BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya

Rabu, Disember 03, 2008

Zaid Ibrahim dipecat dari Umno

Kuala Lumpur - Datuk Zaid Ibrahim dipecat dari Umno ekoran tindakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menghadiri perhimpunan parti pembangkang.

Keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) yang berlangsung malam tadi. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, pemecatan Zaid itu berkuatkuasa serta merta.

Menjawab soalan pemberita dalam sidang akhbar selepas mesyuarat tersebut, Abdullah berkata, Zaid juga tidak boleh merayu terhadap pemecatannya itu.

Sabtu lalu, Zaid menghadiri majlis perasmian kongres nasional PKR di Stadium Malawati, Shah Alam. Zaid juga dilaporkan berkata, beliau datang sebagai tetamu selepas menerima undangan daripada pucuk pimpinan PKR.

Jelas Zaid lagi, kehadirannya adalah untuk mendengar apa yang diperkatakan pucuk pimpinan dan perwakilan PKR mengenai keadaan semasa dalam negara.

Surat tunjuk sebab

Awal bulan lalu, Zaid Ibrahim menerima surat tunjuk sebab dari Umno berkaitan dengan surat terbukanya kepada perdana menteri dan perjumpaannya dengan ahli-ahli Parlimen berhubung desakan memansuhkan ISA.

Parti itu meminta penjelasannya kerana turut sama menyertai majlis anti-ISA anjuran Pakatan Rakyat di Parlimen.

Zaid meletakkan jawatan sebagai menteri kabinet kerana membantah tindakan kerajaan menggunakan ISA terhadap ahli Parlimen Teresa Kok, penulis blog Raja Petra Kamarudin dan wartawan Sin Chew Tan Hoon Cheng, September lalu.

Beliau juga turut melepaskan jawatan senator. Pada 29 September lalu, Zaid menulis sepucuk surat terbuka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, menggesa beliau supaya memansuhkan ISA.

Zaid turut menjadi sasaran apabila beliau, dalam ucapannya, telah mempersoalkan status orang Melayu.

Berikutan itu, beberapa pemimpin Umno mendesak parti itu mengambil tindakan terhadap Zaid.

Pilihanraya kecil

Mengenai pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu, Abdullah berkata, mesyuarat MT memutuskan supaya persiapan disegerakan.

MT juga, tambah beliau, mengarahkan bahagian-bahagian Umno lain, membantu Umno Terengganu dalam menghadapi pilihanraya kecil tersebut.

Kerusi parlimen tersebut kosong ekoran kematian penyandangnya Datuk Razali Ismail, Jumaat lalu. Razali yang juga timbalan menteri pelajaran, meninggal dunia ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands sewaktu menghadiri permukiman anjuran Umno Terengganu.

Abdullah juga berkata, soal pemilihan calon bagi pilihanraya kecil tersebut, belum lagi diputuskan. Bagaimanapun, katanya, Jawatankuasa Pengurusan Umno boleh mencadangkan calon yang layak dan tidak perlu diadakan mesyuarat MT untuk membuat keputusan mengenainya.



Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...

ARKIB