MPSP seharusnya meneliti terlebih dahulu akibat dan kesan yang bakal berlaku sekiranya kebenaran diluluskan.
Ahli Majlis MPSP, Amizudin Ahmat dalam kenyataan medianya menegaskan, MPSP sewajarnya mengawal perusahaan kuari agar kegiatan tersebut tidak menjejaskan alam sekitar termasuk mendatangkan masalah kepada penduduk berdekatan projek berkenaan.
"Pembangunan di sesuatu kawasan memang tidak boleh dinafikan tetapi kena awasi pergerakan pemohon yang melaksanakan projek tersebut,"katanya.
Bagi mengelak berlaku penyelewengan atau pelanggaran syarat-syarat MPSP, Pejabat Tanah dan Galian Negeri atau Daerah kena membentuk garis panduan berasaskan alam sekitar, jabatan mineral dan gensains.
"Maka, tiada jalan lain MPSP kena mengadakan polisi pembangunan industri kuari dengan segera terutamanya yang melibatkan kuari bagi tujuan pembangunan dan kuari industri," katanya.
Selain itu katanya MPSP juga memastikan perusahaan kuari milik tanah kerajaan negeri membayar premium dan royalti dengan jumlah yang sepatutnya.
"Saya tidak mahu ada di kalangan pengusaha kuari milik tanah kerajaan melakukan penipuan dan penyelewengan tentang bayaran premium dan royalti serta memberi rasuah kepada mana-mana pegawai kerajaan, Yang Berhormat atau Ahli Majlis," ujarnya.