dan tinggal lama di masjid. Rasulullah juga diriwayatkan pernah menerima tetamu Kristian dari Najran di dalam masjid Madinah, malah diizinkan oleh Nabi s.a.w untuk menunaikan sembahyang mereka di dalam masjid dan Nabi menyebut kepada sahabat: "Biarkan mereka (untuk melunaskan sembahyang mereka)."

Kepelbagaian pandangan ini menggambarkan keluasan hukum Islam dalam persoalan yang digembar-gemburkan sebagai isu besar ini. Hakikatnya, majoriti ulama silam dan kontemporari jelas mengharuskan bukan Islam memasuki masjid-masjid biasa dengan syarat-syarat tertentu seperti keperluan mendapat keizinan umat Islam atau badan berkuasa Islam, mempunyai sebab yang munasabah dan menjaga adab-adab yang telah ditetapkan.

Oleh yang demikian, kami berpendirian bahawa adalah tidak wajar bagi siapa jua untuk menyempitkan sesuatu yang tidak jelas dari sudut nas-nasnya dan dalil-dalilnya. Apatah lagi jika kita sememangnya berpegang dengan mazhab al-Syafie sebagai mazhab rasmi umat Islam di Negara ini.

Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan

Lebih jauh lagi, sikap menghalang bukan Islam memasuki masjid ini adalah bertentangan dengan semangat yang diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat-syarat yang telah ditentukan.

Amalan menerima bukan Islam memasuki masjid atas tujuan yang murni juga telah diamalkan di beberapa negara lain. Ia terbukti memberi nilai positif kepada keberkesanan pemahaman mereka kepada agama Islam, mengelakkan salah faham dan menjana interaksi yang harmoni dalam perhubungan di antara umat Islam dan bukan Islam.

Sewajarnya, para wakil rakyat Pakataan Rakyat demikian perlulah diberikan pujian kerana kesungguhannya dalam menjalankan tugasnya dengan baik kepada masyarakat majmuk di negara ini.

Apatah lagi ia memang telahpun mendapat kebenaran pihak pengurusan masjid dan dilakukan pula atas tanggungjawab mereka sebagai wakil Kerajaan Negeri Selangor.

Kekecohan yang digembar-gemburkan hakikatnya akan memakan tuan. Inilah gambaran kegagalan Umno selama ini dalam mendidik rakyat mengenai hakikat Islam. Sikap seperti ini akan menyuburkan pendirian fanatik melulu di kalangan orang Islam yang kurang berilmu.

Lebih menghinakan apabila berita mengenainya ditokok tambah dengan pelbagai fitnah baru demi mencapai matlamat politik sempit yang diperjuangkan. Kita sentiasa mengingatkan bahawa umat Islam tidak boleh merelakan diri mereka terus dibelenggu dalam kerangka pemikiran sempit politik perkauman dan agama ala Umno ini.

Ini akan menjadikan kita semakin lesu dan masyarakat bukan Islam pula semakin menjauh dari kita. Yakinlah bahawa, kerja mereka ini akan menjadi sia-sia seperti mencari umbut di dalam batu.

Hakikatnya, tanpa mereka jangka, krisis yang mereka wujudkan ini akan menjadikan orang Melayu dan masyarakat Islam lebih memahami agamanya secara total dan lebih berkeyakinan bahawa Islam dan masyarakat Melayu akan lebih terjamin di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat pada masa depan.

Inilah keyakinan kita kerana Islam itu tinggi dan merupakan agama yang membawa rahmat untuk seluruh alam.


Dr Muhd Nur Manuty
Pengerusi
Biro Pemahaman & Pemantapan Agama
Parti KEADILAN Rakyat


Ahad, Ogos 22, 2010

Kenyataan Media Pakatan Rakyat Pulau Pinang

Mesyuarat tergempar PR dipanggil hari ini berikutan permainan isu “Guan Eng gantikan Agong” yang digembar-gemburkan oleh UMNO dan media massa. Permainan politik oleh UMNO ini adalah begitu karut kerana hanya orang tak siuman dan berniat jahat baru berani menggantikan nama DYMM YDP Agong dengan nama lain.


Dalam mesyuarat tersebut Ahli EXCO Negeri Pulau Pinang portfolio agama Islam YB Abdul Malik Kassim telah menjelaskan teks khutbah yang disediakan oleh MAINPP dan JAIPP.


10 usul telah diluluskan dalam mesyuarat tergempar PR Pulau Pinang yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Pakatan Rakyat Lim Guan Eng:-

1. Melafazkan ikrar taat setia kepada DYMM Yang di Pertuan Agung sebagai pemimpin terunggul negara atau Kepala Utama bagi Persekutuan menurut Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan dan juga sebagai Ketua agama Islam bagi Negeri Pulau Pinang menurut Perkara 5(2) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.


2. Melafazkan ikrar taat setia kepada Yang di Pertua Negeri Pulau Pinang mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.


3. Menegakkan Islam sebagai agama rasmi negeri; tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan harmoni menurut Perkara 5(1) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.


4. Mengulangi sokongan ke atas dasar kerajaan negeri Pulau Pinang yang diumumkan oleh Ketua Menteri mengharamkan judi bola yang pada awalnya diluluskan oleh UMNO.


5. Menyokong pemberian kewangan khas Hari Raya Aidilfitri yang diumumkan oleh YAB Ketua Menteri Pulau Pinang sebanyak RM 400 kepada semua ahli pentadbiran kerajaan negeri, MPPP, MPSP dan agensi kerajaan negeri yang dibuat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia.


6. Mengutuk amalan politik kotor dan jahat UMNO dan media massa yang dikuasai ini yang memainkan isu “Guan Eng gantikan Agong” dalam doa khutbah kedua solat Jumaat yang merupakan satu fitnah jahat yang dilakukan terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang dalam bulan Ramadan yang mulia ini.


7. Menafikan dengan keras dakwaan UMNO kerana teks khutbah Jumaat yang disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) tidak pernah menggunakan nama Ketua Menteri bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong serta Kerajaan negeri, JHEAIPP atau YAB Ketua Menteri sendiri juga tidak pernah menerima atau mengeluarkan arahan secara lisan mahupun bertulis kepada mana-mana pihak untuk menggunakan nama Ketua Menteri.


8. Mendesak UMNO mengambil tindakan terhadap mana-mana khatib/imam mesjid yang dapat dibuktikan telah terpesong atau lari daripada teks khutbah yang disediakan dengan menggantikan nama DYMM YDP Agung dengan nama YAB Ketua Menteri Pulau Pinang.


9. Mendesak BN dan UMNO hentikan permainan politik kebencian di kalangan orang ramai yang menimbulkan ketegangan kaum dengan cuba mengaitkan imam/khatib yang tidak mengikut teks khutbah yang disediakan, kalau ada, dengan fitnah penggunaan nama YAB Lim Guan Eng diarahkan oleh kerajaan negeri.


10. Menyeru rakyat and penyokong PR bersikap tenang dan tidak masuk perangkap UMNO untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada program baik kerajaan negeri meluluskan program pemberian kewangan khas Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM 400 kepada semua ahli pentadbiran dan agensi kerajaan negeri, pemberian tahunan RM 100 wang penghargaan warga emas, menambahkan peruntukan hal ehwal Islam sebanyak 100% kepada RM 24.3 juta pada 2010 berbanding dengan RM12.5 juta pada 2008 dengan sumbangan Ihya Ramadan dan bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), serta mengharamkan perjudian bola selaras dengan prinsip amar maaruf nahi mungkar.


YB Dato Mansor Othman

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang

Pengerusi PKR Pulau Pinang


YB Chow Kon Yeow

Pengerusi DAP Pulau Pinang


Ustaz Rosidi Hussain

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang



Ahad, Julai 25, 2010

Nik Ali Sanggup Bercakap Bohong!

Pegawai Kemajuan Negeri Pulau Pinang Nik Ali Mat Yunus bercakap bohong dengan mendakwa bahawa Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang mengeluarkan kata-kata kesat terhadapnya ketika majlis pelancaran projek Keretapi Bukit Bendera dengan menuduh tidak disediakan tempat duduk untuknya.

Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Negeri Pulau Pinang mengecam seorang pegawai kanan bagi Kerajaan Persekutuan sanggup menabur fitnah dengan membuat sangkaan buruk terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang dan mencabar Nik Ali supaya menunjukkan bukti-bukti bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang sendiri pernah bercakap demikian.

Sehingga kini, Ketua Menteri Pulau Pinang tidak pernah membuat sebarang komen terhadap perkara tersebut yang telah dibangkitkan oleh Nik Ali. Tidak pernah terlantas dalam fikiran Ketua Menteri untuk mengeluarkan kata-kata kesat walaupun diberi layanan yang kurang sewajarnya oleh Pejabat Pembangunan Negeri.

Jelasnya, Nik Ali merupakan seorang Little Napoleon yang kurang ajar yang sanggup berperang dengan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat dan tindakannya telah direstui oleh Ketua Setiausaha Negara dan pemimpin-pemimpin UMNO, temasuk Timbalan Perdana Menteri yang mendakwa bahawa Nik Ali tidak membuat sesuatu yang salah.

Adakah ini bermaksud bahawa Nik Ali, termasuk kakitangan-kakitangan awam yang lain turut boleh mengkritik atau berperang dengan Menteri-Menteri UMNO atau Barisan Nasional, termasuk Ketua Menteri atau Menteri Besar bagi negeri-negeri yang diterajui oleh Barisan Nasional?

Kakitangan awam perlu bersikap profesional dan berkecuali walaupun perlunya berkhidmat di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat. Tindakan-tindakan tegas termasuk penggantungan jawatan perlu dilakukan terhadap Nik Ali yang sanggup bersekongkol dengan pemimpin-pemimpin UMNO untuk menjatuhkan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.

Tidak dapat dinafikan bahawa Nik Ali telah membelakangkan sikap profesional dan berkecuali yang terpakai ke atas kakitangan-kakitangan awam. Barisan Nasional pastinya akan menerima padahnya ekoran kakitangan-kakitangan awam yang lain turut memberontak jikalau tiada tindakan tegas diambil terhadap Nik Ali dengan serta-merta.

DAPSY akan terus memberi sokongan yang padu terhadap Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh Ketua Menteri supaya tidak perlu akur terhadap seorang kakitangan awam yang bersikap biadap, tidak berkompeten langsung serta sanggup bercakap bohong untuk menjaga kepentingan UMNO/Barisan Nasional dan seterusnya membelakangkan slogan kosong 1Malaysia - “ Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan,”!

NG WEI AIK
 
- Kenyataan Media oleh Y.B. Ng Wei Aik, Setiausaha Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Negeri Pulau Pinang pada 23 Julai 2010 (Jumaat) di Georgetown, Pulau Pinang. 

Isnin, Julai 19, 2010

Kenaikan Harga : Tidak Prihatin dan Tidak Bertanggungjawab

Walaupun Dewan Rakyat telah bersidang sejak 7 Jun 2010, pengumuman kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula langsung tidak dibincangkan di Dewan yang mulia itu. Pengumuman ini membuktikan Perdana Menteri dan kabinetnya tidak menghormati kedudukan Dewan Rakyat sebagai sidang tertinggi yang mewakili rakyat Malaysia. Dato’ Sri Najib sedar ahli parlimen baik dari Pakatan Rakyat mahupun dari Barisan Nasional tidak akan menyokong beliau kerana tindakan menaikkan harga tanpa menyediakan bantuan lain kepada rakyat adalah kebijakan yang tidak prihatin terhadap rakyat keseluruhannya.

Hakikatnya, kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula ini adalah tidak bertanggungjawab kerana tidak ada tindakan proaktif untuk menyediakan mekanisme bantuan kepada golongan yang paling terkesan dengan kenaikan ini, sebelum pengumuman dibuat. Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan rancangan pemotongan subsidi ini sejak tahun 2008 lagi atas alasan untuk menstrukturkan semula pemberian subsidi agar ia lebih memihak kepada golongan yang memerlukan. Sehingga kini, rakyat masih tertunggu-tunggu mekanisme bantuan tersebut. Pada masa yang sama, kenaikan demi kenaikan diumumkan.

Kenaikan harga gula sebanyak 28% sejak awal tahun ini (kenaikan 20 sen pada 1 Januari 2010, diikuti kenaikan 20 sen berikutnya pada 16 Julai 2010) sudah tentu akan mempunyai kesan kepada harga makanan. Kesan berganda daripada kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula ini akan memberi tekanan kepada golongan berpendapatan rendah di bawah RM2,000 sebulan, yang mana 75% adalah Bumiputra yang kononnya dibela oleh Barisan Nasional.

Sasaran penjimatan sebanyak RM750 juta yang diumumkan Pejabat Perdana Menteri adalah sedikit berbanding dengan keborosan dan pembaziran yang berlaku akibat kelalaian Barisan Nasional. Semalam, Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa perbelanjaan Jabatan Perdana Menteri telah mencecah RM3.8 billion pada tahun 2009 dan dijangka mengatasi peruntukan RM3.9 billion bagi tahun 2010. Ini termasuklah perbelanjaan Sekretariat Mantan Perdana Menteri dan Sekretariat Permata yang dinaungi oleh isteri Perdana Menteri.

Malah, penjimatan RM750 juta itu tidak setanding dengan kerugian yang ditanggung rakyat apabila konglomerat milik rakyat iaitu Sime Darby mengalami kerugian sebanyak RM946 juta dan menerima pula pampasan dari kerajaan berjumlah RM700 juta.

Membebankan rakyat atas alasan mengurangkan defisit dan menggunakan penjimatan untuk menampung keborosan kerajaan seperti ini perlu dihentikan segera. Di mana letaknya maruah seorang Perdana Menteri yang mengambil wang rakyat atas nama penstrukturan subsidi dan digunakan untuk membayar perunding asing seperti APCO sehingga mencecah RM77 juta setahun semata-mata untuk menaikkan imej beliau, sedangkan bayaran kepada APCO itu hampir sama jumlahnya dengan anggaran penjimatan subsidi gula sebanyak RM126 juta (seperti diumumkan PEMANDU).

Pun begitu, saya tidak menolak bulat-bulat kaedah penstrukturan semula subsidi untuk memastikan lebih banyak bantuan sampai terus kepada golongan 75% di bawah pendapatan isi rumah RM2,000 sebulan. Penjimatan dari pengurangan subsidi sepatutnya disalurkan terus kepada golongan ini melalui mekanisme-mekanisme yang perlu diumumkan serentak dengan kenaikan harga.

Saya menuntut supaya Perdana Menteri mengumumkan secepat mungkin bagaimanakah penjimatan RM750 juta ini akan dibelanjakan untuk rakyat. Nasihat saya supaya penjimatan ini disalurkan dalam bentuk kenaikan peruntukan untuk institusi pengajian tinggi, pelaburan baru dalam bidang pendidikan dan bantuan kebajikan terus kepada golongan berpendapatan di bawah RM2,000 agar penjimatan itu sampai terus kepada rakyat.

Sebelum ini pun, kerajaan telah menggunakan alasan mengurangkan defisit apabila menaikkan harga minyak dan keperluan asas. Tindakan ini sedikit pun tidak membantu menyelesaikan masalah defisit negara, malah ia makin meningkat. Bagi tahun 2008, di kemuncak kenaikan harga minyak, defisit negara melonjak kepada 4.8% berbanding 3.2% bagi tahun sebelum itu. Keadaan ini berlaku kerana kerajaan tidak berdisiplin dan tidak ada iltizam politik untuk menyalurkan penjimatan dari pemotongan subsidi ke sektor-sektor yang benar-benar memerlukan, sedangkan pembaziran dan kerugian terus berlaku.

Sebab itu, saya telah menegaskan berkali-kali bahawa ubat yang paling mujarab untuk memulihkan ekonomi negara adalah reformasi ekonomi yang menyeluruh, bukannya tertumpu kepada golongan lemah semata-mata.

Perdana Menteri tidak boleh meminta rakyat mengubah cara hidup, sedangkan kroni-kroni, ahli politik, golongan elit dan berkepentingan terus menikmati subsidi korporat seperti subsidi gas kepada penjana bebas yang menelan belanja RM18.9 billion setiap tahun, 25 kali ganda lebih besar dari penjimatan akibat potongan subsidi yang diumumkan semalam.

Oleh itu, saya menggariskan empat langkah segera yang perlu diambil oleh Perdana Menteri untuk meyakinkan rakyat bahawa pengorbanan mereka menanggung harga yang lebih tinggi untuk mengekang defisit adalah berbaloi:

1. Mengumumkan penambahbaikan drastik kepada kaedah dan sistem perolehan yang diamalkan kerajaan agar lebih telus dan mendapatkan nilai terbaik untuk rakyat;

2. Menstrukturkan semula pemberian subsidi gas kepada IPP agar penjimatan ini dapat disalurkan kepada rakyat;

3. Mengawalselia prestasi syarikat berkaitan kerajaan dan agensi yang dipertanggungjawabkan menjaga dana awam bagi mengelakkan kerugian berbillion ringgit yang ditanggung rakyat; dan yang terpenting

4. Membuktikan keikhlasan dalam perang menentang rasuah dengan menghentikan campur tangan politik di dalam SPRM dan Jabatan Peguam Negara.

Rakyat akan ternanti-nanti tindakan susulan Perdana Menteri jika benar Barisan Nasional ikhlas dalam menangani kekusutan ekonomi negara. Jika tidak, pengumuman kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula semalam hanyalah sambungan kepada rentetan penindasan rakyat berpendapatan rendah demi golongan elit dan kroni.

DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM

Ketua Pembangkang Malaysia




Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...