BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya

Sabtu, Disember 25, 2010

Ucapan Presiden KEADILAN pada Konvensyen Pakatan Rakyat kedua

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera buat semua para perwakilan Konvensyen Pakatan Rakyat 2010. Syukur Alhamdulillah, sekali lagi kita dapat berhimpun bersama-sama bagi merencana, membahas serta memperkasa agenda perjuangan kita dalam memartabatkan ketuanan rakyat dan kedaulatan negara tercinta ini.

Suka saya menyatakan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada YAB Saudara Lim Guan Eng dan barisan kepimpinan negeri Pulau Pinang yang telah berjaya mentadbir serta melaksanakan pelbagai perubahan dan penambahbaikan di negeri ini demi keselesaan dan kesejahteraan rakyat.

Selain Selangor, Kelantan dan Kedah; Pulau Pinang juga merupakan antara negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat yang kini menjadi contoh kepada kerajaan negeri lain terutamanya dari aspek kecemerlangan pengurusan ekonomi, sistem tadbir urus yang efisyen serta komitmen serius dalam memerangi rasuah.

Justeru, sewajarnya kita bersama-sama terus teguh dan komited mempertahankan kecemerlangan ini demi membela rakyat.

MALAYSIA PASCA 8 MAC 2008

Saudara-saudari yang dikasihi sekalian,

Sejak Mac 2008, lanskap politik Malaysia kini sudah mengalami perubahan yang ketara. Selepas Pilihanraya Umum ke-12, kita telah mengejutkan rakyat dengan memenuhi aspirasi mereka yang dahagakan sistem dua parti (two-party system) yang seimbang dan setara.

Ini adalah satu anjakan yang besar dalam pembinaan siyasah negara yang mulanya berjinak-jinak dengan semangat demokrasi. Tatkala Pilihanraya Umum pertama selepas kemerdekaan Tanah Melayu dicapai pada tahun 1959, pembangkang di bawah muafakat longgar di antara PAS, Parti Negara dan Socialist Front telah cukup menggegar Kerajaan Perikatan pada ketika itu. Dan UMNO-Perikatan pada ketika itu tidak menunggu lama untuk menggugat barisan pembangkang.

Pada tahun 1961, Kerajaan PAS-Parti Negara di Terengganu digulingkan dengan cara yang begitu jijik: beberapa ADUN PAS dan Parti Negara diculik sehingga akhirnya melompat ke dalam UMNO. Kerajaan PAS-Parti Negara pimpinan Daud Samad digulingkan tanpa ada perasaan malu kepada rakyat.

Almarhum Dato’ Onn Jaafar, perwakilan tunggal Parti Negara selaku Ketua Pembangkang di Parlimen pada ketika itu juga dicemuh melalui pembunuhan karakter yang sangat mendukacitakan sehinggalah almarhum meninggal dunia.

Pimpinan PAS dan Socialist Front seperti Almarhum Dr. Burhanuddin Helmy dan Allahyarham Ahmad Boestamam ditahan di bawah akta zalim ISA, kononnya kerana ‘mengancam keselamatan negara’. Akhirnya pakatan pembangkang menjadi lesu dan langsung lemah sewaktu Pilihanraya Umum tahun 1964.

Sejarah membuktikan bagaimana pembangkang yang kuat tidak akan dibenarkan berfungsi di dalam negara Malaysia selagi UMNO-BN berkuasa, meskipun demokrasi berparlimen merupakan anutan politik negara.

Dan kini ia berulang lagi. Mulanya UMNO-BN merekayasa rampasan kuasa kerajaan Negeri Perak yang dimenangi secara sah oleh Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya Umum Ke-12. Terbaru, Ketua Pembangkang, Saudara Anwar dan pimpinan-pimpinan Pakatan Rakyat seperti Saudara Azmin Ali, Saudara Karpal Singh dan Saudara Sivarasa Rasiah digantung daripada Sidang Dewan Rakyat.

Hadirin sekalian,

Mengapa ini semua berlaku? Jawapannya kita sedia maklum: kerana Pakatan Rakyat telah berjaya menunjukkan bahawa muafakat yang kita pupuk berpotensi besar untuk membaiki dan membela nasib rakyat kebanyakkan.

Hakikatnya Pakatan Rakyat adalah satu-satunya pakatan politik yang paling berjaya di dalam lanskap politik tanah air yang mampu menjadi saingan sengit kepada hegemoni UMNO-BN. Disebabkan oleh realiti inilah, UMNO-BN tanpa henti barang sesaat pun untuk mengasak Pakatan Rakyat dan kepimpinannya.

MUAFAKAT DEMI MEMBELA RAKYAT

Justeru, KEADILAN, PAS dan DAP seharusnya membulatkan tekad demi memperkukuhkan muafakat Pakatan Rakyat.

Keseriusan kita memperjuangkan pelbagai isu di Parlimen, sebagai contoh isu pelaksanaan Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST Act), isu kenaikan harga minyak, isu penyelewengan wang rakyat dan lain-lain isu membuktikan bahawa komitmen kita demi rakyat berada pada landasan yang betul.

Akibatnya UMNO-BN cemas dan lebih berwaspada. Mereka kini lebih berhati-hati dalam bertindak kerana tahu rakyat akan memilih pakatan yang membela mereka. Dan sendi kekuatan Pakatan Rakyat adalah rakyat Malaysia sendiri, bukan wang dan mainan retorik ciptaan sendiri seperti mereka.

Hakikatnya mereka hilang punca bila berdepan dengan keutuhan yang ditonjolkan Pakatan Rakyat.

PAS terus kukuh dengan pengukuhan politik Islami yang sangat menekankan keabsahan moral; DAP kian terbukti sebagai parti yang cekal membela nasib kaum yang pelbagai; dan KEADILAN sendiri telah mempamerkan budaya politik era baru yang serasi dengan kehendak rakyat pelbagai kaum dan ideologi.

Muafakat ini dicemburui UMNO-BN. Mereka cuba meniru kesepakatan kita, malangnya rakyat tahu bahawa Konvensyen BN hanya berlaku setiap 15 tahun sekali, itupun kali pertama dalam tahun 1995. Di pentas yang sama, mereka berselingkuh pandangan. Di saat ada pimpinan komponen yang menyelar budaya ‘abang besar dan adik kecil’ dalam BN, mereka mula tidak senang duduk.

Ini berbeza sekali dalam Pakatan Rakyat. Tokoh-tokoh seperti Saudara Anwar, Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Haji Abdul Hadi, Saudara Karpal Singh dan Saudara Lim Kit Siang mengisi seluruh ruang spektrum politik negara dengan kepelbagaian ideologi dan perjuangan. Walaupun pendekatan dan spektrum politik yang berbeza, nada dan irama kita adalah seiring kerana Pakatan rakyat disatukan atas landasan membela rakyat.

NATIJAH SERANGAN BERTALI ARUS

Saudara-saudari yang dihormati,

Objektif serangan bertali arus yang dilakukan oleh UMNO-BN ke atas Pakatan Rakyat ini mudah dibaca - iaitu untuk mendatangkan keraguan di kalangan rakyat dan sesama kita, agar barisan yang utuh ini mula goyah.

Dibisikkan kepada orang Melayu kononnya DAP ini akan ‘menjual’ kepentingan orang Melayu. Maka timbullah keraguan orang Melayu terhadap DAP.

Dibisikkan kepada masyarakat bukan Melayu kononnya PAS ini anti masyarakat bukan Melayu. Maka timbullah kebimbangan orang bukan Melayu terhadap PAS.

Dicanang ke seluruh Malaysia kononnya KEADILAN dan Anwar Ibrahim ini bermasalah dalam Pakatan Rakyat, dengan harapan keraguan rakyat akan bercambah.

Tetapi percaturan mereka yang paling besar adalah untuk mengapi-apikan kita sesama sendiri; agar kita berpaling dari asas perjuangan yang bertunggakkan keadilan dan tidak mengenal politik perkauman. Mereka mahu DAP takutkan PAS kerana hasutan mengenai agenda Islamisasi, PAS khuatir penampilan DAP akan menidakkan sokongan Melayu. Mereka berharap PAS dan DAP meragui kemampuan KEADILAN menangkis serangan demi serangan dari mereka.

Taktik ini harus kita hadham sebetulnya agar kita tidak sedikit pun terbuai dengan mainan propaganda mereka. Sebagaimana ombak tidak akan jemu menghakis pantai, demikian jugalah UMNO-BN tidak akan berhenti dari cuba memecahkan kesepaduan Pakatan Rakyat!

Justeru, komitmen kepada kesepakatan bersama harus kita perkukuhkan dari semasa ke semasa. Sewajarnya selepas ini, setiap pengumuman dan pembelaan rakyat perlu membariskan pimpinan dari ketiga-tiga parti sebagai lambang kesepakatan dan satu nada di dalam Pakatan Rakyat.

FOKUS PAKATAN RAKYAT

Hadirin sekalian,

Perjuangan Pakatan Rakyat bukan untuk mengkayakan diri sendiri, tetapi ia terhasil dek kerana keinsafan kita atas perit jerih yang dialami oleh rakyat kebanyakan.
 
Di sebalik kemegahan 53 tahun kemerdekaan, Malaysia adalah negara dua darjat: yang kaya terus hidup mengulit mimpi di dalam mahligai, yang miskin derita sehingga terpaksa bergolok gadai.

Pelbagai akronim dicatur oleh pemerintah. Sebut sahaja MBE, NKEA, NKRA, GTP, ETP dan pelbagai lagi akronim yang direncana UMNO-BN, satupun gagal mendatangkan impak positif kepada rakyat. Yang terus berlaku ialah rakyat menjadi semakin keliru. Pendapatan negara kononnya tinggi, KDNK negara capai pertumbuhan, tetapi harga barang terus naik, kos sara hidup terus menghimpit.
 
Mengapa ini berlaku? Kerana mereka hanya mengkaji di dalam makmal-makmal yang memisahkan realiti rakyat dengan rekayasa dasar. Mereka mencatur strategi, tetapi rakyat tidak menikmatinya sekelumit pun.

Realitinya rakyat tidak mahukan dokumen yang menyusun indah kata-kata dan retorik berlebihan. Rakyat mahukan impak langsung. Harga petrol dan harga barang yang bersesuaian, akses pendidikan lebih luas, pengangkutan awam yang efektif dan efisyen, perkhidmatan awam yang tidak birokratik dan sebagainya.
 
Tetapi ini tidak dijanjikan oleh UMNO-BN. Yang mereka laungkan hanyalah NKRA, NKEA dan pelbagai lagi. Apa yang rakyat dapat? Cuma buku kulit tebal yang punyai pelbagai visi dan misi, tapi kosong isi dan intipati.

Di atas kesedaran inilah, tanggungjawab Pakatan Rakyat adalah besar demi merealisasikan harapan rakyat. Pundak kita diletakkan amanah yang bukan kecil.
 
Justeru, Konvensyen ini harus membahaskan perkara-perkara yang penting menjurus kepada dasar-dasar baru yang pro-rakyat, bukan sekadar laungan retorik irama lama yang berdendang masyhur.

Komitmen KEADILAN dan Pakatan Rakyat, kita menawarkan kepada rakyat bahawa sekiranya rakyat mengamanahkan Malaysia dikemudi Pakatan Rakyat dengan izin Tuhan, dalam tempoh 100 hari berkuasa, tujuh langkah utama akan diambil demi mengurangkan beban hidup rakyat.

PEMBELAAN RAKYAT

Saudara-saudari yang dihormati,

Di bawah kekuasaan UMNO-BN, rakyat bolehlah diibaratkan umpama kayu lampung, ditebuk kumbang tebus-menebus. Lantaran itu, KEADILAN memberikan jaminan kepada rakyat, bahawa jika Pakatan Rakyat berjaya menerajui Putrajaya, kita bertekad untuk menghapuskan kutipan tol yang jelas hanya mengkayakan konsesi dan kroni.

Kita juga tidak akan meminggirkan golongan-golongan yang kurang berkemampuan, individu dan juga kelompok sosial.  Sistem subsidi akan dibaikpulih dengan penuh tanggungjawab. Kita akan pastikan mereka yang berhak akan perolehi subsidi yang perlu. Subsisi ini sudah pasti akan dapat membantu menjana kehidupan seharian dengan lebih sempurna. Kita akan perangi subsidi korporat dan pulangkan hak kepada rakyat.

Manakala dalam sektor pendidikan pula, KEADILAN dan Pakatan Rakyat akan terus memartabatkan golongan pendidik. Bertahun-tahun UMNO-BN berjanji mahu memartabatkan kerjaya perguruan, tetapi yang naik imbuhannya setiap tahun hanyalah polis, golongan pendidik bergelumang seperti marhaen yang lain.

Oleh itu, kita akan menaikkan gaji setiap guru sebanyak RM500 sebulan. Ini hanya melibatkan kos kecil sebanyak RM3 bilion berbanding ketirisan RM28 bilion akibat rasuah dan tadbir urus yang tidak sempurna. Imbuhan khas pendidik ini adalah langkah awal Pakatan Rakyat menyediakan imbuhan yang setimpal dengan jasa pendidik, agar kerjaya pendidik menjadi kerjaya pilihan rakyat Malaysia ke arah melahirkan pendidikan berkualiti tinggi.

Saudara-saudari perwakilan yang dihormati,

Alhamdulillah, di Selangor, skim air percuma sudah dan sedang dilaksanakan. Program ini akan berterusan dan dipantau dari semasa ke semasa. Justeru, KEADILAN bertekad untuk melebarkan dan menjayakan skim air percuma ini ke negeri-negeri lain. Dengan satu harapan, rakyat akan dapat menikmati air yang dianugerahkan Allah.

Bagi memastikan rakyat mendapat manfaat sebaiknya dari revolusi maklumat, Pakatan Rakyat akan menawarkan perkhidmatan internet wi-fi secara percuma di kawasan-kawasan bandar dan separa bandar.

Saudara-saudari

Langkah ketujuh adalah untuk mengembalikan institusi rakyat kepada peranan asal mereka membela rakyat. Felda yang ditubuhkan untuk memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah memiliki tanah dan ladang sendiri, telah menyimpang dari piagam asalnya apabila Felda Plantations lagaknya tidak ubah seperti gergasi perladangan swasta yang lain.

Oleh itu, Pakatan Rakyat akan memastikan bahawa tanah-tanah dan ladang-ladang yang dikuasai Felda Plantations itu dikembalikan kepada generasi kedua dan ketiga Felda, agar semangat asal penubuhan Felda dapat dihidupkan kembali. Jangan Felda satu hari nanti akan dicemuh oleh warga peneroka sendiri, seperti rangkap pantun ini:

Mengayuh beca tanpa roda,
Tiada duit beli yang baru;
Bila di tanya hak peneroka,
Felda kata “mana aku tahu”.

Perwakilan yang saya hormati,

Langkah-langkah ini adalah jelas dan muda difahami rakyat. Ia menzahirkan prinsip keadilan sosial yang dimeterai oleh Dasar Bersama.

Ia jelas membuktikan kesepaduan kita di dalam Pakatan Rakyat, kerana melalui langkah-langkah ini, kita menunjukkan bahawa pendekatan negara kebajikan yang dibawa oleh PAS akan diangkat untuk menjadi agenda perjuangan bersama Pakatan Rakyat.

Semangat keadilan sosial yang diperjuangkan oleh PKR juga sebati dalam pengolahan ketujuh-tujuh langkah tersebut. Seterusnya, kebajikan dan keadilan sosial ini lebih kukuh dengan penghormatan kepada semua kaum, seperti yang diperjuangkan DAP.

Nah! Ini bukan sahaja bukti bahawa dasar dan program yang jelas tetapi ia adalah menunjukkan bahawa kesepakatan dalam Pakatan Rakyat telah sampai ke tahap menghadamkan perjuangan yang sama.

REFORMASI LAWAN TRANSFORMASI

Saudara-saudari yang dikasihi,

KEADILAN secara konsisten akan terus mewacanakan konsep Ketuanan Rakyat dan bangsa yang bermaruah dalam setiap agenda pemerkasaan rakyat kerana kita yakin bahawa tidak akan wujud reformasi ekonomi jika tidak ada reformasi politik.

Malaysia memerlukan reformasi politik dan Pakatan Rakyat telah lama memperjuangkannya kerana kita peka bahawa tanpa iltizam dan keikhlasan, gagasan ‘transformasi’ yang diciplak oleh pemerintah UMNO-BN dari kita ini hanya akan menjadikan situasi politik Malaysia lebih teruk dan merosot.

Reformasi yang kita bawa bermaksud “mengubah sesuatu ke arah yang lebih baik”. Kata asalnya dalam bahasa Inggeris iaitu ‘reform’ yakni hasil akhir sudah pasti lebih baik.

Transformasi pula maknanya “tukar sahaja” seperti dalam filem Transformers yang mana robot-robot boleh bertukar menjadi kereta, lori dan kapal terbang dan kemudiannya kembali bertukar menjadi robot semula. Makanya tidak ada apa-apa yang berubah, sekadar bertukar tanpa mengambil kira hasil akhir. Dari era Mahathir, ke era Pak Lah, ke era Najib – segalanya tentang transformasi; Mahathir dengan Wawasan 2020, Pak Lah dengan Islam Hadhari dan kini Najib dengan 1Malaysia, itu pun atas tunjuk ajar dari APCO yang menelan jutaan wang rakyat. Inilah dia erti sebenar ‘transformasi’ yang dilaung-laung oleh kerajaan UMNO-BN.

KESIMPULAN

Saudara-saudari yang dihormati,

Malaysia perlu diubah sekarang. Perjalanan dan masa depan rakyat di bawah pentadbiran UMNO-BN kini semakin kabur dan tidak menentu. Seandainya perubahan tidak dilaksanakan sekarang, segala kerosakan dan kebobrokan hasil kepincangan pentadbiran UMNO-BN akan berterusan tanpa penghujung. Negara ini akan terus dirundung malap dan tak mustahil akan menemui masa depan yang gelap.

Harapan dan kepercayaan rakyat untuk melihat Malaysia kembali di landasan yang betul, yang berteraskan prinsip keadilan dan muafakat sesama kaum perlu dikembalikan segera.

Perubahan harus bermula sekarang; kerana hala tuju negara ini telah jauh menyimpang dari matlamat asalnya. Kesukaran hidup rakyat telah sampai ke peringkat yang memuncak, di kala haluan ekonomi negara juga semakin malap.

Pakatan Rakyat percaya bahawa agenda perubahan yang dijunjung bersama akan meniupkan kembali roh keadilan dan permuafakatan dalam sistem dan negara dan masyarakat kita.

Pohon berangan tempat bertemu,
Girangnya rasa si anak dara;
Baliklah tuan membawa ilmu,
Binalah bangsa bangunkan negara

Bersama-sama kita lakukan perubahan sekarang untuk menyelamatkan Malaysia!

Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah. Wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
 
Ucapan Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Konvensyen Pakatan Rakyat Kebangsaan Kedua Di Dewan Millenium, Kepala Batas, Pulau Pinang, Ahad 19 Disember 2010.



Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...

ARKIB