Dengan keputusan itu, portfolio tersebut akan memberi tumpuan ke atas hal ehwal agama Buddha, Kristian, Sikh, Taoisme dan Hindu.
Ia akan dipengerusikan oleh ketua menteri sendiri.
“Ini kali pertama satu portfolio majlis eksekutif negeri diadakan,” kata Lim dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Lim berkata keperluan untuk mengadakan portfolio itu yang dibawa oleh
Timbalan Ketua Menteri II Profesor Dr P. Ramasamy diluluskan minggu
lalu.
Katanya, Ramasamy akan bertindak sebagai timbalan pengerusi portfolio itu.
Menurut Lim, keputusan mewujudkan portfolio menandakan sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia.
Kerajaan Pusat mengadakan sambutan itu di Putrajaya kelmarin, julung
kali diadakan, pada minggu pertama Februari itu hasil gesaan Putera
Ghazi dari Jordan semasa berucap di PBB tahun lalu, bertujuan
menjalinkan perhubungan dan kemesraan antara pemimpin negara dengan
pemimpin-pemimpin agama.
“Berbanding Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian
Antara Penganut Agama kerajaan persekutuan, ini bukan jawatankuasa
tetapi satu portfolio exco penuh dan mencerminkan keprihatinan tulen
kerajaan negeri berhubung hal ehwal semua agama,” katanya lagi.
Isnin lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata penubuhan
jawatankuasa itu, yang disyorkan tahun lalu, adalah sebagai satu
mekanisme yang membawa pemimpin semua agama di bawah satu payung untuk
berbincang dan mengutarakan cadangan bagi tujuan menambah baik hubungan
di antara penganut pelbagai agama di negara ini.
Malah kata beliau, memandangkan George Town juga telah diisytiharkan
sebagai Bandar Raya Warisan Dunia oleh Unesco, langkah mengadakan
portfolio ini adalah tepat pada masanya dalam mempromosikan kepelbagaian
dan interaksi kemanusian yang positif mengenai budaya, egama dan aspek
sosial.
Katanya, walaupun wujud perbezaan, rakyat negara ini bersatu kerana
adanya aspirasi bersama untuk amalan-amalan yang baik dan nilai moral
universal bagi keamanan, keadilan, kesederhanaan dan keharmonian.
Sehubungan itu kata beliau, kerajaan negeri Pulau Pinang bersedia
untuk bekerjasama dengan Najib yang pada perhimpunan PBB ke-65 tahun
lalu melahirkan harapan bahawa beliau tidak mahu sebarang kumpulan
ekstemis atau militan mengancam perpaduan dan keselamatan di negara ini.
“Kerajan negeri mengambil berat berhubung kewujudan kumpulan-kumpulan
ekstremis yang menjadikan setiap acara (di Pulau Pinang) sebagai isu
perkauman demi kepentingan diri mereka.
“Pulau Pinang berhadapan dengan serangan kononnya anti-Melayu
meskipun ia hanya membabitkan peratusan kecil orang Melayu atau seorang
Melayu daripada 10 pihak yang terbabit,” katanya.
Lim berkata kerajaan Pulau Pinang juga meminta orang ramai menuju
masa depan dengan menerima setiap rakyat tidak kira mereka itu Melayu,
India, Cina, Kadazan atau Iban sebagai adik-beradik dan sebagai “anak
Malaysia.”
“Maka dengan itu, kita boleh hidup bersama, belajar bersama dan merasaikan nikmati kejayaan bersama,” katanya lagi.