Istilah ketuanan Melayu
adalah berbeza dengan hak keistimewaan Melayu kerana bukan semua yang
dapat keistimewaan itu lebih mulia atau tinggi dari orang lain, kata
mantan mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
“Mungkin
seseorang diberikan keistimewaan disebabkan faktor kekurangannya
ataupun kelebihannya. Maka, perkataan 'keistimewaan' tidak boleh
disamakan dengan ketuanan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.
Menurut
Mohd Asri, jika seseorang menganggap dirinya lebih mulia disebabkan
faktor keturunan atau bangsanya semata-mata, atau orang lain lebih
rendah dari dirinya kerana tidak berbangsa sepertinya, maka itu adalah
iktikad yang salah dan menyanggahi ajaran Islam.
Bangsa terpilih
“Jika
itu berlaku, ia boleh menyamai dakwaan Yahudi bahawa mereka 'bangsa
terpilih' (chosen race). Kebanggaan yang seperti ini ditolak oleh
Islam,” katanya.
Mohd Asri berkata istilah ketuanan Melayu adalah istilah yang kabur yang tidak mempunyai pentakrifan khusus.
Katanya,
jika merujuk kepada perkataan 'ketuanan Melayu', ia adalah dari akar
perkataan 'tuan' kepada ketuanan dan digabungkan dengan 'Melayu'. Ini,
katanya membawa bermaksud orang Melayu berada dalam status 'tuan' atau
dalam bahasa Arab disebut siyadah (supremacy).
“Jika
merujuk kepada bahasa bererti orang Melayu sentiasa berada di atas,
lebih tinggi dan mulia kedudukannya dibandingkan dengan orang bukan
Melayu. Jika hendak ditakrifkan maka bererti kedudukan orang Melayu
sebagai bangsa yang lebih tinggi dan mulia”, katanya.
Justeru,
menurut beliau adalah pelik untuk mana-mana pihak cuba mempertahankan
ungkapan yang kabur dan tidak tentu maksudnya ini.
Dipandang mulia
“Sesuatu
bangsa jika mahu dipandang mulia, hendaklah membuktikan kemuliaan itu
dalam realiti kehidupan mereka. Melayu, atau selain Melayu boleh menjadi
mulia dengan usaha ke arah kemuliaan, bukan sekadar bergantung kepada
keturunan atau atas nama bangsa semata.
Memetik
Surah al-Hujurat: 13, Mohd Asri berkata ayat itu menjelaskan bahawa
kemuliaan insan adalah disebabkan nilai keperibadiannya; iaitu iman dan
akhlak yang mulia yang diistilahkan sebagai taqwa.
Katanya,
prinsip Islam dalam menilai manusia, bukan berdasarkan warna kulit dan
keturunan, tetapi berasaskan nilai kebaikan yang ada pada seseorang
insan.
Beliau memetik hadis Nabi Muhammad SAW: “Wahai
manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam).
Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas 'ajam (yang bukan arab),
atau 'ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit
hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan
ketakwaan (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai Hasan oleh al-Albani)”.
Katanya
lagi, hujah bahawa ketuanan Melayu adalah tidak relevan berdasarkan
sabda Nabi Muhammad SAW: “Sekalipun jika memerintah kamu seorang hamba
habsyi, jika dia memimpin kamu dengan Kitab Allah, maka dengar dan
taatlah (Riwayat Muslim)”.
Isu
ketuanan Melayu menjadi hangat apabila Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan
Azizah Wan Ismail pada kongres parti itu minggu lalu mencadangkan konsep
itu diketepikan jika bangsa Melayu ingin ke depan.
Kenyataannya itu menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pemimpin kerajaan BN dan juga pertubuhan bukan kerajaan Melayu, khususnya PERKASA yang melabelkan Wan Azizah sebagai 'pelacur politik'.
Kenyataannya itu menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pemimpin kerajaan BN dan juga pertubuhan bukan kerajaan Melayu, khususnya PERKASA yang melabelkan Wan Azizah sebagai 'pelacur politik'.