BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya

Jumaat, Disember 05, 2008

Al-Quran sumber perundangan utama - Lim Guan Eng

Georgetown - Al-Quran penting sebagai sumber perundangan utama dan mampu melahirkan masyarakat madani yang berakhlak tinggi, berintergriti yang bersesuaian dengan prinsip 'Amar Ma'ruf, Nahi Mungkar' dan Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT).

Demikian antara ucapan yang disampaikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam majlis penghargaan kepada 102 orang penghafal dan pengajar Al-Quran yang memberi khidmat di negeri itu baru-baru ini.

Kerajaan Pulau Pinang dalam majlis tersebut memberikan sumbangan Rm300.00 seorang dan sijil penghargaan kepada 102 orang penghafal dan pengajar Al-Quran yang memberi khidmat di negeri itu baru-baru ini.

Program yang diadakan di Dewan Seminar Komplek Penyayang itu menyaksikan Lim mengotakan janjinya supaya pengajian al-Quran dimajukan supaya masyarakat dapat diselamatkan apabila kandungan al-Quran dihayati bukan diketepikan sebagaimana sebelum ini.

Turut serta dalam program yang dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama Yang DiPertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato' Seri Utama, Dr Haji Abdul Rahman Abbas ialah Timbalan Ketua Menteri 1, Mohamad Fairus Khairudin, Exco Hal Ehwal Pengguna Negeri, Abdul Malek Kasim dan Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Tebatan Banjir Negeri, Law Choo Kiang, Timbalan Mufti Negeri, Haji Suleh Wan Kurdi Jalaludin dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, Haji Sazali Hussein.

Kelihatan sama ialah pimpinan PAS yag diketuai oleh Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Saleh Man; Ketua Dewan Ulama' PAS Negeri, Ustaz Soid Mohd Amin; Bendahari PAS Negeri, Ustaz Khalid Man; Penolong Setiausaha PAS Negeri, Haji Jamil Abdul Rahman dan Yang Dipertua PAS Tanjung, Yaacob Omar.

Menurut beliau lagi, nilai keharmonian lebih terserlah seandainya setiap agama mematuhi ajaran yang diamalkan begitu juga Islam jika dilengkapi dengan pengetahuan yang tinggi tentunya melahirkan sebuah masyarakat yang sempurna jauh daripada ketidaktamadunan.

"Saya tidak menafikan golongan penghafal al-Quran begitu penting bagi Umat Islam khususnya dalam memastikan al-Quran yang menjadi sumber perundangan utama tetap terpelihara, " ujarnya ketika berucap dalam majlis penyampaian sumbangan ikhlas kepada 102 para Huffaz.

Tegasnya, hanya mereka yang tabah sahaja dapat mencapai tahap tersebut kerana tanpa displin, kuat dan sabar seseorang itu mustahil boleh melakukan kerja berkenaan.

Lim percaya melalui al-Quran masyarakat Madani yang berakhlak tinggi, berintegriti bersesuai dengan pronsip 'Amar Ma'ruf, Nahi Mungkar' dan Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT) akan menjadi kenyataan.

"Usaha Kerajaan Pakatan Rakyat berlainan dengan usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) iaitu mahu membentuk insan yang bermutu berguna pada semua keadaan, " katanya.

Justeru itu, kemunculan lebih ramai Hafiz secara langsung dapat membantu merealisasikan impian matlamat Kerajaan Negeri mewujudkan modal insan kelas pertama yang boleh menyelamatkan masyarakat daripada terus hanyut dengan masalah yang melanda.

Bagi menjayakan impian sesetengah pihak Huffaz semestinya menonjolkan bakat yang ada untuk menerokai alam profesional selain keusahawanan dan politik yang baik dan jauh daripada sikap menipu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri I, Fairuz Khairudin pula bercadang menubuhkan Jawatankuasa Khas Tahfiz Pulau Pinang di mana jawatankuasa ini akan menjemput panel penguji antaranya Dato' Haji Abu Hasan Din Al-Hafiz.

Jawatankuasa ini bertindak mengiftiraf para Huffaz untuk menjadi imam di samping mengajar di serata pelusuk negeri ini selari dengan sasaran melahirkan 'satu keluarga Islam satu hafiz'.

"Kita letakkan sasaran ini kerana saya tahu tiada yang lebih baik melainkan mereka yang meghafalkan isi al-Quran dan melaksana dalam kehidupan. Apabila kita mahu melahirkan para hafiz bukan beliau seorang sahaja yang bertanggungjawab sebaliknya seluruh keluarganya perlu bersiap untuk penyediaan suasana terebut, " terang beliau.



Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...

ARKIB