SHAH ALAM: Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dato Md Hashim Yahya
menyatakan rakaman video seks, tidak boleh dijadikan bukti atau saksi
dalam dakwaan zina, apalagi sekiranya video tersebut tidak diketahui
kesahihannya.
“Tak boleh diterima. Dalam Islam, video atau gambar tidak boleh
dijadikan bukti jika semata-mata berpegang kepada bukti itu kerana
benda-benda seperti ini boleh diselewengkan lebih-lebih lagi dalam
zaman ketinggian sains dan teknologi sekarang ini,” tegas beliau kepada
Keadilandaily ketika ditemui kediamannya di sini semalam.
“Zaman saya lima puluh tahun dulu pun kita boleh melihat gambar
orang yang berdiri di atas pokok bunga. Macam mana berdiri atas pokok
bunga? Itu teknologi 50 atau 60 tahun dulu.
“Sebab itu ia tak boleh dijadikan asas dalam syariat Islam kerana
benda- benda ini boleh diubah suai. Sekarang kalau kita menonton aksi
dalam filem, dengan aksi kita melihat seolah-olah ia benar terjadi
tetapi hakikatnya (aksi itu) hanya berlaku dalam studio saja.
Kadang-kadang dalam komputer sahaja,” ujar beliau.
Menurutnya dalam syariat islam, bagi sesuatu pertuduhan zina,
seseorang yang menuduh seseorang individu lain melakukan perbuatan
tersebut harus tampil mengemukakan empat saksi.
Sekiranya individu terbabit tidak berupaya membawa saksi berkenaan,
maka dia perlu dikenakan hukuman qazaf atau 80 kali sebatan rotan.
“Sebenarnya banyak ayat Al quran yang menyentuh tentang soal Allah
melarang kita mengaibkan dan menjatuhkan atau menuduh seseorang
melakukan kerja tidak bermoral seperti liwat, zina dan sebagainya.
“Yang paling jelas apa yang berlaku kepada Saidatina Aisyah di mana
Allah menceritakan bahawa ada tuduhan liar (qazaf) menuduh Saidatina
Aisyah melakukan perkara tidak senonoh, tetapi akhirnya Allah
menurunkan ayat Al Quran dan membebaskan Siti Aisyah daripada tuduhan
itu,” ujar beliau.
Beliau turut menceritakan tentang kisah Hilal bin Umaiyah, yang
menuduh isterinya berzina dengan Sharik bin Sahma, dan kemudian datang
mengadu kepada Rasulullah.
“Rasullah kata kepadanya, “kamu perlu membawa saksi atau kalau tidak aku rotan kamu”.
“Lalu dia (Sharik) berkata kepada Rasullullah, kalau seseorang suami
melihat seorang lelaki melakukan zina dengan isterinya, dengan mata
kepalanya sendiri, apakah memerlukan kepada bukti dan saksi lagi?
“Lalu Rasullullah mengulangi kata-kata yang sama iaitu kamu perlu membawa saksi atau kalau tidak aku rotan
kamu, ” ujar ulama terkenal tersebut yang kini merupakan pensyarah syariah di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).
kamu, ” ujar ulama terkenal tersebut yang kini merupakan pensyarah syariah di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).
Menurutnya, banyak lagi ayat Al Quran yang menerangkan tentang isu
itu seperti surah An Nur ayat 4 yang menerangkan tentang qazaf kepada
mereka yang melemparkan tuduhan zina kepada wanita yang baik, tetapi
tidak dapat membawa empat saksi seperti yang digariskan dalam Islam.
“Dalam kes lain pun mereka tidak boleh menjadi saksi lagi sebab mereka sudah hilang kredibiliti (fasik),” ujar beliau.
Katanya lag, begitu juga dalam surah An nur ayat 23, bermaksud
sesunguhnya mereka yang menuduh wanita-wanita yang baik, yang solehah
dan beriman dengan tuduhan zina, mereka akan dilaknat oleh Allah dunia
dan akhirat dan mereka akan mendapat azab yang sangat dasyat.
“Dalam surah Al Hujurat ayat 12, jelas Allah melarang kita jangan
banyak bersangka buruk kerana sebahagian buruk sangka itu adalah
berdosa. Kemudian Allah menyebut, Jangan kamu mencari-cari keaiban
orang, ini di antara ayat yang diterangkan kepada kita,” ujar beliau.
Sebelum ini, tiga mufti tampil menyeru umat Islam supaya tidak
percaya atau terpengaruh berita yang disebar golongan yang dianggap
‘fasik’.
Mereka adalah Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya, Mufti Selangor, Datuk
Tamyes Abd Wahid dan Mufti Kelantan, Datuk Mohammad Shukri Mohammad
yang meminta umat Islam mengesahkan dulu sebarang maklumat yang
diterima mereka.
Temubual penuh bersama Dato Hashim Yahya boleh dibaca di akhbar
rasmi KEADILAN, Suara Keadilan yang dijangka akan berada di pasaran
esok.