BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya
Memaparkan catatan dengan label PAS. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PAS. Papar semua catatan

Sabtu, Disember 25, 2010

Ucapan Presiden PAS pada Konvensyen Pakatan Rakyat kedua

Yang Dihormati Saudara Pengerusi, YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim - Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), YAB Saudara Lim Guan Eng - Setiausaha Agung DAP – Ketua Menteri Pulau Pinang, Yang Dihormati Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail – Presiden PKR, Seluruh Anggota Kepimpinan  PAS – PKR – DAP, YAB Menteri Besar Kelantan – Kedah – Selangor, NGO, para tetamu dalam dan luar negara, Wakil-wakil Kedutaan Asing, Ahli-ahli Yang Berhormat serta seluruh perwakilan dan pemerhati sekalian.

Kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana kita sekali lagi berada dalam kesempatan yang sangat bermakna di penghujung tahun 2010, setelah setahun lalu kita sama-sama melakarkan sejarah dengan mengadakan Konvensyen Pakatan Rakyat yang pertama di Shah Alam pada bulan Disember 2009.

Tentunya Konvensyen Pakatan Rakyat kali kedua ini pula akan menjadi medan kita bermuhasabah, menilai keperluan, menanda aras pencapaian dan menambahbaik tindakan, setelah kita diberikan amanah menguruskan kerajaan di empat buah negeri dan seterusnya memimpin rakyat untuk membuat perubahan di negeri-negeri yang lain, insyaAllah.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Ketetapan Konvensyen Pertama

Setahun yang lalu, kita telah sama-sama menerokai dasar bersama yang dipersetujui, dengan rangka matlamat melaksanakan muafakat yang sangat bermakna dalam negara kita ini bagi membebaskan negara dari kemelut yang sangat menekan rakyat dan penuh dengan penyakit di segenap sudut, seterusnya membentuk gagasan alternatif terbaik untuk negara.

Maka kita telah mencorakkan dasar bersama yang penting di bawah Muafakat Rakyat iaitu untuk (1) Mengembalikan demokrasi telus dan tulen, (2) Memacu Ekonomi Berprestasi Tinggi, Mapan dan Adil, (3) Keadilan Sosial dan Pembangunan Insan dan (4) Hubungan Persekutuan-Negeri dan Dasar Luar Negara.

Semua dasar bersama ini akan terus dilaksanakan selari dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, yang merupakan suatu penzahiran cita-cita dan harapan rakyat Malaysia yang merdeka.  Di dalamnya hak asasi setiap rakyat termasuk hak agama, bahasa, kerakyatan dan budaya dijamin sepenuhnya.

Dalam hal ini, PAS akan terus menjadi penjaga amanah bagi memperkasakan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, di mana perubahan kita adalah dalam ruang lingkup undang-undang negara dengan mengambilkira Islam sebagai agama rasmi negara, dengan meletakkan Islam berdasarkan kepada maknanya yang sebenar. Dalam masa yang sama agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana sahaja di negara kita ini.

PAS percaya bahawa kekeliruan terhadap Islam yang adil yang ingin dibawa oleh PAS berlaku kerana contoh dan tafsiran salah terhadap Islam yang ditunjukkan oleh UMNO selama ini, sehingga melahirkan pemimpin yang tidak amanah, dan berkuasa melalui rasuah serta penipuan.

PAS percaya bahawa keadilan sejagat Islam yang sememangnya bersesuaian dengan fitrah manusia boleh menjadi tiang seri yang mampu untuk menyatukan hati manusia. Kita mesti menyedari bahawa di sana ada perkara yang sama dan berbeza dalam kalangan manusia yang perlu diraikan. Islam mengiktiraf kewujudan pelbagai kaum, dan perpaduan itu mestilah berteraskan rasa saling hormat menghormati dan kenal mengenal di atas sifat kemanusiaan serta dilayan dengan adil, walaupun berbeza agama dan kaum.

Firman Allah SWT maksudnya :

Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. [49:13]

Kita juga telah bersetuju untuk terus melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153, mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi raja berperlembagaan, memartabatkan pengunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, dan dalam masa yang sama melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum.

Seluruh ketetapan yang sama-sama kita lakarkan dalam konvensyen yang lalu, sebenarnya telah menjawab segala tohmahan jahat dari pihak musuh politik kita bahawa kononnya Pakatan Rakyat adalah golongan yang tidak memahami perlembagaan dan akan menjual rakyat dengan harga yang murah.

Hakikatnya, merekalah yang sebenarnya tidak menghormati tonggak demokrasi berparlimen, apabila dengan penuh keangkuhan telah menggunakan kuasa bagi menyingkirkan Ahli Parlimen kita dari Parlimen Malaysia. Apa yang berlaku hingga kini ialah, mereka takut untuk berhujah dan gagal memberikan apa-apa jawapan yang meyakinkan mengenai isu yang diperkatakan. Merekalah sebenarnya yang telah memberikan nama buruk negara ke persada dunia.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Persidangan Shah Alam 2010

Selain dari itu, kita juga menjadikan persidangan yang dihadiri oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Agensi Kerajaan Negeri, semuanya dari Negeri Pakatan Rakyat pada 29 November lalu sebagai komitmen kita untuk menambahbaik aspek ekonomi, sosial, politik dan pentadbiran kerajaan yang kita pimpin.

Saya amat berharap agar segala buah fikiran dan perancangan yang begitu baik itu tidak menjadi bahan yang tinggal di atas kertas sahaja, tetapi di berikan kefahaman kepada pegawai pentadbiran kerajaan agar mereka memahami aspirasi kita dan seterusnya melaksanakannya.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Masa Bergerak Ke Depan

Hari ini juga kita berhimpun, dengan penegasan yang lebih bermakna, bahawa kita ingin terus melakukan perubahan, di atas prinsip Tahalluf Siyasi, yang menggariskan prinsip kebersamaan kita  dengan menekankan persamaan untuk memerangi kezaliman, ketidakadilan serta rasuah tanpa menafikan asas pembentukan negara Malaysia dan struktur masyarakatnya.

Pada hari ini juga kita menghasilkan satu dokumen kerja dan sasaran yang ingin kita capai dalam berbagai sudut.  Cabaran terbesar kita nanti ialah bagaimana kita menterjemahkan perancangan ini ke dalam bentuk tindakan yang bukan sahaja difahami oleh pelaksana yang terdiri dari pegawai-pegawai kerajaan di bawah negeri Pakatan Rakyat, tetapi juga difahami oleh rakyat yang berada di bawah kerajaan Pakatan Rakyat khususnya, dan rakyat dalam negara kita ini umumnya. Rakyat lah nanti yang akan menjadi hakim di atas kesungguhan dan komitmen kita untuk melaksanakan perubahan. Jangan kita sekali-kali membiarkan rakyat menghukum kita dalam pilihanraya umum yang akan datang nanti.

Kita juga sedar dan insaf, bahawa perubahan menyeluruh yang diimpikan oleh gagasan Pakatan Rakyat tidaklah mudah dicapai, kerana kita berdepan dengan konsep federalisme sonsang yang dipegang oleh Kerajaan Pusat pimpinan Barisan Nasional, yang tidak lagi menghormati pilihan yang dibuat oleh rakyat dalam negeri yang telah memilih Pakatan Rakyat.

Selain dari itu, kita juga berdepan dengan kekangan pentadbiran yang sudah membarah selama puluhan tahun di bawah Kerajaan BN. Dalam masa yang sama, kita juga dibelenggu dengan kelemahan diri sendiri apabila ada di antara kita yang mula hilang tumpuan, setelah kita mula diserang dari segenap penjuru oleh kerajaan pimpinan Barisan Nasional ini. Kadangkala kita berhadapan dengan perbezaan pandangan dan pendekatan untuk menyelesaikan masalah, dan di sinilah cabaran terbesar kita yang perlu dirungkaikan supaya kita menjadi gagasan terbaik untuk negara ini.

Saya menyeru kepada semua para hadirin yang menjadi petugas kepada perubahan dalam negara kita ini, supaya kita tidak sekali-kali tersasar dari tujuan kita untuk melakukan perubahan menyeluruh yang bermakna kepada generasi yang akan datang.

Dengan perasaan penuh keikhlasan kita menyedari akan kelemahan-kelemahan ini, tetapi kita bukanlah seperti komponen musuh yang saling bercakaran sesama sendiri, lalu bertindak menyembunyikan masalah mereka sehingga ianya menjadi seperti ‘api dalam sekam’ yang menunggu masa untuk menjahanamkan negara kita yang tercinta ini. Inilah beza nya pakatan kita dengan mereka, di mana kita berani untuk berdepan, berbincang, berbahas, semuanya dalam semangat yang tulin bagi menyelesaikan sebarang masalah yang timbul dalam gagasan kita ini. Inilah yang ingin kita sampaikan kepada rakyat.

Perlu kita ingat, bahawa Pakatan kita ini bukan sahaja bergerak untuk menafikan kekebalan pemerintahan Barisan Nasional semata-mata, tetapi adalah untuk melaksanakan perubahan yang adil di mana keharmonian dan keupayaan masyarakat memahaminya di jadikan teras dalam perubahan dalam negara kita ini.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Perlu muhasabah

Marilah sama-sama kita bermuhasabah akan pencapaian kita, setelah diberi tanggungjawab melaksanakan amanah pemerintahan di negeri-negeri Pakatan Rakyat, menilai dengan penuh kejujuran akan kelemahan dasar dan pelaksanaan, kita mencelikkan mata-telinga kita seluas-luasnya dan berlapang dada dengan kritikan rakyat, seterusnya melakukan rombakan pentadbiran dan perubahan menyeluruh apabila difikirkan perlu.

Berdasarkan maklumat kelemahan kita ini, maka kita perlu bangkit kembali dengan terus melaksanakan penambahbaikan dalam pemerintahan kita dan memperkemaskan jentera parti di negeri-negeri yang belum bersama kita.

Asas perubahan

PAS ingin menyatakan bahawa dasar yang ingin kita laksanakan dalam negeri di bawah Pakatan Rakyat perlulah bertitik tolak dari pemahaman bahawa (1) kita membaiki kerosakan yang ada dalam negara kita, (2) kita ingin meletakkan negara dan negeri di atas dasar yang sepatutnya, (3) semuanya dilaksanakan dengan semangat dalam perkara yang menjadi Dasar Bersama kita.

Tetapi kita tiada masa yang panjang untuk melakukan semua ini kerana musuh akan sentiasa mencari jalan untuk meruntuhkan negeri di bawah Pakatan Rakyat yang telah kita sama-sama bina. Negeri yang sama-sama kita bina ini pula tidak akan memberikan sebarang makna dalam politik baru negara kita, sekiranya kita gagal menunjukkan kaedah pemerintahan yang jauh lebih baik dari negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional.

Pemerintahan yang lebih baik yang ingin kita capai ialah bukan hanya berkaitan dengan pencapaian ekonomi semata-mata, dan juga bukan hanya mengenai dasar perindustrian serta pelaburan sahaja, kerana kita juga tidak mahu melahirkan masyarakat yang hanya melihat pembangunan material yang berselerakan di kiri kanan persekitaran mereka dan dalam masa yang sama jiwa mereka kosong sehingga melahirkan berbagai penyakit kemanusiaan dalam masyarakat kita ini.

Apa yang kita mahu, bahawa kita perlulah juga menumpukan kepada kesejahteraan spiritual dan akhlak serta pembangunan rohani, yang dihubungkan dengan pegangan agama yang mampu untuk memandu kehidupan rakyat di bawah jagaan kita. Indeks kesejahteraan yang ingin kita capai juga perlu mengambil kira persekitaran masyarakat beragama berbagai kaum dan fahaman yang wujud dalam negara kita ini, apatah lagi ianya mungkin berbeza dengan pentafsiran kesejahteraan di negara-negara lain. Kita inginkan kerukunan sebuah keluarga, yang mampu untuk berdepan dengan krisis moral dan akhlak yang semakin berleluasa di zaman yang serba moden ini.

Dalam melaksanakan dasar dalam negeri yang diperintah Pakatan Rakyat secara bersama, maka penting juga untuk kita berhati-hati dengan cuba lebih memahami betapa pentingnya bagi setiap parti untuk menguruskan sensitiviti masyarakat – tanpa perlu untuk kita menongkah kepercayaan agama dan budaya setiap kaum di negara ini. Jangan pula kita untung secupak tetapi rugi segantang dalam pertimbangan kita.

Kegagalan untuk memahami perkara asas ini akan membuka ruang kepada UMNO dan BN untuk menyebarkan dakyah mereka menerusi media massa yang dikawal oleh mereka. Kita akan berada dalam keadaan yang sangat ‘defensive’ untuk melawan kuasa media mereka yang akhirnya membuatkan rakyat terbanyak akan menjadi keliru. Akhirnya kita semua akan rugi.

Pendekatan bertahan ini perlulah diubah, dengan kita sendiri menentukan agenda kita bersama rakyat, dan bukan hanya responsif terhadap serangan musuh. Oleh yang demikian, sudah tiba masanya untuk kita memasuki fasa seterusnya dalam gerakerja kita, dengan kita menggunakan media kita sendiri yang boleh sampai kepada rakyat. Gerakerja ini perlulah disusun secara bersama di kalangan negeri Pakatan Rakyat, petugas parti dan semua kalangan pengamal media yang bersama dengan kita.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Persediaan Pilihan Raya

Belum pun kita sempat melaksanakan amanah dengan sempurna, angin yang bertiup kencang di waktu ini telah memberi gambaran bahawa saat dan ketika untuk kita berdepan dengan Pilihanraya Umum ke 13 detiknya semakin hampir. Suasana sebegini dizahirkan oleh pimpinan utama BN bahawa mereka merasakan semakin selesa dan kononnya rakyat akan kembali bersama mereka.

Kepada mereka, marilah kita pertegaskan pada hari ini bahawa kita bukan sahaja komited untuk mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat di empat buah negeri ini, tetapi kita akan bangkit untuk merubah kedudukan percaturan politik yang menjadi dominasi Barisan Nasional selama ini, insyaAllah.

Kita juga mencabar pimpinan Barisan Nasional untuk berani turun ke gelanggang secara amanah dan jujur, tanpa bergantung kepada agensi dan institusi kerajaan, tidak memperkudakan media massa serta menaburkan janji kosong pilihanraya yang saban tahun menjadi rasuah mereka kepada rakyat. Marilah kita turun ke gelanggang secara penuh demokrasi, bukannya berpaut kepada demokrasi yang rosak.

Kepada saudara saudari yang hadir dalam konvensyen ini, ingatlah bahawa sekiranya kita ingin mencapai kejayaan yang lebih baik dari pilihan raya umum yang lalu, maka pada ketika dan saat ini kita perlu memperkemaskan jentera pilihan raya, mempersiapkan petugas, merangka strategi berkesan, membaiki kelemahan, dan seterusnya menampilkan calon yang amanah dan jujur kepada rakyat.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Akhirnya, saya ingin mengucapkan tahniah kepada seluruh jawatankuasa konvensyen, pimpinan Pakatan Rakyat, para perwakilan dan pemerhati, dan rakyat yang bersama kita di merata tempat, serta sekalung terimakasih kepada tuan rumah konvensyen yang menjayakan perhimpunan yang bersejarah ini.

Mudah-mudahan konvensyen kali kedua ini mampu untuk mencapai objektif yang dicita-citakan.

Wassalamualaikum wbr.

Ucapan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Konvensyen Pakatan Rakyat Kebangsaan Kedua di Dewan Millenium, Kepala Batas, Pulau Pinang, Ahad 19 Disember 2010.

Rabu, November 03, 2010

Perutusan Pilihan Raya Kecil N45 dari Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz

Salam persaudaraan semua Pengundi Galas.

Bersyukur kepada Allah SWT yang memberi peluang untuk kita semua bertemu dalam pilihan raya kecil N.45 Galas, Gua Musang. Semoga semua Pengundi Galas daripada orang Melayu, Cina, Orang Asal sampai kepada orang India berada dalam sihat dan ‘afiat.

Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan pengharapan agar Pengundi Galas dapat menghayati jasa dan bakti serta ketulusan pihak Kerajaan Negeri Kelantan bersempena panggilan keluar mengundi pada hari Khamis, 27 Zulkaedah 1431 bersamaan 4 November 2010 nanti.
Maka, undilah Calon Kito, Dr. Zul dari Parti PAS, iaitu Parti Kerajaan yang mentadbir Negeri Kelantan hari ini.
Sesungguhnya, ambillah pengajaran daripada tujuan Allah SWT menciptakan manusia ini––lelaki dan perempuan, dan berbangsa-bangsa––supaya kita semua berkenal-kenalan dan beramah mesra antara satu dengan yang lain  (intisari maksud Al-Quran, Surah Al-Hujurat 49:13).
Justeru Allah menciptakan manusia semua adalah dari satu keturunan, iaitu Nabi Adam. Ini bermakna asal-usul sesuatu kaum itu, tidak kira Melayu, Cina, India dan Orang Asal adalah dari seorang manusia bernama Adam yang kemudian berkembang menjadi pelbagai keturunan, bangsa, bahasa, budaya, warna kulit dan pelbagai adat resam.

Maka Islam memandang tinggi dan memberi kemuliaan di atas semua perbezaan, asalkan mereka beriman dengan Allah SWT.

Memahami ciptaan Allah itu, saya dapati Saudara Dr. Zul selaku Calon Kito telah memberi kesanggupan untuk berkhidmat kepada semua rakyat––Pengundi Galas––termasuk Melayu, Cina, Orang Asal dan India.
Ini sesuai dengan perintah Allah SWT, agar kita semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan, menerangkan kebenaran dan jangan timbul rasa kebencian terhadap sesuatu kaum sehingga melakukan ketidak-adilan ke atas kaum itu (intisari maksud Al-Quran, Surah Al-Maidah 5: 8).
Inilah misi dan matlamat sebenar Kerajaan Negeri di bawah Kepimpinan Ulama’ tatkala berkuasa––sedia membantu dan menyelesaikan permasalahan rakyat––sentiasa utamakan prinsip keadilan untuk semua.

Begitu pula dari segi kemasyarakatan, Allah SWT melarang perbuatan saling cemuh-mencemuh dan rendah-merendah terhadap kaum tertentu. Ini mungkin kaum yang dicemuh itu lebih baik.
Dan kita harus mengelakkan daripada panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk (intisari maksud Al-Quran, Surah Al-Hujurat 49:11).
Oleh itu, semua Pengundi Galas sama ada orang Melayu atau Cina, India atau Orang Asal hendaklah saling hormat-menghormati.

Prinsip ini telah menjadi pendirian dan dasar sosial Kerajaan Negeri Kelantan sepanjang mentadbir Negeri ini sejak pilihan raya umum 1990 lagi.

Maka prinsip ini menjadi panduan Wakil Rakyat yang mewakili Kerajaan Negeri Kelantan (dari Parti PAS/Pakatan Rakyat) menjalankan tugas dan berkhidmat kepada rakyat.

Saya yakin Saudara Dr. Zul bersedia mengamalkan khidmat terbaik untuk rakyat Galas berpandukan prinsip tersebut.

Sesungguhnya, pilihan raya kecil Galas berlaku pada saat Kerajaan Negeri Kelantan sedang menyambut 20 tahun pentadbiran Membangun Bersama Islam.

Dalam tempoh 20 tahun itu, banyak usaha pembangunan sudah dibuat dan sedia dinikmati oleh semua rakyat.
Aspek kebajikan rakyat, kepentingan dan hak rakyat menikmati hasil pembangunan adalah keutamaan Kerajaan Negeri demi kesejahteraan rakyat.

Termasuklah, Pengundi Galas sudah menerima banyak perubahan hasil daripada pembangunan yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri di Jajahan Gua Musang.

Justeru itu, tiada pilihan lain bagi Pengundi Galas, melainkan bersetuju untuk mengundi Calon Kito, Dr. Zul yang sanggup memberi khidmat terbaik bagi menyambung usaha Wakil Rakyat sebelum ini, malah sedia menjadi penghubung dan pemudah-cara antara rakyat dengan Kerajaan Negeri.

Semua Pengundi Galas harus menerima hakikat bahawa segala rancangan pembangunan akan berjalan lancar apabila Dun Galas ini mempunyai Wakil Rakyat yang mewakili Kerajaan Negeri. Ini kerana banyak urusan pembangunan adalah tertakluk di bawah kuasa Kerajaan Negeri.

Di antaranya rancangan pemilikan tanah, pembinaan jalan, bekalan air paip, pembinaan rumah, bangunan perniagaan dan kebajikan serta kesejahteraan rakyat. Maka, pesanan saya, janganlah mudah percaya kepada janji pemimpin BN yang jelas menentang Kerajaan Negeri, kononnya mereka ada kuasa untuk menyelesaikan masalah pemilikan tanah atau bekalan air, ataupun perumahan rakyat.

Semua urusan ini tidak akan selesai tanpa kerjasama Wakil Rakyat dari Parti yang mewakili Kerajaan Negeri.
Memahami keadaan yang sedemikian, apa pasal kita nak pilih calon BN? Natijahnya calon BN tidak akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri. Ini kerana kebelakangan ini, ramai pemimpin BN yang terlibat dengan rasuah, kroni dan pilih kasih yang jelas berlawanan dengan ajaran agama, bercanggah dengan hasrat rakyat dan tidak sehaluan dengan dasar-dasar Islam yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan.

Maka seruan saya, berilah keyakinan dan kepercayaan kepada Calon PAS, Dr. Zul sebagai Calon Kito
yang sedia berkhidmat untuk semua Pengundi Galas.

Keluarlah beramai-ramai untuk mengundi dan undilah bulan.

Pertahan Galas Kito

Calon Kito, Dr. Zul – Cakno & Mesra

Isnin, Oktober 25, 2010

Kelantan Isytihar 4 Nov Hari Cuti Peristiwa

Kerajaan Negeri Kelantan mengumumkan 4 Nov iaitu Khamis depan sebagai hari cuti peristiwa sempena pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Galas.

Pengumuman itu dibuat oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Datuk Mohd Aiseri Alias menerusi surat pekeliling arahan pentadbiran SUK kepada Bernama di sini hari ini.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandang wakil rakyat daripada PAS, Chek Hashim Sulaima, 46, akibat barah usus 27 Sept lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu pada 26 Okt ini.

Jumaat, Oktober 02, 2009

Isu Selangor : Hanya berbeza pendapat, elak kenyataan terbuka

Kuala Lumpur - Krisis melibatkan pemimpin-pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat lain di Selangor hanyalah perbezaan pendapat dan tidak timbul isu PAS mahu keluar daripada Pakatan, tegas Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali.

Beliau merujuk kepada perbezaan pandangan antara exco Selangor yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali yang mempertikai tatacara inkuiri jawatankuasa pilihan khas mengenai keupayaan, kebertanggungjawaban dan ketelusan Dun Selangor (Selcat) dengan pemimpin DAP dan PKR sejak tiga bulan yang lalu.


Perbezaan pandangan tesebut melibatkan Hassan dengan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkifly Ahmad yang juga ahli jawatankuasa PAS pusat.


Sebelum itu, Hassan dikritik hebat oleh wakil-wakil DAP yang mempersoalkan kedudukan Hassan dan PAS dalam kerajaan Pakatan Selangor ekoran kritikan Hassan terhadap jawatankuasa itu.


Mustafa juga menggesa semua pihak darpada PAS, PKR dan DAP tidak membuat kenyataan terbuka terhadap satu sama lain sehingga boleh menimbulkan kekeliruan.


"Saya minta semua pihak sama ada PAS atau sesiapa sahaja, kita ada mekanisme untuk selesaikan masalah. Jangan buat kenyataan terbuka tentang satu sama lain. Apa pun boleh dibincangkan secara dalaman." katanya lagi.


Beliau juga menafikan dakwaan bahawa PAS akan mengkaji semula kedudukannya dalam Pakatan Rakyat di Selangor sebaliknya memberitahu pemimpin tertinggi PAS dan DAP di peringkat negeri mencapai kata sepakat untuk mengadakan pertemuan pada 7 Oktober ini untuk menyelesaikan perbezaan pendapat anatara mereka.


"Tak berbangkit soal apa yang disebut PAS nak kaji kedudukan dalam pakatan Rakyat di Selangor. Saya periksa tak ada pun kenyataan macam tu," ujarnya.


PAS dikatakan menimbangkan untuk keluar daripada Pakatan di Selangor ekoran kenyataan Setiausaha Perhubungan PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman, yang berkata PAS Selangor akan mengkaji kenyataan-kenyataan ahli-ahli parti komponen Pakatan yang mengecam Hassan ekoran kritikannya terhadap Selcat.


PAS Selangor telah menjelaskan pendirian untuk tetap bersama Pakatan dan hanya menuntut penambahbaikan terhadap Selcat, menafikan laporan-laporan yang menyebut PAS Selangor berhasrat untuk keluar Pakatan.


Beliau juga menafikan laporan Khalid akan dikenakan tindakan disiplin oleh PAS kerana mengeluarkan kenyataan bahawa Hassan patut meletakkan jawatan sebagai exco kerajaan Selangor.


"Tak berbangkit soal tindakan disiplin terhadap Khalid Samad sebab saya belum terima apa-apa surat pun."


"Tindakan disiplin hanya boleh diadakan bila jawatankuasa disiplin bermesyuarat dan ada cadangan mengenainya. Setakat ini saya tak ada terima apa-apa berhubung perkara ini." katanya.

Rabu, September 30, 2009

Hj. Zulkefly calon Pakatan di Bagan Pinang

Pakatan Rakyat mengumumkan Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar, 45, sebagai calon yang mewakili PAS untuk bertanding pada PRK DUN Bagan Pinang pada 11 Oktober ini. Ianya diumumkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Pusat Gerakan Induk DAP di Batu 9 Teluk Kemang malam tadi.

Turut berucap pada majlis tersebut Pengerusi DAP, Lim Kit Siang dan Naib Presiden PKR Azmin Ali. Antara pimpinan PAS yang turut hadir ialah Timbalan Presiden Ust Nasharudin Mat Isa, Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar dan Salahudin Ayub, Bendahari PAS, Dr. Hatta Ramli, Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Hassan Ali serta pimpinan PAS Negeri Sembilan.

Zulkefly merupakan lulusan Master Sains (UPM) dan Ijazah Komunikasi (UiTM) juga seorang ahli perniagaan. Beliau juga merupakan Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan sejak 2007 lagi dan seorang profesional yang mampu mengangkat umat dan bangsa.

Selasa, Ogos 25, 2009

Pakatan Rakyat berjaya mempertahankan Permatang Pasir

Permatang Pauh - PAS mengulangi kemenangan besar yang dicapai dalam Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac tahun lalu apabila kiraan undi rasmi menunjukkan calonnya, Mohd Salleh Man mengatasi pesaing daripada Barisan Nasional, Rohaizat Othman dengan majoriti melebihi 4,551.


Kiraan rasmi menunjukkan PAS mendapat 9,618 undi berbanding 5,067 diperolehi BN, menambahkan lagi pukulan kepada BN yang belum pernah memenangi pilihan raya kecil di Semenanjung sejak selepas pilihan raya umum lebih setahun lalu.


Kerusi Dun Permatang Pasir dimenangi wakil PAS, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman dengan majoriti 5,433 undi dalam Pilihan Raya Umum-ke 12, kemenangan ketiga dan dengan majorit terbesar dalam tiga pilihan raya dimenangi PAS sejak 1999.


Kemenangan ini menyaksikan majoriti merosot diperolehi PAS dipercayai akibat hari pengundian yang dilakukan pada hari bekerja.


Jumlah keluar mengundi merosot kepada 73.1 peratus daripada 82.57 peratus pada pilihan raya umum yang lalu.


Ketika dihubungi selepas pengumuman di IKBN, Salleh menganggap kemenangan tersebut bukan kejayaan peribadinya sahaja, tetapi kejayaan Pakatan Rakyat peringkat negeri dan federal.


Ujarnya, Permatang Pasir mampu menjadi 'pembakar semangat' sekurang-kurangnya di Dun Seputeh, di samping pilihanraya ke-13 kelak.


"Ini (kemenangan) bukan untuk saya, biarpun saya mewakili PAS bertanding di Permatang Pasir. Ini (kemenangan) untuk Pakatan Rakyat negeri (Pulau Pinang) dan semua kepimpinan pusat."


"Kalau boleh, kemenangan ini jadi 'pembakar semangat'...sekurang-kurangnya di Kuala Seputeh jika jadi pilihanraya... pilihanraya ke-13 lebih-lebih lagilah."


Isnin, Ogos 17, 2009

Satu Lawan Satu di Permatang Pasir

Pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir pada 25 Ogos ini akan menyaksikan pertarungan satu lawan satu antara calon Pakatan Rakyat daripada PAS, Ustaz Salleh Man yang akan mempertahankan kerusi tersebut dengan calon BN, Rohaizat Othman.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima 15 bantahan tetapi menolaknya dan mengumumkan pencalonan Salleh dan Rohaizat diterima.

Rohaizat menyerahkan borang pencalonnya pada jam 9.03 pagi ini, diikuti oleh Salleh sejurus kemudiannya..

Rohaizat tiba pada kira-kira jam 8.55 pagi dengan diiringi oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ketua perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu; Ketua Wanita Umno, Datuk Shahrizat Jalil; Presiden Gerakan, Koh Tsu Koon dan Naib Presiden MCA, Datuk Liow Tiong Lai.

Manakala calon PAS, Salleh Man pula tiba kira-kira jam 8.35 pagi bersama para pemimpin parti tersebut dan Pakatan Rakyat.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba kira-kira jam 8.45 pagi. Turut kelihatan ialah setiausaha agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan naib presiden, Salahuddin Ayub.

Turut hadir ialah menteri besar Perak dari Pakatan, Datuk Seri Nizar Jamaluddin; Timbalan Presiden PAS, Nasaruddin Mat Isa dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 25 Ogos ini sebagai hari pengundian.

Pilihan raya DUN Permatang Pasir diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman dari PAS pada 31 Julai lepas.

Sementara itu, ramai pegawai polis dan petugas media memakai penutup hidung dan mulut. Penyokong PAS memakainya yang memaparkan tulisan 'PAS untuk semua”.

Pegawai kementerian kesihatan mengedarkan secara percuma penutup hidung dan mulut itu kepada orang ramai di pintu masuk ke pusat penamaan calon itu.

Manakala calon bebas, Kamarul Ramizu Idris, yang sebelum ini menyatakan hasratnya untuk bertanding, tetapi menarik dari pada saat-saat akhir.

Beliau tiga di pusat penamaan calon pada kira-kira jam 9.55 pagi tetapi tidak menyerang borang pencalonan.

Kamarul mendakwa beliau tersalah jalan dan terperangkap dalam kesesakan lalulintas, dan oleh itu tidak mempunyai yang mencukupi untuk menyerah borang pencalonan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya mengeluarkan enam borang pencalonan dan tiga orang telah membuat bayaran deposit.

Sementara itu, Pakatan Rakyat membangkitkan isu mengenai status Rohaizat sebagai peguam ekoran laporan bahawa nama beliau telah dilucutkan dari senarai Majlis Peguam kerana didakwa menyalahgunakan wang pelanggan.

Pengarah biro pilihanraya PKR yang ahli parlimen Machang, Saifuddin Nasution berkata Rohaizat perlu memberi penjelasan berhubung isu tersebut.

Jika dakwaan itu benar, katanya, maka apakah jaminan perkara yang sama tidak akan berlaku dengan wang rakyat jika Rohaizat terpilih.

Rohaizat, 38, dilaporkan berkata kes itu bukan satu isu.

Bagaimanapun, Saifuddin berkata, menjadi tanggungjawab calon BN itu untuk menjelaskan kedudukannya sekarang sebagai seorang peguam.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata proses penamaan calon berjalan lancar dan aman tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Jumaat, Ogos 14, 2009

Hassan Ali dan Ronnie Liu sepakat isu 'ARAK' selesai

Kuala Lumpur - Pesuruhjaya PAS Selangor Dato' Dr Hassan Ali bersama Exco DAP Ronnie Liu menyatakan kata sepakat isu penjualan Arak dianggap sudah selesai.

Kedua-dua mereka dilihat berjabat tangan dan berdamai secara terbuka di satu sidang media bersama di Tropicanna dekat sini petang tadi.


Dalam kenyataan kedua-dua belah pihak, mereka bersetuju bahawa penjualan arak dibenarkan bagi orang bukan Islam.


Namun ianya mesti dikawal dan tidak dibenarkan kepada orang Islam. Dalam masa yang sama, difahamkan, kedua-duanya bersetuju bahawa tidak ada permit baru akan dikeluarkan bagi tujuan penjualan minuman beralkohol itu.


Turut hadir di sidang media yang dibuat sejurus selepas Seminar Pakatan Rakyat di Tropicana, ialah Penasihat KeADILan Dato' Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung PAS Dato' Mustafa Ali beserta barisan pimpinan parti masing-masing. Image


Dalam sidang media itu Anwar menyatakan bahawa penubuhan Jawatankuasa Displin Pakatan Rakyat akan ditubuhkan di peringkat pusat bagi memantapkan lagi dasar dan pelan tindakan pemimpin Pakatan Rakyat.


Seminar itu juga adalah bertujuan memperkukuhkan Pakatan Rakyat sekaligus cuba menangkis pelbagai tohmahan dan serangan 'pyswar' yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) dan Umno mutakhir ini.

Jumaat, Julai 31, 2009

YB Dato' Ustaz Hamdan Abdul Rahman meninggal dunia

Al-Fatihah - Dato' Ustaz Mohd Hamdan Abdul Rahman, ADUN Permatang Pasir telah kembali ke Rahmatullah pagi ini jam 6.10. Jenazah masih berada di IJN Kuala Lumpur. Jenazahnya akan dikebumikan jam 5 petang di Permatang Pasir.

Beliau baru saja dianugerahkan Darjah Setia Pangkuan Negeri yang membawa gelaran Dato’ sempena ulangtahun Tun Yang Terutama Tun Seri Utama Dr Haji Abdul Rahman Abbas yang ke-71 di Dewan Sri Pinang pagi pada 11 Julai 2009.

Beliau juga pernah menjawat jawatan Pesuruhjaya PAS Negeri selama 11 tahun selepas Tuan Guru Haji Zabidi Ali meninggal dunia merupakan tokoh PAS pertama negeri ini yang mendapat gelaran sedemikian.

Beliau merupakan ADUN Permatang Pasir selama 3 penggal berturut-turut. Beliau meninggalkan seorang isteri dan enam orang anak.

  • Beliau juga pernah berkhimat sebagai Guru Bahasa di Maktab Sultan Abdul Hamid, Kedah dari tahun 1965 - 1966.
  • Berkhidmat sebagai Pegawai Pentadbir dalam Kerajaan Negeri Kedah mulai tahun 1966 sehingga 1977.
  • Berkhidmat sebagai Pegawai Pentadbir di Jabatan Kastam & Eksais Di Raja Malaysia dari tahun 1977 sehingga 1983.

  • Beliau juga adalah aktivis NGO. Beliau pernah menjadi AJK Majlis Belia Malaysia peringkat negeri (MBN) dalam tahun 1973.
  • Pernah menjadi Pengerusi ABIM Bahagian Alor Setar bandar serta Setiausaha ABIM Negeri Kedah dari tahun 1973 hingga 1976.
  • Pernah menjadi AJK PEMADAM Negeri Pulau Pinang, mewakili PAS negeri dari tahun 1989 - 1999.
  • Menjadi AJK PEMADAM Daerah Seberang Perai Tengah mulai 2008.

Penglibatan beliau dalam Politik:
Pengarah Bilik Gerakan PAS Negeri dari Tahun 1983 - 1986.
Bendahari badan perhubungan PAS negeri Pulau Pinang 1985 - 1989.
Ketua Lujnah Penerangan PAS Kawasan Tasek Gelugor dari Tahun 1984 - 1986.
AJK Lujnah Ekonomi Dewan pemuda PAS Pusat 1985 - 1986.
Yang DiPertua PAS Kawasan Kepala Batas 1989 - 1997.
Pengarah Jentera Pilihanraya PAS Negeri Pulau Pinang 1990 - 1998.
Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang 1989 - 2003.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang 2007 - 2008.
Ahli Dewan negeri Pulau Pinang. 1999 - sekarang.

Satu kehilangan besar bagi PAS dan juga Pakatan Rakyat di Pulau Pinang. Ini juga bermakna dalam tempoh 60 hari, pilihanraya kecil akan diadakan di Dun Permatang Pasir dalam Parlimen Permatang Pauh.

Parti KeADILan Rakyat Cabang Nibong Tebal mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Semoga Allah SWT merahmati dan meredhoi perjuangannya selama ini serta menempatkan rohnya dikalangan para solihin. Amin...

Selasa, Julai 14, 2009

PAS berjaya mempertahankan Manek Urai

KEPUTUSAN RASMI
UNDI PAS
5348
UNDI BN
5283
MAJORITI 65
JUMLAH UNDI ROSAK 92
JUMLAH KELUAR MENGUNDI 10 722 (87.22%)
JUMLAH SALURAN MENANG 14 DARIPADA 27
JUMLAH UPU MENANG 4 DARIPADA 9
MASA 8.29 PM (rasmi)


Manek Urai -
Keputusan rasmi, PAS menang dengan majoriti 65 undi. PAS mendapat 5,348 undi manakala BN mendapat 5,283 undi.

9.00 malam: Keputusan rasmi PAS menang dengan kelebihan 65 undi mengalahkan BN di Manek Urai. Kelihatan di pusat penjumlahan undi adalah Exco Kerajaan Negeri, Dato' Husam Musa; Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli dan AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad. Tiada pemimpin Umno kelihatan di sini.


8.35 malam: Keputusan tidak rasmi PAS menang dengan majoriti 64 undi dan BN telah memohon untuk membuat kiraan semula.


8.15 malam: Berdasarkan pada penjumlahan undi melibatkan lima pusat mengundi, PAS mendahului dengan 3,471 undi manakala BN pula 3,262 undi. Perbezaan ialah 209 undi.


8.10 malam: Ketika ini PAS sedang mendahului dengan 308 undi; PAS: 1,962; Umno: 1,654.


7.55 malam: Keputusan tidak rasmi ketika ini, PAS menang dengan 70 undi namun dijangkakan kiraan semula akan berlaku.


7.35 malam: Berita tidak rasmi dimaklumkan di markas PAS di Manek Urai bahawa PAS menang dengan majoriti 70 undi.


7.10 malam: Para petugas media termasuk SPR sedang menunggu ketibaan peti-peti undi di pusat penjumlahan undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra 1.


7.00 petang: Laungan takbir bergema apabila calon PAS hadir di kawasan markas. Ketika ini, para penyokong sedang berkumpul bagi menantikan keputusan pilihan raya.


6.30 petang: Para penyokong mula memenuhi kawasan markas dan kempen Manek Urai. Ramai yang melahirkan keyakinan calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah akan menang.


Terdahulu, Pengarah PIlihan raya Kelantan, Abdul Fatah Harun melahirkan keyakinan PAS akan menang dengan majoriti sekitar 2,000 undi.


6.00 petang: Petugas dan sukarelawan PAS kelihatan sedang mengalihkan kenderaan daripada kawasan markas di Manek Urai agar para penyokong dapat berkumpul di situ untuk mengikuti perkembangan dan keputusan pilihan raya.


Kelihatan papan layar yang besar juga ditempatkan di kawasan markas.


5.45 petang: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelihatan telah meninggalkan kawasan Manek Urai.


5.30 petang: Berlaku kesesakan yang teruk di kawasan Manek Urai sehingga ke Kuala Krai. Pusat penjumlahan undi terletak di SMK Sultan Yahya Petra 1, Kuala Krai.


5.00 petang: Pusat pengundian ditutup dan bermula proses pengiraan undi. Sebanyak 87.33 peratus telah keluar mengundi iaitu sejumlah 10,736 daripada 12,293 pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka dalam pilihan raya kecil ini. SPR menjangkakan keputusan akan diketahui seawal jam 8 malam.


Peratusan keluar mengundi dalam PRK ini adalah lebih 86 peratus dan mengatasi jangkaan SPR iaitu sebanyak 85 peratus.


4.00 petang: Peratus keluar mengundi sehingga jam 4 tadi sudah mencecah 86.4 peratus atau 10,626 pemilih.


3.40 petang: Sehingga jam 3 petang, seramai 10,312 pengundi (83.8 peratus) telah menunaikan tanggungjawab mereka. SPR turut mengesahkan belum ada pusat pengundian yang ditutup dan ia hanya akan ditutup pada pukul 5 petang.


3.10 petang: Setakat pukul 2 petang, seramai 9,845 pengundi (80 peratus) telah menunaikan tanggungjawab mereka.


2.15 petang: Beberapa pemerhati daripada MAFREL turut hadir di setiap peti undi bagi memantau perjalanan pilihan raya kecil Manek Urai.


2.00 petang: Tinjauan ke pusat mengundi di SK Sungai Peria mendapati keadaan agak lengang disebabkan pengundi telah keluar menunaikan tanggungjawab mereka sejak awal pagi. Kesesakan lalulintas yang agak teruk berlaku di Kampung Peria menuju ke Manek Urai baru. Bagaimanapun, pihak polis dapat mengawal lalulintas.


Dilaporkan lebih kurang 300 penyokong PAS dan BN dilaporkan bertembung di pusat membuang undi SK Peria dekat kira-kira 12 tengah hari tadi.


Pergaduhan tersebut berjaya dileraikan oleh polis dan empat buah trak unit tindakan ringan diletakkan di situ bagi meningkatkan keselamatan.


Beberapa orang penyokong di kalangan kedua-dua parti dilaporkan cedera.


1.30 petang: Jumlah yang telah keluar mengundi adalah sebanyak 75 peratus sehingga jam 1.15 petang tadi. SPR menjangkakan sebanyak 85 peratus pengundi akan keluar mengundi dalam pilihan raya kecil ini.


12.30 tgh: Semua kenderaan terutamanya yang menggunakan jalan raya Kuala Krai-Gua Musang telah dilencongkan ke jalan-jalan kampung bagi mengurangkan kesesakan.

12.00 tgh: Peratus keluar mengundi sehingga pukul 12 tengah hari sudah mencecah 68 peratus.


11.45 pagi: Ketua Polis Kelantan, Dato' Abdul Rahim Hanafi menggesa orang luar tidak menggunakan Jalan Kuala Krai-Gua Musang jika tiada urusan penting bagi mengelakkan kesesakan jalan raya.


11.35 pagi: Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat melawat pondok panas PAS di Sekolah Kebangsaan Manek Urai Baru.


11.30 pagi: SPR mengesahkan sudah 55 peratus pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.


11.15 pagi: SPR mengesahkan sehingga jam 11 pagi tadi sebanyak 40 peratus pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka.


11.00 pagi: Sekumpulan penyokong PAS mengepung sebuah kereta yang dinaik mereka disyaki menyamar sebagai pegawai SPR dengan menggunakan pelekat SPR dan masuk ke pusat pengundian di Manjor.


Pihak polis kemudiannya campurtangan dan mengesahkan mereka bukan 'pegawai SPR' dan mengarahkan mereka beredar dari situ.


10.30 pagi: Peratus keluar mengundi setakat ini adalah 4,706 pengundi (38.3 peratus) dan disahkan oleh SPR.


9.45 pagi: Kekecohan berlaku apabila berlaku pertembungan antara penyokong dan peraih undi BN dan PAS di kawasan SK Manek Urai Baru. Namun, keadaan terkawal apabila pihak polis berjaya mententeramkan keadaan.


9.30 pagi: Sehingga jam 9 pagi, SPR mengesahkan sebanyak 1,932 pengundi (15.7 peratus) telah keluar mengundi.


9.15 pagi: Rombongan Tuan Guru Nik Aziz, Presiden dan calon PAS kini berada di kawasan Peti Undi Sg Sok.


8.30 pagi: Jalan mula sesak. Kenderaan dan anggota polis dilihat hanya mengiringi pemimpin dan VIP daripada BN dan tidak kelihatan anggota yang bertugas mengawal jalan raya.


8.15 pagi: Kelihatan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengiringi calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah meninjau di kawasan Peti Undi Peria.


8.00 pagi: Pusat pengundian mula dibuka. Semua kawasan pengundian hangat dengan kehadiran para pengundi dan kenderaan.


7.30 pagi: Kenderaan mula sibuk dan jalan sekitar Dun mula sesak dengan kenderaan.Bendera PAS dan Pakatan Rakyat kelihatan di merata tempat sehingga ke Pekan Kuala Krai dan Kota Bahru.


Berita sebelum ini


Sembilan pusat pengundian dibuka untuk pilihan raya kecil itu melibatkan 27 saluran dalam proses yang diselia pegawai dilantik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang diketuai Pegawai Pengurus Pilihan Raya Adnan Hussin, yang juga Ketua Jajahan Kuala Krai.


Sebahagian besar daripada 12,293 pengundi, kecuali 25 pengundi pos, dijangka keluar awal untuk memilih wakil rakyat baru bagi menggantikan penyandangnya Ismail Yaacob yang meninggal dunia pada 22 Mei lepas akibat serangan jantung.


SPR mensasarkan kira-kira 85 peratus daripada pengundi akan keluar mengundi pada pilihan raya kecil ini.


Pengundian akan ditutup pukul 5 petang dan diikuti dengan pengiraan undi di kesemua sembilan pusat mengundi terbabit.


Penjumlahan undi akan dilakukan di Dewan Petra, SMK Sultan Yahya Petra 1, Kuala Krai dan keputusannya dijangka dapat diketahui seawal pukul 8 malam ini.

Mungkinkah ada kejutan di Manek Urai?

Kesesakan di Manek Urai sepanjang tempoh berkempen pilihanraya kecil DUN sampai ke kemuncaknya hari apabila lebih 12,000 pemilih akan keluar mengundi mulai jam 8 pagi hingga 5 petang ini untuk memilih wakil rakyat mereka: calon BN Tuan Aziz Tuan Man atau Mohd Fauzi Abdullah (PAS).


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangka keputusan pilihanraya kecil hari ini dapat diketahui seawal jam 8 malam.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata ia tidak menjangka sebarang masalah untuk mengumumkan keputusan awal berdasarkan kawasan DUN itu yang kecil.

Beliau berkata, sasaran SPR ialah lebih 85 peratus daripada 12,293 pengundi akan mengundi hari ini kerana 90 peratus daripada mereka bekerja sebagai petani, penoreh getah, nelayan dan tidak tertakluk kepada hari bekerja.

Manakala Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat juga telah mengumumkan hari ini sebagai cuti am untuk membolehkan pemilih keluar pengundi.


Sepanjang tempoh lapan hari berkempen sejak 6 Julai, BN dilihat menggunakan isu latar belakang pendidikan dan karier calon PAS, yang lebih dikenali sebagai Abe Uji, seorang pemborong ikan.


Manakala calon BN pula lulusan ijazah pengurusan teknologi daripada Universiti Utara Malaysia.


Isu memperlekehkan latarbelakang Abe Uji itu telah mencetus rasa tidak puas hati di kalangan peraih dan peniaga ikan di Kelantan dengan mengadakan bantahan di Manek Urai, Jumaat lalu.


Di samping itu, BN juga menjadikan isu pembangunan sebagai taruhan utamanya, antaranya, menjadikan Manek Urai anak emas kerajaan pusat, menjadikannnya sebagai kota agropolitan serta membina beberapa kemudahan baru - termasuk jambatan baru dua lorong di Manek Urai Lama, sekolah kebangsaan di Chuchoh Puteri dan masjid baru di Temalir.

Oleh kerana faktor agama memainkan peranan penting di sini, BN juga cuba menyampaikan mesej kempennya bahawa pembangunan dan kemajuan merupakan sebahagian daripada tuntutan agama, bukan sekadar kejayaan di akhirat semata-mata.


BN turut mengadakan majlis solat hajat di semua sembilan peti undi di Manek Urai malam tadi di bilik operasi BN di Sungai Sok Luar, Manik Urai, yang disertai kira-kira 200 jemaah, termasuk Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga timbalan presiden Umno, memohon kemenangan calonnya.


Dalam kempennya, BN juga menggunakan isu kerajaan perpaduan, dengan cuba "melaga-lagakan" antara Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa, dengan mursyidul amnya, Nik Aziz.

Ia tergambar melalui risalah mereka Suara Manek Urai yang diterbitkan secara harian.

Sementara PAS pula menyentuh isu penyalahgunaan jentera dan kakitangan kerajaan, antaranya penggunaan helikopter oleh Muhyiddin semasa berkempen.

Isu tuntutan royalti minyak Kelantan berjumlah RM1 bilion, yang diketengahkan oleh exco kanan kerajaan negeri Datuk Husam Musa, juga dilihat berkesan.

Semalam PAS mengeluarkan risalah khas isu royalti tersebut, bertajuk "Fakta Sebenar Minyak Kelantan" yang menggunakan hujah ilmiah dan penuh fakta.

Menariknya, risalah itu dicetak menggunakan keseluruhannya dakwat biru, seperti kelaziman dalam cetakan BN.

Jika isu pembangunan menjadi penentu kemenangan calon masing-masing, maka pengundi Manek Urai perlu membuat pilihan antara royalti minyak yang diperjuangkan PAS atau pembangunan infrastruktur BN yang dijanjikan segera, sejurus selepas kemenangan dicapai malam ini.

Isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dan rumah mewah bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Mohd Khir Toyo turut dimainkan dari masa ke semasa dalam kempen PAS.

Ceramah bukan ukuran

Sementara itu, diukur daripada jumlah kehadiran ke ceramah, PAS ternyata dapat mengumpulkan penyokong dengan angka yang jauh melebihi kehadiran di program BN.

Semalam, tiga tonggak utama Pakatan Rakyat - Datuk Seri Anwar Ibrahim, penasihat DAP Lim Kit Siang dan Nik Aziz - mengumpulkan hampir 5,000 penyokong dalam ceramah di Sungai Peria.

Sementara majlis timbalan perdana menteri petang kelmarin hanya mengumpulkan penyokong kira-kira 200 orang.

Bagaimanapun, kehadiran itu tidak dapat menjadi pengukur sokongan kerana secara tradisinya, tempat PAS berceramah bukan sekadar menjadi tempat penerangan parti tetapi juga pusat perniagaan yang dibanjiri para peniaga kecil.

PAS menang di Manek Urai 10 daripada 12 kali pihanraya umum. Terbaru, mereka hanya tewas pada 2004, ketika (allahyarham) Ismail Yaacob atau Pok Su Wel, tidak bertanding.

Sepanjang lima kali bertanding, beliau menang kesemuanya. Kelebihan beliau sehingga kini masih dijadikan taruhan PAS yang menostalgiakan tokoh itu dengan memainkan lagu khas berirama dikir barat dan dokumentari pendek sebagai sanjungan kepadanya sebelum berceramah.

Sebuah jalan di Manek Urai Baru turut dinamakan Jalan Pok Su Wel.

Sumber PAS memberitahu, sehingga hari ini, parti Islam itu selamat dengan 58 peratus sokongan. Sejak semalam, Nik Aziz dan pengarah pilihanraya PAS Kelantan, Fatah Harun menyatakan keyakinan menang dalam pilihanraya kecil hari ini.

Hari ini jadi tumpuan


Bagaimanapun, mereka berdua kelihatan masih risaukan kehadiran pengundi hantu. Kehadiran 3,000 anggota polis di kawasan tersebut masih mengundang kecurigaan berterusan pemimpin PAS.

Sumber Umno pula memberitahu, mereka yakin dengan sokongan lebih 50 peratus setakat ini. Semua mata kini tertumpu ke Manek Urai.

Selepas "pengumuman besar" pembinaan jambatan semalam, BN dilihat sudah kehabisan peluru. PAS pula menjanjikan kejutan besarnya hari ini.

Nik Aziz mengumumkan hari ini sebagai cuti umum di Kelantan bagi memudahkan pemilih keluar pengundi.

Tetapi tidak dapat dipastikan sama ada perkara itu merupakan kejutan yang dijanjikan.

Jika tidak, BN akan menghadapi masalahnya - serangan terakhir dan muktamad PAS.

Dalam pilihanraya lalu, PAS menang dengan majoriti 1,352 undi. Lantaran itu, semua mata tertumpu kepada hari pengundian hari ini.

Persoalannya apakah PAS mampu mempertahankan kerusi itu dengan majoriti yang selesa?

Ataupun pilihanraya kecil esok akan membawa tuah kepada BN dan menandakan berakhirnya "kekecewaannya" yang sering tewas dalam pilihanraya kecil sejak pilihanraya umum tahun lalu - kecuali di Batang Ai, Sarawak - seperti ang diharapkan oleh timbalan perdana menteri?


Rabu, Jun 10, 2009

Kenyataan Media DSAI Berhubung Pengukuhan Permuafakatan Pakatan Rakyat


—KENYATAAN MEDIA UNTUK EDARAN SEGERA—


10 Jun 2009, Petaling Jaya- Kenyataan ini saya edarkan setelah berbincang dengan Ustaz Abdul Hadi Awang dan Sdr. Lim Kit Siang semalam. Kami mengulangi komitmen untuk memperkukuhkan kerjasama Pakatan Rakyat bagi menjayakan Agenda Perubahan. Kami berpendapat adalah penting untuk memberi peluang dan ruang kepada rakan-rakan parti komponen untuk menjelaskan pendirian mereka berhubung sebarang isu yang berbangkit. Kami percaya perselisihan kecil yang digembar gembur oleh media umno-bn tidak akan meretakkan permuafakatan yang terbina dari iltizam untuk membawa Perubahan kepada rakyat Malaysia keseluruhannya.


Perlu dijelaskan bahawa isu rundingan PAS-umno yang berbangkit dari kenyataan Ustaz Abdul Hadi pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan dasar di muktamar tahunan baru-baru ini harus dilihat dalam konteks pidato Presiden Pas. Dalam pidato tersebut Ustaz Abdul Hadi mengulangi komitmen PAS untuk memastikan Perubahan terlaksana melalui wadah Pakatan Rakyat dan menggariskan kewajaran muafakat antara parti bagi menyelesaikan krisis Perak melalui pilihanraya, menggesa agar badan kehakiman bebas dari sebarang kongkongan dan pilihanraya yang telus.


InshaAllah permuafakatan Keadilan, PAS dan DAP akan bertambah utuh dari hari ke hari. Rakyat Malaysia mahukan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, telus dan cekap mentadbir bagi kembali memacu negara ini ke persada. Pakatan Rakyat bersedia menggalas tanggungjawab demi memastikan negara ini berada di landasan yang tepat.


ANWAR IBRAHIM
KETUA PEMBANGKANG
DEWAN RAKYAT MALAYSIA


Isnin, April 20, 2009

Waran tangkap Naib Presiden PAS

Jawi - Mahkamah Majistert Jawi, Nibong Tebal mengeluarkan waran tangkap terhadap Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dan sembilan pengikutnya kerana gagal menghadiri perbicaraan hari ini berhubung tuduhan menghalang penjawat awam melaksanakan tugas tahun lalu.

Mahkamah itu telah menetapkan perbicaraan selama tiga hari mulai hari ini untuk kesemua tertuduh tetapi kelibat mereka dan juga peguam tidak kelihatan apabila kes itu dipanggil.

Berikutan itu, Timbalan Pendakwaraya Yusaini Anuar memohon supaya mahkamah mengeluarkan waran tangkap ke atas Mohamad Sabu dan sembilan penyokongnya, lapor Bernama.

Majistret Norashikin Mokhtar, yang menggantikan Majistret Mohd Izham Ali yang sedang berkursus, kemudiannya mengeluarkan waran tangkap itu serta notis kepada kesemua penjamin mereka dan menetapkan 22 Jun ini untuk sebutan semula kes itu.

Jurucakap Mahkamah Jawi ketika dihubungi berkata, pihaknya telah dihubungi oleh seorang peguam kumpulan itu yang memaklumkan bahawa mereka akan hadir di mahkamah itu esok untuk membuat rayuan membatalkan waran berkenaan.

Mohamad Sabu, 53, dan sembilan penyokongnya Zamarul Aini Abdul Malek, 37; Zainal Azrun Zainal Abidin, 35; Abdul Rahim Mat Ariff, 58; Md Lazim Osman, 50; Mohd Biyamin Ishak, 44; Fauzi Saharat, 44; Abdul Razak Ramli, 42; Mohd Subri Mohd Said, 42; dan Mohamad Salleh, 47; didakwa menghalang Supt Mohd Nasir Salleh daripada menyerahkan waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Jalan Duta, Kuala Lumpur terhadap pemimpin PAS itu.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu berhampiran plaza tol Bukit Tambun di Lebuhraya Utara Selatan pada kira-kira pukul 7.45 malam, 9 Disember tahun lalu.

Mahkamah batal waran
dikemaskini (13:30, 21 April 09) - Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu bersama sembilan penyokongnya keluar dari Mahkamah Majistret Jawi di sini, setelah mahkamah membatalkan waran tangkap terhadap mereka kerana gagal menghadiri perbicaraan di mahkamah itu semalam.

Majistret Nur Ashikin Mokhtar mengeluarkan perintah itu setelah Yusnita Yusoff, peguam yang mewakili kesemua tertuduh, memohon supaya waran itu tidak dikeluarkan kerana berlaku kesilapan teknikal mengenai tarikh perbicaraan.

Mahkamah, kemudian menetapkan 28 hingga 30 Sept sebagai tarikh baru perbicaraan.

Kelmarin, mahkamah memerintahkan waran tangkap dikeluarkan terhadap Mohamad Sabu dan sembilan penyokongnya kerana mereka tidak menghadiri hari pertama perbicaraan yang ditetapkan selama tiga hari itu.


Sabtu, April 11, 2009

Surat Tuan Guru Nik Aziz kepada YB Nga Kor Ming

13 Rabiul Akhir 1430
9 April 2009


YB Encik Nga Kor Ming
EXCO Kerajaan Negeri Perak
Pejabat EXCO Negeri Perak
30000 Ipoh
PERAK DARUL RIDZUAN.


Menemui YB Encik Nga dengan ucapan salam sejahtera


Yang Berhormat,


Alhamdulillah, dengan izin Allah, saya telah mengikuti isu di sekitar percubaan YB untuk mengenali Islam melalui pembacaan Ayat-Ayat Al-Quran dengan tekun. Saya juga terharu mendengar keluhan YB yang berbunyi “saya berasa amat kesal apabila masyarakat Tionghua yang cuba mengenali Islam dan Al-Quran melalui kitab berkenaan, tiba-tiba dihalang.”


Saya boleh memahami dan menyelami perasaan kecewa yang sedang melanda hati YB. Mudah-mudahan dengan sikap “tidak mesra Umno” dan pemimpin-pemimpin Umno tentang kecenderungan masyarakat Tionghua dan India yang sihat ini, ia akan meningkatkan lagi kesedaran Non-Islam untuk lebih mengkaji, mendalami dan mengadakan forum serta wacana mengenai Islam dengan cara yang lebih meluas.


Saya mempunyai sebuah impian. Dalam tempoh tidak berapa lama lagi mudah-mudahan akan muncul lebih ramai orang dari kalangan masyarakat Tionghua, India, Siam, Bajau dan Kadazan yang tampil menjadi Qari, Ustaz, Khatib dan Imam di seluruh negara. Kalau Jenghiz Khan yang mengetuai tentera Moghul menyerang dan memusnahkan hampir seluruh Kerajaan dan tamadun Islam di Kota Baghdad, tetapi sempat ditebus semula keagungan Islam melalui cucunya yang bernama Aurangzeb yang menegakkan empayar Islam di India kemudiannya. Maka saya mempunyai keyakinan yang kuat bahawa Islam akan kembali gemilang di negara kita melalui kaedah dan insiden yang hampir sama. Mudah-mudahan YB lah orangnya yang akan meletakkan batu asas pertama ke arah menyusun batu bata yang kukuh ini untuk terus bertumpang tindih.


Mari kita bina asas ini dengan mengatur langkah-langkah permulaan melalui seminar, muzakarah, muqabalah, dialog dan wacana. Tajuk-tajuk seperti “dimana tak kenanya Islam” atau “apa mesej al-Quran kepada orang bukan Islam” bolehlah difikirkan. Anggota panel boleh terdiri daripada tokoh-tokoh PAS, Umno, DAP, PKR dan pemimpin-pemimpin NGO, pensyarah serta pendakwah bebas. Ia boleh dijadikan sesi kuliah bersiri yang boleh dianjurkan di PWTC, di masjid-masjid, surau-surau, kuil-kuil dewan-dewan perhimpunan, di universiti-universiti, baik di IPTS atau IPTA.


Sekali lagi saya mengucapkan syukur kepada Allah S.W.T di atas kekuatan dan keberanian yang ada pada YB. Terus tekun dan beristiqamahlah dalam mengharungi ujian-ujian ini. Insya Allah saya seakan-akan sedang melihat sekerdip lilin yang bercahaya di hujung sana. Marilah kita sama-sama ke sana.


* MEMBANGUN BERSAMA ISLAM *


TUAN GURU DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Menteri Besar Kelantan
Merangkap
Mursyidul Am PAS


Rabu, April 08, 2009

Pakatan kuasai 2 Bukit, BN kekalkan Batang Ai

Calon PKR S Manikumar meraih 12,632 undi, meninggalkan calon BN Datuk S Ganesan dengan 10,229 undi.

Ahli perniagaan muda itu, yang bakal dilantik Exco Kerajaan Kedah, mendapat majoriti 2,403 undi, lebih 40 undi daripada majoriti V Arumugam yang melepaskan jawatan dan kerusi tersebut dengan alasan nyawanya diancam.

Kesemua 13 calon bebas hilang wang deposit - mencipta satu lagi rekod selepas kertas undi terbesar dalam sejarah Malaysia.

Manakala kerusi parlimen Bukit Gantang, PAS menang dengan majoriti 2,789 undi. Calonnya Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin mendapati 21,860 undi, manakala calon BN Ismail Saffian mendapat 19,071 undi.

Calon bebas mendapat 62 undi dan hilang wang deposit.

Keputusan ini bermakna PAS mengekalkan kerusi tersebut dengan tambahan majoriti, berbanding 1,566 undi pada 2008.

Kejayaan PAS itu disambut oleh para penyokongnya dengan membakar bunga api di kawasan padang dekat dewan penjumlahan undi.

Sementara itu di Sarawak, BN menang di Batang Ai dengan majoriti besar - 1,854 undi.

BN mendapat majoriti 806 undi dalam pilihanraya negeri Sarawak tiga tahun lepas.



Keputusan PRK : P059 Bukit Gantang


  • Ismail Saffian (BN) 19,071 undi
  • Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (PAS) 21,860 undi
  • Kamarul Ramizu Idris (Bebas) 62 undi
  • Pemenang: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (Pas)
  • Majoriti: 2,789
  • Undi Rosak: 456
  • % Mengundi: 75.10%

Keputusan PRK : N025 Bukit Selambau

  • R Loganathan (Bebas) 31 undi
  • Tan Hock Huat (Bebas) 78 undi
  • Mohd Radzi Mat Lazim (Bebas) 25 undi
  • S Manikumar (PKR) 12,632 undi
  • Mohd Fadzil Wahab (Bebas) 83 undi
  • Abdul Rahim Abu (Bebas) 60 undi
  • L Sarala (Bebas) 49 undi
  • Datuk S Ganesan (BN) 10,229 undi
  • A Jayagopal (Bebas) 35 undi
  • S Moganakumar (Bebas) 46 undi
  • Khamis Awang (Bebas) 29 undi
  • Husaini Yaacob (Bebas) 257 undi
  • Vaneson Michael (Bebas) 32 undi
  • Mejar (B) Anuar Abd Hamid (Bebas) 528 undi
  • T Chandrarajan (Bebas) 73 undi
  • Pemenang: S Manikumar (PKR)
  • Majoriti: 2,403
  • Undi Rosak: 415
  • % Mengundi: 70.28%

Keputusan PRK : N029 Batang Ai

  • Malcolm Mussen anak Lamoh (BN) 3,907 undi
  • Jawah anak Gerang (PKR) 2,053 undi
  • Pemenang: Malcolm Mussen anak Lamoh (BN)
  • Majoriti: 1,854
  • Undi Rosak: 59
  • % Mengundi: 75.32%

Selasa, Mac 24, 2009

PAS umum DS Nizar calon Pakatan Rakyat di Bukit Gantang

PAS memilih Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin sebagai calon Pakatan Rakyat untuk bertanding dalam pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang.


Menteri Besar Pakatan Rakyat itu akan berdepan dengan calon BN Ismail Saffian, 49.


Ismail yang juga bekas ketua penerangan Umno bahagian, berasal dari Kampung Kubu, Bukit Gantang.


Pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang diadakan berikutan kematian penyandang Roslan Shahrom daripada PAS pada 9 Februari lalu.


Penamaan calon akan berlangsung pada 29 Mac dan pengundian 7 April depan.


Nizar adalah antara beberapa nama disebut-sebut akan dipilih oleh pucuk pimpinan parti tersebut bertanding dalam pilihanraya kecil berkenaan.
Parti itu yakin akan mengekalkan kerusi tersebut, terutama di tengah-tengah krisis politik yang melanda Perak selepas kerajaan haram BN mengambil alih pentadbiran negeri tersebut.

Dalam pilihanraya umum lalu, Roslan merampas kubu kuat BN itu dengan menewaskan Bendahari Umno Datuk Seri Azim Mohd Zabidi dan calon Bebas, M Morgan, dengan majoriti 1,566 undi.

Parlimen itu mempunyai 55,471 pengundi yang terdiri daripada 63.48 peratus pengundi Melayu, 26.77 peratus pengundi Cina, 9.71 peratus pengundi India dan lain-lain pengundi 0.4 peratus.

Terdapat tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di parlimen itu iaitu Changkat Jering, Trong dan Kuala Sepetang. Dalam pilihanraya umum lalu, BN menang di Trong manakala dua lagi dimenangi Parti Keadilan Rakyat.

Isnin, Februari 09, 2009

Al-Fatihah : Ahli Parlimen Bukit Gantang meninggal dunia

Kuala Lumpur - Ahli Parlimen Bukit Gantang, Roslan Shaharum meninggal dunia akibat serangan jantung pagi ini ketika sedang menunggang basikal.


Media turut melaporkan pimpinan Pas, Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa dan Setiausaha Agung Pas Kamaruddin Jaafar mengesahkan bahawa Roslan meninggal pagi ini


Sebelum menjadi Ahli Parlimen, Allahyarham pernah bertugas sebagai pensyarah di Universiti Pertanian Malaysia, Universiti Terbuka Malaysia dan Institut Teknologi Mara Perak.


Allahyarham mempunyai Sarjana dari bidang Sains Pembangunan Sumber Manusia, Sarjana Muda Sastera dalam bidang Pengkususan Sains politik dan Psikologi UKM serta mempunyai Diploma Pengajian Islam dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.


Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Safiah Harun dan 11 orang anak.


Bertanding atas tiket Pas pada pilihanraya ke 12, Allahyarham memenangi kerusi itu dengan majoriti 1,566 undi.


Sabtu, Januari 17, 2009

Pakatan Rakyat rampas kerusi Parlimen Kuala Terengganu

Laungan Takbir bergema di seluruh pelusuk Kuala Terengganu


Calon Pakatan Rakyat daripada PAS memenangi pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu dengan dengan majoriti 2,631 undi. Calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut mendapat 32,883 undi manakala calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid mendapat 30,252 undi. Calon bebas pula mendapat 193 undi.

Setelah keputusan rasmi diumumkan, laungan takbir berkumandang di segenap ruang. Para penyokong kemudian berarak meraikan kemenangan tersebut.

Dengan Munajat dan Doa seluruh rakyat Malaysia untuk kemenangan ini, Allah telah makbulkan hajat makhluknya. Seterusnya menyelamatkan Terengganu daripada segala penyalahgunaan wang rakyat yang berleluasa seperti yang tertera di Kuala Terengganu kalimah gergasi, 'ALLAH Peliharakanlah Terengganu'

Kemenangan ini bermakna Pakatan Rakyat telah menambah jumlah kerusi kepada 83, manakala BN 136 dan 2 kerusi SAPP yang telah keluar dari BN baru-baru ini serta 1 kerusi (Parlimen Persiangan, Sabah) kosong berikutan mahkamah membatalkan kemenangan BN.

Tidak mustahil bagi Pakatan Rakyat untuk memenangi kerusi Persiangan jika diukur dengan mood rakyat yang mahukan perubahan kerajaan persekutuan.

Rabu, Januari 14, 2009

Sembilan Hari di Kuala Terengganu

Pejabat Perhubungan Negeri Terengganu

Terlebih dahulu Media NT memohon maaf kepada para pembaca kerana tidak sempat untuk mengemaskini blog ini disebabkan kesibukan membantu jentera pilihanraya di Kuala Terengganu.

Sepanjang berada di sini, kami bersama Jentera Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang bertungkus-lumus merencanakan program untuk memastikan kemenangan calon Pakatan Rakyat, Hj. Mohd Abdul Wahid Endut.

Rasuah pula tidak dapat dibendung dan terus bermaharajalela di Kuala Terengganu. Dari segi projek pembangunan segera, wang ringgit kepada pengundi yang memberikan MyKad hinggalah pemberian 'Tracktor'.

Sehingga Tok Guru Nik Aziz merungkapkan sebuah pantun seloka khusus ditujukan kepada UMNO/BN;
"Rasuah Oh Rasuah,
Beri Salah,
Tak Beri Kalah,
Buat UMNO Serba Salah."

Jentera Pilihan Raya

KeADILan Pulau Pinang di tempatkan di UPU Chendering dengan dibantu oleh jentera Bahagian Kemaman serta tempatan.

Pengarah Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang, Pak Mus bersama Timbalan Pengarah, En. Jamil dan sebahagian daripada jentera KeADILan Pulau Pinang

Kerjasama di antara KeADILan, PAS dan DAP amatlah teguh sehinggakan UMNO/BN terpaksa menggunakan pihak Polis untuk mengugut serta menakut-nakutkan petugas pilihan raya dikebanyakan tempat di Kuala Terengganu.

Pihak Polis dan SPR dipergunakan untuk menurunkan bendera KeADILan dan DAP, dengan alasan parti komponen Pakatan Rakyat ini tidak bertanding.

Adakah alasan ini boleh diterima? atau UMNO/BN merasa fobia dengan kehadiran KeADILan membantu PAS di Kuala Terengganu? Ternyata walau apapun alasan yang diberikan oleh mereka, hakikatnya mereka takut dengan kerjasama diantara komponen Pakatan Rakyat.

YB Hj. Maktar Shapee turut memasang bendera di sekitar UPU Chendering


Kuala Terengganu
MetroPOLIS

USAH terkejut apabila anda melewati setiap batang jalan di Kuala Terengganu, orang pertama yang ditemui ialah anggota polis. Jalan sikit jumpa lagi anggota polis.


Hairan juga. Ada rakan berhujah ketika rakyat Palestin dilanyak habis-habisan tentera Yahudi sepatutnya orang yang lengkap bersenjata lebih baik bantu penduduk Islam di sana.


Polis dipercayai telah menambahkan keanggotaan dari pelbagai unit seramai 2,000 anggota lagi dan kini menghadapi masalah penempatan.

Menurut sumber, difahamkan kini keseluruhan anggota berkenaan berjumlah 12,000 termasuk 10,000 anggota yang dibawa masuk sebelum ini. Tetapi yang disebut secara rasmi seperti dilaporkan media seramai 6,000 anggota polis yang dikerah ke sini.


Sumber mendakwa anggota berkenaan termasuk 500 anggota dari Pulapol, Kuala Lumpur, Kelantan (500), Sarawak (500) dan Sabah (500).


Difahamkan anggota dari Sarawak dijangka akan digunakan untuk mewujudkan insiden provokasi bagi menampakkan Pakatan Rakyat memulakan kekecohan dan huru-hara di kawasan pilihan raya berkenaan.


Sumber juga menyatakan bahawa seramai lebih daripada 2,000 anggota tidak berpakaian seragam. Biar apa pun jelas Kuala Terengganu sekarang disendatkan anggota polis. Di segenap penjuru ada polis. Bagi mereka yang baru tiba di sini, jangan terkejut.


Entah-entah bagi penduduk kampung yang tidak biasa dengan situasi itu mungkin bertukar pula dengan keadaan di Palestin. Ramai sangat anggota polis di sini sekarang, difahamkan tidak pernah berlaku dalam pilihan raya kecil sebelum ini.


Terdapat empat markaz besar khas untuk anggota polis dibina. Lengkap pula dengan sistem penghawa dingin. Menurut mereka lagi ada 28 markaz taktikal di Kuala Terengganu sekarang.


"Di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri di kawasan parlimen Kuala Terengganu ada sebuah markaz polis. Tempat itu dikawal ketat, ada anggota yang lengkap dengan senjata di muka pintu.


"Ambo lihat macam situasi darurat di selatan Thailand. Polis berkawal di segenap jalan dan lokasi," kata seorang peniaga dari Wakaf Mempelam yang sering berurusan di negara jiran.


Seorang lagi rakan terkejut melihat kedai makan yang dikawal ketat anggota polis. Deretan kenderaan polis di kiri kanan jalan. Orang lain mungkin tidak dibenarkan masuk ke dalam restoran tersebut.


Maka tidak hairanlah situasi di Kuala Terengganu sekarang macam di Palestin, cuma di sini tidak ada yang mati kerana bom atau tertembak. Tiada juga yang cedera kecuali sakit hati kerana dendam politik.


Seorang bekas wakil rakyat dari Kelantan yang enggan dikenali berkata, tentunya ada strategik yang tersembunyi dengan kehadiran begitu ramai anggota polis.


Kata seorang pakcik di Losong, itu kaedah mudah untuk memenangkan calon Barisan Nasional.


Disamping itu juga, cuba kita fikirkan sejenak berapa kos wang rakyat digunakan oleh kerajaan bagi membayar elaun anggota Polis yang bertugas di sini. RM2,000/seorang (elaun 'outstation' untuk 2 minggu ) x 12,000 anggota = RM24 juta

Ini baru elaun, tidak termasuk kos yang lain. Fikir-fikirkanlah.


Krisis Dalaman UMNO


Krisis dalaman Umno begitu ketara dan dipamerkan sejak hari penamaan calon lagi apabila kelompok Menteri Besar Dato' Ahmad Said dilihat berada berasingan dengan kelompok bekas menteri besar Terengganu Dato' Seri Idris Jusoh.


Ia semakin ketara apabila dipercayai jawatan pengarah pilihan raya kecil itu bertukar tangan dari Dato' Seri Najib Tun Razak kepada Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi.


Semasa penamaan calon situasi persekitaran kelihatan agak jauh berbeza antara penyokong BN dan Pakatan Rakyat.


Penyokong BN lebih suka berkelompok membincangkan pemilihan Umno sementara penyokong PR menumpukan perhatian untuk menyokong calon PAS dalam pilihan raya tersebut.

UMNO/BN begitu angkuh, menggambarkan mereka berkuasa melebihi segalanya. Adakah jatuh syirik sekiranya berkata demikian? Tepuk dada tanya IMAN


Melanggar Hak Demokrasi


Beberapa tindakan tidak demokratik dilaporkan berlaku termasuk agen-agen BN memaksa kakitangan kerajaan persekutuan mengundi parti itu secara pos.


Mengundi secara pos biasanya dibuat di hadapan ketua jabatan masing-masing sebelum dihantar ke tempat mengundi.


Dengan cara demikian sahaja kakitangan kerajaan dipastikan mengundi BN. Seperti juga kakitangan kerajaan persekutuan, guru-guru yang mengundi dalam pilihan raya tersebut dikumpulkan di tempat tertentu untuk dibrainstorming oleh agen BN bagi memaksa mereka mengundi parti itu.


Saya melihat perkembangan tidak sihat ini sebagai suatu tindakan terdesak BN kerana parti itu mengetahui P36 Kuala Terengganu adalah kubu kuat pembangkang di Terengganu apabila tiga dari empat Dewan Undangan Negeri (DUN) berjaya dimenangi dalam pilihan raya umum ke 12 yang lalu.


Ini termasuk Batu Burok, Wakaf Mempelam dan Ladang. Manakala Bandar dimenangi BN. Calon PAS di parlimen tersebut, Haji Mohamad Sabu kalah dengan majoriti tipis sekitar 600 undi sahaja.


Arwah Dato' Razali Ismail calon BN memenagi kerusi parlimen tersebut sementara calon bebas yang dikenali dengan Tok Mun hilang wang pertaruhannya. Beliau tidak bertanding dalam pilihan raya kecil itu kerana tidak ada penaja.


Kali ini calon PAS yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Haji Mohd Abdul Wahid Endut bertanding menentang calon BN, Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan seorang calon bebas.


Saya juga mendapat laporan di kalangan ahli Umno bahawa Wan Farid sendiri dikatakan tidak begitu mesra dan agak sombong dengan kelompok Ahmad Said, menunjukkan krisis dalam Umno menghantui parti itu dalam pilihan raya tersebut.


Ia menjejaskan gerak kerja kempen secara kolektif di kalangan ahli Umno. Laporan terbaru, jika tidak ada aral melintang calon PAS boleh memenangi pilihan raya ini dengan majoriti sekitar 5,000 undi.


Kita tunggu dan lihat keputusannya pada 17 Januari ini dan diharapkan pengundi mengggunakan kuasa mereka dengan bijak untuk membawa suara mereka ke parlimen melalui calon pakatan rakyat yang dilihat semakin berkesan di parlimen sekarang.


BN terpaksa akur desakan Pakatan Rakyat di Parlimen untuk 'cool down' kemarahan rakyat terhadap kerajan itu kerana BN tahu suara ahli parlimen pembangkang adalah suara rakyat sebenar.


Justeru itulah, BN mula membuka kempen dalam pilihan raya kecil itu dengan slogan "Dari Rakyat, Kepada Rakyat, Untuk Rakyat," bimbang mereka diketepikan lagi dalam pilihan raya kecil itu setelah mereka kalah besar dalam pilihan kecil Permatang Pauh.





Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...