SIBU: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata parti
itu tidak akan memberi kemenangan mudah kepada Barisan Nasional (BN)
pada pilihan raya Sarawak yang akan berlangsung 16 April ini.
Menurut Anwar, KEADILAN meletakan calon terbaik untuk menggalas
harapan rakyat bagi memastikan parti itu, bersama Pas dan Dap berjaya
menawan Sarawak, sekaligus membawa perubahan besar melalui dasar pro
rakyat di Bumi Kenyalang.
“Kita akan lakukan yang terbaik dan soal pemilihan calon, ia dibuat
berlandaskan prinsip parti,” katanya dalam satu ceramah di Sibu malam
tadi.
Dalam ceramah itu, Anwar turut mengulas mengenai kelewatan BN
mengumumkan calonnya untuk bertanding di DUN Ba’kelalan kerana
ketiadaan calon sesuai untuk berdepan Pengerusi Majlis Pimpinan
KEADILAN Sarawak, Baru Bian yang disahkan bertanding di kawasan itu.
Difahamkan, isu tanah merupakan tumpuan utama pengundi di kawasan itu.
Semalam, KEADILAN mengumumkan 48 calon untuk bertanding di
sebahagian kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak, menampilkan sebanyak
40 peratus muka baru termasuk golongan muda.
Kesemuanya calon tersebut merupakan golongan profesional dan
memiliki pelbagai latar belakang seperti doktor, peguam, ahli
perniagaan, pensyarah dan tokoh masyarakat.
Pada pilihan raya kali ini, KEADILAN turut menawarkan seorang ahli
perniagaan wanita, Suriati Abdullah untuk berdepan Ketua Menteri paling
lama ‘beraja’ di Malaysia, Tan Sri Taib Mahmud.
Beliau dijangka mendapat sokongan padu pengundi Dun berkenaan yang
majoritinya adalah wanita yang sudah muak dengan kerakusan kuasa Taib
memunggah harta kekayaan Sarawak.