BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya
Memaparkan catatan dengan label APCO. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label APCO. Papar semua catatan

Sabtu, Februari 05, 2011

Sokong rakyat Mesir jika benar dahulukan rakyat

Jika benar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersikap mendahulukan rakyat, beliau hendaklah menyatakan sokongan kepada kebangkitan rakyat Mesir menuntut presiden mereka berundur, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

"Jangan cakap sahaja mendahulukan kepentingan rakyat, tetapi bersikap buta dan pekak kepada aspirasi dan tuntutan rakyat seperti yang dicerminkan oleh rakyat Mesir yang bangkit beramai-ramai itu.

"Jangan hanya sedap pada slogan sahaja, sedangkan apa yang berlaku ialah rakyatlah yang terlebih dahulu menanggung kesusahan," katanya.

Mahfuz juga melihat apa yang berlaku di Mesir itu berpunca dari sikap Presiden Hosni Mubarak yang menjadi boneka Israel dan Yahudi Zionis.

"Sebab itulah kita bimbang negara ini juga akhirnya akan menjadi boneka dan porak peranda seperti Mesir dengan sikap kerajaan Najib yang begitu mesra Zionis termasuk melantik firma Zionis seperti Apco Worldwide untuk menjadi rakannya dalam melaksanakan pemerintahan negara ini.

"Itu belum lagi diambilkira hubungan dagang dengan Israel yang seolah-olah dirahsiakan sehinggalah perkara itu menjadi isu baru-baru ini," katanya.

Mahfuz percaya, kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) akhirnya akan menghadapi nasib yang sama di tangan rakyat negara ini kerana kegelisahan sebahagian besar rakyat negara ini hakikatnya sama dengan kegelisahan rakyat Mesir.

"Sama seperti apa yang berlaku di Mesir, rakyat Malaysia juga mahukan demokrasi yang sebenarnya serta keadilan dan pembebasan dalam kehidupan ekonomi mereka bahkan rakyat Malaysia juga berhadapan dengan Datin Seri Rosmah Mansor yang dilihat sama seperti Leila Trabelsi iaitu isteri Zine el Abidine Ben Ali, bekas presiden Tunisia yang dihalau oleh kebangkitan rakyat negara itu baru-baru ini.

"Rakyat Malaysia juga sedang berhadapan dengan tekanan kenaikan harga barang yang berterusan termasuk kenaikan harga minyak sehingga kadar penerimaan terhadap Najib jatuh merudum dalam tinjauan pendapat baru-baru ini.

"Rakyat Malaysia juga berhadapan dengan pengagihan kekayaan negara yang tidak seimbang dan kerajaan pula memberatkan lagi bebanan rakyat termasuk generasi akan datang dengan hutang negara ekoran perlaksanaan Model Ekonomi Baru (MEB) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dikritik oleh orang-orang Umno sendiri sebagai tidak berpijak di bumi nyata," katanya.

Dari sudut demokrasi dan hak asasi pula pula, kata Mahfuz, Human Rights Watch (HRW) sendiri menyifatkan kerajaan Najib hanya bercakap kosong sahaja dalam soal hak asasi manusia.

"Bukan setakat itu sahaja, kerajaan Najib juga sedang berusaha untuk menyekat kebebasan termasuk melalui cadangan untuk mengadakan kawalan siber," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu yang menyifatkan kerajaan Najib semakin kasar menyekat suara rakyat.

Mengulas perkembangan di Mesir, Mahfuz meminta Mubarak berundur kerana kedegilannya untuk terus berkuasa mendatangkan masalah kepada masyarakat dunia.

"Harga minyak dilaporkan akan naik berikutan perkembangan di Mesir dan para pelajar di seluruh dunia pula terkandas di negara itu," katanya.
 

Ahad, Oktober 24, 2010

Kekangan Berterusan Terhadap Media Didalangi APCO?

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata kejatuhan indeks kebebasan media merupakan loceng amaran kepada kerajaan Umno-Barisan Nasional apabila masyarakat antarabangsa memandang begitu rendah TKterhadap amalan kebebasan media di negara ini.

Beliau berkata hampir semua media di negara ini mempunyai kaitan dengan parti politik Umno-BN atau pun dikawal oleh tokoh-tokoh tertentu yang mempunyai hubungkait dengan parti tersebut.

"Undang-undang yang ada sekarang, yang mana setiap tahun suratkhabar ini kena dapat permit daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga tidak munasabah.

"Kita lihat seperti masalah yang dihadapi suratkhabar daripada Pakatan Rakyat seperti Suara Keadilan, The Rocket dan Harakah, yang mana KDN sengaja melambat-lambatkan  pengeluaran permit penerbitan," kata Teresa kepada Suara Keadilan.

Sebelum ini KDN sengaja melengahkan pembaharuan permit penerbitan Harakah dan The Rocket sementara lidah rasmi KEADILAN terus digantung tanpa memberikan apa-apa alasan sehingga kini.

"Kesemua dasar dan undang-undang ini telah menyekat kebebasan akhbar di Malaysia dan perlu diambil perhatian oleh kerajaan Umno-BN jika mereka benar-benar ingin menunjukkan kepada masyarakat luar negara bahawa Malaysia mengamalkan kebebasan media," tambah beliau yang juga merupakan Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Teresa tidak menolak kemungkinan kekangan berterusan terhadap media di negara ini didalangi oleh syarikat perunding pro Zionis Israel, Apco worldwide kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Kedudukan Malaysia jatuh 10 anak tangga kepada 141 dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia 2010 - yang terendah dalam tempoh sembilan tahun - dalam senarai 178 negara.

Malaysia gagal memanfaatkan peningkatan kedudukannya pada tahun lalu yang naik satu anak tangga - dari 131 kepada 132.

Yang menariknya, Singapura (136) buat pertama kalinya mengatasi Malaysia sejak badan pemantau Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) mulai mengeluarkan senarai tersebut pada tahun 2002.

Antara 10 negara anggota Asean, Malaysia berada pada kedudukan lebih tinggi daripada dua negara yang dianggap medianya lebih bebas - Thailand (153) dan Filipina (156).

RSF mengaitkan puncanya dengan kejadian keganasan politik. 
 

Selasa, Julai 06, 2010

Najib dicabar dedah kontrak dengan APCO

Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendedahkan kepada umum segala maklumat mengenai cadangan penyambungan kontrak di antara Malaysia dengan firma khidmat komunikasi, APCO Worldwide.

Beliau berkata, kerajaan harus mendedahkan perkara itu secara telus, bukan dibuat secra senyap-senyap seperti sebelum ini.

"Saya mencabar Datuk Seri Najib untuk secara terbuka mengemukakan maklumat berkenaan dengan cadangan penyambungan kontrak ini.

"Kita sedia maklum ikatan kerjasama yang pertama itu terdedah setelah ketua pembangkang mendedahkannya di Parlimen ini," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Agung KEADILAN turut mendesak kerajaan menyatakan butiran terperinci mengenai nilai penyambungan kontrak berkenaan serta skop tugas firma berkenaan.

"Berapakah nilai kontrak untuk penyambungan kontrak ini yang akan diberikan oleh kerajaan dan apa pula bidang tugas APCO dalam meneruskan perkhidmatan mereka kepada Malaysia?" soalnya.

Selain itu, beliau mahu kerajaan menyatakan secara jelas mengenai kejayaan yang telah dicapai oleh negara ketika menggunakan khidmat APCO sehingga memerlukan ianya disambung.

"Saya juga mendesak kerajaan mengemukakan laporan berkaitan kejayaan apakah yang telah dicapai hasil guna khidmat APCO.

"Kita mendesak Perdana Menteri bersemuka secara terbuka, telus dan bertanggungjawab apakah rasional yang munasabah untuk meyakinkan rakyat Malaysia bahawa penggunaan khidmat APCO ini merupakan satu yang benar-benar bermanfaat kepada rakyat dan negara seluruhnya terutamanya terhadap keselamatan maklumat negara dan sebagainya," katanya.

Katanya juga, kerajaan seolah-olah langsung tidak menjaga sesitiviti umat Islam apabila bertindak menyambung khidmat APCO yang secara jelas ada kaitan dengan Zionis Israel.

"Apakah kerajaan langsung tidak memikirkan sensitiviti umat Islam yang bencikan Israel?" soalnya.

Kerajaan sebelum ini didakwa meluluskan penyambungan kontrak APCO setahun lagi bermula bulan lalu.

Tindakan itu sekaligus menimbulkan bantahan daripada Pakatan Rakyat yang mahu khidmat syarikat berkaitan Israel itu ditamatkan.

Rabu, Jun 16, 2010

Kutukan Umno-BN Terhadap Zionis Israel Retorik Politik Sahaja

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail menyifatkan usul Umno-Barisan Nasional mengutuk rejim Zionis Israel dalam parlimen minggu lalu sebagai retorik politik semata-mata kerana hakikat sebenarnya Umno-BN mempunyi hubungan baik dengan negara haram itu.

Dr Wan Aziziah berkata Umno-BN tidak mempunyai kesungguhan untuk membantah tindakan kejam dan ganas tentera Zionis Israel bukan sahaja kepada rakyat Palestin tetapi juga ke atas konvoi misi kemanusiaan yang membawa bantuan ke Semenanjung Gaza kepada rakyat Palestin baru-baru ini.

"Hubungan mereka dengan Apco yang sudah jelas dan nyata dipertikaikan oleh rakyat masih lagi mereka teruskan. Begitu juga dengan membenarkan kapal dagang Israel yang berlabuh di pelabuhan negara ini adalah satu tindakan talam dua muka atau cakap tidak serupa bikin.

"Dalam satu situasi mereka mengutuk dan mengecam tindakan ganas Zionis Israel tetapi dalam satu situasi yang lain pula mereka bersekongkol dan membenarkan gerakan dan hubungan dengan Zionis Israel ini diadakan.

"Walaupun ianya adalah berkaitan dengan perdagangan dan ekonomi, ini tidak boleh dibenarkan. Hubungan yang sedia ada wajib segera dihenti dan ditamatkan segera. Jika benar kerajaan yang memerintah ini prihatin dan sensitif terhadap kezaliman yang telah dan sedang dilakukan oleh Zionis Israel sudah pasti mereka tidak mahu hubungan yang sedia ada dalam apa jua kondisi diteruskan,"kata Dr Wan Azizah kepada Suara Keadilan selepas majlis meraikan penduduk Junjung, Kulim di pejabat KEADILAN Ranting Junjung Sabtu lalu.

Berhubung isu lesen judi sukan bola sepak pula Dr Wan Azizah menempelak pihak kerajaan yang tidak telus dalam menyatakan pendirian mereka terhadap keputusan pemberian lesen judi sukan ini kepada syarikat judi, Ascot Sports Sdn Bhd.

"Inilah sikap mereka yang tidak mempunyai pendirian. Antara kalangan kepimpinan dalam kerajaan sendiri memperlihatkan keputusan yang telah dibuat dalam isu lesen judi sukan bola sepak ini tidak konsisten dan bercanggah.

"Mereka tidak berani untuk menyatakan pendirian. Pengerusi Berjaya Group mendakwa menerima kebenaran untuk menjalankan kegiatan judi sukan bola sepak sedangkan pihak kerajaan pula menafikannya.

"Ini sudah jelas kepada rakyat bahawa kerajaan Umno-BN yang sedang memimpin negara ini adalah sebuah kerajaan yang tidak berpendirian. Mereka boleh dibeli dalam apa jua cara. Jika ada yang menguntungkan maka itu akan diakui oleh mereka. Sekiranya ianya ditentang pengakuan tidak berani dibuat. Sebaliknya tuduhan akan dilemparkan kepada pihak lain," jelas beliau lagi.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mansor Othman, Exco Kerajaan Negeri Kedah, Lim Soo Nee dan Tan Show Kang.


Sabtu, Jun 05, 2010

Apco Serang Balas Anwar Terhadap Pendedahan Hubungan Dengan Zionis

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap tindakan beliau mendedahkan hubungan firma komunikasi antarabangsa, Apco Worldwide dengan Zionis adalah sebab mahu meletakkan keselamatan negara lebih utama daripada segalanya termasuk serangan peribadi terhadap beliau dan mengantung keanggotaan sebagai ahli parlimen.

Anwar berkata kecamannya terhadap Apco yang digunapakai khidmatnya oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional adalah kerana tindakan itu boleh menggugat keselamatan negara.

"Dalam kritikan kita terhadap Apco, orang melihat ini sebagai isu politik tetapi saya melihat ini sebagai isu keselamatan negara," kata beliau.

Anwar memberitahu tindakannya mengecam Apco juga telah menyebabkan, badan tertua pertubuhan Yahudi, B'nai B'rith menyalahkan beliau kerana kononnya menghasut kebencian terhadap Israel dan Yahudi.

"Disebabkan saya mengecam tindakan Apco yang dibelakangi Israel dalam negara ini, menyebabkan saya telah dilabelkan oleh pertubuhan Yahudi yang tertua, B'nai B'rith sebagai anti-Yahudi dan anti- Semitik.

"Saya tahu Apco telah membuat laporan rasmi kepada International Crisis Group di atas tindakan saya itu, tapi itu tidak pernah mengusarkan saya kerana bagi saya soal keselamatan negara lebih penting dari segalanya.

"Mereka memutar belit kenyataan saya di parlimen mengatakan saya anti-Yahudi. Saya cakap yang betul bukannya palsu atau bukan kerana politik," kata beliau selepas mempengerusikan sidang meja bulat plan tindakan keadilan dan keamanan Gaza di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru semalam.

Ketua Umum KEADILAN itu juga mendakwa, Apco sedang membalas dendam terhadap beliau kerana pendedahan yang telah dilakukan. 

"Apco menyerang balas terhadap saya kerana mendedahkan penglibatan mereka dengan Israel, saya cuma mahu lindungi negara ini. Kita kena sedar bahawa keselamatan negara ini sudah lagi tidak terjamin. Mereka menyerang saya secara peribadi dan cuba menghukum saya.

"Mereka sebenarnya tersinggung dengan tuduhan bila saya menyatakan ejen Israel telah memasuki sistem keselamatan Polis DiRaja Malaysia," jelas Anwar lagi.

Ekoran daripada pendedahan tersebut, B'nai B'rith  mendesak Amerika supaya memutuskan semua hubungan dengan Anwar yang mengaitkan 1Malaysia dengan One Israel.

Selasa, Jun 01, 2010

Serang Konvoi Bantuan Kemanusiaan, KEADILAN Desak Kerajaan Batal Kontrak APCO

KEADILAN hari ini mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim zionis Israel yang menyerang konvoi bantuan kemanusiaan antarabangsa (Freedom Flotilla) ke Gaza yang mengakibatkan 16 orang terbunuh manakala puluhan lagi cedera.

Ketua Penerangan Latheefa Koya berkata serangan kejam itu terhadap sebuah daripada enam kapal yang membawa bekalan perubatan, makanan, bahan binaan dan lain-lain keperluan asas menuju Gaza.

"Pembunuhan terhadap aktivis konvoi bantuan itu merupakan satu tindakan yang kejam dan salah sama sekali.

"Tiada justifikasi di bawah undang-undang antarabangsa yang membolehkan rejim zionis itu bertindak sedemikian," kesalnya.

Tambahnya, konvoi kapal tersebut turut membawa Ahli Parlimen dari Eropah, pemegang Nobel Peace Prize, wanita dan beratus-ratus aktivis keamanan.

"KEADILAN menyeru dunia mengutuk dan mengambil tindakan terhadap rejim zionis itu dan mendesak kerajaan membatalkan kontrak APCO dengan segera," tegas Latheefa lagi.

Ahad, April 25, 2010

Pesanan buat pengundi Hulu Selangor : Ingat darah & air mata rakyat Palestin

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) memohon semua pengundi di Hulu Selangor esok supaya tidak melupai darah dan air mata rakyat Palestin yang dijajah Yahudi zionis termasuk di dalam APCO Worldwide.
 
"Sebelum mengundi, ingatlah bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan Barisan Nasional (BN) menjadikan APCO Worldwide yang dimiliki dan dikuasai Yahudi sebagai tempat  memohon petunjuk, iaitu konsultan komunikasi mereka.

"Jangan khianati darah dan air mata rakyat Palestin," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Menurut Mahfuz, ahli lembaga APCO juga turut dianggotai bekas ketua keselamatan Agensi Keselamatan Israel (Israeli Security Agency atau ISA) yang lebih dikenali sebagai Shabak atau Shin Bet.

Semasa intifada al-Aqsa, Shin Bet memainkan peranan untuk mengenalpasti identiti dan lokasi pemimpin-pemimpin Palestin yang akan dijadikan sasaran mangsa pembunuhan melalui serangan udara tentera Israel.

Shin Bet juga amat terkenal dengan kaedah-kaedah menyeksa tahanan mereka semasa soal siasat.

Penglibatan Shin Bet dengan APCO tidak terhad kepada seorang individu di mana tiga lagi bekas anggota Shin Bet menganggotai syarikat yang bersekutu dengan APCO, iaitu Asero Worldwide.

Menurut laporan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Denise Teeling dan Margery Kraus adalah pengarah APCO Worldwide Sdn Bhd yang ditubuhkan di Malaysia, iaitu tempat Najib dan kerajaannya memohon petunjuk.

"Saya amat berharap para pengundi Hulu Selangor tidak memberikan undi kepada BN pimpinan Najib yang menjadikan APCO yang dikuasai Yahudi zionis sebagai tempat memohon petunjuk," kata Mahfuz.

Menurut beliau, Naib Presiden Kanan APCO Worldwide di Washington DC, Jonathan Winer, pernah mengemukan laporan yang menuduh Ikhwan Muslimin serta beberapa badan kebajikan Islam sebagai pengganas.

Beliau pernah berusaha agar dipatahkan segala aktiviti kewangan kepada badan-badan tersebut.

Salah seorang ahli lembaga APCO dan bekas duta Amerika Syarikat, Marc Ginsberg pula menyifatkan mujahid Islam, asy-Syahid Sayyid Qutb sebagai musuh dan membandingkannya dengan Adolf Hitler. Syed Qutb ialah penulis karya-karya besar seperti Ma'alim fil Tariq dan Fi Zilal al-Qur'an.

Ahli lembaga APCO yang lain termasuk dua bekas duta Israel, iaitu bekas duta Israel ke Jerman, Shimon Stein dan bekas duta Israel ke kepada Amerika Syarikat, Itamar Rabinovich.

Jumaat, April 16, 2010

Media Umno-BN Bohong Mengenai Lawatan Najib Ke AS

Mungkinkah firma komunikasi antarabangsa Apco Worldwide dengan kerjasama media milik Umno-Barisan Nasional berperanan memberi gambaran yang muluk berhubung lawatan Perdana Menteri ke Amerika Syarikat kepada rakyat Malaysia tetapi realiti  lawatan itu adalah jauh dari kebenaran?

Justeru itu Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya menjawab semua persoalan berhubung lawatannya ke Amerika Syarikat kepada anggota Dewan Rakyat sekembali beliau ke tanah air.

Kit Siang berkata, beliau menerima satu laporan dari seorang rakyat Malaysia di Washington mengenai lawatan Perdana Menteri yang menimbulkan banyak persoalan penting.

Pertamanya, kedutaan Malaysia di Washington didakwa bersubahat dengan media Malaysia bagi memberikan gambaran yang tidak benar mengenai pertemuan itu.

Misalnya, media melaporkan Najib adalah salah seorang dari dua pemimpin Asia yang dipertemukan dengan Presiden Amerika, Barrack Obama selain Presiden China, Hu Jin Tao. 

Hakikatnya Perdana Menteri India, Manmohan Singh dan Perdana Menteri Pakistan, Yousuf Raza Gilani turut dikatakan bertemu dengan Obama secara individu untuk sesi pertemuan antara satu jam setengah hingga dua jam. 

Pertemuan itu dikatakan bagi mentakrifkan semula semakan geografi di mana benua benua kecil tidak lagi menjadi sebahagian dari Asia. 

Najib turut dikatakan hadir pada majlis makan tengahari dengan Naib Presiden Amerika, Joe Biden. Beliau dikatakan tetamu tunggal sepertimana yang dilaporkan media tempatan.

Sedangkan menurut laporan New York Times, Najib tidak keseorangan tetapi ditemani beberapa pemimpin lain untuk majlis makan tengahari di kediaman Naib Presiden Amerika itu.

Soal pendirian Malaysia mengenai beberapa isu langsung tidak disebutkan dalam pertemuan itu. 

Umpamanya, keinginan untuk menghidupkan semula Perjanjian Perdagangan Bebas atau isu Palestin yang merupakan subjek yang dekat dengan kerajaan Malaysia. 

Apatah lagi, Rumah Putih turut mengeluarkan satu rumusan yang tidak dilaporkan media Malaysia berhubung pendirian Amerika berkaitan penghasilan tenaga nuklear di Iran.

Duta Malaysia di Vienna merupakan satu daripada lima negara yang mengundi menolak tindakan terhadap Iran berhubung isu nuklear negara tersebut.

Menurut rakyat Malaysia berkenaan, keputusan itu sangat bertentangan dengan dasar Pertubuhan Persidangan Negara-negara Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM). 

Apa yang lebih memeranjatkan, Rang Undang-undang Perdagangan Strategik yang diluluskan secara terburu-buru di Parlimen baru-baru ini dikatakan dilakukan di bawah tekanan Amerika supaya Malaysia menyokong embargo barangan terhadap Iran.

Najib juga dikatakan perlu mengakui Malaysia perlu mengambil tindakan serius bagi mengawal penyeludupan manusia yang turut mendapat kritikan Dewan Senat Amerika.

Khamis, April 15, 2010

Apco Nasihati Perang Siber Terhadap Pakatan Rakyat?

Ahli Parlimen Pakatan Rakyat mempersoalkan jumlah bayaran RM77 juta yang dibayar kepada syarikat perunding antarabangsa Apco Worldwide sambil menyifatkan langkah tersebut mendedahkan kerajaan Malaysia, rakyat dan negara kepada penyusupan anasir Zionis Israel. 

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua mempersoalkan asas yang digunapakai kerajaan untuk membuat jumlah bayaran yang sebegitu besar kepada syarikat yang dikatakan menyediakan dua jenis perkhidmatan kepada kerajaan.

"Saya dapat penjelasan dari menteri bahawa Apco telah dibayar dalam dua jenis perkhidmatan, satu 'public affairs and government services' dan kedua perkhidmatan komunikasi strategik dan 'public relations and press outreach'. Kedua-dua perkhidmatan ini kalau campur berjumlah RM77 juta," kata beliau pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2009) 2010.

Menurut Tian, menteri berkaitan juga sebelum ini menafikan bahawa Apco bukan dibayar untuk membentuk imej 1Malaysia tetapi menyatakan kepakaran  syarikat itu digunakan untuk memperbaiki hubungan Amerika Syarikat dan Malaysia.

"Saya tidak faham apa yang telah rosak sehingga kita kita perlu belanja sampai RM77 juta untuk perbaiki hubungan kita dengan Amerika," soalnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang menyatakan butiran perbelanjaan mengenai perkhidmatan Apco begitu istimewa dan mempersoal perkhidmatan firma tersebut yang turut menyediakan khidmat perundingan media.

"Adalah sesuatu yang bukan rahsia 'cyber trooper' dikhaskan pihak kerajaan bagi perang siber samada dari facebook, blog, twitter dan platform lain di internet. Kita dapat tahu ada orang yang diberi beberapa ribu ringgit sebulan, untuk menjadi cyber trooper sahaja.

"Ini bukan perkara yang strategik melibatkan sekuriti negara, tetapi sekuriti Barisan Nasional. Kita mahu penjelasan memuaskan apa kedudukan ini, mengenai perang siber yang diwujudkan kerajaan BN.

"Ini bukan musuh, kalau kita mahu mereka yang mengancam sistem risikan kita, atau jaringan keselamatan dengan tujuan mensabotaj negara. Ini tidak patut jadi agenda kerajaan BN. Kita tak mahu perkara ini disembunyikan. Kami mahukan harap butiran berapakah jumlah yang, dibelanja setiap tahun, dibawah JPM," tegas Kit Siang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz ketika menjawab soalan itu mengakui perkhidmatan Apco di Malaysia bertujuan untuk memperbaiki hubungan dengan Amerika Syarikat.

"Kita tahu di Amerika ini ada budaya lobi. Sudah tentulah bila kita nak lobi, kalau kita nak jadi kerajaan yang 'nationalistic' jadi kita kena ambil firma tempatan di sana yang juga banyak menjalankan kerja di negara lain," Nazri memberi alasan.

Sementara itu menjawab soalan dari Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar samada hubungan dengan Amerika  perlu diperbaiki kerana kegagalan Perdana Menteri sebelum ini yang tidak menjaga hubungan baik itu, Nazri menjawab, setiap Perdana Menteri mempunyai keutamaanya sendiri.

Beliau berkata, semasa era Tun Mahathir keutamaan diberikan untuk menaikkan imej Malaysia di kalangan dunia ketiga dalam NAM dan OIC.

Nazri juga mengakui hubungan Malaysia selama lebih 25 tahun dengan Amerika Syarikat 'tidak begitu selesa' dengan memberikan alasan setiap perdana menteri mempunyai prioritinya sendiri terhadap hubungan dengan negara-negara luar, termasuk Amerika.

"Sebagai syarikat yang besar dan sudah tentu ahli lembaganya terdiri daripada orang yang mungkin mempunyai kepakaran itu dan dia menjadi 'board of director'. Kepada kita itu tak menjadi perkara yang mencerobohkan rahsia negara kita.

"Sudah tentu perkara yang dibenarkan untuk mereka lakukan ialah perkara umum. Itu cuma spekulasi dan perkara yang dibangkitkan pihak yang berhormat," katanya.

Perbahasan yang berlarutan hingga ke petang itu menyaksikan Nazri secara angkuh menafikan kepakaran syarikat Malaysia bagi mengambil alih peranan dan perkhidmatan yang dijalankan Apco Worldwide.

Mahfuz bingkas bangun dan bertanya apa perlu mengambil perkhidmatan Apco untuk urusan dalam negara sedangkan ia boleh ditawarkan kepada syarikat tempatan yang ada kepakaran.

"Kita nak satu syarikat yang punyai kepakaran dan pengalaman dan ia diterima Asean. Kalau buat kerja bagus, kalau syarikat di Malaysia bagus, Asean dah ambil dah," jawab Nazri seperti mencemuh syarikat tempatan.

Mahfuz bagaimanapun tidak berpuashati terhadap penjelasan Nazri yang dianggap tidak menghormati dan mengiktiraf keupayaan syarikat-syarikat tempatan.

"Betul, tak ada masalah. Serupa juga saya nak kata pasukan bola sepak Malaysia teruk. Apa masalahnya, memang teruk. Apakah saya berani cakap, ada di Malaysia ni dia punya standard tak sama macam dunia. Bola sepaknya, perangai ahli yang berhormat pun, ada banyak," cemuh Nazri lagi.



Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...