Pakatan Rakyat bercadang mengheret Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia
ke mahkamah berhubung tindakannya menggantung Ketua Pembangkang Datuk
Seri Anwar Ibrahim dan tiga lagi ahli parlimen pembangkang selama enam bulan daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat.

"Kita mungkin bawa ke mahkamah. Ada satu duluan dalam kes Gobind Singh di mana, sebenarnya, kita bawa Speaker, Pandikar Amin sendiri…? Mahkamah memutuskan bahawa dalam keadaan tertentu, terutama apabila peraturan keadilan asasi tidak dipatuhi, waktu itu mahkamah mempunyai bidang kuasa.
Terang-terangan
"Ia secara terang-terangan, dan tindakan Speaker, dalam apa jua cara ia tidak boleh dipertahankan. Kita mahu perintah kehakiman dan kami tidak akan biarkan dia terlepas. Kita tidak mahu ini menjadi satu duluan pada masa depan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

"Kita saksikan tadi cara Speaker mengendalikan sidang. Usul Bukit Gelugor agar speaker berundur kerana percanggahan kedudukan beliau dalam beberapa contoh termasuk pencelaan kepada Bukit Gelugor kerana dibuat secara langsung pertelagahan dalam mesyuarat di antara Bukit Gelugor dan Speaker.
"Tidak wajar Speaker yang buat laporan, dia yang siasat dan dia yang hukum. Dia enggan ambil keputusan yang tegas dalam hal ini maka kita juga enggan teruskan. Bagaimanapun dalam sidang tadi saya bangun untuk meneruskan ucapan tapi dia kata tak ada orang nak berucap.

Nasharudin Mat Isa (PAS-Bachok) pula berkata, Pandikar harus berundur dari mempengerusikan dewan kerana beliau sudah tidak mendapat kepercayaan daripada ahli parlimen lagi.
Terima arahan menteri
Ini tegasnya jelas terbukti apabila Pandikar menerima arahan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz untuk membuat keputusan.

"Di sini mengiyakan lagi bahawa apa yang berlaku hari ini ialah Speaker gagal untuk melaksanakan tugasnya daripada awal minggu hingga hujung minggu ini kerana arahan yang diterima daripada BN," katanya yang juga timbalan presiden PAS.

Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul menggantung Anwar (KEADILAN-Permatang Pauh) daripada menghadiri persidangan selama enam bulan kerana membuat kenyataan mengaitkan konsep 1Malaysia dengan kempen One Israel.
Turut digantung Karpal Singh, R Sivarasa (KEADILAN-Subang) dan Azmin Ali (KEADILAN-Gombak) di atas beberapa kesalahan.
Karpal dan Sivarasa didakwa telah melanggar peruntukan Peraturan mesyuarat 85 iaitu keterangan yang diambil di hadapan sesebuah Jawatankuasa Pilihan dan apa-apa surat yang dikeluarkan kepadanya tidak boleh disiarkan oleh sesiapa jua, sebelum Jawatankuasa itu membawa penyata itu kepada Majlis (Dewan Rakyat).
Azmin, melalui pemberitahu bersurat bertarikh 6 Dis 2010 di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) didakwa telah menyentuh tentang keterangan dan surat yang dikemukakan semasa Mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan pada 3 Dis 2010.