KEADILAN mengutuk sekerasnya tindakan pembunuhan beramai-ramai yang
dilakukan pemerintah Libya ke atas rakyatnya yang turun ke jalan raya
bagi mendesak pengunduran rejim diktator pimpinan Muammar Gaddafi.
Menyifatkan tindakan itu seolah melancarkan perang ke atas rakyatnya
sendiri, Ketua Penerangan KEADILAN, Dr Muhammad Nur Manuty menggesa
supaya pembunuhan tersebut segera dihentikan.
“Kami di KEADILAN menyokong tindakan rakyat mana-mana negara
sekalipun yang bangkit menyatakan bantahan mereka terhadap pemerintah
yang zalim.
“Kebebasan bersuara merupakan hak asasi rakyat dan pemerintah
bertanggungjawab memastikan bahawa hak yang dijamin masyarakat
antarabangsa perlu dihormati dan dilaksanakan. Jelas sekali, pemerintah
Libya secara terbuka telah mengisytiharkan perang terhadap rakyatnya
sendiri,” kata Dr Manuty dalam satu kenyataan media.
Justeru itu, beliau menyeru masyarakat antarabangsa supaya bersama
mengambil tindakan untuk menghentikan penindasan dan kezaliman ke atas
rakyat Libya.
“Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Pergerakan Negara-Negara
Berkecuali(NAM), Pertubuhan Pesidangan Islam (OIC) dan Liga Arab tidak
boleh berdiam diri dan berpeluk tubuh membiarkan rakyat Libya terus
dibunuh pemerintahnya sendiri.
“Kami juga mendesak kerajaan Malaysia yang menganggotai PBB,NAM,OIC
supaya mengambil tindakan tegas menangani isu-isu seperti itu,” ujarnya.
Menurutnya lagi, KEADILAN yakin bahawa rakyat Libya berupaya
menentukan nasib mereka tanpa campur tangan mana-mana pihak yang
berkepentingan.
Libya kini berhadapan dengan kebangkitan rakyatnya yang mendesak
pengunduran Muammar Gaddafi, menyebabkan pemerintah mengambil tindakan
mengarah pasukan keselamatan menembak ribuan penunjuk perasaan.
Kemuncakan kezaliman tersebut apabila pihak berkuasa di negara itu mengebom penunjuk perasaan semalam
Sehingga kini seramai 400 orang dilapor terbunuh.
Tindakan Libya terhadap penunjuk perasaan itu dikatakan yang paling
keras antara negara Arab, berbanding tindakan menggulingkan pemimpin
Tunisia dan Mesir awal tahun ini.