Sepanjang berada di sini, kami bersama Jentera Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang bertungkus-lumus merencanakan program untuk memastikan kemenangan calon Pakatan Rakyat, Hj. Mohd Abdul Wahid Endut.
Rasuah pula tidak dapat dibendung dan terus bermaharajalela di Kuala Terengganu. Dari segi projek pembangunan segera, wang ringgit kepada pengundi yang memberikan MyKad hinggalah pemberian 'Tracktor'.
Sehingga Tok Guru Nik Aziz merungkapkan sebuah pantun seloka khusus ditujukan kepada UMNO/BN;
Beri Salah,
Tak Beri Kalah,
Buat UMNO Serba Salah."
Jentera Pilihan Raya
KeADILan Pulau Pinang di tempatkan di UPU Chendering dengan dibantu oleh jentera Bahagian Kemaman serta tempatan.
Kerjasama di antara KeADILan, PAS dan DAP amatlah teguh sehinggakan UMNO/BN terpaksa menggunakan pihak Polis untuk mengugut serta menakut-nakutkan petugas pilihan raya dikebanyakan tempat di Kuala Terengganu.
Pihak Polis dan SPR dipergunakan untuk menurunkan bendera KeADILan dan DAP, dengan alasan parti komponen Pakatan Rakyat ini tidak bertanding.
Adakah alasan ini boleh diterima? atau UMNO/BN merasa fobia dengan kehadiran KeADILan membantu PAS di Kuala Terengganu? Ternyata walau apapun alasan yang diberikan oleh mereka, hakikatnya mereka takut dengan kerjasama diantara komponen Pakatan Rakyat.
Kuala Terengganu MetroPOLIS
USAH terkejut apabila anda melewati setiap batang jalan di Kuala Terengganu, orang pertama yang ditemui ialah anggota polis. Jalan sikit jumpa lagi anggota polis.
Hairan juga. Ada rakan berhujah ketika rakyat Palestin dilanyak habis-habisan tentera Yahudi sepatutnya orang yang lengkap bersenjata lebih baik bantu penduduk Islam di sana.
Polis dipercayai telah menambahkan keanggotaan dari pelbagai unit seramai 2,000 anggota lagi dan kini menghadapi masalah penempatan.
Menurut sumber, difahamkan kini keseluruhan anggota berkenaan berjumlah 12,000 termasuk 10,000 anggota yang dibawa masuk sebelum ini. Tetapi yang disebut secara rasmi seperti dilaporkan media seramai 6,000 anggota polis yang dikerah ke sini.
Sumber mendakwa anggota berkenaan termasuk 500 anggota dari Pulapol, Kuala Lumpur, Kelantan (500), Sarawak (500) dan Sabah (500).
Difahamkan anggota dari Sarawak dijangka akan digunakan untuk mewujudkan insiden provokasi bagi menampakkan Pakatan Rakyat memulakan kekecohan dan huru-hara di kawasan pilihan raya berkenaan.
Sumber juga menyatakan bahawa seramai lebih daripada 2,000 anggota tidak berpakaian seragam. Biar apa pun jelas Kuala Terengganu sekarang disendatkan anggota polis. Di segenap penjuru ada polis. Bagi mereka yang baru tiba di sini, jangan terkejut.
Entah-entah bagi penduduk kampung yang tidak biasa dengan situasi itu mungkin bertukar pula dengan keadaan di Palestin. Ramai sangat anggota polis di sini sekarang, difahamkan tidak pernah berlaku dalam pilihan raya kecil sebelum ini.
Terdapat empat markaz besar khas untuk anggota polis dibina. Lengkap pula dengan sistem penghawa dingin. Menurut mereka lagi ada 28 markaz taktikal di Kuala Terengganu sekarang.
"Di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri di kawasan parlimen Kuala Terengganu ada sebuah markaz polis. Tempat itu dikawal ketat, ada anggota yang lengkap dengan senjata di muka pintu.
"Ambo lihat macam situasi darurat di selatan Thailand. Polis berkawal di segenap jalan dan lokasi," kata seorang peniaga dari Wakaf Mempelam yang sering berurusan di negara jiran.
Seorang lagi rakan terkejut melihat kedai makan yang dikawal ketat anggota polis. Deretan kenderaan polis di kiri kanan jalan. Orang lain mungkin tidak dibenarkan masuk ke dalam restoran tersebut.
Maka tidak hairanlah situasi di Kuala Terengganu sekarang macam di Palestin, cuma di sini tidak ada yang mati kerana bom atau tertembak. Tiada juga yang cedera kecuali sakit hati kerana dendam politik.
Seorang bekas wakil rakyat dari Kelantan yang enggan dikenali berkata, tentunya ada strategik yang tersembunyi dengan kehadiran begitu ramai anggota polis.
Kata seorang pakcik di Losong, itu kaedah mudah untuk memenangkan calon Barisan Nasional.
Disamping itu juga, cuba kita fikirkan sejenak berapa kos wang rakyat digunakan oleh kerajaan bagi membayar elaun anggota Polis yang bertugas di sini. RM2,000/seorang (elaun 'outstation' untuk 2 minggu ) x 12,000 anggota = RM24 juta
Ini baru elaun, tidak termasuk kos yang lain. Fikir-fikirkanlah.
Krisis Dalaman UMNO
Krisis dalaman Umno begitu ketara dan dipamerkan sejak hari penamaan calon lagi apabila kelompok Menteri Besar Dato' Ahmad Said dilihat berada berasingan dengan kelompok bekas menteri besar Terengganu Dato' Seri Idris Jusoh.
Ia semakin ketara apabila dipercayai jawatan pengarah pilihan raya kecil itu bertukar tangan dari Dato' Seri Najib Tun Razak kepada Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi.
Semasa penamaan calon situasi persekitaran kelihatan agak jauh berbeza antara penyokong BN dan Pakatan Rakyat.
Penyokong BN lebih suka berkelompok membincangkan pemilihan Umno sementara penyokong PR menumpukan perhatian untuk menyokong calon PAS dalam pilihan raya tersebut.
Melanggar Hak Demokrasi
Beberapa tindakan tidak demokratik dilaporkan berlaku termasuk agen-agen BN memaksa kakitangan kerajaan persekutuan mengundi parti itu secara pos.
Mengundi secara pos biasanya dibuat di hadapan ketua jabatan masing-masing sebelum dihantar ke tempat mengundi.
Dengan cara demikian sahaja kakitangan kerajaan dipastikan mengundi BN. Seperti juga kakitangan kerajaan persekutuan, guru-guru yang mengundi dalam pilihan raya tersebut dikumpulkan di tempat tertentu untuk dibrainstorming oleh agen BN bagi memaksa mereka mengundi parti itu.
Saya melihat perkembangan tidak sihat ini sebagai suatu tindakan terdesak BN kerana parti itu mengetahui P36 Kuala Terengganu adalah kubu kuat pembangkang di Terengganu apabila tiga dari empat Dewan Undangan Negeri (DUN) berjaya dimenangi dalam pilihan raya umum ke 12 yang lalu.
Ini termasuk Batu Burok, Wakaf Mempelam dan Ladang. Manakala Bandar dimenangi BN. Calon PAS di parlimen tersebut, Haji Mohamad Sabu kalah dengan majoriti tipis sekitar 600 undi sahaja.
Arwah Dato' Razali Ismail calon BN memenagi kerusi parlimen tersebut sementara calon bebas yang dikenali dengan Tok Mun hilang wang pertaruhannya. Beliau tidak bertanding dalam pilihan raya kecil itu kerana tidak ada penaja.
Kali ini calon PAS yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Haji Mohd Abdul Wahid Endut bertanding menentang calon BN, Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan seorang calon bebas.
Saya juga mendapat laporan di kalangan ahli Umno bahawa Wan Farid sendiri dikatakan tidak begitu mesra dan agak sombong dengan kelompok Ahmad Said, menunjukkan krisis dalam Umno menghantui parti itu dalam pilihan raya tersebut.
Ia menjejaskan gerak kerja kempen secara kolektif di kalangan ahli Umno. Laporan terbaru, jika tidak ada aral melintang calon PAS boleh memenangi pilihan raya ini dengan majoriti sekitar 5,000 undi.
Kita tunggu dan lihat keputusannya pada 17 Januari ini dan diharapkan pengundi mengggunakan kuasa mereka dengan bijak untuk membawa suara mereka ke parlimen melalui calon pakatan rakyat yang dilihat semakin berkesan di parlimen sekarang.
BN terpaksa akur desakan Pakatan Rakyat di Parlimen untuk 'cool down' kemarahan rakyat terhadap kerajan itu kerana BN tahu suara ahli parlimen pembangkang adalah suara rakyat sebenar.
Justeru itulah, BN mula membuka kempen dalam pilihan raya kecil itu dengan slogan "Dari Rakyat, Kepada Rakyat, Untuk Rakyat," bimbang mereka diketepikan lagi dalam pilihan raya kecil itu setelah mereka kalah besar dalam pilihan kecil Permatang Pauh.