Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah pimpinan Pakatan Rakyat (PR)
telah membuktikan bahawa masyarakat Melayu tidak dipinggirkan
sebagaimana dakwaan pembangkang.
Exco Kerajaan Negeri, Abdul Malek Abul Kassim berkata demikian
sebagai mengulas dakwaan pemimpin Umno dan BN yang senantiasa
mengkritik setiap usaha kerajaan negeri membantu masyarakat Melayu di
sini.
Beliau berkata, sehingga ini konflik yang timbul adalah bikinan Umno
dan BN yang tidak dapat menerima hakikat mereka adalah pembangkang yang
sah.
Katanya, sejak tiga tahun pemerintahan kerajaan negeri, masalah
tanah perkuburan di Jelutong yang telah sekian lama tidak dapat
diselesaikan semasa BN menerajui negeri ini, telah berjaya diatasi
apabila kerajaan negeri membeli sebahagian dari tanah tersebut untuk
diperuntukkan sebagai tanah perkuburan di Jelutong.
"Manakala para huffaz mendapat pengiktirafan setiap tahun dari
kerajaan negeri. Ini tidak pernah dilakukan sebelum 2008 yang lalu.
Peruntukan untuk hal ehwal agama Islam turut ditambah sejak 2008 dari
RM12.5 juta sehinggalah kepada RM63.21 juta dalam tahun 2011.
"Kampus dari dua buah universiti terkenal di Timur Tengah akan
diwujudkan di Pulau Pinang tidak lama lagi bagi memberi kemudahan
kepada pelajar yang ingin mendalami ilmu mereka dalam bidang agama
Islam dan juga penyelidikan," katanya lagi.
Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Maung,
turut menyeru pemimpin Umno dan BN supaya menjadi pembangkang yang baik
dan bermoral di negeri ini.
Menyentuh mengenai premis perniagaan milik peniaga Melayu yang
dirobohkan, beliau berkata, masalah itu bukan perkara baru kerana ia
turut berlaku semasa era pemerintahan Umno dan BN sebelum ini.