Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menegaskan bahawa
Kuala Lumpur adalah milik semua rakyat Malaysia dan kerajaan tidak
berhak untuk melarang mereka memasuki bandaraya itu.
Dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam laman Facebook rasmi NGO
itu, Bersih mengingat rakyat tidak kira samada kerajaan melarang atau
tidak, himpunan aman tetap akan diadakan di Stadium Merdeka esok.
NGO itu juga secara sinis menegaskan Kuala Lumpur bukan milik Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah
Mansor.
“Pihak berkuasa terlupa bahawa Kuala Lumpur ialah ibu kota kami.
Malaysia yang tercinta ini milik semua rakyat dan bukan milik Najib dan
Rosmah,” kenyataan Bersih yang dipetik.
Semalam, pihak polis mengeluarkan perintah larangan mengharamkan 91
individu termasuk pemimpin bersih, masyarakat sicil dan pemimpin politik
memasuki Kuala Lumpur pada himpunan aman Sabtu ini.
Daripada 91 individu yang dilarang, seramai 66 orang adalah dari
kumpulan Bersih 2.0 termasuk pengerusinya Datuk Ambiga Sreenevasan dan
beberapa ahli jawatankuasa pemandunya.
Manakala ahli politik Pakatan Rakyat terdiri Mursyidul Am PAS, Datuk
Nik Aziz Nik Mat, Presidennya Datuk Seri Hadi Awang, timbalannya Mohamad
Sabu.
Turut dilarang adalah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.
“Ini melambangkan penafian kebebasan untuk bergerak. Mereka yang
berkuasa lupa bahawa ibu negara kita, seperti tempat-tempat lain di
negara yang kita cintai dimiliki oleh rakyat dan bukannya oleh kerajaan.
“Tidak ada sebab bagi mengharamkan sesiapa sekalipun daripada
memasuki ibu negara. Kami telah nyatakan berulang-kali bahawa Bersih 2.0
cuma ingin melaksanakan hak perlembagaan untuk berhimpun secara aman
bagi menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.”
“Tidak kira berapa teruk kita ditindas atau didakwa, suara rakyat
yang aman akan didengar di Kuala Lumpur 9 Julai ini,” jelas kenyataan
tersebut.
Menurut Bersih, pihaknya memberi jaminan akan mematuhi semua
prinsip-prinsip kesopanan dan tingkah laku awam dan Najib tidak perlu
menunjukkan kuasanya sebagai diktator.
“Bersih 2.0 akan memastikan perhimpunan aman di Stadium Merdeka dan
situasi menang-menang untuk semua,” jelas kenyataan tersebut.