Ketegangan di Mesir jelasnya tidak akan mengendur dalam beberapa
ketika ini. Protes menuntut Perubahan disertai puluhan jika tidak
ratusan ribu rakyat setiap hari di beberapa kota utama negara tersebut.
Keadaan semakin tidak menentu, keselamatan orang awam tidak lagi
terjamin. Lebih membimbangkan adanya laporan bahawa wujudnya kumpulan
samseng yang melakukan jenayah sewenang-wenangnya.
Saya difahamkan rakyat Malaysia yang kini tinggal di Mesir hampir
mencecah 11 ribu orang, 10,328 dari jumlah tersebut merupakan pelajar
yang mendaftar dengan kedutaan Malaysia di sana. Saya khuatir kedutaan
kita menghadapi kesukaran untuk mengawasi serta menjamin keselamatan
para pelajar dan rakyat Malaysia.
Beberapa hari ini regim Hosni Mubarak
telah mengambil tindakan untuk merencat penggunaan internet terutamanya
jaringan media sosial seumpama Facebook dan Twitter. Malah,
perkhidmatan telefon mudah alih juga sukar diperolehi. Adalah mustahil
buat kedutaan Malaysia mengawasi serta menjamin keselamatan seluruh
rakyat kita di sana kerana sistem telekomunikasi sudah lumpuh dan tidak
lagi berkesan.
Perkembangan ini sewajarnya menyedarkan Kerajaan Malaysia bahawa
mereka perlu segera merencana kepulangan rakyat kita dari Mesir. Adalah
tidak munasabah membiarkan rakyat kita terdedah kepada bahaya dan
tersepit di celah-celah keributan menuntut Perubahan. Saya menggesa
kerajaan segera membawa pulang rakyat kita di sana. Jangan tunggu
sehingga nasi menjadi bubur.
ANWAR IBRAHIM