KEADILAN sedia bekerjasama dengan Pergerakan Masyarakat Sivil
Malaysia (MCLM) sekiranya ia memenuhi garis panduan serta dasar yang
ditetapkan parti itu bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
Namun, Pengarah Strategi, Rafizi Ramli berkata calon MCLM perlu
menyertai KEADILAN terlebih dahulu sekiranya mahu bertanding atas tiket
parti berkenaan.
“Kami mahu individu tersebut berkebolehan untuk menjadi Ahli Parlimen
berkualiti dan calon yang baik di peringkat bawah bersama jentera
parti.
“Calon itu akan dimasukkan dalam kumpulan calon KEADILAN sekiranya
mahu bertanding atas tiket parti,” katanya dalam sidang media di Ibu
Pejabat KEADILAN di sini, hari ini.
Rafizi memberitahu langkah itu untuk mengelakkan calon daripada
melompat parti apabila memenangi pilihan raya seperti yang berlaku
sebelum ini.
“Kami tidak mahu calon itu akan dipengaruhi perkara lain dan mereka
mesti melalui proses yang betul supaya tidak timbul sekali lagi
pengalaman yang menyakitkan dalam isu ini.
“Sekiranya mahu lalui pengalaman sama, saya rasa tidak pintar dan tak adil untuk parti dan juga pakatan rakyat,” katanya lagi.
Dalam pada itu, mengulas sokongan rakyat Sarawak bagi menghadapi
pilihan raya negeri itu akan datang, Rafizi memberitahu Pakatan Rakyat
(PR) kini berada dalam zon selesa kerana mendapat sambutan menggalakkan
dari rakyat negeri itu.
“Kami mendapat sambutan yang menggalakkan daripada rakyat Sarawak dan
berharap sokongan akan berterusan untuk hadapi pilihan raya
nanti.Walaupun masih terdapat beberapa kerusi yang kita perlu uruskan,
namun saya pasti akan dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.