BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya
Memaparkan catatan dengan label Presiden. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Presiden. Papar semua catatan

Rabu, Mac 09, 2011

Kenyataan Media Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail tentang PRK Kerdau dan Merlimau

Keputusan pilihanraya kecil di Merlimau dan Kerdau yang baru sahaja berlangsung pada 6 Mac lalu sememangnya telah diduga. Selain menyedari dua DUN tersebut adalah kubu kuat BN kita dapati imbuhan keterlaluan telah dilemparkan kepada pengundi. KEADILAN mendesak supaya SPR dapat bertindak dengan bebas dan berkecuali serta peka terhadap aduan-aduan yang diajukan oleh kedua-dua belah pihak secara adil dan telus.

KEADILAN mengucapkan tahniah dan syabas kepada petugas PR yang terpaksa menongkah arus dengan berhadapan jentera gergasi BN. Apatah lagi seluruh jentera kerajaan diguna sewenangnya. Media arus perdana pula kekal tempang dan begitu mudah diperkudakan.

Pakatan Rakyat akan mengorak langkah bagi menghadapi pilihanraya Sarawak dan PRU13. Gerakerja tersusun di setiap peringkat perlu dimulakan sekarang. Kemenangan dua PRK ini pastinya menjadikan BN selesa dan memanggil PRU13 seawal mungkin. PR harus terus mendekati rakyat kerana kesejahteraan rakyat tidak memadai dengan gula-gula pilihanraya. Apa-apapun, kita harapkan SPR akan lebih telus dan bebas lantas mengizinkan sistem demokrasi di negara ini dilaksanakan sebaik mungkin. Amat penting untuk kita menyelamatkan negara demi kesejahteraan berpanjangan.

Dr Wan Azizah Wan Ismail

Sabtu, Februari 12, 2011

Tiada kerajaan zalim kekal berkuasa

Tiada kerajaan di mana-mana sekalipun yang zalim, korup dan menindas rakyat, akan terus kekal berkuasa, sebaliknya tetap akan jatuh walau apapun juga cara yang digunakan, kata Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Suatu hari kelak tetap akan jatuh, mana-mana negara pun. Kerajaan yang sedemikian, jangan harap boleh kekal sampai bila-bila. Hanya masa yang akan menentukan (kejatuhan sesebuah kerajaan),” katanya merujuk kejatuhan regim Hosni Mubarak  apabila ditanya mengenai kesan peristiwa di Mesir itu terhadap Malaysia.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Cabang Wangsa Maju yang kini diterajui bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Datuk Dr Tan Kee Kwong, pagi ini. Lebih 100 orang menghadiri majlis sederhana itu.

Pada majlis itu, Dr Wan Azizah juga menerima 100 borang keahlian baru, selain merasmikan Pusat Khidmat Masyarakat KEADILAN dan pelancaran Briged Keselamatan bagi cabang berkenaan.

Dr Wan Azizah berkata, kerajaan pemerintah dan rakyat di negara ini harus mengambil iktibar daripada kejadian di Mesir dan tidak menolak peristiwa seumpama itu berulang di Malaysia.

“Kita memanglah tidak mahu suasana huru-hara, sebaliknya parti berharap proses pertukaran kerajaan berjalan dengan baik,” katanya.

Sabtu, Disember 25, 2010

Ucapan Presiden KEADILAN pada Konvensyen Pakatan Rakyat kedua

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera buat semua para perwakilan Konvensyen Pakatan Rakyat 2010. Syukur Alhamdulillah, sekali lagi kita dapat berhimpun bersama-sama bagi merencana, membahas serta memperkasa agenda perjuangan kita dalam memartabatkan ketuanan rakyat dan kedaulatan negara tercinta ini.

Suka saya menyatakan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada YAB Saudara Lim Guan Eng dan barisan kepimpinan negeri Pulau Pinang yang telah berjaya mentadbir serta melaksanakan pelbagai perubahan dan penambahbaikan di negeri ini demi keselesaan dan kesejahteraan rakyat.

Selain Selangor, Kelantan dan Kedah; Pulau Pinang juga merupakan antara negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat yang kini menjadi contoh kepada kerajaan negeri lain terutamanya dari aspek kecemerlangan pengurusan ekonomi, sistem tadbir urus yang efisyen serta komitmen serius dalam memerangi rasuah.

Justeru, sewajarnya kita bersama-sama terus teguh dan komited mempertahankan kecemerlangan ini demi membela rakyat.

MALAYSIA PASCA 8 MAC 2008

Saudara-saudari yang dikasihi sekalian,

Sejak Mac 2008, lanskap politik Malaysia kini sudah mengalami perubahan yang ketara. Selepas Pilihanraya Umum ke-12, kita telah mengejutkan rakyat dengan memenuhi aspirasi mereka yang dahagakan sistem dua parti (two-party system) yang seimbang dan setara.

Ini adalah satu anjakan yang besar dalam pembinaan siyasah negara yang mulanya berjinak-jinak dengan semangat demokrasi. Tatkala Pilihanraya Umum pertama selepas kemerdekaan Tanah Melayu dicapai pada tahun 1959, pembangkang di bawah muafakat longgar di antara PAS, Parti Negara dan Socialist Front telah cukup menggegar Kerajaan Perikatan pada ketika itu. Dan UMNO-Perikatan pada ketika itu tidak menunggu lama untuk menggugat barisan pembangkang.

Pada tahun 1961, Kerajaan PAS-Parti Negara di Terengganu digulingkan dengan cara yang begitu jijik: beberapa ADUN PAS dan Parti Negara diculik sehingga akhirnya melompat ke dalam UMNO. Kerajaan PAS-Parti Negara pimpinan Daud Samad digulingkan tanpa ada perasaan malu kepada rakyat.

Almarhum Dato’ Onn Jaafar, perwakilan tunggal Parti Negara selaku Ketua Pembangkang di Parlimen pada ketika itu juga dicemuh melalui pembunuhan karakter yang sangat mendukacitakan sehinggalah almarhum meninggal dunia.

Pimpinan PAS dan Socialist Front seperti Almarhum Dr. Burhanuddin Helmy dan Allahyarham Ahmad Boestamam ditahan di bawah akta zalim ISA, kononnya kerana ‘mengancam keselamatan negara’. Akhirnya pakatan pembangkang menjadi lesu dan langsung lemah sewaktu Pilihanraya Umum tahun 1964.

Sejarah membuktikan bagaimana pembangkang yang kuat tidak akan dibenarkan berfungsi di dalam negara Malaysia selagi UMNO-BN berkuasa, meskipun demokrasi berparlimen merupakan anutan politik negara.

Dan kini ia berulang lagi. Mulanya UMNO-BN merekayasa rampasan kuasa kerajaan Negeri Perak yang dimenangi secara sah oleh Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya Umum Ke-12. Terbaru, Ketua Pembangkang, Saudara Anwar dan pimpinan-pimpinan Pakatan Rakyat seperti Saudara Azmin Ali, Saudara Karpal Singh dan Saudara Sivarasa Rasiah digantung daripada Sidang Dewan Rakyat.

Hadirin sekalian,

Mengapa ini semua berlaku? Jawapannya kita sedia maklum: kerana Pakatan Rakyat telah berjaya menunjukkan bahawa muafakat yang kita pupuk berpotensi besar untuk membaiki dan membela nasib rakyat kebanyakkan.

Hakikatnya Pakatan Rakyat adalah satu-satunya pakatan politik yang paling berjaya di dalam lanskap politik tanah air yang mampu menjadi saingan sengit kepada hegemoni UMNO-BN. Disebabkan oleh realiti inilah, UMNO-BN tanpa henti barang sesaat pun untuk mengasak Pakatan Rakyat dan kepimpinannya.

MUAFAKAT DEMI MEMBELA RAKYAT

Justeru, KEADILAN, PAS dan DAP seharusnya membulatkan tekad demi memperkukuhkan muafakat Pakatan Rakyat.

Keseriusan kita memperjuangkan pelbagai isu di Parlimen, sebagai contoh isu pelaksanaan Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST Act), isu kenaikan harga minyak, isu penyelewengan wang rakyat dan lain-lain isu membuktikan bahawa komitmen kita demi rakyat berada pada landasan yang betul.

Akibatnya UMNO-BN cemas dan lebih berwaspada. Mereka kini lebih berhati-hati dalam bertindak kerana tahu rakyat akan memilih pakatan yang membela mereka. Dan sendi kekuatan Pakatan Rakyat adalah rakyat Malaysia sendiri, bukan wang dan mainan retorik ciptaan sendiri seperti mereka.

Hakikatnya mereka hilang punca bila berdepan dengan keutuhan yang ditonjolkan Pakatan Rakyat.

PAS terus kukuh dengan pengukuhan politik Islami yang sangat menekankan keabsahan moral; DAP kian terbukti sebagai parti yang cekal membela nasib kaum yang pelbagai; dan KEADILAN sendiri telah mempamerkan budaya politik era baru yang serasi dengan kehendak rakyat pelbagai kaum dan ideologi.

Muafakat ini dicemburui UMNO-BN. Mereka cuba meniru kesepakatan kita, malangnya rakyat tahu bahawa Konvensyen BN hanya berlaku setiap 15 tahun sekali, itupun kali pertama dalam tahun 1995. Di pentas yang sama, mereka berselingkuh pandangan. Di saat ada pimpinan komponen yang menyelar budaya ‘abang besar dan adik kecil’ dalam BN, mereka mula tidak senang duduk.

Ini berbeza sekali dalam Pakatan Rakyat. Tokoh-tokoh seperti Saudara Anwar, Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Haji Abdul Hadi, Saudara Karpal Singh dan Saudara Lim Kit Siang mengisi seluruh ruang spektrum politik negara dengan kepelbagaian ideologi dan perjuangan. Walaupun pendekatan dan spektrum politik yang berbeza, nada dan irama kita adalah seiring kerana Pakatan rakyat disatukan atas landasan membela rakyat.

NATIJAH SERANGAN BERTALI ARUS

Saudara-saudari yang dihormati,

Objektif serangan bertali arus yang dilakukan oleh UMNO-BN ke atas Pakatan Rakyat ini mudah dibaca - iaitu untuk mendatangkan keraguan di kalangan rakyat dan sesama kita, agar barisan yang utuh ini mula goyah.

Dibisikkan kepada orang Melayu kononnya DAP ini akan ‘menjual’ kepentingan orang Melayu. Maka timbullah keraguan orang Melayu terhadap DAP.

Dibisikkan kepada masyarakat bukan Melayu kononnya PAS ini anti masyarakat bukan Melayu. Maka timbullah kebimbangan orang bukan Melayu terhadap PAS.

Dicanang ke seluruh Malaysia kononnya KEADILAN dan Anwar Ibrahim ini bermasalah dalam Pakatan Rakyat, dengan harapan keraguan rakyat akan bercambah.

Tetapi percaturan mereka yang paling besar adalah untuk mengapi-apikan kita sesama sendiri; agar kita berpaling dari asas perjuangan yang bertunggakkan keadilan dan tidak mengenal politik perkauman. Mereka mahu DAP takutkan PAS kerana hasutan mengenai agenda Islamisasi, PAS khuatir penampilan DAP akan menidakkan sokongan Melayu. Mereka berharap PAS dan DAP meragui kemampuan KEADILAN menangkis serangan demi serangan dari mereka.

Taktik ini harus kita hadham sebetulnya agar kita tidak sedikit pun terbuai dengan mainan propaganda mereka. Sebagaimana ombak tidak akan jemu menghakis pantai, demikian jugalah UMNO-BN tidak akan berhenti dari cuba memecahkan kesepaduan Pakatan Rakyat!

Justeru, komitmen kepada kesepakatan bersama harus kita perkukuhkan dari semasa ke semasa. Sewajarnya selepas ini, setiap pengumuman dan pembelaan rakyat perlu membariskan pimpinan dari ketiga-tiga parti sebagai lambang kesepakatan dan satu nada di dalam Pakatan Rakyat.

FOKUS PAKATAN RAKYAT

Hadirin sekalian,

Perjuangan Pakatan Rakyat bukan untuk mengkayakan diri sendiri, tetapi ia terhasil dek kerana keinsafan kita atas perit jerih yang dialami oleh rakyat kebanyakan.
 
Di sebalik kemegahan 53 tahun kemerdekaan, Malaysia adalah negara dua darjat: yang kaya terus hidup mengulit mimpi di dalam mahligai, yang miskin derita sehingga terpaksa bergolok gadai.

Pelbagai akronim dicatur oleh pemerintah. Sebut sahaja MBE, NKEA, NKRA, GTP, ETP dan pelbagai lagi akronim yang direncana UMNO-BN, satupun gagal mendatangkan impak positif kepada rakyat. Yang terus berlaku ialah rakyat menjadi semakin keliru. Pendapatan negara kononnya tinggi, KDNK negara capai pertumbuhan, tetapi harga barang terus naik, kos sara hidup terus menghimpit.
 
Mengapa ini berlaku? Kerana mereka hanya mengkaji di dalam makmal-makmal yang memisahkan realiti rakyat dengan rekayasa dasar. Mereka mencatur strategi, tetapi rakyat tidak menikmatinya sekelumit pun.

Realitinya rakyat tidak mahukan dokumen yang menyusun indah kata-kata dan retorik berlebihan. Rakyat mahukan impak langsung. Harga petrol dan harga barang yang bersesuaian, akses pendidikan lebih luas, pengangkutan awam yang efektif dan efisyen, perkhidmatan awam yang tidak birokratik dan sebagainya.
 
Tetapi ini tidak dijanjikan oleh UMNO-BN. Yang mereka laungkan hanyalah NKRA, NKEA dan pelbagai lagi. Apa yang rakyat dapat? Cuma buku kulit tebal yang punyai pelbagai visi dan misi, tapi kosong isi dan intipati.

Di atas kesedaran inilah, tanggungjawab Pakatan Rakyat adalah besar demi merealisasikan harapan rakyat. Pundak kita diletakkan amanah yang bukan kecil.
 
Justeru, Konvensyen ini harus membahaskan perkara-perkara yang penting menjurus kepada dasar-dasar baru yang pro-rakyat, bukan sekadar laungan retorik irama lama yang berdendang masyhur.

Komitmen KEADILAN dan Pakatan Rakyat, kita menawarkan kepada rakyat bahawa sekiranya rakyat mengamanahkan Malaysia dikemudi Pakatan Rakyat dengan izin Tuhan, dalam tempoh 100 hari berkuasa, tujuh langkah utama akan diambil demi mengurangkan beban hidup rakyat.

PEMBELAAN RAKYAT

Saudara-saudari yang dihormati,

Di bawah kekuasaan UMNO-BN, rakyat bolehlah diibaratkan umpama kayu lampung, ditebuk kumbang tebus-menebus. Lantaran itu, KEADILAN memberikan jaminan kepada rakyat, bahawa jika Pakatan Rakyat berjaya menerajui Putrajaya, kita bertekad untuk menghapuskan kutipan tol yang jelas hanya mengkayakan konsesi dan kroni.

Kita juga tidak akan meminggirkan golongan-golongan yang kurang berkemampuan, individu dan juga kelompok sosial.  Sistem subsidi akan dibaikpulih dengan penuh tanggungjawab. Kita akan pastikan mereka yang berhak akan perolehi subsidi yang perlu. Subsisi ini sudah pasti akan dapat membantu menjana kehidupan seharian dengan lebih sempurna. Kita akan perangi subsidi korporat dan pulangkan hak kepada rakyat.

Manakala dalam sektor pendidikan pula, KEADILAN dan Pakatan Rakyat akan terus memartabatkan golongan pendidik. Bertahun-tahun UMNO-BN berjanji mahu memartabatkan kerjaya perguruan, tetapi yang naik imbuhannya setiap tahun hanyalah polis, golongan pendidik bergelumang seperti marhaen yang lain.

Oleh itu, kita akan menaikkan gaji setiap guru sebanyak RM500 sebulan. Ini hanya melibatkan kos kecil sebanyak RM3 bilion berbanding ketirisan RM28 bilion akibat rasuah dan tadbir urus yang tidak sempurna. Imbuhan khas pendidik ini adalah langkah awal Pakatan Rakyat menyediakan imbuhan yang setimpal dengan jasa pendidik, agar kerjaya pendidik menjadi kerjaya pilihan rakyat Malaysia ke arah melahirkan pendidikan berkualiti tinggi.

Saudara-saudari perwakilan yang dihormati,

Alhamdulillah, di Selangor, skim air percuma sudah dan sedang dilaksanakan. Program ini akan berterusan dan dipantau dari semasa ke semasa. Justeru, KEADILAN bertekad untuk melebarkan dan menjayakan skim air percuma ini ke negeri-negeri lain. Dengan satu harapan, rakyat akan dapat menikmati air yang dianugerahkan Allah.

Bagi memastikan rakyat mendapat manfaat sebaiknya dari revolusi maklumat, Pakatan Rakyat akan menawarkan perkhidmatan internet wi-fi secara percuma di kawasan-kawasan bandar dan separa bandar.

Saudara-saudari

Langkah ketujuh adalah untuk mengembalikan institusi rakyat kepada peranan asal mereka membela rakyat. Felda yang ditubuhkan untuk memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah memiliki tanah dan ladang sendiri, telah menyimpang dari piagam asalnya apabila Felda Plantations lagaknya tidak ubah seperti gergasi perladangan swasta yang lain.

Oleh itu, Pakatan Rakyat akan memastikan bahawa tanah-tanah dan ladang-ladang yang dikuasai Felda Plantations itu dikembalikan kepada generasi kedua dan ketiga Felda, agar semangat asal penubuhan Felda dapat dihidupkan kembali. Jangan Felda satu hari nanti akan dicemuh oleh warga peneroka sendiri, seperti rangkap pantun ini:

Mengayuh beca tanpa roda,
Tiada duit beli yang baru;
Bila di tanya hak peneroka,
Felda kata “mana aku tahu”.

Perwakilan yang saya hormati,

Langkah-langkah ini adalah jelas dan muda difahami rakyat. Ia menzahirkan prinsip keadilan sosial yang dimeterai oleh Dasar Bersama.

Ia jelas membuktikan kesepaduan kita di dalam Pakatan Rakyat, kerana melalui langkah-langkah ini, kita menunjukkan bahawa pendekatan negara kebajikan yang dibawa oleh PAS akan diangkat untuk menjadi agenda perjuangan bersama Pakatan Rakyat.

Semangat keadilan sosial yang diperjuangkan oleh PKR juga sebati dalam pengolahan ketujuh-tujuh langkah tersebut. Seterusnya, kebajikan dan keadilan sosial ini lebih kukuh dengan penghormatan kepada semua kaum, seperti yang diperjuangkan DAP.

Nah! Ini bukan sahaja bukti bahawa dasar dan program yang jelas tetapi ia adalah menunjukkan bahawa kesepakatan dalam Pakatan Rakyat telah sampai ke tahap menghadamkan perjuangan yang sama.

REFORMASI LAWAN TRANSFORMASI

Saudara-saudari yang dikasihi,

KEADILAN secara konsisten akan terus mewacanakan konsep Ketuanan Rakyat dan bangsa yang bermaruah dalam setiap agenda pemerkasaan rakyat kerana kita yakin bahawa tidak akan wujud reformasi ekonomi jika tidak ada reformasi politik.

Malaysia memerlukan reformasi politik dan Pakatan Rakyat telah lama memperjuangkannya kerana kita peka bahawa tanpa iltizam dan keikhlasan, gagasan ‘transformasi’ yang diciplak oleh pemerintah UMNO-BN dari kita ini hanya akan menjadikan situasi politik Malaysia lebih teruk dan merosot.

Reformasi yang kita bawa bermaksud “mengubah sesuatu ke arah yang lebih baik”. Kata asalnya dalam bahasa Inggeris iaitu ‘reform’ yakni hasil akhir sudah pasti lebih baik.

Transformasi pula maknanya “tukar sahaja” seperti dalam filem Transformers yang mana robot-robot boleh bertukar menjadi kereta, lori dan kapal terbang dan kemudiannya kembali bertukar menjadi robot semula. Makanya tidak ada apa-apa yang berubah, sekadar bertukar tanpa mengambil kira hasil akhir. Dari era Mahathir, ke era Pak Lah, ke era Najib – segalanya tentang transformasi; Mahathir dengan Wawasan 2020, Pak Lah dengan Islam Hadhari dan kini Najib dengan 1Malaysia, itu pun atas tunjuk ajar dari APCO yang menelan jutaan wang rakyat. Inilah dia erti sebenar ‘transformasi’ yang dilaung-laung oleh kerajaan UMNO-BN.

KESIMPULAN

Saudara-saudari yang dihormati,

Malaysia perlu diubah sekarang. Perjalanan dan masa depan rakyat di bawah pentadbiran UMNO-BN kini semakin kabur dan tidak menentu. Seandainya perubahan tidak dilaksanakan sekarang, segala kerosakan dan kebobrokan hasil kepincangan pentadbiran UMNO-BN akan berterusan tanpa penghujung. Negara ini akan terus dirundung malap dan tak mustahil akan menemui masa depan yang gelap.

Harapan dan kepercayaan rakyat untuk melihat Malaysia kembali di landasan yang betul, yang berteraskan prinsip keadilan dan muafakat sesama kaum perlu dikembalikan segera.

Perubahan harus bermula sekarang; kerana hala tuju negara ini telah jauh menyimpang dari matlamat asalnya. Kesukaran hidup rakyat telah sampai ke peringkat yang memuncak, di kala haluan ekonomi negara juga semakin malap.

Pakatan Rakyat percaya bahawa agenda perubahan yang dijunjung bersama akan meniupkan kembali roh keadilan dan permuafakatan dalam sistem dan negara dan masyarakat kita.

Pohon berangan tempat bertemu,
Girangnya rasa si anak dara;
Baliklah tuan membawa ilmu,
Binalah bangsa bangunkan negara

Bersama-sama kita lakukan perubahan sekarang untuk menyelamatkan Malaysia!

Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah. Wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
 
Ucapan Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Konvensyen Pakatan Rakyat Kebangsaan Kedua Di Dewan Millenium, Kepala Batas, Pulau Pinang, Ahad 19 Disember 2010.

Rabu, Jun 16, 2010

Kutukan Umno-BN Terhadap Zionis Israel Retorik Politik Sahaja

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail menyifatkan usul Umno-Barisan Nasional mengutuk rejim Zionis Israel dalam parlimen minggu lalu sebagai retorik politik semata-mata kerana hakikat sebenarnya Umno-BN mempunyi hubungan baik dengan negara haram itu.

Dr Wan Aziziah berkata Umno-BN tidak mempunyai kesungguhan untuk membantah tindakan kejam dan ganas tentera Zionis Israel bukan sahaja kepada rakyat Palestin tetapi juga ke atas konvoi misi kemanusiaan yang membawa bantuan ke Semenanjung Gaza kepada rakyat Palestin baru-baru ini.

"Hubungan mereka dengan Apco yang sudah jelas dan nyata dipertikaikan oleh rakyat masih lagi mereka teruskan. Begitu juga dengan membenarkan kapal dagang Israel yang berlabuh di pelabuhan negara ini adalah satu tindakan talam dua muka atau cakap tidak serupa bikin.

"Dalam satu situasi mereka mengutuk dan mengecam tindakan ganas Zionis Israel tetapi dalam satu situasi yang lain pula mereka bersekongkol dan membenarkan gerakan dan hubungan dengan Zionis Israel ini diadakan.

"Walaupun ianya adalah berkaitan dengan perdagangan dan ekonomi, ini tidak boleh dibenarkan. Hubungan yang sedia ada wajib segera dihenti dan ditamatkan segera. Jika benar kerajaan yang memerintah ini prihatin dan sensitif terhadap kezaliman yang telah dan sedang dilakukan oleh Zionis Israel sudah pasti mereka tidak mahu hubungan yang sedia ada dalam apa jua kondisi diteruskan,"kata Dr Wan Azizah kepada Suara Keadilan selepas majlis meraikan penduduk Junjung, Kulim di pejabat KEADILAN Ranting Junjung Sabtu lalu.

Berhubung isu lesen judi sukan bola sepak pula Dr Wan Azizah menempelak pihak kerajaan yang tidak telus dalam menyatakan pendirian mereka terhadap keputusan pemberian lesen judi sukan ini kepada syarikat judi, Ascot Sports Sdn Bhd.

"Inilah sikap mereka yang tidak mempunyai pendirian. Antara kalangan kepimpinan dalam kerajaan sendiri memperlihatkan keputusan yang telah dibuat dalam isu lesen judi sukan bola sepak ini tidak konsisten dan bercanggah.

"Mereka tidak berani untuk menyatakan pendirian. Pengerusi Berjaya Group mendakwa menerima kebenaran untuk menjalankan kegiatan judi sukan bola sepak sedangkan pihak kerajaan pula menafikannya.

"Ini sudah jelas kepada rakyat bahawa kerajaan Umno-BN yang sedang memimpin negara ini adalah sebuah kerajaan yang tidak berpendirian. Mereka boleh dibeli dalam apa jua cara. Jika ada yang menguntungkan maka itu akan diakui oleh mereka. Sekiranya ianya ditentang pengakuan tidak berani dibuat. Sebaliknya tuduhan akan dilemparkan kepada pihak lain," jelas beliau lagi.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mansor Othman, Exco Kerajaan Negeri Kedah, Lim Soo Nee dan Tan Show Kang.


Ahad, Mei 30, 2010

Ucapan Dasar Presiden KEADILAN

Bismillah alrrahman alrrahim, Assalamu’alaikum Warahmatullihi wa barakatuhu dan salam sejahtera.

Syukur ke hadrat Allah swt kita di panjangkan usia dan dianugerahkan kesihatan yang baik hingga dapat bersama-sama di dewan Kelantan Trade Centre ini bagi mengadakan Kongres Parti Keadilan Rakyat.

Pada tahun ini, kita bertuah kerana dapat bertandang ke Kota Bharu, Kelantan, bumi Cik Siti Wan Kembang, negeri yang diperintah oleh kerajaan pimpinan rakan kita, dari Parti Islam se-Malaysia sejak dua dekad yang lalu.

Walaupun dengan kelebihan satu kerusi pada 2004, PAS dengan kepimpinan ulamak; tawadduq dan istiqamah telah Berjaya mempertahankan kerajaan negeri terus memperkukuhkannya hingga ke hari ini.

Justeru, kunjungan kita ke Kota Bharu ini, bukan satu kebetulan. Kunjungan ini disertai dengan misi penting; yakni, mengajak kita semua kembali menghayati fitrah sebuah perjuangan yang kita pegang.

Orang hulu balik ke hulu,
Bila sampai bulan terang,
Asal niat jernihkan dahulu,
Agar segak langkah pejuang.


ERTI SEBUAH PERJUANGAN

Saudara-saudari yang dikasihi,

Kita telah lalui tiga era kepimpinan lawan. Kepimpinan UMNO kini kian berkecamuk dan terdesak, umpama binatang buas yang luka, tindakbalasnya nekad dan lebih zalim.

Sesungguhnya hanya pejuang sejati yang mampu berhadapan dengan musuh yang terdesak serta nekad seperti hari ini. Hanya pejuang sejati yang mampu berhadapan dengan tekanan di luar batas kemanusiaan serta ujian sogokan dan imbuhan, ibarat tiada sempadan.

Justeru, bagaimana pula tindakan kita? Kita harus kembali ke titik mula perjuangan kita; janji dan sumpah kita, harapan dan doa restu rakyat. Kita juga harus muhasabah, secara jujur dan ikhlas, adakah kita pejuang sejati.

Saudara-saudari perwakilan yang dikasihi,

Kita singkap semula! KEADILAN lahir di tengah-tengah rintihan rakyat. Rakyat mendambakan satu wadah yang diharapkan dapat menyelamatkan negara ini dari terus dimusnahkan.

Pabila Raja kerenah,
Pabila gundek menabur fitnah,
Pabila pembesar kurang amanah,
Pabila kepercayaan rakyat kian punah,
Itulah tandanya Negara akan musnah.

Di bahu kita harapan disandarkan. Ibarat batang pokok, yang menunjangi perjuangan kita. Kita yakin kemahuan rakyat yang mahukan keadilan dan perubahan.

Hari ini, akan saya ungkapkan sekali lagi Deklarasi Permatang Pauh, 12 September 1998. Bahawa yang kita perjuangkan adalah:

Gerakan reformasi yang terpancar perjuangan hati nurani, dari kesedaran bahawa sesungguhnya diri manusia itu mulia dan merdeka, mempunyai hak dan tanggungjawab, diri manusia haram dizalimi dan diaibkan, haram di belenggu dan disekat tanpa mengikut proses dan undang-undang yang adil

Gerakan reformasi untuk menegakkan keadilan untuk semua, yang kuat dan yang lemah, yang kaya dan yang miskin; membersihkan institusi dan proses undang-undang dari dicemari oleh penyalahgunaan kuasa dan rasuah;

Gerakan reformasi untuk mendaulatkan kuasa rakyat melalui proses demokrasi. Demokrasi itu satu kemestian, kerana semangat keadilan yang ada dalam diri manusia membolehkan demokrasi dilaksana, tetapi kecenderungan manusia untuk berlaku zalim menjadikan demokrasi satu kewajipan;

Gerakan reformasi untuk memperjuangkan keadilan ekonomi, menjana pertumbuhan dan pengagihan yang saksama, jangan yang kaya bertambah kaya yang miskin papa kedana. Dunia ini mencukupi untuk keperluan semua, tetapi tidak mencukupi untuk memenuhi kerakusan individu;

Gerakan reformasi untuk membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa, mengikis manipulasi pasaran oleh segelintir golongan rakus dan mahakaya;

Gerakan reformasi untuk memperkukuhkan jayadiri budaya yang dinamis, setia kepada warisan bangsa yang murni dan terbuka kepada segala yang baik dari semua budaya;

Saudara-saudari dalam perjuangan yang dikasihi,

Pilihanraya umum ke-12 memberi kemenangan dan kedudukan moral kepada kita untuk mendepani usaha menyelamatkan Negara.

Walaupun kita telah membuat anjakan besar, hakikatnya negara masih lagi bergelut dengan kebejatan dan salah guna kuasa yang sama, diarahkan oleh dalang politik yang sama. Malah jauh lebih ganas kerana luka 2008 tidak mampu mereka terima.

Justeru, tidak hairanlah sandiwara Fitnah 2 dirancang dan kali ini menonjolkan watak yang lebih mantap. Fitnah 2 ini adalah peringatan besar kepada kita bahawa barah yang mencetuskan perjuangan rakyat pada tahun 1998; masih bersarang, makin bernanah hingga ke hari ini.

Ringkasnya tuan-tuan dan puan-puan,

Sewajarnya kita mengingat kembali pengajaran perjuangan Rasulullah SAW ketika berlakunya ujian-ujian getir dalam peristiwa Tahun Kesedihan – orang-orang Islam telah dipulaukan, isteri kesayangan Rasullah SAW iaitu Saidatina Khadijah dan Abu Talib, bapa saudara Rasullah SAW meninggal dunia pada tahun itu, sehinggakan Rasulullah ditempelak oleh musuhnya bahawa “Tuhannya sendiri telah meninggalkannya”. Tetapi berkat iman dan istiqamah mereka, Allah SWT membalasnya dengan kemenangan.

Memang lazim kebatilan disokong kerana ia ada kekuatan, kezaliman dijunjung kerana ia ada kuasa, manakala pembohongan diakui, kerana ia kaya dan menguasai media. Namun percayalah, sebuah kerajaan yang zalim, kekuatan zahiriah yang mereka ada selalu menyembunyikan betapa rapuhnya tampuk kuasa yang mereka pegang; ingat firman Allah SWT dalam Surah al-Hasyr ayat 14, mafhumnya:

Di dalam al-Quran, Allah SWT memberikan contoh-contoh yang nyata mengenai peringatan ini -dari Firaun ke Parsi hingga ke Rom; kerajaan zalim yang nampak begitu gagah runtuh satu persatu. Kita arif dengan kupasan Ibn Khaldun dalam mukaddimah. Mutakhir ini kita menyaksikan kebangkitan rakyat menewaskan kezaliman apartheid di Afrika Selatan, Marcos di Filipina dan Shah di Iran.


MEMENUHI ASPIRASI RAKYAT

Saudara-saudari yang dikasihi

Kepercayaan yang diberikan oleh rakyat kepada Pakatan Rakyat dan KEADILAN khususnya di Selangor, adalah kepercayaan bersyarat. Harapan rakyat yang diungkapkan melalui manifesto, perlu diterjemahkan dengan sebaiknya melalui pelaksanaan yang menepati tuntutan.

Bukan mudah untuk memimpin Selangor, apatah lagi selepas 50 tahun diporak-perandakan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN). Tahniah diucapkan kepada YAB Tan Sri Khalid Ibrahim dan pimpinan kerajaan Pakatan Rakyat yang bertungkus lumus mentadbir negeri dengan baik, walaupun terpaksa berhadapan dengan karenah dan tentangan dari luar mahupun dari dalam.

Sesungguhnya, pengiktirafan tidak datang dengan percuma. Kerajaan Negeri Selangor perlu terus menjunjung aspirasi rakyat, dan aspirasi parti rakyat, dan aspirasi parti dan PR.

Tempoh dua tahun memimpin, pelbagai dasar yang meletakkan kepedulian kepada rakyat di hadapan telah dilaksanakan. Program-program ini perlu disokong dan dan diperhebatkan. Kerajaan Negeri perlu lebih kreatif menggembleng tenaga dengan aktivis parti untuk memastikan lebih ramai rakyat mendapat kebaikan dari program sebegini.

Pada masa yang sama, jangan kita lupa bahawa rekod dua tahun Kerajaan 2 Negeri PR adalah satu rekod membanggakan. Cubaan demi cubaan dibuat untuk menyabitkan kerajaan Selangor dengan rasuah gagal.

Saudara-saudari sekalian,

Namun, beberapa aspek perlu diberi perhatian;

Pertama, percepatkan pelaksanaan keputusan dan kelicinan pentadbiran. Kenal pasti undang-undang, dasar dan arahan pekeliling yang menjadi punca kepada kelewatan dan birokrasi remeh untuk disemak, dipinda mahupun dibatalkan.

Kedua, pastikan perkhidmatan dan bantuan kerajaan negeri sampai hingga ke peringkat yang terbawah.

Ketiga, perhebatkan pelan pembangunan ekonomi negeri yang berlandaskan Agenda Ekonomi Malaysia.

Keempat, penuhi harapan rakyat di dalam perkhidmatan kerajaan tempatan. Penghulu, JKKK, Ahli Majlis dan pemimpin setempat perlu memainkan peranan penting kerana anda adalah wakil kita dengan rakyat. Program-program untuk meningkatkan keberkesanan mereka perlu dilaksanakan dengan segera.

Kelima, jentera penerangan Kerajaan Negeri perlu lebih agresif, proaktif dan kreatif untuk memastikan dasar-dasar dan maklumat Kerajaan Negeri sampai ke kumpulan sasaran. Harus diingat, politik adalah persoalan persepsi.

Para perwakilan yang dihormati,

Model ekonomi dan pentadbiran kita, berasaskan prinsip urustadir baik atau good governance, atas keyakinan bahawa tanggungjawab kerajaan adalah untuk mentadbir dengan cekap, telus dan amanah. Tanggungjawab memacu ekonomi perlu dipikul bersama sektor swasta, dan ruang diberikan sepenuhnya kepada mereka untuk merancakkan kegiatan ekonomi, tanpa mengorbankan kebajikan rakyat.

Saudara saudari sekalian,

Laporan Ketua Audit Negara tahun 2008 mengesahkan Kerajaan Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Perak di bawah PR mempunyai rekod pentadbiran yang baik dan bersih. Saya mencadangkan Kerajaan Selangor mengadakan good governance index atau Indeks Pentadbiran Baik setiap tahun, agar kita tahu kedudukan kita dan rakyat boleh menilai komitmen kita kepada pentadbiran yang cekap, telus dan amanah.


KESAKSAMAAN SEMUA KAUM

Saudara-saudari yang dimuliakan

Umno sedar bahawa model parti pelbagai kaum yang kita bawa memenuhi kehendak rakyat. Walaupun mereka cuba menafikan, keputusan PRU 12 jelas membuktikan; masa depan politik negara ini mampu dicapai melalui muafakat jujur rakyat pelbagai kaum.

Mereka kini sudah hilang punca, dan terpisah dari aspirasi sebenar orang Melayu kerana asyik dengan kemewahan hasil penyelewengan. Sebab itu, mereka menumpukan serangan kepada parti, demi memusnahkan kredibiliti kita kepada pengundi Melayu. Kita difitnah sebagai anti-Melayu.

Gejala polarisasi kaum yang dibawa oleh Umno ini merbahaya kepada negara. Apatah lagi tindakan menghasut dan memainkan sentimen perkauman ekstrim menjadi senjata ampuh mereka. Konsep 1Malaysia adalah satu hipokrasi kerana wujud percanggahan ketara diantara janji manis dan tindakan rakus! Malaysia wajib kita selamatkan dari terus diadu-domba dengan sentimen merbahaya.

Saudara-saudari sekalian,

Kerisauan orang Melayu, akibat hasutan musuh dan propaganda media perdana bukan sedikit. Kita perlu menerangkan dasar parti kepada rakyat khususnya orang Melayu, melalui program-program yang berkesan. Mereka harus tahu, parti kita jelas mengenai kedudukan orang Melayu dan Bumiputera, malah Landasan Dasar Bersama Pakatan Rakyat, secara terbuka mengiktiraf kedudukan orang Melayu dan Bumiputera, seperti mana terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Umno menghasut rakyat bahawa kononnya kita menggadaikan kepentingan orang Melayu, apabila kita berpendapat Dasar Ekonomi Baru (DEB) wajar dihapuskan. Kita harus meyakinkan rakyat, kita menentang DEB, kerana ia gagal mencapai tonggak utamanya, yakni, menjaga kepentingan orang Melayu, dan perlaksanaan memperkayakan keluarga pemimpin dan kroni UMNO dan meminggirkan rakyat termasuk Melayu, Orang Asal, Dayak, Iban, Kadazan dll.

Orang Melayu dan Bumiputera telah ditipu sekian lama oleh Umno yang mahukan orang Melayu bergantung harap kepada kerajaan semata-mata; kerana Umno sedar tatkala orang Melayu mula yakin dengan kemampuan mereka dan tidak lagi memerlukan sokongan ahli politik Umno. Maka dasar ekonomi mereka adalah curahan bantuan kecilan agar rakyat terus mengharap dan bergantung, tidak merdeka dari segi ekonomi.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dikasihi,

Persoalan kedudukan orang Melayu adalah persoalan jati diri dan daya saing. Orang Melayu perlu berdaya saing dan dilengkapi ciri-ciri ilmuan, kreatif dan inovatif. KEADILAN berjuang untuk membina jatidiri, dan asas kekuatan ekonomi orang Melayu, Bumiputera dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Contohnya, peruntukan saham orang Melayu telah diselewengkan oleh beberapa kerat sahaja sedangkan majoriti orang Melayu berputih mata. Ketirisan yang berlaku terlalu teruk, hinggakan daripada RM54 billion saham yang diperuntukkan; hari ini hanya tinggal RM2 billion sahaja yang kekal di tangan Bumiputra.

Apa akibatnya jika pendekatan ini diteruskan?

Amalan boros, tabiat memperkaya diri dan keluarga menghakis keyakinan dan daya saing. Akibatnya, kehidupan rakyat terhimpit. Harga barang keperluan meningkat; dan minyak naik lagi. Kini subsidi mahu ditarik – bukan subsidi IPP, AP atau konglomerat kaya; tetapi bantuan rakyat miskin terutamanya Bumiputera.

Potensi negara untuk terus maju akan terbantut, kerana gejala rasuah berleluasa. Perkara ini telah dan sedang berlaku – pertumbuhan ekonomi negara di sekitar 5 hingga 6% sahaja yakni ketinggalan berbanding prestasi Negara jiran.

Saudara saudari yang dikasihi,

Persoalan membina jati diri, dan daya saing, adalah persoalan kaedah – sebab itu KEADILAN telah menyediakan kaedah baru untuk membina jati diri dan dayasaing orang Melayu dan Bumiputera; melalui Agenda Ekonomi Malaysia. Menjadi tanggungjawab semua anggota parti untuk membawa hujah bahawa kaedah melalui agenda ekonomi ini adalah yang terbaik untuk seluruh rakyat Malaysia.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Felda adalah satu lagi contoh yang jelas menunjukkan cengkaman UMNO kepada orang Melayu. Apabila Allahyarham Tun Abdul Razak memulakan konsep tanah perancangan, tujuannya adalah untuk memberikan tanah kepada orang miskin agar mereka mempunyai aset untuk bergiat dalam kegiatan ekonomi. Maka peneroka yang menyertai skim akan berpeluang memiliki tanah sendiri untuk diusahakan. Falsafahnya jelas, iaitu memberikan hakmilik tanah kepada orang miskin yang bergiat dalam sektor pertanian melalui skim tanah perancangan.

40 puluh tahun berlalu; apa yang telah berlaku?

Peneroka Felda tidak lebih dari pekerja ladang yang makan gaji dengan Felda, sebuah syarikat korporat milik kerajaan. Pelbagai sekatan dikenakan, penuh dengan putar belit hingga peneroka Felda terpaksa ke mahkamah untuk mendapatkan hak mereka.

Harapkan pagar, pagar pula yang makan padi.
Harapkan anak, anak pula tak mengenang budi.

Felda hanyalah satu contoh kecil, banyak lagi contoh lain - seperti pengurusan harta Melayu yang terletak di bawah tanah rezab Melayu, tanah wakaf dan pengurusan institusi Melayu seperti Tabung Haji, Bank Islam dan lain-lain.

Saudara-saudari sekalian,

Justeru, demi membongkar pengkhianatan ini, dan menjelaskan bentuk-bentuk perubahan yang akan kita laksanakan, dalam usaha kita menyelamatkan orang Melayu, KEADILAN akan menubuhkan satu pasukan khas, yang akan mengkaji beberapa isu yang berkait rapat dengan orang Melayu dan Bumiputera – seperti isu Felda, isu menaiktaraf kemahiran kakitangan awam, isu pengurusan harta Islam dan lain-lain.

Pasukan khas ini terdiri dari pelbagai kaum kerana isu-isu bumiputera bukanlah isu eksklusif tetapi tanggungjawab itu akan dipikul, bersama oleh pimpinan pelbagai kaum– seperti mana isu yang rapat dengan kaum-kaum lain. Kita akan angkat isu bumiputera, Cina dan India terutama yang berpendapatan rendah dan miskin sebagai isu rakyat Malaysia, manakala hak masyarakat juga akan kita angkat sebagai isu rakyat Malaysia.


MEMBINA MASA DEPAN MALAYSIA YANG SEJAHTERA

Saudara-saudari yang dihormati,

Suasana global akan menjadi lebih tidak menentu. Dunia akan menyaksikan pengaruh Negara China dan kuasa-kuasa baru yang akan mengimbangi Amerika Syarikat dan blok Barat dari segi ekonomi, politik dan sosial.

Malaysia memerlukan sebuah kerajaan yang stabil dan terbuka untuk mencorak masa depan dalam konteks dunia yang berubah. Tanda aras ini perlu merujuk kepada kemampuan kerajaan menangani masalah, dalam konteks masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan latar belakang sosio-ekonomi.

Saudara dan saudari,

Akhir-akhir ini, gejala menghakis hak-hak negeri, di dalam Persekutuan Malaysia begitu membimbangkan. Semua negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat menjadi mangsa penindasan ini. Negeri Kelantan dinafikan hak terhadap royalti minyak.

Terbaru adalah isu penyerahan dua jelapang minyak yang besar, di pesisir pantai Sabah dan Sarawak. Isu ini bukan sahaja pengkhianatan BN kepada rakyat Malaysia kerana dengan mudah ia menyerahkan harta rakyat kepada negara asing – tindak-tanduk itu juga melanggar batasan hubungan Negeri dan Persekutuan; serta membelakangkan Parlimen.

Setiap tindakan yang berkaitan dengan kedaulatan wilayah, perlu dirujuk kepada Parlimen. Memandangkan ia melibatkan kedaulatan wilayah Sabah dan Sarawak, maka wajib bagi kerajaan pusat, berbincang dan mengambil kira pandangan kerajaan negeri tersebut kerana ia adalah intipati utama dalam pembentukan Persekutuan Malaysia.

Apabila Singapura diminta keluar dari Malaysia, keputusan ini dirujuk, dibahas dan diputuskan oleh Parlimen. Apabila akta Pembangunan Petroleum digubal, hak menyerahkan hasil petroleum untuk dibangunkan oleh PETRONAS telah dibahas dan diputuskan oleh Dewan Undangan Negeri masing-masing.

Rakyat Sabah dan Sarawak tidak rela kerajaan Barisan Nasional merompak dan menyerahkan harta milik rakyat dengan sewenang-wenangnya kepada negara asing. Rakyat Sarawak telah menamatkan tempoh “deposit tetap” Barisan Nasional pada 16 Mei yang lalu di Sibu. Saya yakin Sarawak akan menghukum BN. Tahniah kita kepada DAP di atas kemenangan manis. Komitmen KEADILAN dan PAS dalam rangka PR teruji pada pilihanraya negeri akan datang, InsyaAllah.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,

Di samping KEADILAN akan memastikan hak kerajaan negeri dipertahankan, kita mengulangi janji, akan menaikkan royalti minyak kepada 20% supaya pembangunan dapat dipercepatkan di negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak. Apatah lagi setelah melihat betapa dhaifnya penghuni orang-orang Dayak, Iban, rumah-rumah panjang dan Melayu-Melanau di desa pingitan di Sibu baru-baru ini.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Di sudut diplomatik pula, rakyat kecewa dengan tindakan kerajaan Barisan Nasional membelanjakan wang rakyat sehingga RM77 juta kepada sebuah firma yang pernah ada kaitan dengan agensi perisikan Israel, semata-mata untuk membaiki imej Perdana Menteri. KEADILAN memandang serius perkara ini kerana isu APCO yang kita dedahkan di Parlimen, bukan sahana gagal dijawab oleh kerajaan malah Ketua Pembangkang pula yang mahu disingkir keluar Dewan.

Oleh itu Saudara-saudari sekalian,


MENJUNJUNG KESUCIAN ISLAM & HAK KEBEBASAN BERAGAMA

Saudara-saudari sekalian,

Mutakhir ini terdapat lambakan isu bersabit moral dan agama yang begitu merunsingkan rakyat. Kita bersyukur dan berterima kasih, di atas kematangan rakyat Malaysia yang tidak termakan dengan umpan, sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab memainkan isu-isu sensitif agama. Perancangan mereka dengan memutar belitkan isu penggunaan nama Allah, tidak kesampaian. Apapun, kerunsingan rakyat ini perlu kita jawab dan rungkaikan.

Kejayaan Majlis Pakatan Rakyat mengadakan Wacana Agama dengan 120 perwakilan pelbagai agama, persatuan, pemimpin masyarakat dan aktivis menunjukkan kematangan kita menangani anasir pelampau opotunis. Saya memberi jaminan, KEADILAN akan terus mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan menjamin kebebasan beragama.

Saudara-saudari perwakilan sekalian,

Di sebalik lakonan kononnya memperjuangkan Islam – Umno tanpa segan silu meluluskan lesen judi sukan yang diberikan kepada kroni besar. Percambahan lesen judi, galakan berjudi dikalangan rakyat paling meluas di era kepimpinan DS Najib. Malangnya ustaz-ustaz UMNO terus membisu. Lebih mengaibkan buat mereka apabila Ahli Parlimen bukan Islam dari PR yang membantah.

Sehingga kini, tidak kedengaran langsung suara-suara dari Melayu membantah tindakan menghalalkan judi.
Jawapan rasmi kerajaan amat hambar; kononnya menghalalkan judi sukan akan membawa kebaikan kepada ekonomi negara dan membendung aktiviti judi haram di pasaran gelap.


MENONGKAH CABARAN YANG LEBIH HEBAT

Saudara dan saudari yang dimuliakan

Dua tahun mendatang adalah tahun kritikal kepada kita. Meskipun saya yakin api perjuangan yang kita nyalakan ini tidak akan padam, namun musuh akan menggunakan segala helah yang lebih jelek dan zalim terhadap kita.

Pada PRU Mac 2008 rakyat telah menghantar mesej jelas, menuntut reformari menyeluruh ke atas semua institusi Negara. Namun tuntutan itu diabaikan, malah mereka semakin salahguna kuasa dan rasuah lebih parah lagi.

Analisa pasca 2008 secara terang-terangan membuktikan rakyat lebih dewasa; menempelak propaganda. Namun mereka tidak mengambil iktibar. Apa yang berlaku hari ini jauh lebih teruk – hinggakan beberapa orang pengamal media dan penerbit meletakkan jawatan kerana campurtangan Menteri dan kaum keluarga mereka .

Institusi kehakiman pun menerima nasib yang sama. Walaupun isu VK Lingam menjadi satu isu besar di peti undi, tiada tindakan diambil. Keputusan-keputusan mutakhir yang kita perhatikan jelas menunjukkan darjat institusi kehakiman kita tidak banyak berubah berbanding tahun 1998 dahulu.


JAMINAN KESELAMATAN MELALUI POLIS BUKAN NEGARA POLIS

Ketua Polis Negara berkata bahawa penjenayah kini jauh lebih brutal dan ganas. Kerana itulah rakyat meletakkan harapan kepada institusi polis untuk menjaga keselamatan nyawa dan kesejahteraan harta benda dari tergugat dengan tindakan brutal.

Namun, hari ini keadaannya tidak begitu bilamana polis pula dilihat begitu cepat dan ghairah meragut nyawa atas alasan menjalankan tugas.

Bagi seluruh warga KEADILAN, saya ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga adik Aminul Rasyid yang terkorban, serta semua mangsa tindakan serupa sebelum ini. Saya berasa tersentuh, 12 tahun dahulu, malam 20 September 1998 saya dengan begitu naïve meletakkan kepercayaan kepada polis ketika mereka membawa Saudara Anwar. Hari ini, selepas 12 tahun, pesan Saudara Anwar mengenai kezaliman polis masih relevan. Beliau mengingatkan rakyat kalau seorang Timbalan Perdana Menteri boleh diperlakukan begitu, apatah lagi nasib rakyat jelata.

Kita tegur atas prinsip dan tanggungjawab. Kita maklum ramai anggota polis terkorban ketika bertugas menentang penjenayah demi menjaga keselamatan rakyat. Malah ramai juga anggota parti kita bekas anggota polis. Sebab itu saya ingin tegaskan, kita menuntut institusi polis dibebaskan dari campurtangan politik. Latihan polis hendaklah menitikberatkan hal-hal kerohanian, hak asasi manusia dan pegawai polis mendokong fungsi dan peranan mereka secara profesional.

Apabila kita mencadangkan satu Suruhanjaya Bebas Penyiasatan Salahlaku Polis ditubuhkan, kita serius dalam soal keselamatan. Bukan tindakan memusuhi mana-mana pihak – tetapi ia satu mekanisme yang penting untuk meningkatkan imej polis.

 

PILIHANRAYA ADIL TUNTUTAN DEMOKRASI

Saudara-saudari sekalian,

Reformasi sistem politik dan proses pilihanraya langsung tidak menunjukkan kemajuan. Seingat kita, rapat umum Bersih dalam tahun 2007 sudah mampu menghantar mesej jelas, tuntutan bagi mengadakan pilihanraya yang adil dan bebas, rupa-rupanya tidak. Kita perlu mengkaji langkah-langkah baru untuk mempercepatkan proses reformasi politik dan pilihanraya menjelang pilihanraya ke-13. Saya juga mencadangkan kepada Pakatan Rakyat untuk merancang sekali lagi Himpunan Bersih dengan azam yang kuat menuntut pilihanraya yang bersih, adil dan telus.

Pengalaman kita di kesemua pilihanraya kecil selepas Mac 2008 menunjukkan SPR masih tidak berubah. SPR bukan sahaja tidak professional dan berat sebelah, malah lebih teruk lagi apabila bersekongkol merancang penipuan. Pengendalian undi pos semakin dipertikaikan ketelusannya. Maka kita menyokong tindakan Dato Zahid Inrahim memfail petisyen, membantah proses PRK Hulu Selangor. Sehingga kini, integriti dan kesahihan daftar pengundi masih dipersoalkan. Kita bimbang jika kredibiliti SPR tidak dipulihkan, ia membawa kesan jangka panjang kepada keyakinan rakyat terhadap sistem pilihanraya di Malaysia.


INTERGRITI PENCEGAH RASUAH

Saudara-saudari yang dikasihi

Perubahan yang dikatakan dijanjikan dengan pembentukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak berlaku. Persepsi masyarakat mengenai kebebasan dan integriti SPRM masih terus merudum. Buku berjudul Malaysian Maverick: Mahathir in Turbulent Times oleh Barry Wain dengan berani menyatakan bahawa negara kerugian 100 billion ringgit ketika pemerintahan Mahathir, masih gagal disiasat mahupun diulas oleh pemimpin hari ini mahupun oleh pegawai tertinggi SPRM.

Keterlibatan secara langsung SPRM dalam beberapa insiden berbaur politik sehingga menjatuhkan kerajaan sah Pakatan Rakyat, di Perak dan dikaitkan dengan kematian mendiang Teoh Beng Hock, ketika ghairah melakukan perkara yang sama di Selangor masih segar diingatan.


PENDIDIKAN DAN MASA DEPAN BANGSA

Hadirin yang dimuliakan sekalian,

Sistem pendidikan dalam negara perlu berani melaksanakan langkah drastik demi meletakkan mutu pendidikan negara ini setanding dengan negara serantau dan negara maju. Hasil kajian baru-baru ini, ranking Universiti Malaya yang suatu ketika dahulu menjadi kebanggaan negara, kini berkedudukan tercorot dalam Asia.

Sistem Pendidikan yang masih dikongkong dengan cengkaman dan campurtangan politik serta menghalang para pendidik professional menggunapakai kaedah yang lebih berkesan adalah antara sebab utama kemerosotan tersebut. Kalaupun kita beranggapan bahawa kedudukan ranking tidak begitu penting, kejayaan graduan kita memenuhi keperluan pasaran juga masih berkembang. Kita masih lagi berhadapan dengan masalah pengangguran siswazah yang runcing setiap tahun, majority dikalangan bumiputra dan India miskin.

Kita juga berdepan masalah sumber yang tidak mencukupi, kurangnya iltizam politik untuk melakukan reformasi pendidikan. Guru-guru kita, dibebankan dengan tugasan pejabat yang mengalih tumpuan mereka dari bilik darjah, sekolah-sekolah dibebankan dengan pelbagai inisiatif kerajaan yang mengurangkan masa mendidik anak-anak.

Di peringkat universiti, siswazah kita masih lagi dikongkong dengan AUKU. Pensyarah-pensyarah kita masih perlu ikut telunjuk selera politik semasa. Pelbagai sekatan dibuat yang membantutkan perkembangan minda siswazah kita.

Sesungguhnya, KEADILAN telah pun mengorak langkah menggubal satu Sistem Pendidikan Nasional Baru yang progresif dan berkualiti. Sistem ini mampu menjana sumber daya insane dengan berpaksikan system nilai bersama dan kepelbagaian tamadun manusia selaras dengan Perlembagaan.

Ini bermakna roh Falsafah Pendidikan Negara yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1986 dikembalikan ke dalam sistem pendidikan negara dengan memperkukuhkan pendemokrasian pendidikan - pengagihan, peluang dan persamaan . Setiap warga negara diberi ruang untuk memilih aliran pembelajaran yang bermutu selaras dengan kepelbagaian potensi para pelajar.


GOLONGAN PEKERJA

Nasib rakyat terutama golongan pekerja berpendapatan rendah tidak mendapat pembelaan sewajarnya. Kadar kenaikan gaji dan pendapatan di Malaysia adalah lembap berbanding kenaikan harga, menyebabkan kuasa beli rakyat semakin berkurangan. Bagi rakyat yang memang sudah berpendapatan rendah, ini bermakna mereka menjadi bertambah miskin setiap tahun.

Justeru, komitmen kita untuk memperkenalkan gaji minima tetap kukuh atas dasar kepedulian kepada rakyat. Kita yakin dasar ini diperlukan untuk membela nasib pekerja yang sekian lama dilupakan kebajikan mereka terutama pekerja berpendapatan rendah.


PERKUATKAN PEMUDA, PERKASAKAN WANITA, MANTAPKAN JENTERA

Saudara-saudari yang dihormati,

Beberapa penekanan harus kita lakukan mulai sekarang.

Pertama, tumpuan kepada orang muda perlu ditingkatkan. Masa depan negara terletak di tangan mereka dan kuasa mereka tidak boleh diperlekehkan. Orang muda perlu didekati melalui program-program khusus, yang menarik minat dan cita rasa mereka.

Ini bermakna, generasi muda apabila meyakini sesuatu perjuangan, mereka sanggup turun beramai-ramai dan berada di barisan hadapan. Itulah pengajaran kita dari zaman reformasi 1998 sehinggalah kini – maka tugas dan tanggungjawab Angkatan Muda adalah sangat penting dan strategik.

Keduanya, kita perlu menghormati dan menggunakan kuasa wanita yang ada pada kita. Pengaruh wanita sangat tinggi bukan sahaja dari segi bilangan yang membentuk 50% rakyat Malaysia, tetapi kuasa ekonomi dan kuasa sosial yang ada pada mereka.

KEADILAN sememangnya mengiktiraf kedudukan wanita. Ini terbukti dengan pindaan perlembagaan ke arah memenuhi minimum 30% penyertaan wanita dalam kedudukan kepimpinan di semua peringkat. Sasaran itu adalah dalam konteks mendokong kesetaraan gender dan pemberdayaan wanita, di mana penetapan dasar dan strategi dilaksanakan bagi memperdalamkan lagi pengarusutamaan gender dalam struktur parti dan pentadbirannya (substantive gender equality).

Ketiga, jentera parti sehingga ke peringkat ranting perlu dikukuhkan bukan sahaja dari segi meramaikan petugas, tetapi mencernakan sistem pengurusan yang baik dan kod pentadbiran yang cekap. Demikian mandate kepada Setiausaha Agong untuk memperkemaskan jentera hingga ke akar umbi. Timbalan dan Naib-naib Presiden diamanah memperjelaskan dasar serta memantapkansaf kepimpinan dan latihan disemua peringkat. Pada masa yang sama, gerakkerja daftar pemilih baru dan jentera pilihanraya hendaklah diperhebatkan.

Insya Allah, sekiranya kita bersatu hati dan menumpukan perhatian kepada ketiga-tiga aspek ini kita mampu bersama rakan PAS dan DAP melangkah ke Putrajaya.


INTEGRITI DAN NILAI SEBAGAI BENTENG TERAKHIR

Saudara-saudari yang dihormati

Kita sudah sampai ke bahagian terakhir ucapan dan bahagian yang terpenting.

Alhamdulillah, kita telah saksikan ketegasan TG Nik Aziz di Kelantan. Turut ketetapan kerajaan negeri Pulau Pinang tidak mengizinkan premis perjudian lumba sukan. Ketua Menteri Lim Guan Eng membuat pengumuman tersebut sempena Hari Wesak semalam. Dasar yang sama akan diamalkan dinegeri PR.

Saudara-saudari yang dihormati,

Kita kesal dengan kerajaan BN yang tidak memartabatkan Mahkamah Syariah Persekutuan. Ini terbukti ketika Ketua Umum mengemukakan kes qazaf. Pendakwa Syariah diarah untuk tidak mengambil tindakan keputusan Mahkamah Syariah yang menggunakan helah teknikal jelas membuktikan Mahkamah Syariah juga tidak terlepas dari campurtangan apparatus politik negara.

Jika Kerajaan benar-benar mahu memartabatkan Islam, mulakanlah dengan memberi kebebasa kepada Mahkamah Syariah untuk mengadili kes-kes di dalam bidang kuasanya. Apabila kita cuba menjawab sumpah laknat itu melalui peruntukan undang-undang syariah, pimpinan UMNO menghalang.

Rakan – rakan seperjuangan,

Kita tidak pernah mengandaikan Wadah perjuangan reformasi – islah mas tat tum ini mudah.

Saudara saudari telah alaminya, penderaan, penjara, penghinaan. Dan UMNO masih meneruskan strategi rakus, ganas dan jahat. Mereka gunakan jentera, dana dan media. Berulangkali mereka mentalkan pimpinan dan parti kita. Kita akan dikasarkan tahun 1999; dilenyapkan 2008 dan kini juga hingga Selangor mahu dirampas dan ditumpaskan.

Alhamdulillah, setiap kali mereka mengherdik; kita muncul lebih kuat dan mantap – membujur lalu melintang patah!

Mutakhir ini muncul lagi kisah wakil rakyat dan pimpinan kecil melompat keluar – kononnya dengan pelbagai alas an murni. Sayurgia diingat, ada yang keluar duku melalak kuat kerana ukuran upah bergantung kepada kuat serangan. Namun, penyokong parti dan rakyat arif dengan gelagat pengkhianatan bermakan upah.

Penyakit ini berjangkit kepada wakil-wakil rakyat yang memenangi kerusi dari derita dan pengorbanan rakyat. Didesak, mereka didakwa rasuah – maka lari menyelamatkan diri. Ada yang pohon kontrak dari negeri; ada yang membuat tuntutan berlebihan. Manakala pimpinan parti bertegas, mereka lompat parti.

Kini pekung busuk terhidu; fakta akan didedah. Insyaallah kita akan mendedahkan keterangan harga upah Ahli Parlimen yang melompat – 2 juta ringgit dan kontrak.

Demikian telatah pengkhianat – bicara soal prinsip‟ tetapi isikan temolok sendiri. Jika demikian watak wakil rakyat, bukankah lebih baik mereka disingkir dan bersama dengan parti wang dan kontrak – UMNO = BN.

Apakah perkembangan tersebut mampu memantapkan Parti Keadilan Rakyat? Ya – kerana bukan saja parti diselamatkan dari anasir negative; tetapi ia adalah pengajaran buat kita. Ukuran pemilikan pimpinan harus lebih ketat; bakal calom harus mengikuti program terbiyah atau latihan. Apakah mampu dipertahankan tokoh lama yang kurang wibawa? Atau mestikah kita sekadar memilih baru yang telah kenal aspirasi perjuangan parti yang bersifat islahi – tajdidi; kearah reformasi dan pembaharuan.

Pimpinan wajar mendengar pandangan parti dan rakyat dan menilai dengan sabar. Wakil rakyat harus tingkatkan khidmat dan prestasi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Pulau Pinang dan Selangor perlu lebih berkhemat berkerja dalam pasukan - menumpu isu pembangunan dan pengagihan kekayaan kepada rakyat serta kepedulian terhadap permasalahan rakyat. Jesturu parti kita adalah anggota gabungan pakatan rakyat, ahli exco perlu berkhidmat kepada rakyat sambil mempertahan kedudukan Menteri Besar dan Ketua Menteri.

Utamanya di Selangor dimana kita terajui Tan Sri Khalid selaku MB memikul tanggungjawab besar. Beliau telah mempertahankan prinsip ketelusan dan pertanggungjawaban – mengikis amalan boros dan rasuah yang membudaya dalam UMNO. Keberanian kerajaan negeri Selangor memperkenal Selcat – mendedah seluruh amalan kepada rakyat merupakan pembaharuan membanggakan.

Kerajaan negeri Selagor bergegas tekun tapi dalam keadaan tertekan; dibayangi nafsu serakah pimpinan UMNO untuk sabotaj dan merampas negeri Selangor. Kita perlu sentiasa sedar agenda tersebut. Kendati begitu kita perlu mengambil tindakan segera memperkemas jentera negeri yang lembah terikat dengan budaya lama. Kita harus pacu pertumbuhan dengan lebih pantas; tidak bertolak ansur dengan kecuaian.

Sebaik ada permintaan pelabur atau peniaga, rugutan petani atau pekerja tindakan segera perlu diambil – melayani mereka iaitu Melayu,Bumiputra, Cina dan India. Kita perlu mampu memaparkan imej pentadbiran baru, lebih cekap, bertanggungjawab dan berkhidmat untuk rakyat.

Sebaik ada dakwaan rasuah atau penyelewengan proses siastan telus perlu disegerakan sesiapa jua tidak terlepas atau dilindungi. Kerja kita adalah dalam satu pasukan Pakatan Rakyat. Peringatan kita bukan untuk memberi ruang untuk sesiapa untuk menganggap kekayaan atau kontrak negeri adalah milik mereka. Yang ditegaskan adalah keperluan bertindak bijak, memahami tuntutan dan aspirasi rakyat.

Dan dalam amalan demokrasi. Kekuatan akar umbi juga adalah penentu bagi mempertahan kuasa. Maka lingkaran dan jaringan parti disemua peringkat akan menjadi pengukur kejayaan pentadbiran negeri.

Hakikatnya, kepimpinan dalam tradisi Islam, merupakan suatu taklif (amanah dan tanggungjawab), bukannya tashrif (kemegahan dan kebesaran). Peter F. Drucker, menyatakan, “…the leader sees leadership as responsibility rather than as rank and privilege”.

Umar yang hairan melihat ibu itu, kemudiannya mengetuk pintu. Tanpa memperkenalkan diri, beliau bertanya, “kenapakah engkau tidak memberi makanan kepada anak-anakmu sedangkan mereka lapar?” Ibu itu menjawab, “Tuan, sebenarnya aku terpaksa berolok-olok memasak sesuatu untuk membuatkan mereka tertunggu-tunggu dan tertidur kerana penat menunggu. Aku hanya memasukkan beberapa ketul batu dalam periuk itu. Kemudian bertanya Umar, “tidakkah ada sesiapa yang datang membantu mu?” Maka berkata ibu tadi, “tidak ada, bahkan khalifah pun tidak ambil peduli!”. Pilu Umar mendengar kata-kata ibu tersebut, satu tamparan hebat kepada dirinya sebagai pemimpin.

Maka beliau bersama khadamnya ke perbendaharaan dan mengarahkan khadamnya mengeluarkan seguni gandum. Apabila Khadam ingin mengangkat guni tersebut Umar terus menghalangnya seraya berkata, “ini tanggungjawabku, amanahku, biarlah aku memikulnya”. Guni dipikul dan dibawa ke rumah ibu yang malang itu. Beliau meminta izin untuk masuk ke dapur, mengambil peniup dan dihidupkan api dan dimarakkan. Khadam yang memerhatikan berkata “aku lihat janggut beliau dipenuhi dengan debu dan habuk tempat memasak”. Kemudian dibakar gandum yang telah diuli menjadi roti. Apabila terkejut anak-anak dari tidur, makanlah mereka dengan girangnya. Berkatalah ibu tadi “Sungguh baik pekerti dan budi tuan, kalaulah khalifah seperti tuan!”. Bercucuran airmata Umar, suara ibu itu benar-benar menusuk kalbunya.

Demikian sifat seorang pemimpin unggul,mampu memadukan secara harmonis di antara sikap pengabdiannya kepada Tuhan dengan idealism perjuangannya serta keprihatinan kepada insan seluruhnya. Justeru, seorang pemimpin hendaklah sentiasa bermujahadah, mengekang keserakahan nafsu dan konsisten dengan amalan-amalan yang dapat meningkatkan ketahanan rohaniah dalam menghadapi pelbagai cabaran mendatang. Inilah yang dimaksudkan sebagai moral integrity atau kewibawaan moral. Tanpa kekuatan ini, seorang pemimpin akan terjebak dengan pelbagai gejala rasuah, keangkuhan diri, penyalahgunaan kuasa, nepotisme hatta perjuangan.

Saudara-saudari sekalian,

Dalam masa yang sama perkukuhkanlah institusi kekeluargaan. Perhubungan yang berpegang pada tiang agama dan didasari dengan nilai-nilai murni; kasih sayang dan belas kasihan akan mampu mewujudkan masyarakat sihat dan bermaruah. Visi keadilan dalam erti kata kebebasan, hak asasi manusia, kesamarataan gender hatta demokrasi sekalipun, hanya akan memberi makna jika ia dilaksanakan menerusi nilai-nilai tersebut.


PENUTUP

Saudara-saudari yang dihormati,

Kita berada di persimpangan yang memerlukan kita mengimbau banyak pengajaran. Sejak bermulanya detik pengiktirafan defining moment, bilamana benih zaman tersemai hinggalah ke hari ini, pukulan gendang perang menyelamatkan Malaysia .

Akhir kata, tahniah dan terima kasih kepada Setiausaha Agong dan Sekretariat kerana berjaya menganjurkan kongres pada kali ini dengan baiknya. Terima kasih kepada MPN Kelantan serta Kerajaan Negeri Kelantan yang sudi menerima kedatangan kita.

Terima kasih daun keladi,
Kalau boleh, kami nak datang lagi.

Kepada saudara-saudari, saya ucapkan selamat bersidang semoga ucapan dasar ini dapat dibahas secara intelektual dan matang bagi mencapai satu kesepakatan mantap.

Sekian, wassalamualaikum wbth.
Datin Sri Dr. Wan Azizah Wan Ismail



Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...