BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya

Selasa, Februari 22, 2011

Siapa terima 1.5 bilion saham khas Bumiputra

Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution Ismail menyeru Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan sepenuhnya penerima 1.5 bilion saham khas Bumiputra yang diagihkan dalam tahun 2010.

Mustapa juga, katanya diminta mengumumkan rombakan mekanisme dan penambahbaikan kepada sistem agihan dan pemantauan saham khas Bumiputra untuk mengelakkan penyelewengan yang mengakibatkan kehilangan RM52 bilion saham Bumiputra tidak berulang.

Oleh itu, tegasnya mekanisme yang sama yang telah menyebabkan kerugian RM52 bilion saham Bumiputra ini perlu dirombak sama sekali.

“Saya akan membawa perkara ini dalam sidang Dewan Rakyat yang akan datang untuk memastikan ketelusan dan pertanggungjawaban pihak-pihak yang terbabit,” ujarnya pada sidang media di ibu pejabat KEADILAN di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, KEADILAN ingin menarik perhatian rakyat kepada pengumuman terbaru yang dibuat oleh Mustapa Mohamad mengenai pengagihan saham khas bumiputra melalui tawaran awam permulaan (IPO).

Mustapa menyatakan bahawa kerajaan Umno BN telah berjaya meningkatkan ekuiti Bumiputra dalam sektor swasta ke aras 22%; sebahagian besarnya melalui pengagihan saham khas bumiputra yang dilaksanakan oleh kementerian beliau.

Katanya, rakyat sudah tentu merasa janggal apabila kerajaan Umno BN mendabik dada apabila hanya berjaya meningkatkan ekuiti Bumiputra ke tahap 22% dalam tahun 2011, sedangkan ia gagal mencapai sasaran 30% yang ditetapkan untuk tahun 1990.

Tambahnya, selepas 21 tahun dan penyelewengan saham berjumlah puluhan bilion ringgit atas nama Melayu dan Bumiputra, kini Umno BN tidak lagi memikirkan persoalan maruahnya dan akan sanggup mendabik dada walau sekelumit mana pun peningkatan ekuiti Bumiputra.

Walau bagaimana pun, ujarnya kebimbangan sebenar KEADILAN adalah berhubung pengurusan agihan saham khas Bumiputra memandangkan skim agihan yang sama telah menyebabkan sejumlah RM52 bilion dari RM54 bilion saham yang diagihkan kepada Bumiputra lesap begitu sahaja, seperti yang diakui Perdana Menteri sendiri.

Menurutnya, dalam tahun 2010 sahaja, sebanyak 1.5 bilion saham dari 18 tawaran awam permulaan diagihkan kononnya kepada pelabur Bumiputra.

Tahun 2010 juga, ujarnya menyaksikan apungan saham yang terbesar akhir-akhir ini, termasuklah yang melibatkan Petronas Chemical Group Berhad pada harga tawaran RM5.05 setiap saham dan Malaysian Marine and Heavy Engineering Holding Berhad pada harga tawaran RM3.61 setiap saham.

Beliau menambah, jika sebahagian besar dari 1.5 bilion saham yang diagihkan kepada pelabur Bumiputra itu datangnya dari saham-saham syarikat Petronas, maka saham yang bernilai berbilion ringgit telah pun diagihkan kepada pelabur-pelabur yang berselindung di belakang nama Bumiputra.

“Mekanisme agihan inilah yang telah gagal sebelum ini hingga mewujudkan budaya politik naungan yang mencari jalan mudah mendapatkan saham dengan berselindung di sebalik alasan mencapai sasaran 30% ekuiti Bumiputra.

“Akhirnya, berpuluh-puluh bilion ringgit saham yang diagihkan kepada individu-individu berkepentingan dijual dengan segera untuk mendapatkan kekayaan mudah, lalu mewujudkan golongan elit kaya Melayu yang sebenarnya menjadi kaya dengan menindas orang Melayu terbanyak,” ujarnya.

Beliau percaya bahawa teras pengupayaan ekonomi Bumiputra perlu beralih dari kegilaan mencapai sasaran 30% ekuiti kepada fokus untuk meningkatkan pendapatan isi rumah keluarga Bumiputra.

Mereka, ujarnya membentuk 75% daripada anggaran 11 juta rakyat termiskin di negara ini yang hanya mendapat pendapatan bulanan purata sebanyak RM1,500 sebulan sahaja.

“Kegilaan dengan 30% sasaran ekuiti seperti yang dimainkan Umno BN tidak akan berjaya menangani kemelut ekonomi rakyat terbanyak Bumiputra dan akan terus disalahgunakan oleh golongan elit pemerintah dan niagawan,” katanya.



Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...

ARKIB