BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya

Sabtu, Januari 03, 2009

Kerajaan Negeri mahu hapus premium tukar hak milik

Bayan Baru - Kerajaan negeri mengumumkan pemansuhan bayaran premium bagi proses pertukaran pajakan kepada hak milik kekal untuk rumah pangsa kos rendah dan sederhana rendah di Pulau Pinang.


Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, pemilik hanya perlu membayar duit pemprosesan sebagai langkah kerajaan untuk mengurangkan beban kewangan berikutan keadaan ekonomi tidak menentu sekarang.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak dapat dilaksanakan lagi kerana terpaksa menunggu keputusan mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) akan datang kerana didapati bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi MTN memaklumkan kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk menukar taraf tanah dari pajakan kepada hak milik kekal.


Ia merujuk kepada keputusan kerajaan Perak yang meluluskan cadangan memberi taraf hak milik kekal kepada pemilik tanah kampung tersusun dan kampung baru.


Sehubungan itu, Guan Eng yang juga Pengerusi Hal Ehwal Tanah dan Pembangunan Tanah negeri berkata, perkara itu akan dirujuk dalam mesyuarat MTN untuk mendapatkan pandangan.


“Kita akan melalui proses pentadbiran yang ditetapkan, tetapi tidak akan terikat kepada apa-apa keputusannya.


“Kita akan dengar cakap penduduk Pulau Pinang. Kalau mereka setuju dengan cadangan kerajaan negeri, kita akan teruskan. Jika mereka menolak, kita akur,” katanya ketika berucap pada majlis dialog dengan penduduk pangsapuri kos rendah dan kos sederhana rendah PDC di Rumah Pangsa Mahsuri di sini, semalam.


Turut hadir, Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Mohd Zaharin Hashim; Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Abdul Malik Abul Kasim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung dan ADUN Pantai Jerejak, Sim Tzin Sin.


Menurut Guan Eng, kerajaan negeri mengambil langkah itu untuk memastikan pemilik rumah pangsa mendapat harga pasaran lebih baik jika hendak menjualnya berbanding rumah pangsa bertaraf pajakan.


“Apa salahnya kerajaan negeri mahu membantu rakyat miskin memiliki rumah yang mereka duduki sekarang untuk selama-lamanya, bukan untuk tempoh sementara atau 99 tahun seperti amalan sekarang,” katanya.


Menjawab pertanyaan penduduk, beliau berkata, pemansuhan premium hanya tertakluk kepada rumah pangsa yang berharga RM75,000 ke bawah, manakala rumah teres, banglo atau kondominium tidak diberi pengecualian itu.


Bagaimanapun, katanya, mereka boleh membuat rayuan dan kerajaan negeri mungkin menimbang dengan memberi diskaun pada kadar tertentu.


Menurutnya, Bayan Baru sebagai lokasi pertama untuk berdialog dengan penduduk mengenai isu kerana ia mempunyai bilangan rumah pangsa yang terbesar yang dibangunkan oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) iaitu kira-kira 20,000 unit.


“Pengecualian bayaran premium ini adalah untuk seluruh negeri dan tidak terhad kepada Bayan Baru kecuali beberapa kawasan seperti Paya Terubong dan Farlim yang mempunyai masalah teknikal,” katanya.



Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...

ARKIB