Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkalungkan ucapan
tahniah kepada rakyat Mesir yang bangkit melawan regim Hosni Mubarak
hingga menjatuhkan pimpinan kerajaan diktator itu.
“Tahniah rakyat Mesir! Akhirnya selepas 18 hari berhimpun di Medan
Kemerdekaan atau lebih dikenali sebagai Medan Tahrir, mereka berjaya
memastikan Hosni Mubarak, seorang diktator yang memerintah selama 30
tahun, berundur dari tampuk pemerintahan.
“Rakyat Mesir akhirnya berjaya meruntuhkan tembok ketakutan yang selama ini mengepung mereka.
“Dihimpit kesusahan akibat kos sara hidup yang melonjak, kadar
pengangguran yang tinggi dan mual dengan keganasan pihak keselamatan,
rakyat Mesir memilih berdepan dengan aparat pemerintah yang terkenal
memerintah secara kuku besi,” katanya.
Anwar berharap pengorbanan mereka tidak akan disia-sia begitu sahaja
dan kebangkitan itu wajar disusuli dengan usaha memulihkan Perlembagaan,
sistem keadilan dan pilihan raya yang adil dan telus.
“Majlis Tertinggi Tentera yang kini mengambil alih kuasa dari Mubarak
sewajarnya segera mengembalikan kuasa kepada rakyat,” katanya dalam
blog beliau.