BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya

Selasa, Disember 02, 2008

Kehilangan Rizab MPSP disiasat

Bukit Mertajam - Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Supiah Md Yusof diberi tugas untuk menjalan siasatan bebas tentang pengurusan kewangan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menyebabkan kehilangan rizabnya sebanyak RM223.7 juta dalam tempoh sembilan tahun lalu.

Untuk memudahkan tugasnya itu, beliau akan dilantik sebagai Pemangku Yang Dipertua MPSP ketika Farizan Darus (Yang Dipertua sekarang ini) bercuti sambil belajar sehingga 31 Disember ini.

Ketika mengumumkan perkara itu, Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, Supiah diberi tempoh dua minggu untuk menyiapkan siasatan dalaman untuk tindakan lanjut kerajaan negeri,

Beliau berkata dua skop siasatan itu ialah mengenal pasti punca dan kelemahannya sehingga berlaku masalah itu.

“Kerajaan negeri juga mahu ia mengemukakan cadangan serta cara memperbaiki kelemahan yang ada untuk mengelakkan masalah serupa berulang lagi di masa depan,” katanya dalam persidangan media sebelum menyaksikan majlis angkat sumpah jawatan Supiah di ibu pejabat MPSP di Bandar Perda di sini semalam.

Menurutnya, antara punca kehilangan rizab MPSP ialah penyaluran peruntukan kawasan untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Majlis MPSP berjumlah RM50.3 juta.

“Setiap ADUN mendapat peruntukan tahunan RM350,000 manakala Ahli Majlis sebanyak RM40,000 selama enam tahun iaitu dari 1999 hingga 2005.

“Ia membabitkan 18 ADUN sebelum meningkat kepada 21 orang selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya serta 24 orang Ahli Majlis,” katanya.

Selain itu, keputusan MPSP meneruskan pembinaan ibu pejabat di Bandar Perda tanpa tender terbuka bernilai RM84.3 juta menyebabkan ia kerugian hampir RM55 juta berbanding cadangan awal di tapak seluas 30 ekar yang disediakan kerajaan negeri di Ampang Jajar yang hanya bernilai RM30 juta.

Lim berkata MPSP terpaksa membayar RM800,000 setahun kepada syarikat yang menyelenggarakan sistem hawa dingin di ibu pejabat bermula tahun lalu.

“Kedudukan tunai MPSP sehingga 13 November 2008 adalah RM10.06 juta. Oleh itu, ia akan mengamalkan perbelanjaan berhemah dan berjimat cermat tetapi berusaha mempertingkatkan produktiviti dan pendapatannya,” katanya.

Antara langkah yang diambil ialah mempergiatkan usaha memungut tunggakan cukai taksiran, meningkatkan penguatkuasaan kepada binaan dan tambahan bangunan haram, kursus kakitangan dibuat di peringkat dalaman serta melantik panel peguam untuk membawa kes pemilik tegar yang gagal menjelaskan tunggakan cukai kadaran ke mahkamah.


Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...

ARKIB