BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya
Memaparkan catatan dengan label PRK Permatang Pasir. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PRK Permatang Pasir. Papar semua catatan

Selasa, Ogos 25, 2009

Kenyataan Media: Kemenangan Calon Pakatan Rakyat Dalam PRK DUN Permatang Pasir

—KENYATAAN MEDIA UNTUK EDARAN SEGERA—
25 Ogos 2009


Alhamdulillah, saya panjatkan kesyukuran atas kemenangan calon Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya Kecil DUN Permatang Pasir hari ini.


Meskipun berbulan-bulan diasak fitnah sebagai pengkhianat bangsa dan berhadapan pembelotan, jelas kemenangan hari ini membuktikan rakyat menolak politik acuan pimpinan UMNO-BN yang memecahbelahkan.


Penghargaan yang tidak terhingga saya ucapkan kepada seluruh jentera pilihanraya kecil yang tetap bersabar mengharungi kepayahan dalam bulan Ramadhan ini. Kepada YB Tuan Haji Salleh Bin Man, tahniah diucapkan atas kejayaan ini. Maka bermulalah tugas untuk menunaikan amanah dan mandat yang diberikan oleh rakyat.


Kemenangan dengan majoriti meyakinkan ini ternyata menzahirkan keyakinan rakyat Malaysia terhadap Pakatan Rakyat, juga hasrat mereka yang sentiasa bergelora mahukan Perubahan dan melihat masa depan Pakatan Rakyat yang lebih gemilang.


ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang
Dewan Rakyat Malaysia


Pakatan Rakyat berjaya mempertahankan Permatang Pasir

Permatang Pauh - PAS mengulangi kemenangan besar yang dicapai dalam Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac tahun lalu apabila kiraan undi rasmi menunjukkan calonnya, Mohd Salleh Man mengatasi pesaing daripada Barisan Nasional, Rohaizat Othman dengan majoriti melebihi 4,551.


Kiraan rasmi menunjukkan PAS mendapat 9,618 undi berbanding 5,067 diperolehi BN, menambahkan lagi pukulan kepada BN yang belum pernah memenangi pilihan raya kecil di Semenanjung sejak selepas pilihan raya umum lebih setahun lalu.


Kerusi Dun Permatang Pasir dimenangi wakil PAS, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman dengan majoriti 5,433 undi dalam Pilihan Raya Umum-ke 12, kemenangan ketiga dan dengan majorit terbesar dalam tiga pilihan raya dimenangi PAS sejak 1999.


Kemenangan ini menyaksikan majoriti merosot diperolehi PAS dipercayai akibat hari pengundian yang dilakukan pada hari bekerja.


Jumlah keluar mengundi merosot kepada 73.1 peratus daripada 82.57 peratus pada pilihan raya umum yang lalu.


Ketika dihubungi selepas pengumuman di IKBN, Salleh menganggap kemenangan tersebut bukan kejayaan peribadinya sahaja, tetapi kejayaan Pakatan Rakyat peringkat negeri dan federal.


Ujarnya, Permatang Pasir mampu menjadi 'pembakar semangat' sekurang-kurangnya di Dun Seputeh, di samping pilihanraya ke-13 kelak.


"Ini (kemenangan) bukan untuk saya, biarpun saya mewakili PAS bertanding di Permatang Pasir. Ini (kemenangan) untuk Pakatan Rakyat negeri (Pulau Pinang) dan semua kepimpinan pusat."


"Kalau boleh, kemenangan ini jadi 'pembakar semangat'...sekurang-kurangnya di Kuala Seputeh jika jadi pilihanraya... pilihanraya ke-13 lebih-lebih lagilah."


Sabtu, Ogos 22, 2009

PESANAN TOK GURU KEPADA PENGUNDI PERMATANG PASIR


“Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan (mengikhlaskan) ketaatan kepadaNya dalam (menjalankan) agama dengan lurus.” (Sebahagian dari Ayat 5 : Surah Al Bayyinah)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarokatuh

Tuan/Puan bakal-bakal pengundi sekalian,

Alhamdulillah. Menjelang 1 Ramadhan 1430, genaplah 8 warkah rayuan pengundi yang telah saya tulis dan tandatangani. Entah apalah rahsia yang tersimpan dalam lipatan perbendaharaan ilmu Allah yang Maha Luas itu sehingga berlaku 8 pilihan raya kecil sejak Pilihan Raya Umum Ke-12, tiada siapa jua yang mampu menekanya.

Apa yang hanya boleh kita baca dari 7 pilihan raya kecil yang telah berlalu, parti yang bertanding dari Pakatan Rakyat (PR) telah menang sebanyak 6 kali berturut-turut. BN cuma menang 1 kali; itupun di Batang Ai,Serawak. Ini realiti dan ini kenyataan.

Pada kali ini Kerusi Permatang Pasir menjemput kita sekali lagi untuk turun ke gelanggang. Walaupun dengan penuh berat, kita terpaksa melepaskan Allahyarham Dato’ Hamdan kita untuk kembali menemuiNya.

Bagi kita yang hidup, tuntutan sambungan jihad demi sebuah tanggungjawab wajib diteruskan. Sudah 3 penggal calon kita bersusah payah untuk mengangkat Islam dan sudah 15 tahun rakyat di Permatang Pasir memperbaharui kepercayaan agar PAS terus menerajui kerusi Dewan Undangan di Permatang Pasir ini.

Jika dibaca nilai istiqamah pengundi di sini di masa-masa lalu, ia jelas menunjukkan betapa tingginya iltizam, kenyakinan dan komitmen mereka. Walaupun mereka tentu boleh faham bahawa apalah sangat memberi kemenangan kepada PAS di kerusi ini dari segi memerintah negeri, namun pada saya, majoriti yang diraih Allahyarham pada 8 Mac 2008, melebihi 5,000 undi adalah teramat mahal.

Bagi pengundi Islam tanpa mengira bangsa, mereka tentu ingin merakamkan sokongan mereka kepada sebuah gerakan Islam yang membawa perjuangan Islam syamil yang sebenar. Mereka tidak sanggup memangkah parti Umno yang mengamalkan Islam dari klon sekular; agama suku dan politik suku. Mana boleh diasingkan iman dengan Islam dan Islam dengan politik? Islam jenis sekular yang diperjuangkan oleh Umno inilah yang saya namakan sebagai Islam palsu.

Sebagaimana adanya wang palsu, rambut palsu atau kad pengenalan palsu; begitu jugalah dengan Islam palsu. Benda palsu; nampak macam sebenar tetapi ia tetap tidak asli. Bagi yang ahli, dia akan tetap tahu membezakan antara bunga hidup dengan bunga plastik. Dengan keadaan tidak tulin itulah timbulnya keraguan. Soalnya bolehkah yang diragu-ragu (syak) itu dibawa untuk mendapatkan anugerah Syurga Allah di akhirat kelak?

Saya bercakap dari sudut aqidah dan kaedah. Jika buat begini ia boleh jadi begini. Jika tidak sempurna wudhu’, amalan sembahyang tidak diterima. Jika tolak Islam dari Allah, maka dengan apa nak digantikan? Ini bukan soal saya mendahului Tuhan atau lebih tahu dari Tuhan. Ini soal kaedah. Saya percaya, para pengundi Islam di DUN Permatang Pasir boleh dengan mudah memahami persoalan ini.

Manakala bagi pengundi bukan Islam pula pada umumnya, saya seakan boleh menyelami keresahan yang sedang bergolak di hati saudara saudari sekelian. Di sana ada tuduhan rasuah berjumlah RM10 juta yang katanya melibatkan pemimpin MCA. Di sana juga ada kes kematian misteri seorang anak muda bernama Teoh Beng Hock sewaktu berada di dalam siasatan (custody) SPRM.

Di sana juga ada kes kematian Kugan sewaktu berada di dalam tahanan polis. Dengan insiden stadium runtuh dan gelanggang akuatik yang tidak selamat di Terengganu, keretakan yang berlaku di lebuh raya MRR2 serta LDP dan skandal di PKFZ Pelabuhan Klang yang bernilai berbilion ringgit, ramai pemimpin Umno yang kena gantung dan disabitkan kesalahan mengamalkan politik wang termasuklah Ketua Menteri Melaka yang masih ada sekarang, buruknya layanan ke atas rakyat yang berhimpun secara aman untuk mengangkat nota bantahan ISA kepada DYMM Yang Dipertuan Agung, cederanya Sdr. Wong dan Gobalakrishnan di tangan SPRM dan Polis – pengamal undang-undang, para pencinta demokrasi dan pejuang hak asasi tidak mempunyai lain-lain harapan pemulihan untuk negara kita.

Apa yang ada hanya satu sahaja iaitu mengekalkan kerusi yang sudah dikuasai oleh PR dan dapatkan sebanyak mungkin kerusi-kerusi tambahan dari Umno/BN jika berlaku lagi pilihan raya kecil. Ini adalah langkah persiapan untuk mengambil alih kerusi, kemudi di Putrajaya tidak lama lagi.

Hanya melalui cara ini sahaja Malaysia akan memperkukuhkan sistem dua parti yang boleh menyemak Institusi Kehakiman, pelaksanaan “rule of law” dan perjalanan demokrasi. Melalui laluan baru inilah, Malaysia akan menjalani proses tajdid, transformasi dan reformasinya yang sebenar. InsyaAllah, ini akan berlaku tidak lama lagi.

Melihatkan trend sokongan non-muslim kepada calon Parti Islam SeMalaysia dan PR, khususnya di Parlimen Permatang Pauh yang telah memenangkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan di Parlimen Bukit Gantang yang telah memenangkan Dato’ Seri Nizar Jamaludin baru empat lima bulan yang lalu, saya cukup mempunyai keyakinan.

Mari kita sama-sama perbesarkan majoriti kita di DUN N11 ini agar menjadi kekal, tidak kurang dari 5,000 undi, sekurang-kurangnya untuk ujian pada 25 Ogos 2009. Tinggalkan Umno dengan syurga politik wangnya. Mari kita terus istiqamah untuk tetap berada di tengah-tengah gelora kesedaran rakyat demi menafikan Umno/BN yang sudah laih dan kehilangan stamina mulai sekarang.

Jangan tertipu lagi untuk percayakan slogan-slogan baru yang dikitar semula. Dulu Islam Hadhari. Kini One Malaysia pula. Esok entah apa pulalah. Umno ni nak jadi apa, entahlah. Nak kata udang pun tidak. Ikan pun bukan. Ingatlah pesan pepatah Melayu: Jika sudah kepalanya ular, mustahil ekornya belut.

Akhir kata, gunakanlah kesempatan membuang undi pada kali ini dengan penuh cermat. Walaupun kita berpuasa dan kemungkinan kita boleh jadi letih tetapi tidakkah Peperangan Badar yang berlaku dalam bulan Ramadhan itu pernah membawa kemenangan yang besar?
Tiada perbuatan yang lebih mulia pada hari mengundi di bulan Ramadhan pada kali ini melainkan memangkah parti yang boleh membela maaruf dan kebaikan; sekaligus menolak kemungkaran, rasuah, kezaliman dan ketidak adilan. Undilah Sdr. Saleh bin Man. Undilah PAS dan PR demi keadilan Islam.

“Ya Allah, saksikanlah. Hamba sesungguhnya sudah menyampaikan.”

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Mursyidul Am PAS
Merangkap Menteri Besar Kelantan
Tanggal : 1 Ramadhan 1430
22 Ogos 2009

Selasa, Ogos 18, 2009

Jentera Pilihanraya KeADILan Nibong Tebal bersiap sedia gempur Permatang Pasir

Seperti lazimnya setiap Pilihan Raya Kecil (PRK) berlaku, KeADILan Nibong Tebal akan membantu jentera pilihanraya tempatan demi memastikan kemenangan calon Pakatan Rakyat.

PRK Permatang Pasir, Cabang Nibong Tebal ditugaskan di Daerah Mengundi (DM)/Unit Peti Undi (UPU) Tanah Liat Mukim 8 bersama-sama PAS Kawasan Batu Kawan, PAS Wilayah Persekutuan, PAS Perlis dan KeADILan Melaka.

Sekiranya ada di kalangan ahli yang ingin menjadi sukarelawan pada PRK kali ini, sila hubungi En. Zainudin (019-4101955)

Isnin, Ogos 17, 2009

Gambar Terbaik Penamaan Calon N11 Permatang Pasir

Walaupun hanya sekeping foto, tetapi ia memberi seribu satu makna...


Satu Lawan Satu di Permatang Pasir

Pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir pada 25 Ogos ini akan menyaksikan pertarungan satu lawan satu antara calon Pakatan Rakyat daripada PAS, Ustaz Salleh Man yang akan mempertahankan kerusi tersebut dengan calon BN, Rohaizat Othman.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima 15 bantahan tetapi menolaknya dan mengumumkan pencalonan Salleh dan Rohaizat diterima.

Rohaizat menyerahkan borang pencalonnya pada jam 9.03 pagi ini, diikuti oleh Salleh sejurus kemudiannya..

Rohaizat tiba pada kira-kira jam 8.55 pagi dengan diiringi oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ketua perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu; Ketua Wanita Umno, Datuk Shahrizat Jalil; Presiden Gerakan, Koh Tsu Koon dan Naib Presiden MCA, Datuk Liow Tiong Lai.

Manakala calon PAS, Salleh Man pula tiba kira-kira jam 8.35 pagi bersama para pemimpin parti tersebut dan Pakatan Rakyat.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba kira-kira jam 8.45 pagi. Turut kelihatan ialah setiausaha agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan naib presiden, Salahuddin Ayub.

Turut hadir ialah menteri besar Perak dari Pakatan, Datuk Seri Nizar Jamaluddin; Timbalan Presiden PAS, Nasaruddin Mat Isa dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 25 Ogos ini sebagai hari pengundian.

Pilihan raya DUN Permatang Pasir diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman dari PAS pada 31 Julai lepas.

Sementara itu, ramai pegawai polis dan petugas media memakai penutup hidung dan mulut. Penyokong PAS memakainya yang memaparkan tulisan 'PAS untuk semua”.

Pegawai kementerian kesihatan mengedarkan secara percuma penutup hidung dan mulut itu kepada orang ramai di pintu masuk ke pusat penamaan calon itu.

Manakala calon bebas, Kamarul Ramizu Idris, yang sebelum ini menyatakan hasratnya untuk bertanding, tetapi menarik dari pada saat-saat akhir.

Beliau tiga di pusat penamaan calon pada kira-kira jam 9.55 pagi tetapi tidak menyerang borang pencalonan.

Kamarul mendakwa beliau tersalah jalan dan terperangkap dalam kesesakan lalulintas, dan oleh itu tidak mempunyai yang mencukupi untuk menyerah borang pencalonan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya mengeluarkan enam borang pencalonan dan tiga orang telah membuat bayaran deposit.

Sementara itu, Pakatan Rakyat membangkitkan isu mengenai status Rohaizat sebagai peguam ekoran laporan bahawa nama beliau telah dilucutkan dari senarai Majlis Peguam kerana didakwa menyalahgunakan wang pelanggan.

Pengarah biro pilihanraya PKR yang ahli parlimen Machang, Saifuddin Nasution berkata Rohaizat perlu memberi penjelasan berhubung isu tersebut.

Jika dakwaan itu benar, katanya, maka apakah jaminan perkara yang sama tidak akan berlaku dengan wang rakyat jika Rohaizat terpilih.

Rohaizat, 38, dilaporkan berkata kes itu bukan satu isu.

Bagaimanapun, Saifuddin berkata, menjadi tanggungjawab calon BN itu untuk menjelaskan kedudukannya sekarang sebagai seorang peguam.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata proses penamaan calon berjalan lancar dan aman tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Khamis, Ogos 13, 2009

PROGRAM PELANCARAN JENTERA DAN BILIK GERAKAN PILIHAN RAYA KECIL DEWAN UNDANGAN NEGERI PERMATANG PASIR, PULAU PINANG

MAKLUMAN MEDIA

13 Ogos 2009



Saudara-saudari,


PROGRAM PELANCARAN JENTERA DAN BILIK GERAKAN PILIHAN RAYA KECIL DEWAN UNDANGAN NEGERI PERMATANG PASIR, PULAU PINANG

Dato' Seri Anwar Ibrahim bersama pimpinan Pakatan Rakyat akan berada di Permatang Pasir pada 16 Ogos 2009 (Ahad) untuk melancarkan jentera pilihan raya dan bilik gerakan bagi Pilihan Raya Kecil DUN Permatang Pasir.

Sempena majlis pelancaran tersebut, Dato' Seri Anwar Ibrahim bersama pimpinan Pakatan Rakyat akan mengadakan program penerangan isu-isu semasa. Dato' Seri Anwar akan menjawab tuduhan-tuduhan berbentuk peribadi yang telah dilemparkan terhadap beliau.


Butiran program adalah seperti berikut:

Tarikh: 16 Ogos 2009 (Ahad)


PROGRAM I - Pelancaran Jentera dan Bilik Gerakan Pilihanraya Kecil DUN Permatang Pasir


Tempat : Permatang Pasir

Masa : 9.00 – 12.00 Malam

Panel penceramah :


i. YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim

ii. YAB Sdr. Lim Guan Eng

iii. YB Prof. Mansor Othman

iv. YB Sdr. Saifudin Nasution

v. YBhg. Sdr. Mat Sabu

vi. YB Dato’ Zahrin Hashim


PROGRAM II - Ceramah Perdana


Tempat : Taman Cermai, Permatang Pauh

Masa : 9.00 – 12.00 Malam

Panel penceramah :


i. YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim

ii. YB Dato’ Seri Haji Hadi Awang

iii. YB Sdr. Lim Kit Siang

iv. YBhg Sdr. Mat Sabu



Sekian untuk makluman saudara/saudari.

Terima kasih.

PEJABAT DATO' SERI ANWAR IBRAHIM

Isnin, Ogos 10, 2009

SPR umum PRK Permatang Pasir pada 25 Ogos

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir akan diadakan pada 25 Ogos, awal Ramadhan manakala penamaan calon pula 17 Ogos.


Pengerusi SPR, Tan Sri Datuk Seri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pihaknya memutuskan untuk mengadakan pilihanraya kecil itu dalam bulan puasa "ia merupakan masa yang paling sesuai sekali untuk menyelesaikan secepat yang boleh kerana umat sedang berpuasa".




Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...