BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya
Memaparkan catatan dengan label Mursyidul Am PAS. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Mursyidul Am PAS. Papar semua catatan

Rabu, November 03, 2010

Perutusan Pilihan Raya Kecil N45 dari Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz

Salam persaudaraan semua Pengundi Galas.

Bersyukur kepada Allah SWT yang memberi peluang untuk kita semua bertemu dalam pilihan raya kecil N.45 Galas, Gua Musang. Semoga semua Pengundi Galas daripada orang Melayu, Cina, Orang Asal sampai kepada orang India berada dalam sihat dan ‘afiat.

Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan pengharapan agar Pengundi Galas dapat menghayati jasa dan bakti serta ketulusan pihak Kerajaan Negeri Kelantan bersempena panggilan keluar mengundi pada hari Khamis, 27 Zulkaedah 1431 bersamaan 4 November 2010 nanti.
Maka, undilah Calon Kito, Dr. Zul dari Parti PAS, iaitu Parti Kerajaan yang mentadbir Negeri Kelantan hari ini.
Sesungguhnya, ambillah pengajaran daripada tujuan Allah SWT menciptakan manusia ini––lelaki dan perempuan, dan berbangsa-bangsa––supaya kita semua berkenal-kenalan dan beramah mesra antara satu dengan yang lain  (intisari maksud Al-Quran, Surah Al-Hujurat 49:13).
Justeru Allah menciptakan manusia semua adalah dari satu keturunan, iaitu Nabi Adam. Ini bermakna asal-usul sesuatu kaum itu, tidak kira Melayu, Cina, India dan Orang Asal adalah dari seorang manusia bernama Adam yang kemudian berkembang menjadi pelbagai keturunan, bangsa, bahasa, budaya, warna kulit dan pelbagai adat resam.

Maka Islam memandang tinggi dan memberi kemuliaan di atas semua perbezaan, asalkan mereka beriman dengan Allah SWT.

Memahami ciptaan Allah itu, saya dapati Saudara Dr. Zul selaku Calon Kito telah memberi kesanggupan untuk berkhidmat kepada semua rakyat––Pengundi Galas––termasuk Melayu, Cina, Orang Asal dan India.
Ini sesuai dengan perintah Allah SWT, agar kita semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan, menerangkan kebenaran dan jangan timbul rasa kebencian terhadap sesuatu kaum sehingga melakukan ketidak-adilan ke atas kaum itu (intisari maksud Al-Quran, Surah Al-Maidah 5: 8).
Inilah misi dan matlamat sebenar Kerajaan Negeri di bawah Kepimpinan Ulama’ tatkala berkuasa––sedia membantu dan menyelesaikan permasalahan rakyat––sentiasa utamakan prinsip keadilan untuk semua.

Begitu pula dari segi kemasyarakatan, Allah SWT melarang perbuatan saling cemuh-mencemuh dan rendah-merendah terhadap kaum tertentu. Ini mungkin kaum yang dicemuh itu lebih baik.
Dan kita harus mengelakkan daripada panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk (intisari maksud Al-Quran, Surah Al-Hujurat 49:11).
Oleh itu, semua Pengundi Galas sama ada orang Melayu atau Cina, India atau Orang Asal hendaklah saling hormat-menghormati.

Prinsip ini telah menjadi pendirian dan dasar sosial Kerajaan Negeri Kelantan sepanjang mentadbir Negeri ini sejak pilihan raya umum 1990 lagi.

Maka prinsip ini menjadi panduan Wakil Rakyat yang mewakili Kerajaan Negeri Kelantan (dari Parti PAS/Pakatan Rakyat) menjalankan tugas dan berkhidmat kepada rakyat.

Saya yakin Saudara Dr. Zul bersedia mengamalkan khidmat terbaik untuk rakyat Galas berpandukan prinsip tersebut.

Sesungguhnya, pilihan raya kecil Galas berlaku pada saat Kerajaan Negeri Kelantan sedang menyambut 20 tahun pentadbiran Membangun Bersama Islam.

Dalam tempoh 20 tahun itu, banyak usaha pembangunan sudah dibuat dan sedia dinikmati oleh semua rakyat.
Aspek kebajikan rakyat, kepentingan dan hak rakyat menikmati hasil pembangunan adalah keutamaan Kerajaan Negeri demi kesejahteraan rakyat.

Termasuklah, Pengundi Galas sudah menerima banyak perubahan hasil daripada pembangunan yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri di Jajahan Gua Musang.

Justeru itu, tiada pilihan lain bagi Pengundi Galas, melainkan bersetuju untuk mengundi Calon Kito, Dr. Zul yang sanggup memberi khidmat terbaik bagi menyambung usaha Wakil Rakyat sebelum ini, malah sedia menjadi penghubung dan pemudah-cara antara rakyat dengan Kerajaan Negeri.

Semua Pengundi Galas harus menerima hakikat bahawa segala rancangan pembangunan akan berjalan lancar apabila Dun Galas ini mempunyai Wakil Rakyat yang mewakili Kerajaan Negeri. Ini kerana banyak urusan pembangunan adalah tertakluk di bawah kuasa Kerajaan Negeri.

Di antaranya rancangan pemilikan tanah, pembinaan jalan, bekalan air paip, pembinaan rumah, bangunan perniagaan dan kebajikan serta kesejahteraan rakyat. Maka, pesanan saya, janganlah mudah percaya kepada janji pemimpin BN yang jelas menentang Kerajaan Negeri, kononnya mereka ada kuasa untuk menyelesaikan masalah pemilikan tanah atau bekalan air, ataupun perumahan rakyat.

Semua urusan ini tidak akan selesai tanpa kerjasama Wakil Rakyat dari Parti yang mewakili Kerajaan Negeri.
Memahami keadaan yang sedemikian, apa pasal kita nak pilih calon BN? Natijahnya calon BN tidak akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri. Ini kerana kebelakangan ini, ramai pemimpin BN yang terlibat dengan rasuah, kroni dan pilih kasih yang jelas berlawanan dengan ajaran agama, bercanggah dengan hasrat rakyat dan tidak sehaluan dengan dasar-dasar Islam yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan.

Maka seruan saya, berilah keyakinan dan kepercayaan kepada Calon PAS, Dr. Zul sebagai Calon Kito
yang sedia berkhidmat untuk semua Pengundi Galas.

Keluarlah beramai-ramai untuk mengundi dan undilah bulan.

Pertahan Galas Kito

Calon Kito, Dr. Zul – Cakno & Mesra

Rabu, Ogos 11, 2010

Ramadhan Al Mubarak - Penyucian Diri Untuk Kembali Kepada Fitrah

Perutusan Khas Ramadhan 1431H Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat: 

Manusia terdiri daripada dua unsur yang saling melengkapkan antara satu sama lain. Unsur tersebut ialah tubuh dan roh. Sejak zaman berzaman, tubuh jika mengalami sebarang masalah dapat dirujuk kepada bomoh dan hari ini digelar sebagai doktor. 

Kesemuanya ini dirujuk apabila tubuh ditimpa sebarang penyakit. Manakala roh ataupun jiwa, jika ditimpa masalah akan dirujuk kepada pawang. 

Selalunya penyelesaian kepada masalah ini ialah dengan mengadu kepada kuasa lain dengan cara yang khurafat. Lalu lahirlah amalan memuja pokok, sungai, batu, cakerawala dan sebagainya.

Semua ini menunjukkan keperluan untuk melunaskan fitrah manusia yang ingin bertuhan. Secara semulajadinya, manusia perlu kepada tuhan. Manusia sendiri tidak boleh menerima dengan akal bahawa dunia ini wujud tanpa pencipta. 

Lalu dengan keyakinan inilah, manusia mencari-cari siapakah yang perlu dirujuk ketika menghadapi sebarang masalah. Lahirlah dari rasa fitrah tersebut amalan-amalan khurafat yang wujud semenjak zaman dahulu kala.

Islam kemudiannya datang bukanlah sangat untuk mengajar manusia bahawa di dunia ini adanya tuhan kerana itu merupakan satu fitrah. Tetapi Islam datang untuk meletakkan fitrah manusia di landasan yang betul iaitu mengakui tuhan itu hanyalah Allah SWT. 

Jiwa dan rohani manusia dipandu dengan jelas agar mengakui bahawa zat yang layak untuk disembah hanyalah Allah SWT. Pengabdian inilah merupakan misi utama penciptaan manusia. Inilah tujuan hidup manusia yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Tujuan hidup ini tidak dapat disebut oleh mana-mana ahli fikir jika tidak merujuk kepada al-Quran. Ahli-ahli sains mungkin dapat menyebut apakah tujuan air, tanah, api, udara dan sebagainya. Demikian juga seorang ahli perubatan dapat menjelaskan khasiat ubat-ubatan yang dihasilkan. 

Namun, tujuan hidup siapakah yang dapat menjelaskan jika tidak Allah SWT sendiri? 

Sebagaimana seorang yang datang dari ceruk kampung berdepan dengan pelbagai mesin di gudang yang besar, tidak akan mengetahui fungsi setiap jentera dan suis yang dilihatnya kerana tidak mempunyai kemahiran. Orang yang mengetahui fungsi mesin yang pelbagai itu ialah jurutera yang menciptanya atau sekurang-kurangnya berkemahiran tentangnya. 

Demikianlah manusia, adalah mustahil seorang manusia mengetahui tujuan dia sendiri diciptakan jika tidak diberitahu oleh kuasa yang menciptakan manusia iaitu Allah SWT. Untuk memberitahu tujuan hidup inilah, dihantar rasul-rasul kepada manusia dari zaman berzaman. Merekalah yang ditugaskan untuk memandu manusia bagaimana hidup ini perlu diselaraskan sesuai dengan kehendak Allah SWT.

Jurupandu kepada umat ini ialah para anbiya’ khususnya di akhir zaman ini ialah Nabi Muhammad SAW. Baginda tidak mereka-reka jalan, baginda hanya menunjuk jalan berdasarkan al-Quran. Bulan Ramadhan inilah yang merupakan bulan penurunan al-Quran. Di antara sifat al-Quran ialah hudan linnas berasaskan firman Allah SWT :

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآَنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَان

Yang bermaksud : Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil)  - Surah al-Baqarah, ayat 185

Justeru, puasa sebagaimana ibadat-ibadat lain merupakan keperluan kepada fitrah manusia. Jika sekalipun ugama tidak mewajibkan puasa ini dilakukan, manusia sendiri tentunya akan mewajibkan ke atas diri mereka untuk berpuasa kerana manfaat yang banyak daripadanya termasuklah dari aspek kesihatan. 

Apatah lagi jika ia merupakan satu perintah daripada Allah SWT, lebih perlu untuk dilaksanakan sekalipun menempuhi sedikit kepayahan. Tanda taat tunduknya manusia kepada Tuhan mereka ialah mereka sanggup bersusah payah demi membuktikan kepatuhan mereka. 

Sebagaimana kita bersusah payah untuk anak-anak kita yang kita sayangi, maka demikianlah kita lebih utama untuk bersusah payah demi Tuhan yang kita yakini.

Inilah sebab mengapa setiap amalan di dalam Islam perlu diasaskan kepada niat yang ikhlas. Niat yang ikhlas dalam erti kata lain melaksanakan amalan semata-mata kerana ia merupakan perintah Allah SWT. Bukan sahaja beribadat seperti solat dan puasa, bahkan berpolitik, berniaga, bersosial, berumahtangga semuanya kerana Allah SWT. 

Hati perlu sentiasa diasuh untuk meyakini bahawa amalan yang dilakukan bukan kerana budaya turun temurun atau adat resam tetapi hanya kerana Allah SWT.

Manusia perlulah sentiasa yakin bahawa Allah SWT itulah yang bersifat dengan al-Khaliq (Yang Maha Mencipta), al-Baari (Yang Memberikan Kemampuan) dan al-Mushawwir (Yang Memberikan Bentuk). 

Keyakinan seperti ini membantu manusia untuk lebih meningkatkan amal ibadat kerana diyakini setiap amalan tersebut dinilai oleh Allah SWT yang menciptakannya. Keyakinan inilah juga yang akan mendorong manusia untuk berpuasa dengan sesungguh hati. Hilangnya keyakinan ini, hilang jugalah roh dari ibadat puasa tersebut sehingga menghilangkan ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT sebagaimana sabda Rasulullah SAW :

رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ

Yang bermaksud : “Betapa ramai orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan betapa ramai orang yang berqiyam tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya kecuali hanya berjaga malam..” – Riwayat Ibnu Majah

Selain itu, saya menyeru kepada seluruh rakyat Kelantan agar memperbanyakkan amalan membaca al-Quran, bersedekah, qiyamullail dan sentiasalah berzikir mengingati Allah SWT. Semuanya ini seharusnya sentiasa menjadi amalan rutin kita bukan hanya ketika di bulan Ramadhan tetapi sepanjang masa. Semoga bacaan al-Quran, sedekah, qiyam dan juga zikir yang kita amalkan sentiasa memandu kita di dalam mengurus tadbir hidup ini berpandukan apa yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Semoga Ramadhan pada tahun ini jauh lebih baik dari Ramadhan pada tahun-tahun yang lepas.


Sabtu, April 24, 2010

Perutusan Mursyidul Am Untuk Pengundi Hulu Selangor

Bahaya pemikiran Umno: tolak Umno, terimalah kebenaran Islam

Assalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh, dan Salam Sejahtera.
Firman Allah SWT (al-An’am 6:162),



Maksudnya, “Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

Sesungguhnya, segala puji-pujian yang tidak terhingga kepada Allah Tuhan yang mencipta dan mentadbir sekalian alam. Puji-pujian juga yang teramat tinggi kepada Nabi Muhammad Pesuruh Allah, Nabi pengakhir zaman.
Didoakan kepada semua pengundi bagi pilihan raya kecil P.094 Hulu Selangor berada di dalam keselamatan dan kesejahteraan hendak-Nya.

Tuan-puan, dan saudara-saudari yang dihormati sekalian.
Bersempena dengan musim kempen pilihan raya ini, sukacita saya mengingatkan diri saya dan menyampaikan ingatan sama kepada sidang pengundi sekalian yang bakal mengundi pada hari Ahad, 25 April 2010 nanti.
Jadilah ingatan ini sebagai panduan utama untuk sidang pengundi sekalian menjadi seorang yang berhak mengundi, menunaikan tanggungjawab mengundi dan memangkah kertas undi dengan pasangkan niat , “sesungguhnya aku mengundi untuk menegakkan kebenaran dan keadilan serta kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.”
Tuan-puan, dan saudara-saudari sidang pengundi sekalian.
Perkara pertama kita kena tahu, betapa Umno telah menghancurkan simbol Bulan Bintang yang dipakai oleh PAS pada tahun 1971. Sedangkan pada PAS, Bulan Bintang itu mempunyai makna yang besar dari segi mendidik rakyat kepada cara hidup beragama. Pertama, Bulan Bintang itu dipakai di atas menara masjid-masjid –– rumah Allah Tuhan yang Maha Kuasa. Kedua, Bulan Bintang adalah simbol bagi PAS untuk menghidup dan menghayati serta melaksanakan falsafah hidup beragama (muslim sejati) berteraskan doa iftitah yang selalu dibaca ketika permulaan sembahyang. Doa yang dimaksudkan ialah “sesungguhnya sembahyang ku, ibadat ku, hidup ku dan mati ku adalah kerana Alllah Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam (Lillahi Rabbi ‘alami).” Oleh sebab itu, melalui simbol Bulan Bintang apabila dilihatnya, maknanya seseorang diajak untuk mengingati tanggungjawab beragama –– sembahyang dan beribadat, serta memikirkan soal hidup dan mati. Dengan cara itu, harapan PAS supaya rakyat sentiasa berada di dalam kehidupan beragama, berkeamanan dan berharmoni.

Akibat daripada larangan penggunaan simbol Bulan Bintang itulah dapat dilihat hari ini, bila mana rakyat hari ini begitu bercelaru amalan hidupnya –– terbabit dengan segala amalan maksiat dan kerosakan akhlak serta berlaku amalan hidup yang berlawanan dengan apa yang ucapkan di dalam solat. Di samping berlaku tingkah laku yang di luar  daripada sifat kemanusiaan seperti membuang bayi dan pembunuhan sesama insan.

Perkara kedua yang perlu diingati ialah tindakan pemimpin Umno yang telah menghapuskan penggunaan tulisan jawi. Tulisan jawi juga dihapuskan dalam pendidikan di sekolah. Ia berlaku zaman Almarhum Khir Johari, menghapuskan pengajaran dan penggunaan tulisan jawi itu.

Kesannya ramai orang Melayu, khususnya generasi sekarang tidak pandai membaca dan menulis jawi. Sedangkan jawi adalah tulisan dan bahasa al-Quran, dan ia adalah warisan ilmu orang Melayu zaman berzaman. Maka, ia bukan sekadar menghapuskan budaya ilmu yang menjadi medium pendidikan utama orang Melayu, malah orang Melayu kini amat dangkal dengan pengetahuan al-Quran kerana mereka sudah tidak pandai membaca al-Quran. Inilah bahananya dasar Umno.

Rakyat kena persoalkan, kemana Umno nak bawa rakyat. Nak kata Umno nak bawa ke jalan agama, jelas Umno sudah buat banyak perkara yang bercanggah dengan kehendak Islam seperti melarang guna Bulan Bintang dan tulisan jawi.
Tuan-puan, dan saudara-saudari sidang pengundi sekalian.

Pekara ketiga, layak juga dipersoalkan kepada pemimpin Umno, apakah tujuan sebenar Umno lawan sangat PAS ini? Sedangkan PAS sudah diakui sebagai parti yang berjuang untuk Islam, demi untuk melaksanakan pentadbiran dan mengamalkan sistem masyarakat Islam di Negara ini. Boleh jadi, Umno lawan PAS atas dasar demokrasi.

Jika begitu, kaedah demokrasi sebenarnya mengajar kita supaya berlaku adil kepada semua pihak. Apabila bertanding dalam pilihan raya, hendaklah mengamalkan pilihan raya yang adil dan bersih, tiada ugut-mengugut dan sogok-menyogok. Jika PAS menang, kena terima itu mandat rakyat dan perlu dihormati. Persoalannya, apa pasal pula Umno begitu gah kononnya berjuang ikut demokrasi, tetapi prinsip demokrasi tidak sedikit pun dipatuhi?

Tengok saja atas isu wang royalti petroleum. Sekian lama negeri Terengganu di bawah kuasa BN, royalti minyak dibayar kepada kerajaan negeri . Tetapi bila saja PAS menang di Terengganu tahun 1999, setahun  selepas itu royalti sudah ditarik dan ditukar pula kepada wang ihsan. Itupun sudah tidak diberi kepada kerajaan negeri. Ia disalur terus kepada Umno bahagian. Semuanya adalah bukti Umno sendiri tidak hormat, malah melakukan perkara yang bercanggah dengan prinsip demokrasi.

Benarlah Umno yang mendakwa berpegang dengan prinsip demokrasi, hakikatnya Umno tidak mematuhi prinsip demokrasi.

Cuba kita renungkan sedikit, bagaimana Islam pula mengajar umatnya berjuang.  Sesungguhnya Islam adalah lebih bertamadun berbanding demokrasi, kerana demokrasi tidak mengajar soal dunia dan akhirat. Namun, Islam dikatakan lebih bertamadun kerana mengajar kita dengan prinsip bahawa ‘apa saja yang kita perjuangkan, semuanya akan disoal oleh Allah SWT di akhirat.’ Prinsip seumpama ini adalah selari dengan prinsip ‘sembahyang ku, ibadat ku, hidup ku dan mati ku, semuanya kerana Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam.’ Barang ini (prinsip ini) tidak ada dalam perjuangan Umno.

Sebab itulah kita berani katakan bahawa perjuangan Umno adalah perjuangan sekular. Lebih-lebih lagi, Umno dilihat lebih mengutamakan pembangunan berteraskan kebendaan semata-mata. Maka, tidak ada bezanya perjuangan Umno itu dengan perjuangan parti politik di Barat yang mementingkan pembangunan dan kemajuan semata-mata. Sebab itulah, perjuangan Umno mengasingkan prinsip agama dengan politik. Maka jadilah Umno sebagai parti sekular, iaitu sebuah parti yang mengamalkan politik suku, agama suku. Ia memberi makna, semacam kerja politik tiada kaitan dengan dosa dan pahala lagi. Sebab itulah ada pemimpin Umno berani melakukan segala amalan politik yang bercanggah dengan ajaran agama. Mereka mengamalkan politik wang, politik ugut dan politik paksa. Sedangkan kesemuanya itu bercanggah dengan ajaran Islam dan dilarang keras oleh Nabi Muhammad SAW.

Tuan-puan, dan saudara-saudari sidang pengundi yang dikasihi sekalian.
(Akhirnya), perkara keempat mengenai perjuangan Umno ialah amalan salah Umno yang sentiasa mengasing-asingkan rakyat dengan membeza-bezakan rakyat mengikut kaum-kaum. Akibat amalan salah Umno itu, akhirnya orang Melayu dibeza-bezakan dengan bukan Melayu. Dan paling salah membeza-bezakan antara Melayu yang sokong Umno sebagai Melayu-Umno dan yang sokong PAS sebagai Melayu-PAS.

Kemudian berlaku pula pengasingan antara hak Melayu dengan hak bukan-Melayu, diikuti pula hak Melayu-Umno dengan hak Melayu-PAS. Paling teruk juga, orang Melayu-PAS telah dibeza-bezakan dari segi jawatan dan kenaikan pangkat, subsidi dan bantuan, dan hak-hak antara negeri diperintah Umno-BN dengan negeri diperintah PAS-Pakatan Rakyat. Seperti juga berlaku pada akhir-akhir ini, bila mana persoalan wang royalti petroleum untuk Kelantan sendiri tidak diberikan kepada kerajaan negeri, sedangkan kepada kerajan negeri Sabah dan Sarawak terus diberi. Apa yang berlaku, ‘royalti’ ditukar kepada ‘ihsan’ dan pemberian ihsan pula adalah kepada Umno bahagian.
Demikianlah, buruknya amalan membeza-bezakan itu.  Ia telah mendera rakyat Kelantan, kerana kerajaan negeri Kelantan hari ini adalah dipilih atas hak dan kehendak rakyat. Amalan Umno sebegitu telah menepikan langsung nilai keadilan yang diajar oleh Islam. Sekaligus bertentangan dengan ajaran Tauhid Islam. Mengikut ajaran Tauhid, bukan hanya Tuhan itu Satu, tetapi satu segala-galanya. Hatta manusia yang berbagai-bagai bangsa itupun adalah disatukan di bawah satu keturunan iaitu keturunan Nabi Adam AS.

Oleh itu, kembalilah kita kepada ajaran Islam dan mengamalkan cara hidup beragama. Sesungguhnya sistem Islam adalah benar dan adil untuk semua kaum. Ingatlah, firman Allah (surah Ali-Imran 3:102-103),



Bermaksud, “wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai .”

Sebenarnya Allah SWT tidak menerima segala amalan kita, melainkan kita beramal dengan ajaran Islam yang syumul. Menolak perjuangan Umno sudah pasti membebaskan diri kita daripada segala-gala amalan salah.

Sehubungan itu, saya menyeru dan merayu kepada sekalian pengundi Hulu Selangor yang budiman lagi bijaksana, undilah calon Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim dari parti KeADILan. Saya penuh yakin dan percaya di atas pengalamannya selaku bekas ahli parlimen dan menteri kabinet, sesungguhnya beliau mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab untuk membela dan menunaikan harapan rakyat di parlimen Hulu Selangor. Keluarlah mengundi beramai-ramai, jangan hiraukan ugutan Umno-BN dan selamat mengundi.

Semuga tuan-puan, dan saudara-saudari sekalian dirahmati Allah Tuhan yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Harapan Baru Malaysia
*** PAS UNTUK SEMUA ***

Sekian.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat,
Mursyidul Am PAS

Sabtu, Ogos 22, 2009

PESANAN TOK GURU KEPADA PENGUNDI PERMATANG PASIR


“Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan (mengikhlaskan) ketaatan kepadaNya dalam (menjalankan) agama dengan lurus.” (Sebahagian dari Ayat 5 : Surah Al Bayyinah)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarokatuh

Tuan/Puan bakal-bakal pengundi sekalian,

Alhamdulillah. Menjelang 1 Ramadhan 1430, genaplah 8 warkah rayuan pengundi yang telah saya tulis dan tandatangani. Entah apalah rahsia yang tersimpan dalam lipatan perbendaharaan ilmu Allah yang Maha Luas itu sehingga berlaku 8 pilihan raya kecil sejak Pilihan Raya Umum Ke-12, tiada siapa jua yang mampu menekanya.

Apa yang hanya boleh kita baca dari 7 pilihan raya kecil yang telah berlalu, parti yang bertanding dari Pakatan Rakyat (PR) telah menang sebanyak 6 kali berturut-turut. BN cuma menang 1 kali; itupun di Batang Ai,Serawak. Ini realiti dan ini kenyataan.

Pada kali ini Kerusi Permatang Pasir menjemput kita sekali lagi untuk turun ke gelanggang. Walaupun dengan penuh berat, kita terpaksa melepaskan Allahyarham Dato’ Hamdan kita untuk kembali menemuiNya.

Bagi kita yang hidup, tuntutan sambungan jihad demi sebuah tanggungjawab wajib diteruskan. Sudah 3 penggal calon kita bersusah payah untuk mengangkat Islam dan sudah 15 tahun rakyat di Permatang Pasir memperbaharui kepercayaan agar PAS terus menerajui kerusi Dewan Undangan di Permatang Pasir ini.

Jika dibaca nilai istiqamah pengundi di sini di masa-masa lalu, ia jelas menunjukkan betapa tingginya iltizam, kenyakinan dan komitmen mereka. Walaupun mereka tentu boleh faham bahawa apalah sangat memberi kemenangan kepada PAS di kerusi ini dari segi memerintah negeri, namun pada saya, majoriti yang diraih Allahyarham pada 8 Mac 2008, melebihi 5,000 undi adalah teramat mahal.

Bagi pengundi Islam tanpa mengira bangsa, mereka tentu ingin merakamkan sokongan mereka kepada sebuah gerakan Islam yang membawa perjuangan Islam syamil yang sebenar. Mereka tidak sanggup memangkah parti Umno yang mengamalkan Islam dari klon sekular; agama suku dan politik suku. Mana boleh diasingkan iman dengan Islam dan Islam dengan politik? Islam jenis sekular yang diperjuangkan oleh Umno inilah yang saya namakan sebagai Islam palsu.

Sebagaimana adanya wang palsu, rambut palsu atau kad pengenalan palsu; begitu jugalah dengan Islam palsu. Benda palsu; nampak macam sebenar tetapi ia tetap tidak asli. Bagi yang ahli, dia akan tetap tahu membezakan antara bunga hidup dengan bunga plastik. Dengan keadaan tidak tulin itulah timbulnya keraguan. Soalnya bolehkah yang diragu-ragu (syak) itu dibawa untuk mendapatkan anugerah Syurga Allah di akhirat kelak?

Saya bercakap dari sudut aqidah dan kaedah. Jika buat begini ia boleh jadi begini. Jika tidak sempurna wudhu’, amalan sembahyang tidak diterima. Jika tolak Islam dari Allah, maka dengan apa nak digantikan? Ini bukan soal saya mendahului Tuhan atau lebih tahu dari Tuhan. Ini soal kaedah. Saya percaya, para pengundi Islam di DUN Permatang Pasir boleh dengan mudah memahami persoalan ini.

Manakala bagi pengundi bukan Islam pula pada umumnya, saya seakan boleh menyelami keresahan yang sedang bergolak di hati saudara saudari sekelian. Di sana ada tuduhan rasuah berjumlah RM10 juta yang katanya melibatkan pemimpin MCA. Di sana juga ada kes kematian misteri seorang anak muda bernama Teoh Beng Hock sewaktu berada di dalam siasatan (custody) SPRM.

Di sana juga ada kes kematian Kugan sewaktu berada di dalam tahanan polis. Dengan insiden stadium runtuh dan gelanggang akuatik yang tidak selamat di Terengganu, keretakan yang berlaku di lebuh raya MRR2 serta LDP dan skandal di PKFZ Pelabuhan Klang yang bernilai berbilion ringgit, ramai pemimpin Umno yang kena gantung dan disabitkan kesalahan mengamalkan politik wang termasuklah Ketua Menteri Melaka yang masih ada sekarang, buruknya layanan ke atas rakyat yang berhimpun secara aman untuk mengangkat nota bantahan ISA kepada DYMM Yang Dipertuan Agung, cederanya Sdr. Wong dan Gobalakrishnan di tangan SPRM dan Polis – pengamal undang-undang, para pencinta demokrasi dan pejuang hak asasi tidak mempunyai lain-lain harapan pemulihan untuk negara kita.

Apa yang ada hanya satu sahaja iaitu mengekalkan kerusi yang sudah dikuasai oleh PR dan dapatkan sebanyak mungkin kerusi-kerusi tambahan dari Umno/BN jika berlaku lagi pilihan raya kecil. Ini adalah langkah persiapan untuk mengambil alih kerusi, kemudi di Putrajaya tidak lama lagi.

Hanya melalui cara ini sahaja Malaysia akan memperkukuhkan sistem dua parti yang boleh menyemak Institusi Kehakiman, pelaksanaan “rule of law” dan perjalanan demokrasi. Melalui laluan baru inilah, Malaysia akan menjalani proses tajdid, transformasi dan reformasinya yang sebenar. InsyaAllah, ini akan berlaku tidak lama lagi.

Melihatkan trend sokongan non-muslim kepada calon Parti Islam SeMalaysia dan PR, khususnya di Parlimen Permatang Pauh yang telah memenangkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan di Parlimen Bukit Gantang yang telah memenangkan Dato’ Seri Nizar Jamaludin baru empat lima bulan yang lalu, saya cukup mempunyai keyakinan.

Mari kita sama-sama perbesarkan majoriti kita di DUN N11 ini agar menjadi kekal, tidak kurang dari 5,000 undi, sekurang-kurangnya untuk ujian pada 25 Ogos 2009. Tinggalkan Umno dengan syurga politik wangnya. Mari kita terus istiqamah untuk tetap berada di tengah-tengah gelora kesedaran rakyat demi menafikan Umno/BN yang sudah laih dan kehilangan stamina mulai sekarang.

Jangan tertipu lagi untuk percayakan slogan-slogan baru yang dikitar semula. Dulu Islam Hadhari. Kini One Malaysia pula. Esok entah apa pulalah. Umno ni nak jadi apa, entahlah. Nak kata udang pun tidak. Ikan pun bukan. Ingatlah pesan pepatah Melayu: Jika sudah kepalanya ular, mustahil ekornya belut.

Akhir kata, gunakanlah kesempatan membuang undi pada kali ini dengan penuh cermat. Walaupun kita berpuasa dan kemungkinan kita boleh jadi letih tetapi tidakkah Peperangan Badar yang berlaku dalam bulan Ramadhan itu pernah membawa kemenangan yang besar?
Tiada perbuatan yang lebih mulia pada hari mengundi di bulan Ramadhan pada kali ini melainkan memangkah parti yang boleh membela maaruf dan kebaikan; sekaligus menolak kemungkaran, rasuah, kezaliman dan ketidak adilan. Undilah Sdr. Saleh bin Man. Undilah PAS dan PR demi keadilan Islam.

“Ya Allah, saksikanlah. Hamba sesungguhnya sudah menyampaikan.”

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Mursyidul Am PAS
Merangkap Menteri Besar Kelantan
Tanggal : 1 Ramadhan 1430
22 Ogos 2009

Rabu, Julai 08, 2009

Perkembangan Politik Tanah Air Dari Perspektif Tok Guru Nik Aziz

Mursyidul Am Pas, Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah benteng utama parti itu. Beliau juga adalah pemacu unggul kerajaan Kelantan.


Idea-idea politiknya bernas. Setiap pertimbangan dan perkembangannya digarap bersandarkan al-Quran, Sunnah dan Realiti politik hari ini.


Demi mengetahui bagaimana beliau menafsirkan perkembangan politik tanah air, wartawan SUARA KEADILAN, MOHD NAJIB HASHIM menemubual Menteri Besar Kelantan ini.


Perkembangan politik Malaysia nampaknya menjurus kepada persaingan dua parti iaitu Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat? Apa komen Datuk?


“Bismillahirahmanirrahim. Pergelutan dan pergolakan politik ini bukan baru. Ia bukan wujud sejak wujudnya PAS dan Umno. Sejak manusia wujud di muka dunia ini, tidak pernah berhenti daripada permusuhan antara satu sama lain. Ini ketetapan Allah yang menciptakan manusia.


Waktu Nabi Adam hendak diturunkan dari syurga ke bumi, Allah sudah sebut pada Nabi Adam, ’satu sama lain bermusuh’. Kamu akan duduk di bumi, akan beranak, bercucu, bercicit sampai jadi penghuni dunia sepenuhnya. Semua anak beranak Nabi Adam. Dan satu sama lain akan bertengkar.


Bila Allah tahu yang manusia ini perlu bergelut, Allah menurunkan nabi. Pihak Nabi, pihak yang benar. Pihak lawan nabi pihak yang tidak benar. Sebab itu, sejak Nabi Adam wujud, dia nabi sehingga kepada Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa, Nabi Muhammad, tidak pernah wujud manusia yang tidak bergaduh.


Tapi, bila wujud keadaan bergaduh, maka nabi di pihak yang benar. Kerana nabi bukan belajar di sekolah, bukan belajar di pondok, bukan dia buat kajian, tapi dia terima langsung dari Allah s.w.t. Apa sahaja yang Allah s.w.t kehendaki, akan diturunkan kepada nabi, tidak kira nabi mana pun. Ini kaedahnya.


Saya ulang sekali lagi, tiap- tiap manusia, ada fikiran sendiri. Wajah tidak sama. DNA tidak sama. Urat jari pun tidak sama. Ini adalah kaedah asas dan akan timbul fikiran yang berbeza dan berlainan.


Jadi Allah sudah tetapkan di dalam Al-Quran, “mana-mana umat yang dapat hidayat Aku, maka siapa yang ikut hidayat Aku, maka orang itu akan selamat”. Hidayat Allah hanya dikurniakan kepada nabi.


Sekarang timbullah PAS dan Umno. Baru 50 tahun. Dulu semua sekali berada dalam Umno kerana ketika itu hanya ada satu sahaja parti iaitu Umno. Cikgu, orang kampung, tok guru, tok ayah, tok lebai, imam, makmum, raja, rakyat semuanya ahli Umno pada tahun 1946 sehinggalah 1951.


Sebab alim ulama’, mereka mempunyai risalah. Mesej daripada nabi-nabi kerana mereka ini waris nabi; tidak kira Cina muslim ke? Melayu muslim ke? Orang Asli muslim ke? Dia mempunyai pendirian sendiri kerana mereka menyambung tugas Nabi Muhammad.


Pada tahun 1961, alim ulama’ keluar Umno dan mereka tubuh Parti SeIslam Tanah Melayu, PAS. Mereka yakin jalan Umno salah. Dan saya sendiri yakin Umno salah. Bila salah berertinya tidak akan bertemu syurga yang jumpa hanya nerakalah. Bermula dari situ sehingga hari kiamat pun akan ada orang yang melawan golongan yang salah. Ini perintah daripada Allah.


Di sini timbul satu masalah. Pada pandangan orang Eropah, manusia ini tuan punya dunia. Contohnya, bila sebuah parti menang satu kawasan, mereka rasakan kawasan itu mereka yang punya. Ertinya, segala hasil kekayaan yang ada mereka sewenang-wenangnya bagi kepada siapa yang mereka mahu. Mereka rasuah, mereka bebas lakukan apa saja kerana mereka rasakan mereka telah menang kawasan itu dalam pilihanraya.


Itu pandangan orang yang lawan nabi. Nabi mengatakan dunia ini bukan kepunyaan kita, ia kepunyaan Allah, Kita hanya pengurus, yang dipanggil khalifah. Sebab itu DO hanya dilantik oleh kerajaan negeri untuk jaga sesuatu kawasan. Dia tidak boleh fikir dia berkuasa penuh. Dia hanya menerima pelantikan daripada kerajaan.


Kita cuma menerima pelantikan daripada Allah sebagai khalifah. Ini pandangan saya, Islam meletakkan manusia tidak mempunyai hak mutlak. Kerana hak mutlak ini kepunyaan Allah. Oleh yang demikian gerakan Islam seluruh dunia yakini bahawa kita manusia hanya pengurus. Sebab itu, orang yang berjaya mengurus ini, akhirat kelak mereka akan diupah, masuk syurga.


Kita dapat melihat aliran politik negara yang semakin menjurus ke arah Pakatan Rakyat. Bagaimanakah Datuk melihat perkara ini?


Dalam pilihanraya ke-12, rakyat menerima Pakatan Rakyat. Lima buah negeri jatuh ke tangan Pakatan Rakyat. Di Kelantan, sebelum pilihanraya baru-baru ini, Umno mempunyai 22 buah kerusi; menggelonsor semuanya tinggal enam kerusi.


Sedangkan bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi menjanjikan pembangunan kepada Kelantan seperti cadangan membina jambatan yang kedua, laksanakan ECER (Wilayah Pembangunan Ekonomi Pantai Timor).


Saya bimbang juga, tapi sebutlah apa saja pembangunan, rakyat Kelantan faham bahawa pembangunan ini dapat dibuat oleh parti yang menguasai. Kalau parti A kuasai Kelantan, A lah yang buat pembangunan. Kalau A yang kuasai Kuala Lumpur, A lah yang buat pembangunan. Rakyat faham, Alhamdullillah.


Pembangunan bukan daripada duit parti. PAS ke; Umno ke; DAP ke. Pembangunan bukan dibuat daripada duit parti tapi duit rakyat yang kita kuasai. DAP kuasai negeri, DAP buat pembangunan. PAS kuasai negeri, PAS buat pembangunan. Umno kosong.


Sekarang Umno masih ada nyaris- nyaris di Kuala Lumpur, insyaAllah bila kita bagi penerangan yang jelas bahawa Umno melalui jalan yang salah bukan jalan nabi-nabi. Bila kita melalui jalan salah macam bila kita lalu jalan salah di Kuala Lumpur akan kena saman, kena kemalangan.


Saya telah hantar surat kepada Perdana Menteri, saya tanya dia dua perkara sahaja. Pertama, kerana apa tolak Islam? Keduanya, kenapa Umno lawan PAS? PAS ini terang-terang perlembagaannya Islam. PAS sudah pegang Kelantan 18 tahun. Saya buat macam Allah hendak. Yang Allah kata haram, saya haramkan. Yang boleh, saya bolehkan.


Apakah faktor yang menjadi penyatu dalam Pakatan Rakyat?


Sebagai orang PAS, saya sebut tadi, Umno melalui jalan salah. Mereka melalui jalan yang salah kerana mereka tak serupa dengan dasar nabi iaitu al-Quran dan hadis. Umno tolak. Umno buat rasuah. Rasuah ini bukan melibatkan orang kampung. Tapi pegawai- pegawai parti, ketua-ketua parti.


Sebelum pilihanraya ke-12, Umno buat mahkamah sesama ahlinya yang diketuai Tengku Ahmad Rithauddeen. Di situ terang-terang Umno terlibat dengan rasuah. Ini perbuatan jijik. Sebab kita cantas kebolehan orang lain dan kita bagi pada orang yang tidak berkenaan.


Ini Islam tidak boleh terima, PAS tidak boleh terima, saya fikir, komunis pun tidak boleh terima. Dan bila Umno tolak Islam, mahu tidak mahu mereka mesti akan terdedah pada rasuah. Sebab itu saya kata sokong PAS dapat pahala. Bagi saya, saya masuk pejabat seolah-olah saya masuk masjid.


Mampukah Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan negara? Ramai yang memperkatakan tentang kerjasama yang tidak mantap, masih berlaku perselisihan dan juga perbedaan pendapat. Bagaimana Datuk melihat isu ini?


Pakatan Rakyat masih setahun dua. Dulu PAS pun macam tu juga. Umno pun mula-mula kacau bilau jugak. Benda baru. Perlahan-lahan mantaplah. Semua kaedah Tuhan. Macam pokok, mula-mula tumbuh daun; dua tiga helai daun, sehingga besar. Masa mula-mula memang akan kena serang dengan cacing, semut, babi. Seperti juga manusia,. mula- mula lemah, nak bercakap tidak boleh,. boleh menangis je.




Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...